Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 14

ii.

Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran yang digunakan dalam P&P

TAJUK : RUANG
STANDARD KANDUNGAN : ISI PADU KIUB DAN KUBOID
TAHUN : TAHUN 4

 Kaedah deduktif

Strategi Pengajaran Deduktif merupakan kaedah mengajar yang kompleks kerana murid perlu
memperoleh kefahaman yang mendalam/mencukupi serta berupaya memilih rumus, hukum,
teorem, peraturan yang telah dipelajari dengan tepat untuk diaplikasikan pada contoh-contoh
khusus.

Dalam matematik kaedah ini menggunakan rumus, hukum atau teori matematik yang telah
dipelajari untuk mendapatkan rumusan dan generalisasi matematik yang baru iaitu daripada
generalisasi yang khusus. Kaedah ini memerlukan murid untuk menguasai pengetahuan yang
luas dan pengetahuan matematik yang cukup bagi mendapatkan rumus,hukum atau teorem
yang baru. Sebagai contoh,

a. Bagaimana guru memperkenalkan konsep isi padu kiub atau kuboid kepada
murid?

1. Guru memberi potongan kad segi empat sama dan segi empat tepat kepada murid
seperti gambar di bawah.
2. Murid dikehendaki mencantumkan kepingan-kepingan kad segi empat menjadi sebuah
kuboid.
3. Guru menjelaskan bahawa ruang kosong di dalam kuboid merupakan isi padu bagi
kuboid tersebut.
Rajah 1 – kepingan potongan kad segi empat berwarna

Rajah 2- Kuboid yang berjaya dibentuk oleh pelajar


Berdasarkan penggunaan pendekatan deduktif ini, guru memberitahu murid pada mulanya
objektif pelajaran mereka. Murid dibimbing mengingat kembali hukum,prinsip, teori atau
peraturan yang berkaitan untuk membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau
mendapatkan kesimpulan yang baru. Dalam kes ini, guru mengingatkan kembali murid rumus
bagi luas segi empat tepat dan segi empat sama. Guru juga membimbing murid membina
kuboid menggunakan kepingan kad segi empat. Ini bermaksud bahawa guru memberikan
rumus, prinsip, hukum, teorem atau peraturan tertentu kepada murid dan mengajarkannya
kepada murid sehingga murid faham, kemudian murid akan mengaplikasikannya atau juga
boleh digunakan sebagai proses menyelesaikan masalah dalam matematik. Daripada rumus,
prinsip, hukum, teorem atau peraturan tertentu murid dapat memahami sesuatu yang baru,
bermaksud mereka mungkin dapat idea yang baharu bagi menyelesaikan suatu permasalahan.
Daripada idea atau pemahaman yang baharu itu, murid dapat membentuk konsep dan
pengetahuan yang baharu. Pendekatan ini juga menjadi bantuan kepada murid untuk membuat
internalisasi terhadap isi pelajaran yang kurang abstrak dengan generalisasi.

Selepas murid memahami konsep dan maksud isi padu,

b. Bagaimana guru dapat menjelaskan rumus isi padu bagi kuboid?

Murid pada awalnya masih belum diperkenalkan dengan rumus bagi isi padu kuboid dan kiub
iaitu

Isi padu Kuboid/Kiub = 𝑝𝑎𝑛𝑗𝑎𝑛𝑔 × 𝑙𝑒𝑏𝑎𝑟 × 𝑡𝑖𝑛𝑔𝑔𝑖

1. Guru menyediakan kiub-kiub kecil yang terdiri daripada 1cm × 1cm sisi.
2. Guru mengehendaki murid memenuhkan kuboid yang telah dibina dengan kiub-kiub kecil
dengan tersusun sehingga penuh.
3. Murid mengira berapa banyak kiub kecil yang digunakan untuk memenuhkan sebuah
kuboid.
4. Jumlah kiub kecil yang digunakan untuk memenuhkan kuboid ialah isi padu bagi kuboid
tersebut.
Pada akhir pembelajaran murid mengetahui bahawa rumus bagi isi padu kuboid dan kiub ialah
panjang × lebar × tinggi.

Kaedah pengajaran dan pembelajaran deduktif sesuai digunakan oleh kebanyakan murid. Murid
pintar, sederhana dan lemah boleh menggunakan kaedah pembelajaran seperti ini, namun ia
perlu disesuaikan dengan keperluan murid.

 Jenis-jenis pendekatan Deduktif

Terdapat 3 jenis pendekatan deduktif yang biasa digunakan sebagai strategi pengajaran dan
pembelajaran dalam bilik darjah.

1. Penyelesaian Masalah : pendekatan deduktif digunakan untuk menyelesaikan masalah.


Misalnya, setelah murid mengenali dan menguasai rumus bagi isi padu kuboid da kiub,
murid dikehendaki menyelesaikan masalah soalan berkaitan kehidupan seharian mereka
seperti mengira isi padu air di dalam bekas berbentuk kiub ataupun kuboid.

2. Membentuk generalisasi baru : pendekatan deduktif dapat digunakan untuk membuat


generalisasi yang baru. Misalnya setelah murid memahami konsep isi padu kuboid dan
kiub, murid dikehendaki mengira isi padu kuboid dan kiub menggunakan bilangan kiub
kecil dan rumus.
3. Membuktikan hipotesis : pendekatan deduktif juga digunakan untuk membuktikan suatu
hipotesis melalui sesuatu hukum atau prinsip yang telah dipelajari contohnya selepas
murid telah mempelajari bahawa isi padu kuboid dan kiub boleh dicari menggunakan
kiub-kiub bersisi 1cm×1cm yang diisi memenuhi kuboid dan kiub tersebut. Selepas itu,
guru dapat membuktikan rumus bagi kuboid ialah

Isi padu Kuboid/Kiub = 𝑝𝑎𝑛𝑗𝑎𝑛𝑔 × 𝑙𝑒𝑏𝑎𝑟 × 𝑡𝑖𝑛𝑔𝑔𝑖

 Prinsip-Prinsip Penggunaan Pengajaran Deduktif.

Pada peringkat permulaan masalah atau hipotesis harus didedahkan terlebih dahulu.
Murid-murid harus dibimbing mengingat kembali generalisasi, prinsip atau teori yang
membolehkan mereka menyelesaikan masalah atau hipotesis yang didedahkan.
Generalisasi, prinsip atau teori yang digunakan untuk menyelesaikan masalah atau
membukti hipotesis haruslah diketahui serta telah difahamkan. Penggunaan deduktif
harus dijalankan mengikut prosedur yang betul iaitu:

Proses penyelesaian masalah atau membuktikan hipotesis tidak terhad kepada


menggunakan satu generalisasi prinsip atau teori yang telah dipelajari. Guru tidak perlu
menjalankan cara menyelesaikan masalah atau menghuraikan cara membukti hipotesis
tetapi membimbing murid melalui aktiviti soal jawab sehingga mereka menjalankan
aktiviti penyelesaian masalah sendiri.

 Kelebihan Pendekatan Deduktif

Memudahkan tugas guru yang mana guru mengemukakan prinsip asas manakala murid
menggunakan prinsip berkenaan. Kaedah ini sangat berbeza dengan kaedah induktif
kerana pendekatan ini lebih cepat dan menjimatkan masa pengajaran. Kerana rumus
sudah diperkenalkan lebih awal kepada murid. Guru hanya menghuraikan bagaimana
rumus diperoleh dan cara mengaplikasikan rumus tersebut. pendekatan ini juga boleh
meninggalkan kesan pembelajaran yang memuaskan kepada pelajar-pelajar. Apa yang
paling utama, ia tiada risiko mendapat hasil yang salah atau tidak sempurna.
 Kelemahan Pendekatan Deduktif

Kelemahan menggunakan kaedah pengajaran ini ialah ia mungkin membosankan kerana


murid dibebani dengan rumus-rumus yang wajib dipatuhi. Pendekatan ini boleh
mengongkong kreativiti mereka. Selain itu, pemikiran murid tidak tercabar untuk
mengesan dan menentukan rumus kerana rumus-rumus diberikan oleh guru. Justeru itu,
penglibatan murid kurang aktif semasa sesi pengajaran dan pembelajaran kerana guru
lebih memainkan peranan, khususnya semasa menghuraikan rumus. Melihat dari segi
psikologi, sesuatu yang dijumpai sendiri oleh murid dalam sesuatu pembelajaran dapat
menjamin ingatan yang lebih kekal, berbanding dengan sesuatu yang diberitahu terus
oleh guru. Dengan demikian, pendekatan ini tidak begitu menjamin ingatan yang
berkekalan dalam kalangan murid tentang rumus-rumus yang diajarkan.

 Kesimpulan

Kaedah pengajaran deduktif dalam matematik membantu murid berfikir berdasarkan


pengetahuan umum kepada yang khusus dalam usaha menyelesaikan masalah harian
atau pembelajarannya. Bagi setiap langkah pengajaran guru, isi pelajaran perlu dikaitkan
dengan generalisasi. Perkaitan ini boleh ditunjukkan secara langsung oleh guru atau
secara tidak langsung melalui soalan-soalan. Walaupun pendekatan kaedah ini
mempunyai kelebihan tetapi guru tidak seharusnya hanya menggunakan satu kaedah
dalam satu sesi pengajaran. Ini kerana objektif pengajaran sukar dicapai dengan satu
kaedah pengajaran sahaja. Oleh itu, guru hendaklah menggabungkan kaedah
pengajaran yang lain seperti pendekatan induktif, koperatif dan kontekstual agar hasil
pengajaran lebih berkesan dan tercapai objektif pengajaran dan pembelajaran.

http://mewahilmu.blogspot.com/2012/10/kaedah-induktif-dan-deduktif.html
http://inspirasiku11.blogspot.com/2011/06/pendekatan-pengajaran-deduktif.html
http://www.slideshare.net/mohdhakim75/koperatif
iii. Teori pembelajaran yang sesuai diaplikasikan dalam rancangan pengajaran
harian (berdasarkan kepada persekitaran, aras kognitif murid, latar belakang
ekonomi keluarga dan sbg)

TAJUK : RUANG
STANDARD KANDUNGAN : ISI PADU KIUB DAN KUBOID
TAHUN : TAHUN 4
TEORI PEMBELAJARAN : KOGNITIF JEROME BRUNER

PENGENALAN

Menurut Kamus Dewan, kognitif didefinisikan sebagai segala perkara yang berkaitan dengan
kognisi seperti proses pembelajaran, pemahaman dan pemerolehan pembelajaran di mana
proses kognitif tersebut tidak boleh dilihat secara langsung. Selain daripada itu, kognitif juga
merujuk kepada aktiviti-aktiviti mental seperti berfikir , menaakul, menganalisis, membentuk
konsep, menyelesaikan masalah dan sebagainya. Secara ringkasnya, teori kognitif merupakan
satu pendekatan atau proses yang terjadi dari segi tahap pemikiran manusia dalam sesuatu
pembelajaran dan pengalaman. Antara tokoh yang memperkatakan tentang teori kognitif ialah
Jean Piaget, Ausubel dan Gagne.

TEORI JEROME BRUNER

Tokoh yang turut terlibat dalam teori berkaitan kognitif ialah Jerome Bruner. Beliau telah
mendefinisikan pembelajaran penemuan (Discovery Learning) sebagai satu daripada model
kognitif yang diasaskan melalui prinsip-prinsip konstruktivisme. Teori ini menggalakkan pelajar
untuk menemui prinsip-prinsip melalui eksperimen dan penerokaan dengan mengolah apa yang
diketahui oleh pelajar kepada satu corak yang baru. Sehubungan dengan itu, disebabkan
pembelajaran adalah satu proses yang aktif, guru harus menyediakan panduan apabila
diperlukan. Namun begitu, panduan diberikan selepas pelajar meneroka sesuatu masalah
dengan menggunakan pengetahuan dan pengalaman yang lepas yang berkaitan.
Menurut Mok Soon Sang (1996), Bruner dan pembantunya, Kenneth telah berjaya
membina empat teorem pembelajaran matematik melalui kajian dan pemerhatian yang dibuat
pada tahun 1963. Teorem pertama ialah teorem pembinaan. Teorem tersebut merupakan cara
yang paling berkesan bagi kanak-kanak mempelajari konsep, prinsip atau hukum Matematik
dengan membina perwakilan dan menjalankan aktiviti dengan bahan konkrit. Kemudian, teorem
kedua pula ialah teorem tata tanda. Guru harus memastikan tata tanda Matematik yang
diperkenalkan kepada pelajar harus mengikut perkembangan kognitif pelajar. Seterusnya,
teorem yang ketiga ialah teorem kontras dan variasi. Guru harus menyedari bahawa Matematik
mempunyai pelbagai konsep yang berbeza. Jadi, guru mesti menerangkan perbezaan dalam
sesuatu konsep agar pelajar dapat membezakan konsep-konsep tersebut. Teorem yang terakhir
ialah teorem perhubungan. Walaupun konsep-konsep Matematik adalah berbeza, namun, dalam
sesuatu konsep, guru harus mengaitkan setiap konsep, prinsip dan kemahiran dengan konsep
yang lain.

Peringkat yang terawal ialah peringkat enaktif di mana ianya adalah serupa dengan
peringkat deria motor iaitu untuk memahami dan berinteraksi dengan persekitarannya. Peringkat
ini melibatkan kanak-kanak dalam lingkungan umur kosong hingga tiga tahun. Pada peringkat
enaktif, kebanyakan aktiviti yang dilakukan adalah berdasarkan kepada pergerakan anggota
kanak-kanak itu sendiri dan orang dewasa haruslah tahu bahawa ketika ini, kanak-kanak mudah
mempelajari apa sahaja. Disebabkan pada tahap umur ini mereka masih belum pandai
berkomunikasi dengan baik, maka, mereka akan memegang sesuatu objek untuk memperoleh
makna atau tafsiran bagi dirinya. Oleh itu, mereka harus diberi pengalaman yang kukuh tentang
sesuatu perkara supaya semua pengalaman yang dialaminya tersimpan dalam jangka masa
yang panjang. Justeru itu, Richard (2004) telah memberi pendapat bahawa kanak-kanak belajar
menggunakan alat muzik adalah lebih pantas daripada orang dewasa.

Seterusnya dalam Teori Perkembangan Kognitif Bruner adalah peringkat ikonik yang
melibatkan usia tiga hingga lapan tahun. Dalam tahap ini, kanak-kanak mampu belajar dengan
memikirkan sesuatu melalui imej dan gambar rajah. Melalui peringkat ini, Richard Overbaugh
(2004) mengatakan yang kanak-kanak dapat menyatakan bilangan objek yang ditunjukkan.
Contohnya, nombor 3 dikaitkan dengan objek yang mempunyai nilai 3. Di samping itu, kanak-
kanak juga sudah mampu menyebut objek yang tiada di hadapan matanya di mana keadaan ini
dikenali sebagai ‘imej mental’. Selain ikonik, kognitif kanak-kanak turut berkembang melalui
peringkat simbolik pada umur lapan tahun dan ke atas. Pada peringkat simbolik, kanak-kanak
boleh memahami dan belajar sesuatu perkara melalui simbol dan konsep yang lebih meluas.
Selain itu, penggunaan simbol adalah untuk mewakili pengamatan imej bagi objek dan turut
berkembang melalui penggunaan bahasa.

 PERSEKITARAN ARAS KOGNITIF MURID

Murid tahun 4 ini dikategorikan sebagai kanak-kanak di atas umur 8 tahun. Menurut teori Bruner,
kanak-kanak dalam lingkungan usia ini berada pada peringkat simbolik. Pada usia ini kana-
kanak sudah boleh memikirkan imej dan gambar rajah. Pembelajaran menggunakan kaedah
abstrak sudah boleh digunakan, namun penggunaan bahan konkrit masih menjadi keutamaan
guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Pada peringkat ini, saya menggunakan
bahan konkrit seperti kiub berukuran 1cm setiap sisi dan satu kuboid besar yang dibina oleh
pelajar sendiri. Pada peringkat simbolik, kanak-kanak pada usia ini sudah boleh memahami dan
belajar perkara melalui simbol dan konsep yang lebih meluas. Penggunaan simbol adalah untuk
mewakili pengamatan imej bagi objek dan turut berkembang melalui penggunaan bahasa. Saya
sudah boleh mewakilkan panjang sebagai P, lebar sebagai L, dan tinggi sebagai T. Kanak-
kanak sudah dapat memahami maksud dan simbol yang diwakilkan di dalam rumus luas bagi
kuboid dan kiub.

 LATAR BELAKANG EKONOMI KELUARGA

Kebanyakan dan sebahagian kanak-kanak mempunyai latar belakang keluarga sederhana. Oleh
itu, teori pengajaran dan pembelajaran kognitif Bruner yang digunakan secara meluas dalam
PdP sekolah sangat sesuai digunakan untuk mengajar tajuk luas kepada kanak-kanak. Di
samping itu, kaedah pengajaran yang digunakan tidak memerlukan kos yang tinggi. Alat bantu
mengajar yang boleh diguna semula pada masa yang akan datang sangat menjimatkan masa
dan perbelanjaan guru. Sebagai contoh, untuk mengajar tajuk ruang, saya hanya menggunakan
kiub kayu berukuran sisi 1cm dan kertas keras untuk membina kuboid. Kaedah ini sangat sesuai
diaplikasikan kepada murid sederhana dan pintar. Murid juga boleh membuat aktiviti yang sama
semasa berada di rumah kerana bahan yang digunakan sangat mudah didapati dan tidak terhad
penggunaannya.
 JUSTIFIKASI

Saya memilih teori pembelajaran kognitif Bruner yang menekankan perkembangan kognitif
kanak-kanak dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Semasa saya mengajar tajuk luas
dan isi padu, saya menggalakkan murid menemui prinsip-prinsip melalui eksperimen dan
penerokaan mereka sendiri. Hal ini bagi memastikan pembelajaran yang aktif berlaku
bersesuaian dengan apa yang dikatakan Bruner dalam teori pembelajaran kognitifnya. Menurut
Bruner lagi, pembelajaran merupakan suatu proses yang berperingkat di mana individu
membina pengetahuannya sendiri berasaskan pengalamannya. Oleh itu, saya memberi
pengalaman terlebih dahulu kepada murid sebelum memulakan satu pembelajaran tentang topik
yang baharu. Sebagai contoh, saya mengajar dahulu tajuk luas segi empat sebelum berpindah
ke tajuk yang lebih sukar iaitu mencari isi padu kuboid dan kiub. Hal ini bagi memastikan pelajar
sudah memperoleh pengetahuan sedia ada sebelum memulakan suatu pembelajaran yang
baharu. Pembelajaran yang berperingkat dari peringkat yang mudah kepada yang lebih
kompleks dikenali sebagai kurikulum berlingkar. Kurikulum ini digunakan secara meluas di
dalam kurikulum KSSR matematik di mana sesi pembelajaran bermula dari pengetahuan yang
asas terlebih dahulu dan berkembang ke peringkat yang lebih kompleks dan rumit. Kurikulum
seperti ini sangat bersesuaian dengan teori pembelajaran kognitif Bruner yang mengatakan
perkembangan kognitif kanak-kanak berlaku secara berperingkat. Peringkat terawal dikenali
sebagai peringkat enaktif, ikonik dan simbolik. Pada peringkat enaktif, kanak-kanak belajar
menggunakan deria motor. Pada peringkat ikonik, kanak-kanak sudah mampu belajar melalui
imej dan gambar rajah dan peringkat terakhir ialah peringkat simbolik. Pada peringkat terakhir
ini, kanak-kanak sudah mampu memahami simbol dan pembelajaran yang lebih abstrak.
Namun, penggunaan bahan konkrit perlu digunakan secara berterusan bagi memastikan
pembelajaran yang bermakna dapat berlaku. Oleh itu, saya sentiasa menggunakan alat bantu
mengajar yang mudah diperoleh semasa mengajar. Proses pengajaran dan pembelajaran juga
dilakukan secara berperingkat bersesuaian dengan tahap perkembangan kognitif murid-murid.
iv. Ulasan Refleksi

 Pencapaian yang diperoleh semasa menyempurnakan tugasan dan pencapaian


baharu yang diperoleh.

 Tugasan 1- Membina Rancangan Pengajaran Tahunan

Semasa melaksanakan tugasan ini, saya dapat mempelajari cara membuat Rancangan
Pengajaran Tahunan (RPT) yang baik berasaskan Dokumen Standard Kurikulum dan
Penaksiran (DSKP). Kami menjalankan tugasan ini secara berkumpulan. Di mana kami sama-
sama berbincang untuk meletakkan tempoh yang diperlukan untuk mengajar bagi setiap tajuk.
Kami mengambil kira tahap kesukaran tajuk bagi meletakkan tempoh masa pengajaran. Bagi
tajuk yang agak sukar, kami menganggarkan tempoh masa yang lebih lama untuk sesi PdP,
begitu juga dengan tajuk yang baharu diperkenalkan kepada murid. Selain itu, semasa
membuat RPT, kami juga perlu prihatin dengan tarikh-tarikh cuti umum dan cuti peristiwa yang
terdapat di dalam kalender tahunan. Hal ini bagi memastikan kelancaran proses PdP kelak dan
perancangan waktu guru. Dari tugasan ini, saya belajar menjadi seorang guru yang lebih
sistematik dan tersusun dalam melaksanakan tugasan. Sebagai contoh, semasa merancang
RPT, saya perlu meneliti setiap tajuk yang perlu saya ajar sebelum menetapkan waktu
pengajaran bagi setiap tajuk. Di samping itu saya juga perlu peka dengan cuti-cuti yang terlibat
pada tahun tersebut. bukan itu sahaja, saya juga belajar nilai kerjasama. Semasa melaksanakan
tugasan ini, kami berbincang di dalam kumpulan yang telah ditetapkan. Tugasan menjadi lebih
mudah apabila dilakukan di dalam kumpulan. Setiap ahli bersama-sama menyumbang
pandangan dan idea sepanjang menyediakan Rancangan Pengajaran Tahunan ini. Nilai
kerjasama sangat penting bagi insan yang bernama guru. Hal ini kerana, apabila guru berada di
dalam sebuah institusi sekolah, mereka perlu bergerak bersama-sama dan bekerjasama untuk
membangunkan pencapaian dan penambahbaikan pada sekolah tersebut. Idea dan cadangan
perlu dikumpulkan bersama-sama bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.
 Tugasan 2 – Memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sesuai untuk
diaplikasikan dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

Saya memilih kaedah pengajaran secara deduktif dan koperatif untuk diaplikasikan dalam PdP.
Saya pula memilih tajuk isi padu kuboid dan kiub. Semasa saya melaksanakan tugasan ini, saya
telah menganalisis kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang kerap digunakan
dalam subjek matematik. Antaranya ialah kaedah induktif, deduktif, koperatif, inkuiri penemuan
dan sebagainya. Bagi memilih kaedah pengajaran yang sesuai, saya perlu meneliti ciri setiap
kaedah untuk disesuaikan dengan tajuk yang bakal saya ajar. Setiap kaedah mempunyai cara
pendekatan yang berbeza dan bersesuaian dengan tajuk-tajuk tertentu. Selepas saya selesai
menganalisis setiap kaedah pengajaran, akhirnya saya memilih kaedah deduktif yang digunakan
secara meluas dalam mengajarkan subjek matematik. Hal ini demikian kerana, kaedah
pengajaran ini lebih selamat digunakan untuk memperkenalkan tajuk yang baharu kepada
pelajar. Di samping itu, ia juga sesuai digunakan untuk setiap lapisan murid sama ada pintar,
sederhana dan juga lemah. Saya juga memilih kaedah koperatif bagi menggalakkan murid
bekerja dalam kumpulan dan melahirkan sifat kerjasama dalam kalangan mereka. Melalui
tugasan ini, saya sedar tugas seorang guru bukan sahaja mengajar di dalam kelas dengan
kaedah yang sama, malah guru perlu mengambil kira tahap pencapaian murid tersebut, tajuk
yang diajar dan latar belakang murid sebelum memulakan sesi PdP. Hal ini sangat penting bagi
memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan sempurna dan berkesan. Saya
sebagai seorang guru kelak, perlu mempunyai sifat prihatin dalam mempertimbangkan sesuatu
perkara di mana saya perlu melihat setiap sudut situasi tersebut sebelum membuat sesuatu
keputusan.

 Tugasan 3 – memilih satu teori pembelajaran yang sesuai untuk diaplikasikan RPH

Semasa melaksanakan tugasan ini juga, saya perlu menganalisis terlebih dahulu teori-teori
pembelajaran sebelum mula mengajar. Hal ini bertujuan bagi memastikan sesi pengajaran
berjalan dengan lancar dan memberi kesan bermakna kepada murid. Setiap murid perlu
pendekatan yang berbeza berdasarkan tahap kognitif mereka, tingkah laku dan latar belakang
keluarga. Melalui tugasan ini, saya mempelajari nilai prihatin dan melaksanakan tugas dengan
sempurna. Contohnya, saya perlu mengenal terlebih dahulu murid-murid saya sebelum
mengajar. Bukan itu sahaja, saya juga perlu mengubah cara saya mengajar jika teknik
pengajaran tersebut tidak memberi kesan positif kepada murid. Saya sebagai seorang guru
perlu bijak membuat keputusan yang berpihak kepada murid. Murid perlu diutamakan. Di
samping itu, saya juga perlu bertimbang rasa dalam semua tindakan saya semasa berada di
sekolah.

 Tugasan Penghasilan Produk

Tugasan ini mengehendaki kami membuat Rancangan Pengajaran Harian mengikut format
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Semasa melaksanakan tugasan ini, saya telah
mempelajari cara menyediakan RPH yang lengkap dan berkualiti. Saya merujuk RPH yang telah
disediakan oleh pensyarah dan mengolah RPH tersebut berdasarkan idea dan cara saya
mengajar. Ilmu dan pengetahuan membuat RPH sangat perlu dikuasai oleh setiap insan yang
bergelar guru. Hal ini kerana, setiap guru perlu menyediakan RPH semasa berada di sekolah
kelak. Setiap kerja dan tugasan perlulah dilaksanakan dengan sempurna oleh guru tersebut.

Di samping itu, saya juga dikehendaki menyediakan Bahan Bantu Mengajar yang bersesuaian
dengan tajuk yang diajar. Semasa menyediakan BBM saya mengambil kira masalah yang bakal
dihadapi oleh murid semasa belajar tajuk isi padu kuboid dan kiub. Oleh itu, Bahan Bantu
Mengajar ini bertujuan untuk memudahkan mereka memahami konsep yang ingin disampaikan
dalam pembelajaran menggunakan bahan konkrit. Melalui tugasan ini, saya belajar menjadi
seorang yang kreatif dan inovatif. BBM yang disediakan perlulah mesra murid di mana setiap
murid dapat menggunakan bahan tersebut semasa belajar. Malah lebih bagus lagi jika murid
boleh membuat sendiri bahan tersebut semasa berada di rumah. Hal ini bagi menjamin
pembelajaran yang berterusan berlaku dalam diri murid tersebut.
RUJUKAN

Azizah Lebai Nordin (2002). Pendidikan Awal Kanak-kanak : Teori dan Amali. Kuala

Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Definisi Kognitif (2011). Diperoleh pada April 6, 2012 daripada

http://www.scribd.com/doc/70533056/Definisi-Kognitif.

Kamarulzaman Kamaruddin (2009). Psikologi Perkembangan : Panduan Untuk Guru.

Perak: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Strategi mengingat dalam pendekatan kognitif (2008). Diperoleh pada April 6, 2012

daripada http://virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=35246.

Suppiah Nachappan, Ramlah Jantan & Abdul Aziz Abdul Shukor (2008). Psikologi

Pendidikan. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Teori dan model awal kanak-kanak (2010). Diperoleh pada April 6, 2012 daripada

http://www.scribd.com/doc/36760501/Teori-Dan-Model-an-Awal-Kanak-kank.

You might also like