Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

Apa Itu Penghinaan Mahkamah

Prinsip penghinaan Mahkamah di Mahkamah Syariah ini pada


asasnya diambil dari amalan di Mahkamah-mahkamah awam.
Oleh kerana prinsip ini tidak bertentangan dengan hukum syarak,
malah menegakkan prinsip ini akan menambahkan lagi kemuliaan
dan kehormatan kepada Mahkamah Syariah, maka prinsip ini
diguna pakai dan menjadi teras kepada Mahkamah Syariah untuk
mempertahankan kewibawaan dan integritinya.

Perkataan penghinaan mahkamah ini diambil dari perkataan


Inggeris iaitu contempt of court. Perkataan contempt bermaksud
penghinaan atau sikap memandang rendah kepada kepada
sesuatu perkara. Menurut A.S Hornby dalam Oxford Dictionary Of
Current English, contempt atau penghinaan ialah satu unsur
memandang rendah kepada sesuatu pekara atau tidak
mengendahkan (mempedulikan): iaitu dalam semua bentuk
peraturan atau undang-undang. Apabila disebut contempt of court
atau penghinaan Mahkamah, ia memberi maksud tidak mematuhi
terhadap perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah atau tidak
menghormati sistem kehakiman .

K.J. Aiyars memberikan pengertian yang sama mengenai maksud


penghinaan mahkamah ini di mana beliau mendefinisikan sebagai
suatu sikap yang tidak mematuhi perintah mahkamah atau tidak
menghormati hakim . Dalam Encyclopedia Of The Law Of
England, prinsip penghinaan ini diterima di dalam perundangan di
mana ia merupakan satu unsur dalam kesalahan sama ada secara
langsung ataupun secara tidak langsung, yang bertentangan
dengan perintah hakim atau mereka yang mengetuai undang-
undang ataupun mencabar kedudukan hakim yang menjalankan
tugas pentadbiran keadilan. Maksud penghinaan dalam makna
asalnya ialah mana-mana kesalahan menghina atau merendahkan
authority kedudukan raja atau individu yang dilantik sebagai wakil
raja yang berfungsi menjalankan pentadbiran keadilan .

Jika dilihat kepada pengertian ini, Mahkamah Syariah di Malaysia


adalah satu-satunya badan terunggul yang melaksanakan undang-
undang Islam setakat yang diberikan oleh Perlembagaan.
Kuasanya adalah yang tertinggi jika dibandingkan dengan badan-
badan yang berbentuk keagamaan yang lain. Perintah yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah adalah perintah yang selaras
dengan aturan syariat secara langsung dari Allah s.w.t. Melanggari
perintah tersebut adalah sesuatu jenayah yang serius kerana
mengingkari perintah Allah yang disalurkan melalui Mahkamah
Syariah.

JENIS-JENIS PENGHINAAN MAHKAMAH

Penghinaan mahkamah boleh jadi berlaku melalui kesalahan


jenayah atau sivil. Kesalahan yang berlaku itu mungkin akibat
daripada perkataan, kelakuan atau apa-apa bentuk penulisan yang
menghalang atau boleh menghalang kelicinan pentadbiran
keadilan .

Penghinaan mahkamah dalam bentuk jenayah adalah seperti


merendahkan nama baik hakim, menuduh hakim berat sebelah
dan sebagainya. Satu-satu kelakuan itu dikatakan penghinaan
jenayah bila mengandungi unsur-unsur kesalahan seperti
campurtangan dalam pentadbiran keadilan atau cuba
merendahkan authority mahkamah dan mengganggu prosiding
mahkamah .

Manakala penghinaan sivil atau mal pula termasuklah tidak


mematuhi mahkamah dengan sengaja seperti membantah
perintah mahkamah supaya memulangkan anak, tidak
mengemukakan dokumen seperti yang diarahkan oleh mahkamah,
gagal mematuhi penghakiman atau proses mahkamah yang lain
termasuklah tidak mematuhi sepina, injunksi atau apa-apa
perintah atau arahan yang dikeluarkan oleh mahkamah.
Di Mahkamah Syariah, kekerapan kesalahan penghinaan
mahkamah adalah berlaku dalam bentuk ini.

BENTUK-BENTUK PENGHINAAN MAHKAMAH

Umumnya, penghinaan mahkamah di Mahkamah Syariah dapat


dibahagikan kepada dua bentuk utama iaitu penghinaan secara
lamgsung dan penghinaan secara tidak langsung. Dalam
perkataan lain ia juga disebut penghinaan di dalam mahkamah
dan juga penghinaan di luar mahkamah. Penghinaan secara
langsung atau di dalam mahkamah ialah perlakuan menghina
hakim secara terus. Manakala penghinaan secara tidak langsung
atau penghinaan di luar mahkamah ialah menghina hakim atau
mahkamah semasa pelakunya tidak berada di dalam mahkamah
atau tidak dilihat oleh hakim.
Penghinaan secara langsung ini disebut juga sebagai penghinaan
in facie iaitu penghinaan yang dilakukan secara langsung atau
secara terus terhadap mahkamah atau di hadapan mahkamah (in
the face of the court). Manakala penghinaan secara tidak langsung
pula disebut sebagai penghinaan ex facie iaitu penghinaan yang
dilakukan secara tidak langsung atau kadang-kadang ia juga
dikenali sebagai penghinaan konstruktif , iaitu penghinaan yang
tidak berlaku di dalam mahkamah tapi bertujuan untuk
melemahkan pelaksanaan pentadbiran keadilan .

Perbezaan bentuk kesalahan penghinaan mahkamah sama ada di


dalam mahkamah atau kesalahan menghina di luar mahkamah
hendaklah diberi perhatian oleh hakim bicara. Mungkin sekali
imbas kedua-dua bentuk kesalahan ini nampaknya hampir sama,
tetapi kesan dan prosidingnya adalah berbeza walau pun
hukuman yang diberikan adalah sama. Kegagalan membezakan
bentuk kesalahan penghinaan mahkamah ini menyebabkan
ketidak adilan berlaku kepada seseorang. Di dalam kes Ahmad bin
Shapiai lwn Hani binti itam Ali Husin , YA Dato Hj Mohd Asri bin
Abdullah, KHS mengulas:

Saya juga berpendapat bahawa pertuduhan menghina


mahkamah di bawah Enakmen Acara Mal 1996 sek. 219
hendaklah diasingkan di antara penghinaan di dalam mahkamah
dan luar mahkamah kerana mengikut sek. 219 (5) menjelaskan
jika seseorang melakukan penghinaan dalam mahkamah, orang
itu tidak perlu disampaikan notis tunjuk sebab selainnya notis
tunjuk sebab hendaklah disampaikan kepada orang yang
dikatakan melakukan penghinaan tersebut. Dalam kes ini
nampaknya tuduhan penghinaan dalam mahkamah di hadapan
Hakim dan di luar mahkamah telah dicampuradukkan.

TATACARA PENGHINAAN MAHKAMAH OLEH PIHAK YANG


BERKEPENTINGAN
Jika permohonan penghinaan mahkamah itu difailkan oleh pihak-
pihak yang berkepentingan, pemohon hendaklah memfailkan satu
notis tunjuk sebab bagi kesalahan penghinaan yang dikatakan
dilakukan itu dan dialamatkan kepada orang tersebut. Notis tunjuk
sebab tersebut hendaklah difailkan ke Mahkamah dan Mahkamah
hendaklah mendaftar dan membicarakan permohonan tersebut
mengikut undang-undang yang diperuntukkan.
Notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau
prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan
ke diri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu. Orang itu
hendaklah diberi peluang untuk membela diri termasuklah
mendapatkan khidmat guaman dan memanggil saksi-saksi bagi
pihaknya. Prosiding itu mesti dicatat oleh hakim dan boleh
didengar oleh hakim yang sama (yang mengeluarkan perintah
yang diingkari itu). Seksyen 229 (3) Enakmen Tatacara Mal
Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 memperuntukkan:
(3) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis
supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding
tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan ke diri
orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.
Jika orang itu gagal menunjukkan sebab, atau gagal memuaskan
Mahkamah, maka dia boleh dikomit ke penjara selama tidak lebih
dari 6 bulan atau denda tidak melebihi RM2,000. Peruntukan
mengenai hukuman ini ada dinyatakan di bawah seksyen 229 (1)
Enakmen yang sama yang memperuntukkan:
(1) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan
prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina
mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat
suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam
bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu
ringgit.
Bagaimanapun, sebelum tindakan mengkomitkan seseorang yang
melakukan kesalahan penghinaan mahkamah itu diputuskan oleh
Mahkamah, Mahkamah hendaklah berpuashati bahawa orang
yang menghina mahkamah itu harus dikomitkan ke penjara.
Perintah pengkomitan ke penjara hendaklah ditetapkan bahawa
pesalah itu hendaklah dipenjarakan sehingga pesalah itu
membersihkan diri dari kesalahan penghinaan mahkamah itu
dengan meminta maaf tanpa syarat kepada Mahkamah dan orang
lain yang ada kepentingan dan juga mematuhi perintah Mahkamah
yang diingkari atau memberhentikan perbuatan lain yang
menghina Mahkamah dan sekiranya pesalah gagal berbuat
demikian, pesalah akan dipenjara sehingga tempoh yang
ditetapkan oleh Mahkamah yang tidak melebihi had maksima
penjara bagi kesalahan menghina mahkamah .
Tiada apa-apa permohonan atau tuntutan dari orang yang dituduh
menghina mahkamah itu boleh didengar oleh Mahkamah selagi
perintah penghakiman terdahulu belum dipatuhi dengan
sepenuhnya .
Setakat ini tidak ada satu tatacara khusus untuk mengendalikan
prosedur penghinaan mahkamah melalui notis tunjuk sebab yang
difailkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan. Di dalam kes
Roslaili bt Abdul Ghani lwn Ahmad Azman bin Yaacob ,
Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam Selangor telah memberikan
panduan mengenai tatacara penghinaan mahkamah. Menurut YA
HMTS Shah Alam sewaktu membacakan penghakiman kes
tersebut;
Mahkamah ini berpendapat prosedur-prosedur yang sedia ada
diamalkan di mana-mana Mahkamah boleh dijadikan panduan
Antara panduan yang diberikan dari kes tersebut ialah;
1. Pihak Pemohon perlu membuat permohonan pada mahkamah
untuk Mahkamah mengeluarkan Notis Tunjuk sebab. Notis
permohonan tersebut yang ditandatangani Plaintif atau
peguamnya hendaklah disokong ole affidavit. Permohonan
tersebut boleh dibuat secara ex parte. Tujuan ex parte adalah
untuk menegah defendan melupuskan apa-apa subject matter
atau membuat apa-apa helah dengan permohonan tersebut;
2. Mahkamah perlu meneliti Notis tersebut dan juga affidavit yang
digunakan. Sekiranya Mahkamah berpuashati yang Notis Tunjuk
Sebab tersebut adalah munasabah dan pelanggarannya adalah
menghina mahkamah, Mahkamah boleh perintahkan satu Notis
Tunjuk Sebab disempurnakan ke atas pihak Defendan;
3. Oleh kerana tidak ada satu borang Notis Tunjuk Sebab
dimuatkan dalam Enakmen Prosedur Mal Mahkamah Syariah,
pihak Perndaftar boleh membuat satu pekeliling berkenaan
dengan perkara tersebut;
4. Notis tunjuk sebab diserahkan secara kediri kepada Defendan
bersama dengan Afidavit yang digunakan dalam permohonan
untuk dikeluarkan Notis tersebut;
5. Sekiranya defendan tidak hadir pada tarikh yang ditetapkan,
waran tangkap boleh dikeluarkan;
6. Pada tarikh yang ditetapkan, defendan akan diperiksa oleh
Mahkamah secara lisan atau dibenarkan dengan Afidavit terhadap
dokumen menghina Mahkamah tersebut;
7. Sekiranya tunjuk sebab diterima dan diputuskan oleh
Mahkamah sebagai tidak menghina Mahkamah, Defendan
dilepaskan;
8. Sekiranya Mahkamah tidak menerima tunjuk sebab berkenaan,
Mahkamah perlu membuat hukuman di bawah seksyen 229 dan
Perintah Pengkomitan dikeluarkansekiranya hukuman penjara
dikenakan;
9. Sekiranya pengkomitan berkenaan penghutang penghakiman
dan Defendan telah dipenjarakan, Penghutang boleh dilepaskan
jika penunaian hutang telah dibuat.
Dalam kes ini, pemohon, iaitu Roslaili telah mendakwa Responden
telah gagal mematuhi perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah
Rendah Syariah Hulu Selangor terutamanya mengenai hak
lawatan anak. Pemohon telah mengemukakan satu notis tunjuk
sebab beserta affidavit dan setelah meneliti affidavit Responden
serta memeriksa Responden, Mahkamah mendapati Responden
tidak terjumlah sebagai melanggar perintah mahkamah dan
permohonan mengkomitkan Responden kerana menghina
mahkamah adalah ditolak atas alasan perintah asal tidak
menetapkan secara jelas mengenai hal lawatan anak dan tidak
ada pula perintah lain dikeluarkan oleh mana-mana mahkamah
mengenai alamat atau tempat mengambil anak tersebut.
Dalam memutuskan sesuatu pelanggaran perintah itu terjumlah di
dalam kesalahan penghinaan mahkamah atau tidak, pendekatan
yang diambil hendaklah secara berhati-hati dan berhemah.
Kesalahan penghinaan mahkamah adalah tidak sama sepertimana
kes jenayah yang lain walaupun pendekatannya adalah hampir
sama. Bagi penghinaan mahkamah akibat pelanggaran perintah,
isu yang perlu ditimbulkan adakah pelanggaran kepada perintah
tersebut berlaku?, jika berlaku adakah pelanggaran tersebut suatu
tindakan yang menghina kredebiliti mahkamah?. Jika tidak
terdapat unsur-unsur tersebut, sesuatu pelanggaran terhadap
perintah mahkamah tidaklah terjumlah sebagai suatu penghinaan
mahkamah. Di dalam kes Hasnan bin Yusuf lwn Yasmin bt Mohd
Yacob, (2008) JH 25/I, 89, YA HMTS Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur menegaskan;
(1) Sama ada Responden melakukan pelanggaran terhadap
perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 18hb Mei 2004;
(2) Sekiranya perintah dilanggari, sama ada Mahkamah merasa
terhina dengan pelanggaran tersebut dan sama ada Responden
telah berjaya atau berupaya memberi sebab atau alasan yang
wajar dan boleh diterima oleh Mahkamah supaya Responden tidak
dikenakan perintah pengkomitan atas kegagalan Responden
mematuhi perintah.
Di dalam kes ini, Pemohon telah mengemukakan suatu Notis
Tunjuk Sebab supaya Responden dikomitkan kerana melanggar
perintah mahkamah yang dikeluarkan sebelumnya mengenai hak
lawatan dan bermesra dengan anak. Dalam affidavit Pemohon,
beliau menjelaskan Responden telah menghalang Pemohon dari
berjumpa dan bermesra dengan anaknya. Setiap kali Pemohon
melawat anaknya, Pemohon hanya dibenarkan bermesra dengan
anak melalui celah gril (besi jeriji) pintu rumah dan tidak
dibenarkan bermesra secara sempurna dengan anaknya.
Responden sewaktu memberikan tunjuk sebab beliau telah
bertindak menghalang pemohon dengan mengunci gril dan
membiarkan Pemohon bermesra dengan anaknya dengan dibatasi
oleh gril rumah kerana Pemohon pernah melarikan anak tersebut
selama enam bulan sewaktu anak tersebut di dalam jagaan
Responden. Tindakan Pemohon tersebut memaksa Responden
memfailkan suatu perintah sementara dan waran tangkap pernah
dikeluarkan kepada Pemohon supaya hadir dalam prosiding
tersebut dan seterusnya menyerahkan anak. Responden juga
beberapa kali membuat laporan polis akibat berlakunya kacau
ganggu yang disyakki didalangi oleh Pemohon. Atas alasan-
alasan tersebutlah Responden menghalang Pemohon dari
bermesra dan bersama anak dengan membatasinya diluar rumah
dan gril yang terkunci kerana bimbangkan keselamatan anak
tersebut dari dilarikan kali kedua oleh Pemohon. Mahkamah
akhirnya memutuskan pelanggaran perintah mengenai hak
lawatan dan bermesra dengan anak yang dilakukan oleh
Responden adalah munasabah dan perlakuan tersebut tidak
terjumlah sebagai penghinaan Mahkamah. Bagi menyelesaikan
kekusutan mengenai hak lawatan tersebut, Mahkamah telah
mengeluarkan suatu perintah baru dengan mengubah hak lawatan
yang lebih adil kepada kedua-dua pihak.
Perintah Hendaklah Diserahkan Sebelum Tindakan Penghinaan
Dibuat
Perlu diingatkan disini, sesuatu Notis tunjuk sebab untuk
mengkomitkan seseorang yang dikatakan menghina mahkamah
kerana tidak mematuhi sesuatu perintah hendaklah disampaikan
kepada responden terlebih dahulu sebelum tindakan penghinaan
dibuat. Ini bermakna, sesuatu perintah asal sebelum dikatakan
tidak dipatuhi oleh responden hendaklah diserahkan dan berada
dalam pengetahuan responden. Kegagalan menyerahkan perintah
tersebut menjadi satu pembelaan kepada responden dan boleh
mengelakkan responden dari dikenakan perintah komitan kerana
menghina mahkamah. Dalam kes Azman Abdul Talib lwn Suhaila
Ibrahim, Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang Darul Makmur
memutuskan permohonan pemohon untuk mengkomitkan
responden kerana menghina Mahkamah akibat dari kegagalan
Responden untuk mematuhi perintah sementara hadhanah yang
dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah sebelumnya adalah
ditolak, kerana Mahkamah mendapati pemohon telah gagal
menyerahkan perintah hadhanah sementara tersebut kepada
responden, melainkan hanya mengepilkannya didalam affidavit
bersama permohonan yang dibuat. Dengan tidak menyerahkan
perintah kepada responden, Pemohon telah gagal mematuhi
secara ketat kaedah yang ditetapkan. Selain itu, penggunaan draf
perintah, dan tidak perintah bersih (termeterai) membawa padah
kepada permohonan pemohon.
Penghinaan Oleh Pertubuhan Perbadanan
Kesalahan penghinaan mahkamah ini bukan saja boleh dilakukan
oleh seseorang atau individu, bahkan ianya boleh juga dilakukan
oleh pertubuhan perbadanan, agensi atau syarikat dan
sebagainya. Jika penghinaan mahkamah itu dilakukan oleh
sesuatu pertubuhan perbadanan, mana-mana orang yang pada
masa penghinaan itu dilakukan ialah pengarah, pengurus atau
setiausaha pertubuhan perbadanan itu atau selainnya yang
bertanggungjawab atas pengurusan pertubuhan perbadanan itu
adalah juga bersalah melakukan penghinaan itu melainkan jika dia
membuktikan bahawa
(a) penghinaan itu telah dilakukan oleh pertubuhan perbadanan itu
tanpa persetujuan atau pembiarannya; atau
(b) dia telah mengambil segala usaha yang wajar bagi
mengelakkan berlakunya penghinaan itu sebagaimana yang patut
diambil olehnya dengan mengambil kira sifat jawatannya atau jenis
tugasnya dalam pertubuhan perbadanan itu dan segala hal
keadaan.
Mana-mana orang yang melakukan apa-apa perbuatan atau
mengambil apa-apa prosiding atas nama atau bagi pihak orang
lain dengan mengetahui bahawa dia tidak dibenarkan dengan
sahnya oleh orang itu, juga adalah dikira sebagai melakukan satu
kesalahan menghina mahkamah.
Objektif Akta Hina Mahkamah
Oleh: SALLEH BUANG
PADA prinsipnya tidak sukar bagi kita memahami apa dia yang dikatakan menghina
mahkamah (contempt of court). Beberapa misalan mudah boleh kita gunakan.
Anda diperintahkan oleh mahkamah untuk menyerahkan sesuatu benda kepada pihak
tertentu. Anda secara sengaja enggan mematuhi perintah mahkamah itu. Perbuatan
anda itu dikira menghina mahkamah.
Anda dilarang melakukan sesuatu (biasanya di bawah satu injunksi yang dikeluarkan
oleh mahkamah). Anda sengaja melakukan apa yang dilarang itu. Perbuatan anda itu
juga dikira menghina mahkamah.
Anda hadir di mahkamah sebagai saksi, atau sebagai pihak yang bertikai atau hanya
sebagai pemerhati (orang awam). Anda lakukan perkara yang tidak senonoh, misalnya
membuat bising atau berkelakuan biadab di mahkamah. Anda telah ditegur oleh
hakim supaya jangan terus melakukannya. Anda tidak pedulikan teguran dan amaran
hakim itu, sebaliknya anda terus lakukan apa yang anda telah buat sebelum ditegur
itu. Perbuatan anda itu juga dikira menghina mahkamah.
Suatu kes mal telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen atau ulasan
mengenai merit kes itu - misalnya dalam sebuah rencana di akhbar atau dalam satu
ceramah kepada orang ramai. Anda katakan, misalnya, bahawa suatu pihak tertentu
(katakanlah plaintif atau defendan dalam kes itu) pasti menang lalu anda nyatakan
sebab-sebabnya mengapa anda berpendirian sedemikian. Itu juga dikira menghina
mahkamah.
Satu kes jenayah telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen bahawa
andainya tertuduh lepas dari tuduhan (tidak disabitkan kesalahannya oleh hakim
bicara), nescaya negara akan huru hara atau orang awam akan hilang kepercayaan
kepada undang-undang atau institusi kehakiman. Itu juga dikira menghina mahkamah.
Satu kes jenayah telah berjalan di mahkamah. Anda membuat komen bahawa tertuduh
pasti disabitkan kesalahannya kerana tertuduh ada rekod buruk, lalu anda sebutkan
apa dia rekod buruk tertuduh. Itu juga dikira menghina mahkamah.
Suatu kes telah selesai diputuskan di mahkamah, dan tidak dirayu oleh mana-mana
pihak. Dalam keadaan ini anda boleh membuat ulasan atau komen tentang keputusan
mahkamah itu, tetapi secara betul, berpada dan dengan hujah yang berasas. Sekalipun
anda nyatakan bahawa pada hemat anda hakim bicara tersilap kerana sebab-sebab
tertentu, itu belum lagi (tidak) dikira menghina mahkamah. Tetapi sekiranya anda
pergi jauh dari itu, misalnya anda katakan bahawa si polan menang dalam kes itu
kerana hakim menyebelahi pihaknya atau hakim telah dibeli atau dipengaruhi oleh si
polan itu, kata-kata anda itu dikira menghina mahkamah.
Dari misalan-misalan mudah di atas, bolehlah kita simpulkan bahawa pada asasnya
menghina mahkamah adalah suatu kelakuan yang dikira boleh -
(a) menjejaskan, melengahkan, meremehkan atau menghalang perjalanan atau
pentadbiran kehakiman (impede, embarrass, or obstruct the court in its
administration of justice) atau
(b) menjejaskan, mengurangkan atau melemahkan kewibawaan dan kehormatan
mahkamah (derogate from the courts authority or dignity), atau
(c) menyebabkan pentadbiran keadilan dipandang hina oleh masyarakat (bring the
administration of the law into disrepute).
Untuk membuktikan kesalahan menghina mahkamah ini, berasaskan kes-kes yang
telah diputuskan di negara ini dan di negara-negara Komanwel lain, bolehlah
disimpulkan bahawa tidak perlu dibuktikan wujud satu gangguan sebenar terhadap
pentadbiran keadilan disebabkan kenyataan yang dibuat oleh seseorang itu.
Orang yang mengeluarkan kenyataan itu boleh disabitkan kesalahannya menghina
mahkamah jika kenyataannya itu ada kecenderungan untuk mengganggu perjalanan
kehakiman atau pentadbiran keadilan negara (lihat keputusan terbaru Mahkamah
Rayuan dalam kes Murray Hiebert lwn. Chandra Sri Ram [1999] 4 AMR 4005).
Dengan bahasa mudah, bolehlah dikatakan bahawa niat sebenar orang yang bercakap
atau mengeluarkan sesuatu kenyataan itu tidak relevan sama sekali. Soal yang penting
ialah pada zahirnya apakah kenyataan orang itu mempunyai kecenderungan
(tendency) mengganggu perjalanan sesuatu kes atau menjejaskan atau menggugat
kewibawaan atau kehormatan mahkamah?
Kuasa luar biasa
Di bawah undang-undang semua negara, mahkamah punya kuasa semula jadi
(inherent power) untuk mengenakan hukuman ke atas sesiapa sahaja yang menghina
mahkamah. Di negara kita, kuasa semulajadi ini ditegaskan dalam Perlembagaan
Persekutuan dan seksyen 13 Akta Mahkamah Kehakiman 1964. Bagi mahkamah-
mahkamah syariah, rujukan boleh dibuat kepada enakmen berkenaan. Dalam kes cerai
taklik Sheila Majid terhadap suaminya, nyaris-nyaris Mahkamah Syariah Wilayah
Persekutuan mengenakan tindakan terhadap defendan (suami Sheila) yang dikatakan
menghina Mahkamah Tinggi Syariah.
Dalam kes People vs. Segovia Books Inc. (1988), Mahkamah Rayuan Illinois,
Amerika Syarikat, memutuskan mahkamah boleh mengambil tindakan dan
menjatuhkan hukuman kerana menghina mahkamah walaupun perbuatan itu
merupakan satu kesalahan jenayah di bawah statut tertentu. Ini bermakna walaupun
suatu perbuatan itu merupakan satu jenayah di bawah statut tertentu, ini tidak
menghalang mahkamah menjalankan kuasanya di bawah undang-undang contempt ini
terhadap orang yang menghina mahkamah itu.
Apa yang perlu ditekankan di sini ialah disebabkan kuasa mahkamah ini merupakan
satu kuasa penghukuman yang luar biasa (extraordinary sanction) ia perlu
dilaksanakan oleh hakim dengan penuh pertimbangan dan amat berhati-hati. Ia tidak
boleh dijalankan secara tergesa-gesa. Jauh sekali, ia tidak boleh dijalankan apabila
mahkamah tidak berupaya mengawal kemarahannya - lihat kes People vs. Wolf
(1987).
Saya kira prinsip yang ditekankan dalam kes Wolf itulah yang telah mendorong
Majlis Peguam Malaysia mencadangkan supaya satu akta khas mengenai perkara ini
digubal. Saya kira disebabkan keprihatinan majlis itu terhadap nasib yang telah
menimpa Zainur Zakaria dalam kes jenayah rasuah Anwar dulu itulah maka ia
mencadangkan akta ini.
Matlamat Majlis Peguam
Sehari dua lalu saya telah melawat laman web majlis Peguam untuk mencari
kepastian sendiri kalau sekiranya badan itu ada memaparkan teks draf akta yang telah
digubal olehnya dalam laman webnya itu. Seperti yang kita sedia maklum, draf akta
itu telah diluluskan dalam satu mesyuarat agung tahunan badan itu pada Mac lalu dan
kemudiannya telah diserahkan (beserta satu memorandum) kepada Perdana Menteri
dan Peguam Negara pada Ogos berikutnya. Saya jangkakan, selain teks deraf akta itu,
pasti ada maklumat tambahan mengenai perkara yang sama. Malangnya, lawatan saya
ke laman web badan itu tidak berhasil. Mungkin Majlis Peguam boleh mengambil
tindakan sewajarnya di masa depan, supaya semua rakyat negara ini dapat memahami
apa sebenarnya yang diniatkan oleh badan itu.
Mujurlah Selasa lalu, sebuah akhbar tempatan ada menyatakan serba sedikit tentang
apa yang tersimpan dalam hati badan itu ketika ia mengemukakan cadangannya
mengenai perkara ini kepada pihak berkuasa (lihat New Straits Times, 12 Oktober
1999 di bawah tajuk Councils proposal on contempt legislation 'not for political
reasons.'
Setakat yang saya faham berasaskan laporan akhbar itu, hasrat utama Majlis Peguam
mencadangkan akta itu ialah untuk membendung (setidak-tidaknya mengawal) apa
yang disifatkan oleh badan itu sebagai unbridled power (kuasa yang tak terkawal)
yang dipegang dan digunakan oleh para hakim. Mengikut R.R. Chelvarajah, presiden
badan itu, objektif utama penggubalan akta itu ialah melindungi kedudukan peguam
dan litigan yang tampil di mahkamah dan wartawan yang membuat liputan berita
mengenai prosiding mahkamah.
Chelvarajah selanjutnya menegaskan bahawa hasrat Majlis Peguam tidak sekali-kali
serupa atau sama dengan hasrat ahli politik (It's not for the reasons given by the
politicians). Presiden Majlis Peguam itu menambah bahawa akta itu perlu digubal
supaya ada ketentuan dan kepastian untuk semua pihak tentang apa dia yang
dikatakan menghina mahkamah, apa dia prosedur yang perlu dipatuhi, apa dia
hukuman yang boleh dikenakan dan apa dia keterangan yang perlu dikemukakan
untuk membuktikan kesalahan itu.
Matlamat pemimpin politik
Mengikut akhbar itu lagi, pemimpin politik Barisan Nasional kebelakangan ini
mendesak kerajaan supaya menggubal dan meluluskan akta itu bagi maksud
menghalang peguam yang juga ahli politik menggunakan mahkamah untuk
meneruskan perjuangan politik mereka.
Sebagaimana kita semua maklum, seruan dan desakan ahli-ahli politik ini timbul
setelah mereka melihat lampu hijau yang diberi oleh Perdana Menteri, apabila beliau
menyatakan kerajaan bersedia meneliti cadangan Majlis Peguam dan akan membuat
keputusan selanjutnya apakah Akta Menghina Mahkamah itu wajar digubal dan
diluluskan. Mengulas matlamat ahli politik itu, Chelvarajah menyatakan andainya
seorang peguam (ketika berhujah di hadapan hakim bicara) menyalahgunakan
mahkamah sebagai satu medan politik, terserahlah kepada hakim menegur dan
menghalangnya.
Jika apa yang dikatakan oleh peguam itu tidak relevan pada prosiding mahkamah,
hakim bicara punyai kuasa yang luas untuk menghalang perbuatan sedemikian.
Rakyat negara ini sudah melihat sendiri bagaimana hakim Augustine Paul
menggunakan kuasanya menghalang pasukan peguam Anwar membangkitkan
perkara-perkara yang Paul fikirkan tidak relevan kepada prosiding mahkamah, semasa
prosiding jenayah rasuah terhadap Anwar masih berjalan dulu.
Chelvarajah berpendapat bahawa skop atau bidang Akta Menghina Mahkamah yang
dicadangkan oleh Majlis Peguam itu tidak boleh diluaskan untuk meliputi matlamat
yang dikehendaki oleh pemimpin politik (We can't stretch contempt of court to cover
things like that).
Pandangan Majlis Peguam negeri
Mengikut Pretam Singh, pengerusi Majlis Peguam Negeri bagi Negeri Sembilan,
andainya seorang peguam itu membuat kenyataan politik yang ada kaitan dengan kes
yang dikendalikan olehnya di mahkamah, adalah tidak wajar dan bertentangan dengan
undang-undang jika tindakan diambil terhadap peguam tersebut atas alasan dia
menghina mahkamah. Sebaliknya, jika seorang peguam itu membuat kenyataan
politik yang tidak ada kena mengena dengan kes yang dikendalikannya di mahkamah,
Pretam berpendapat bahawa peguam berkenaan harus dikenakan tindakan menghina
mahkamah (lihat Utusan Malaysia, 12 Oktober 1999, di bawah tajuk berita Akta
khusus hina mahkamah sesuai).
Presiden Persatuan Peguam Muslim, Zaitoon Datuk Othman, pula menyarankan
supaya satu kajian terperinci dijalankan terlebih dahulu sebelum akta ini digubal dan
dilaksanakan. Walaupun cadangan itu pada prinsipnya adalah baik, tambah Zaitoon
lagi, kita tidak mahu prinsip keadilan terjejas kerana pihak yang berkenaan terlalu
takut jika didakwa menghina mahkamah.
Saya fahamkan kata-kata Zaitoon itu sebagai bermakna bahawa ahli profesion
guaman tidak akan boleh berfungsi dengan baik dan menjalankan tugas mereka
kepada anak guam mereka dengan betul jika mereka sentiasa merasa tertekan kerana
diselubungi oleh rasa ketakutan (under a climate of fear).
Amalan di UK
Jika kita teliti kandungan Akta Menghina Mahkamah 1981 UK, kita akan dapati
bahawa antara matlamat utama akta itu digubal dan dilaksanakan di negara itu ialah
untuk mengawal dan memberi satu garis panduan kepada para wartawan mengenai
apa yang biasa disebutkan di kalangan pengamal undang-undang sebagai contempt
publications.
Kita lihat misalnya bahawa di bawah akta itu hakim boleh menghalang akhbar dari
menyiarkan apa-apa berita mengenai sesuatu kes yang sedang berjalan di mahkamah.
Hakim juga boleh memerintahkan akhbar supaya menangguhkan penyiaran berita
apa-apa perkara yang sedang dibangkitkan di mahkamah, andainya hakim
berpendapat bahawa penyiaran perkara itu boleh memudaratkan (prejudice)
perjalanan kes berkenaan.
Akta itu juga memberi kuasa kepada hakim untuk menghalang akhbar dari
menyiarkan apa-apa berita mengenai sesuatu kes yang belum berjalan di mahkamah,
tetapi akan dijalankan pada bila-bila masa (proceedings not under way but are
imminent), supaya tidak berlaku apa-apa gangguan atau ugutan terhadap mana-mana
saksi yang akan dipanggil dalam kes itu.
Akta itu juga memberi kuasa kepada hakim untuk menghalang akhbar dari
menyiarkan apa-apa sahaja perkara tertentu berhubung sesuatu kes yang sedang
berjalan. Di bawah akta UK itu juga, andainya seorang wartawan enggan
memberitahu mahkamh sumber maklumatnya (source of information) atau
menyerahkan benda-benda seperti filem atau gambar apabila diperintahkan oleh
mahkamah, wartawan itu boleh dihukum kerana menghina mahkamah.
Rakyat negara ini sendiri telah melihat bagaimana hakim Augustine Paul
menggunakan kuasanya menghalang media tempatan menyiarkan perkara-perkara
tertentu semasa prosiding jenayah rasuah terhadap Anwar sedang berjalan dulu.
Kewujudan akta akan menjelaskan lagi secara terperinci kuasa sedemikian itu.
Kesimpulan
Memang ada baiknya perkara yang belum jelas dijelaskan. Memang ada baiknya
kesalahan menghina mahkamah, satu-satunya saki-baki jenayah berteraskan common
law, dijadikan satu kesalahan jenayah berteraskan statut moden. Memang ada
baiknya, andainya benar atau berasas persepsi unbridled powers seorang hakim
(seperti yang dikatakan oleh Chelvarajah di atas), kuasa hakim itu diperincikan
tentang had dan batasannya serta dikawal dari segi prosedurnya. Setidak-tidaknya,
penjelasan sedemikian akan memudahkan semua hakim mengetahui apa sebenarnya
had dan batasan kuasa mereka.
Memang ada baiknya dibuat pemisahan antara pelaksanaan tugas seorang peguam
untuk membela anak guamnya di mahkamah dengan aktiviti serta usahanya untuk
meningkatkan atau menguntungkan kerjaya politiknya.
Persoalannya ialah bagaimana mencari imbangan sebaik mungkin? Pada hemat saya,
kumpulkan pendapat semua pihak yang ada kepentingan. Dengar dulu semua
pandangan, baik yang pro atau yang kontra, sebelum satu rumusan dibuat atau
keputusan dicapai. Tidak ada manfaatnya meluluskan suatu akta secara tergesa-gesa,
apatah lagi jika ia didorong oleh suatu motif atau matlamat yang hanya berat sebelah -
tidak kiralah berat kepada pihak mana sekalipun.

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1019&pub=utusan_malaysia
&sec=Rencana&pg=ot_01.htm#ixzz3YgbYvpwC
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like