Forum 3 Isu2semasa

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Forum 3

Bincangkan Punca dan Kesan buli terhadap murid sekolah


rendah. Apakah Peranan guru dan ibu bapa dalam menangani
masalah buli.

Jawapan
Gejala buli boleh didefinisikan sebagai masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras
ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh
seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini,
kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah
mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak
seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi. Menurut kajian,
kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar
terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang
mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana
angin, masakan pokok bergoyang.

Faktor kegagalan ibu bapa melaksanakan tanggungjawab terhadap anak merupakan akar
tunjang kepada berlaku gejala negatif seperti ini. Pada era moden ini, ibu bapa hanya
mementingkan profesion dan kerjaya mereka yang bermotifkan hanya untuk mencari
pendapatan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak. Hal ini
menyebabkan ,seseorang anak itu kurang mendapat perhatian dan belaian kasih sayang
daripada ibu bapa mereka. Anak juga sebenarnya tidak mengetahui perkara yang
dilakukan oleh mereka itu betul ataupun salah, baik atau buruk, akibat daripada tiada
bimbingan daripada ibu bapa, akhirnya mereka terjebak dalam gejala buli. Tambahan
pula belaian kasih sayang yang tidak cukup yang diterima daripada ibu bapa juga
melahirkan anak yang bersikap agresif dan tidak berperikemanusiaan sehingga mereka
sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya terhadap orang lain tanpa
mempunyai rasa belas kasihan.

Selain itu, kekurangan pengawasan dan kawalan disiplin yang longgar di sekolah juga
mendorong berlakunya gejala buli ini. Pihak sekolah yang kurang peka dan tidak
mengambil peduli tentang hal ehwal peajar serta kelonggaran kawalan disiplin memberi
peluang keemasan kepada para pelajar untuk mengambil kesempatan melakukan gejala
sosial seperti gejala buli. Kelonggaran kawalan disiplin juga menyebabkan pelajar
terutamanya pelajar lelaki menunjukkan keberanian mereka dan mengambil peluang
untuk melakukan apa-apa saja perkara secara bebas tanpa rasa takut.

Kekurangan penghayatan nilai nilai moral dan agama juga menyebabkan para remaja
terlibat dalam gejala negatif seperti buli ini. Hal Ini disebabkan,seseorang pelajar yang
mempunyai nilai moral dan agama yang tinggi tidak mudah terpengaruh untuk
melibatkan diri dalam gejala yang negatif. Tambahan pula,kekurangan penghayatan nilai
moral dan agama juga membentuk remaja yang kurang berakhlak dan tidak mempunyai
tahap kesedaran yang tinggi betapa pentingnya nilai moral dan agama dalam kehidupan.

PERANAN

Pihak Pentadbir Sekolah dan Guru: Sedar dan Ambil Tindakan Segera

- Pihak pentadbir khususnya guru besar/ pengetua dan guru-guru umumnya, harus peka mengenai
masalah ini. Mereka harus mengetahui dan memahami konsep, faktor penyebab, tempat insiden buli
dan aspek berkaitan isu buli.

- Jika guru dapat mengesan kes buli berlaku di sekolah, perkara ini harus diambil berat dan diberikan
perhatian serius. Jika kes ini berlaku di dalam kelas tempat guru itu sedang mengajar, guru perlu
menghentikannya segera serta mengambil maklumat dan butiran. Buat laporan dan hantar laporan
berkenaan kepada pihak pentadbir supaya insiden itu direkodkan dan diambil tindakan sewajarnya.

- Tindakan segera perlu dilakukan pihak pentadbir berasaskan peraturan sedia ada.

2. Peranan Sekolah dan Ibu Bapa/ Penjaga

- Guru, pelajar dan ibu bapa/ penjaga harus terlibat dalam kes berkaitan. Pelajar perlu ada kesedaran
memberitahu guru atau ibu bapa tentang kewujudan masalah berkenaan.

- Pelajar perlu dilatih dan diberi kemahiran mengenal pasti kes dan mampu membuat laporan kepada
pihak bertanggungjawab.

- Program Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) merupakan konsep dan kaedah yang baik untuk dilaksanakan
oleh semua sekolah. PRS akan menjadi mata dan telinga kepada pelajar yang menjadi mangsa buli.

- PRS boleh diberikan tanggungjawab untuk mengenal pasti isu tersebut dan memberikan laporan
kepada kaunselor sekolah untuk tindakan lanjut. Ahli PRS juga boleh memberi bantuan emosi awal
kepada mangsa yang terlibat.

- Ibu bapa harus diberi pendedahan terhadap tanda-tanda mangsa yang dibuli. Penerangan tentang
bagaimana untuk memahami dan memberi sokongan emosi terhadap anak-anak mereka yang menjadi
mangsa buli juga perlu diberi penekanan.

3. Peranan Pelajar

- Semua pelajar perlu diberi pendedahan awal tentang isu yang berkaitan dengan buli. Pendedahan perlu
diberi daripada aspek definisi, ciri-ciri mangsa, kesan, hukuman dan implikasi isu buli.

- Pelajar digalakkan untuk menanamkan sikap proaktif terhadap isu buli di sekolah. Galakkan pelajar
meluahkan perasaan melalui apresiasi seni, esei dan perbahasan tentang isu buli.

- Pelajar yang berasa dirinya terancam boleh menulis permasalahan mereka dan hantar kepada
kaunselor, guru bimbingan atau guru-guru yang mereka rasa selesa untuk mendengar atau membaca
permasalahan mereka.

- Pelajar perlu mengelakkan diri daripada menyerang balas pembuli berkenaan seperti mengadu hal itu
kepada orang luar yang tiada kaitan dengan sekolah. Perkara ini boleh mengundang bahaya yang lebih
besar.

- Pelajar yang berisiko untuk dibuli perlu mengelakkan diri daripada duduk secara bersendirian. Anda
digalakkan untuk berada dalam kumpulan.

- Pelajar perlu diberi kefahaman berkenaan buli yang berlaku dalam alam siber. Pelajar perlu
mengehadkan aktiviti dalam laman sosial atau sekurang-kurangnya dapat memahami aspek buli melalui
siber seterusnya mengelakkan diri daripada menjadi mangsa buli.

Bak kata pepatah tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.. Terdapat banyak langkah
yang efektif boleh dijalankan bagi membendung gejala ini. Antaranya ialah ibu bapa
perlu memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini.
Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya
anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka,
perbuatan atau tindak tanduk ibu bapa sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu
bapa berkelakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering
mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah bapa borek, anak rintik,
seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus, sedangkan dirinya berjalan senget.
Tambahan lagi, di samping mengejar kesenangan dalam kehidupan dan sibuk bekerja,
ibu bapa juga seharus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka
semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada
mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk
peribadi anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam
usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli yang berlaku
atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk membuat laporan kepada
pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin
demi kesejahteraan semua. Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan
aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-
sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika
kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan
berleluasa lagi. Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki terlibat dalam
kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar
tersebut dan mencari jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang
setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga
dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain. Disiplin dan peraturan sekolah juga
perlu diketatkan dan ditekankan kepada para pelajar supaya para pelajar mengikuti etika
peraturan sekolah dan tidak membuat kesalahan seperti penglibatan dalam gejala buli.

Seterusnya, pihak kerajaan juga harus memainkan peranan aktif dalam membendung
gejala ini. Kementerian Pendidikan dan juga pihak sekolah harus mengambil berat isu kes
buli ini. Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya perlu diperkasakan. Melalui
pendidikan ini,para pelajar mulai sedar akan baik buruk buli serta menjauhi gejala yang
negatif itu. Kerajaan juga perlu bergabung dengan agensi- agensi tertentu untuk
mengadakan kempen kesedaran dan ceramah kesedaran tentang gejala buli. Melalui
cara ini, remaja dapat mempelajari kesan sampingan yang diperoleh daripada
melakukan gejala membuli dan berupaya untuk tidak melakukan perbuatan ini terhadap
orang lain. Contohya, kempen ANTI BULI yang dijalankan di pekan Marang telah
mendapat sambutan mengalakkan dan lebih kurang 70% kes buli dapat dikurangkan di
sekitar kawasan tersebut setelah kempen tersebut dijalankan.

Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin
melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai
khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan
tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar
merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan.
Bak kata peribahasa Melayu pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Oleh hal itu,
semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani
masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan
onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi
muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa di persada
dunia.

Gejala buli di sekolah semakin membimbangkan masyarakat terutamanya ibu


bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu buli mental
dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang melibatkan kutuk-mengutuk,
ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli fizikal pula melibatkan pukul-
memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa
buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli mendatangkan pelbagai kesan
buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai
perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli di sekolah.

Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar yang
dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa
kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika
dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan
kerana takut dengan pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh mereka
melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka membantah,
mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli yang membawa
kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi pelajar-pelajar
perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama sendiri. Perbuatan
ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini menyebabkan pelajar
yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke sekolah lagi. Jelaslah
bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar yang dibuli akan
meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah.

Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak
dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli
secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana
mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan
dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri
mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani
berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka
menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian
kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli
kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan
melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka
selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli. Ini menyebabkan
prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal dalam peperiksaan.

Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli


bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka
tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami
trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang
diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat
keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka
adalah dengan membunuh diri sendiri. Sebagai contohnya, Vijah Singh yang
berumur 13 tahun telah membunuh diri di dalam rumahnya di Manchester,
England. Di dalam diarinya dia telah mendedahkan kesengsaraannya akibat
dibuli. Diari tersebut mencatatkan bahawa wangnya dirampas pada hari Isnin, hari
Selasa dia dipersendakan, hari Rabu pula baju uniform dikoyakkan, hari Khamis
badannya disimbah dengan darah, dan, hari Jumaat semuanya telah berakhir. Hari
Sabtu dia telah mendapat kebebasan. Perkara ini menggambarkan bahawa kes buli
yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli hilang pertimbangan dan
kewarasan sehingga tergamak untuk menamatkan nyawa mereka sendiri.

Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur,
beberapa langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini
hendaklah dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi
gejala buli di sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa
hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak
sejak kecil lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap
saling menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan
perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar dengan
sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak yang
membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan tergamak
untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah menyemai ajaran-
ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak kata pepatah
melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah


diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling sibuk
membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk
menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru
kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru
tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan
lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi
kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi
masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan dan
kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan lebih
yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat
mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah


dikaji dan dimurnikan semula. Hal ini demikian kerana tindakan yang dikenakan
ke atas mereka pada masa sekarang tidak menakutkan mereka untuk meneruskan
perlakuan buli. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia mungkin boleh
bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah ini. Pembuli yang
ditangkap mungkin boleh dipenjarakan atau disuruh melakukan kerja-kerja
kemasyarakatan selama beberapa tempoh tertentu. Tujuannya adalah untuk
menakutkan pembuli yang lain. Setiap pembuli sewajarnya dikenakan hukuman
yang setimpal seperti hantar pembuli ke pusat pemulihan akhlak atau digantung
persekolahan untuk memberikan kesedaran dan pengajaran kepada pelaku dan
orang ramai. Hal ini demikian kerana terdapat kes buli yang berakhir dengan
kematian. Ini menggambarkan betapa kes buli amat serius jika dibiarkan tanpa
tindakan yang sewajarnya. Si pembuli akan terus bermaharajalela mencari
mangsanya. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan mereka masih
muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah dikaji semula bagi
kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim berbunga.

Kesimpulannya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini
menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko
termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di
kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal insan
yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu melahirkan
generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk kepentingan
dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu bapa, guru
sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam menangani
masalah ini.

You might also like