Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

Koleksi contoh teks ucapan berserta panduan asas penulisan teks ucapan

Oleh : studioperintis@perintis.com.my

Pendahuluan

Dalam sesuatu acara atau majlis pasti kita biasa mendengar ucapan daripada tuan rumah
dan ucapan tamu kehormat selain ucapan pengacara majlis. Pernahkah anda terfikir bahawa
suatu hari nanti anda yang perlu menyampaikan ucapan atau anda ditugaskan untuk menulis
teks ucapan untuk ketua anda atau tamu kehormat dalam majlis yang dianjur oleh organisasi
tempat anda bertugas? Apakah yang perlu anda lakukan pada ketika itu? Adakah anda akan
mencuba memberikan pelbagai alasan untuk menolak? Kemungkinan kali pertama, kedua
atau ketiga anda berjaya melepaskan diri, tetapi kali yang seterusnya, anda mungkin akan
perlu melakukannya juga. Oleh itu, apa kata jika anda bersedia dari sekarang menyiapkan
diri anda untuk menulis teks ucapan yang berkesan untuk diri anda sendiri atau untuk ketua
anda.

Lazimnya, terdapat banyak jenis ucapan; ada ucapan tahniah, ucapan penghargaan, ucapan
politik, ucapan perpisahan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, buku ini hanya berfokus
kepada teks ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian dan teks ucapan perpisahan.

Jenis-jenis teks ucapan

Telah dinyatakan tadi bahawa buku ini hanya berfokus kepada tiga jenis teks ucapan.

Yang berikut merupakan ciri-ciri teks ucapan tersebut.

Teks ucapan alu-aluan ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tuan rumah dalam
sesuatu majlis. Teks ucapan ini selalunya ditulis dengan ringkas tetapi ada juga yang
panjang bergantung pada kehendak pihak penganjur majlis. Teks ucapan ini mengandungi
ucapan alu-aluan selamat datang dan ucapan terima kasih kepada tamu kehormat dan para
jemputan.

Selain itu, dalam teks ucapan alu-aluan juga akan disampaikan harapan pihak penganjur,
objektif majlis dan penghargaan kepada orang yang membantu melaksanakan majlis.
Kadangkala dalam teks ucapan alu-aluan juga turut dimasukkan laporan kejayaan sesuatu
organisasi atau institusi.

Teks ucapan perasmian ialah teks ucapan yang disampaikan oleh tamu kehormat bagi
sesuatu majlis. Teks ucapan perasmian selalunya lebih panjang daripada teks ucapan alu-
aluan.

Teks ucapan perasmian mengandungi ucapan terima kasih kepada tuan rumah yang
mengundang, maklumat yang berkaitan dengan majlis, perkembangan institusi yang
mengundang dan harapan tetamu.

Teks ucapan perpisahan merupakan teks ucapan yang disampaikan dalam majlis
perpisahan. Teks ucapan perpisahan terbahagi kepada teks ucapan pihak yang
menganjurkan majlis dan teks ucapan yang dibalas oleh orang yang diraikan.

Teks ucapan perpisahan yang disampaikan oleh pihak penganjur selalunya mengandungi
ucapan terima kasih dan puji-pujian atas jasa yang disumbangkan oleh orang yang diraikan.
Selain itu, terdapat juga harapan penganjur kepada orang yang diraikan.

Teks ucapan balas yang disampaikan oleh orang yang diraikan pula mengandungi ucapan
terima kasih kepada pihak penganjur dan puji-pujian terhadap rakan setugas dan kaki-
tangan bawahan.

Selain itu, dalam teks ini juga lazimnya dimasukkan permohonan maaf dan menyatakan
detik-detik indah atau manis ketika berkhidmat serta pelawaan kepada semua rakan dan
kakitangan untuk berkunjung ke rumah.

Isi kandungan buku sepintas lalu

Buku ini ditulis untuk memberi anda sedikit panduan tentang cara menulis teks ucapan dan
contoh teks ucapan. Terdapat lima bab dalam buku ini, iaitu:

Bab 1 Penulis teks ucapan


Bab 2 Panduan asas penulisan
Bab 3 Senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan
Bab 4 Pincang bahasa, pincanglah teks ucapan
Bab 5 Koleksi contoh teks ucapan

Bab 1 memperkenalkan penulis teks ucapan dan kriteria yang ada pada penulis teks
ucapan.

Dalam Bab 2, diberikan panduan asas penulisan teks ucapan termasuk cara menyediakan
teks ucapan dan isi kandungan teks ucapan. Dalam bahagian ini juga diterangkan serba
ringkas tentang format penulisan teks ucapan secara umum.

Dalam Bab 3, diberikan senarai panggilan hormat dan pantang larang dalam teks ucapan.
Bahagian ini dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu:
1. Senarai panggilan hormat tamu kehormat
2. Senarai panggilan hormat audiens
3. Pantang larang dalam teks ucapan

Bab 4 pula menyentuh tentang kesalahan bahasa yang perlu dielakkan dalam teks ucapan
agar teks yang disediakan tidak pincang. Kesalahan bahasa yang disentuh melibatkan
kesalahan bahasa yang lazim dilakukan semasa bercakap dan menulis.

Akhir sekali, dalam Bab 5, dimuatkan 16 contoh teks ucapan yang berfokus kepada teks
ucapan alu-aluan, teks ucapan perasmian pelbagai majlis dan teks ucapan perpisahan untuk
bacaan dan rujukan anda. Hal ini bertujuan untuk membantu anda menyediakan dan menulis
teks ucapan dengan baik dan berkesan.

Di samping itu, cadangan majlis lain yang bersesuaian dengan setiap contoh teks ucapan
turut diberikan.

Petikan dari Bab 2: Panduan Asas Penulisan

Kita sering terpegun dan tertawan apabila mendengar ucapan daripada tetamu atau tokoh-
tokoh tertentu. Tahukah kita bahawa ada antara teks yang kita dengar dalam majlis-majlis
tertentu bukan ditulis sendiri oleh penyampai ucapan tetapi ditulis oleh orang lain? Soalnya,
siapakah yang menulis teks ucapan tersebut?

Anda telah pun mengenali penulis teks ucapan. Kini, tiba masa untuk anda mengetahui cara
penulisan teks ucapan.

Teks ucapan yang menarik dan berkesan bukan sesuatu yang mudah untuk dihasilkan tetapi
bukan juga sesuatu yang mustahil untuk dilakukan jika setiap daripada kita mengetahui cara
menghasilkan dan menulis teks ucapan yang menarik dan berkesan. Sebenarnya, tidak
banyak daripada kita mengetahui cara menghasilkan teks ucapan yang baik dan berkesan.
Oleh itu, marilah kita mempelajari cara penulisan teks ucapan yang betul dan mudah.

Prapersediaan dalam menyediakan teks ucapan

Sebagai penulis teks ucapan, anda harus mengetahui beberapa perkara sebelum
menyediakan teks ucapan. Perkara yang perlu anda ketahui ialah:

i. Untuk siapakah teks ucapan itu disediakan?

Sebagai penulis teks ucapan, anda perlu mengetahui orang yang akan membaca teks
tersebut. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis mesti selari dengan jawatan,
perawakan dan latar belakang pendidikan orang tersebut.

ii. Siapakah audiens yang mendengar ucapan tersebut?

Penulis teks ucapan perlu mengetahui audiens yang mendengar ucapan tersebut sebelum
mula menulis teks ucapan tertentu. Hal ini demikian kerana teks ucapan yang ditulis perlu
juga sesuai dengan tahap pengetahuan audiens. Jika teks yang ditulis untuk disampaikan
kepada audiens yang dalam golongan pelajar sekolah menengah, maka laras bahasa yang
digunakan mestilah sesuai dengan tahap pemikiran pelajar sekolah menengah. Dengan kata
lain, penulis teks ucapan mestilah memastikan bahawa teks yang ditulis sesuai dengan
tahap pemikiran audiens yang akan mendengar ucapan tersebut.

iii. Siapakah tetamu yang akan hadir?

Tetamu yang akan hadir juga perlu diambil tahu oleh penulis teks ucapan. Oleh itu, penulis
teks ucapan perlu mendapatkan nama tetamu dengan tepat berserta jawatan dan
kedudukan tetamu mengikut peringkat yang ditetap-kan oleh pihak penganjur. Dengan
mengetahui tetamu yang akan hadir, penulis teks ucapan dapat menyusun bahagian kata
alu-aluan tersebut mengikut protokol dan hal ini dapat memastikan tiada pihak yang berkecil
hati kerana nama mereka tidak disebut atau tersalah panggilan hormatnya.

iv. Apakah tujuan majlis tersebut?

Tujuan majlis juga perlu diketahui oleh penulis teks ucapan. Tujuan majlis penting dalam
penulisan teks ucapan. Teks ucapan alu-aluan terutamanya perlu menyentuh tujuan majlis
tersebut diadakan. Jadi, jika penulis teks ucapan tidak mengetahui tujuan majlis diadakan,
maka longgarlah isi teks ucapan yang ditulis.

v. Berapa lamakah ucapan tersebut perlu berlangsung?

Setiap teks ucapan yang ditulis bergantung pada masa yang diperuntukkan oleh penganjur.
Teks ucapan yang baik ialah teks ucapan yang dapat mengikut masa yang ditetapkan oleh
pihak penganjur. Jadi, penulis teks ucapan perlu mengetahui masa yang ditetapkan oleh
penganjur bagi setiap teks ucapan yang diperlukan. Sebagai contohnya, jika masa yang
diperuntukkan selama lima minit untuk tamu kehormat menyampaikan ucapan, maka
teks yang ditulis hendaklah dalam lingkungan 10 muka surat bersaiz setengah A4
yang ditaip dengan tulisan bersaiz 16 dengan langkauan dua baris.

vi. Apakah bahan atau maklumat yang perlu dicari?

Bahan atau maklumat yang perlu dicari bergantung pada majlis. Jika majlis yang akan
dilangsungkan berkaitan dengan sambutan kemerdekaan, maka bahan atau maklumat yang
perlu dicari mestilah berkaitan dengan kemerdekaan atau semangat patriotisme

You might also like