Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 15

KANDUNGAN

Isi Kandungan Muka surat

Pengenalan 1

Kepentingan Industri Francais di Malaysia 3

Tahap Pembangunan Industri Francais di Malaysia 3

Sistem Sokongan Bagi Industri Francais 4

Cabaran dan Halangan terhadap Industri Francais 5

Masa Depan Industri Francais 10

Kesimpulan 11

Lampiran

0
1.0 Pengenalan

McDonalds dan KFC merupakan antara rangkaian perniagaan makanan segera yang
paling popular di Malaysia. Kedua-dua syarikat ini juga merupakan antara perniagaan
francais yang terbesar di dunia dan mempunyai rangkaian di seluruh dunia. Menurut
laman web Statista, McDonalds mempunyai sebanyak 36,525 rangkaian diseluruh
dunia manakala KFC mempunyai 19,952 rangkaian. Namun begitu, kedua-dua
syarikat ini hanyalah dua daripada ratusan syarikat-syarikat francais yang wujud di
Malaysia pada hari ini. Walaupun didominasi oleh kebanyakan jenama antarabangsa
seperti francais Starbucks, Burger King, Toys R Us, 7-Eleven, Hilton, dan banyak
lagi, namun syarikat tempatan juga tidak ketinggalan dalam berkecimpung dalam
perniagaan francais seperti syarikat makanan segera Sugar Bun yang berasal dari
Sarawak yang kini mempunyai rangkaian di Australia, Brunei, Bangladesh, dan China.
Baru-baru ini juga, sebuah francais yang menjual barang-barang harian Mr. DIY dilihat
aktif dan berkembang pesat dengan lebih 200 rangkaian telah dibuka di seluruh
Malaysia, dan juga di Thailand. Secara keseluruhannya, terdapat 61 francaisor
tempatan yang telah mempunyai 2,400 cawangan di 55 buah negara. Ini menunjukkan
bahawa syarikat tempatan juga tidak kurang hebatnya dalam arena perniagaan
francais yang boleh dikatakan sengit pada masa kini.

1.1 Etimologi dan Erti Francais


Walaupun sistem francais kebanyakan digunakan oleh perniagaan syarikat
swasta pada masa kini, asal usul perkataan francais sebenarnya merupakan
istilah yang digunakan oleh kerajaan diraja Perancis suatu ketika dahulu. Dari
segi etimologinya, perkataan Inggeris franchise diambil dari kata asal Perancis
fraunchise yang bermaksud hak istimewa. Franchise dalam bahasa Perancis
Lama pula bermaksud kebebasan dan pengecualian yang didasarkan kepada
perkataan franc, yang bermaksud bebas (Etimology Online Dictionary).

Dari segi istilahnya pula, Merriam-Webster mendefinisikan francais sebagai


hak atau lesen yang diberikan kepada individu untuk memperdagangkan
barangan atau perkhidmatan syarikat disesuatu wilayah. Menurut Kamus
Dewan pula, francais bermaksud hak atau kebenaran yang diberikan (dengan

1
syarat dan bayaran tertentu) oleh syarikat induk (francaisor, pemilik) kepada
pengusaha (francaisi) untuk memasarkan sesuatu barangan atau
perkhidmatan.

1.2 Sejarah Pembangunan Industri Francais di Malaysia


Perniagaan francais sudah bertapak lama di Malaysia iaitu lebih 100 tahun
yang dahulu. Jenama seperti Singer (dahulu hanya menjual mesin-mesin
jahitan) yang menyambut sambutan 100 tahun di Malaysia pada tahun 2009,
dan Bata (kedai kasut) sudah pastinya nama-nama yang sangat sinonim bagi
rakyat Malaysia sehingga hari ini. Singer dan Bata merupakan antara sistem
francais yang paling awal wujud dinegara ini disamping stesen-stesen minyak
seperti Shell dan Esso, serta syarikat-syarikat automobil (Utusan, 2011).
Syarikat francais makanan segera yang paling awal dibuka di Malaysia ialah
A&W yang dibuka pada tahun 1963, diikuti oleh KFC (1973) dan McDonalds
(1982). Pada tahun 1995, terdapat 125 sistem francais dengan 800 francaisi
dan jualan berjumlah USD 609.5 juta dan angka ini meningkat kepada 286
sistem francais dan lebih kurang 6000 francaisi pada tahun 2011 (Harif et. al.,
2011).

Perniagaan francais di Malaysia boleh dikatakan masih pada peringkat awal


dan perkembangannya hanya bermula pada tahun 1992 menerusi program-
program kerajaan (Ishak, 2015). Perniagaan francais ini berkembang dengan
usaha kerajaan yang berterusan dalam memperkembangkan industri ini di
Malaysia melalui unit khas yang menguruskan hal ehwal francais. Unit
francais bermula di Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan dibawah Jabatan
Perdana Menteri sebelum berpindah ke Kementerian Pembangunan
Usahawan dan Koperasi (MECD) pada 8 April 1999 dan dijenamakan semula
sebagai Bahagian Francais dan Vendor. Pada 9 April 2009, MECD dibubarkan
dan pengurusan francais berpindah sekali lagi ke Kementerian Perdagangan
Dalam Negara dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebagai Bahagian
Pembangunan Francais, dan hari ini, KPDNHEP dinamakan semula sebagai
Kementerian Perdagangan Dalam Negara, Koperasi, dan Kepenggunaan
(KPDNKK).

2
2.0 Kepentingan Industri Francais di Malaysia
Industri francais adalah sebuah industri yang penting di Malaysia kerana
mempunyai nilai dagangan yang tinggi di negara ini. Pada tahun 2015,
sumbangan industri ini terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah
sebanyak RM 26.8 billion melibatkan yang melibatkan lebih kurang 770 syarikat
francais dalam dan luar negara (Statistik 2015). Ini menunjukkan bahawa
perdagangan francais membawa keuntungan kepada negara.

Selain itu, aktiviti francais menjadikan penembusan kedalam pasaran berlaku


dengan pantas dan lebih berkesan (Ishak, 2015; Grewal, Iyer, Javalgi, dan
Radulovich, 2011) dengan menggunakan sumber dari francaisi seperti modal,
kemahiran pengurusan, dan informasi tentang pasaran tempatan (Ishak, 2015).
Ini bermakna, industri francais mempunyai potensi untuk diperkenalkan kepada
masyarakat dimana-manapun walaupun francaisor tidak mempunyai
pengetahuan di lokasi tempatan. Hubungan francaisor-francaisi ini adalah
hubungan simbiotik yang sekiranya terjalin baik, dapat mewujudkan situasi
menang-menang dan ini sekaligus memberikan sumbangan positif kepada
ekonomi negara.

Kepentingan industri francais juga dapat dilihat dari segi sosio-ekonomi. Ini
dibuktikan dengan wujudnya francais-francais, peluang pekerjaan meningkat dan
ini memberikan peluang kepada masyarakat tempatan untuk bekerja dibawah
francais tersebut. Sebagai contoh, McDonalds sekarang mempunyai 270
rangkaian di seluruh Malaysia dengan lebih 12,000 pekerja dan jumlah itu dijangka
akan meningkat kepada 500 rangkaian dengan tambahan 11,500 lagi pekerja. Hal
ini mencerminkan keupayaan industri francais dalam meningkatkan peluang
pekerjaan kepada penduduk di negara ini.

3.0 Tahap Pembangunan Industri Francais di Malaysia


Secara keseluruhannya, pembangunan industri francais di Malaysia masih agak
perlahan dan pada tahap infancy atau permulaan. Peningkatan nilai dagangan
walaupun meningkat saban tahun, tetapi tidak menunjukkan peningkatan yang
ketara. Misalnya pada tahun 2014, industri francais menjana pendapatan

3
sebanyak RM 25.4 billion atau 2.5% daripada KDNK negara, dan meningkat
kepada RM 26.8 billion pada tahun 2016.

Namun, perkembangan industri francais ini dapat dilihat dari aspek jumlah syarikat
francais yang berada di Malaysia. Harif et. al. (2011) menyatakan bahawa pada
tahun 1995, terdapat hanya 128 sistem francais dengan 800 francaisi berbanding
dengan 1125 francais berdaftar sehingga tahun 2016, menurut Persatuan
Francais Malaysia (MFA). Dari segi itu, perkembangan ini adalah sesuatu yang
boleh dibanggakan, terutama dengan pencapaian lebih kurang 60 francais
tempatan yang telah melebarkan sayap francais mereka ke 55 buah negara asing.

4.0 Sistem Sokongan Bagi Industri Francais


Semenjak pengenalan Akta Francais 1998, kerajaan telah memberikan banyak
sokongan kepada pembangunan industri francais di Malaysia. Bantuan-bantuan
pembiayaan diwujudkan bagi menyokong industri itu. Sekarang ini, program-
program berkaitan francais dikawalselia oleh KPDNKK serta bantuan dari agensi-
agensi lain seperti Perbadanan Nasional Berhad (PNS), SME Corp, MFA,
MATRADE, dan banyak lagi bagi memastikan industri francais berkembang. Pada
tahun 2010, KPDNKK memperkenalkan Pelan Induk Pembangunan Francais
Nasional 2010-2016 yang menyatakan hala tuju strategic industri francais di
Malaysia. Statistik dari KPDNKK menunjukkan dari tahun 2006 sehingga 2015,
terdapat 1482 peminjam Skim Pembiayaan Francais (SPF) dengan jumlah
pembiayaan keseluruhan sebanyak RM 262 juta. Tahun lepas sahaja jumlah
pembiayaan yang diberikan adalah bernilai RM 26 juta. Selain dari SPF, program
dan bantuan lain bagi memantapkan lagi industri francais ialah Dana Bantuan
Pembangunan Francais, Skim Pembiayaan Kecil Francais, Program
Pembangunan Francais, dan Program Pembangunan Produk Francais Tempatan.
Pada tahun 2015 juga, Bajet 2015 memperuntukkan sejumlah RM 20 juta untuk
Enhanced Franchise Development Program atau EFDP. Dalam tahun 2016 aktiviti
utama yang akan dijalankan dalam EFDP ialah program-program latihan seperti
Sell Your Franchise (SYF) dan Pengurusan Francais Antarabangsa (IFM),
mengadakan kajian, menyediakan bantuan-bantuan perkhidmatan kepada
syarikat francais, bantuan pembiayaan bagi pendaftaran harta intelek dan
4
sebagainya. Selain itu juga, Malaysia menganjurkan program-program
antarabangsa yang bertujuan menarik syarikat francais antarabangsa ke Malaysia
serta memasarkan produk tempatan ke negara luar seperti Franchise International
Malaysia (FIM) dan Malaysian International Retail and Franchise Fair (MIRF).

Sememangnya kerajaan memberikan pelbagai saluran dalam usaha membantu


individu mahupun syarikat yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan francais
di negara ini. Segala peluang dan ruang disediakan juga perlu diguna sebaik
mungkin dalam memastikan aspirasi untuk memajukan perniagaan francais di
Malaysia dapat dijayakan.

5.0 Cabaran dan Halangan terhadap Industri Francais


Berdepan dengan masalah dan risiko merupakan antara elemen yang tidak dapat
dielakkan dalam apa-apa perniagaan, termasuk perniagaan francais. Pelbagai
masalah dan risiko mungkin akan dihadapi oleh usahawan francais sama ada
dalam memulakan perniagaan mahupun mengembangkan perniagaan.
Kegagalan francais-francais yang ada menjadi halangan kepada perkembangan
industri francais di Malaysia ke tahap yang lebih kukuh. Menurut Harif, Hoe, dan
Noor (2011), terdapat 13 faktor yang menyebabkan kegagalan satu-satu francais.
13 faktor ini dibahagi pula kepada dua kategori iaitu faktor kewangan dan faktor
bukan kewangan.

5.1 Faktor Kewangan


Dari aspek kewangan, kegagalan sesebuah francais boleh disandarkan
kepada empat faktor iaitu kekurangan modal, perbelanjaan overhed yang
tinggi, pengurusan aliran tunai yang lemah, dan masalah bad payer oleh
francaisi.

5.1.1 Kekurangan modal


Perbelanjaan dalam membuka sesebuah francais bukanlah murah
kerana melibatkan pelbagai bayaran terutama dalam mendapatkan hak
francais. Misalnya, kos pembukaan sebuah francais McDonalds sahaja
dianggarkan mencecah RM 3 juta. Sesebuah francais akan
menghadapi masalah sekiranya kekurangan modal kerana modal ini
5
bukan sahaja digunakan untuk membuka francais, tetapi juga
digunakan untuk membayar hutang, mendapatkan stok dan peralatan,
serta untuk kegunaan pada waktu-waktu kecemasan (Harif, Hoe, dan
Noor, 2011). Kekurangan modal akan meningkatkan risiko kegagalan
dan ketidakupayaan untuk berkembang (Barone-Adesi, Farkas, dan
Koch-Medina, 2014). Cross (seperti dipetik dari Buchan, 2013) turut
menyatakan bahawa kekurangan modal sebagai salah satu faktor
kegagalan bagi bisnes francais terutama bagi francais perniagaan kecil
dan sederhana (SME).

5.1.2 Perbelanjaan overhed yang tinggi


Perbelanjaan merujuk kepada perbelanjaan selain perbelanjaan yang
digunakan untuk membuka francais seperti bayaran royalti kepada
francaisor, pengiklanan, bil utiliti seperti air, elektrik, telefon dan
internet, dan sebagainya (Harif, Hoe, dan Noor, 2011). Bil utiliti bagi
bangunan komersial kebiasaanya lebih tinggi berbanding perumahan.
Oleh itu, francaisi yang gagal membayar perbelanjaan overhed yang
tinggi mempunyai kemungkinan yang tinggi untuk gagal.

5.1.3 Pengurusan aliran tunai yang lemah


Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pembukaan sesebuah francais
bukanlah murah, malah berkos tinggi. Sekiranya pihak pengurusan
(francaisi) tidak mahir dalam tadbir urus kewangan, ini akan
menyebabkan francaisi mengalami pelbagai masalah dalam aliran tunai
mereka. Sebagai contoh, wang yang diperlukan untuk membuat
pembelian stok atau barang mentah digunakan untuk membayar bil
utiliti, atau wang pembayaran royalti sebaliknya digunakan untuk
membayar gaji pekerja.

5.1.4 Francaisi bad payer


Bad payer bermaksud seseorang yang mempunyai rekod pembayaran
hutang yang buruk yang kebiasaannya boleh dinilai melalui skor kredit
mereka, sama ada mereka memiliki rekod kredit yang baik atau tidak
(Lee et. al, 2002; Scarpel dan Millioni, 2002, seperti dipetik dari Ferreira,
6
Louzada, dan Diniz, 2015). Francaisi kategori ini mepunyai bukti
sebagai individu atau organisasi yang bermasalah dalam pembayaran
hutang dan ini bukan sahaja boleh menggagalkan francais tersebut,
malah memberi reputasi buruk terhadap imej francais utama (Spicer
dan Pegler, 1985, seperti dipetik dari Harif, Hoe, dan Noor, 2011).

5.2 Faktor Bukan Kewangan


Dari aspek bukan kewangan pula, terdapat sembilan faktor yang
menyebabkan kegagalan sesebuah francais iaitu perkembangan yang terlalu
cepat, rasa tamak, sikap francaisi, perkhidmatan yang lemah, pengurusan
yang lemah, konflik dengan francaisor, ketidaksempurnaan undang-undang,
lokasi yang tidak sesuai, dan faktor-faktor luaran.

5.2.1 Perkembangan terlalu cepat


Perkembangan dalam perniagaan adalah sesuatu yang baik, namun,
sekiranya perkembangan ini dilakukan tanpa mengira situasi pasaran,
ini mungkin akan mengakibatkan francaisi tidak mempunyai kapasiti
kewangan yang kukuh untuk menampungnya (Harif, Hoe dan Noor,
2011). Pendekatan Big Bang merujuk kepada pembukaan rangkaian
yang berbilang dalam tempoh yang pendek, walaupun mempunyai
kemungkinan untuk menarik pelanggan, tetapi risikonya juga sangatlah
tinggi. Peterson, Kozmetsky, dan Ridgeway (1983, seperti dipetik dari
Cary, 2013) menyenaraikan overextension atau lewah kembang
sebagai salah satu punca kegagalan utama sesebuah perniagaan.

5.2.2 Tamak
Kejayaan dalam sebuah francais pastinya akan membuatkan francaisi
mempunyai perancangan untuk membuka lebih banyak kedai di
tempat-tempat lain. Francaisi yang tamak hanya melihat dari segi
keuntungan berlipat ganda tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi
dan keupayaan yang ada dalam menguruskan kedai-kedai tersebut.
Seperti yang dibincangkan dalam 5.2.1, perkembangan tanpa mengira

7
keupayaan dan strategi niaga yang betul boleh menyebabkan francaisi
itu dihentikan.

5.2.3 Sikap Francaisi


Sikap francaisi yang dimaksudkan disini ialah dari segi inisiatif
keusahawanan dan tanggungjawab, kurang pengetahuan dalam
bidang komesial dan sikap acuh tidak acuh yang menjadi punca kepada
kegagalan francais (Glattz dan Schnedlitz, 2003, seperti dipetik dari
Harif, Hoe, dan Noor, 2011). Francaisi tidak seharusnya hanya
bergantung atas kepopularan jenama sebaliknya perlu mempunyai
inisiatif sendiri dalam memasarkan produk atau perkhidmatan mereka
kepada khalayak ramai. Walaupun francaisi mempunyai modal yang
mencukupi untuk menampung perniagaannya, tanpa pengetahuan
komersial, mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk gulung tikar
manakala sikap acuh tidak acuh boleh dilihat dari segi sikap francaisi
yang menyerahkan sepenuhnya urusan kepada pekerja dan
mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan francais beroperasi
dengan optimum.

5.2.4 Perkhidmatan yang lemah


Walaupun dalam sistem francais yang sama, tahap perkhidmatan yang
disediakan dalam setiap francais itu mungkin berbeza. Sebagai contoh,
rangkaian KFC di Mukah mungkin berbeza daripada KFC di Wisma
Sanyan, Sibu dari segi kepantasan pekerja bertugas, mahupun tahap
keprofesionalan perkerja dalam melayan pelanggan mereka.
Perkhidmatan yang lemah seperti layanan pekerja yang kurang mesra
dan tahap kebersihan yang tidak memuaskan boleh menjejaskan
prestasi sesebuah francais dan sekiranya tidak dikawal, jumlah
pelanggan akan semakin berkurangan dan akhirnya francais tersebut
terpaksa ditutup kerana tidak mendapat keuntungan.

5.2.5 Pengurusan yang lemah


Kelancaran sesebuah francais beroperasi bergantung kepada
pengurusnya. Sekiranya pengurus yang dilantik bagi menguruskan
8
operasi francais tidak mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi dalam
menguruskan pekerja-pekerja dibawahnya, ini akan menyebabkan
francais tersebut tidak dapat beroperasi pada tahap optimum. Ini
disebabkan kepimpinan yang lemah akan menyebabkan berlakunya
konflik dalaman menyebabkan rutin-rutin kerja terganggu yang akhirnya
akan merosakkan imej francais dan menyebabkan francaisi gagal
dalam perniagaannya.

5.2.6 Konflik dengan francaisor


Hubungan francaisor-francaisi adalah sebuah hubungan yang
kompleks yang memerlukan peranan kedua-duanya digariskan dan
diintegrasi (Kaufman dan Dant, 1998, seperti dipetik dari Ishak, 2015).
Hubungan yang kompleks ini sekali-sekala akan menyebabkan
berlakunya konflik diantara kedua-dua pihak. Perbezaan francaisor dan
francaisi dalam menguruskan francais secara umumnya merupakan
punca konflik berlaku (Ishak, 2015). Sekiranya tidak diurus dengan
rasional, konflik ini akan berlanjutan dan akhirnya lebih berpihak kepada
francaisor dengan penamatan penggunaan francais terhadap francaisi.

5.2.7 Ketidaksempurnaan undang-undang


Walaupun jaringan francais sudah bertapak lama di Malaysia, namun
begitu, kajian terhadap bidang ini masih pada tahap rendah dan ini
menyebabkan industri ini tidak mempunyai banyak sumber untuk
dirujuk. Undang-undang pertama berkenaan francais diwartakan pada
1998 iaitu Akta Francais 1998 (Mohd. Jani, 2013). Akta itu telah dipinda
selepas 14 tahun dan diterima pakai pada hari ini sebagai Akta Francais
(Pindaan) 2012. Walaubagaimanapun, pindaan yang dilakukan lebih
kepada penambahan istilah dan isu perdaftaran francais, dan kurang
penekanan kepada hak-hak francaisi sekiranya berlaku konflik yang
tidak diingini dengan francaisor. Kegagalan untuk memberikan keadilan
dan jalan untuk menyelesaikan konflik menyebabkan kegagalan
francaisi (Harif, Hoe, dan Noor, 2011).

5.2.8 Lokasi yang tidak sesuai


9
Pemilihan lokasi adalah sangat penting dalam permbukaan francais.
Sekiranya lokasi yang dipilih tidak bertepatan, ini akan mengakibatkan
hasil jualan yang tidak memuaskan dan akan mengakibatkan francais
mengalami kerugian. Sesebuah francais juga tidak sepatutnya berada
dengan francais lain dari sistem yang sama, ini akan mengakibatkan
berlakunya persaingan intra-sistem (Cross, n.d., seperti dipetik dari
Buchan, 2013). Oleh itu, pemilihan lokasi perlu dititikberatkan dalam
pembukaan satu-satu francais kerana sekiranya tersilap langkah,
hanya akan membawa kepada kegagalan francais tersebut.

5.2.9 Faktor-faktor luaran


Faktor-faktor luaran menurut Harif, Hoe, dan Noor (2011) merujuk
kepada kejatuhan mata wang, persaingan harga yang agresif dari
pesaing-pesaing dalam sektor yang sama, kelembapan ekonomi,
peraturan dan undang-undang yang dilaksanakan oleh kerajaan, serta
hubungan diplomatic negara dengan negara empunya francais utama.
Faktor-faktor luaran ini sedikit sebanyak akan menjejaskan francais.
Francaisi perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi perkara-perkara
tersebut atau bakal berdepan dengan masalah yang mampu
melumpuhkan francais tersebut.

6.0 Masa Depan Industri Francais


Pelan Induk Pembangunan Francais Negara (PIPFN) menyasarkan pada tahun
2020, akan ada 1140 francaisor yang akan bertapak di negara ini dengan
anggaran sumbangan kepada KDNK sebanyak 9.4% berbanding 2.2% pada tahun
2010. Pelan ini dirangka untuk memastikan hala tuju industri francais terus
berkembang pesat dan menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi negara.
PIPFN menetapkan visi untuk menjadi dinamik dan teguh di dalam negeri dan
menjadi pusat francais bagi pasaran Asia Tenggara dan Timur Tengah dan visi
ini menunjukkan aspirasi negara yang serius dalam memperkembangkan industri
ini. Misi PIPFN pula menyatakan untuk menyumbang ke arah agenda
pembangunan ekonomi negara dan mewujudkan masyarakat berpendapatan
tinggi yang membuktikan bahawa pengukuhan industri francais di Malaysia

10
adalah tidak lain dan tidak bukan untuk pembangunan ekonomi negara dan juga
meningkatkan pendapatan rakyat.

Fasa 1 (2012-2014) Fasa 2 (2015-2016) Fasa 3 (2017-2020)


Memantapkan peserta Mewujudkan industri Malaysia sebagai pusat
francais dan rangka kerja francais dalam negeri francais
pembangunan yang dinamik dan teguh

Rajah 1: 3 Fasa Pelan Induk Pembangunan Francais Negara

PIPFN ini yang diperkenalkan oleh KPDNKK membuktikan bahawa, masa depan
industri francais negara mempunyai hala tuju strategik yang lengkap dengan
harapan bahawa industri ini akan terus berkembang di Malaysia, seterusnya
menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara. Dengan adanya
PIPFN, semestinya hala tuju dan masa depan industri francais Malaysia berada
dalam landasan yang betul dan terjamin.

7.0 Kesimpulan
Industri francais merupakan industri yang sangat kompetitif, namun sekiranya
berada dilandasan yang tepat, industri ini mampu menjadi tulang belakang
ekonomi negara yang kukuh. Usaha-usaha kerajaan dalam membangunkan
industri ini membuktikan bahawa industri ini mempunyai potensi yang sangat tinggi
dalam mengukuhkan ekonomi negara. Bukan itu sahaja, syarikat-syarikat francais
tempatan juga mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan francais-
francais popular antarabangsa dan ini sedikit sebanyak akan meningkatkan
reputasi dan nama negara di mata dunia. Namun yang demikian, francaisor
mahupun francaisi perlu bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran dan
halangan yang akan dihadapi dalam industri ini supaya dapat bertahan lama,
lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang tidak menentu sekarang. Sekiranya
mempunyai disiplin dan hala tuju yang pasti, industri francais sememangnya
mampu membuka peluang yang lumayan kepada masyarakat.

11
Rujukan

Ishak, K. A. (2016). The Impacts of Relational Norms and Relationship Quality in to


Franchisees Loyalty. International Review of Management and Marketing,
6(4S), 6-11.

MATRADE (2016). MATRADE to build Malaysian franchises prominence around


the world. Diambil dari http://www.matrade.gov.my/en/about-
matrade/media/press-releases/press-releases-2016/4537-matrade-to-build-
malaysian-franchises-prominence-around-the-world-17-february-2016

Malaysian Franchise Association (2016). Briefing Session on Enhanced Franchise


Development Program (EFDP) and Services Export Fund (SEF). Diambil dari
http://www.mfa.org.my/newmfa/events/briefing-session-on-enhanced-
franchise-development-program-efdp-services-export-fund-sef/

Nadzari, N. N. (2016). Sektor francais tumbuh 5%. Utusan Online. Diambil dari
http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/sektor-francais-tumbuh-5-1.91854

Omar, L. S. (2016). McDonalds sasar restoran bertambah 50%. Utusan Online.


Diambil dari http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/mcdonald-8217-s-
sasar-restoran-bertambah-50-1.350050

Said, S. (2016). Perniagaan francais semakin popular di Malaysia. Bernama. Diambil


dari http://bernama.com/bernama/v8/bm/fe/newsfeatures.php?id=1237363

Azman, N. H. (2016). Cabaran besar usahawan francais. Utusan Online. Diambil dari
http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/cabaran-besar-usahawan-
francais-1.389937

Ahmad, R. (2015) Peluang perniagaan francais bumiputera. Utusan Online.


Diambil dari http://www.utusan.com.my/rencana/peluang-perniagaan-francais-
bumiputera-1.97458

12
Ferreira, P. H., Louzada, F., & Diniz, C. (2014). Credit scoring modelling with state-
dependent sample selection: A comparison study with the usual logistic
modelling. Pesquisa Operacional, 35 (1), 39-56.

Mndez, M. T., Galindo, M. A., & Sastre, M. A. (2014). Franchise, innovation and
entrepreneurship. The Service Industries Journal, 34(9-10), 843-855.

Barone-Adesi, G., Farkas, W., & Koch-Medina, P. (2013). Capital levels and risk-
taking propensity in financial institutions. Swiss Finance Institute Research
Paper, (13-33).

Buchan, J. (2013). Franchising: A honey pot in a bear trap. Adel. L. Rev., 34, 283

Cary, J. C. (2013). Franchise Entrepreneurial Leadership: The Relationship Between


Levels of Success in National Logistics Francshie System and Its Dominant
Leadership Style. Education Doctoral, 141.

Mohd. Jani, M. Y. (2013). Akta Francais 1998 (Pindaan) 2012: Melindungi hak
francaisor dan francaisi. Diambil dari

Winter, S. G., Szulanski, G., Ringov, D., & Jensen, R. J. (2012). Reproducing
knowledge: Inaccurate replication and failure in franchise organizations.
Organization Science, 23(3), 672-685.

Lawrence, B., & Kaufmann, P. J. (2011). Identity in franchise systems: The role of
franchisee associations. Journal of Retailing, 87(3), 285-305.

Harif, M. A. A. H. M., & Hoe, C. H. (2011). The Financial and Non-Financial


Elements in the Franchise Disclosure Document for a New Franchise System.
World, 1(3), 16-28.

13
Harif, M. A. A. M., Hoe, C. H., Hussin, Z., Isa, F. M., Othman, S. N., & Din, M. S.
(2011). The Determinant Factors of Successful Franchise Business in
Malaysia. International Review of Business Research Papers, 7(1), 1-15.

Harif, M. A. A. M., Hoe, C. H., & Noor, N. H. M. (2011). Franchisee failures in


Malaysia: Contribution of financial and non-financial factors. World, 1(2), 52-
65.

Grewal, D., Iyer, G. R., Javalgi, R. R. G., & Radulovich, L. (2011). Franchise
partnership and international expansion: a conceptual framework and
research propositions. Entrepreneurship Theory and Practice, 35(3), 533-557.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi, dan Kepenggunaan (2010).


Pelan Induk Pembangunan Francais Negara.

Dewan Bahasa dan Pustaka (n.d.) Pusat Rujukan Persuratan Melayu. Diambil dari
http://prpm.dbp.gov.my

Malaysian Franchise Association (n.d.) What is EFDP? Diambil dari


http://www.mfa.org.my/newmfa/efdp/

Subashini Rajandra (n.d.) Jenama paling laris! Kosmo. Diambil dari


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0525&pub=Kosmo
&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Usahawan (n.d.). Program Perniagaan Francais McDonalds. Diambil dari


http://www.usahawan.com/perniagaan-francais/program-perniagaan-francais-
mcdonalds.html

14

You might also like