Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

PEMIKIRAN LATERAL, KRITIS, KREATIF, REFLEKTIF

PENGENALAN

Konsep kemahiran berfikir ialah sesuatu proses yang dialami dan sesuatu jenis
kebolehan atau kemahiran. Pemikiran merupakan proses menyusun,
mempergunakan maklumat dan pengetahuan menggunakan akal untuk
menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut pendapat Edward De Bono (1976),
pemikiran merupakan kemahiran yang berkaitan dengan pemikiran lateral. Ianya
membolehkan manusia melihat pelbagai perspektif untuk menyelesaikan masalah
dalam sesuatu situasi tertentu. Sementara itu, menurut pandangan Islam, berfikir
ialah fungsi akal yang memerhatikan tenaga supaya otak manusia dapat bekerja
dan beroperasi. Kesimpulannya, definisi pemikiran ialah sesuatu proses
menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu
keraguan atau masalah yang timbul. Permasalahan ini diselesaikan dengan
pelbagai cara, membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logikal
dan munasabah terhadap proses yang dialami oleh seseorang.

Gaya berfikir banyak menentukan sesuatu keputusan dan tindakan seseorang


terhadap sesuatu perkara atau penyelesaian masalah. Manusia mempunyai gaya
berfikir yang berbeza-beza. Terdapat beberapa jenis pemikiran yang akan saya
bincangkan bagi membezakan pemikiran seseorang individu. Antaranya ialah
Pemikiran Lateral, Pemikiran Kritis, Pemikiran Kreatif, dan Pemikiran Reflektif.

PEMIKIRAN LATERAL

Pemikiran Lateral ialah satu cara penyelesaian masalah yang menggunakan daya
imaginasi dan bukan secara logik atau tradisional. Pemikiran Lateral ini
diasaskan oleh Dr. Edward De Bono yang merupakan seorang pakar dalam
bidang perubatan dan pemikiran. Beliau memperkenalkan corak berfikir lateral
setelah mendapati terdapat banyak halangan pada corak pemikiran konvensional.
Pemikiran ini bukan bertujuan menyingkirkan corak pemikiran yang sedia ada
tetapi ianya adalah untuk mencari jalan terpantas dan lebih berkesan untuk
menyelesaikan masalah yang menepati kriteria yang dikehendaki. Pemikiran Dr
De Bono telah dirumuskan oleh Ainon Mohd dan Abdullah, dalam kata-kata di
bawah:

Kita tidak akan dapat menggali lubang-lubang baru di tempat-tempat lain kalau
kita asyik menggali lubang yang ada supaya lebih dalam lagi (Ainon Mohd &
Abdullah Hassan, 1996).

Terdapat beberapa faktor penting yang diambil kira dalam pemikiran lateral.
Antaranya ialah mengenalpasti idea-idea dominan utama dalam masalah yang
dihadapi. Kedua, melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut yang berlainan,
ketiga melonggarkan cara-cara pemikiran yang terkawal, dan keempat
menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang dalam membuat penyelesaian
masalah.

Dr. De Bono juga memperkenalkan teori lima prinsip Revolusi Positif yang
digunakan untuk mengatasi sifat-sifat negatif berdasarkan konsep lima jari
tangan manusia iaitu; Ibu jari melambangkan keberkesanan (Effectiveness), Jari
telunjuk melambangkan sikap membina (Constructive), Jari tengah
melambangkan sikap menghormati (respect), Jari manis melambangkan
pembaikan diri (self-Improvement), dan Jari kelingking melambangkan
sumbangan (contribution).

Sementara itu, terdapat lima teknik pemikiran yang digunakan dalam pemikiran
lateral. Antaranya ialah teknik perkaitan bebas, teknik reversal, kaedah cabaran,
dan menganalisa masalah. Teknik perkaitan bebas biasanya berlaku dalam
proses sumbangsaran. Contohnya, semasa pengajaran dan pembelajaran (P&P),
guru boleh membincangkan satu topik perbincangan berkaitan isu semasa.
Murid-murid bebas menghasilkan idea atau pandangan semasa aktiviti ini
dijalankan malah murid-murid juga bebas menghasilkan idea-idea. Namun
begitu, idea-idea dan pandangan murid-murid ini perlu direkodkan atau
dicatatkan sebelum mengemukakan pendirian tentang keputusan bagi sesuatu
permasalahan yang dibincangkan kepada guru. Sementara keputusan yang
dihasilkan adalah keputusan bersama. Teknik pemikiran lateral yang digunakan
dalam bilik darjah ini dapat menggalakkan proses pemikiran kreatif dan
meningkatkan kemahiran kognitif murid-murid.
Seterusnya, kaedah reversal iaitu kaedah yang digunakan untuk menilai
sesuatu keadaan yang biasa secara terbalik. Teknik pemikiran yang digunakan ini
membolehkan murid tidak perlu mencari jawapan yang betul tetapi penyusunan
maklumat akan menggalakkan murid-murid melihat cara-cara yang berbeza untuk
menilai sesuatu situasi atau menyelesaikan masalah.

Selain itu, kaedah objek fokal juga digunakan dalam penyelesaian sesuatu
masalah. Kaedah ini membolehkan murid memilih sesuatu objek secara rawak
dan mengaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji. Penggunaan strategi
pemusatan bahan membolehkan murid memahami pelajaran dengan lebih
bermakna apabila dapat mengaitkan bahan yang disediakan oleh guru untuk
menyelesaikan sesuatu perkara.

Teknik seterusnya ialah menggunakan kaedah cabaran. Dalam membuat


penyelesaian masalah, murid boleh mencabar cara-cara atau sesuatu perkara
yang dilakukan menggunakan cara atau keadaan sedia ada. Ianya bermaksud
pemikiran murid tidak terhad kepada pemikiran yang sedia ada tetapi
berfikir secara luar kotak. Murid perlu berfikiran terbuka dan berfikir secara
positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

Seterusnya ialah menganalisa masalah. Proses pemikiran yang dilakukan adalah


dengan cara memecahkan masalah kepada bahagian yang lebih kecil. Dalam
penyelesaian sesuatu masalah, seseorang murid dapat menyusun semula situasi
masalah menggunakan cara penyelesaian masalah yang baru dan berbeza antara
seorang individu dengan individu yang lain.

Sementara itu, guru juga berperanan dalam merangsang kepelbagaian pemikiran


murid. Ianya bertujuan untuk menggalakkan proses pemikiran kreatif dalam
kalangan murid. Selain itu, guru perlu menggalakkan murid menyelesaikan
masalah melalui pelbagai perspektif dengan cara memecahkan sesuatu masalah
kepada bahagian yang lebih kecil untuk penyelesaian yang unik dan berbeza.
Antara kaedah yang boleh digunakan ialah menyediakan senarai rujuk sesuatu
masalah, permainan dan latihan, kaedah metafor dan analogi.

Dr. Edward De Bono telah menyediakan beberapa garis panduan dalam membuat
keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Murid dan guru boleh
mengunakan garis panduan ini semasa P&P dalam bilik darjah. Antaranya ialah
sentiasa bersikap positif dan konstruktif, berfikir secara perlahan-lahan dan
secara mudah serta jangan memudahkan sesuatu perkara. Selain itu, murid dan
guru juga perlu melupakan ego, jangan biarkan ego bercampur aduk semasa
berfikir, menentukan tujuan berfikir, menukarkan pemikiran otak untuk berfikir
secara logik dan pemikiran kreatif, menentukan hasil yang hendak dicapai.
Seterusnya ialah sentiasa fikirkan alternatif yang lain, memberi tempat kepada
perasaan, menukar ganti pemikiran secara luas dan terperinci, membezakan
perkara yang sepatutnya dengan yang mungkin, mengambil kira pendapat orang
lain, dan melibatkan nilai dalam semua jenis tindakan yang hendak diambil dalam
membuat sesuatu keputusan.

Kesimpulannya, terdapat banyak alat berfikir dalam menyelesaikan permasalahan


dengan cekap dan berkesan. Dr. Edward De Bono telah memperkenalkan CoRT
Cognitive Research Trust. Ianya merupakan satu teknik alat berfikir yang boleh
digunakan dalam membuat keputusan menyelesaikan sesuatu masalah. Terdapat
tujuh teknik yang diperkenalkan oleh beliau iaitu PMI, AGO, APC, CAF, OPV, C&S,
dan FIP.

PMI (Plus, Minus, Interesting) ialah konsep perkara-perkara yang baik , buruk dan
menarik. Ianya bertujuan untuk meluaskan persepsi dan memaksa seseorang
berhenti dan berfikir sejenak sebelum membuat keputusan yang drastik . AGO
(Aims, Goals, Objectives) adalah matlamat, tujuan dan objektif . Konsep ini dapat
meluaskan sudut pandangan dan membantu dalam mengingatkan tujuan asal
berfikir serta dapat membantu seseorang berfikir secara terfokus.

Seterusnya ialah APC (Alternatives, Possibilities, Choice). Ianya merupakan


alternatif, kemungkinan dan pilihan yang membolehkan seseorang melihat
perkara yang sama dari pelbagai sudut pandangan. Konsep ini juga membuatkan
seseorang memikirkan beberapa tindakan yang patut dibuat dan membolehkan
seseorang mencari cara lain bagi menyelesaikan masalah yang sama. Sementara
itu, CAF (Consider All Factors) adalah konsep yang mengambil kira semua
faktor. Ianya digunakan oleh seseorang untuk meluaskan sudut pandangan dan
membantu seseorang mengarahkan minda ke semua arah yang penting.
Manakala, OPV (Other Peoples Views) adalah konsep pandangan orang lain
iaitu membantu seseorang untuk memahami sudut pandangan orang lain serta
dapat membantu seseorang dalam meluaskan lagi pandangannya.

Konsep yang lain ialah C&S (Consequence and Sequel). C&S ialah kesan dan
akibatnya yang dapat membantu seseorang melihat jauh ke hadapan dan
digunakan oleh seorang untuk membuat penilaian. FIP (First Important
Periorities) adalah keutamaan-keutamaan yang perlu diutamakan atau
didahulukan. Konsep ini mengingatkan seseorang mengambil kira perkara-
perkara yang penting serta dapat membantu seseorang untuk berfikir secara
terfokus.

Oleh itu, sebagai guru adalah perlu menerapkan konsep pemikiran lateral ini
dalam P&P terutamanya dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan
sesuatu masalah. Video dibawah ini menunjukkan contoh konsep pemikiran yang
digunakan dalam bilik darjah. "DeBono Six Thinking Hats in the Classroom".

http://www.youtube.com/watch?v=yUIiluJrWKg&feature=related

PEMIKIRAN KRITIS

Pemikiran kritis ialah suatu penerokaan yang bertujuan untuk mengkaji situasi,
fenomena, dan persoalan untuk menghasilkan rumusan yang merangkumi semua
maklumat yang ada. Ianya merupakan kemahiran intelektual untuk menilai dan
mempertimbangkan sesuatu situasi dan melibatkan kebolehan menganalisis nilai
sesuatu. Penerokaan yang berlaku bagi kalangan pemikiran kritis sangat
berkaitan dengan pengalaman yang dialami melalui bahan bacaan, pemerhatian,
mendengar, dan melihat atau menempuhinya sendiri. Sementara sumber yang
diperolehi ini akan diaplikasi pada pelbagai situasi yang sedang dihadapi.

Pemikiran kritis merupakan aspek yang penting dalam menjana ilmu


pengetahuan yang baru. Ianya melibatkan pemikiran secara reflektif, produktif
dan menilai bukti-bukti untuk memperoleh dapatan yang logik dan tepat. Menurut
pendapat John Dewey (1933), beliau mencadangkan idea kepada murid untuk
memikirkan secara reflektif. Murid diberi galakkan untuk memberi jawapan
dengan menerangkan secara tepat sementara guru pula memberi galakkan
kepada murid untuk bertanya dan bersoal jawab bagi mendapatkan jawapan
berdasarkan bukti terhadap maklumat yang disampaikan oleh murid. Sementara
itu, Winn (2004) pula berpendapat, cara untuk menggalakkan murid memikirkan
secara kritis adalah apabila guru mengemukakan artikel-artikel yang
memaparkan isu yang boleh didebatkan dengan baik.

Menurut pendapat Nosch (2001) terdapat tiga kaedah yang boleh


digunakan dalam P&P di dalam bilik darjah. Antaranya ialah kaedah bertanya
soalan, cuba menjawab soalan dengan memikirkan tentang jawapan, dan percaya
penaakulan seseorang. Sementara, Santrock (2004) pula menyatakan ada tujuh
cara untuk mengukuhkan pemahaman murid tentang pemikiran kritis. Antaranya
ialah, bertanya bukan sahaja apa yang terjadi, tetapi juga bagaimana dan
mengapa, memeriksa fakta-fakta untuk mengenal pasti sama ada wujud bukti
untuk menyokongnya, berbincang dengan cara bersebab dan bukan emosi, sedar
bahawa kadangkala wujud lebih daripada satu jawapan atau penerangan yang
betul. Seterusnya ialah perlu membandingkan jawapan dan soalan antara
seorang murid dengan murid yang lain, memilih jawapan yang terbaik, menilai
dan bertanya apa yang disebut oleh orang lain daripada menerimanya sebagai
sesuatu yang benar secara tergesa-gesa, serta bertanya pelbagai soalan dan
cuba berspekulasi lebih lanjut tentang apa yang telah diketahui oleh murid untuk
mewujudkan idea-idea dan informasi yang baru.

Pemikiran kritis penting dalam dunia yang mencabar. Murid harus belajar
mengaplikasikan pemikiran kritis semasa berhujah tentang apa jua topik
perbincangan. Murid harus digalakkan untuk berusaha secara intelektual untuk
berfikir dengan cara kompleks. Sementara guru pula harus merangsang
keupayaan murid untuk memikirkan masalah dalam konteks pemikiran kritis.
Contohnya, dalam P&P berkaitan tanaman hirdoponik, murid yang berfikiran
kritis akan bertanya dengan guru bagaimana tanaman ini boleh mendapatkan
sumber makanan untuk pertumbuhan dan pembesarannya. Ini kerana jika
sebelum ini mereka mempunyai pengetahuan sedia ada bahawa tanaman sayuran
hanya ditanam menggunakan tanah tetapi dalam P&P ini guru mengunakan bekas
takungan air untuk menanam sayuran. Jadi, seorang guru yang berfikiran kritis
perlu memberi jawapan kepada murid supaya murid dapat membuat
perbandingan antara tanaman biasa dengan tanaman hidroponik.

Semua pihak perlu berusaha ke arah mencapat matlamat untuk melatih murid
menjadi pemikir yang baik. Terdapat pelbagai cara yang boleh digunakan untuk
menerapkan pemikiran kritis kepada murid-murid. Antaranya ialah menggunakan
strategi berpusatkan murid. Tujuannya supaya murid dapat membuat penilaian
yang bernas dan mencari penyelesaian optimal. Seterusnya ialah menguruskan
fakta secara sistematik dan tersusun, menggunakan soalan-soalan yang sesuai
dengan tahap kognitif murid supaya murid dapat menilai semua fakta untuk
tujuan menyelesaikan masalah.

Selain itu, guru perlu memberi soalan-soalan yang lebih sukar kepada murid yang
lebih bijak untuk menggalakkan tahap pemikiran kritikal yang lebih tinggi,
menggalak perbincangan dan aktiviti menyelesaikan masalah dalam bilik darjah,
dan memastikan murid-murid memahami penaakulan yang digunakan, serta
menggalakkan murid-murid membuat perbandingan isi jawapan yang diberikan
oleh rakan sebaya sama ada baik atau lemah. Disamping itu, guru-guru juga perlu
menggalakkan murid-murid untuk melihat perspektif yang berbeza-beza dan
memastikan murid-murid membuat pertalian yang signifikan serta
mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam dunia sebenar.

Kesimpulannya, guru-guru juga perlu mengunakan beberapa strategi untuk


meningkatkan pemikiran kritis di kalangan murid. Antaranya ialah guru
berperanan untuk membantu dalam mengkonstruk pemikiran muridnya sendiri.
Guru perlu menilai soalan-soalan murid dengan serius, mendapatkan pandangan,
penerangan, dan keinginan atau minat murid dengan tekun untuk membantu
menganalisis situasi-situasi pembelajaran yang mencabar. Guru juga harus
menganalisis strategi mengajar iaitu mengemukakan soalan-soalan berdasarkan
pemikiran dalam pembelajaran. Ianya dapat membantu murid memahami dengan
lebih mendalam topik yang dibincangkan. Seterusnya ialah guru juga perlu
menyediakan model peranan yang positif. Guru perlu menjemput tokoh-tokoh
model yang boleh berkongsi pengalaman sebenar mereka supaya murid dapat
berinteraksi dengan idea-idea sebagai maklumat primer dalam mengatur strategi
pemikiran pembelajaran yang efektif dan dan berkesan. Justeru itu, pemikiran
kritis melibatkan kebolehan menganalisi nilai sesuatu. Oleh itu, seseorang perlu
mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara
yang tertentu. Bagi membuat sesuatu kritikan, seseorang itu perlu berfikir secara
teliti, mengumpulkan maklumat, membuat pengamatan yang tajam, berfikiran
terbuka, tidak bersikap berat sebelah, cekap menganalisis dan menyimpulkan
rumusan.

Video berkaitan pemikiran kritis kanak-kanak,


: http://www.youtube.com/watch?v=HkHgUCMGW4w

PEMIKIRAN KREATIF

Pemikiran kreatif didefinisikan sebagai operasi berfikir yang dapat


mengembangkan idea atau mencipta idea, hasil, metafora, analogi dan definisi,
ataupun mereka-cipta sesuatu yang baru. Ianya merupakan satu jenis pemikiran
di mana seseorang dapat memikirkan pelbagai idea baru yang belum difikirkan
oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang guru perlu cekap
dalam menjana pemikiran kreatif di kalangan murid-muridnya. Contohnya, guru
perlu memberikan peneguhan positif dalam bentuk ganjaran dan hadiah apabila
murid-murid dapat melahirkan idea-idea yang kreatif dan unik.

Pemikiran kreatif terbahagi kepada beberapa ciri. Dalam pemikiran kreatif,


keberanian adalah diperlukan untuk menjana idea yang baru dan pelbagai tanpa
dikongkong oleh idea-idea yang lama. Oleh itu, seseorang yang berfikiran kreatif,
akan berfikir secara terbuka, sanggup menerima risiko, dan kritikan daripada
orang lain dalam membuat keputusan menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua,
pemikiran kreatif juga mengandungi ciri imaginasi yang mencapah serta
kemahiran sintesis untuk mencantum idea-idea yang sedia ada bagi
menghasilkan idea-idea yang baru. Ketiga ialah mengandungi ciri perkembangan
idea. Melalui pemikiran kreatif pelbagai alternatif idea yang baru dapat disediakan
dalam membuat penyelesaian masalah. Seterusnya ialah pemikiran kreatif yang
mengandungi ciri reka cipta. Reka cipta yang dihasilkan adalah berasaskan
kemahiran sintesis untuk menghasilkan idea yang baru. Selain itu, pemikiran
kreatif juga menjadikan seseorang itu mampu mengandaikan sesuatu di luar
jangkaan orang lain, berfikiran secara autonomi, memiliki daya fokus yang tinggi
dan berterusan, pelbagai dan dinamik, holistik, dan kaya dengan idea baru.

Teknik yang boleh digunakan untuk merangsang pemikiran kreatif ialah


menggalakkan pemikiran kreatif secara individu dan kumpulan. Guru perlu
mewujudkan situasi yang membolehkan murid-murid menyatakan idea-idea
kreatif melalui teknik sumbangsaran. Teknik ini sesuai untuk mendapatkan
pandangan dan pendapat yang bernas tanpa mengkritik idea-idea daripada rakan
sebaya semasa perbincangan. Teknik sumbangsaran juga dapat membina
semangat berpasukan yang kuat di kalangan murid. Strategi kreatif yang baik
dapat dihasilkan melalui kewujudan idea-idea yang banyak disamping
persekitaran yang dapat membantu melahirkan keinginan secara semulajadi
melalui aktiviti berkumpulan dan latihan yang disediakan oleh guru. Contohnya
ialah berpandukan video sekumpulan semut yang saya perolehi melalui sumber
internet, ingin menyeberangi sungai dari dua bukit yang tinggi tetapi menghadapi
masalah apabila dahan pokok yang hendak digunakan untuk menyeberang jalan
tersebut telah patah. Oleh itu, ketua kumpulan semut ini berbincang secara
sumbangsaran untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Kesimpulan yang boleh
diambil daripada petikan video ini ialah guru dan murid boleh menggunakan
kaedah sumbangsaran dan bekerjasama dalam mencari idea mengunakan
pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk menyelesaikan masalah.

video pemikiran kreatif http://www.youtube.com/watch?v=7cmfotlzGO0

PEMIKIRAN REFLEKTIF

Pemikiran reflektif adalah satu cara pemikiran untuk menyelesaikan sesuatu


masalah secara peringkat, kritis, kreatif, imbas kembali pengalaman yang
berkaitan dan penilaian terhadap kemungkinan penyelesaian atau refleksi.
Menurut pendapat Birchall (1992), pemikiran reflektif memerlukan penggunaan
pengalaman sedia ada untuk menimbangkan kemungkinan tindakan alternatif
yang boleh digunakan untuk mencapai objektif penyelesaian masalah serta
menetapkan keputusan bagi tindakan yang seterusnya. Sementara itu, Wilson J &
Wing Jan L (1993) pula, menyatakan pemikiran reflektif berhubung rapat dengan
aspek-aspek pemikiran yang lain iaitu pemikiran kritis dan kreatif yang digunakan
sebagai pendekatan penyelesaian masalah.

Komponen dan proses pemikiran reflektif yang boleh digunakan dalam


menyelesaikan sesuatu masalah ialah melalui beberapa peringkat. Antaranya
ialah peringkat membaca dan mentafsir maklumat dengan cara memahami
masalah melalui pemikiran kognitif. Seterusnya ialah proses menentu dan
menyusun maklumat dengan cara memproses dan menganalisis data dengan
pemikiran secara kritis. Kemudiannya ialah mencari hubungan masalah dengan
cara mengingat kembali perhubungan pengalaman-pengalaman yang sedia ada
dengan penyelesaian masalah melalui cadangan hipotesis. Semasa membuat
cadangan hipotesis, pemikiran kritis dan kreatif digunakan untuk mencari idea
yang baru berpandukan pemikiran sedia ada dan mencari pelbagai kemungkinan
penyelesaian bagi masalah tersebut. Kemungkinan-kemungkinan ini hendaklah
dinilai menggunakan pemikiran refleksi untuk membuat keputusan atau
menetapkan sesuatu tindakan.

Cara-cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pemikiran reflektif ialah


memperkenalkan masalah secara terbuka. Guru boleh mengemukakan sesuatu
topik pengajaran di dalam bilik darjah untuk dikenalpasti punca sesuatu masalah.
Contohnya, isu berkenaan masalah jerebu, murid-murid boleh membuat aktiviti
sumbangsaran bagi membincangkan masalah ini. Peranan guru ialah
membimbing murid untuk berfikir secara kritis, menganalisis dan mantafsir data
berkaitan punca masalah jerebu dan cara-cara untuk mengatasi masalah ini.
Murid-murid boleh mengunakan pengalaman mereka dalam membentuk
hipotesis serta menghasilkan pelbagai kemungkinan penyelesaian yang wajar
dalam mengatasi masalah ini. Guru juga boleh mengunakan teknik penyoalan
untuk meningkatkan daya pemikiran reflektif murid berhubung sesuatu isu atau
topik yang dibincangkan.

Selain itu, terdapat lima strategi yang telah dibuat oleh Beyer (1987) untuk
meningkatkan pemikiran reflektif. Antaranya ialah penggunaan log pembelajaran
individu untuk merekod maklum balas pembelajaran murid dalam bilik darjah, log
double entry untuk merekod fakta pelajaran yang mengandungi soalan-soalan
murid dan refleksinya, serta log pembelajaran dialog yang digunakan untuk
membuat catatan refleksi di antara dua orang atau lebih. Log ini berkaitan
maklum balas pembelajaran antara guru dan murid.

Seterusnya ialah pemetaan konsep yang melibatkan penggunaan peta minda dan
pengurusan grafik. Murid-murid boleh menggunakan kaedah ini untuk membuat
catatan tentang sesuatu topik pembelajaran bagi memudahkannya untuk
mengimbas kembali topik pembelajaran lepas. Malah kaedah seperti peta minda
ini juga dapat membantu murid untuk mengingat sesuatu fakta dan menarik minat
murid melalui kreativiti yang dihasilkan. Selain itu, pembelajaran rundingan juga
dapat meningkatkan pemikiran reflektif murid. Ianya melibatkan aktiviti
pembelajaran yang memerlukan penggunaan refleksi kendiri dan pemikiran
refleksi dalam proses perbincangan, penilaian dan membuat
keputusan. Disamping itu, jurnal reflektif juga dapat meningkatkan pemikiran
murid melalui catatan tentang sesuatu peristiwa dan masalah yang dihadapi.
Guru boleh membuat refleksi, menilai serta menggunakan jurnal ini untuk
mengambil tindakan susulan bagi mengatasi sesuatu masalah pengajaran dan
pembelajaran.

Kesimpulannya, pemikiran reflektif ini boleh dilihat melalui video yang diambil
dari internet berkaitan bentuk asas reka bentuk. Berdasarkan video ini, murid ini
mengunakan konsep nyanyian boria bagi memudahkannya untuk mengingat jenis
dan ciri-ciri bentuk asas reka bentuk. Ini menunjukkan bahawa murid
mengunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk mengaplikasi bentuk
pembelajaran yang dapat membantu dan memudahkannya lebih faham tentang
bentuk dua dan tiga dimensi dalam kemahiran hidup.

video pemikiran
reflektif http://www.youtube.com/watch?v=GzadMAR16SM&noredirect=1

PENUTUP
Secara keseluruhanya, saya dapati bahawa jenis-jenis pemikiran yang saya
bincangkan ini saling berkaitan cuma kaedah dan cara pengunaannya untuk
menyelesaikan masalah adalah berbeza. Dalam pengajaran dan pembelajaran,
guru harus bijak dalam mengunakan cara pemikiran untuk menghasilkan
pengajaran yang berkesan. Guru-guru harus berfikir secara kritis dan kreatif bagi
mengembangkan bakat murid secara holistik ke tahap yang maksima
merangkumi semua aspek dan membina potensi individu. Selain itu, persekitaran
yang selesa dan kondusif juga akan membantu murid untuk menjana idea kritis,
dan kreatif. Malah penggunaan pemikiran dan amalan refleksi dalam pengajaran
dan pembelajaran dapat mempertingkatkan kemahiran seseorang guru dalam
menangani permasalahan murid dan penyelesaian sesuatu masalah dalam
bidang pendidikan.

You might also like