Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 3

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN

1 Kata-kata aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru
dan Murid

2 Terima kasih kepada pengacara majlis dan guru bertugas yang telah menyampaikan
laporan tugasan.

3 Laporan, pesanan, peringatan dan nasihat yang diberi bertali arus oleh guru-guru adalah
satu isyarat keprihatinan guru-guru dalam usaha menjadikan sekolah sebagai agen
perubahan sosial, mendidik bukan setakat mengajar.

4 Sepanjang minggu lalu sekolah sibuk dengan pelbagai program dan aktiviti yang
membabitkan pelajar dan guru. Syabas dan tahniah kepada pelajar tingkatan 3 yang telah
berjaya mengikuti program Kem Motivasi dan Kecemerlangan PMR.

5 Begitu juga dengan murid-murid tingkatan 5 yang telah dengan jayanya mengikuti Kem
Akademik SPM. Semoga momentum yang telah dicetuskan dalam kedua-dua kem tersebut
akan bergerak terus menembusi segala tembok dan rintangan yang boleh menjadi
penghalang kepada lonjakan yang kita harapkan dalam PMR dan SPM nanti.

6 Bagi calon-calon PMR diharapkan dapat bersedia kerana selepas ini Kem Akademik :
Pecutan Akhir PMR akan dijalankan oleh pihak sekolah. Pada program itu nanti semua murid
tingkatan 3 perlu menjelaskan sedikit bayaran bagi menampung sebahagian kos program.
Saya berharap semua murid tingkatan 3 akan turut serta dalam kem Akademik itu nanti
kerana modul yang akan digunakan adalah modul soalan peperiksaan aras PMR.

7 Pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penolong-penolong kanan,
guru kanan, dan guru-guru yang telah hadir bertugas bagi menjayakan semua program yang
dijalankan pada minggu lalu. Semoga Allah jualah yang akan membalas jasa dan budi
dengan memberikan limpahan rezeki...umur yang panjang, tubuh badan yang sihat agar
semuanya dapat dimanfaatkan sebagai satu ibadah dan untuk berbakti kepada masyarakat.

8 Rakan-rakan guru dan warga SMKKB sekalian, pada kesempatan ini saya ingin memberi
peringatan tentang peri pentingnya kita sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan
Pandemik Selesema Babi, Influenza A H1N1. Sedikit maklumat berkaitan wabak ini, ia mula
dikesan di Mexico dan sehingga kini jumlah pesakit direkodkan oleh WHO ialah seramai
89,921 orang membabitkan 382 kematian, melibatkan 125 negara, termasuklah Malaysia.

9 Penyakit ini sangat mudah berjangkit iaitu menerusi pemindahan cecair semasa seseorang
pesakit batuk dan bersin. Seterusnya seseorang akan dijangkiti sama ada melalui
pernafasan, sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan
dengan titisan cecair pesakit.

10 Bilangan yang dijangkiti dan yang mati kerana komplikasi daripada penyakit ini terus
bertambah dari hari ke hari. Justeru itu pada perhimpunan ini saya menyeru kepada semua
warga sekolah agar menjaga kesihatan diri masing-masing, jauhi dari bersesak-sesak di
tempat-tempat awam, hadkan masa berada di luar rumah dengan tujuan bersosial.

11 Amalkan gaya hidup sihat dengan membuang tisu dalam tong sampah dan bersegera
membasuh tangan. Keraplah mencuci tangan dengan menggunakan sabun. Sekiranya anda
demam dan selesema pakailah topeng pernafasan bagi mengurungkan risiko jangkitan.
12 Anda juga perlu peka dengan keadaan persekitaran dan mengikuti perkembangan semasa
di media. Sekiranya anda demam dan menghidapi gejala batuk, sakit tekak, sukar bernafas
dan sakit kepala segeralah berjumpa doktor dan maklumkan kepada pihak sekolah.

13 Selain itu pastikan pada setiap masa kawasan bilik darjah dan persekitaran sekolah
hendaklah bersih kerana persekitaran yang bersih bukan sahaja memberi keselesaan kepada
kita bahkan menghindarkan ancaman nyamuk seperti aedes yang menyebabkan penyakit
denggi.
14 Jadikanlah kesihatan kita keutamaan kita. Keselamatan diri adalah tanggungjawab diri
sendiri. Oleh itu jangan biarkan diri anda dijaga oleh orang lain iaitu dijaga oleh jururawat di
hospital. Perkara ini boleh berlaku apabila anda tidak menjaga kesihatan dan keselamatan
diri.

15 Saya juga mendapati ada dalam kalangan murid yang ke sekolah menaiki kenderaan
sendiri sama ada berkereta atau motosikal. Kepada penunggang motosikal patuhilah
peraturan jalan raya, pakailah topi keledar, pastikan motosikal selamat untuk ditunggangi di
samping lengkap dari segi dokumen pelesenan.

16 Kepada murid yang membawa kenderaan sendiri pastikan anda benar benar mempunyai
lesen memandu. Anda juga diingatkan bahawa anda sama sekali tidak dibenarkan
meletakkan kereta anda dalam kawasan sekolah. Sila letakkan kenderaan anda di luar dan
anda perlu ingat bahawa sebarang kehilangan dan kerosakan harta benda anda di luar itu
adalah tanggungjawab anda sendiri.

17 Berkaitan dengan peperiksaan, anda baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan


pertengahan tahun. Anda pastinya telah tahu di mana tahap anda. Oleh itu buatlah
penambahbaikan agar prestasi menepati ETR yang disasarkan.

18 Pihak sekolah telah pun melaksanakan hari terbuka dan kepada pelajar yang ibu bapanya
telah hadir untuk mengambil keputusan peperiksaan anda pada hari terbuka tersebut, saya
mengucapkan syabas dan terima kasih. Kehadiran ibu bapa atau penjaga anda adalah tanda
bahawa mereka adalah ibu bapa yang prihatin terhadap kemajuan anda.

19 Bagi ibu bapa yang tidak hadir sudah tentu 1001 alasan akan diberi, pihak sekolah
berharap semoga pada hari terbuka yang akan datang pujuklah mereka supaya hadir. Hari
terbukalah ruang yang terbaik untuk ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran dan
disiplin anak-anak supaya maklumat yang diberikan dan diterima oleh pihak guru dapat
dijadikan asas untuk kita berubah kepada satu tahap yang lebih baik.

20 Saya hendak bertanya beberapa soalan, pertamanya siapa di kalangan murid-murid


sekalian sejak di sekolah rendah lagi telah memasang impian atau mempunyai cita-cita
terhadap sesuatu kerjaya? Jika ada sila angkat tangan.... Siapakah pula sampai hari ini tak
tahu nak jadi apa bila besar nanti ?.....sila angkat tangan!

21 Manusia yang masih bertanya-tanya nak jadi apa bila besar nanti sebenarnya adalah
manusia yang tidak mewarisi prinsip manusia cemerlang...anda telah gagal dalam membuat
perancangan kerjaya. Manusia yang berjaya tahu apa tujuannya, apa hala tujunya.

22 Untuk berjaya perlu ada sasaran dan matlamat hidup...itulah namanya impian dan cita-
cita. Hidup seperti arus jadi kita perlu kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang
deras. Kalau kita perhatikan sungai yang mengalir, apa yang dibawa oleh arusnya...sampah?
tunggul kayu? bangkai? najis?....macam-macam dan semuanya tanpa tujuan dan tersangkut
di mana-mana seterusnya mencemar alam sekitar.

23 Tetapi kita perhatikan ikan yang berenang-renang di sungai, ikan itu tahu tujuan hidupnya
sebab itu dia berenang mencari makanan untuk terus hidup. Ikan hidup di sungai sebab dia
ada matlamat. Kalau sungai tercemar , ikan mati dan jadi bangkai dihanyutkan arus. Jika kita
mahu berenang di sungai sudah tentu kita tahu apa sasaran kita dan kita boleh kawal diri kita
supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras tadi. Begitu juga dengan hidup kita mesti ada
matlamat atau destinasi yang hendak dituju.

24 Untuk berjaya juga kita perlu menggunakan prinsip orang berjaya jangan ikut resmi orang
kebanyakan. Kita perlu sedar siapa orang yang cemerlang dan kita tahu bahawa lebih ramai
orang yang kurang cemerlang berbanding orang yang cemerlang. Buktinya kita nak sasarkan
4 orang perfect score dalam PMR dan 2 orang dalam SPM pun masih sukar untuk dicapai.
25 Kita perlu menongkah arus....untuk berjaya, perlu ada semangat yang berterusan kerana
itulah tenaga yang diperlukan minda. Kita hanya perlu jadi orang biasa sahaja tetapi usaha
dan tindakan kita perlulah luar biasa.

26 Jadikanlah matlamat untuk berjaya dan cemerlang sesuatu yang menghantui kita. Untuk
menjadikan sasaran kita berkesan kita mestilah letakkan matlamat kita sesuatu yang hebat
dan besar, jadikan orang di sekeliling kita sebagai cabaran. Orang sekeliling kita ramai yang
berfikiran negatif. Mereka akan ketawakan kita bila kita membuat kesilapan, mereka
menceburi kita bila kita berjaya... pedulikan mereka.

27 Tulis, baca, ingat, faham sasaran dan bekerja keras ke arah itu. Tulis sasaran kita supaya
kita asyik dengan maksyuknya..supaya jaga, tidur dan mimpi kita skripnya sama iaitu
cemerlang PMR dan SPM. Jangan lupa kita perlu istiqamah kecemerlangan memerlukan
usaha yang berterusan dan bukannya semangat sekali sekala.

28 Akhir sekali pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini hingga 8
hari bulan sekolah kita akan menjadi tepat pelaksanaan ujian lisan Bahasa Melayu bagi calon
SPM ulangan. Semua pelajar diingatkan agar menjauhi Aras 2 blok B. Janganlah bising, dan
pelajar dari Aras 2 blok C dan D yang mahu ke perpustakaan dan arah yang sebaliknya sila
gunakan Aras 1.

29 Sekian terima kasih.

AZMAN BIN SAFII,


PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA.

You might also like