Kesahan Dan Kebolehpercayaan

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 15

PENGENALAN KESAHAN

Konsep kesahan adalah satu konsep penting yang mesti difahami apabila kita ingin membina

sesuatu ujian. Ujian merupakan satu alat (instrumen) yang kita gunakan untuk membuat inferens

tentang pencapaian seseorang pelajar.

Kesahan sesuatu alat kajian dipengaruhi oleh jenis pemboleh ubah. Sekiranya sesuatu

pemboleh ubah berbentuk fizikal atau kuantitatif, kita boleh menentukan kesahan alat pengukur bagi

pemboleh ubah tersebut dengan mudah. Contoh pemboleh ubah kuantitatif adalah seperti ketinggian,

panjang dan luas sebuah bilik darjah. Kita boleh menggunakan pembaris untuk mengukur ketinggian,

panjang dan luas sebuah bilik darjah. kita boleh menggunakan timbang untuk menyukat berat

seseorang pelajar. Bagaimanapun, sekiranya pemboleh ubah berbentuk konstruk dan konsep atau

berbentuk kualitatif, kita akan mengalami kesukaran untuk menentukan kesahan alat ukur yang akan

digunakan bagi mengukur pemboleh ubah tersebut.

Kesahan bergantung kepada tujuan dan masa sesuatu alat ukur dibina. Kesahan sesuatu alat

ukur akan berubah sekiranya tujuan alat ukur tersebut dibina dan masa alat ukur tersebut digunakan

berubah. Untuk menentukan kesahan sesuatu ujian yang dibina, pembina mestilah memahami apa

yang hendak diukur. Pembina hendaklah menetapkan apa yang hendak diukur sebelum menentukan

bagaimana sesuatu pengukuran itu harus dibuat. Pembina seharusnya menentukan apakah trait (ciri-

ciri atau kemahiran) yang hendak diukur itu, di samping dapat mengenal pasti apakah trait yang bukan

hendak diukur, kemudian barulah ujian (memilih item daripada bank item) dipasang untuk

mengukurnya.

Menurut Bhasah Abu Bakar (2003), alat ukur yang mempunyai kesahan yang tinggi bagi

mengukur sikap pelajar Tingkatan 5 terhadap mata pelajaran perdagangan akan berubah kesahannya

sekiranya alat tersebut digunakan untuk mengukur sikap pelajar Tingkatan 5 terhadap mata pelajaran

sejarah. Kesahan pada amnya kerap merujuk kepada takat di mana sesuatu ujian itu mengukur apa

yang seharusnya diukur berdasarkan definisi yang telah ditetapkan oleh pembina. Secara khususnya,

kesahan ujian adalah berkenaan dengan kesesuaian rujukan yang dibuat berdasarkan kepada keputusan
ujian berkenaan. Kesahan sesuatu alat pengukuran boleh dilihat dari tiga aspek utama. Ketiga-tiga

aspek kesahan ini ialah kesahan kandungan, kesahan kriteria dan kesahan konstruk.

JENIS-JENIS KESAHAN

Merujuk buku Kaedah Penyelidikan Pendidikan oleh Mohd. Majid Konting (2000), terdapat tiga jenis

kesahan iaitu kesahan kandungan, kesahan kriteria dan kesahan konstruk.

1) KESAHAN KANDUNGAN

Kesahan kandungan sesuatu alat pengukuran merujuk kepada sejauh mana alat itu mengumpul

data yang merangkumi kandungan sesuatu bidang yang dikaji. Sesuatu alat pengukuran dikatakan

mempunyai kesahan kandungan yang tinggi sekiranya alat tersebut dapat mengukur semua isi serta

kandungan bidang yang dikaji dengan berkesan. Sekiranya alat pengukuran tidak dapat mengukur

semua isi sesuatu bidang, maka alat tersebut tidak mempunyai kesahan kandungan yang tinggi.

Matlamat utama kesahan kandungan sesuatu alat ukur ialah untuk memastikan semua isi dan

kandungan bidang yang dikaji diukur bagi menggambarkan bidang berkenaan. Walaupun matlamat

utama kesahan kandungan sesuatu alat kajian adalah untuk menentukan pengukuran ke atas semua

kandungan sesuatu bidang yang dikaji, kesukaran sering berlaku disebabkan isi dan kandungan yang

luas dalam bidang berkenaan. Bagi mengatasi masalah kandungan yang luas, penyelidik pendidikan

biasanya menggunakan teknik pensampelan bagi mendapatkan isi dan kandungan yang boleh

digunakan bagi mewakili isi dan kandungan bidang yang dikaji. Penyelidik perlu memastikan prinsip

pensampelan diikuti dengan sempurna.

Kesahan kandungan sesuatu alat ukur bergantung kepada skop dan objektif bidang yang dikaji.

Kesahan kandungan sesuatu alat ukur dikatakan sesuai sekiranya data atau maklumat yang dikutip

menunjukkan liputan menyeluruh sesuatu pencapaian atau penguasaan terhadap sesuatu bidang atau

kemahiran tertentu yang dikaji. Alat ujian matematik tingkatan 2 dikatakan mempunyai kesahan

kandungan yang sesuai sekiranya markah-markah yang didapati oleh pelajar yang diuji adalah hasil
pencapaian atau penguasaan mereka daripada keseluruhan kandungan sukatan mata pelajaran

matematik tingkatan 2.

Bagi menentukan kesahan kandungan, penyelidik perlu menyenaraikan objektif dan

kandungan sesuatu bidang. Penyenaraian ini boleh dilakukan dengan menggunakan Jadual Penentuan.

Dengan menggunakan Jadual Penentuan, kandungan atau domain-domain yang hendak dikaji

disenaraikan secara terperinci. Dari senarai kandungan atau domain tersebut, pensampelan boleh

dilakukan bagi mendapatkan domain-domain yang dapat mewakili kandungan bidang.

Bagi meningkatkan kesahan kandungan sesuatu alat ukur, penyelidik disyorkan untuk

mendapatkan penilai luar. Penilai luar bertugas sebagai penilai bagi memastikan domain-domain yang

terkandung dalam alat ukur mewakili bidang yang dikaji. Penilai luar biasanya terdiri daripada pakar-

pakar bidang yang berkaitan dengan bidang yang dikaji oleh penyelidik.

2) KESAHAN KRITERIA

Kesahan kriteria bagi sesuatu alat kajian merujuk kepada sejauh mana kaitan antara butir-butir

dalam alat kajian dengan kriteria luaran yang berkecuali. Kesahan kriteria mempersoalkan sama ada

butir-butir alat kajian sah mengukur kriteria yang hendak diukur. Sekiranya kriteria luaran yang

berkecuali sebenarnya sah bagi mengukur kriteria yang hendak diukur, maka kaitan yang bererti antara

butir-butir dalam alat kajian dengan kriteria luaran tersebut akan menunjukkan kesahan kriteria

sesuatu alat kajian.

Kriteria yang hendak diukur adalah kriteria yang tekal sebagaimana ditunjukkan oleh subjek di

luar pengukuran. Kriteria yang dipilih mestilah kriteria yang benar-benar mewakili dengan tepat

domain yang diukur. Kesahan kriteria menekankan kepada perbandingan suatu skala markah dengan

pemboleh ubah luaran atau kriteria yang diketahui atau dipercayai mengukur sifat yang dikaji. Oleh

itu, kriteria luaran mestilah dikenal pasti dan ditentukan kesahannya bagi mengukur sesuatu gagasan

yang hendak diukur.

Kriteria yang digunakan bagi menentukan kesahan kriteria biasanya terdiri daripada dua jenis

iaitu kriteria serentak dan kriteria jangkaan.


a) Kriteria serentak

Kriteria serentak ialah kriteria yang ditunjukkan pada masa yang sama atau hampir sama

dengan pengukuran yang dikenakan ke atas kriteria tersebut. Alat kajian bagi mengukur kebolehan

bermain muzik dikatakan mempunyai kesahan kriteria serentak yang tinggi sekiranya seseorang

pelajar yang mencapai kebolehan cemerlang dalam ujian tersebut juga pada masa itu boleh

menunjukkan kebolehannya bermain muzik dengan baik.

b) Kriteria jangkaan

Kriteria jangkaan adalah kriteria yang ditunjukkan pada selang masa yang berbeza selepas

pengukuran dikenakan ke atas kriteria tersebut. Kesahan kriteria jangkaan alat kajian bagi mengukur

kebolehan bermain muzik dikatakan rendah apabila seseorang pelajar yang mencapai kebolehan yang

tinggi dalam ujian tersebut tidak dapat menunjukkan kebolehannya bermain muzik dengan baik

apabila beliau mengadakan konsert bermain muzik beberapa bulan selepas ujian tersebut diadakan.

Kesahan kriteria jangkaan membawa pertanyaan: Bolehkah ujian berkenaan menjangkakan prestasi

masa hadapan sama ada berjaya atau gagal dalam sesuatu kursus?

Contoh: Andaikan semua pelajar yang ingin memasuki IPTA/IPTS dimestikan mengambil peperiksaan

pemilihan ke IPTA/IPTS (jangkaan). Kriterianya ialah PNGK semester akhir. Oleh itu hitungkan skor

korelasi peperiksaan pemilihan ke IPTA/IPTS dengan skor di semester akhir IPTA/IPTS. Jika nilai

korelasinya tinggi, ini melambangkan kesahan ramalannya adalah tinggi (Bhasah Abu Bakar, 2000).

Faktor-faktor yang mempengaruhi pekali kesahan kriteria

Menurut Bhasah Abu Bakar (2003), terdapat empat faktor-faktor yang mempengaruhi pekali kesahan

kriteria iaitu:

a) Tempoh antara pengukuran penjangka dan kriteria.

Tempoh masa lama akan mengurangkan kesahan ujian kerana kesan peluang akan

mempengaruhi penjangka dan kriteria. Pengukurannya memerlukan bilangan pelajar yang

ramai agar attrition yang berlaku kemudiannya tidak akan mengganggu pekali kesahan.
b) Kesan pemilihan

Pemilihan yang tertumpu kepada sesuatu kumpulan pelajar cemerlang atau yang lemah

sahaja besar kemungkinan akan merendahkan pekali kesahan jangkaan.

c) Kesan kebolehpercayaan

Pekali kesahan maksimum berkait terus dengan kebolehpercayaan.

d) Bilangan item dalam jangkaan

Bilangan item bertambah akan meninggikan lagi kesahan dan kebolehpercayaan.

Peningkatan kesahan akan terjadi sekiranya item yang ditambah adalah bersamaan

kualitinya dengan item yang sudah ada dalam ujian berkenan.

3) KESAHAN KONSTRUK

Konstruk adalah satu konsep yang tidak boleh diukur secara terus atau diukur tanpa ralat,

tetapi diukur menggunakan penunjuk (Joseph F. Hair et. al, 1992). Sebagai contoh: Kesediaan

membaca adalah konstruk yang terbentuk daripada kombinasi beberapa konsep seperti ketajaman

penglihatan, diskriminasi simbol, orientasi kiri-ke-kanan, mendengar perbendaharaan kata dan

sebagainya (Donald Ary et. al., 1990).

Menurut Cronbach dan Quirk, konstruk merujuk kepada proses dalaman atau postulasi

sifat/ciri manusia yang ditunjukkan daripada prestasi ujian (Cronbach & Meehl, 1995). Menurut

Cronbach (1984) lagi, konstruk ialah satu konsep teori yang diterbitkan daripada penyelidikan dan

pengalaman lain yang dibina untuk menjelaskan satu bentuk perlakuan yang dilihat. Matlamat utama

mewujudkan konsep konstruk dalam bidang pendidikan ialah untuk menyatakan kuantitinya pada satu

skala dengan angka sepadan dengan banyaknya trait yang dipunyai oleh seseorang individu. Satu skor

boleh didapati dengan mencampurkan nilai trait berkenaan di sepanjang respons. Skor ini bertujuan

untuk mencerminkan amaun konstruk dipunyai oleh seseorang individu. Maka matlamat bukti
berkaitan konstruk bagi kesahan ialah menentukan darjah bagi skor sesuatu instrumen itu adalah

gambaran (bayangan) sebenar bagi konstruk berkenaan.

Sebagai contoh dalam kesahan kontruk ialah seperti motivasi. Untuk mengukur kewujudan

motivasi dalam pencapaian akademik seseorang pelajar, kita mestilah faham dan jelas tentang definisi

motivasi dalam pencapaian akademik. kita hendaklah faham apakah yang dimaksudkan dengan

motivasi dalam pencapaian akademik. Apakah teori-teori yang ada yang dapat menghuraikan tentang

motivasi. Apakah dia ciri-ciri motivasi. Bagaimanakah bentuk seseorang itu yang dikatakan

mempunyai motivasi dalam akademik? Bagaimana pula halnya bagi mereka yang tidak bermotivasi?

Justeru itu untuk memastikan sama ada seseorang pelajar itu mempunyai motivasi untuk pencapaian

akademik, kita bina instrumen (ujian) berdasarkan teori pencapaian akademik tadi. Kemudian kita

tadbirkan instrumen (ujian) berkenaan dan dapatkan data. Berdasarkan data yang dikumpulkan, skor

yang diperoleh akan menjelaskan sesuatu yang bermakna tentang pelajar tadi berkait dengan motivasi

pencapaian akademiknya.

FAKTOR MEMPENGARUHI KESAHAN

Menurut Bhasah Abu Bakar (2003), terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi kesahan iaitu:

a) Arahan kurang jelas

b) Perbendaharaan kata dan struktur ayat sukar difahami

c) Masa yang diberikan tidak mencukupi

d) Item ujian yang dibina kurang baik

e) Item ujian kurang sesuai bagi aras kemahiran yang dikehendaki


PENGENALAN KEBOLEHPERCAYAAN

Sesuatu ujian itu dikatakan boleh dipercayai sekiranya ujian itu dapat mengukur sesuatu apa

yang hendak diukur dengan tekal. Ini bermakna, sesuatu individu itu akan mendapat skor yang sama

daripada sesuatu ujian seandainya kebolehan individu itu adalah tekal atau trait yang hendak diukur itu

tidak berubah walaupun diukur berkali-kali dengan instrumen yang sama.

Pekali kebolehpercayaan boleh didefinisikan sebagai korelasi antara skor dalam ujian selari. Ia

mengukur tahap persamaan antara ujian, manakala indeks kebolehpercayaan mengukur darjah

kewujudan kebolehpercayaan bagi sesuatu pengukuran. Pekali kebolehpercayaan boleh juga

ditakrifkan sebagai nisbah varian skor sebenar kepada varian skor cerapan. Pengukuran

kebolehpercayaan merujuk kepada takat variasi skor individu ke atas beberapa ciri ujian selari.

Pengukuran ralat piawai dan pekali kebolehpercayaan kedua-duanya memberi huraian kepada darjah

kebolehpercayaan.

Pekali kebolehpercayaan selalunya didefinisikan sebagai gandadua korelasi di antara skor

yang diperoleh dengan skor sebenar bagi sesuatu pengukuran. Maka pekali kebolehpercayaan

menunjukkan perkadaran keberubahan bagi satu set skor yang menggambarkan perbezaan sebenar

antara individu. Oleh itu pekali kebolehpercayaan 0.90 mempunyai ralat pengukuran yang lebih tinggi

dan adalah lebih boleh dipercayai daripada ujian yang mempunyai pekali kebolehpercayaan 0.60.

PROSEDUR MENENTUKAN KEBOLEHPERCAYAAN

Terdapat pelbagai kaedah untuk menentukan pekali kebolehpercayaan sesuatu ujian. Kaedah

penentuan pekali kebolehpercayaan ujian adalah bergantung kepada apakah generalisasi yang hendak

dibuat. Sama ada pekali kebolehpercayaan itu hendak digeneralisasikan kepada a) masa yang

berlainan b) sampel item atau ujian yang berlainan atau c) pemeriksa yang berlainan.
Pentadbiran Dua Ujian

a) Kaedah bentuk selang-seli

Kaedah ini memerlukan penguji membina dua bentuk ujian yang sama untuk menguji

perlakuan atau konstruk yang sama dan mentadbirkan ujian berkenaan kepada kumpulan pelajar yang

sama juga. kedua-dua bentuk ini hendaklah ditadbirkan dalam tempoh yang terdekat antara Bentuk A

dan Bentuk B. Tempoh masa hanya setakat mengelakkan pelajar daripada keletihan menjawab

kedua0dua ujian. Kumpulan berkenaan dibahagikan secara rawak kepada dua kumpulan Kumpulan

1 dan Kumpulan 2. Mula-mula Kumpulan 1 ambil Ujian A dan Kumpulan 2 ambil Ujian B. Sebaik

sahaja ujian tamat, mereka diberikan masa untuk berehat dan kemudian ujian diteruskan dengan

Kumpulan 1 menjawab Ujian B dan Kumpulan 2 menjawab Ujian A. Pekali korelasi dihitung untuk

skor bagi kedua-dua ujian berkenaan menggunakan formula Pearson Product Moment. Lebih tinggi

pekali persamaan, maka lebih tinggilah kebolehpercayaan penggunaan ujian skor daripada bentuk

ujian berlainan bentuk itu boleh digunakan bertukar ganti. Anggaran kebolehpercayaan yang minimum

ialah antara 0.80 ke 0.90.

b) Kaedah uji dan uji kembali

Kaedah uji dan uji kembali merupakan kaedah bagi mendapatkan dua set kesahan dengan

mentadbir alat ukur yang sama ke atas subjek yang sama sebanyak dua kali. kesahan yang didapati

daripada pengukuran pertama dan pengukuran kedua dikorelasikan. Pekali korelasi yang terhasil

merupakan indeks kebolehpercayaan. Sekiranya pekali korelasi yang didapati positif dan teguh, maka

indeks kebolehpercayaan bagi alat ukur tersebut adalah tinggi.

Kaedah uji dan uji kembali terdedah kepada perubahan disebabkan oleh faktor sistematik dan

faktor tidak sistematik. Apakah perubahan yang disebabkan oleh faktor sistematik? Oleh kerana alat

ukur yang sama ditadbir sebanyak dua kali ke atas subjek yang sama tetapi pada waktu yang berlainan,

maka perubahan sistematik yang berlaku adalah disebabkan oleh kematangan subjek dan alat ukur.
Subjek semakin matang pada pengukuran kedua berbanding dengan pada pengukuran

pertama. Bagaimanapun, faktor sistematik tidak mempengaruhi paras kebolehpercayaan sesuatu alat

ukur. Operasi atau pengurusan alat ukur pada kali pertama dan kali kedua dalam kaedah uji dan uji

kembali mungkin menghasilkan faktor tidak sistematik yang boleh mempengaruhi kebolehpercayaan.

Oleh itu, kita perlu mengadakan pengurusan alat ukur yang piawai, serupa dan terkawal bagi

mencegah kesan faktor tidak sistematik. Kita perlu menghalang perubahan disebabkan sikap, minat,

kecergasan fizikal dan kestabilan emosi subjek. Kita juga perlu mengadakan tugasan yang piawai pada

kedua-dua pengukuran serta mengadakan pengukuran terhadap lebih banyak pensampelan tingkah

laku.

c) Kaedah bentuk setara

Dua set kesahan yang boleh digunakan untuk mendapatkan indeks kebolehpercayaan boleh

juga didapati dengan menggunakan kaedah bentuk setara. Kaedah bentuk setara menggunakan satu

alat ukur yang dibina dan satu alat ukur yang piawai. Kedua-dua alat ukur tersebut adalah setara dari

segi kandungannya tetapi mungkin berbeza dari segi penyampaian. Kedua-dua alat ukur ditadbir ke

atas subjek yang sama dan pada masa yang sama. Kesahan yang didapati daripada pengukuran dengan

menggunakan kedua-dua alat ukur tersebut dikorelasikan. Pekali korelasi yang positif dan teguh

menunjukkan indeks kebolehpercayaan yang tinggi bagi alat ukur yang dibina.

Kaedah bentuk setara boleh mengatasi masalah pensampelan tugasan yang terhad

sebagaimana yang dialami dengan penggunaan kaedah berbahagi dua. Oleh itu kerana kita

menggunakan dua set alat ukur dan satu daripadanya adalah alat ukur piawai, kita dapat memastikan

liputan yang menyeluruh terhadap kandungan atau domain yang dikaji. Bagaimanapun, kaedah bentuk

setara jarang digunakan bagi mendapatkan dua set kesahan. Kekurangan penggunaan kaedah ini

adalah disebabkan kaedah bentuk setara memerlukan dua alat ukur yang mengandungi paras

kesukaran dan kandungan yang setara. Masa yang banyak juga diperlukan untuk mentadbir dua alat

ukur yang setara ke atas subjek yang sama.


Pentadbiran satu ujian

a) Kaedah bahagi dua

Kaedah yang sering digunakan bagi mendapatkan dua set kesahan ialah kaedah bahagi dua.

Kaedah ini memerlukan satu alat ukur yang mengandungi beberapa butir ditadbirkan hanya sekali ke

atas subjek. Gerak balas pada butir-butir bernombor ganjil diasingkan dari gerak balas pada butir-butir

bernombor genap. Dua set kesahan yang didapati daripada gerak balas pada butir-butir bernombor

ganjil dan gerak balas yang didapati daripada butir-butir bernombor genap dikorelasikan. Pekali

korelasi yang positif dan teguh antara dua set kesahan tersebut menunjukkan alat ukur mempunyai

indeks kebolehpercayaan yang tinggi.

Kaedah bahagi dua sering digunakan bagi menentukan kebolehpercayaan sesuatu alat ukur

kerana kaedah ini hanya memerlukan pentadbiran alat ukur sekali sahaja. Dengan menggunakan satu

pentadbiran, kaedah bahagi dua dapat mencegah berlakunya perubahan disebabkan ketiga-tiga sumber

variasi iaitu variasi individu dari satu pengukuran ke satu pengukuran, variasi tugasan dari satu

pengukuran ke satu pengukuran dan variasi pensampelan gagasan yang berbeza antara satu

pengukuran dengan pengukuran lain.

Bagaimanapun, kaedah bahagi dua menyebabkan kandungan butir yang berkurang. Ini adalah

kerana butir-butir yang merangkumi kandungan bidang yang dikaji dibahagi dua. Dengan

pembahagian tersebut, kandungan bidang yang diukur menjadi separuh daripada kandungan sebenar.

Misalnya, sekiranya penggunaan 100 butir dalam alat ukur merangkumi bidang yang hendak diukur,

dengan kaedah bahagi dua kita hanya menggunakan 50 butir sahaja untuk mengukur kandungan

bidang tersebut. Kandungan butir yang berkurang sebanyak separuh akan merendahkan kesahan

kandungan alat ukur. Bagi mengatasi butir dan kandungan yang berkurang disebabkan penggunaan

kaedah bahagi dua untuk menentukan indeks kebolehpercayaan, penyelidik biasanya menggunakan

Formula Spearman-Brown.
Formula Spearman-Brown

Indeks kebolehpercayaan:

2r gg

____________________

1 + r gg

Di mana r gg = Pekali korelasi antara kesahan butir bernombor genap (g) dan kesahan butir bernombor

ganjil (g).

Misalnya, sekiranya pekali korelasi antara kesahan butir bernombor genap dan kesahan butir

bernombor ganjil ialah 0.78, maka nilai indeks kebolehpercayaan alat ukur tersebut adalah:

Indeks kebolehpercayaan = 2 (0.78)

1 + 0.78

= 0.88

Pekali Alpha Cronbach

Kaedah pekali alpha ini bergantung kepada ketekalan prestasi individu dari satu butir ke butir lain. Di

samping itu, pekali alpha juga berasaskan kepada sisihan piawai alat ukur dan sisihan piawai butir-

butir yang berlainan.

Pekali Alpha () = n SA2 SB2


n1 SA2
di mana adalah anggaran kebolehpercayaan alat ukur,

n adalah bilangan butir dalam alat ukur,

SA adalah sisihan piawai alat ukur dan

SB adalah sisihan piawai butir-butir alat ukur.

Formula Kuder Richardson 20 (KR 20)


Formula ini memberi ketekalan dalaman sesuatu alat ukur di mana semua butir mengukur ciri yang

sama bagi sesuatu gagasan. Formula Kuder Richardson 20 (KR 20) tidak sesuai digunakan untuk

mengukur yang berkaitan dengan kepantasan seperti ujian yang perlu dijawab dengan cepat. Untuk

mengatasi masalah ini, Formula Kuder Richardson 21 (KR 21) digunakan.

KR 20 = r20 = n SA2 SB2


n1 SA2

KR 21 = r21 = n 1 - mm ( 1 mm / n )
n1 SA2

di mana mm adalah min kesahan kumpulan dan simbol-simbol lain mempunyai erti sama dengan (KR

20).

FAKTOR MEMPENGARUHI PEKALI KEBOLEHPERCAYAAN

a) Panjang Ujian

Ujian yang panjang akan meningkatkan kebolehpercayaan ujian.

b) Keheterogenan kumpulan

Apabila pelajar yang mengambil ujian itu lebih heterogen, maka pekali kebolehpercayaan ujian

berkenaan adalah lebih rendah.

c) Kebolehpercayaan pelajar mengambil ujian

Satu ujian mungkin lebih boleh dipercayai pada satu-satu aras kebolehan tetapi kurang boleh

dipercayai pada aras yang lain. Aras kesukaran ujian mempengaruhi kebolehpercayaan ujian kerana

item yang sukar akan membuat pelajar meneka jawapan. Kesukaran sesuatu ujian dipengaruhi oleh:

i. jenis ujian
ii. tujuan ujian

iii. populasi yang mengambil ujian

d) Teknik menganggar kebolehpercayaan ujian

Prosedur menganggar kebolehpercayaan ujian yang berbeza akan memberikan pelaki

kebolehpercayaan yang berbeza.

i. teknik bentuk setara memberi anggaran kebolehpercayaan lebih rendah dari

uji dan uji lagi dan prosedur belah dua

ii. kebolehpercayaan teknik belah dua lebih tinggi dari kebolehpercayaan

menggunakan kaedah berbentuk selang seli.

e) Keadaan pemboleh ubah yang diukur

Pemboleh ubah yang menjadi tumpuan penyelidik memberikan pengukuran yang tekal dari lain-lain

pemboleh ubah. Kebolehpercayaan tinggi manakala ujian pemboleh ubah sahsiah mempunyai

kebolehpercayaan yang sederhana.

f) Batasan Masa

Kebolehpercayaan menghadkan batasan atas (upper-limit) kepada kesahan pengukuran.

Kebolehpercayaan yang ditentukan adalah fungsi kepada penentuan ke atas ralat pengukuran di mana

tumpuan diberi kepada pengukuran trait.

Rujukan :
Bhasah Abu Bakar (2003), Asas pengukuran bilik darjah. Tanjong Malim. Quantum Books

Mohd. Majid Konting (2000), Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur:

Dewan Bahasa dan Pustaka

ISI KANDUNGAN :
PENGENALAN KESAHAN

JENIS JENIS KESAHAN

1. Kesahan Kandungan

2. Kesahan Kriteria

a. Kriteria serentak

b. Kriteria jangkaan

c. Faktor yang mempengaruhi pekali kesahan kriteria

3. Kesahan Konstruk

4. Faktor Yang Mempengaruhi Kesahan

PENGENALAN KEBOLEHPERCAYAAN

PROSUDER MENENTUKAN KEBOLEHPERCAYAAN

1. Pentadbiran Dua Ujian

a. Kaedah Bentuk Selang Seli

b. Kaedah Uji dan Uji Kembali

c. Kaedah Bentuk Setara

2. Pentadbiran Satu Ujian

a. Kaedah Bahagi Dua

- Formula Spearman - Brown

- Pekali Alpha Cronbach

- Formula Kuder Richardson

3. Faktor Yang Mempengaruhi Pekali Kebolehpercayaan

RUJUKAN

You might also like