Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

PELAKSANAAN TEORI KONSTRUKTIVIS DALAM PROSES PENGAJARAN DAN

PEMBELAJARAN DI DALAM BILIK DARJAH

1.0 Pengenalan

Manusia belajar melalui berbagai-bagai cara. Pengajaran menurut Noraini Idris dan Shuki
Osman (2009) ialah proses penyampaian ilmu pengetahuan, kemahiran, sikap, dan nilai.
Adenan Yakob dan Khairuddin Mohamad (2012) pula mentakrifkan pengajaran sebagai usaha
guru membimbing, menggalak dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk
belajar demi memperoleh ilmu pengetahuan dan menguasai kemahiran. Bagi maksud
pembelajaran, menurut Noraini Idris dan Shuki Osman, (2009) ialah proses memperoleh dan
mengekalkan pengetahuan atau kemahiran. Berdasarkan definisi beberapa orang tokoh,
pengajaran dan pembelajaran dapat difahami sebagai proses menyampaikan dan menerima
ilmu pengetahuan melalui pelbagai kaedah atau pendekatan yang sesuai di dalam bilik darjah.

Keberkesanan P&P di dalam bilik darjah boleh dilihat daripada perubahan tingkah laku
murid daripada negatif kepada positif, kecemerlangan dalam penilaian kurikulum dan
penglibatan aktif murid ketika P&P berlangsung. Pengaplikasian pengajaran yang sesuai dan
berkesan bukan sahaja membantu kecemerlangan murid, malah mampu mewujudkan suasana
pembelajaran yang menarik, sebagai guru merupakan seorang individu yang berperanan
sebagai pendidik dan pemimpin di dalam bilik darjah perlulah mempunyai ciri-ciri tertentu dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan. Abdul Sukor Abdullah (1999) menyatakan P&P yang
berkualiti lahirnya dari seorang guru yang sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil
pengajaran, berupaya membentuk perwatakan murid denga pelbagai keteguhan nilai seperti
berakhlak mulia dan dapat menyesuaikan diri dengan keadaan tertentu. Jelaslah, P&P
berkesan adalah proses pemerolehan ilmu dan penjanaan idea yang memerlukan penglibatan
secara aktif dan konsisten dari guru dan murid di dalam bilik darjah.
2.0 Apakah Teori Pembelajaran Sosial?

Para pendidik seluruh dunia telah tertarik dengan pandangan mengenai ilmu pengetahuan dan
cara bagaimana manusia memperoleh ilmu pengetahuan tersebut. Pandangan ini menganggap
bahawa murid akan mendapat kefahaman yang optimum apabila menggunakan aspek
memerhati dan aspek peniruan tingkahlaku yang lebih dikenali sebagai pendekatan
permodelan. Menurut Albert Bandura dalam Noriati et al. (2009) manusia belajar melalui proses
peniruan atau pemerhatian, iaitu dengan cara melihat orang menerima hukuman daripada
perlakuan. Secara semulajadinya, setiap individu akan belajar melalui proses peniruan bukan
sahaja tingkah laku yang baik, tetapi juga tingkah laku yang tidak dapat diterima oleh
masyarakat. Sebagai contoh, kita pernah mendengar kanak-kanak berlagak seperti upin ipin,
dan boboyboy. Hal ini kerana mereka sangat terpengaruh dengan watak yang ditonton dalam
rancangan televisyen. Watak kartun yang ditiru merupakan model ikutan. Teori pembelajaran
sosial akan menjelaskan bagaimana proses peniruan berlaku.

Menurut Azizi Yahaya & Muhamad Jumat Aliju dalam Teori-Teori Tingkah Laku Negatif,
teori pembelajaran sosial ini diperkenalkan oleh Albert Bandura. Beliau dilahirkan pada 4
Disember 1925, di bandar kecil Mundare di utara Alberta, Kanada. Beliau menerima ijazah
sarjana muda dalam Psikologi dari University of British Columbia pada tahun 1949. Beliau
seterusnya Universiti Iowa, di mana beliau menerima Ph.D. pada tahun 1952 semasa
keberadaannya di sana beliau terpengaruh dengan tradisi behaviorisme. Oleh itu, Bandura
berpendapat bahawa pembelajaran akan lebih berkesan melalui permodelan.
3.0 Unsur Dalam Pembelajaran Sosial

Menurut Albert Bandura dalam Noriati et al. (2009), terdapat tiga unsur yang terlibat dengan
teori ini iaitu persekitaran, individu (kognitif) dan tingkah laku.

Individu

Persekitaran Tingkah laku

Rajah 3.1 Pengaruh tiga unsur dalam pembelajaran sosial

Bandura mengemukakan model determinisme timbal balik yang mengandungi tiga unsur
yang utama (lihat Rajah 3.1). Berdasarkan unsur tersebut, teori ini menekankan tingkah laku
manusia banyak dipengaruhi oleh interaksi antara manusia dengan persekitarannya. Interaksi
ini adalah antara individu dengan keluarga, rakan sebaya dan media massa. Menurut Mahmood
(2001) dalam Azizi Yahaya & Muhamad Jumat Aliju, tingkah laku agresif dipelajari daripada
persekitaran sosial. Hal ini bermakna apabila seseorang individu berinteraksi dengan
persekitaran, individu tersebut bukan sahaja dapat mempelajari tingkah laku yang positif malah
akan diserap juga tingkah laku yang agresif. Sebagai contoh, pelajar akan membuli rakannya di
kelas akibat daripada melihat perbuatan ayahnya yang sering memukul ibunya di rumah.
Kejadian ini berlaku kerana ibu bapa merupakan model ikutan bagi kanak-kanak. Jika ibu bapa
menunjukkan tingkah laku yang agresif di hadapan kanak-kanak, maka kanak-kanak mudah
meniru perlakuan tersebut dan berkemungkinan besar akan mewarisinya. Hal ini dapat
dirumuskan bahawa persekitaran akan mempengaruhi tingkah laku seseorang melalui
pemerhatian terutama yang signifikan dengan mereka.

Oleh itu sebagai guru perlulah menunjukkan tingkah laku yang baik terhadap pelajar.
Sebagai contoh, guru menggunakan bahasa yang sopan ketika bercakap dalam kelas.
Kesannya, murid tidak akan mengeluarkan bahasa yang kesat dan sentiasa akan menjaga
pertuturan mereka ketika bercakap dengan orang lain. Melalui cara tersebut, murid dapat
menyerap tingkah laku yang positif daripada persekitarannya. Sekiranya pelajar mempamerkan
tingkah laku yang baik, guru seharusnya memberi peneguhan yang positif. Misalnya ganjaran
kebendaan dan kepujian. Ini secara tidak langsung akan memotivasikan diri pelajar tersebut
untuk lebih bertingkah laku yang positif.
Guru juga boleh menggunakan pelajar sebagai model di bilik darjah. Contohnya, guru
dapatkan kerjasama dengan pelajar yang bertingkah laku positif dan mendapat prestasi yang
baik dalam kelas supaya pelajar lain dapat memerhatikan tingkah laku tersebut dan
mengikutinya. Secara tidak langsung, pelajar lain turut menjaga tingkah laku dan tingkah laku
yang agresif akan berkurangan.

4.0 Bentuk Peniruan

4.1) Peniruan secara langsung

Peniruan ini berlaku apabila melihat orang lain melakukan sesuatu. Pastinya individu yang
melihatnya akan melakukan perkara yang sama. Sebagai contoh, guru Pendidikan Seni Visual
melukis gambar pemandangan di sebuah kampung, manakala pelajar akan turut melukis
gambar pemandangan tersebut.

Melalui peniruan secara langsung ini juga, guru dapat menyerapkan nilai murni dan
sikap yang positif dalam diri pelajar. Hal ini kerana menurut Noriati A. Rashid et al. (2012) KSSR
digubal dan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai. Oleh itu, guru boleh menjadi
suri teladan yang baik untuk memupuk sikap dan nilai dalam diri pelajar. Contohnya, guru
mengutip sampah yang berada di sekitar kelas tersebut dan menyuruh anak murid
melakukannya juga. Pelajar akan meniru perlakuan tersebut dan lama-kelamaan ianya akan
menjadi rutin pelajar tersebut. Ringkasnya, peniruan secara langsung ini sangat penting untuk
membentuk diri individu itu sendiri.

Untuk menarik minat pelajar, guru seharusnya menyediakan pendekatan pelajaran yang
baharu dan selari dengan masa terkini. Hal ini juga ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dalam Utusan oleh Mohd. Shariza Abdullah (2014)
menekankan bahawa golongan pendidik perlu memikirkan semula pendekatan-pendekatan
baharu bagi membolehkan menarik minat dan meninggalkan kesan positif kepada sikap serta
rohani pelajar. Oleh hal yang sedemikian, guru perlulah membuat refleksi mengenai kekuatan
dan kelemahan diri, mengkaji perubahan luar serta nilai masyarakat yang sentiasa berubah
untuk memastikan objektif dalam pembelajaran tercapai.
4.2) Peniruan sekat laluan dan tak sekat laluan

Peniruan sekat lakuan ialah peniruan yang sesuai dilakukan dalam keadaan yang
tertentu sahaja. Contohnya murid boleh meniru kawan mereka bersorak di padang tetapi tidak
boleh meniru kawan mereka bersorak di dalam bilik darjah. Peniruan tak sekat lakuan pula
melibatkan tindakan yang boleh dilakukan dalam semua situasi. Contohnya pelajar meniru gaya
berbudi bahasa gurunya.

4.3) Peniruan elisitasi

Peniruan ini melibatkan emosi dan keinginan. Sebagai contoh, murid ingin tampil ke
hadapan kelas untuk bercerita mengenai kisah arnab dan kura-kura setelah melihat rakannya
melakukannya dengan baik. Bentuk peniruan ini dapat meningkatkan jati diri pelajar itu sendiri
di samping dapat menambah kemahiran berkomunikasi dalam diri pelajar itu. Oleh itu, aktiviti
pembentangan merupakan aktiviti pembelajaran yang sangat berkesan untuk membina jati diri
pelajar. Menurut Yahya & Muhamad Shahabudin daripada Fakulti Pendidikan Universiti
Teknologi Malaysia, hasil daripada dapatan kajian mereka membuktikan bahawa pelajar
adakalanya masih gugup ketika berhadapan dengan audien yang ramai ketika melakukan
pembentangan. Jesteru, kemahiran berkomunikasi ini perlu dibina daripada sekolah rendah
untuk membina kerjaya pada masa hadapan.

5.0 Langkah-Langkah Pembelajaran Peniruan

5.1) Tumpuan Perhatian

Individu menumpukan perhatian dan memerhatikan perlakuan model berulang kali. Oleh itu,
murid akan memerhatikan tingkah laku guru nya. Sebagai contoh, pelajar melihat guru
membentuk bunga dan bekas menggunakan plastisin. Sambil membuat tunjuk cara, guru
tersebut menerangkannya supaya pelajar mudah menerima pembelajaran tersebut. Melalui
tumpuan perhatian ini, pelajar lebih mudah untuk belajar dan mengingati sesuatu pembelajaran
dengan cepat. Untuk memastikan murid menumpukan perhatian, guru mestilah menggunakan
alat bantu mengajar yang berkesan. Menurut Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad (2011),
penggunaan alat bantu mengajar dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran
serta memudahkan lagi kefahaman setiap murid dan guru mestilah kreatif untuk menyediakan
alat bantu mengajar. Selain itu, guru juga boleh menggunakan bahan maujud dalam pengajaran
juga berkesan kerana murid dapat menggunakan empat deria utama iaitu melihat, menghidu,
merasa dan memegang bahan secara terus. Contohnya, jika guru ingin memperkenalkan buah-
buahan tempatan kepada murid adalah lebih berkesan sekiranya guru membawa buah-buahan
yang sebenar semasa sesi pengajaran supaya murid dapat melihat, menghidu, merasa dan
memegang buah-buahan itu sendiri. Jika tiada alat bantu mengajar yang sesuai, pastinya murid
akan berasa bosan dengan penyampaian guru tersebut dan murid tidak akan dapat memproses
maklumat yang guru cuba sampaikan.

5.2) Penyimpanan dalam Ingatan

Segala yang diperhatikan akan disimpan dalam ingatan. Ingatan merupakan proses mental
yang menyimpan perkara-perkara yang telah dipelajari dan kemudiannya mengeluarkannya
kembali sebagai tindak balas dalam situasi yang diperlukan seperti menyelesaikan sesuatu
masalah dalam pembelajaran. Apabila ianya berlaku, ini akan melibatkan tiga proses yang
utama iaitu mengenkod, menyimpan dan mendekod. Penyimpanan ini bertujuan untuk
membolehkan sesuatu maklumat tersebut diingat dalam jangka masa yang panjang.

5.3) Pengeluaran

Pengeluaran bermaksud segala apa yang dipelajari seperti tingkah laku dan kemahiran akan
dikeluarkan dalam bentuk perlakuan. Contohnya, pelajar dapat membentuk bunga dan bekas
melalui plastisin. Namun, pada awalnya, kemahiran untuk membuat bunga dan bekas tersebut
tidaklah sebagaimana tingkah laku model.

5.4) Motivasi dan Peneguhan

Noriati A. Rashid et al. (2012), memberikan kenyataan dalam Teori Behaviorisme bahawa
peneguhan terdiri daripada dua iaitu peneguhan positif dan negatif. Peneguhan positif ialah
peneguhan yang berlandaskan prinsip bahawa kemungkinan tingkah laku diteruskan berlaku
apabila tingkah laku tersebut diikuti oleh ransangan yang menyenangkan (ganjaran). Manakala
peneguhan negatif pula berlandaskan prinsip bahawa kemungkinan tingkah laku akan diulangi
apabila ransangan yang tidak menyenangkan ditiadakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa
selain daripada Teori Pembelajaran Sosial juga menekankan konsep peneguhan dalam
pengajaran. Kepentingan memberi motivasi dan peneguhan ini adalah apabila seseorang
berasa seronok dan mendapat peneguhan dan rangsangan daripada orang lain, tingkah laku
tersebut akan diulangi dan dikukuhkan lagi. Misalnya, kemahiran untuk membentuk bunga dan
kertas akan menjadi lebih baik apabila pelajar mendapat peneguhan daripada rakan-rakan dan
guru. Pelajar lain juga akan terus bermotivasi untuk melakukan perkara yang sama seperti
pelajar tadi.

Menurut Mohd Zuri Ghani & Aznan Che Ahmad (2011), murid bermasalah pembelajaran
selalunya mempunyai sifat rendah diri yang agak tebal. Jesteru, guru perlulah memainkan
peranan untuk memotivasikan murid supaya murid mempunyai keyakinan yang tinggi dan
membina penghargaan kendiri secara berterusan. Oleh itu, guru perlu mengenal pasti
peneguhan yang paling sesuai dan berpotensi untuk memotivasikan murid sebelum memilih
peneguhan yang akan diberikan kepada murid. Sebagai contoh, guru boleh memilih bentuk-
bentuk peneguhan seperti pemberian pelekat dan cop yang bersimbol seperti baik dan
cemerlang supaya dapat memupuk minat murid terhadap pelajaran. Sebaliknya, guru dilarang
memberi kata-kata yang negatif kerana ianya akan melemahkan semangat murid dalam
akademik.

Namun begitu, kadang kala peneguhan yang negatif juga dapat memberi pengajaran
kepada pelajar. Hal ini kerana dalam proses pengajaran dan pembelajaran kadang kala pelajar
akan belajar daripada kesalahan mereka sendiri. Sebagai contoh sekarang sedang hangat
diperkatakan mengenai isu rotan di sekolah. Bagi sesetengah pihak melarang keras anak
mereka dijentik walaupun sedikit. Bagaimanakah guru ingin mendidik pelajar sekiranya hanya
menyampaikan fakta di dalam buku tanpa membetulkan kesalahan anak murid mereka?.
Menurut laporan daripada Utusan yang bertarikh 25/07/2012, terdapat segelintir yang
menentang guru disiplin merotan pelajar namun ada juga yang menyokong kerana merasakan
guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.

Sememangnya, sekiranya masalah disiplin seperti isu ponteng, membuli, mencuru,


vandalisme dan bergaduh ini tidak ditangani dengan segera, dikhuatiri boleh menimbulkan
masalah yang lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti. Oleh yang sedemikian,
guru perlu memberikan mereka denda sebagai peneguhan yang negatif supaya mereka dapat
membaiki diri mereka sendiri pada masa akan datang.

Peneguhan memainkan peranan yang penting dalam memotivasikan pembelajaran.


Selain itu, pelajar juga dapat mengetahui tentang pencapaian mereka dalam kelas dan
keperluan untuk membuat kebaikan. Ini dikukuhkan lagi oleh Sadler (1989) dalam Noraini Idris
dan Shuki Osman (2009), mendakwa bahawa pelajar menggunakan maklum balas guru untuk
memantau kekuatan dan kelemahan pencapaian mereka supaya aspek yang berkaitan dengan
kejayaan dan kualiti murid dapat diperkukuhkan lagi. Ini jelas menunjukkan bahawa peneguhan
yang diberikan oleh guru dapat dijadikan panduan oleh pelajar untuk menilai pencapaian diri
mereka sendiri dan membuat perubahan segera bagi meningkatkan pencapaian mereka.

Barbetta (2005) menyenaraikan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh guru untuk
mengendalikan tingkah laku pelajar. Beliau menegaskan bahawa pujian daripada guru
merupakan satu kaedah yang bernilai dan berkesan untuk membantu pelajar mengubah tingkah
laku mereka seterusnya meningkatkan proses pembelajaran di bilik darjah. Menurut Model
(2005), pelajar yang tidak pernah diuji tentang tingkah laku mereka yang positif tidak akan
mempunyai motivasi yang tinggi untuk mengukir kejayaan dalam pelajaran. Ringkasnya, guru
perlu mengelakkan daripada menggunakan sindiran ketika menasihati pelajar. Hal ini kerana
mereka akan lebih cenderung untuk mengulang kesilapan mereka sebagai balasan kepada
sindiran guru.

6.0 Jenis Model

Orang yang ditiru tingkah laku dipanggil model. Tekniknya pula dipanggil teknik modeling.
Terdapat dua jenis model iaitu model sebenar dan model simbolik.

6.1) Model Sebenar

Merupakan tingkah laku orang, haiwan ataupun objek yang ditiru. Contohnya, pelajar melihat
guru membuat balingan bola dan menyambut bola. Guru tersebut adalah sebagai model
sebenar bagi pelajar. Pengajaran dan pembelajaran dalam kelas pula boleh diberi contoh
dengan tindakan guru muzik yang menyanyikan lagu Gelang Si Paku Gelang. Kemudian,
pelajar pasti akan mengikuti nyanyian guru tersebut kerana guru tersebut adalah sebagai suri
teladan bagi pelajar. Untuk menjadi model yang sebenar, guru perlu pandai menyesuaikan
kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan minat murid. Oleh itu, guru perlu mempunyai
teknik pengajaran yang tersendiri seperti kepelbagaian teknik. Mengikut KSSR Bahasa
Malaysia Bahasa Kebangsaan Darjah Dua, strategi ini menggunakan pelagai kaedah mengajar
yang sesuai dengan kebolehan murid. Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran bergantung
pada pengolahan teknik dan penggunaan bahan bantu mengajar, serta teknologi yang dapat
merangsang dan menggalakkan murid.

Dalam laporan Utusan, oleh Mohd. Shariza Abdullah (2014), Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Dr. Shahruddin Salleh berkata, para guru perlu melakukan
transformasi dan menambah baik teknik pengajaran dalam bilik darjah daripada cara lama
kepada pembaharuan yang menyeronokkan untuk membantu negara melahirkan modal insan
berkualiti.

Menurut Noraini Idris & Shuki Osman, kaedah model ini sesuai dalam pendidikan akhlak
baik dirumah mahupun disekolah, dimana ibu bapa dan guru bertindak sebagai model kepada
pelajar, bagi menyokong ciri-ciri akhlak yang baik yang didedahkan dalam kelas. Jelaslah
bahawa dengan memerhatikan akhlak yang ditunjukkan oleh ibu bapa di rumah dan guru di
sekolah, pelajar akan meniru ciri akhlak yang sama iaitu kepimpinan melalui teladan.

6.2) Model Simbolik

Model simbolik merujuk kepada langkah kerja atau prosedur. Model ini boleh dalam bentuk
bahasa atau bentuk visual (gambar, carta aliran, gambar rajah). Termasuk dalam kategori ini
ialah watak dalam cerita, tokoh sejarah serta tingkah laku watak-watak yang ditonton dan
didengar melalui media dan televisyen.

Namun begitu, ledakan teknologi canggih ini juga membawa keburukan kepada pelajar-
pelajar. Sebagai contoh, jika pelajar sering melihat cerita peperangan dan pembunuhan dalam
televisyen, tidak mustahil di sekolah pelajar akan bertindak ganas terhadap rakan mereka
akibat peniruan daripada watak yang ditayangkan di televisyen. Kes terbaru ini sangat hangat
diperkatakan mengenai isu seorang wanita yang bertudung bersentuhan dengan lelaki Kpop
Korea Selatan ketika berlangsungnya sesi kumpulan B1A4 KPOP bertemu peminat. Hal ini
berlaku kerana hasil ledakan teknologi yang sering menayangkan artis-artis daripada barat
yang menyebabkan masyarakat setempat sangat meminati mereka sehingga melupakan adat
dan agama dalam Islam. Jesteru, walaupun media massa ini sangat memainkan peranan dalam
pembelajaran pada masa kini, namun semuanya ada batas-batas yang tertentu.

Sebagai guru mata pelajaran sejarah misalnya, guru perlulah membawa gambar-gambar tokoh
pejuang tempatan seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, dan Rentap. Di samping itu, guru
perlulah memberi penerangan kepada pelajar mengenai tokoh pejuang tersebut. Hal ini akan
membuatkan pelajar lebih berminat untuk belajar mengenai tokoh-tokoh tersebut disamping
dapat menerapkan nilai murni semangat cintakan negara kepada pelajar tersebut. Dapat
disimpulkan bahawa model simbolik ini dapat memudahkan pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas.

7.0 Implikasi Teori Pembelajaran Sosial dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Jelaslah bahawa teori ini sangat menekankan pembelajaran melalui pemerhatian dan
peniruan. Oleh itu, guru perlulah memilih seorang model yang mempunyai ketokohan dalam diri
beliau seperti dipandang tinggi dan berbakti kepada negara bagi mencapai matlamat modeling
untuk dijadikan teladan di dalam kelas. Sebagai contoh dalam pengajaran dan pembelajaran
dalam kelas, guru boleh menunjukkan gambar Nur Amalina Che Bakri yang menjadi pelajar
terbaik SPM 2007 dengan memperoleh 17A1 telah menamatkan pengajian perubatan di
Universiti of Edinburgh dan sedang berusaha untuk menjadi doktor pakar dalam tempoh 6
tahun (Berita Semasa, 4 Jan 2013). Oleh itu, guru boleh menceritakan serba sedikit mengenai
Nur Amalina dan memberi fokus kepada cara pembelajaran beliau. Menurut Shaharom TM
Sulaiman (2006) dalam Utusan Online, Nur Amalina memberi tumpuan sepenuhnya pada
pembelajaran di kelas dan selalu bertanya kepada guru. Rasa segan dan malu bertanya tidak
patut ada dalam diri seseorang sekiranya mahu berjaya, kata Nur Amalina. Apabila subjek
sudah difahami, buat nota ringkas dalam bentuk rajah atau peta minda untuk memudahkan
ingatan. Manakala bagi subjek berbentuk fakta seperti sejarah, nota dibuat dalam bentuk kata
kunci. Oleh itu, melalui cara belajar Nur Amalina, murid boleh menjadikannya idola dan
mengikutinya untuk terus belajar bagi mencapai kejayaan.

Nur Amalina juga merupakan contoh yang terbaik jika dikaitkan dengan wawasan 2020
iaitu melahirkan modal insan yang dicetuskan oleh Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi (Deenesh
Kumar a/l Nalathambi, 2012). Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan,
mempunyai nilai moral dan nilai murni yang tinggi, beretika dan berdaya saing. Dalam hal ini,
Nur Amalina seorang yang berilmu dalam bidang kedoktoran dan hal ini akan menaikkan nama
negara kita pada masa akan datang. Selain beliau, menjadi peranan gurulah untuk melahirkan
lebih ramai individu yang cemerlang bagi merealisasikan wawasan 2020 ini. Anjakan ini hanya
akan tercapai dengan penerapan kesedaran integrasi nasional dalam bidang pendidikan
supaya anak-anak muda dididik menjadi lapisan masyarakat yang berakhlak mulia dan
berintelek tinggi pada masa hadapan. Jadi pengajaran guru perlulah menarik dan
menggunakan pelbagai teknik atau kaedah untuk mempengaruhi minat murid.

Selain itu, guru juga boleh kukuhkan tingkah laku yang hendak dijadikan tiruan. Sebagai
contoh, guru memuji pelajar yang bertulisan kemas, yang rajin membuat latihan yang diberi dan
menjadikannya sebagai ketua dalam sebuah kumpulan. Guru sebegini akan menjadikan pelajar
berasa lebih diberi perhatian dan akan menjadikannya lebih yakin dan bermotivasi untuk
berjaya serta percaya bahawa kejayaan akademik adalah penting untuk masa depan mereka.
Motivasi yang positif ini akan menggalakkan lagi usaha dan ketekunan yang lebih tinggi dalam
diri pelajar. Jika sebaliknya, pelajar akan berasa kurang yakin dengan kebolehan yang mereka
ada untuk berjaya. Jesteru, perasaan ini akan menyebabkan mereka tiada komited terhadap
pembelajaran dan akhirnya boleh menyebabkan keciciran terhadap pelajar tersebut. Untuk
pelajar lain pula, cara sebegini akan membuatkan pelajar lain teransang dan bermotivasi untuk
mengikut perlakuannya.

Namun begitu, bukan semua pelajar akan bermotivasi untuk mengikuti perlakuan
rakannya yang cemerlang. Kebiasaanya, pelajar perempuan akan lebih bermotivasi,
mendengar arahan dan memberikan tumpuan dalam kelas berbanding pelajar lelaki. Kajian
Rowe (1999) mendapati bahawa pelajar perempuan signifikannya lebih memberikan tumpuan
dan lebih mudah dibentuk berbanding pelajar lelaki. Hal ini kerana pelajar lelaki kurang
berminat dengan sekolah dan lebih tertumpu kepada bidang kemahiran. Oleh itu, peranan guru
sangat dititikberatkan untuk menarik minat pelajar lelaki terhadap pembelajaran. Guru perlu
menyediakan kaedah pembelajaran yang berbeza dan menarik. Hal ini bertepatan dengan
pandangan Susan Allen Nan et al. (2012) menyatakan bahawa peranan guru adalah sangat
dititikberatkan dalam mempengaruhi pelajar lelaki membaca dan memilih bahan bacaan. Jika
guru bersikap melepaskan batuk di tangga sahaja dalam mendidik pelajar, pastinya akan
meningkatkan masalah pencapaian rendah dalam kalangan pelajar lelaki di sekolah.

Untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dalam kelas, pelajar boleh melaksanakan strategi
pembelajaran secara koperatif dengan rakan-rakan iaitu pembelajaran berpusatkan murid. Guru
boleh membahagikan para pelajar kepada beberapa kumpulan kecil untuk melakukan beberapa
aktiviti. Melalui aktiviti pembelajaran melalui berkumpulan ini, pelajar dapat bekerjasama
dengan baik untuk mencapai matlamat mereka. Setelah pelajar bentang, kemudian guru juga
boleh memaparkan hasil kerja terbaik pelajar tersebut untuk membuatkan pelajar lain teransang
dan akan berusaha seperti rakannya. Menurut Nor Hasliza (2012), pembelajaran koperatif ini
juga sangat penting kerana ianya mempunyai kelebihan dari sudut memberikan idea,
berbincang dan berinteraksi antara satu sama lain dan belajar melalui pengalaman mereka
sendiri. Pembelajaran ini perlu diterapkan agar pelajar dapat berdikari dan bertanggungjawab
terhadap pembelajaran mereka. Melalui aktiviti kumpulan ini juga, akan memudahkan guru
membimbing pelajar dan melakukan aktiviti yang menarik minat pelajar.

Berita Harian (2009) dalam Nor Hasliza (2012), ada melaporkan bahawa kaedah belajar
secara berkumpulan telah membolehkan sembilan belas orang pelajar Sekolah Maahad Tahfiz
Kuantan, Pahang mendapat pangkat A bagi sembilan mata pelajaran yang diambil dalam
Penilaian Menengah Rendah 2009. Ini membuktikan bahawa pembelajaran koperatif perlu
diwujudkan dalam suasana pembelajaran untuk meningkatkan prestasi murid. Hal ini kerana
berdasarkan teori pembelajaran sosial ini, pelajar ini cenderung untuk meniru rakannya yang
cemerlang dalam kumpulan tersebut dan membuatkan individu ini mendapat motivasi untuk
turut belajar dan cemerlang.

Guru juga boleh menggunakan model sebenar. Sebagai contoh, guru sendiri
memberikan contoh teladan dengan baik dengan berbudi bahasa dan berkata secara berhemah
dengan pelajar. Mengikut peniruan secara lansung, pelajar akan cenderung untuk meniru
perlakuan gurunya tersebut. Berita baru-baru ini juga digemparkan dengan seorang guru yang
tersenarai sebagai calon dalam Anugerah Hadiah Guru Global yang dianjurkan oleh Yayasan
Varkey GEMS yang berpusat di Dubai, Eniriyah Arab Bersatu, satu-satunya yayasan di dunia
yang memberikan pengiktirafan luar biasa kepada golongan pendidik iaitu Yasmin Noorul Amin.

Dalam Utusan, Nursyamimi Saidi (2015). Pelajar sangat menyukainya kerana guru ini
mempunyai gaya pengajaran yang berbeza berbanding guru lain. Guru ini juga menunjukkan
sikapnya yang terbuka dan mencurahkan sepenuh kasih sayang kepada pelajar yang
menjadikan dirinya sendiri sebagai model kepada para pelajar. Hal ini menyebabkan pelajarnya
lebih menyenanginya. Contohnya, sebelum mengajar, guru ini tahu tentang keseluruhan topik
tersebut agar pelajar yakin dengan apa yang disampaikan. Namun, jika tersalah tentang
sesuatu perkara dan ditegur oleh pelajar, Cikgu Yasmin ini menerimanya dengan hati yang
terbuka supaya pelajar lebih menghormati guru. Ini jelas menunjukkan Cikgu Yasmin
menjadikan dirinya sendiri sebagai model ikutan bagi pelajarnya.

Akhirnya, guru perlu menegaskan sesuatu perkara yang penting dalam kelas. Guru
perlu menerangkan terlebih dahulu kewajarannya berbuat sedemikian. Salah satu faktor guru
perlu berbuat sedemikian kerana ingatan manusia hanya boleh bertahan selama sehari iaitu 24
jam. Menurut Yusof Boon (2009), ingatan jangka masa pendek hanya boleh disimpan dalam
beberapa jam kerana menurut Erikson (1963) dalam Yusof Boon (2009) lupaan merupakan satu
motif di mana maklumat tertentu sengaja dilupai kerana dianggap tidak penting, kurang seronok
atau tidak berguna. Oleh itu, sebagai bakal guru juga, perlu diingatkan bahawa setiap
pengajaran yang penting perlu ditegaskan atau perlu diulang kembali kepada pelajar supaya
mereka dapat mengikutinya dengan baik.

8.0 Kesimpulan

Teori Pembelajaran Sosial ini akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dengan
menggunakan pendekatan permodelan. Corak pendidikan dunia pada masa kini amat
memerlukan seseorang guru mengajar secara kreatif dan kritis serta mengaitkan pengajaran
tersebut dengan persekitaran supaya pembelajaran tersebut lebih afektif. Oleh itu, guru perlulah
berusaha untuk melaksanakan pendekatan teori pembelajaran sosial ini dalam proses
pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Pendekatan yang bersifat lebih kepada pelajar sebagai pembina pengetahuan melalui
aspek peniruan ini dapat melatih generasi muda pada zaman ini untuk lebih memajukan diri
sekaligus dapat memajukan negara pada masa akan datang. Namun, perkara ini tidak
bermaksud bahawa teori-teori pembelajaran yang lain seperti behavioris tidak lagi relevan untuk
diaplikasikan dalam bilik darjah. Kenyataan serta hujah tersebut hanya meletakkan teori
pembelajaran sosial sebagai satu teori utama yang perlu dilebihkan para pendidik di samping
menerapkan juga pendekatan teori-teori lain dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Hal
ini kerana setiap teori pembelajaran tersebut mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang
tersendiri. Oleh itu, setiap teori pembelajaran tersebut perlu diterapkan dalam proses
pengajaran dan pembelajaran agar setiap lompong yang menjejaskan keberkesanan suatu
pemerolehan ilmu dapat dibaiki.

You might also like