Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 16

FAKTOR-FAKTOR KEWUJUDAN GEJALA MURTAD DALAM KALANGAN

PARA MUALAF DI MALAYSIA

ABSTRAK

Kewujudan gejala murtad dalam kalangan mualaf di Malaysia merupakan isu penting bagi
umat Islam. Dalam era globalisasi masakini, faktor-faktor yang mendorong kepada gejala
murtad perlu dikenalpasti agar satu pendekatan yang sistematik dan berkesan perlu diambil
bagi menghalang mualaf ini daripada terus kembali kepada agama asal mereka. Objektif
artikel ini ditulis untuk mengenal pasti faktor-faktor gejala murtad dalam kalangan mualaf
dan mengukuhkan kembali akidah para mualaf berterusan keluar daripada agama Islam.
Bagi mencapai objektif tersebut, metod kajian yang digunakan dalam kajian ini bersifat
konseptual di mana ia berdasarkan kajian terhadap buku-buku, jurnal, artikel dan penulisan
sedia ada yang berkaitan dengan faktor-faktor yang mendorong kepada gejala murtad dalam
kalangan mualaf. Hasil kajian mendapati bahawa faktor-faktor yang mendorong kepada
gejala murtad dalam kalangan mualaf ialah mualaf dipandang serong oleh umat Islam
sendiri, kurang bimbingan dan panduan daripada umat Islam serta berpunca daripada
persekitaran hidup mahupun keluarga mualaf itu sendiri. Justeru, faktor-faktor yang
mendorong kepada gejala murtad dalam kalangan mualaf perlu dikenalpasti agar dapat
menyelesaikan pelbagai polemik gejala murtad yang timbul di kalangan mualaf di Malaysia.

Kata kunci : Murtad ,mualaf, Faktor,Bimbingan,Masalah


1.0 PENGENALAN

Dewasa ini, isu murtad dalam kalangan mualaf kian hangat diperkatakan oleh masyarakat
muslim di mana mana sahaja samada di dalam perbualan harian, buku-buku, jurnal, akhbar
mahupun majalah serta diulas di dalam ceramah agama mahupun di dalam wacana ilmiah
seperti forum perdana hal ehwal Islam ataupun wacana yang diadakan di IPTA yang berada
di Malaysia ini. Terdapat segelintir masyarakat muslim memandang ringan kedudukan
dosa murtad dan ada juga yang tidak memahami apa itu murtad sehingga ada yang
menganggap murtad itu sekadar keluar daripada agama Islam semata-mata. Mafhum
hadith yang menyatakan bahawa siapa yang menukarkan agamanya, maka kamu bunuhlah
dia seakan-akan diperkecilkan oleh segelintir masyarakat dari sudut kesan bahayanya ke
atas masyarakat dan dari sudut pemahaman kemurtadan yang ringan dan kemurtadan yang
berat. Ia boleh menghancurkan identiti sesebuah masyarakat muslim dan boleh mengheret
masyarakat muslim ke kancah peperangan. Masyarakat muslim haruslah menguatkan jati
diri muslim masing masing terlebih dahulu dan seterusnya mendidik jiwa para muallaf
yang baru memeluk Islam agar terpikat dengan keindahan Islam seperti akhlak, ibadat dan
muamalat sesama insan.

Objektif utama artikel ini disediakan adalah untuk mengenal pasti faktor-faktor
gejala murtad dalam kalangan mualaf dan mengukuhkan kembali akidah para mualaf
berterusan keluar daripada agama Islam. Bagi mencapai objektif tersebut, metod kajian
yang digunakan dalam kajian ini bersifat konseptual di mana ia berdasarkan kajian
terhadap buku-buku, jurnal, artikel dan penulisan sedia ada yang berkaitan dengan faktor-
faktor yang mendorong kepada gejala murtad dalam kalangan mualaf serta susunan
penulisan ini dirangka bermula dari permasalahan kajian, definisi murtad dan mualaf ,
faktor-faktor yang mendorong kepada gejala murtad dalam kalangan mualaf ialah
segelintir mualaf dipandang serong oleh umat Islam sendiri, kurang bimbingan dan
panduan daripada umat Islam serta berpunca daripada persekitaran hidup mahupun
keluarga mualaf itu sendiri. Di akhir artikel ini akan merumus secara ringkas hasil
penemuan dan cadangan.
2.0 PERMASALAHAN KAJIAN

Penetapan tujuan (maqasid) syariah yang pertama ialah memelihara agama. Hak umat
Islam untuk memelihara agamanya mestilah dijaga dengan sebaik mungkin dan tidak
mudah dicabuli sesuka hati oleh mana-mana pihak. Sekiranya umat Islam dibenarkan
keluar dan masuk agama secara sesuka hati, ini bermakna hak umat Islam untuk
memelihara agamanya telah dicabuli. Hukum Islam juga menetapkan bahawa keluar agama
atau murtad merupakan suatu jenayah berat yang perlu diadili dan dihukum. Ini kerana,
perbuatan keluar agama bukanlah sekadar hak individu semata-mata sebaliknya melibatkan
kepentingan umum, iaitu maruah agama dan umat Islam sendiri (Helwa Mohammad Zainal
et.al 2013 : 14).

Akhir-akhir ini isu murtad dalam kalangan mualaf yang baru menikmati nikmat
Islam amat membimbangkan. Isu ini bukan mahu menidakkan kewibawaan dan kehebatan
sebilangan kecil para mualaf yang ikhlas memberikan sumbangan dan impak kepada umat
Islam terutama sumbangan kepada organisasi seperti Perkim dan sebagainya tetapi mahu
mengkaji faktor-faktor wujudnya isu ini dalam kalangan para mualaf di Malaysia ini (Mohd
Misri Idris 2013 : 23).

Isu murtad dan kes-kes pertukaran agama merupakan isu-isu sensitif bagi umat
Islam dan bagi semua pihak, di mana ianya tidak dibincangkan secara terbuka bahkan
statistiknya juga tidak didedahkan kepada umum (Helwa Mohammad Zainal et.al 2013 :
14). Mutakhir ini, gejala kerosakan akidah semakin menular di negara kita membabitkan
perkara berkaitan dengan masalah pertukaran agama. Kenyataan Mufti Perak, Tan Sri
Harussani Zakaria mengenai kes murtad di kalangan orang melayu mendapat perhatian
serius daripada pelbagai pihak. Ini termasuklah berita pengkristianan orang melayu di Ipoh
yang disebarkan melalui saluran sistem pesanan ringkas SMS (Zulkifli Hasan et.al 2008 :
1). Bahkan beliau pernah mendedahkan kepada umum bahawa terdapat lebih 100,000
orang Islam telah pun menukar agamanya telah menarik perhatian banyak pihak seperti
pemimpin kerajaan mahupun para ulama (Helwa Mohammad Zainal et.al 2013 : 14).

Senario murtad dalam kalangan para mualaf di Malaysia amat membimbangkan.


Dari segi nombor, polemik ini kelihatan kecil tetapi impaknya amat besar kepada agama
Islam khususnya. Berdasarkan statistik berakhir pada tahun 2011 yang bersumberkan
Jabatan Perdana Menteri, Mahkamah Syariah menerima permohonan sebanyak 863
permohonan untuk menukar status agama Islam daripada tahun 2000 hingga tahun 2010.
Pecahan negeri adalah seperti berikut (Mohd Misri Idris 2013 : 23):

Bil Negeri Permohonan Lulus


1 Sabah 238 67
2 Negeri Sembilan 172 33
3 Selangor 99 -
4 Wilayah Persekutuan 56 10
5 Perak 47 12
6 Penang 36 1
7 Melaka 12 3
8 Pahang 8 7
9 Johor 8 -
10 Kedah 5 1
11 Perlis 3 1
12 Sarawak 1 -
13 Terengganu 1 -
14 Kelantan - -
JUMLAH 863 135

Terdapat beberapa faktor berlakunya kes-kes murtad. Antaranya disebabkan


keinginan untuk berkahwin dengan orang bukan Islam. Antara yang menggemparkan
negara iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang pada 8 Mei
2008 yang membenarkan seorang mualaf iaitu Siti Fatimah Tan Abdullah keluar daripada
Islam. Siti Fatimah mendakwa dia memeluk Islam hanya untuk berkahwin dengan seorang
rakyat Iran bernama Ferdoun Ashanian. Namun dia tidak pernah sekali-kali mengamalkan
ajaran Islam malah masih mengekalkan amalan agama asalnya, Buddha. Peguam bela Siti
Fatimah, Ustaz Ahmad Jailani menyifatkan permohonan yang dibuat oleh Siti Fatimah itu,
bukan permohonan keluar Islam, tetapi permohonan dalam menentukan status agamanya,
adakah Islam atau tidak (Mohd Aizam Masod tth : 4).
3.0 DEFINISI MURTAD

Murtad bukanlah isu baru untuk dibincangkan, tetapi murtad adalah isu yang telah
dibahaskan lama oleh para ulama kita. Perkataan murtad berasal dari bahasa arab iaitu
riddah atau irtidad yang bermaksud kembali atau rujuk, iaitu kembali kepada sesuatu
kepada sesuatu yang lain. Kalimah irtidad memberi pengertian yang cukup luas iaitu
mereka yang meninggalkan agama Islam untuk tidak mempercayai Islam kepada
mempercayai agama lain (Nurul Afifah et.al 2014) .

Dari segi istilah, murtad membawa maksud keluar daripada agama Islam atau tidak
mempercayai agama Islam sama ada melalui perbuatan, perkataan ataupun iktiqad.
Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa seseorang Islam juga dianggap murtad
sekiranya dia mencampakkan al-Quran, mencerca Rasulullah, menafikan fardhunya
menunaikan solat dan zakat ataupun dengan sengaja meminum arak dan terlibat dengan
penzinaan (Mohamed Azam Mohamed Adil 2009: 3-4).

Murtad atau keluar dari agama Islam merupakan satu jenayah besar dalam Islam;
Ia dianggap kufur yang paling jijik dan keji, malah lebih keji dari kufur biasa, kerana orang
murtad dianggap menghina Islam, menghina Allah S.W.T. dan Rasulullah S.A.W. Sebab
itu, orang murtad mesti dijatuhkan hukuman bunuh setelah disuruh bertaubat beberpa kali
sedangkan dia tetap tidak mahu bertaubat.

Murtad boleh terjadi melalui beberapa cara iaitu melalui iktikad, perkataan dan
perbuatan. Murtad melalui iktikad berlaku apabila seseorang itu beriman atau berpegang
dengan suatu pegangan yang salah dari sudut akidah Islamiah beserta dasar-dasar
kepercayaan seorang mukmin kepada Islam (Ann Wan Seng 2009: 69). Amran Kasimin
(1988: 8) menyatakan bahawa berniat atau bercita-cita ingin keluar dari Islam seperti
berniat menukar nama selain nama agama Islam, mengancam untuk keluar Islam jika
permintaannya tidak dipenuhi, beriktikad bahawa agama selain dari Islam adalah benar
termasuk dalam murtad melalui iktikad.

Murtad melalui perkataan pula boleh berlaku apabila seseorang melafazkan


kalimah-kalimah yang dianggap memperlekeh, menghina, mengeji dan membenci ajaran
Islam. menyebut dengan sengaja perkataan yang bertentangan dengan hukum Islam sama
ada berkait dengan tauhid, ibadah dan akhlak atau sebagainya seperti menghalalkan sesuatu
yang diharamkan Islam (Amran Kasimin 1988: 9).

Murtad melalui perbuatan pula terjadi apabila seseorang melakukan perbuatan-


perbuatan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam yang telah ditentukan Allah juga
merupakan salah satu cara murtad. Perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan
mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara-cara yang ditentukan hanya untuk
membesar dan memuliakan Allah seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak berniat
untuk menyamakannya dengan Tuhan. Perbuatan melakukan ibadah penyembahan yang
dilakukan orang-orang kafir dan perbuatan menghina Islam seperti menggunakan ayat-ayat
suci al-Quran dan hadis-hadis nabi dengan tujuan menghina dan merendahkannya juga
termasuk dalam murtad melalui perbuatan ( Ann Wan Seng 2009: 70).

4.0 DEFINISI MUALAF

Perkataan mualaf dalam Kamus Dewan bermaksud orang yang baru memeluk agama
Islam (saudara baru) (Kamus Dewan, 2002 : 900). Mualaf berasal dari kata (
)yang menjadikannya jinak (Ahmad Warson Munawwir, 1984). Manakala ()
beerti orang yang hatinya dijinakkan. Istilah ini digunakan untuk orang yang sedang
dijinakkan hatinya oleh Islam agar membela atau masuk Islam.Dari sudut istilah , mualaf
adalah orang yang diberi perhatian khusus oleh Islam dengan tujuan menjinakkan hatinya
demi kemaslahatan Islam dan masyarakat muslim amnya.

Pada zaman Nabi Muhammad (s.a.w), perkataan mualaf atau yang dimaksudkan
dengan mualaf ialah mereka yang ada menerima sesuatu bahagian atau pemberian sahaja.
Pada masa sekarang yang dimaksudkan dengan mualaf ialah mereka yang baru memeluk
Islam tanpa melihat kepada kuat dan lemahnya iman seseorang itu.

Saudara baru atau mualaf ialah seseorang yang baru memeluk Islam. Istilah
saudara baru kini telah ditukar kepada saudara kita . Tujuannya ialah untuk mengelak
timbulnya perasaan terasing bagi orang yang baru menganut Islam dalam urusan kehidupan
atau kematian (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, 1998). Firman Allah dalam Surah At
Taubah ayat 60 :







Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang


fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil Yang mengurusnya, dan orang-orang
muallaf Yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba Yang hendak memerdekakan
dirinya, dan orang-orang Yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan
orang-orang musafir (yang keputusan) Dalam perjalanan. (Ketetapan hukum Yang
demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. dan (ingatlah)
Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

5.0 FAKTOR MUALAF DIPANDANG SERONG OLEH UMAT ISLAM SENDIRI

Para mualaf di Malaysia disisihkan dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya daripada
umat Islam . Apa yang mereka pelajari tentang Islam jauh berbeza dengan realiti hidup
sebenar bersama masyarakat muslim di Malaysia. Persaudaraan yang ditekankan oleh
Islam tidak membezakan penganutnya dan yang membezakan sesama manusia ialah
keimanan, ketakwaan serta ketinggian akhlak seseorang muslim. Tetapi kewujudan
saudara baru ini dianggap sebagai satu kelompok individu asing dan seakan akan terpisah
daripada umat Islam yang lainnya (Farahwahida Mohd Yusof et. al 2008 : 93) .

Mereka diberikan pelbagai gelaran dan panggilan. Seolah-olah mereka


didiskriminasi oleh saudara seislam mereka sendiri. Sama ada disedari ataupun tidak,
suasana ini menyebabkan perasaan merendah diri dalam kalangan saudara baru semakin
kuat. Akhirnya mereka akan bergaul dan bercampur sesama sendiri menyebabkan integrasi
serta komunikasi mereka dengan umat Islam lain terputus. Apabila keadaan ini berlaku, ia
menyebabkan seseorang mualaf itu membawa haluan diri masing-masing dan hanyut tanpa
pedoman yang benar menurut pandangan Islam (Farahwahida Mohd Yusof et. al 2008 :
93).

Masyarakat Islam seharusnya membimbing, memandu dan memimpin mereka


supaya akidah yang baru bertunas itu dapat bertapak serta membentuk tapak yang kukuh
di dalam hati mereka. Tanpa mendapat penerangan dan bimbingan yang sempurna tentang
Islam, mualaf ini akan terus tersisih daripada masyarakat Islam serta jahil tentang agama
Islam. Apabila seseorang mualaf dibiarkan tanpa usaha dakwah berterusan, para mualaf
akan mudah hanyut dibawa oleh arus perubahan serta perkembangan persekitarannya. Ada
di antara mereka masih lagi beragama Islam tetapi mengamalkan cara hidup yang tidak
Islamik (Farahwahida Mohd Yusof et. al 2008 : 93 & 94).

Para mualaf yang berputus asa dengan keadaan dirinya akan mengambil tindakan
drastik iaitu untuk keluar daripada agama Islam. Para mualaf yang memeluk Islam
memerlukan kemudahan dan simpati daripada umat Islam seperti tempat berlindung.
Namun, mereka akan kembali ke agama asal mereka jika bantuan yang diharapkan tidak
diberikan dengan sewajarnya bahkan dipandang serong oleh segelintir umat Islam
(http://www.muftiwp.gov.my tth : 3)

Selain itu, Lee (bukan nama sebenar) melahirkan rasa kecewanya terhadap
beberapa buah Jabatan Agama yang memberikan layan yang begitu buruk terhadap saudara
baru sepertinya. Sememangnya tidak dinafikan apabila seseorang baru memeluk agama
Islam, mereka akan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antaranya mereka akan
dipinggirkan oleh ahli keluarga sendiri, masalah tempat tinggal, ekonomi dan
sebagainya.Dalam keadaan sebegini, kebanyakan saudara baru akan pergi ke Jabatan
Agama untuk mendapatkan bantuan dari sudut kewangan memandangkan mereka layak
untuk mendapat zakat. Ada juga yang berusaha untuk tidak bergantung harap kepada
bantuan zakat itu sahaja, sebaliknya berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan
sebagainya (Sahidan Jaafar 2006 : 61).

Hal inilah yang cuba dilakukan oleh Lee (bukan nama sebenar). Lee cuba untuk
mendapatkan pekerjaan untuk menyara hidupnya. Lee cuba meminta bantuan dari sebauh
jabatan agama. Baginya memadailah kalau hanya pekerjaan sambilan sahaja sementara dia
mencari pekerjaan tetap. Malangnya, dia telah dihina oleh seorang ustaz. Menurut ustaz
tersebut, jika dia memeluk agama Islam hanya untuk dapatkan bantuan, tak payahlah
hendak menjadi orang Islam. Sehingga sampai ke satu masa, Lee berhadapan dengan satu
lagi 'kejutan'. Dia telah dilayan dengan buruk oleh sebuah pihak berkuasa. Waktu itu, Lee
sedang menguruskan dokumentasi mengenai penukaran agama dan statusnya. Lee ditanya,
adakah dia memeluk Islam sebab hendakkan kepentingan-kepentingan tertentu. Mereka
menyoalnya seolah-olah mereka ragu kehendaknya untuk memeluk Islam. Ada yang
bertanya, adakah sebab hendak berkahwin dan sebagainya, sedangkan dia tidak ada
kepentingan untuk memeluk Islam (Sahidan Jaafar 2006 : 61).

6.0 FAKTOR MUALAF KURANG BIMBINGAN DAN PANDUAN DARIPADA UMAT


ISLAM

Para mualaf di Malaysia mempunyai ruang yang cukup banyak untuk menimba ilmu agama
bagi menjadikan mereka muslim sejati. Walau bagaimanapun, peluang ini tidak
dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para mualaf. Namun, para mualaf tidak boleh
dipersalahkan kerana jelas apa yang berlaku kerana kelemahan umat Islam dan kegagalan
umat Islam memelihara keislaman dan mengerjakan segala perintah Allah SWT.
Contohnya ramai kalangan remaja memandang mudah ibadah solat malah ada yang
langsung tidak tahu mengerjakannya.

Hal ini menyebabkan diri mereka terdedah melakukan lebih banyak dosa,
melemahkan keislamannya dan meletakkan agamanya di tempat yang rendah. Keadaan
inilah menyebabkan golongan remaja kita mudah terpesong akidahnya dan ada yang
menjadi murtad. Jika umat Islam itu sendiri yang lemah imannya lagi cetek ilmu agamanya,
bagaimana umat Islam mahu memberikan panduan kepada para mualaf yang ada di
Malaysia ini.

Faktor kejahilan dan juga tidak faham tentang hakikat ajaran Islam serta syariatnya
menyebabkan nilai kehidupan umat Islam mundur ke belakang, lalu mereka mencari
alternatif lain untuk memenuhi ruang lingkup kehidupan. Mereka tidak menyedari bahawa
sebenarnya mereka telah terjebak di dalam perangkap kehidupan dan tidak tahu memilih
yang mana satukah jalan yang sepatutnya mereka harungi. Akibat dari kejahilan juga
menyebabkan mereka lebih cenderung memilih kekufuran daripada memilih keimanan
dalam kehidupan (Muhammad Isa Selamat 1998 : 59).

Selain itu juga, disebabkan oleh kecetekan ilmu dan iman di kalangan umat Islam,
maka seseorang itu digolongkan dalam kategori jahil dari segi ilmu mahupun akidah. Ini
akan menyebabkan umat Islam meragui dan tidak menyakini akan kekuasaan Allah SWT.
Ia juga akan mendorong seseorang itu taksub dan sukar menerima pandangan serta teguran
daripada orang lain.

Sikap segelintir masyarakat muslim tidak mengambil endah akan hal ehwal para
muallaf dengan tidak memainkan peranan untuk menyampaikan nasihat dan menyebabkan
para mualaf itu lalai dalam Islam dan seterusnya keluar daripada Islam. Umat Islam hanya
meletakkan tanggungjawab tersebut pada pihak yang bertanggungjawab sahaja seperti
yang diketahui umum iaitu organisasi Perkim. Seharusnya, setiap ahli masyarakat muslim
memainkan peranan untuk menolong mereka dan berdakwah kepada mereka tentang Islam.
Sekiranya usaha dakwah ini kurang berperanan dalam masyarakat muslim, maka tidak
mustahil mereka akan kembali kepada agama asal mereka (Farahwahida Mohd Yusof et.
al 2008 : 92 & 93).

7.0 FAKTOR DARIPADA PERSEKITARAN HIDUP MUALAF MAHUPUN


KELUARGA MUALAF

Persekitaran hidup dan juga desakan keluarga turut menyumbang kepada murtadnya
seseorang mualaf. Seseorang mualaf murtad kerana tidak memahami Islam secara
menyeluruh dan merasa sukar untuk melaksanakan kewajipan-kewajipan dalam Islam.
Seseorang mualaf juga dipaksa untuk memahami apa itu Islam dengan cara paksaan dan
bukannya dengan cara bimbingan yang baik dan berhemah. Seseorang mualaf juga sukar
menyesuaikan diri dengan suasana hidup baru di samping masyarakat muslim sendiri yang
tidak memberikan kerjasama dan contoh yang baik kepada mereka. Mereka seakan-akan
belum boleh meninggalkan tabiat lama ketika berada dalam agama lama dahulu.
Contohnya, mereka didera atau diabaikan oleh pasangan mereka yang beragama islam dan
mereka juga tidak dipedulikan oleh masyarakat muslim yang lain (Farhan Abdullah 2013:
70-71). Seharusnya kaedah paksaan harus diubah kepada kaedah lain yang lebih lemah
lembut.
Dari sudut keluarga pula, pada kebiasaannya masyarakat yang berbangsa dan
beragama selain daripada bangsa Melayu dan juga beragama Islam akan melihat dan
menilai bahawa dengan menukar agama kepada Islam maka mereka juga harus menukar
bangsa dan nama mereka kepada bangsa Melayu. Hal ini berlaku kerana penganut Islam
di Malaysia didominasi oleh bangsa Melayu (Abdullah Muhammad Zin 1993).

Tambahan pula, imej Islam yang selalu dikaitkan dengan kemunduran, keganasan,
kemiskinan dan juga pelbagai pandangan yang negatif telah membangkitkan ketakutan dan
juga impak yang pelbagai terhadap penganut agama lain. Antaranya ialah dengan
munculnya pelbagai istilah seperti islamophobia, terrorist dan sebagainya. Implikasi yang
timbul daripada perkara tersebut ialah keluarga seseorang mualaf tidak membenarkan ahli
keluarga mereka menganut agama Islam dengan melakukan pelbagai cara seperti
mengurung ahli keluarga di dalam rumah, menghalau, memukul, memarahi, tidak mahu
mengaku saudara, dan juga mengusir mereka dari rumah (Mohd Ridhuan Tee Abdullah
1996).

Walau bagaimanapun, hasil perbincangan bersama salah seorang Pegawai Ekskutif


Pembangunan Mualaf Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Che Mohd Noor Lee (2014)
memang terdapat beberapa faktor murtad bagi seseorang mualaf namun hanya satu sahaja
faktor utama iaitu melalui aspek perkahwinan. Oleh itu, perkahwinan memainkan peranan
besar ke atas perubahan yang dilakukan oleh mualaf.

Aspek perkahwinan antara seseorang mualaf dengan pasangannya yang beragama


Islam akan menyebabkan berlakunya murtad dalam kalangan para mualaf. Hal ini
disebabkan kerana pasangannya yang beragama Islam tadi tidak memainkan peranannya
selaku orang Islam bagi menambahkan ilmu pengetahuan tentang Islam kepada seseorang
mualaf yang merupakan pasangannya. Akhirnya seseorang mualaf merasa tawar hati
terhadap Islam dan tidak mengamalkan ajaran Islam selepas berkahwin sehinggalah
berlakunya penceraian sesama mereka . Ada juga kes yang berlaku, pasangannya yang
beragama Islam meninggalkan seseorang mualaf tanpa sebarang berita ibarat gantung tidak
bertali. Jelaslah kepada kita bahawa tidak semestinya seseorang yang mengaku Islam tahu
tentang hal ehwal agama Islam tetapi hakikatnya mereka jahil tentang Islam (Mohd Misri
Idris 2013 : 28)
8.0 CADANGAN

Isu murtad perlu ditangani secara tegas dan penuh berhikmah oleh semua pihak. Ketegasan
amat perlu, apatah lagi sekiranya ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menguji
tafsiran Perlembagaan Negara sebagai strategi perundangan untuk mempengaruhi orang
Islam bertukar agama (Helwa Mohammad Zainal et.al 2013 : 31). Ketegasan juga amat
perlu terhadap mana-mana pihak yang cenderung untuk memainkan emosi keagamaan bagi
tujuan menimbulkan ketegangan antara agama serta kaum.

Ketegasan dan sikap yang bersungguh-sungguh oleh pihak berkuasa agama,


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam negeri-negeri dan
pihak-pihak yang berkaitan haruslah digandakan dengan mengambil langkah-langkah yang
bijaksana dan berkesan bagi menangani isu murtad ini (Helwa Mohammad Zainal et.al
2013 : 31). Para daie haruslah mengambil langkah proaktif turun ke padang mendekati para
mualaf di Malaysia dan mengambil pendekatan secara berhikmah dalam menyampaikan
dakwah kepada para muallaf seperti dakwah bil hal.

Langkah menonjolkan akhlak islamiyyah akan menampilkan imej daie yang akan
dihormati oleh semua pihak. Pihak-pihak yang dilihat sengaja mencemarkan imej agama
Islam dengan mengisytiharkan murtad secara terang-terangan kepada umum seharusnya
dibawa ke muka pengadilan untuk dikenakan tindakan yang sewajarnya sebagai
pengajaran kepada masyarakat. Begitu juga pihak-pihak yang menyebarkan dakyah,
ideologi serta fahaman tertentu untuk boleh menggugat akidah para mualaf perlu dikawal
dan disekat dengan menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada secara lebih serius.
Keikhlasan dan nawaitu para mualaf untuk memeluk Islam haruslah dipelihara daripada
sebarang faktor daripada masyarakat muslim itu sendiri (Mohd Misri Idris 2013 : 24).

Para mualaf haruslah dilibatkan dengan aktiviti kemasyarakatan seperti aktiviti


gotong royong di surau, memperbanyakkan usaha secara berkala bagi menghilangkan
tabiat lama mereka seperti meminum arak mahupun memakan makanan yang diharamkan
oleh Allah dan melatih mereka dalam memahami ilmu agama dengan pendekatan bengkel,
latihan dan ceramah yang berterusan. Dari segi psikologi mahupun kaunseling, para
kaunselor haruslah turun padang bagi membantu para mualaf yang bermasalah seperti
tekanan perasaan melampau mahupun tekanan jiwa yang diwujudkan oleh sikap umat
Islam itu sendiri. Sokongan sosial, kasih sayang, bimbingan dan perhatian amat diperlukan
oleh mereka bagi menyelamatkan akidah mereka daripada rosak (Mohd Misri Idris 2013 :
32). Para kaunselor haruslah menjiwai mafhum hadith Nabi Muhammad SAW iaitu agama
itu nasihat.

9.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, dapatlah difahami bahawa faktor-faktor yang membawa kepada


kewujudan gejala murtad di kalangan para mualaf akan membawa kepada kurangnya minat
orang bukan Islam kepada Islam kerana umat Islam sendiri tidak menjaga kebajikan para
mualaf di Malaysia. Jika umat Islam tidak mengambil serius tentang hal ini, gerakan bukan
Islam seperti gerakan kristian akan mengambil kesempatan bagi memurtadkan umat Islam
di Malaysia ini. Akhirnya perpaduan umat Islam akan berpecah belah dan tidak dapat
bersatu padu melawan gerakan kristian mahupun doktrin lain yang menentang Islam
menapak di Malaysia. Oleh itu, pihak kerajaan dan para ulama harus bekerjasama
membanteras dan mencari formula terbaik bagi menangani kewujudan gejala murtad di
kalangan para mualaf di Malaysia bagi mengembalikan matlamat utama Islam sebagai
agama yang syumul. Bagi mengatasi polemik ini, usaha dakwah di kalangan para ulama
serta para daie perlu dipertingkatkan di samping mengembalikan skil dakwah yang sebenar
seperti dakwah secara berhikmah dan penegasan umat Islam mencegah polemik murtad ini
dengan kaedah mengadukan kes-kes murtad kepada pihak berwajib seperti Jabatan Agama
mahupun pihak yang berwajib.
10.0 RUJUKAN

Al-Quran.
Abdullah Al-Qari Salleh. 2001. Punca-Punca Murtad Dan Akta Murtad. Batu Caves:
Pustaka Ilmi.

Abdullah Muhammad Zin. 1993. Dakwah kepada non muslim: Konsep dan metod. Kertas
Kerja Seminar Dakwah Dan Kepimpinan II Peringkat Kebangsaan. Anjuran
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Oktober 1993.

Amran Kasimin. 1988. Satu Analisa Mengenai Murtad. Petaling Jaya : Pustaka al-Mizan.

Ann Wan Seng. 2009. Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata. Kuala Lumpur: Must Read
Sdn Bhd.

Che Mohd Noor Lee. 2014. Isu Murtad Saudara Baru: Faktor Dan Langkah Majlis Agama
Islam Selangor (MAIS) Menangani Isu Murtad Saudara Baru, Klang. Temu bual,
10 DisemDiscover The Networks. 2014. Terrorism.
http://www.discoverthenetworks.org [01 Disember 2014]

Farahwahida Mohd Yusof, Aminuddin Ruskam, Azmi Shah Suratman, Mohd Nasir Ripin,
Nur Raihan Nordin & Sharifah Munirah Timmiati. 2008. Kaedah Penyelesaian
Dalam Menangani Pertukaran Agama Dalam Kalangan Masyarakat Melayu-Islam
Di Johor, Selangor Dan Wilayah Persekutuan. Project Report. Centre for Islamic
Studies and Social Development. Universiti Teknologi Malaysia.
http://eprints.utm.my/7864/

Farhan Abdullah. 2013. Kristianisasi Dan Gejala Murtad. Kuala Lumpur: Hijjaz Record
Publishing.

Mohd Misri Idris. 2013. Dahulu Mualaf Kini Murtad. Prosiding Persidangan
Antarabangsa Pembangunan Mualaf, hlm. 23-35.

Mohamed Azam Mohamed Adil. 2009. Murtad- Status Semasa. Dlm. Ann Wan Seng
(pnyt.). Murtad Jangan Pandang Sebelah Mata, hlmn. 3-17. Kuala Lumpur: Must
Read SdnBhd.

Helwa Mohammad Zainal & Jasri Jamal. 2013. Kedudukan Murtad dan Penyebaran
Agama Bukan Islam Menurut Perspektif Undang-Undang di Malaysia: Satu
Analisa Isu dan Cabaran (The Legal Position of Apostasy and Spreading of Non-
Islamic Teachings in Malaysia: Analysis and Challenges) http://www.ukm. My /
juum / JUUM % 202013 /
Kedudukan%20Murtad%20dan%20Penyebaran%20Agama%20Bukan%20Islam
%20Menurut%20Perspektif%20Undangundang%20di%20Malaysia%20Satu%20
Analisa%20Isu%20dan%20Cabaran.pdf

http://www.muftiwp.gov.my/v1/doc/GEJALAMURTAD.pdf

Mohd Aizam Masod. Murtad Bukan Hak Asasi. http :// www .islam. gov.my /sites /
default/files / murtad_not_hak_asasi . pdf

Mohd Ridhuan Tee Abdullah. 1996. Saudara kita selepas memeluk Agama Islam, cabaran
dan penyelesaiannya. Kertas Kerja Seminar Dakwah Saudara Kita Se Malaysia
1996. Anjuran Majlis Agama Islam Pulau Pinang, 17 November 1996.
Mohamad Zamri Mohamed Shapik. Senario Murtad Di Malaysia.
http://www.najahudin.commuat%20turun/Fiqh%20Bukan%20Islam%20%26%20
Perbandingan%20Agama/Senario%20Murtad%20di%20Malaysia.pdf

Muhammad Isa Selamat. 1998. Murtad, Kesan dan Kisah Mengenainya. Kuala Lumpur.
Darul Numan.

Sahidan Jaafar, 2006. Kami Perjudikan Akidah Untuk beri Makan Anak-Anak! Mastika
(November 2006). Kuala Lumpur :Utusan karya Sdn. Bhd.

Siti Zalikhah Md. Nor et. al. 2008. Al- Syariah Jilid 4 Fiqh Jenayah. Dlm. Ahmad
Kamarudin Hj Hamzah (pnyt.). Murtad (Riddah) dan Pendapat Para Fuqaha, hlmn
86-103. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkifli Hasan dan Norfadhilah Mohd Ali. 2008. Kedudukan Murtad Menurut Perspektif
Undang-Undang Di Malaysia https://zulkiflihasan.files.wordpress.com
/2008/11/murtad-perspektif-undang2-malaysia.pdf

You might also like