Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 8

LAMPIRAN 1

GARIS PANDUAN
KETERLIBATAN INDUSTRI DAN MASYARAKAT
MERENTASI PENYELIDIKAN, PENDIDIKAN & KHIDMAT

1.0 Tujuan

1.1 Garis panduan ini adalah bertujuan sebagai rujukan umum kepada semua warga
UKM dalam melaksanakan aktiviti/inisiatif berkaitan keterlibatan industri dan
masyarakat merentasi 3 aktiviti teras utama universiti iaitu penyelidikan,
pendidikan dan khidmat.

1.2 Garis Panduan ini juga bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran warga
UKM bagi menjalinkan hubungan dengan industri dan masyarakat secara
produktif, sistematik dan lestari untuk faedah bersama.

2.0 Latar Belakang

2.1 Menyedari akan kepentingan hubungan antara universiti dengan industri dan
masyarakat, pada bulan September 2007 satu lagi portfolio pengurusan tertinggi
iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) telah
diwujudkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Susulan daripada
keputusan tersebut, empat buah Universiti Penyelidikan iaitu Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia
(USM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melantik Timbalan Naib
Canselor masing-masing bagi memegang portfolio tersebut. Tujuan utama
penubuhan portfolio ini adalah untuk memperkaya dan mengukuhkan jaringan
serta keterlibatan yang produktif, sistematik dan lestari antara universiti dengan
industri dan masyarakat merentasi penyelidikan, pendidikan dan khidmat.

2.2 Dalam Syarahan Naib Canselor 2009: Membina Momentum Menatar Keunggulan:
Ekosistem ilmu UKM Sebagai Wahana, Naib Canselor menyatakan tautan industri
dan masyarakat secara strategik dari segi kurikulum, penyelidikan dan inovasi
serta penyebaran idea membolehkan kepakaran UKM menyumbang kepada
hubungan lestari universiti-masyarakat dan universiti-industri.

2.3 Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, YB Dato Seri Mohamed Khaled Nordin telah
melancarkan Pelan Pengukuhan Kerjasama Universiti-Industri/Masyarakat pada 19
Julai 2010. Pelan ini telah menggariskan beberapa mekanisma dan amalan terbaik
bagi membudayakan hubungan erat dan kerjasama strategik di antara universiti,
industri dan masyarakat. Perkongsian, pembangunan, pengkomersilan dan
penggembelengan sumber secara berterusan dan bersama adalah merupakan
langkah utama untuk maju ke hadapan selari dengan Model Baru Ekonomi.

3.0 Definisi

Pada peringkat awal penubuhan portfolio Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat,
didapati seringkali portfolio ini dikaitkan dengan terma khidmat. Secara umumnya,
1/8
definisi bagi khidmat ialah memberi pertolongan, membantu atau tindakan memberikan
khidmat. Tidak dinafikan bahawa elemen khidmat ini adalah salah satu kompenen yang
penting di dalam portfolio ini, walaubagaimanapun dalam konteks keterlibatan dengan
industri dan masyarakat, didapati definisi khidmat ini adalah tidak cukup meluas untuk
merangkumkan pelbagai aktiviti dan inisiatif keterlibatan yang berlangsung di seluruh
universiti. Perkara ini juga telah dibentang dan dipersetujui pada Mesyuarat Pengurusan
Universiti Bil.16/2010 (bertarikh 28 Jun 2010) di dalam kertas Cadangan Penstrukturan
Semula Komponen Khidmat Kepada Keterlibatan Dalam SPPU.

Keterlibatan adalah merupakan suatu interaksi yang bermatlamat, saling menghormati


dan produktif antara universiti dengan pemegang berkepentingan di dalam (fakulti,
institut, pusat, jabatan, kolej, persatuan) dan luar universiti (industri, komuniti, NGO dan
agensi kerajaan) untuk membangunkan kerjasama yang saling bermanfaat. Ia
melibatkan kerjasama dan persefahaman untuk membangunkan perkongsian
penyelesaian, melalui perkongsian tadbir urus dan aset, dengan matlamat akhir ke arah
faedah bersama kepada semua pihak berkepentingan. Segala inisiatif keterlibatan
industri dan masyarakat ini adalah bertujuan untuk memperkasa dan meningkatkan teras
utama universiti Penyelidikan, Pendidikan & Khidmat.

- Pelan Strategik Keterlibatan Industri dan Masyarakat


Universiti Kebangsaan Malaysia 2010 - 2014

4.0 Keutuhan Tadbir Urus Keterlibatan Industri dan Masyarakat

4.1 Di Peringkat Universiti

Di bawah pimpinan Naib Canselor, portfolio Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal


Jaringan Industri dan Masyarakat) adalah disokong secara langsung oleh 3 pejabat
keterlibatan iaitu Pejabat Hubungan Industri (PHI), Pejabat Hubungan Universiti-
Masyarakat (PHUM) dan Yayasan Canselor (YC), serta Ketua-Ketua Jaringan
Industri dan Masyarakat di Fakulti dan Pengarah-Pengarah di Institut.

Pejabat Timbalan Naib Canselor (HEJIM) bekerjasama dan saling menyokong


portfolio-portfolio Timbalan Naib Canselor yang lain iaitu Hal-ehwal Akademik
dan Antarabangsa, Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi serta Hal-ehwal Pelajar
dan Alumni.

4.2 Di Peringkat Fakulti

Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Bil 5/2009 bertarikh 1 Oktober


2009 telah meluluskan jawatan Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat atau Ketua
HEJIM di Fakulti. Tugas dan peranan Ketua HEJIM adalah menjurus kepada
membina jaringan dan kolaborasi dalam pelbagai disiplin di Fakulti serta
memupuk kefahaman mengenai keterlibatan industri dan masyarakat di Fakulti.

Dari segi struktur di Fakulti, Ketua HEJIM melapor terus kepada Dekan. Bagi
memastikan kelancaran aktiviti keterlibatan merentasi penyelidikan, pendidikan
2/8
dan khidmat di Fakulti, Ketua HEJIM juga bekerjasama dengan Timbalan-
Timbalan Dekan serta Ketua-Ketua Jabatan yang berkenaan.

Ketua HEJIM bertanggungjawab untuk mengurus program seperti latihan industri


pelajar, program sangkutan akademik di industri/NGO/agensi kerajaan, program
kebolehdapatan kerja pelajar, selain dari mentadbir Sistem Maklumat Keterlibatan
Industri dan Masyarakat (ICEsys) serta menganggotai jawatankuasa Geran
Penyelidikan Universiti-Industri/Komuniti di peringkat Fakulti dan menyokong
aktiviti di Pejabat-Pejabat HEJIM.

4.3 Di peringkat rantau ASEAN dan Asia

Hasil usaha keterlibatan universiti-industri dan masyarakat, UKM kini telah mula
mengorak langkah ke arah keterlibatan di peringkat serantau, dan telah mendapat
kepercayaan daripada badan-badan di rantau ASEAN dan antarabangsa untuk
meneraju usaha-usaha pembangunan di dalam bidang ini.

Di bawah portfolio Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, sebuah platform


serantau telah dibangunkan di UKM dengan nama AsiaEngage bagi
memaksimakan sinergi dua sekretariat dan sebuah program serantau seperti
berikut:

i. Asia-Talloires Network of Industry and Community Engaged Universities


(ATNEU).

Sekretariat ATNEU ditubuhkan di UKM dengan kerjasama The Talloires


Network sebagai rakan serantau bagi menyediakan platform kerjasama
dalam keterlibatan di rantau Asia. The Talloires Network adalah sebuah
badan global yang dianggotai lebih 200 institusi di 59 negara yang komited
terhadap pemerkasaan peranan sivik dan kebertanggungjawaban sosial di
peringkat pengajian tinggi. Naib Canselor UKM juga adalah merupakan
Ahli Jawatankuasa Pemandu dalam The Talloires Network .

ii. ASEAN University Network thematic network on University Social


Responsibility & Sustainability (AUN-USR&S).

AUN-USR&S ditubuhkan sebagai satu mekanisma bagi meningkatkan


kerjasama antara institusi-institusi pengajian tinggi di ASEAN dalam
pembangunan sosial, ekonomi dan persekitaran serantau. UKM telah
berjaya dalam bidaan untuk menjadi hos kepada jaringan ini dan telah
dilantik sebagai Sekretariat AUN-USR&S secara rasmi oleh AUN Board of
Trustees.

iii. ASEAN Youth Volunteer Programme (AYVP)

AYVP telah dibangunkan dengan kerjasama Sekretariat ASEAN dan


Kementerian Belia dan Sukan bagi menyediakan platform untuk belia
ASEAN menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi, kesihatan,

3/8
warisan dan persekitaran komuniti ASEAN melalui kesukarelawanan
dengan kerjasama universiti, komuniti, NGO, industri dan agensi kerajaan.

Timbalan Naib Canselor (HEJIM) juga adalah merupakan Pengarah Eksekutif bagi
AsiaEngage (ATNEU, AUN-USR&S dan AYVP), dengan sokongan secara
langsung oleh Pegawai Penyelaras Sekretariat dan dibantu oleh Pejabat-Pejabat
HEJIM yang lain.

4.4 Tadbir Urus Dalam Ekosistem Keterlibatan Dalaman di UKM

Dalam menguruskan keterlibatan bersama pihak industri, komuniti, NGO


mahupun agensi kerajaan, pihak HEJIM sentiasa bekerjasama dengan Fakulti,
Institut Penyelidikan, Pusat Kecemerlangan serta Pusat-Pusat Tanggungjawab di
UKM merentasi penyelidikan, pendidikan dan khidmat.

Sebagai contoh, HEJIM bekerjasama dengan Pusat Pengurusan Penyelidikan dan


Instrumentasi serta Fakulti/Institut dalam aspek penyelidikan bersama
industri/komuniti. Bagi pendidikan pula, selain Fakulti/Institut, HEJIM
bekerjasama dengan PTJ seperti Pusat Pembangunan Akademik dan Pusat
Pengurusan Siswazah. Dalam aspek khidmat dan kesukarelawanan khususnya
melibatkan pelajar, HEJIM bekerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Pelajar,
Kolej-Kolej Kediaman serta persatuan dan kelab.

Gambaran keseluruhan bagi setiap peringkat tadbir urus keterlibatan di UKM


adalah seperti gambarajah pada perkara 4.5.

4.5 Gambaran Tadbir Urus dan Ekosistem Keterlibatan Industri dan


Masyarakat di UKM

- Pelan Strategik Keterlibatan Industri dan Masyarakat


Universiti Kebangsaan Malaysia 2010 - 2014

4/8
5.0 Sistem Ganjaran Keterlibatan

Bagi menggalakkan penglibatan kakitangan akademik, kakitangan pengurusan,


professional dan sokongan, pelajar dan pihak berkepentingan luar (industri/NGO) dalam
aktiviti keterlibatan di UKM, adalah kritikal untuk membangun dan memurnikan sistem
ganjaran yang komprehensif seperti:

5.1 Penilaian Prestasi Tahunan


Keterlibatan industri dan masyarakat yang telah diintegrasikan dalam komponen
penyelidikan, pendidikan dan khidmat akan diambil kira untuk penilaian
kakitangan di dalam Sistem Penilaian Prestasi Universiti (SPPU) bermula pada
tahun 2012.

5.2 Kriteria kenaikan pangkat


Kriteria keterlibatan merentasi komponen penyelidikan, pendidikan dan khidmat
dalam Kriteria Kenaikan Pangkat Profesor Madya dan Profesor telah dibangunkan
dan dalam proses kelulusan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti.

5.3 Anugerah Keterlibatan


Pengiktirafan di peringkat UKM kepada kakitangan akademik, kakitangan
pengurusan, professional dan sokongan, pelajar, industri serta NGO melalui
Anugerah Keterlibatan Masyarakat dan Anugerah Keterlibatan Industri pada setiap
tahun pada Majlis Anugerah Inovasi UKM. Selain itu terdapat juga anugerah
keterlibatan di peringkat antarabangsa yang boleh disertai oleh warga UKM
misalnya The MacJannet Prize yang dikelolakan oleh The Talloires Network dan
World Education Awards anjuran World Education Summit Secretariat.

6.0 Dokumentasi, Pelaporan dan Pemantauan

Bagi menyelaras setiap aktiviti keterlibatan industri dan masyarakat di UKM, Sistem
Maklumat Keterlibatan Industri dan Masyarakat (ICEsys) telah diwujudkan.

Objektif utama ICEsys adalah seperti berikut:


6.1 Merekod dan memantau aktiviti/inisiatif keterlibatan industri dan masyarakat.
6.2 Mengukur tahap keterlibatan industri dan masyarakat di Fakulti/Institut/Pusat dan
universiti keseluruhannya
6.3 Menjana maklumat bagi sistem ganjaran/penghargaan berkaitan keterlibatan
industri dan masyarakat (pautan kepada SPPU Versi 6 dan pencalonan Anugerah
Keterlibatan Industri dan Komuniti).
6.4 Menyebarkan maklumat keterlibatan industri dan masyarakat di universiti kepada
warga UKM serta media di dalam dan luar universiti.

7.0 Aktiviti Keterlibatan Industri dan Masyarakat

Keterlibatan Industri dan Masyarakat UKM hendaklah merupakan aktiviti/ inisiatif yang
menyokong 3 teras utama UKM iaitu Penyelidikan, Pendidikan, Khidmat.

5/8
7.1 Keterlibatan Dalam Penyelidikan

Merupakan aktiviti berteraskan ilmu yang menyokong serta mendorong nic


penyelidikan di UKM. Mekanisme yang digunakan untuk mendorong keterlibatan
dalam penyelidikan adalah seperti berikut:

i. Geran Galakan Penyelidikan Universiti-Industri


Geran dari HEJIM ini diberikan melalui agihan dana Universiti
Penyelidikan yang diterima oleh UKM. Keutamaan adalah diberikan
kepada penyelidik yang mendapat sumbangan dari rakan kongsi industri/
NGO/ agensi kerajaan sama ada dalam bentuk kewangan atau bukan
kewangan bagi menjalankan penyelidikan yang dapat memberi faedah
bersama serta menyumbang kepada KPI Universiti Penyelidikan.
Penyelidik akan diberikan dana permulaan atau dana penggalak dari
universiti bagi menjalankan penyelidikan ini.

ii. Geran Galakan Penyelidikan Universiti-Komuniti


Geran dari HEJIM ini juga diberikan melalui agihan dana Universiti
Penyelidikan. Keutamaan diberikan kepada penyelidik bagi projek
penyelidikan berteraskan pembangunan masyarakat yang menjurus kepada
peningkatan kesejahteraan masyarakat tersebut, selain mempunyai rakan
kongsi dari industri/ NGO/ agensi kerajaan/ masyarakat dan menyumbang
kepada KPI Universiti Penyelidikan. Penyelidik akan diberikan dana
permulaan atau dana penggalak dari universiti bagi menjalankan
penyelidikan kepada komuniti ini.

iii. Geran Penyelidikan dari Luar


Geran penyelidikan dari tajaan dana luar UKM adalah dana penyelidikan
yang diperolehi daripada pihak industri, agensi-agensi kerajaan, swasta,
NGO, sama ada di dalam atau luar negara yang dapat memberi faedah
bersama kepada kedua-dua pihak.

Aktiviti keterlibatan dalam penyelidikan adalah seperti berikut;

i. Kolaborasi penyelidikan melalui program jaringan atau sangkutan


secara langsung dengan industri, NGO, agensi kerajaan atau masyarakat
sama ada di dalam atau di luar negara.

ii. Kolaborasi penyelidikan yang dapat menjana kewangan kepada


universiti seperti sumbangan dana luar dari rakan industri, agensi kerajaan,
badan berkanun, individu tertentu atau NGO dalam dan luar negara.
Terdapat pelbagai bentuk sumbangan seperti penajaan endowmen bagi
kursi kecemerlangan, tabung penyelidikan untuk pelajar, pemberian
biasiswa atau feloship untuk warga UKM.

iii. Kolaborasi penyelidikan melalui aktiviti perundingan dan khidmat


nasihat kepada rakan industri/ NGO/ agensi kerajaan. (kerjasama dengan
UKM Pakarunding).

iv. Program pemindahan ilmu dan hasil penyelidikan kepada industri,


masyarakat, dan negara bagi tujuan meningkatkan sektor industri tersebut,
taraf ekonomi, sosial, alam sekitar dan pembangunan negara.

6/8
7.2 Keterlibatan Dalam Pendidikan.

Merupakan aktiviti keterlibatan industri dan masyarakat yang menyokong serta


mendorong pendidikan. Aktiviti kolaborasi pendidikan yang boleh dilakukan
adalah seperti berikut:

i. Melibatkan industri dan masyarakat dalam pembangunan pendidikan dan


pengajaran dalam sistem penyampaian kurikulum dan ko-kurikulum
universiti.

ii. Kolaborasi dengan industri dan masyarakat bagi perkongsian ilmu dan
kepakaran bagi peningkatan kemahiran generik pelajar, kemudah
pasaran serta keboleh dapatan kerja pelajar. Bentuk aktiviti kerjasama
yang boleh dijalankan adalah seperti penglibatan dalam projek
penyelidikan tahun akhir pelajar, projek khidmat masyarakat, projek
kontrak pembelajaran dan sebagainya.

iii. Kolaborasi dalam proses kajian semula program akademik universiti


dengan keahlian industri/NGO/agensi kerajaan/alumni seperti mana dalam
Garis Panduan Lembaga Penasihat Program Pengajian.

iv. Kolaborasi dalam bentuk sangkutan/latihan pelajar di industri/


NGO/agensi kerajaan (tempatan dan luar negara) seperti mana termaktub
dalam Dasar Latihan Industri Universiti Kebangsaan Malaysia.

v. Kolaborasi dalam program sangkutan kakitangan akademik atau


pengurusan dan professional di industri atau masyarakat dalam negara
atau luar negara bagi tujuan meningkatkan kepakaran, kemahiran dan
inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Garis Panduan, pelaksanaan
dan tadbir urus program sangkutan ini adalah seperti mana Garis Panduan
Sangkutan Akademia-Industri dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia
dan Panduan dan Peraturan Permohonan Sangkutan Industri UKM.

7.3 Keterlibatan Dalam Khidmat

Merupakan aktiviti keterlibatan industri/masyarakat dan inisiatif kesukarelawanan


yang menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan
dan persekitaran masyarakat dalam negara dan serantau. Antara aktiviti khidmat
adalah seperti berikut :

i. Khidmat kepakaran, nasihat dan kesukarelawanan berteraskan ilmu


kepada industri /masyarakat/ agensi kerajaan/ NGO/ badan berkanun
berdasarkan bidang kepakaran tertentu.

ii. Khidmat dalam bentuk aktiviti kesukarelawanan untuk pembangunan


masyarakat dan golongan yang memerlukan bantuan misalnya masyarakat
di luar bandar dan penempatan yang dilanda bencana sama ada di dalam
negara mahupun serantau.

iii. Khidmat melalui keahlian dalam badan sukarela/persatuan/agensi


berkaitan di dalam atau luar seperti MERCY Malaysia, Persatuan Bulan
Sabit Merah, Sahabat Alam Malaysia dan sebagainya.

7/8
iv. Khidmat kepakaran dan profesional yang menjadi kriteria perjawatan
bagi kakitangan UKM seperti khidmat klinikal oleh kakitangan perubatan
UKM kepada masyarakat/ agensi kerajaan/ badan pertubuhan/ dan industri
yang berkaitan.

8. Penutup

Aktiviti dan inisiatif keterlibatan industri dan masyarakat dalam 3 aktiviti teras utama
universiti iaitu penyelidikan, pendidikan dan khidmat dapat meningkatkan hubungan
dengan industri dan masyarakat secara kondusif, produktif dan lestasi bagi memenuhi
keperluan sosial, ekonomi, kesihatan, pendidikan dan persekitaran masyarakat, negara dan
serantau.

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat)


Universiti Kebangsaan Malaysia
10 Oktober 2012

8/8

You might also like