Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

LATIHAN RUMUSAN SET 1

[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kebaikan makan
coklat dan cara-cara memajukan industri coklat. Panjangnya rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.

Sejak turun-temurun, coklat telah digunakan dalam penyediaan pelbagai jenis makanan
dan minuman yang digemari oleh semua peringkat umur daripada segenap lapisan masyarakat
di seluruh dunia. Pada zaman dahulu hanya orang yang berada dapat menikmati coklat. Pada
masa itu, coklat ialah makanan yang dikhaskan untuk raja-raja, perwira dan pembesar negara.
Kini, coklat yang dihasilkan daripada buah koko semakin berkembang dan menjadi sumber
ekonomi kepada banyak negara.

Coklat mempunyai kandungan serat yang tinggi, karbohidrat, antioksida, kalsium, fosfat
dan vitamin A, B, C dan D. Mengikut kajian sains, pengambilan coklat dapat melegakan otot.
Namun demikian, sekiranya diambil secara berlebihan, coklat boleh menyebabkan otot menjadi
terlalu rehat sehingga asid perut mudah masuk ke dalam esofagus, iaitu bahagian saluran
makanan yang terletak antara tekak dengan perut. Keadaan ini boleh mengakibatkan
kecederaan dalaman kepada manusia. Hasil penyelidikan pula mendapati bahawa coklat dapat
memberikan perasaan gembira yang amat sangat kepada pemakannya. Perasaan gembira
dapat dirasai ketika coklat mencair di dalam mulut.

Hasil kajian mendapati bahawa ketika makan coklat, aromanya mampu merehatkan
minda seseorang. Di samping itu, pengambilan coklat juga dapat menimbulkan perasaan
relaks kerana bahan kimia teobromina yang terdapat dalam coklat boleh memberikan
rangsangan psikologi seolah-olah diri sentiasa bertenaga. Walau bagaimanapun, bahan kimia
yang memberikan kesan relaks kepada manusia itu boleh menjadi racun kepada banyak
haiwan peliharaan seperti kucing, anjing dan kuda. Hal ini terjadi kerana haiwan peliharaan
tidak mempunyai sistem penghadaman yang dapat melakukan proses penguraian terhadap
bahan kimia tersebut.

Manfaat lainnya ialah coklat mempu melanjutkan usia seseorang yang selalu
memakannya. Kajian mendapati bahawa sekiranya manusia mengunyah coklat tiga kali
sebulan, mereka diramalkan dapat hidup setahun lebih lama daripada orang yang tidak
memakan coklat langsung. Selain itu, coklat boleh mengurangkan risiko serangan strok kerana
fungsinya yang dapat mencairkan darah dan mengelakkan darah daripada membeku di dalam
jantung. Penghidap asma juga digalakkan supaya memakan coklat untuk melegakan saluran
pernafasan di dalam paru-paru. Kandungan bahan kimia dalam coklat yang diambil juga sesuai
untuk melegakan batuk. Namun begitu, manusia perlu berhati-hati kerna pengambilan coklat
yang berlebihan boleh mengakibatkan obesiti.
PANDUAN JAWABAN RUMUSAN SET 1

Pendahuluan:-Petikan membincangkan faedah-faedah makan coklat kepada kesihatan


manusia.

Senarai isi-isi Tersurat:(Kebaikan makan coklat)


1. mengandungi pelabagai jenis zat makanan seperti serat dan vitamin.
2. pengambilan coklat boleh melegakan otot.
3. pemakan coklat akan berasa gembira.
4. aroma coklat mampu merehatkan minda pemakannya.
5. pengambilan coklat dapat menimbulkan perasaan yang rileks.
6. memakan coklat dikatakan boleh memanjangkan usia seseorang.
7. coklat yang boleh mencairkan darah mampu mengurangkan risiko serangan strok.
8. mampu mengurangkan asma kerana coklat boleh melegakan saluran pernafasan.
9. kandungan kimia dalam coklat boleh melegakan batuk.

Senarai isi-isi Tersirat(Cara-cara memajukan industri coklat)


1. Memberi galakan kepada petani untuk mempertingkatkan hasil koko negara.
2. Membuka kawasan penanaman baharu bagi tanaman koko.
3. Mempelbagaikan kegunaan coklat kepada semua pengguna.
4. Mengkaji harga bahan-bahan berasaskan coklat di negara kita.
5. memberi penjelasan kepada pengguna tentang diet coklat.
6. peranan iklan atau media untuk menghebahkan kepentingan dan keistimewaan coklat.

Kesimpulan rumusan:
Kesimpulannya, pelbagai pihak mesti menyokong industri coklat di negara kita supaya industri
ini dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara.
PETIKAN RUMUSAN SET 2

[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
bahasa kebangsaan dan masalah-masalah yang dihadapi untuk memperkasakan bahasa
kebangsaan. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pada kelazimannya, istilah bahasa kebangsaan merujuk kepada satu bahasa yang
dikaitkan dengan sesebuah negara. Bahasa yang dipilih untuk menjadi bahasa kebangsaan
biasanya ialah bahasa setempat atau bahasa peribumi. Bahasa kebangsaan sering dijadikan
simbol jati diri nasional yang sama untuk seluruh rakyat sesebuah negara.

Dalam hal ini, seperti kebanyakan negara, Malaysia memiliki hanya satu bahasa
kebangsaan, iaitu bahasa Melayu. Dengan menggunakan satu bahasa kebangsaan sahaja,
negara kita telah berjaya membentuk satu identiti nasional yang sama dalam kalangan rakyat.
Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa kebangsaan negara kita kerana bahasa Melayu
ialah bahasa kumpulan etnik yang paling besar dan atas kemampuannya sebagai bahasa
lingua franca, iaitu bahasa perhubungan antara masyarakat selama beberapa abad di rantau
ini. Di samping itu, bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran kerajaan Melayu sebelum
negara ini dijajah oleh kuasa Barat. Walau bagaimanapun, akibat penjajahan Barat, perpaduan
rakyat di negara kita mulai tergugat. Tindakan onar penjajah itu meninggalkan kesan yang
mendalam sehingga menyulitkan kita untuk menyuburkan jati diri serta citra bangsa yang utuh
sifatnya.

Setelah mencapai kemerdekaan, para pemimpin kita telah mengambil langkah segera
untuk mengukuhkan perpaduan rakyat yang menjadi teras pembangunan negara. Atas
kesedaran itulah, bahasa Melayu dikembalikan peranannya sebagai alat perpaduan dan
seterusnya membangkitkan semangat kebangsaan rakyat negara ini. Di samping itu, bahasa
kebangsaan juga dapat memupuk semangat kekitaan dalam jiwa rakyat Malaysia, yang bersifat
padu dan abadi. Hal tersebut hanya dapat dilakukan melalui perkongsian satu bahasa
kebangsaan, yang antaranya digunakan sebagai bahasa pengantar tunggal dalam sistem
pendidikan nasional. Melalui sistem pendidikan tersebut bahasa kebangsaan juga berperanan
sebagai alat untuk menyatupadukan rakyat dalam negara kita. Sehubungan dengan itu, banyak
negara yang memanfaatkan fungsi bahasa kebangsaan untuk menyatupadukan rakyat.

Melalui penggunaan satu bahasa kebangsaan sesama rakyat, komunikasi yang


berkesan dapat dizahirkan. Hal ini demikian kerana melalui pertuturan satu bahasa yang sama
rakyat mudah memahami antara satu sama lain dan rasa saling menghormati akan dapat
diwujudkan. Sesungguhnya bahasa kebangsaan bukan sahaja merupakan jiwa rakyat, tetapi
sebenarnya ialah maruah negara dan maruah rakyat negara kita. Dalam konteks ini, martabat
dan nama baik bahasa Melayu perlu dijaga. Bahasa Melayu wajar diletakkan pada kedudukan
teratas, yakni di atas mana-mana bahasa lain di negara kita selaras dengan cogan kata bahasa
jiwa
PANDUAN JAWABAN RUMUSAN SET 2

Pendahuluan:-Petikan membincangkan kelebihan-kelebihan bahasa Melayu sebagai bahasa


kebangsaan di negara kita.

Senarai isi-isi Tersurat:(Kepentingan bahasa kebangsaan)


1. Menjadi lambang jati diri nasional yang sama untuk seluruh rakyat.
2. Merupakan satu identiti nasional yang sama dalam kalangan semua rakyat.
3. Sebagai alat perpaduan.
4. Dapat membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat.
5. Memupuk semangat kekitaan dalam jiwa rakyat.
6. Menjadi bahasa pengantar tunggal dalam sistem pendidikan negara.
7. Mampu menyatupadukan rakyat Malaysia.
8. Dapat mewujudkan komunikasi yang berkesan.

Senarai isi-isi Tersirat(masalah-masalah yang dihadapi)


1. Sokongan daripada pihak swasta kurang memberangsangkan.
2. Masyarakat yang kurang peka terhadap kepentingan bahasa kebangsaan.
3. Sesetengah pemimpin dan masyarakat yang tidak mengutamakan bahasa kebangsaan.
4. Sesetengah masyarakat yang lebih suka menggunakan bahasa Inggeris.
5. Keyakinan sesetengah masyarakat terhadap bahasa Melayu sangat kurang.
6. Penggunaan bahasa rojak dalam kalangan masyarakat yang menjejaskan bahasa
kebangsaan.

Kesimpulan rumusan:
Kesimpulannya, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan mesti dipergiatkan supaya bahasa
kebangsaan sentiasa dipandang tinggi.
PETIKAN RUMUSAN SET 3

[ 30 markah ]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan tidur
dari segi saintifik dan cara-cara mengatasi masalah sukar tidur. Panjangnya rumusan
hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Pernahkah sekali-sekala anda berasa otak lebih lembap dan sukar untuk berfikir?
Pernahkah anda mengalami keadaan yang merimaskan terutama apabila sukar memberikan
tumpuan kepada kerja ataupun pelajaran? Kajian menunjukkan bahawa masalah sukar
menumpukan perhatian dan kelembapan otak ini ada kaitan dengan faktor tidur.

Setiap orang memerlukan masa tidur yang berbeza mengikut umur, tahap kesihatan dan
aktiviti hariannya. Misalnya, golongan remaja memerlukan tidur antara enam hingga lapan jam
sehari. Tidur yang paling berkualiti ialah tidur pada waktu malam. Tidur amat penting bagi
melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan. Melalui proses ini, badan
seseorang mengeluarkan hormon pertumbuhan yang berfungsi untuk membaiki sel-sel yang
rosak. Kajian mendapati bahawa tidur yang cukup mampu meningkatkan keupayaan untuk
belajar dan membantu dalam memelihara daya ingatan seseorang. Selain itu, proses
penyimpanan maklumat di dalam otak juga berlaku semasa tidur. Oleh itu, mereka yang sering
tidur lewat, seperti murid yang mengulang kaji pelajaran sehingga lewat malam, akan
menyebabkan proses penyimpanan maklumat terganggu. Kurang tidur juga mengakibatkan
tumpuan seseorang dalam membuat keputusan dan perancangan terjejas. Menurut kajian,
kebanyakan kemalangan yang berlaku di tempat kerja dan di jalan raya ada kaitannya dengan
tumpuan yang terganggu akibat faktor kurang tidur.

Tidur memantapkan sistem ketahanan dalam badan seseorang. Hal ini demikian kerana
seseorang yang tidur kurang daripada kadar biasa akan mengalami tekanan dan melemahkan
ketahanan badan sehingga menyebabkan mudah dijangkiti penyakit. Menurut pakar, badan
kita mempunyai pusingan biologi yang tetap. Pusingan biologi ini aktif pada waktu siang dan
kurang aktif pada waktu malam. Oleh itu, bagi memulihkan pusingan biologi dalam badan, kita
perlu tidur secukupnya. Tidur yang tidak mencukupi akan menjejaskan pusingan biologi
seseorang.

Selain tidur pada waktu malam. Amalan tidur seketika pada waktu tengah hari dapat
menyegarkan tubuh badan, sekali gus meningkatkan produktiviti. Kajian juga menunjukkan
bahawa tidur secara rutin selama 30 minit pada waktu tengah hari dapat mengurangkan risiko
penyakit jantung. Walau bagaimanapun, seseorang tidak digalakkan tidur selepas matahari
terbit dan waktu lewat petang. Hal ini demikian kerana menurut pakar, tidur pada waktu-waktu
tersebut boleh menjejaskan kesihatan. Tidur yang cukup pada waktu yang sesuai merupakan
komponen penting bagi mendapatkan kesihatan yang baik.
PANDUAN JAWABAN RUMUSAN SET 3

Pendahuluan:-Petikan membincangkan faedah-faedah tidur dari segi saintifik bagi menjamin


kecerdasan seseorang.

Senarai isi-isi Tersurat (Kepentingan tidur dari segi saintifik)


1. Melancarkan proses metabolisme karbohidrat di dalam badan seseorang.
2. Meningkatkan keupayaan untuk belajar.
3. Memelihara daya ingatan seseorang.
4. Berlakunya proses penyimpanan maklumat di dalam otak.
5. Memantapkan sistem ketahanan di dalam badan seseorang.
6. Memulihkan sistem pusingan biologi di dalam badan seseorang.
7. Menyegarkan tubuh badan seseorang dan meningkatkan produktiviti.

Senarai isi-isi Tersirat (Cara-cara mengatasi masalah sukar tidur)


1. Mengamalkan gaya hidup sihat pada waktu siang.
2. Membersihkan badan/mandi sebelum tidur.
3. Mengikut jadual tidur dan bangun seperti yang telah ditetapkan mengikut peringkat umur.
4. Mendengar muzik atau membaca sebelum tidur.
5. Makan makanan yang seimbang atau menjaga tabiat pemakanan.
6. Menjauhi minuman yang menyebabkan kita sukar tidur.
7. Memilih tempat tidur yang tenang dan tiada gangguan.
8. Mendapatkan khidmat nasihat doktor.

Kesimpulan rumusan:
Kesimpulannya, setiap orang mestilah mendapatkan tidur yang secukupnya dan berkualiti
supaya dapat menikmati hidup yang sempurna.
PETIKAN RUMUSAN SET 4

[30 markah]
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan
penghayatan semangat patriotik dalam kalangan generasi muda dan halangan
melaksanakannya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Semangat patriotik ialah perasaan cinta akan tanah air. Semangat ini sering dikaitkan
dengan semangat nasionalisme, iaitu semangat kenegaraan bagi membina dan
membangunkan negara.Semangat patriotik dapat menjadikan generasi muda memperkukuh
pembangunan negara yang telah diasaskan oleh generasi terdahulu.

Semangat patriotik ini dapat menanamkan rasa tegas diri dalam diri anak-anak muda.
Tegas diri ini ditonjolkan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kita akan berasa
bangga apabila lagu kebangsaan dimainkan dan Jalur Gemilang dikibarkan atau apabila negara
mencapai kemajuan dalam sesuatu bidang juga kejayaan di arena antarabangsa. Pendek kata,
semangat patriotik mampu meningkatkan daya juang dan jati diri serta berupaya
membangunkan dan memajukan diri sendiri, keluarga serta masyarakat.

Semangat patriotik ini perlu disematkan dengan kukuh dalam kalangan generasi muda.
Contoh yang paling ketara ialah sambutan Hari Kebangsaan yang seharusnya dihayati oleh
generasi ini. Hal ini demikian kerana mereka tidak terlibat dalam perjuangan memperoleh
kemerdekaan negara yang pernah dilakukan oleh negarawan kita beberapa dekad yang lalu.
Oleh itu, mereka mungkin kurang memahami pahit getir perjuangan untuk mendapatkan
kemerdekaan tersebut. Namun demikian, kesedaran tentang pentingnya kemerdekaan negara
dalam hubungan tidak terlalu bergantung pada negara lain amat perlu. Hal ini demikian kerana
tanpa kebebasan membuat keputusan sendiri dalam hala tuju pembangunan negara, kita akan
terus menjadi hamba atau orang suruhan kuasa lain. Kita juga akan mudah diperalatkan oleh
negara lain untuk mencapai sesuatu agenda mereka.

Semangat patriotisme ini bertujuan membentuk generasi muda yang kental dari segi
fizikal dan minda. Hal ini membolehkan generasi kini mengukuhkan jati diri dan semangat
kenegaraan bagi membendung perkembangan gejala sosial untuk meruntuhkan akhlak dan
akidah. Anak muda yang tebal semangat patriotiknya tidak akan tergamak terlibat dalam gejala
sosial. Mereka tentunya sedar akan tanggungjawab dan peranan yang perlu dipikul oleh
mereka sebagai peneraju masyarakat masa hadapan.

Semangat patriotik dapat mencorakkan dan meningkatkan komitmen penduduk


pelbagai etnik. Dalam konteks budaya, perpaduan perlu ditunjukkan dalam bentuk perlakuan
hidup seharian. Dalam hal ini, kita agak kurang bermasalah kerana generasi muda hari ini
nampaknya lebih erat hubungannya walaupun mereka berasal daripada pelbagai kaum. Hal ini
demikian kerana wawasan budaya kebangsaan nampaknya mempunyai kesan yang positif
dalam kalangan mereka. Kedudukan kumpulan etnik ini dalam pelbagai bidang kehidupan juga
nampaknya sudah agak setanding seperti peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Semangat patriotik ini perlu dijadikan landasan bagi meningkatkan kesetiaan terhadap
negara, tanpa mengira kaum dan dalam apa-apa jua situasi. Semangat ini juga amat perlu
bagi mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara serta hubungan antara kaum. Hal ini
dapat memupuk amalan perkongsian dan kerjasama dalam pelbagai bidang, dan menanam
sikap serta tanggungjawab bersama bagi menjayakan wawasan dan cita-cita negara.
Akhirnya, semangat patriotik mesti ditanamkan dalam generasi muda kita kerana
semangat ini menyentuh soal maruah, martabat, pembangunan, identiti dan kesejahteraan
hidup pada masa hadapan.
( Dipetik dan diubahsuaikan daripada
buku teks Bahasa Melayu tingkatan 4 ms
165 166)

SOALAN PEMAHAMAN

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya
dengan menggunakan perkataan anda sendiri.

I. Berikan maksud meningkatkan daya juang seperti dalam petikan.

II. Mengapakah generasi muda perlu menghayati kemerdekaan?

III. Pada pendapat anda, bagaimanakah usaha yang perlu dilakukan bagi mengekalkan
kemerdekaan?
PANDUAN JAWABAN RUMUSAN SET 4

Pendahuluan:-Petikan membincangkan faedah/kebaikan/manfaat penghayatan semangat


patriotisme dalam kalangan generasi muda di negara kita/di Malaysia.

Senarai isi-isi Tersurat (kepentingan penghayatan semangat patriotisme)


1. dapat menjadikan generasi muda memperkukuh pembangunan negara.
2. dapat menanam rasa tegas diri
3. mampu meningkatkan daya juang dan jati diri.
4. berupaya membangunkan dan memajukan diri sendiri, keluarga serta masyarakat
5. tidak akan tergamak terlibat dalam gejala sosial.
6. membentuk generasi muda yang kental dari segi fizikal dan minda
7. mengukuhkan jati diri dan semangat kenegaraan.
8.dapat mencorakkan dan meningkatkan komitmen penduduk pelbagai etnik
9.meningkatkan kesetiaan terhadap negara tanpa mengira kau dan dalam apa-apa jua situasi.

Senarai isi-isi Tersirat (Halangannya)


1. pengaruh media sosial
2. kurang pendedahan tentang semangat patriotik
3. terpengaruh dengan budaya atau idealisme daripada barat.

Kesimpulan rumusan:
Kesimpulannya, semua pihak memainkan peranan dalam memupuk semangat patriotisme
dalam kalangan generasi muda supaya negara akan bertambah maju.

Soalan 2(a) - Petikan Umum


Jawapan:

I. Maksud meningkatkan daya juang ialah menambahkan semangat untuk bersaing.

II. Generasi muda perlu menghayati kemerdekaan agar mereka menghargai pengorbanan
generasi terdahulu di samping dapat melahirkan semangat cinta akan negara dan
sentiasa berusaha mengekalkan kemerdekaan negara.

III. Pada pendapat saya, usaha yang perlu dilakukan bagi mengekal kemerdekaan ialah
dengan mempertontonkan keperitan generasi lalu memperjuangkan kemerdekaan,
mengekalkan keharmonian hidup antara kaum di negara ini serta memberikan peluang
pendidikan sama rata/ tertinggi kepada rakyat. Kerajaan pula perlu meningkatkan taraf
sosio ekonomi penduduk dan mempertingkatkan kekuatan pertahanan negara.
PETIKAN RUMUSAN SET 5

[30 markah]

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha
membudayakan amalan berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat dan kekangan-
kekangannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Dewasa ini kita menghadapi satu senario, iaitu sifat-sifat luhur dan kesantunan budi
bahasa yang semakin terhakis sedangkan dulu hal ini menjadi kebanggaan masyarakat
Malaysia. Ungkapan infrastruktur kelas pertama dan mentaliti kelas ketiga tepat
menggambarkan kerisauan masyarakat Malaysia tentang keadaan negara pada masa ini.
Ekoran itu, kerajaan telah mengorak langkah yang bijaksana, iaitu pada 11 Januari 2005,
Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni
Peringkat Kebangsaan. Kempen ini dijalankan bagi tempoh masa lima tahun dari tahun 2005
hingga tahun 2010. Perdana Menteri menyatakan bahawa sebelum amalan ini terhakis
seharusnya peranan kendiri, keluarga, dan masyarakat amat penting untuk membugarkan
budaya berbudi bahasa.

Peranan institusi keluarga tidak boleh dikesisikan. Para ibu bapa perlu mengambil sikap
bersungguh-sungguh apabila memberi didikan kepada anak-anak. Ibu bapa harus menyemai
sikap berbudi bahasa yang tinggi kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Hal ini kerana remaja sering dikaitkan dengan gejala sosial seperti pergaulan bebas,
lepak, lumba haram dan sebagainya. Perlakuan mereka sudah melanggar adab dan tatasusila
yang menjadi norma dalam masyarakat. Pada masa inilah masyarakat harus mempunyai
keupayaan untuk menegur perlakuan remaja dengan cara berhemah agar mereka dapat
menerima teguran dengan sebaik-baiknya.

Sebaliknya, masyarakat hari ini lebih menekankan aspek materialisme, sekali gus
meminggirkan nilai moral seperti berbudi bahasa. Ibu bapa dan guru-guru sepatutnya
berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan peranan membentuk peribadi anak-
anak kerana remaja diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mudah menerima dan
seterusnya mengamalkan nilai budi bahasa yang terpuji. Dalam kehidupan bermasyarakat,
para remaja perlu sentiasa menggunakan tutur kata yang sopan, mempunyai fiil yang halus dan
budi pekerti yang mulia, bertegur sapa, sedia memohon maaf, membiasakan diri memberi
salam atau ucap selamat dan bantu-membantu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Selain itu, institusi pendidikan formal, iaitu sekolah bertanggungjawab untuk melahirkan
pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek selaras dengan Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Tugas guru pula semakin mencabar bukan sahaja menghabiskan
sukatan pelajaran, malah guru harus menjadi suri teladan kepada anak didik mereka. Jadi
warga pendidik hendaklah menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi dengan
pelajar. Tugas ini haruslah disambut baik oleh para pendidik kendatipun mereka menanggung
beban tugas yang banyak. Seterusnya, masyarakat menyambut baik jika syarikat
pengangkutan awam seperti bas, teksi, monorel, dan LRT menggunakan kenderaan mereka
sebagai platform untuk mendidik masyarakat ke arah merealisasikan nilai-nilai berbudi bahasa
dengan melekatkan pelbagai iklan dan cogan kata pada kenderaan awam. Hal ini demikian
kerana pembangunan fizikal seharusnya seiring dengan pembangunan insan.

Sebagai konklusi, masyarakat yang maju tanpa nilai-nilai moral, khususnya budi bahasa
dapat diibaratkan seperti seorang manusia tanpa roh. Kita tidak mahu generasi akan datang
menjadi masyarakat yang tidak berbudi bahasa dan lupa akan adat yang selama ini diamalkan
oleh masyarakat Melayu. Semua pihak harus menggemblengkan tenaga bersama-sama
menyahut kempen kerajaan agar amalan berbudi bahasa yang menjadi amalan tradisi nenek
moyang kita tidak luput ditelan arus globalisasi yang begitu hebat.

Diubahsuaikan daripada Berbudi Bahasa Amalan Hidup Kita


oleh Tuan Ismail Tuan Muhammad, Dewan Siswa, Februari 2008

Soalan 2(a) - Petikan Umum

Berdasarkan petikan soalan di atas, jawab soalan-soalan berikut dengan menggunakan ayat
anda sendiri.

I. Berikan maksud rangkai kata meminggirkan nilai moral

II. Apakah perkara yang merisaukan masyarakat Malaysia?

III. Pada pendapat anda, apakah kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat jika amalan
berbudi bahasa semakin terhakis?
PANDUAN JAWABAN RUMUSAN SET 5

Pendahuluan:-Petikan membincangkan langkah/cara/kaedah membudayakan amalan


berbudi bahasa dalam kalangan masyarakat di Malaysia.

Senarai isi-isi Tersurat (Usaha membudayakan amalan berbudi bahasa)


1. Para ibu bapa perlu mengambil sikap bersungguh-sungguh apabila memberi didikan kepada
anak-anak
2. Ibu bapa harus menyemai sikap berbudi bahasa yang tinggi kepada anak-anak.
3. Masyarakat harus mempunyai keupayaan untuk menegur perlakuan remaja dengan cara
berhemah
4. Ibu bapa dan guru-guru sepatutnya berganding bahu dengan masyarakat dalam memainkan
peranan membentuk peribadi anak-anak.
5. Institusi pendidikan formal iaitu sekolah bertanggungjawab untuk melahirkan pelajar yang
seimbang.
6.Guru harus menjadi suri teladan kepada anak didik mereka.
7.Melekatkan pelbagai iklan dan cogan kata pada kenderaan awam
8.Warga pendidik harus menggunakan bahasa yang sopan apabila berinteraksi dengan pelajar

Senarai isi-isi Tersirat (kekangan)


1. Kurang didikan daripada ibu bapa
2. Terpengaruh dengan media sosial.
3. Sikap tidak ambil peduli dalam kalangan masyarakat.
4. Kurang penerapan nilai murni dalam kalangan pendidik.

Kesimpulan rumusan:
Kesimpulannya, semua pihak perlu menggembleng tenaga dalam memupuk amalan berbudi
bahasa supaya dapat menikmati hidup yang aman.

Jawapan:

I. Maksud rangkai kata meminggirkan nilai moral ialah tidak mengendahkan amalan-
amalan baik/ tidak mementingkan perkara-perkara baik.

II. Perkara yang merisaukan masyarakat Malaysia ialah sifat-sifat luhur semakin terhakis
termasuk kesantunan budi bahasa dan mentaliti rakyat masih berada pada tahap kelas
ketiga.

III. Pada pendapat saya, kesan yang akan dihadapi oleh masyarakat jika amalan berbudi
bahasa semakin terhakis ialah masyarakat bersikap ego dan mementingkan diri sendiri.
Di samping itu, masyarakat akan mementingkan harta semata-mata. mereka akan
menjadi semakin sombong, jati diri masyarakat semakin luntur, hilang rasa hormat-
menghormati, hilang sikap bertolak ansur, dan hilang semangat kejiranan

You might also like