Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 9

ISU PULAU BATU PUTEH

Pulau Batu Puteh

Klik di sini untuk maklumat lengkap isu_pemilikan_pulau_batu_puteh.pdf

Keputusan ICJ Jadi Iktibar Isu Tuntutan Kedaulatan Wilayah Negara


PENANTIAN selama hampir 28 tahun akhirnya sampai ke penghujung. Isu yang sudah lama menjadi 'duri dalam daging'
dalam hubungan diplomatik antara dua negara berjiran ini berjaya diselesaikan melalui proses undang-undang
antarabangsa.

Semalam, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, memutuskan bahawa kedaulatan Pulau Batu Puteh
yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4.
Batuan Tengah (Middle Rocks) pula diputuskan sah milik Malaysia dengan keputusan majoriti 15:1. Bagi Tubir Selatan (South
Ledge), keputusan yang diberikan adalah agak kompleks iaitu kedaulatannya terletak di bawah wilayah di mana ia terletak.
Apakah implikasi yang akan dibawa oleh keputusan ICJ ini?

Pada 17 April 2008, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan rakan sejawatnya dari Singapura, George Yeo,
bersetuju untuk menerima apa saja keputusan ICJ tanpa menjejaskan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Persetujuan juga dicapai untuk menubuhkan satu jawatankuasa teknikal di antara Malaysia dan Singapura bagi menentukan
langkah yang perlu diambil hasil daripada keputusan itu. Ini kerana keputusan ICJ ini akan menyebabkan beberapa
perubahan, termasuk dari segi sempadan perairan, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia.

Ini bukan kali pertama Malaysia berurusan dengan ICJ untuk menyelesaikan isu pertelingkahan kedaulatan wilayah. Tuntutan
bertindih antara Malaysia dan Indonesia terhadap Pulau Ligitan dan Sipadan di bawa ke ICJ dan pada 2002, ICJ membuat
keputusan berpihak kepada Malaysia.

Selain itu, Malaysia juga membawa isu penambakan tanah oleh Singapura ke Tribunal Antarabangsa Undang-Undang Laut
(ITLOS). Pada 2003 tribunal itu mengarahkan Singapura untuk berhenti daripada melakukan aktiviti yang boleh memberi
kesan kepada kedaulatan wilayah Malaysia dan merosakkan kehidupan marin di kawasan terbabit.

Keputusan kedua-dua prosiding di atas berpihak kepada Malaysia hasil persediaan rapi pasukan undang-undang Malaysia
dengan mengemukakan hujah yang bernas, kuat dan meyakinkan.

Persiapan Malaysia untuk kes tuntutan Pulau Batu Puteh bermula sejak hampir 30 tahun dulu. Penyelidikan berhubung
kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu mula dilaksanakan ketika persediaan Peta Baru Malaysia 1979.
Kerja penyelidikan dilakukan di Malaysia dan di serata dunia, termasuk beberapa tempat di Kuala Lumpur, Johor, Melaka,
Perak, Singapura, Indonesia, India, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, Portugal dan Belanda.

Usaha penyelidikan dan pengumpulan bahan bukti dilakukan berterusan oleh kira-kira 55 pegawai daripada 24 agensi
kerajaan seperti Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pertahanan dan Pejabat
Peguam Negara, penyelidik yang dilantik dan pakar dalam bidang tertentu dari tiga institusi pengajian tinggi tempatan
seperti Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Khidmat penasihat undang-undang antarabangsa yang terkemuka seperti Sir Datuk Elihu Lauterpacht QC dan Datuk James
Crawford dari Universiti Cambridge dan Datuk Nicolaas Jan Schrijver dari Universiti Leiden juga di gunakan.

Ketiga-tiga individu ini juga terbabit dalam prosiding kes negara di ICJ untuk Sipadan dan Ligitan dan juga di ITLOS bagi kes
Penambakan Tanah Singapura.

Dalam kes Pulau Batu Puteh, delegasi Malaysia diketuai Tan Sri Abdul Kadir Mohamad dan pasukan undang-undang
Malaysia yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mempamerkan komitmen tinggi dan prestasi
membanggakan.

Mereka memastikan hujahan kes negara adalah sentiasa teratur dan padat, mudah difahami oleh hakim dan sejauh mana
yang mungkin memastikan tiada ruang langsung bagi Singapura untuk menyangkal apa yang dihujahkan oleh Malaysia
sepanjang berlangsungnya perbicaraan iaitu daripada 6 hingga 23 November 2007.

Di bawah undang-undang antarabangsa, isu kedaulatan wilayah adalah satu isu kompleks dan membabitkan pemakaian
pelbagai prinsip undang-undang. Singapura menyandarkan tuntutan mereka kepada pendudukan secara sah oleh pihak
British apabila mereka membina rumah api Horsburgh di atas Pulau Batu Puteh yang di katakan terra nullius (tidak bertuan)
sebelum 1847.

Malaysia dikatakan gagal mengemukakan bukti kukuh yang menunjukkan kedaulatan Johor ke atas Pulau Batu Puteh.
Kegagalan Malaysia dalam mengemukakan surat meminta kebenaran daripada pihak British kepada kerajaan Johor juga
dibangkitkan oleh Singapura dalam hujah mereka.

Singapura juga mengemukakan bukti bagi menunjukkan kuasa pentadbiran dan undang-undangnya di Pulau Batu Puteh
dan perairan sekitarnya melalui pelbagai aktiviti seperti kawalan akses dan lawatan ke Pulau Batu Puteh.

Sementara itu, Tentera Laut Singapura juga kerap melakukan rondaan di kawasan perairan Pulau Batu Puteh. Singapura juga
mendakwa Malaysia tidak menjalankan aktiviti pentadbiran dan undang-undang ke atas Pulau Batu Puteh dan tidak pernah
membantah aktiviti pentadbiran dan undang-undang yang dilakukan oleh Singapura.

Singapura membandingkan tindakan Malaysia di Pulau Pisang di mana Singapura diminta menurunkan benderanya di Pulau
Pisang, tetapi tidak berbuat demikian di Pulau Batu Puteh. Tegas Singapura ini membawa makna Malaysia tidak pernah
mengambil kira Pulau Batu Puteh sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Mereka juga menegaskan bahawa Surat Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang menyatakan Johor tidak
menuntut hak milik Pedra Branca (bahasa Portugal untuk 'Batu Puteh), adalah sah memandangkan ia di tulis dalam kapasiti
rasminya dan Johor pada ketika itu adalah sebuah negeri yang berdaulat.

Keputusan ICJ mengesahkan Pulau Batu Puteh milik Kerajaan Johor jika dilihat dari aspek sejarahnya dan juga pemakaian
undang-undang antarabangsa berdasarkan kepada kes seperti Eastern Greenland dan juga kes Island of Palmas.
Kedaulatan Pulau Batu Puteh pada asalnya terletak pada kerajaan Johor. Di samping itu, ICJ juga mengiktiraf dan mengambil
kira peranan orang laut yang menggunakan pulau berkenaan untuk aktiviti ekonomi mereka serta pertalian mereka dengan
Sultan Johor. Mereka dilihat sebagai rakyat naungan kerajaan Sultan Johor. ICJ menolak dakwaan Singapura yang
mengatakan Pulau Batu Puteh adalah terra nullius (wilayah tidak bertuan).

Bagaimanapun, ICJ mengambil kira dan memberikan fokus utama di dalam penghakiman mereka kepada surat daripada
Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor bertarikh 21 September 1953. Surat yang mengatakan Johor tidak menuntut hak milik
Pedra Branca dilihat oleh ICJ sebagai Johor melepaskan kedaulatannya ke atas Pulau Batu Puteh kepada kerajaan British. Ini
bermakna sejak 1953 Johor sudah kehilangan Pulau Batu Puteh.

Penghakiman ICJ juga menyentuh isu enam peta rasmi diterbitkan Malaysia sekitar 1962 hingga 1974 dengan Pulau Batu
Puteh dilabel sebagai milik Singapura. Mengikut ICJ, ini secara langsung memperkukuhkan tuntutan Singapura terhadap
Pulau Batu Puteh kerana Singapura sendiri tidak pernah menerbitkan sebarang peta yang merujuk Pulau Batu Puteh sebagai
wilayah Malaysia.

Di samping itu, penghakiman ICJ juga memberi penekanan kepada pelbagai aktiviti yang menunjukkan kuasa pentadbiran
dan undang-undang Singapura di Pulau Batu Puteh dan ia adalah antara faktor penting mengapa penghakiman ICJ terhadap
Pulau Batu Puteh berpihak kepada Singapura.

Penguatkuasaan Tentera Laut Singapura di kawasan perairan Pulau Batu Puteh dan siasatan yang dijalankan oleh Kerajaan
Singapura ke atas insiden kemalangan kapal laut adalah antara aktiviti yang menunjukkan kawalan eksklusif dan juga
kedaulatan Singapura ke atas Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, penghakiman ICJ terhadap Pulau Batu Puteh yang berpihak kepada Singapura ini tidak meliputi Batuan
Tengah dan Tubir Selatan kerana aktiviti Singapura hanya terhad kepada Pulau Batu Puteh. Status Batuan Tengah kekal
mengikut sejarah bersama dengan Kerajaan Johor.

Daripada perspektif undang-undang antarabangsa, penghakiman ICJ adalah muktamad dan mengikat kedua-dua Malaysia
dan Singapura. Malaysia perlulah akur dengan keputusan ICJ yang memihak kepada Singapura selaras dengan Perjanjian
Khas ditandatangani pada 6 Februari 2003 oleh Menteri Luar masing-masing dan juga Artikel 60 Statut ICJ.

Keperluan Malaysia menghormati penghakiman ICJ juga dituntut oleh Artikel 94 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB). Kegagalan Malaysia untuk akur kepada keputusan ICJ akan membolehkan Singapura membawa perkara ini ke Majlis
Keselamatan PBB untuk tindakan selajutnya.

Bagaimanapun, menurut Artikel 61 Statut ICJ jika berlaku penemuan fakta yang boleh menjadi faktor penentu, ketika
penghakiman dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah, permohonan untuk semakan semula kes itu boleh dilakukan.

Syarat untuk mengguna pakai Artikel 61 ini adalah ketidaktahuan fakta itu tidak berpunca daripada kecuaian dan ia tidak
diketahui oleh pihak yang memohon semakan semula itu. Permohonan ini juga perlulah dibuat dalam masa enam bulan
daripada penemuan fakta baru itu dan dalam tempoh 10 tahun mulai tarikh penghakiman.

Walau apa juga keputusan ICJ, perlulah diingati bahawa ia berdasarkan lunas undang-undang antarabangsa yang
dipersetujui kedua belah pihak. Ia adalah satu contoh yang baik bagaimana pertelingkahan antara dua negara boleh
diselesaikan secara aman melalui proses perundangan apabila segala usaha untuk menyelesaikan isu ini melalui rundingan
gagal dan buntu.

Rakyat amnya dan Kerajaan Malaysia khususnya perlu menerima keputusan ini dengan positif dan mengambil iktibar
daripada pengalaman tuntutan Pulau Batu Puteh ini supaya kedaulatan wilayah negara terus terpelihara.
Prof Dr Rahmat Mohamad ialah Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Mara

Pulau Batu Puteh: Usah Salahkan Sesiapa


KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) kelmarin yang memberi hak kedaulatan Pulau Batu
Puteh kepada Singapura, tidak harus dipolitikkan oleh mana-mana pihak.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata semua pihak juga diminta tidak menyalahkan sesiapa atas keputusan
itu dan menerimanya dengan hati terbuka walaupun ia mengecewakan.

"Saya tidak rasa kita menyalahkan sesiapa... ia sudah diputuskan mahkamah tetapi kita akan pastikan sebarang keputusan
yang dilakukan negara jiran kelak tidak akan menggugat kepentingan rakyat kita terutama di Johor," katanya kepada
pemberita selepas Majlis Taklimat Tertutup "Tata Etika Ahli Umno" dengan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan,
di sini, semalam.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, Singapura juga harus mengambil kira bahawa
kawasan itu sudah sebati dengan rakyat negara ini terutama di Johor.

"Kita harap mereka mempertimbangkan dan tidak mengancam rakyat kita kerana ia pernah menjadi sebahagian wilayah
Malaysia," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata walaupun kecewa dengan keputusan ICJ itu, rakyat Johor
khususnya, harus bertenang dan menerima hakikat keputusan itu muktamad dan tiada rayuan.

"Kita sudah pun bersetuju dengan keputusan muktamad mahkamah itu dan kita mahukan kestabilan serantau terutama di
kawasan tanah selatan ini berkekalan.

"Saya harap Pemuda Umno Johor melihat secara positif pembentukan jawatankuasa dua negara mengenai isu ini tetapi pada
masa sama saya mahu juga mereka memantau pelaksanaan kerjasama jawatankuasa yang ditubuhkan itu supaya ia dapat
memberi kebaikan kepada semua pihak," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berjanji memantau secara dekat kaedah yang dilaksanakan jawatankuasa teknikal
bersama Malaysia-Singapura untuk menangani isu perairan sekitar Pulau Batu Puteh dalam memastikan ia bukan saja
menjaga hubungan kedua-dua negara tetapi kepentingan rakyat Johor terutama nelayan.

Selain itu, beliau berkata, jawatankuasa terbabit juga harus memberi perhatian khusus isu laluan kapal serta ruang udara
yang selama ini membelenggu kedua-dua negara kerana ia belum mencapai keputusan di mahkamah.

Kita Terlepas Batu Puteh Kerana Cuai

PELBAGAI reaksi diberikan banyak pihak selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda,
memutuskan bahawa Singapura mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), manakala Malaysia
berhak terhadap Batuan Tengah (Middle Rocks). Kedudukan Tubir Selatan (South Ledge) pula bergantung kepada
persempadanan perairan negara yang menguasainya. Ada pihak melihat keputusan ICJ lebih menyebelahi Singapura dan
merugikan Malaysia.
Bagaimanapun, ada yang berpendapat negara tidak tewas sepenuhnya. Bagi menilai keputusan di ICJ secara menyeluruh,
wartawan Berita Minggu, Ziauddin Sharuddin dan Rohaniza Idris, mendapatkan penjelasan pakar sejarah dari Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Nik Anuar Nik Mahmud, yang menganggotai pasukan Malaysia di The Hague dan
penganalisis politik, Dr Ahmad Nidzammuddin Sulaiman, juga dari UKM.

Adakah keputusan ICJ berhubung hak kedaulatan Pulau Batu Puteh yang memihak kepada Singapura sudah dijangka
berdasarkan bukti dan penghujahan?

Dalam kes Pulau Batu Puteh, saya sudah menjangka kita akan menghadapi masalah untuk mempertahankannya sejak awal
lagi.
Pertama sekali kerana ialah kelemahan kita dari segi pentadbiran dan surat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 1953. Dari segi
sejarah, pulau itu dan pulau lain sebenarnya adalah milik Johor. Mahkamah memperakui hak itu bersandarkan Perjanjian
1819, Mac 1824, Perjanjian Ogos 1824, Perjanjian 1927 dan sebagainya.

Bagaimanapun pada 1953, kerajaan Johor apabila ditanya oleh pihak Singapura mengenai status pulau itu menjawab
bahawa pulau itu bukan milik negeri itu. Ini yang menyebabkan mahkamah menjadikan surat itu sebagai hujah untuk
mengesahkan bahawa Johor sudah menyerahkan hak kedaulatan pulau itu kepada Singapura.

Adakah penghakiman ini adalah keputusan sama menang atau hanya menguntungkan sebelah pihak?

Keputusan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka. Boleh saya katakan bahawa keputusan itu sebagai 'Blessing in Disguise'
(perkara baik yang pada awalnya tidak diketahui). Kita kehilangan Pulau Batu Puteh, tetapi menang di Batuan Tengah.

Ia membolehkan nelayan Johor menangkap ikan di kawasan sekitar pulau itu yang sebelum ini adalah kawasan non grata
(tidak diterima atau dialu-alukan) kepada nelayan kita.

Apakah faktor penting dalam penghakiman ICJ?

Mahkamah mengiktiraf Pulau Batu Puteh dan semua pulau di sini sebagai milik Johor. Dalam kes Pulau Batu Puteh, kita kalah
kerana kecuaian kerajaan Johor dulu yang membiarkan Singapura mengurus rumah api dan pulau itu.

Kemudian pada 1953, tanpa berfikir panjang, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor mengesahkan kepada Singapura bahawa
Pulau Batu Puteh bukan milik Johor. Pengesahan itu dibuat secara hitam putih.

Kecuaian ini menyebabkan kita kehilangan pulau itu. Pengajaran penting daripada penghakiman ini kepada setiap pihak
ialah belajarlah daripada sejarah. Kita perlu berhati-hati apabila membuat keputusan agar generasi akan datang tidak
menanggung kerugian penderitaan.

Siasat betul-betul asal-usul sesuatu perkara dan tidak membuat keputusan dalam keadaan tergesa-gesa.

Prof sebagai sebahagian anggota pasukan Malaysia. Bagaimana situasi di kalangan anggota pasukan selepas ICJ membuat
keputusan?

Saya nampak semua anggota delegasi Malaysia gembira dengan keputusan itu. Sebab itu, saya katakan keputusan
mahkamah adalah `Blessing in Disguise'.

Apakah kesan penghakiman kes ini terhadap pelbagai aspek membabitkan kedua-dua negara seperti persempadanan?
Seperti saya katakan, keputusan ini adalah kejayaan yang besar ertinya kepada kita. Singapura terpaksa mengakui bahawa
kawasan yang dipertikaikan itu juga hak Malaysia. Nelayan kita bebas untuk menangkap ikan di kawasan itu. Dulu nelayan
dihalang dan diugut, malah ditangkap.

Sekarang mahkamah membebaskan kepungan itu. Sudah tentu isu sempadan antara Malaysia dan Singapura berikutan
keputusan itu akan dikaji oleh Jawatankuasa Teknikal kedua-dua kerajaan.

Adakah sebarang pulau atau wilayah lain yang berpotensi menimbulkan pertikaian hak kedaulatan antara Malaysia dan
negara jiran pada masa depan?

Pertikaian di Kepulauan Spratly masih belum selesai. Saya percaya negara yang terbabit dalam pertikaian gugusan pulau ini
akan menyelesaikannya secara damai melalui proses undang-undang dan tolak ansur demi kestabilan serantau dan
kesejahteraan penduduk di rantau ini.

Apakah merujuk pertikaian membabitkan wilayah atau sempadan ke ICJ adalah suatu perkembangan yang positif atau
sebaliknya dalam soal perhubungan antara Malaysia dan negara jiran?

Ini adalah suatu tindakan bijak oleh pemimpin kedua-dua negara untuk mengelakkan berlaku konfrontasi bersenjata yang
boleh menjejaskan keselamatan serantau.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas kepada pasukan Malaysia atas kejayaan di ICJ. Kita terlepas Pulau Batu Puteh,
tetapi mendapat Batuan Tengah (Middle Rocks). Sesungguhnya keputusan itu suatu 'Blessing in Disguise'.

Apakah kesan penghakiman ICJ yang memberikan Pulau Batu Puteh kepada Singapura dan Batuan Tengah kepada Malaysia,
manakala Tubir Selatan kepada negara yang memiliki perairannya kepada hubungan antara Malaysia dan Singapura?

Kesan hubungan antara dua negara adalah tidak ketara. Hubungan Malaysia dan Singapura selama ini pun selalu pasang
surut. Ada masa panas dan ada masa sangat harmoni. Isu ini akan termasuk dalam pelbagai isu yang membuatkan
hubungan pasang surut itu seperti isu bekalan air, Tabung Simpanan Pekerja (CPF), Jambatan Indah dan Tanjung Pagar.

Bagaimanapun, jika dilihat dari aspek persempadanan negara dan hak perairan, ia sudah tentu sedikit sebanyak kesan yang
tidak memihak kepada Malaysia atau kita tidak begitu senang. Pulau Batu Puteh kini menjadi milik Singapura sepenuhnya.

Sempadan perairan keliling pulau itu juga menjadi milik republik itu. Jika membuat penambakan tanah, pulau sebesar dua
padang bola boleh menjadi 20 padang bola dan sudah tentu boleh digunakan untuk pelbagai tujuan seperti pangkalan polis
marin atau tentera dan sebagainya mengikut kehendak dan kepentingan mereka.

Benarkah keputusan itu adalah sama menang, sedangkan tumpuan utama dalam kes ini ialah Pulau Batu Puteh dan bukan
dua pulau lain yang lebih kecil?

Pandangan sama menang dinyatakan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Saya fikir kenyataan diplomatik ini mudah
difahami kerana beliau mengucapkannya sebagai Menteri Luar dan bukan sebagai Dr Rais Yatim.

Beliau memiliki tanggungjawab moral dan diplomatik serta mewakili rasmi negara ini vis a vis (berdepan secara langsung)
rakan sejawat dari Singapura. Bagaimanapun, sudah tentu pandangan ini tidak dapat dikongsi sepenuhnya rakyat Malaysia.
Sekurang-kurangnya dari sudut sentimennya.
Pada saya sama menang hanya berlaku jika Malaysia dan Singapura berebut pulau yang tidak menjadi milik mana-mana
pihak. Apabila ada dua dan diagih, setiap pihak dapat satu, barulah dianggap sebagai sama menang, tetapi semua tahu
bahawa pulau itu milik Malaysia (dulu Johor) dan semua dokumen lengkap, sejarah juga membuktikannya.

Malaysia tidak membuat tuntutan, tetapi berusaha mengekalkan haknya. Singapura kemudian membuat 'tuntutan hasil
usaha, perbelanjaan, komitmen dan sebagainya yang diberikan terhadap pulau itu selama ini.

Tiba-tiba keputusan memihak kepada Singapura dengan kelebihan ia menguruskan dan mengendalikan pelbagai alat yang
ada di pulau itu dan dibenarkan oleh Malaysia. Tuntutannya berjaya. Ini yang menyebabkan saya berpandangan ia bukan
keadaan sama menang, tetapi terlepas sebuah pulau milik kita akibat kealpaan sendiri.

Kita lihat juga analogi ini, umpama seorang ibu bapa yang ada banyak anak. Seorang anaknya diberi kepada seorang lain
untuk dipelihara walaupun dia menyatakan bukan untuk selama-lama. Apabila sudah sampai satu peringkat umur, penjaga
itu membawa ke mahkamah menuntut hak penjagaan kekal terhadap anak itu.

Sudah tentu ia menjadi satu kes yang panas. Ibu bapa asal akan kecewa dan berusaha untuk mengekalkan haknya. Ia
memberi semua dokumen bahawa itu adalah anaknya seperti surat kelahiran, laporan hospital, bukti DNA, saksi bidan yang
menyambut anaknya dulu dan sebagainya.

Penjaga pula akan memberi bukti seperti dia yang membesarkan anak itu. Surat tadika dan sekolah, kos penjagaan, semua
bil yang sudah dijelaskan bagi pemeliharaan, kesihatan dan sebagainya. Mahkamah sudah tentu membuat keputusan demi
kepentingan kanak-kanak.

Apa lagi kalau dokumen bapa asal memberi hak penjagaan itu wujud dan dapat ditunjuk di mahkamah. Dalam kes seperti
ini, saya berpendapat penjaga itu yang boleh menang. Apa lagi kalau ibu bapa asal ada ramai anak dan tidak terpelihara
dengan baik.

Demikianlah kes Pulau Batu Puteh itu, kita ada 10 peta bersejarah pun, ia hanya menjelaskan keadaannya dulu. Sekarang
tidak lagi. Ia dipelihara oleh siapa dan komitmen yang ditunjukkan itu nyata dan tidak dapat dipersoalkan.

Malaysia sebagai sebuah negara maritim mempunyai beberapa isu pertindihan tuntutan dengan negara jiran seperti
kepulauan Spratly di Laut China Selatan dan perairan Ambalat di Laut Sulawesi. Bagaimana Dr melihat setiap kes tuntutan
berkenaan? Persaingan merebut sumber ekonomi, terutama minyak dan menguasai jalan laut serta ketenteraan.

Dalam kes Spratly, Malaysia memang membuat tuntutan. Saya tidak fikir (pendapat peribadi) kita pernah mendudukinya
atau ada kampung lama milik rakyat Malaysia di situ. Cuma kita berasakan kepulauan itu berada dalam zon kita dan berhak
membuat tuntutan.

Perairan Ambalat memang seperti berada antara Malaysia dan Indonesia. Ia juga perlu dibawa ke pengadilan. Sudah tentu
semua pulau ini penting bagi kita, sekurang-kurangnya dari sudut kedaulatan, maruah dan sempadan kita. Selain itu, dari
sudut keluasan sempadan, sumber alam, perikanan dan sebagainya.

Ia menyulitkan apabila kita berdepan jiran tetangga, bukan pihak lain yang asing. Apabila ia juga menjadi tuntutan dengan
jiran ini, kita terpaksa menghadapinya. Seharusnya Batu Puteh menjadi pengajaran untuk tuntutan ini. Tidak semestinya
bertindak agresif seperti negara lain.

Apakah keputusan penghakiman kes ini akan mendorong Malaysia atau negara lain terus menggunakan pendekatan
undang-undang untuk menyelesaikan isu persempadanan?
Malaysia bukan negara yang mengamalkan dasar konfrontasi atau kekerasan. Sejak zaman konfrontasi dengan Indonesia
dulu, masalah pengganas komunis di sempadan Thailand, isu Sabah dengan Filipina, Pulau Batu Puteh dan lain-lain,
semuanya dilalui dengan cara diplomatik dan perundangan.

Saya percaya Malaysia akan menggunakan cara ini seterusnya kelak. Berdasarkan pengalaman kes Batu Puteh dan Sipadan-
Ligitan, saya percaya negara jiran juga akan menggunakan kaedah ini. Cuma cara mendekatinya berbeza.

Ada negara yang bertindak agresif dulu, meletakkan tentera, menghalau rakyat lain mendekatinya dan kemudian baru
bersetuju pergi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Pendekatan Machiavellian seperti ini nampaknya membuahkan hasil
kepadanya dengan penggunaan tenteranya.

Apakah yang mungkin berlaku jika negara yang terbabit dalam tuntutan bertindih tidak memilih pergi ke ICJ?

Jika sesebuah negara kuat dari segi ketenteraan dan mendapat sokongan kuasa besar, negara begini akan mempunyai
kelebihan. Negara ini akan mengekalkan dan sanggup bertindak secara ketenteraan sekali gus merugikan negara yang lebih
lemah dan enggan bertindak cara ini.

Negara lain akan terus mengecam, menggesa dan mendesak, tetapi sudah tentu ia tidak menyelesaikan masalah. Banyak
negara besar yang menguasai pulau kecil menggunakan kekuatan tentera untuk mengekalkan pulau seperti Pulau Falklands.

Di kawasan tuntutan bertindih yang berpotensi memiliki banyak sumber minyak, bolehkah negara yang bersaing
bekerjasama?

Idealnya begitulah. Berkongsi usaha dan hasil, tetapi kita tidak hidup dalam dunia yang ideal seperti itu. Apabila berada
dalam kedudukan bertindih dan mengetahui sumbernya lumayan, sudah tentu ia direbut oleh pihak yang mendekatinya.

Cuma kerjasama yang diharapkan ialah untuk bersetuju menyelesaikan secara rundingan atau membawa ke pengadilan
antarabangsa. Kalau dapat berunding secara aman dan mengambil keputusan secara sama menang, ini adalah lebih baik
berbanding ke mahkamah. Belanja pun banyak dapat dijimatkan dan hubungan dua hala dengan negara berkenaan juga
terus harmoni.

Pulau Batu Puteh Sah Milik Singapura


KUALA LUMPUR: Pulau Batu Puteh yang menjadi pertikaian antara Malaysia dan Singapura selama 28 tahun hari ini kini
disahkan milik Singapura selepas ia diputuskan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.

Keputusan ICJ itu akan disampaikan oleh Naib Presiden Mahkamah itu, Hakim Awn Shawkat Al Khasawneh yang juga
Pemangku Presiden, tepat jam 5.50 petang.

Keputusan itu disiarkan secara langsung oleh RTM1, mulai kira jam 4 petang ini.

Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca (bahasa Portugal untuk "Batu Putih") adalah sebuah pulau tunggul sebesar dua padang
bola sepak, yang terletak di luar pantai tenggara Pengerang, Johor, Malaysia.

Luasnya 0.2 hektar, berbatu-batu dan kira-kira 12.8 km dari Pengerang dan 64 km ke timur Singapura dan hanya 20 minit
dengan bot laju dari Teluk Ramunia, Pengerang, Johor.

Pertikaian kedaulatan pulau itu antara isu kedua-dua negara yang berlarutan hampir 28 tahun.
Singapura mendakwa Pulau Batu Puteh miliknya selepas pemetaan wilayah dibuat Malaysia pada 1979.

Pada 24 Julai 2003, Malaysia dan Singapura secara bersama memulakan proses perundangan bagi menyelesaikan tuntutan
Singapura melalui penyampaian secara rasmi kepada ICJ.

Malaysia Dan Singapura Janji Tidak Timbulkan Masalah Hasil


Keputusan Batu Puteh
KUALA LUMPUR: Malaysia dan Singapura bersetuju untuk tidak menimbulkan sebarang angkara atau masalah hubungan dua
hala dalam menerima penghakiman Mahkamah Keadilaan Antarabangsa pada Jumaat ini berhubung isu tuntutan Pulau Batu
Puteh.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim hari ini berkata ini bermakna sekiranya keputusan memihak kepada Malaysia,
Singapura akan terus berbaik sangka dan tidak menimbulkan sebarang prejudis atau prasangka dan begitu juga sebaliknya.

"Kita akan menghormati keputusan dan terus menjelmakan bibit persahabatan antarabangsa dan kejiranan. Kita harus
menerima ia sebagai satu yang biasa dan dalam keadaan terbuka.

"Sehubungan itu satu jawatankuasa teknikal sudah dipersetujui untuk diwujudkan dan jawatankuasa itu akan merumus,
mentadbir dan melaksanakan keputusan mengikut lunas pentadbiran antarabangsa, katanya kepada pemberita di lobi
Parlimen di sini.

Rais berkata, jawatankuasa berkenaan akan menentukan antara lainnya hal berkenaan siapa yang harus berada di pulau itu
selepas keputusan diambil dan juga soal kawasan perikanan.

Sebelum itu Rais memberi taklimat ringkas mengenai kes itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
dan Anggota Parlimen.

"Perdana Menteri merasakan bahawa sebagai satu kes biasa, jika doa dan harapan negara tak menjelma, ia seharusnya
dihadapi dengan baik, katanya.

Rais menasihatkan rakyat menerima keputusan dengan baik dan tidak menimbulkan huru hara atau mempengaruhi mana-
mana pihak supaya tidak berbaik dengan Singapura.

Delegasi Malaysia akan berlepas ke The Hague, Belanda, malam ini.

Pada jam 4 petang (waktu Malaysia) Jumaat ini, ICJ akan mengumumkan keputusannya siapakah yang mempunyai hak
kedaulatan terhadap pulau itu yang terletak 7.7 batu nautika dari perairan Johor.

Perbicaraan berlangsung dari 6 hingga 23 Nov tahun lalu.

Malaysia dan Singapura sudah berikrar mematuhi keputusan ICJ itu dan keputusan mahkamah itu adalah muktamad dan
tidak ada rayuan boleh dibuat.

You might also like