Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 8

PROSIDING PERKEM VII, JILID 2 (2012) 1471 – 1478

ISSN: 2231-962X

Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua dan Hubungannya


Dengan Kepuasan Kerja Guru
Transformational Leadership Practices of Principals and its Relationship
to Teacher Satisfaction
Habib Ismail (habib.ismail71@yahoo.com)
Fakulti Pendidikan
Universiti Kebangsaan Malaysia,

Zaimah Ramli ( zaimahr@ukm.my)


Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

ABSTRAK

Kertas ini akan membentangkan sebahagian hasil penyelidikan bertajuk “Amalan kepemimpinan
transformasi pengetua dan hubungannya dengan kepuasan kerja guru”. Kajian bertujuan mengkaji
amalan kepemimpinan transformasi pengetua dan hubungannya dengan kepuasan kerja guru
pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (Integrasi) dalam Daerah Hulu Langat, Selangor.
Objektif khusus kajian ialah mengenal pasti tahap amalan kepemimpinan transformasi pengetua,
mengenal pasti tahap kepuasan kerja guru pendidikan khas dan mengenal pasti hubungan di antara
amalan kepemimpinan transformasi pengetua dengan kepuasan kerja guru.

Katakunci: Amalan Kepimpinan Transformasi, Kepuasan Kerja, Guru Pendidikan Khas

ABSTRACT

This paper will present a part of finding research with the title “transformation leadership practices
among headmasters and the relationship with working satisfaction of teachers”. The objectives of this
research are to study transformation leadership practices among headmasters and the relationship
with working satisfaction of special education teachers at Sekolah Menengah Kebangsaan (Integrasi)
in the District of Hulu Langat, Selangor. The main objectives are to identify the level of transformation
leadership practices among headmasters, to identify the level of working satisfaction among special
education teachers and to identify the relationship between transformation leadership practices and
the level of working satisfaction.

Keywords: Leadership Transformation Practices, Working Satisfaction, Special Education Teachers

PENGENALAN

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan melaksanakan transformasi sistem pendidikan bermula
2010 bagi meningkatkan kualiti akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah murid. Menurut
Alimuddin (2010) transformasi tersebut akan melibatkan beberapa perubahan daripada segi kurikulum
dan sistem peperiksaan sekolah. Selain kurikulum, transformasi tersebut juga akan melibatkan
perubahan kepada sistem penilaian supaya tidak hanya berasaskan peperiksaan. Antara transformasi
yang dilakukan oleh KPM ialah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR), LINUS, Satu Murid
Satu Sukan dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Sehubungan itu, pengetua sekolah perlu bersedia untuk menyerap segala perubahan yang telah
dirancang dan menyampaikan kepada guru-guru secara berkesan. Pengetua perlu menggunakan
kebijaksanaan kepemimpinan mereka untuk mengelakkan tekanan dan bebanan kerja ke atas guru serta
memberikan mereka kepuasan kerja.
Isu kepemimpinan dalam bidang pendidikan menjadi semakin kompleks dalam era dunia
tanpa sempadan. Pemimpin-pemimpin sekolah perlu sentiasa proaktif serta bersedia melengkapkan diri
dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang tinggi selaras dengan perkembangan
Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia ke VII (PERKEM VII)
Transformasi Ekonomi dan Sosial Ke Arah Negara Maju
Ipoh, Perak, 4 – 6 Jun 2012
1472 Habib Ismail, Zaimah Ramli

dunia pendidikan yang semakin mencabar. Kepemimpinan sekolah sentiasa berhadapan dengan
tekanan yang berterusan dalam meningkatkan standard dan penambahbaikan sekolah. Hal ini kerana
sekolah merupakan agen yang penting dalam pembinaan generasi masa depan (Rahimah, 2005).
Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada corak kepemimpinan yang diamalkan di sesebuah
sekolah itu (Hussein, 2005). Kepemimpinan yang berkesan adalah asas kepada penambahbaikan
sekolah yang berterusan (Muijs & Harris, 2007; Abdul Ghani & Anandan, 2009). Ringkasnya,
kepemimpinan sekolah masa kini perlu berubah atau diperbaharui untuk memastikan sekolah
mengalami perubahan yang berterusan.
Sejak kebelakangan ini cabaran penstrukturan semula sekolah dan persekitaran yang tidak
menentu dalam bidang pendidikan menyebabkan berlakunya perubahan kepemimpinan sekolah
daripada kepemimpinan pengajaran kepada kepemimpinan transformasi (Leithwood & Jantzi, 1999;
Abdul Ghani & Anandan, 2009). Perubahan ini jelas selaras dengan kepemimpinan transformasi oleh
Burns (1978) dan Bass (1985). Maka kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti tahap amalan
kepemimpinan transformasi dan tahap kepuasan kerja guru pendidikan khas di SMK (Integrasi) dalam
daerah Hulu Langat. Selain itu, kajian turut meneliti hubungan antara tahap amalan kepemimpinan
transformasi dan tahap kepuasan kerja guru pendidikan khas berkenaan.

KAJIAN LEPAS

Beberapa kajian lepas juga menunjukkan bahawa amalan kepemimpinan transformasi telah membawa
perubahan yang positif kepada keberkesanan sekolah. Abdul Shukor (2004) menyatakan pengurusan
dan kepemimpinan pengetua adalah faktor utama yang akan menentukan keberkesanan sekolah serta
akan menentukan jatuh bangun sekolah tersebut. Abdul Ghani (2005) menegaskan bahawa
pengamalan gaya atau amalan kepemimpinan transformasi oleh pengetua berkeupayaan meningkatkan
prestasi guru (perlakuan warga organisasi) dan sikap guru (komitmen guru). Manakala Koh (2008)
menyatakan bahawa dengan kepemimpinan transformasi, pengetua sekolah yang cemerlang akan
membangunkan minda guru-guru melalui keupayaan kepimpinan guru-guru iaitu merujuk kepada
penglibatan meluas dan berketerampilan dalam tugas-tugas memimpin.
Kajian Azrul Hisham (2009) mendapati faktor bebanan tugas adalah antara penyebab kepada
guru menghadapi tekanan. Hal ini kerana guru sentiasa terikat dengan pelbagai jenis tugas lain di
samping tugas hakiki mereka. Selain itu, usaha menambah baik kecekapan peringkat mikro organisasi
pendidikan atau sekolah telah menyebabkan tekanan terhadap organisasi sekolah supaya meningkatkan
prestasi dan pencapaian (Abdul Ghani, 2010) dan ianya menyebabkan beban tugas kepimpinan
peringkat sekolah semakin bertambah. Menurut Abdul Rahim (2007), tanda-tanda ketidakpuasan kerja
ialah bosan, ponteng kerja, komitmen rendah, rungutan, protes, meletakkan jawatan, persaraan awal,
hilang kepercayaan, tekanan, burnout, prestasi merosot dan memohon pertukaran. Manakala sebab-
sebab ketidakpuasan kerja berlaku disebabkan faktor diskriminasi, pilih kasih, beban kerja, amalan
tidak sihat, keadaan tempat kerja, tidak dapat menyesuaikan diri dan ganjaran serta prospek (ibid.).
Justeru Jazmi (2009) mencadangkan agar pengetua mengamalkan gaya kepemimpinan
transformasi. Hal ini kerana pengetua akan berhadapan dengan guru-guru, staf dan pelajar yang
merupakan elemen-elemen yang memerlukan perhubungan kemanusiaan yang lebih tinggi. Perkara
ini penting kerana ia memberikan kepuasan kerja kepada guru. Misalnya Woo (2007) mendapati guru-
guru teknikal dan vokasional mengalami kepuasan kerja tinggi dalam dimensi penyeliaan kerana
mereka amat berpuas hati dengan corak penyeliaan pengetua masing-masing yang berpengaruh, kemas
kini, selalu memberi penghargaan terhadap kerja yang baik, percayakan kemampuan guru dan sentiasa
ada apabila diperlukan. Selain itu, sifat penyelia yang mesra, berbudi bahasa, cerdas, bersabar dan
berhati-hati semasa menjalankan tugas turut memberi kepuasan kepada guru.
Berdasarkan kajian lepas tentang kepemimpinan transformasi dan hubungannya dengan
kepuasan kerja guru, Mohamad Zabidi (2009), Mohd Aziz (2008), Tafri (2010), Serina (2008) dan
Nursuhaila (2007) menunjukkan wujudnya ciri-ciri kepemimpinan transformasi pada pengetua dan
persepsi responden terhadap keempat-empat dimensi amalan kepemimpinan transformasi pengetua
adalah tinggi. Namun begitu, dapatan kajian mereka bercanggah dengan dapatan kajian Aziah et al.
(2005) terhadap 93 orang guru di dua buah sekolah kluster di sebuah negeri Utara Semenanjung
Malaysia mendapati amalan kapasiti kepemimpinan guru di sekolah tersebut tidak dipengaruhi oleh
kepemimpinan transformasi pengetua dan berada pada tahap sederhana.
Manakala dapatan kajian Mohamad Zabidi (2009) dan Mohd Aziz (2008) menunjukkan
terdapat hubungan kuat di antara amalan kepemimpinan transformasi pengetua dan kepuasan kerja
guru. Dapatan mereka selari dengan dapatan Podsakof et al. (1996) dan Leithwood et al. (1997) yang
mendapati amalan kepimpinan transformasi pengetua mempunyai kesan yang positif ke atas kepuasan
Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VII 2012 1473

kerja. Namun begitu, kajian Jazmi (2009) di SMKA dan SMK di negeri Kedah menunjukkan ia
mempunyai hubungan sederhana.
Ringkasnya kajian lepas berkaitan amalan kepemimpinan transformasi pengetua dan
hubungannya dengan kepuasan kerja hanya melibatkan responden yang diwakili oleh guru-guru aliran
perdana yang mengajar di sekolah menengah kluster (Aziah & Abdul Ghani, 2007; Tafri, 2010),
sekolah menengah harian (Mohd Aziz, 2008), sekolah menengah berprestasi tinggi (Serina, 2008),
sekolah menengah agama (Jazmi, 2008) dan sekolah menengah teknik (Mohamad Zabidi, 2009).
Justeru kajian ini dilakukan di sekolah menengah kebangsaan Integrasi yang melibatkan guru-guru
pendidikan khas.

METODOLOGI KAJIAN

Pendekatan kuantitatif menggunakan kaedah tinjauan diaplikasikan dalam kajian ini kerana ia mampu
memberikan penjelasan secara kuantitatif ke atas sesuatu populasi dengan hanya mengkaji sampel
daripada populasi berkenaan (Cresswell, 2009). Sampel kajian adalah guru-guru terlatih yang sedang
mengajar di lapan buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (Integrasi) di bawah pentadbiran
Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, Selangor. Seramai 87 orang guru pendidikan khas dilibatkan
dalam kajian ini. Fokus kajian adalah untuk mengenal pasti tahap amalan kepemimpinan transformasi
dan hubungannya dengan kepuasan kerja guru.
Borang soal selidik digunakan sebagai instrumen pengumpulan data. Borang soal selidik
mengandungi tiga bahagian, iaitu Bahagian A (pengalaman kerja guru dan lokasi sekolah), Bahagian B
(amalan kepemimpinan transformasi pengetua) dan Bahagian C (kepuasan kerja). Amalan
kepemimpinan transformasi pengetua diukur menggunakan Multifactor Leadership Questionnaire
(MLQ) yang diperkenalkan oleh Avolio & Bass (2004) dan telah diadaptasi oleh beberapa kajian
sebelum ini, seperti Mohamad Zabidi (2009). Ianya mengandungi 20 item soalan yang dikelas kepada
empat dimensi, iaitu pertimbangan individu, rangsangan intelek, motivasi berinspirasi dan pengaruh
yang ideal. Kepuasan kerja pula diukur menggunakan soalan yang telah diubahsuai oleh Ariffin Ba‟da
(2001) dan Ahap (2009). Ujian kebolehpercayaan dilakukan ke atas pengukuran Amalan
kepemimpinan transformasi dan kepuasan kerja, dan nilai Cronbach Alpha yang diperolehi ialah 0.893
dan 0.803. Pengendalian soal selidik melalui kaedah „drop and pick-up‟ yang dilakukan sendiri oleh
pengkaji dengan bantuan Guru Penolong Kanan, Pendidikan Khas di setiap sekolah terlibat.
Analisis data dilakukan secara diskriptif dan inferensi. Analisis kekerapan dan peratusan
digunakan untuk menjelaskan profail responden. Purata dan sisihan piawai digunakan untuk
menjelaskan tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua dan tahap kepuasan kerja guru
pendidikan khas. Ujian korelasi digunakan untuk melihat hubungan antara amalan kepimpinan
transformasi pengetua dan tahap kepuasan kerja guru pendidikan khas. Manakala ujian ANOVA dan
Chi Square digunakan untuk melihat perbezaan amalan kepimpinan transformasi pengetua: pengalaman
mengajar dan lokasi sekolah.

HASIL KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Jadual 1 menunjukkan tempoh pengalaman mengajar dan lokasi sekolah responden. Maklumat
pengalaman mengajar menunjukkan rata-rata responden responden berpengalaman mengajar 1-5 tahun
(27.6%), 6-10 tahun (20.7%) dan 11-15 tahun (26.4%). Selebihnya mempunyai pengalaman mengajar
16-20 tahun (8.0%) dan melebihi 20 tahun (17.2%). Bagi kategori lokasi sekolah pula, kebanyakan
responden mengajar di sekolah yang dikategorikan dalam lokasi bandar (78.2%), dan selebihnya
mengajar di sekolah dalam lokasi luar bandar.

Tahap Amalan Kepimpinan Transformasi pengetua

Bahagian ini menjelaskan tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua mengikut dimensi-dimensi
amalan kepemimpinan transformasi, iaitu pertimbangan berasaskan individu, membina rangsangan
intelektual dan memupuk pengaruh yang ideal. Jadual 2 menunjukkan purata skor dan sisihan piawai
dimensi pertimbangan berasaskan individu yang diamalkan oleh pengetua. Secara keseluruhan,
pertimbangan berasaskan individu yang diamalkan oleh pengetua adalah pada tahap tinggi. Analisis ke
atas kelima-lima item tersebut mempunyai nilai purata skor antara 3.95 (tinggi) hingga 4.24 (sangat
tinggi). Jadual 3 menunjukkan purata skor dan sisihan piawai dimensi membina rangsangan intelektual
yang diamalkan oleh pengetua. Secara keseluruhan, pertimbangan berasaskan individu yang diamalkan
1474 Habib Ismail, Zaimah Ramli

oleh pengetua adalah pada tahap tinggi. Analisis ke atas kelima-lima item tersebut mempunyai nilai
purata skor antara 3.56 (tinggi) hingga 3.90 (tinggi).
Jadual 4 pula menunjukkan purata skor dan sisihan piawai dimensi merangsang motivasi yang
diamalkan oleh pengetua. Secara keseluruhan, pertimbangan berasaskan individu yang diamalkan oleh
pengetua adalah pada tahap tinggi. Analisis ke atas kelima-lima item tersebut mempunyai nilai purata
skor antara 3.72 (tinggi) hingga 4.07 (tinggi). Manakala Jadual 5 menunjukkan purata skor dan sisihan
piawai dimensi memupuk pengaruh ideal yang diamalkan oleh pengetua. Secara keseluruhan,
pertimbangan berasaskan individu yang diamalkan oleh pengetua adalah pada tahap tinggi. Analisis ke
atas kelima-lima item tersebut mempunyai nilai purata skor antara 3.60 (tinggi) hingga 4.29 (sangat
tinggi).
Dapatan kajian ini selari dengan dapatan kajian lepas tentang kepemimpinan transformasi dan
hubungannya dengan kepuasan kerja guru oleh Mohamad Zabidi (2009), Mohd Aziz (2008), Tafri
(2010), Serina (2008) dan Nursuhaila (2007) yang menunjukkan wujudnya ciri-ciri kepemimpinan
transformasi pada pengetua dan persepsi responden terhadap keempat-empat dimensi amalan
kepemimpinan transformasi pengetua adalah tinggi.

Tahap Kepuasan Kerja Guru Pendidikan Khas

Jadual 6 menunjukkan purata skor, sisihan piawai dan interpretasi kepuasan kerja responden. Secara
keseluruhan, tahap kepuasan kerja responden adalah tinggi (3.88). Purata skor kepuasan kerja adalah
antara 3.40 (tinggi) hingga 4.38 (sangat tinggi). Dapatan ini selari dengan hasil kajian Woo (2007)
yang mendapati guru-guru teknikal dan vokasional mengalami kepuasan kerja tinggi dalam dimensi
penyeliaan kerana mereka amat berpuas hati dengan corak penyeliaan pengetua masing-masing yang
berpengaruh, kemas kini, selalu memberi penghargaan terhadap kerja yang baik, percayakan
kemampuan guru dan sentiasa ada apabila diperlukan.

Hubungan Amalan Kepimpinan Transformasi Pengetua dan Kepuasan Kerja Guru Pendidikan
Khas

Jadual 7 menunjukkan hubungan antara amalan kepemimpinan transformasi pengetua dengan kepuasan
kerja guru. Analisis korelasi menunjukkan hubungan tersebut adalah rendah (.277). Sebaliknya
dapatan kajian Mohamad Zabidi (2009) dan Mohd Aziz (2008) menunjukkan terdapat hubungan kuat
di antara amalan kepemimpinan transformasi pengetua dan kepuasan kerja guru. Dapatan mereka
selari dengan dapatan Podsakof et al. (1996) dan Leithwood et al. (1997) yang mendapati amalan
kepimpinan transformasi pengetua mempunyai kesan yang positif ke atas kepuasan kerja. Namun
begitu, kajian Jazmi (2009) di SMKA dan SMK di negeri Kedah menunjukkan ia mempunyai
hubungan sederhana.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, tahap amalan kepimpinan transformasi pengetua adalah tinggi. Jika dilihat satu
persatu mengikut dimensi juga menunjukkan ia berada pada tahap yang tinggi. Tahap kepuasan guru
pendidikan juga adalah pada tahap yang tinggi. Hubungan antara keduanya adalah positif pada korelasi
yang agak rendah. Memandangkan kepemimpinan yang berkesan adalah asas kepada penambahbaikan
sekolah yang berterusan, maka dengan tahap amalan kepimpinan transformasi yang tinggi dalam
kalangan pengetua dan tahap kepuasan kerja yang tinggi dalam kalangan guru khas adalah diharapkan
penambahbaikan pentadbiran kepimpinan sekolah dan pencapaian prestasi yang baik dalam kalangan
guru akan berterusan pada masa akan datang.

RUJUKAN

Abdul Ghani Abdullah. (2010). Transformasi kepimpinan pendidikan. Batu Caves: PTS Profesional
Publishing Sdn. Bhd.
Abdul Ghani Kanesan Abdullah. (2005). Kesan amalan pengupayaan dalam pengajaran pembelajaran
terhadap pertambahan beban dan persekitaran kerja guru. Educational Management and
Leadership Journal, Institut Aminuddin Baki, Ministry of Education. Vol. 15, 19-30.
Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VII 2012 1475

Abdul Ghani Kanesan Abdullah & K. Anandan a/l Kuppan. (2009). Pengaruh kepemimpinan
transformasi sekolah dan efikasi kolektif guru terhadap komitmen kualiti pengajaran. Seminar
Nasional Pengurusan dan Kepimpinan ke-16.
Abdul Rahim Abd. Rashid. (2007). Profesionalisme keguruan. prospek dan cabaran. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Shukor Abdullah. (2004). Ucap tema: Kepimpinan unggul tonggak bidang pendidikan
cemerlang. Prosiding Seminar Nasional Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan Ke 12.
Institut Aminuddin Baki.
Ahap Awal. (2009). Amalan komunikasi guru besar dan kepuasan kerja guru sekolah rendah daerah
samarahan, Sarawak. Tesis Sarjana, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Alimuddin Mohd Dom. (2010). Transformasi pendidikan bermula.
http://perkhidmatanpelajaran.blogspot.com [1 November 2011].
Ariffin Ba‟ada. (2001). Komunikasi dalam kepimpinan pengetua dan kesannya kepada kepuasan kerja
guru. Tesis Dr. Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Avolio, B.J. & Bass, B. M. (2004). Multifactor leadership questionnaire: manual and sample, Ed. 3.
Redwood City, CA: Mind Garden, Inc.
Azrul Hisham Abdul Manaf. (2009). Faktor-faktor tekanan dan kesannya kepada guru sekolah
menengah kebangsaan: Satu kajian di daerah timur laut, pulau pinang. Tesis Sarjana.
Universiti Utara Malaysia.
Aziah Ismail, Abdul Ghani Kanesan & Abdullah Saad. (2005). Amalan Kepimpinan Transformasi &
Kapasiti Kepimpinan di Dua Buah Sekolah Kluster di Malaysia. Universiti Sains Malaysia.
Bass, B.M. (1985). Leadership and performance beyond expectations. New York: Free Press.
Burns, J.M. (1978). Leadership. New York: Harper & Row.
Creswell, J. W. (2009). Research Design: Qualitative, Quantitative, and Mixed Methods Approaches,
3rd Edition. Los Angeles: Sage Publications.
Hussein Mahmood. (2005). Kepemimpinan profesionalisme: Satu utopia? Pemimpin, 5: 39-51.
Jazmi Md Isa. (2009). Gaya kepemimpinan pengetua dan kepuasan kerja guru: kajian perbandingan
antara SMKA dengan SMK. Tesis Sarjana. Universiti Utara Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia. (2011). Unit Data, Bahagian Pendidikan Khas: Putrajaya.
Koh Lee Lee. (2008). Kepimpinan transformasi terhadap perubahan komitmen guru di beberapa buah
sekolah di daerah Petaling. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Leithwood, K., & Jantzi, D. (1999). Transformational School Leadership Effects: A Replication.
School Effectiveness and School Improvement, 10(4), 451-479.
Mohamad Zabidi Abdullah. (2009). Kepimpinan transformasi pengetua dan hubungannya dengan
kepuasan kerja guru. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Mohd Aziz Saad. (2008). Gaya kepemimpinan transformasional pengetua dan hubungannya dengan
kepuasan kerja guru di sebuah sekolah dalam daerah Maran, Pahang. Kertas projek Sarjana
Kepengetuaan. Universiti Malaya.
Muijs, D. & Hariss, A. (2007). Teacher leadership in (In) action: Three case studies of contrasting
schools. Educational management Administration & Leadership, 35(1) :111-134.
Nursuhaila Ghazali. (2007). Tahap amalan kepimpinan transformasi dalam kalangan pengetua Sekolah
Menengah Bandar Tangkak. Tesis Sarjana. Universiti Teknologi Malaysia.
Podsakoff, P.M., MacKenzie, S.B., & Bommer, W.H. (1996). Transformational leader behaviours and
substitutes for leadership as determinants of employee satisfaction, commitment, trust, and
organizational citizenship behaviours. Journal of Management, 22, 259-298.
Rahimah Haji Ahmad. (2005). Kepengetuaan dan kepemimpinan sekolah: Pembangunan dan
penambahbaikan pengajaran. Jurnal Pemimpin, 5,1-10.
Serina Jaafar. (2008). Kepemimpinan transformasional pengetua di sebuah sekolah menengah
berprestasi tinggi di hulu selangor. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Stewart, J. (2006). Transformational Leadership: An Evolving Concept Examined Through The Works
of Burns and The Philosophy of Leadership. Canadian Journal of Educational Administration
and Policy. Issue (54).
Tafri Mohd Amin. (2010). Amalan kepemimpinan transformasional pengetua dan keupayaan
kepemimpinan guru sekolah menengah di Pahang. Tesis Sarjana. Universiti Malaya.
Woo Yoke Ling. (2007). Kepuasan kerja guru-guru aliran pendidikan teknikal dan vokasional di
sekolah-sekolah menengah teknik di negeri Johor Darul Takzim. Tesis Sarjana. Universiti
Teknologi Malaysia.
1476 Habib Ismail, Zaimah Ramli

JADUAL 1: Profil Responden


Profail Responden Kekerapan Peratus
Pengalaman mengajar:
1-5 tahun 24 27.6
6-10 tahun 18 20.7
11-15 tahun 23 26.4
16-20 tahun 7 8.0
>20 tahun 15 17.2
Lokasi sekolah:
Bandar 68 78.2
Luar bandar 19 21.8

JADUAL 2: Dimensi Pertimbangan Berasaskan Individu


Item Pertimbangan Berasaskan Individu Purata Sisihan Interpretasi
Skor Piawai
Pengetua membantu memperkembangkan potensi 4.14 .71 Tinggi
peribadi saya.
Pengetua menganggap saya mempunyai kebolehan 3.95 .90 Tinggi
tersendiri.
Pengetua melayan saya sebagai individu daripada 4.12 .74 Tinggi
sebagai seorang ahli kumpulan.
Pengetua meluangkan masa membimbing saya. 4.24 .75 Sangat tinggi
Pengetua memberi peluang kepada pengikutnya untuk 4.15 .81 Tinggi
berbeza pendapat.
Pertimbangan berasakan individu 3.73 .71 Tinggi

JADUAL 3: Dimensi Membina Rangsangan Intelektual


Item Membina Rangsangan Intelektual Purata Sisihan Interpretasi
Skor Piawai
Pengetua mencari pelbagai perspektif apabila 3.90 .95 Tinggi
menyelesaikan sesuatu masalah.
Pengetua membuatkan saya melihat masalah dari 3.82 .87 Tinggi
pelbagai sudut.
Pengetua mencadangkan beberapa cara baru 3.77 .85 Tinggi
menyiapkan tugasan.
Pengetua menerangkan kepentingan mempunyai sesuatu 3.56 .83 Tinggi
tujuan yang jelas.
Pengetua menilai semula tanggapan yang kritikal 3.62 .81 Tinggi
tentang kesesuaiannya kepada permasalahan.
Membina rangsangan intelektual 3.86 .60 Tinggi

JADUAL 4: Dimensi Merangsang Motivasi


Item Merangsang Motivasi Purata Sisihan Interpretasi
Skor Piawai
Pengetua menyediakan kemudahan yang mencukupi 3.90 .79 Tinggi
semasa menjalankan tugas.
Pengetua sentiasa bersama-sama dalam melaksanakan 3.84 .76 Tinggi
tugasan.
Pengetua menekankan kepada kepentingan mempunyai 3.72 .76 Tinggi
misi bersama.
Pengetua menyatakan tentang masa depan dengan 4.07 .64 Tinggi
pandangan optimistik.
Pengetua menyatakan perkara-perkara yang perlu 3.78 .75 Tinggi
dilakukan dengan penuh bersemangat.
Merangsang motivasi 3.97 .62 Tinggi
Prosiding Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia Ke VII 2012 1477

JADUAL 5: Dimensi Memupuk Pengaruh Ideal


Item Memupuk Pengaruh Ideal Purata Sisihan Interpretasi
Skor Piawai
Pengetua menyatakan dengan penuh keyakinan 3.60 .86 Tinggi
bahawa matlamat boleh dicapai.
Pengetua berani menghadapi risiko dalam setiap 3.72 .92 Tinggi
tindakan yang diambil.
Pengetua memberi harapan yang tinggi kepada 4.18 .69 Tinggi
keupayaan pengikutnya.
Pengetua mempunyai misi dan visi yang jelas dalam 4.10 .72 Tinggi
mencapai matlamat organisasi.
Pengetua menampilkan ciri-ciri keyakinan diri dalam 4.29 .79 Sangat tinggi
membuat keputusan.
Memupuk pengaruh yang ideal 4.13 .66 Tinggi

JADUAL 6: Purata Skor, Sisihan Piawai dan Interpretasi Kepuasan Kerja


Item Kepuasan Kerja Purata Sisihan Interpretasi
Skor Piawai
1 Pekerjaan saya sekarang adalah seperti hobi kepada 3.74 1.27 Tinggi
saya.
2 Tugas saya sekarang menyeronokkan dan membuatkan 4.09 .802 Tinggi
saya tidak merasa jemu melakukannya setiap hari.
3 Saya rasa kawan-kawan saya lebih berminat terhadap 3.67 .87 Tinggi
tugas dan pekerjaan mereka.
4 Saya menganggap tugas saya sekarang tidak 4.13 .95 Tinggi
menyenangkan saya.
5 Saya menyukai tugas-tugas saya lebih daripada masa 3.53 .91 Tinggi
rehat saya.
6 Saya selalu merasa jemu dengan tugas yang saya 4.11 .88 Tinggi
lakukan.
7 Saya tidak begitu pasti dengan tugas-tugas saya. 4.08 .89 Tinggi
8 Selalu saya memaksa diri melakukan sesuatu tugas yang 3.87 .96 Tinggi
diberikan kepada saya.
9 Saya berpuas hati dengan kerja-kerja yang saya lakukan 3.82 .92 Tinggi
sekarang.
10 Saya rasa pekerjaan saya tidak menarik lagi sekarang. 4.05 .99 Tinggi
11 Saya rasa gembira dengan tugas-tugas saya berbanding 3.66 .95 Tinggi
dengan guru-guru lain.
12 Saya selalu bersemangat untuk menjalankan tugas. 4.10 .70 Tinggi
13 Saya selalu merasa tugas saya lebih banyak daripada 3.40 .91 Tinggi
guru-guru lain.
14 Saya sangat menyukai pekerjaan saya berbanding guru- 3.62 .85 Tinggi
guru lain.
15 Saya begitu gembira dengan tugas yang disenaraikan 3.76 .79 Tinggi
kepada saya.
16 Saya rasa agak kesal kerana bertugas di sekolah ini. 4.38 .80 Sangat
tinggi
Kepuasan kerja keseluruhan 3.88 .52 Tinggi
Nota: Item „negatif‟ telah diambil kira dalam analisis kajian.
1478 Habib Ismail, Zaimah Ramli

JADUAL 7: Analisis Korelasi Amalan Kepemimpinan Transformasi dengan Kepuasan Kerja


Amalan Kepemimpinan Kepuasan Kerja
Transformasi
Amalan Kepemimpinan Transformasi
Korelasi Pearson 1.00
Signifikan (2-hujung) .277**
N 87
Kepuasan Kerja
Korelasi Pearson .277**
Signifikan (2-hujung)
N 87
Nota: ** Signifikan pada aras 0.01

You might also like