Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

1.

0 PENGENALAN
Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan salah satu komponen daripada Amalan
Profesional yang harus dilaksanakan oleh pelajar IPG agar pelajar mendapat pendedahan
awal tentang alam persekolahan daripada perspektif seorang guru. Oleh itu, saya telah
menjalani PBS Fasa 2 selama seminggu iaitu bermula daripada 21 Ogos 2017 sehingga 25
Ogos 2017 bertempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Contoh, Petagas. PBS Fasa 2 yang
dijalankan ini mengarahkan kami untuk melakukan tugasan bagi subjek kursus major iaitu
PAKK3283 Pentaksiran dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Tugasan ini memerlukan kami
untuk menjalankan pemerhatian terhadap proses pentaksiran yang dilakukan oleh guru
Prasekolah Harmoni Sk Kg Contoh. Proses pentaksiran yang dilaksanakan ini bertujuan untuk
mentaksir perkembangan kanak-kanak dari semua aspek perkembangan menggunakan
instrumen dan kaedah pentaksiran yang sesuai.

Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia (2010), pentaksiran merupakan satu proses


sistematik dan berterusan untuk mengumpul maklumat tentang perkembangan murid dengan
menggunakan pelbagai kaedah dan instrumen untuk mendapatkan maklumat. Pada peringkat
prasekolah, pentaksiran ini perlu dijalankan secara berterusan dan tidak formal melalui
pemerhatian dan dokumentasi untuk membuktikan kesahihannya. Namun, ia juga perlu
dijalankan dalam keadaan suasana semula jadi dan mengambil kira faktor persekitaran bagi
menilai perkembangan kanak-kanak yang berkesan (Henniger, 2013). Hal ini bertujuan bagi
membantu guru membuat penilaian dan merancang tindakan susulan yang berkesan untuk
murid-murid.

Pentaksiran ini boleh dilakukan untuk menilai perkembangan kanak-kanak melalui


kaedah pemerhatian. Pemerhatian merupakan satu proses yang melihat kepada hasil kerja
murid, tingkah laku, perbualan atau interaksi dengan orang sekeliling (Putri Zaharah dan
Rohani Abdullah). Pemerhatian ini sangat penting bagi guru supaya dapat mengenal pasti
kekuatan dan kelemahan setiap kanak-kanak serta merekod maklumat tersebut bagi tujuan
sewajarnya. Malah, guru juga dapat merancang dan membuat tindakan susulan seperti
mengubahsuai aktiviti pengajaran agar murid dapat mencapai objektif pembelajaran yang
dihasratkan (Saayah Abu, 2007).

Oleh hal yang demikian, saya telah menjalankan satu pemerhatian terhadap proses
pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru prasekolah dengan mengadakan perbincangan
bersama beliau terlebih dahulu berkenaan proses pentaksiran yang dilaksanakan olehnya.

1
2.0 LAPORAN
Pada 21 Ogos 2017, saya telah berjumpa dengan guru prasekolah Harmoni Sk Kg Contoh
terlebih dahulu iaitu Cikgu Jamalia untuk memaklumkan bahawa saya akan menjalankan
pemerhatian terhadap proses pentaksiran yang akan dilaksanakan oleh guru prasekolah
terhadap murid-murid. Oleh itu, saya meminta bantuan guru tersebut untuk melaksanakan
proses pentaksiran terhadap murid bagi menilai perkembangan murid prasekolah. Beliau
telah bersetuju untuk melaksanakan proses pentaksiran itu pada 23 Ogos (Rabu) dan 24
Ogos (Khamis) terhadap seorang murid sahaja untuk dinilai. Tetapi, setiap murid yang dipilih
untuk dinilai ini berbeza bagi setiap aktiviti yang dirancang oleh guru.

Guru tersebut memaklumkan bahawa beliau akan menjalankan pentaksiran sewaktu


proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung. Oleh itu, sebelum memulakan
pentaksiran, Cikgu Jamalia telah menyediakan senarai semak dan rekod anekdot sebagai
rekod untuk mentaksir perkembangan kanak-kanak dengan menggunakan kaedah
pemerhatian terhadap aktiviti yang telah dirancang. Pentaksiran ini dijalankan menerusi
beberapa aktiviti yang telah dirancang berpandukan konstruk kemahiran yang terdapat dalam
tunjang yang dipilih sendiri oleh guru tersebut semasa proses pdp sedang berlangsung.
Antara tunjang yang dipilih oleh Cikgu Jamalia untuk mentaksir kanak-kanak adalah Tunjang
Komunikasi serta Tunjang Fizikal dan Estetika.

2.1 TUNJANG KOMUNIKASI

Dalam Tunjang Komunikasi ini, Cikgu Jamalia telah merancang untuk memilih konstruk BM3
Mengecam dan menyebut abjad, BM4 Kemahiran membaca perkataan, serta BM5 Kemahiran
membaca dan memahami bahan bacaan. Konstruk ini dipilih bertujuan untuk menilai
perkembangan kemahiran membaca murid yang dipilih. Berpandukan konstruk ini, beliau
hanya merancang satu aktiviti sahaja yang menumpukan kepada perkembangan bahasa
untuk ditaksir. Oleh itu, aktiviti yang telah dirancang oleh guru tersebut ialah aktiviti membaca
berpandukan bahan bacaan yang diberi. Berdasarkan aktiviti ini, maka Cikgu Jamalia telah
membina satu instrumen pentaksiran iaitu senarai semak yang khusus bagi menilai
perkembangan bahasa murid yang akan ditaksir (Lampiran 1).

Manakala, kaedah pentaksiran yang dilakukan adalah kaedah pemerhatian semasa


murid menjalankan aktiviti membaca yang mana guru akan memerhati murid dengan cara
mendengar bacaan murid dari segi kelancaran dan sebutan semasa membaca secara lisan.
Melalui kaedah yang digunakan ini, maka guru akan dapat mengenal pasti tahap pencapaian
bahasa kanak-kanak. Saya juga telah mengambil video bagi mengukuhkan lagi pemerhatian
saya terhadap proses pentaksiran yang dijalankan oleh guru terhadap bacaan murid
(Lampiran 2).

2
Berpandukan senarai semak yang telah disediakan, Cikgu Jamalia telah
melaksanakan pentaksiran pada 23 Ogos 2017 (Rabu) terhadap seorang kanak-kanak
prasekolah. Dalam aktiviti ini, beliau telah memilih seorang murid iaitu Nurul Aleesya untuk
mentaksir dan menilai perkembangan bahasanya berpandukan senarai semak yang beliau
telah hasilkan. Semasa melaksanakan penilaian ini, Cikgu Jamalia telah memberi Aleesya
beberapa bahan bacaan untuk dibaca. Bahan bacaan yang disediakan ini mempunyai
pelbagai peringkat bacaan. Ia bermula daripada membaca abjad sehingga membaca ayat.

Berdasarkan pemerhatian saya, saya mendapati bahawa guru telah merancang aktiviti
membaca menggunakan bahan bacaan secara berperingkat-peringkat yang mana guru akan
memulakan penilaian dengan meminta Aleesya menyebut abjad terlebih dahulu seperti huruf
besar dan huruf kecil. Kemudian, aktiviti tersebut akan diikuti dengan aktiviti membaca suku
kata. Sekiranya Aleesya telah melepasi kemahiran membaca suku kata, maka guru akan
menilai tahap perkembangan bahasa yang seterusnya iaitu kemahiran membaca perkataan
yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup, membaca frasa, ayat dan seterusnya.

Justeru, semasa Aleesya sedang membaca, Cikgu Jamalia telah melakukan


pemerhatian terhadap kelancaran dan sebutannya semasa membaca. Hasil bacaan yang
ditunjukkan oleh Aleesya menunjukkan bahawa dia sudah menguasai kemahiran membaca
perkataan yang mengandungi suku kata terbuka dan tertutup. Oleh itu, Cikgu Jamalia
merekod hasil bacaan tersebut dalam senarai semak yang telah dihasilkan. Beliau menanda
pada ruangan senarai semak bagi mencatat hasil bacaan murid sama ada murid telah
menguasai atau tidak kemahiran membaca perkataan tersebut. Melalui hasil pemerhatian ini,
maka beliau akan dapat menilai sama ada murid ini telah mencapai perkembangan dalam
standard yang telah ditetapkan atau tidak.

Seterusnya, saya dapat perhatikan bahawa Cikgu Jamalia telah memberikan maklum
balas kepada Aleesya setelah selesai melakukan aktiviti bacaan. Contohnya, beliau
memaklumkan kepada Aleesya bahawa Aleesya telah mencapai tahap penguasaan
kemahiran membaca perkataan yang memuaskan. Namun, Aleesya perlu meningkatkan lagi
kelancaran bacaan. Oleh itu, sebagai aktiviti pengukuhan, Cikgu Jamalia telah memberi satu
set bahan bacaan untuk kemahiran membaca frasa dan memintanya untuk membaca di
rumah. Hal ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi tahap bacaan Aleesya kerana Cikgu Jamalia
memaklumkan bahawa Aleesya sudah boleh membaca frasa mudah tetapi memerlukan
bimbingan daripada guru. Dia masih belum menguasai kemahiran membaca ayat dengan
lancar.

3
Oleh itu, saya dapat simpulkan bahawa maklum balas guru terhadap murid sangat
penting setelah selesai melakukan proses pentaksiran. Hal ini sangat membantu murid untuk
menilai tahap pencapaian diri sendiri terhadap proses pembelajaran. Perkara ini disokong
oleh Putri Zabariah dan Rohani Abdullah (2004) yang menyatakan bahawa maklum balas ini
sangat penting diberikan kepada murid selepas sesuatu aktiviti pentaksiran dijalankan.
Perekodan yang tepat dan jelas juga penting kerana perekodan yang tepat tanpa sebarang
gangguan atau kekangan dapat membantu guru menganalisis perkembangan murid lalu
merancang tindakan susulan dengan mudah.

2.2 TUNJANG FIZIKAL DAN ESTETIKA

Seterusnya, guru prasekolah juga telah melaksanakan pentaksiran terhadap seorang murid
semasa proses pdp sedang dijalankan. Memandangkan tema pembelajaran murid pada
minggu tersebut merupakan tema Kemerdekaan, maka guru telah merancang untuk
melaksanakan pentaksiran berpandukan Tunjang Fizikal dan Estetika dengan merancang
aktiviti menghasilkan topeng kemerdekaan.

Dalam Tunjang Fizikal dan Estetika ini, Cikgu Jamalia telah merancang untuk memilih
konstruk FK 1.1.3 Menggunakan kemahiran motor halus melalui aktiviti yang melibatkan
alatan. Konstruk ini dipilih untuk menilai perkembangan fizikal motor halus murid melalui
aktiviti yang dilaksanakan dalam PdP. Aktiviti yang dilaksanakan ialah aktiviti menghasilkan
topeng kemerdekaan yang mana aktiviti ini melibatkan kanak-kanak untuk mewarna gambar
topeng terlebih dahulu. Kemudian, topeng yang telah siap diwarna akan digunting mengikut
bentuk untuk menghasilkan satu bentuk topeng kemerdekaan yang sempurna.

Oleh itu, Cikgu Jamalia telah memilih untuk menggunakan instrumen pentaksiran
seperti senarai semak sebagai alat untuk merekod hasil pemerhatian terhadap perkembangan
motor halus murid yang dipilih (Lampiran 3). Senarai semak merupakan alat pentaksiran yang
digunakan bagi menilai penguasaan murid terhadap sesuatu kemahiran. Ia juga digunakan
untuk melihat perubahan tingkah laku murid yang akan diperhatikan oleh guru (Choong, 2010).
Manakala, kaedah pentaksiran yang digunakan pula adalah kaedah pemerhatian terhadap
hasil kerja murid serta tingkah laku murid yang ditunjukkan semasa menggunting topeng
tersebut.

Berpandukan aktiviti yang telah dirancang, Cikgu Jamalia telah menjalankan


pentaksiran ini pada 24 Ogos 2017 (Khamis) terhadap seorang kanak-kanak prasekolah
semasa proses PdP Bahasa Melayu sedang berlaku. Dalam aktiviti ini, beliau telah memilih
seorang murid yang berbeza pula untuk ditaksir iaitu Muhammad Hazimi untuk menilai

4
perkembangan kemahiran motor halusnya berpandukan senarai semak yang beliau telah
hasilkan. Semasa melaksanakan penilaian ini, Cikgu Jamalia telah memberi Hazimi sekeping
gambar topeng untuk diwarna dan digunting. Hazimi diminta untuk mewarnakan topeng
tersebut mengikut kreativiti sendiri lalu menggunting topeng tersebut mengikut garisan.
Setelas selesai, guru akan mengikat tali pada tepi topeng untuk dipakai pada akhir proses
PdP.

Semasa aktiviti ini dijalankan, Cikgu Jamalia membuat pemerhatian terhadap hasil
kerja Hazimi sama ada Hazimi telah mewarna mengikut teknik mewarna yang betul atau tidak.
Berdasarkan pemerhatian guru tersebut, Hazimi masih belum menguasai teknik mewarna
dengan betul. Hasil kerja Hazimi telah menunjukkan hasil warna tersebut tidak mengikut arah
yang selari ketika mewarna. Berikut merupakan hasil topeng yang telah selesai diwarna oleh
Hazimi:

Gambar 1: Hasil kerja Hazimi yang telah siap diwarna

Selepas itu, guru melihat pula kepada teknik menggunting yang dilakukan oleh murid
semasa aktiviti menggunting topeng. Berdasarkan pemerhatian yang telah dibuat, guru
mencatat hasil pemerhatian terhadap aktiviti ini ke dalam rekod senarai semak perkembangan
fizikal. Guru mendapati bahawa Hazimi telah menguasai kemahiran menggunting melalui cara
memegang gunting dan teknik menggunting yang betul. Ini menunjukkan bahawa
perkembangan kemahiran motor halus Hazimi berkembang dengan baik. Bukti pemerhatian
ini dapat dikukuhkan lagi dengan merujuk kepada gambar berikut:

Gambar 2: Teknik menggunting yang ditunjukkan

5
Setelah selesai melakukan aktiviti ini, Cikgu Jamalia telah membuat satu ulasan
berkenaan perkembangan fizikal motor halus yang telah ditunjukkan oleh Hazimi. Beliau
menyatakan bahawa kemahiran motor halus Hazimi semakin berkembang dengan baik.
Beliau menyatakan sedemikian kerana, perkembangan fizikal motor halus Hazimi sebelum ini
berada dalam tahap yang kurang memuaskan. Hazimi mempunyai kesukaran untuk menulis
dan memegang pensel dengan betul. Ini menyebabkan Hazimi sukar untuk menulis dengan
cepat dan betul. Oleh itu, Cikgu Jamalia sering melaksanakan aktiviti yang melibatkan
kemahiran motor halus kepada Hazimi seperti menggunting, mewarna, merenyuk kertas dan
lain-lain. Aktiviti yang dilakukan ini merupakan tindakan susulan yang dirancang oleh Cikgu
Jamalia agar Hazimi dapat meningkatkan kemahiran motor halus dari semasa ke semasa.

3.0 REFLEKSI

Berdasarkan pemerhatian saya terhadap proses pentaksiran yang telah dilaksanakan oleh
guru prasekolah, saya mendapati bahawa terdapat beberapa kekuatan, kelemahan dan
penambahbaikan yang terdapat semasa proses pentaksiran yang dijalankan oleh guru
prasekolah tersebut.

Antara kekuatan yang dapat saya kenal pasti ialah guru tersebut telah menyediakan
bahan pentaksiran secara sistematik dan berperingkat-peringkat. Misalnya, bahan bacaan
yang disediakan disusun dan dikepil dalam fail lutsinar untuk memudahkan murid membaca
mengikut aras daripada mudah ke susah. Bahan bacaan tersebut ini disusun secara
berperingkat yang bermula dengan abjad, suku kata, perkataan, frasa sehingga ayat mudah.
Ia bertujuan untuk menguji sejauh mana perkembangan bahasa kanak-kanak yang ditaksir itu
dapat dicapai. Malah, guru juga akan dapat mengenal pasti murid yang masih tidak mencapai
standard yang telah ditetapkan. Oleh itu, penilaian berterusan ini sangat penting bagi
membantu perkembangan kanak-kanak (Wortham, 2008).

Seterusnya, proses pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru prasekolah ini sangat
terancang. Sebelum memulakan pentaksiran, guru terlebih dahulu membuat perancangan
awal untuk memilih konstruk yang hendak ditaksir dengan merujuk kepada standard
pembelajaran dan standard prestasi sebagai panduan untuk melaksanakan aktiviti yang
sesuai bagi menilai perkembangan kanak-kanak. Malah, guru ini memilih untuk membuat
pentaksiran dengan hanya menumpukan kepada seorang murid sahaja untuk ditaksir. Beliau
mengatakan bahawa beliau lagi gemar melakukan pentaksiran secara individu berbanding
mentaksir murid secara keseluruhan. Hal ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat
perkembangan murid dengan lebih terperinci dan jelas.

6
Kekuatan terakhir yang saya dapat perhatikan adalah beliau sentiasa memberikan
maklum balas terhadap kerja murid selepas selesai melakukan pemerhatian. Misalnya, guru
memberikan peneguhan semasa aktiviti bacaan dan aktiviti menghasilkan topeng pada akhir
pembelajaran. Hal ini sangat membantu dalam meningkatkan motivasi dan keyakinan diri
murid untuk terus mencuba memperbaiki kelemahan yang terdapat dalam diri. Malah, guru
juga menggunakan hasil pemerhatian yang telah direkod untuk merancang tindakan susulan
yang seterusnya sama ada mereka memerlukan aktiviti pengukuhan atau pemulihan. Perkara
ini saya dapat lihat semasa Aleesya telah selesai melakukan aktiviti bacaan. Beliau telah
memberikan Aleesya satu set bahan bacaan yang baharu sebagai aktiviti pengukuhan untuk
meningkatkan lagi pencapaian perkembangan bahasanya.

Semasa menjalankan pemerhatian ini juga, saya telah mengenal pasti beberapa
kelemahan yang terdapat dalam proses pentaksiran yang dilaksanakan oleh guru prasekolah.
Antaranya ialah kawalan kelas menjadi tidak teratur apabila guru sedang menjalankan
pentaksiran terhadap seorang murid yang ingin ditaksir. Hal ini kerana guru hanya
menumpukan kepada seorang murid sahaja semasa sedang mentaksir, manakala murid yang
lain tidak terkawal. Hal ini menyebabkan berlakunya gangguan persekitaran semasa proses
pentaksiran sedang dijalankan akibat keadaan kelas yang bising dan tidak terkawal.

Kelemahan yang seterusnya pula adalah guru tidak menggunakan instrumen


pentaksiran yang pelbagai semasa menjalankan proses penilaian di prasekolah. Contohnya,
guru prasekolah tersebut hanya menggunakan senarai semak sahaja bagi membuat penilaian
terhadap perkembangan murid. Beliau turut menyatakan bahawa penilaian yang biasa
dilakukan di prasekolah ini hanya dengan melihat kepada lembaran kerja dan hasil kerja murid
sahaja. Rekod senarai semak ini lazimnya hanya digunakan ketika beliau ingin melaksanakan
pentaksiran terhadap aktiviti membaca sahaja. Walau bagaimanapun, senarai semak ini juga
turut mempunyai beberapa kelemahan kerana ia hanya melihat kepada tingkah laku yang
tertentu sahaja dan bukan secara menyeluruh. Ini menjadikan perkembangan murid yang lain
sering terlepas pandang oleh guru prasekolah.

Berdasarkan kepada kelemahan yang telah dinyatakan, terdapat beberapa cadangan


penambahbaikan yang boleh diplikasikan bagi mengatasi kelemahan tersebut pada masa
yang akan datang. Antaranya ialah guru perlu memastikan kawalan kelas dalam keadaan
yang baik sebelum menjalankan proses pentaksiran terhadap seorang murid. Hal ini bertujuan
untuk memastikan bahawa proses penilaian yang dijalankan dapat dilaksanakan dalam
keadaan yang teratur tanpa gangguan daripada persekitaran. Oleh itu, guru perlu mengambil
inisiatif dengan meminta murid untuk melakukan aktiviti yang diberikan oleh guru dalam
keadaan yang senyap dan terkawal. Contohnya, lembaran kerja ataupun karya seni boleh

7
digunakan sebagai aktiviti bagi memastikan murid sentiasa menumpukan perhatian terhadap
tugasan dalam keadaan yang senyap. Melalui aktiviti ini, maka guru dapat menumpukan
perhatian terhadap pentaksiran yang dilaksanakan terhadap seorang murid. Dalam masa
yang sama, guru juga dapat mengawal kelas dengan baik.

Seterusnya, guru perlu menggunakan pelbagai instrumen pentaksiran untuk merekod


hasil pemerhatian terhadap murid yang ingin ditaksir. Selain menggunakan senarai semak,
guru boleh menggunakan rekod berterusan, rekod anekdot, skala kadar dan sebagainya bagi
memastikan guru dapat memperoleh data berkenaan perkembangan murid dengan lebih
komprehensif dan menyeluruh. Selain itu, guru juga dapat membantu meningkatkan domain
perkembangan kognitif, afektif dan psikomotor murid dengan lebih berkesan kerana terdapat
pelbagai aktiviti yang boleh dirancang berpandukan konstruk yang hendak ditaksir dalam
instrumen pentaksiran. Oleh hal yang demikian, guru perlu mempelbagaikan rekod untuk
mencatat hasil pentaksiran serta tahu tujuan pentaksiran dilakukan agar proses pentaksiran
ini dapat dijalankan dengan efektif.

Bukan itu sahaja, guru perlu memberikan maklum balas secara berterusan kepada
murid sejurus sahaja selesai melakukan sesuatu tugasan. Menurut Nor Hashimah Hashim
dan Yahya Che Lah (2003), maklum balas yang diberikan ini bukan sahaja dalam bentuk
pujian, tetapi berkaitan dengan maklumat kerja dan kemajuan murid. Hal ini sangat penting
kepada murid agar mereka dapat mengetahui sejauh mana tahap kemajuan yang telah
dicapai oleh mereka kanak-kanak dalam sesuatu kemahiran. Murid mempunyai hak untuk
mengetahui tahap kemajuan diri yang telah dicapai bagi membantu mereka untuk membuat
penilaian kendiri. Malah, maklum balas ini juga penting kepada guru kerana ia dapat menjadi
sumber kepada guru untuk merancang tindakan susulan terhadap pencapaian murid dengan
lebih mudah.

8
4.0 RUMUSAN

Kesimpulannya, proses pentaksiran ini sangat penting untuk mendapatkan maklumat


mengenai perkembangan dan maklumat murid secara menyeluruh dengan menggunakan
pelbagai kaedah dan instrumen pentaksiran (Abd Ghafar, 2003). Namun, penilaian yang
dilaksanakan perlu dirancang dengan teliti dengan melihat kepada konstruk dan aktiviti yang
akan dilaksanakan berpandukan Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran. Aktiviti
yang dirancang ini juga perlu mengambil kira aspek perkembangan kanak-kanak dari aspek
domain kognitif, psikomotor dan afektif bagi memastikan penilaian dapat dilakukan secara
menyeluruh dan berkesan (Vincent & Denis, 2007). Penilaian ini memerlukan guru untuk
membuat pelbagai kaedah bagi mengumpul maklumat murid seperti kaedah pemerhatian
terhadap tingkah laku, interaksi atau hasil kerja murid. Berdasarkan kaedah ini, maka guru
dapat merekod hasil pemerhatian dengan mudah ke dalam rekod pentaksiran yang digunakan.
Justeru, catatan hasil pemerhatian yang direkod ke dalam rekod pentaksiran ini dapat
dianalisis bagi membantu guru untuk merancang tindakan susulan dengan mudah seperti
memberikan aktiviti bimbingan, pengukuhan atau pengayaan. Oleh hal yang demikian,
perancangan proses pentaksiran yang teliti sangat penting untuk mengesan perkembangan
dan pencapaian kanak-kanak prasekolah.

9
RUJUKAN

Abd Ghafar Md Din. (2003). Prinsip dan amalan pengajaran. Kuala Lumpur: Utusan
Publications and Distributors Sdn. Bhd

Choong, L.K. (2010). Bimbingan dan kaunseling kanak-kanak. Selangor: Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

Henniger, M.L. (2013). Teaching young children (5th ed.). Upper Saddle River, NJ: Pearson
Education, Inc.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2010). Modul pentaksiran perkembangan murid di
prasekolah. Bahagian Pembangunan Kurikulum: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Nor Hashimah Hashim & Yahya Che Lah. (2003). Panduan kurikulum prasekolah. Pahang:
Pahang: PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.

Putri Zabariah & Rohani Abdullah. (2004). Penilaian dan rekod perkembangan murid. Dlm
Rohani Abdullah, Nani Menon, & Mohd Shahrani Ahmad (Ed.), Panduan kurikulum
prasekolah (pp 264-276). Pahang: PTS Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Saayah Abu. (2007). Menjadi guru tadika. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing.

Surayah Zaidon & Haslinda Md Ali. (2009). Penilaian dalam pendidikan prasekolah. Kuala
Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Vincent Pang & Denis Lajium. (2007). Pengukuran dan penilaian dalam latihan mengajar. Dlm
Mohd Yusof Abdullah, Salleh Abd Rashid, Zulkifli Mohamed, Sabariah Sharif, & Abdul
Said Ambotang (Ed.), Kemahiran pedagogi guru. Universiti Malaysia Sabah.

Wortham, S.C. (2008). Assessment ini early chidhood education (5th ed.). Upper Saddle River,
NJ: Pearson Prentice Hall.

10

You might also like