Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Daieyah Zainab al-Ghazali

Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam

Zaynab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau
merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini
beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam
keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau
juga merupakan lulusan al-Azhar.
Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama.
Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir
(Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar
daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan
pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk
menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.
Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk
mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk
mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi
menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun
1948, Zaynab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya
dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid
tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zaynab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari
Dalam Hidupku.
Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin
yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli
Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara
rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah
dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:
Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan
wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak social, hak awam dan juga hak
persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan
dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat
Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan
besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya
mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.
Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu
diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam
majalah al-Dawa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga
Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk
memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan
tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang
berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali meyakinin bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal
social, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam
membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu
dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi
ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu
mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri
telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan social apabila berkahwin. Pada
perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif
dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-
syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan
Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan
diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan.
Didalam buku Hari-hari dalam Hidupku(Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami
beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci
beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada
suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab
beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan
aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam
penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas
untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.
Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952
yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul
Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam.
Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau
mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan
dipenjarakan.

Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan
Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang
adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith
serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam
penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Maalim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).
.Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari
dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di
rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam
pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk
menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah.
Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat
Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi
maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut,
program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia
untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum
Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini,
Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya
ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita
Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan
dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang
wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar
Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan
beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau
tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga
menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh
kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama kerana perjuangannya yang luar biasa.
Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun.
Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia
sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola
dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa
sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup
srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagaiUmmul
Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan
menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

You might also like