Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 8

ESTETIKA MELAYU DALAM PUISI MAGIS

S. Othman Kelantan
MALAYSIA
Esei
BANGSA Melayu mempunyai tradisi gaya dan cara perubatan yang unik. Orang Melayu

mempunyai kemahiran dan kepakaran menggunakan ramuan herba sebagai bahan perubatan.

Mereka telah lama mempunyai asas sains dalam mengenal pokok atau buah-buahan yang

mempunyai racun dan cara menawarkannya.

Misalnya, jering boleh dimakan mentah sebagai ulam. Tetapi kalau direbus tidak begitu

masak akan menjadi racun. Ubi gadung juga beracun. Kalau direbus dan dimakan begitu saja

akan membawa padah. Tetapi orang Melayu telah lama mengetahui cara memakan ubi gadung

yang sedap itu. Mereka merendamkannya dalam sungai atau alur air tiga empat hari. Semua

racun itu akan keluar. Selepas itu selamat dimakan.

Lingkungan hidup orang Melayu secara tradisinya dipenuhi pokok yang bukan saja boleh

dimakan, tetapi juga untuk perubatan. Sekarang, lingkungan itu telah menghasilkan perusahaan

besar mengenai penjagaan kesihatan. Pokok seperti teja lawang, tongkat ali, kacip fatimah,

rempah gunung, akar seribu, hempedu bumi, sirih, kerdas, ulam raja, mengkudu, batang wali

atau seruntun, petai, misai kucing, selasih, buah dan pokok petai belalang, halia, kunyit, pegaga,

kesom, dan banyak lagi, menjadi bahan untuk kesihatan atau perubatan orang Melayu.

Alam semula jadi yang merupakan lingkungan estetika orang Melayu, penuh dengan

dunia hidup sihat dan menjadi bahan perubatan, selain daripada bahan sastera dalam tradisi

lisan.

Selain daripada kemahiran dan kepakaran dalam ramuan herba dari alam semula jadi

seperti yang disebutkan, orang Melayu juga mempunyai gaya dan cara perubatan secara batin,

secara spiritual. Cara batin ini disebut sebagai jampi, mantera atau serapah. Oleh sebab dalam

analisis ini hanya untuk menjelaskan khazanah sastera, maka semua jenis perubatan secara

1
batin ini disebut sebagai puisi magis. Dan dibincangkan hanya mengenai keindahan puisi magis

yang bersifat alamiah dengan maksud untuk menjelaskan estetika Melayu.

Perlu disebutkan bahawa puisi magis termasuk dalam budaya rakyat atau folklore, di

bawah tradisi adat. Tradisi adat ini mencakupi soal kepercayaan seperti sihir, nujum, mimpi,

alamat atau ketika, jampi atau mantera atau serapah. Walaupun ada puisi rakyat dan nyanyian

rakyat, tetapi kedudukan puisi magis agak tersendiri. Puisi magis berhubungkait dengan gaya

dan cara perubatan tradisi orang Melayu kerana ia berhubung dengan peranan bomoh atau

pawang atau dukun atau bidan. Peranan mereka sangat besar dan terkenal dalam masyarakat

Melayu sehingga kini.

Walaupun puisi magis dianggap cara perubatan secara kekuatan kuasa ghaib atau

bergantung kepada orang halus atau orang dendam, tetapi kata-kata atau bait-bait yang

dianggap magis itu masih terikat kepada sifat alamiah. Kebanyakan puisi magis dimulakan

dengan Bismillah, dan disudahi dengan satu frasa atau dua frasa dikaitkan dengan ucapan dua

kalimah syahadat, untuk membuktikan ada kaitananya dengan kudrat dan iradat Allah, dan

mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Misalnya dalam jampi menangkap ikan

dirakamkan seperti berikut:

Limau purut daun mengkudu


lemang kering di pangkalan Judah
seluruh laut ini aku punya
lautan ini aku punya.

Assalamualaikum Nabi Sulaiman


aku minta kau kumpulkan anak buah kau
mana yang patah bertongkat
mana yang singkung berpimpin
aku minta makan umpan kailku
kalau tidak makan
derhaka kau kepada Allah
dengan berkat kata.

2
Frasa terakhir dengan berkat kata itu diikuti dengan ucapan dua kalimah syahadat.

Perhatikan bagaimana pusi magis ini tersusun dariapda unsur alamiah dengan nama pokok atau

makanan. Limau purut dan daun mengkudu itu nama dua jenis pokok yang diambil buah dan

daunnya untuk ramuan herba. Lemang pula sejenis makanan, sama ada yang masih lembut atau

yang sudah kering, dan menjadi kegemaran orang Melayu, terutama hari perayaan. Pangkalan

Judah itu nama tempat, dan dimasukkan pula nama laut dan lautan. Kemudian dikaitkan dengan

nama Nabi Sulaiman s.a.w. yang menguasai segala jenis binatang dan jin.

Unsur alamiah atau wujudnya estetika Melayu itu sangat ketara. Seluruh puisi magis ini

merupakan adunan antara pokok, makanan, ruang tempat mencari makan iaitu laut dan lautan.

Pangkalan Judah pula diwujudkan sebagai lambang kepada sesuatu lokasi persinggahan atau

pangkalan para nelayan waktu turun ke laut atau naik ke daratan. Para nelayan berhimpun di

Pangkalan Judah untuk menguruskan segala hasil tangkapannya.

Pada permulaan puisi magis ini seakan-akan sebuah pantun yang tidak lengkap. Yang

ada hanya pembayang maksud, kemudian terus kepada keadaan iaitu seluruh laut aku punya

dan lautan ini aku punya. Kemudian ucapan salam kepada Nabi Sulaiman s.a.w. untuk

mendekatkan ikan kepada umpan kail atau pancing. Susunan yang menarik dalam puisi magis ini

apabila wujudnya pengulangan seperti dalam cerita penglipur lara, iaitu mana yang patah

bertongkat/mana yang singkung berpimpin yang membawa maksud supaya ikan berhimpun dan

berebutan memakan umpan kailnya.

Unsur alamiah sebagai sebahagian daripada isi puisi magis sangat harmoni dan amat

menarik. Misalnya jampi sakit perut diucapkan seperti berikut:

Batang penak batang meranti


ketika sangkar babi
datang senak ulu hati
aku bangkah tidak menjadi.

Aku menurunkan bisa


aku menaikkan tawar
tawar Allah
tawar Muhammad

3
tawar Baginda Rasulullah
dengan berkat kata... (ucapan dua kalimah syahadat)

Bait baris pertama jelas bentuk pantun, iaitu dua baris pertama itu menjadi pembayang

maksud, dan mengambil nama pokok penak dan pokok meranti. Dua pokok ini lazimnya menjadi

bahan untuk dibuat rumah. Frasa sangkar babi melambangkan penyakit. Rima akhir dalam

bentuk syair, iaitu a-a-a-a. Dua baris kemudian jelas kepada maksud penyakit iaitu senak ulu

hati sebagai maksud dari pembayang sangkar babi, maka aku bangkah tidak menjadi.

Bangkah, maknanya mematikan atau dihalang dengan cara isyarat supaya penyakit itu tidak

berlanjutan. Baris berikutnya menghubungkan kuasa magis itu dengan Allah dan Nabi

Muhammad s.a.w. diikuti dengan mengucap dua kalimah syahadat.

Ada pula puisi magis yang memilih unsur bunyi bersama unsur alamiah yang lain. Dalam

jampi demam dan jampi sakit kepala dicipta seperti berikut:

Bedegup bedegap
menumbuk lesung salah nama
datang dia tidak beranak
datang penawar datang jampi
si anu (nama pesakit)
kalau kau terkena di batu di batang
serupa di sungai di hujan panas
ribut di langit
aku minta pulih bagai sedia kala
tawar Allah
tawar Muhammad
tawar berkat doa... (ucapan dua kalimah syahadat)

Frasa bedegup bedegap adalah bunyi yang diumpamakan seperti menumbuk (di)

lesung yang dikatakan salah nama. Kalau kesakitan atau demam itu terkena di batu atau di

batang pada mana-mana tempat yang secara kebetulan adanya ruap di sungai atau waktu

hujan panas atau ketika turunnya ribut di langit, maka dengan nama Allah dan Muhammad

s.a.w., semoga demam itu sembuh atau tidak menjadi. Menurut kepercayaan tradisi orang

Melayu bahawa kadang-kadang demam itu terjadi kerana disampuk oleh orang halus ketika

4
seseorang itu, terutama kanak-kanak, bermain-main atau melalui sesuatu kawasan dalam masa

terlarang, misalnya meniti batang dan waktu hujan panas.

Puisi magis jampi sakit kepala juga dibina daripada sifat alamiah yang amat kaya

dengan keindahan estetikanya, seperti berikut:

Dummali dummal-ken-kum
puncak kepala
naik hutan naik rimba
sepuluh menaikkan bisa
seratus sembilan puluh sembilan
menaikkan tawar
tawar Allah
tawar Baginda Rasullullah
dengan berkata kata... (ucapan dua kalimah syahadat)

Perhatikan unsur alamiah yang membawa keindahan pembawaan estetika Melayu, iaitu

mengambil contoh bunyi di puncak kepala dengan dummali dummal-ken-kum, iaitu bunyi

dum dum dum dan ken kum dalam kepala, seolah-olah ada makhluk yang sedang bergerak

yang naik (ke) hutan dan (ke) rimba dalam seluruh tempurung kepala itu. Dan pergerakan

makhluk halus seperti itulah menyebabkan seseorang itu sakit kepala.

Hubungan bahasa alam dum dum dum dan ken kum yang meniru bunyi sesuatu yang

jatuh atau meletup di puncak kepala, kemudian barulah maksud puisi magis ini dipastikan, lalu

memohon rahmat Allah untuk menyembuhkannya. Pemilihan bunyi merupakan unsur puisi,

termasuk puisi moden. Peniruan bunyi ini dinamakan Onomatopeia.

Dalam puisi magis yang dinamakan Bisik Bismad atau Bisik Semad bukan saja

mengambil unsur alamiah tetapi telah mengadunkannya dengan nama-nama dalam kepercayaan

Hindu dan Islam. Asalnya puisi magis ini untuk memulihkan semangat teruna atau dara yang

terkena hikmat orang atau sihir. Isi Bisik Bismad merupakan acara pelepasan daripada tiga

tokoh, iaitu Sang Kala (Betara Kala) dan Beroma Sakti (Sang Bima) dari kepercayaan Hindu, dan

Lokman al-Hakim dari Islam. Susunannya seperti berikut (dimulakan dengan salam):

Hai Sang Kala raja di bumi


Beroma Kesakti raja di langit

5
sebelum lagi sang awong
sebelum lagi sang awang
pintu ke kiri pintu ke kanan
pintu yang empat menjadi satu
dulu zat kemudian sifat
dulu kabut kemudian asap
dulu jin kemudian manusia
jatuh ke bumi sebesar buah gomok
turunlah bigo ro-ro
pung, melengganglah pukat
cap kudi-kudi ayu-ayu
Sang Kala Sang Kani
apa gelap gelemat
hujan turun salah musim
angin turun salah ketika
memetik di dalam awan
terlintas di dalam laut
terbukalah pintu relung.

Assalamualaimum
hai Syekh Lokman Hakim
kau pelepaslah penyakit yang ada
di dalam tubuh orang ini:
jika kau mari hari Jumaat
aku lepas pada hari Jumaat
jika engkau mari hari Sabtu
aku lepas pada hari Sabtu
aku lepas pada hari Sabtu
jika engkau mari hari Ahad
aku lepas pada hari Ahad
jika engkau mari hari Isnin
aku lepas pada hari Isnin
jika engkau mari hari Selasa
aku lepas pada hari Selasa
jika engkau mari pada hari Rabu
aku lepas pada hari Rabu
jika engkau mari pada hari Khamis

6
aku lepas pada hari Khamis;
lepas daripada tubuh orang ini
serta di kampung orang ini.

Laut tidak bertepi


padang tidak berumput
pusat tasik pauh janggi
di sanalah tempat engkau pergi makan minum.

Jika engkau mari tuntut pada orang ini


aku sumpah engkau
dengan saffan saffa dakkan dakka
dengan berkat kata... (ucapan kalimah syahadat)

Perhatikan unsur alamiah lingkungan hidup yang kaya seperti bumi, langit, awan, pintu,

asap, pukat, hujan, relung, nama hari, laut, padang dan pusat tasik pauh janggi. Termasuk

sejenis makanan iaitu buah gomok diperbuat daripada pulut atau beras, kelapa dan gula.

Perulangan kata-kata sebelum, pintu, dulu, atau frasa hujan turun salah musim, angin

turun salah ketika, jika engkau mari, aku lepas pada, laut tidak bertepi, padang tidak

berumput dan saffan saffa dakkan dakka, merupakan ciri keindahan puisi magis ini.

Susunan barisnya yang harmoni antara struktur dan isi, dan perulangan dalam diksi atau

frasa tertentu, kalau dituturkan atau disuarakan dengan nada yang wajar, puisi magis seperti

Bisik Bismad ini boleh mendatangkan kuasa magis yang mengagumkan. Dari sudut struktur,

puisi magis ini sudah memperlihatkan ukurtara puisi moden yang memilih ucapan mantera,

seperti yang dapat kita lihat dalam beberapa puisi yang ditulis oleh penyajak tanah air kita.

Dalam sebuah puisi magis untuk tujuan pengasih atau penyeri wajah, memilih daun sirih

sebagai bahan jampinya. Daun sirih atau buah pinang merupakan sautu pembuka persahabatan

kepada orang Melayu. Dalam sesuatu peristiwa penting seperti dalam permainan, seri panggung

memerlukan seri wajah supaya menarik perhatian orang ramai. Daun sirih digunakan sebagai

bahan penyeri. Sebelum dimakan daun sirih itu dijampi, diucapkan seperti berikut:

7
Sirih aku serangkai kuning
pinang aku serangkai muda
duduk aku berbayang kuning
berdiri aku berdiri darah di muka.

Bukan sirih yang manis


akulah yang manis.

Bukan sepiak yang manis


tubuhkulah yang manis
akulah yan manis.

Sekalian memandang aku


jatuh tersepuk depan kakiku
berkat kata... (ucapan dua kalimah syahadat)

Selain daripada menggunakan unsur alamiah daun sirih dan buah pinang, puisi magis

Penyeri Wajah ini menggunakan skima rima tertentu. Empat baris pertama mengandungi skima

rima a-b-a-b diikuti oleh tujuh baris dengan rima c, dua baris dengan rima d dan dua baris

lagi dengan rima e.

Meneliti dari sudut ini saja pun puisi magis ini sudah membuktikan keindahan dan nilai

estetikanya yang tinggi, selain daripada menggambarkan unsur alamiah yang telah sebati

menjadi estetika orang Melayu. Keindahan inilah secara sepadu puisi magis diadunkan antara

kuasa magis sebagai jampi, mantera atau serapah, dengan kekayaan dan kebesaran alam yang

diciptakan oleh Allah Subhanahu wa-Taala.

Inilah keindahan estetika Melayu yang kita lihat dalam puisi magis sebagai karya sastera

Melayu tradisional. Wallahu alam.

You might also like