33 123 1 PB

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 14

Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

PENDEKATAN DIDIK HIBUR DALAM PENGAJARAN DAN


PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU: TINJAUAN TERHADAP SIKAP DAN
MINAT MURID ORANG ASLI DI NEGERI PERAK

Hj. Mohd Razak Mohd Nordin, Ed.D


mohdrazak@ipip.edu.my
Masitah Ahmad
Hjhmasitah_Skj@Yahoo.Com
Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Hulu Kinta, Perak, Malaysia

Abstrak

Kajian ini dilaksanakan untuk melihat dan menilai sejauhmanakah pendekatan didik hibur
dapat menarik minat murid Orang Asli terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu. Pendekatan didik hibur mengandungi beberapa aktiviti seperti nyanyian, aktiviti
bercerita, lakonan dan puisi. Objektif pengkaji menjalankan kajian ini adalah untuk
mengenal pasti sama ada pendekatan didik hibur dapat menarik minat murid Orang Asli
terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu berbanding dengan pendekatan
tradisional.Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Maklumat yang digunakan
dalam kajian ini diperolehi melalui temu bual, pemerhatian dan analisis
dokumen.Kumpulan utama responden ialah guru-guru dan murid di empat buah sekolah
murid Orang Asli dalam negeri Perak. Temu bual melibatkan lapan orang guru dan lapan
orang murid dari SK Suak Padi, daerah Perak Tengah, SK Pos Raya, Kg. Kepayang,
Simpang Pulai, Perak, SK Kampung Kenang dan SK Chenein Sungai Siput (U). Temu bual
dilaksanakan ke atas setiap guru dan murid yang menjadi responden kajian. Borang
senarai semak persepsi guru ke atas aplikasi pengajaran dan pembelajaran baru
disediakan dan akan diisikan oleh guru sebagai responden. Hasil temu bual yang
diperolehi daripada guru dan murid Orang Asli dianalisis melalui analisis kandungan.
Seterusnya hasil analisis telah dikategorikan kepada beberapa aspek dan tema. Cadangan
penambahbaikan untuk meningkatkan kualiti pedagogi sekolah peribumi juga turut
dibincangkan. Hasil kajian mendapati pendekatan didik hibur ini telah dapat menaikkan
semangat, minat dan penyertaan murid secara menyeluruh. Disamping mewujudkan
suasana pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan dan kondusif.

Kata Kunci: kualitatif, didik hibur, sikap, minat, dan murid Orang Asli.

Abstract

This study was to examine and assess to what extent of edutainment approach attract
aboriginal students to the teaching and learning of Malay Language. Edutainment
approach contains a number of activities such as singing, storytelling, acting and poetry.
The objective of conducting this study is to identify whether the edutainment approach
could attract aboriginal students to learn Malay Language as compared to the traditional
approach. This study used a qualitative approach. Information used in this study were
collected through interviews, observations and analysis of the documents. The respondents
were teachers and pupils in the four aboriginal schoo in the state of Perak. Interviews
involving eight teachers and eight pupils from SK Suak Padi, district Centre Perak , SK
77
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Pos Raya, Kg.Kepayang, Simpang Pulai, Perak, SK Kampung Kenang and SK Chenein
Sungai Siput (U), Perak. The interview was conducted on each of the teachers and students
who were the respondents. Checklists form on the preception of teachers in teaching and
learning strategies were provided to be fill by the respondents. Results obtained from
interviews with teachers and students from the aboriginal schools were analyzed through
content analysis. Further analysis of the results has been categorized into several aspects
and themes. Suggestions for improvement to enhance the pedagogical quality of
indigenous schools were also discussed. The study found edutainment approach has been
able to raise the spirit, enthusiasm and participation of the students as a whole and
furthermore to create a teaching and learning environment to be fun and conducive.

Keywords: Qualitative, edutainment, interests, attitudes, aboriginal students

PENDAHULUAN

Peningkatan kualiti pendidikan murid Orang Asli merupakan keprihatinan kebangsaanyang


sentiasa ditekankan oleh semua lapisan masyarakat pendidik di Malaysia. Secara
umumnya, masyarakat Orang Asli diMalaysia mempunyai pelbagai budaya unik yang
masih kurang difahami oleh masyarakat bukan peribumi. Justeru itu, usaha gigih daripada
kaum pendidik sangat diperlukan untuk mengkaji keperluan pembelajaran murid-murid
Orang Asli secara mendalam. Hakikat yang tidak dinafikan ialah murid-murid Orang Asli
juga mempunyai keperluan pembelajaran pelbagai. Kepelbagaian keperluan ini perlu
diambil kira untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif untuk murid-murid
Orang Asli ini.

Melalui daya kreativiti guru, pengubahsuaian strategi dan teknik mengajar dapat dilakukan
untuk menjadikan pengajarannya lebih menarik, bermakna dan membawa kesan yang
maksimum lebih-lebih lagi berdepan dengan murid-murid yang bermasalah. Salah satu
pendekatan yang mampu memenuhi ciri tersebut adalah melalui pelaksanaan pendekatan
didik hibur dalam amalan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu.

Matlamat ini akan menjadi realiti sekiranya para guru dapat melaksanakan set pengajaran
dan pembelajaran dengan berpaksikan ilmu kemahiran yang tinggi, perancangan yang rapi
dan pelaksanaan yang sistematik. Sesungguhnya pengajaran dan pembelajaran yang
menggunakan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah mampu menyuburkan minat
belajar dan menamkan sikap positif terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya
bagi menangani murid-murid yang agak lambat menguasai kemahiran membaca dan
menulis.

Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa masyarakat Orang Asli merupakan satu
kelompok masyarakat yang mendiami kawasan luar bandar. Mereka hidup dalam keadaan
yang serba ringkas dan mudah. Corak kehidupan sebegini ternyata banyak mempengaruhi
gaya pembelajaran murid-murid Orang Asli. Secara puratanya murid-murid Orang Asli
mempunyai pencapaian yang lemah dalam akademik. Mereka juga tidak mempunyai minat
yang tinggi. Begitu juga dengan sikap terhadap pelajaran. Kebanyakkan murid Orang Asli
begitu pasif dan pemalu.

78
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Namun begitu, sifat-sifat negatif yang sinonim dengan murid Orang Asli terutamanya dari
aspek minat dan sikap terhadap pelajaran bukanlah sesuatu yang tepu sifatnya. Minat boleh
dipupuk dan sikap boleh diubah jika kena dengan cara dan gayanya. Apa yang paling
penting adalah usaha yang berterusan oleh para pendidik untuk mencari strategi yang
sesuai dalam usaha menyampaikan ilmu dan nilai kepada murid Orang Asli.

Hakikatnya dari segi teori, pelaksanaan pendekatan didik hibur dalam amalan pengajaran
dan pembelajaran bahasa Melayu di bilik darjah mampu menyuburkan daya kognitif dan
kemahiran sosial murid-murid. Apa yang diharapkan agar strategi yang dirancang dengan
mengaplikasikan beberapa pendekatan didik hibur mampu memberi semangat dan dimensi
baru kepada minat dan sikap murid-murid Orang Asli terhadap subjek Bahasa Melayu
khususnya dan terhadap bidang pelajaran amnya. Sesungguhnya usaha murni ini diharap
dapat mengubah senario amalan pedagogi Bahasa Melayu ke arah yang lebih mantap,
kemas dan tersusun dalam usaha mengubah nasib masyarakat Orang Asli ke arah yang
lebih cemerlang.

Hasrat kerajaan memperkenalkan pendekatan seni bahasa dan didik hibur di sekolah
rendah semata-mata untuk merealisasikan hasrat transformasi P&P dalam bilik darjah.
Pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses P&P lebih interaktif
serta berpusatkan murid. Oleh itu, pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan
difahami oleh murid. Rumusannya, seni bahasa dan didik hibur merupakan satu
pendekatan dalam proses P&P yang bersifat santai tetapi terkawal dengan memberikan
penekanan dan cara pelaksanaannya terhadap empat komponen bahasa dan sastera, iaitu
nyanyian, bercerita, lakonan dan berpuisi. Oleh itu, keseronokan murid secara total dalam
mempelajari Bahasa Melayu akan dapat direalisasikan secara terancang, bersistematik dan
menyenangkan.

Pernyataan Masalah
Menurut Ramlah Jantan (2002) dalam kajiannya mendapati sistem pendidikan yang
bergantung sepenuhnya kepada guru, papan hitam dan buku teks dirasakan kurang sesuai
digunakan dalam sistem pendidikan moden kini. Kaedah penyampaian berbentuk satu hala
dan tidak berpusatkan murid ini telah menghalang murid untuk mengembangkan prestasi
pembelajaran masing-masing dengan cara, teknik serta gaya pembelajaran mereka
tersendiri. Majlis Peperiksaan Malaysia (1992) melaporkan bahawa antara faktor yang
mempengaruhi pencapaian akademik murid ialah kaedah pengajaran yang dipraktikkan
oleh guru dalam bilik darjah kurang berkesan.

Kelemahan ini boleh diatasi dengan melakukan perubahan dalam sistem pendidikan iaitu
memperkenalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang berpusatkan murid.
Dalam kaedah ini, murid sentiasa didorong untuk mengambil bahagian dalam aktiviti-
aktiviti pembelajaran. Lantaran itu, pembelajaran akan menjadi lebih bermakna dan
menyeronokkan.

Penumpuan memperkasakan Bahasa Melayu dalam program Memartabatkan Bahasa


Malaysia dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) turut menekan pelaksanaan
transformasi kurikulum di sekolah rendah dan menengah yang memberikan fokus kepada
penguasaan asas kemahiran berbahasa dalam kalangan murid melalui pendekatan modular
yang bersepadu, seimbang dan holistik merangkumi aspek kemahiran mendengar, bertutur,
79
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

membaca dan menulis serta penguasaan tatabahasa dan seni bahasa. Bagi merealisasikan
hasrat transformasi berkenaan, Kementerian Pendidikan Malaysia berhasrat
memperkenalkan pendekatan seni bahasa, didik hibur yang menimbulkan kesedaran
kepada apresiasi bahasa dan sastera di sekolah rendah. Kaedah pengajaran bagi mata
pelajaran Bahasa Melayu ini akhirnya dilihat akan lebih interaktif supaya PdP mata
pelajaran Bahasa Melayu akan lebih mudah dihayati dan difahami.

Sehubungan dengan itu pengkaji cuba membantu pihak KPM, JPN, PPD dan khususnya
sekolah agar menjadikan pendekatan didik hibur sebagai salah satu cara menarik minat
murid Orang Asli belajar dengan seronok dalam bilik darjah.

Objektif Kajian
Kajian ini mengemukakan tiga objektif seperti berikut:
1. Untuk mengenal pasti reaksi murid Orang Asli terhadap mata pelajaran Bahasa
Melayu yang menerapkan pendekatan didik hibur.
2. Untuk mengenal pasti penglibatan murid Orang Asli dalam setiap aktiviti
pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu yang mengaplikasikan pendekatan
didik hibur.
3. Untuk mengenal pasti implikasi pengajaran dan pembelajaran guru Bahasa Melayu
menggunakan pendekatan didik hibur terhadap motivasi diri untuk datang ke
sekolah dalam kalangan murid Orang Asli.

Persoalan Kajian
Kajian ini mengemukakan 3 persoalan seperti berikut:
i. Sejauhmanakah reaksi murid Orang Asli terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu
yang menerapkan pendekatan didik hibur.
ii. Sejauhmanakah penglibatan murid Orang Asli dalam setiap aktiviti pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur.
iii. Sejauhmanakah implikasi pengajaran dan pembelajaran guru Bahasa Melayu
menggunakan pendekatan didik hibur terhadap motivasi diri untuk datang ke
sekolah dalam kalangan murid Orang Asli.

Rasional Kajian
i. Dapat memberi kesedaran kepada guru tentang keberkesanan penerapan
pendekatan didik hibur dalam usaha mengajar kemahiran berbahasa.
ii. Dapat membantu guru-guru merancang aktiviti menggunakan pendekatan didik
hibur yang kreatif dan inovatif bagi menarik minat murid Orang asli belajar
dengan seronok dalam bilik darjah.
iii. Dapat membantu guru mengetahui dan mengenal pasti masalah-masalah yang
dihadapi oleh murid Orang Asli dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
iv. Dapat membantu guru mengetahui tahap aprisiasi murid Orang Asli sebagai asas
dalam penyediaan perancangan dan pelaksanaan pengajaran Bahasa Melayu
melalui penerapan pendekatan didik hibur.
v. Dapat membantu Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia
dalam usaha merangka modul berkesan bagi meningkatkan keberkesanan

80
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid-murid


Orang Asli.

Definisi Operasi

Untuk menjelaskan lagi gaya operasional yang digunakan dalam kajian ini, beberapa frasa
penting diberi penjelasan untuk mengikis sebarang ketaksamaan yang mungkin timbul
daripada pelbagai istilah yang agak relatif:

Pendekatan
Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju
sesuatu sasaran. Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan juga diertikan sebagi "to
come near to in any sense" atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu. Pendekatan-
pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori atau generalisasi yang tertentu.

Pendekatan Didik Hibur


Didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang
bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi
secara sistematik dan terancang.

Orang Asli
Satu kelompok masyarakat yang menghuni di sesuatu tempat. Biasanya di kawasan
pedalaman yang jauh dari arus pembangunan. Hidup dalam keadaan yang serba sederhana
dan ringkas.Terdapat beberapa jenis suku kaum seperti Jakun, Jahut dan Semelai.

Batasan Kajian

Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang berbentuk tinjauan untuk melihat reaksi murid
Orang Asli dari segi minat dan sikap semasa dan selepas mengikuti set pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur. Oleh itu
populasi kajian ialah murid-murid sekolah Orang Asli yang mengikuti kelaspengajaran dan
pembelajaran Bahasa Melayu di 4 buah sekolah dalam daerah Kinta Utara, Kuala Kangsar
dan Perak Tengah.

Kajian juga dibataskan kepada perkara-perkara berikut:


i. Murid tahap dua yang dijadikan kumpulan sasaran di 4 buah sekolah tersebut.
ii. Kelas dan guru yang telah dipilih sahaja yang akan dibuat pemerhatian dan
pencerapan proses pengajaran dan pembelajaran.
iii. Hanya aplikasi pendekatan didik hibur dalam proses pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu sahaja yang dicerap.
iv. Dua aspek yang dikaji iaitu proses pengajaran guru dan pembelajaran murid.

TINJAUAN LITERATUR

Hassan, Shaharudin dan Aziz (2001) dan Khan (1987) sependapat dalam mendapati anak-
anak Orang Asli tidak berminat untuk hadir ke sekolah disebabkan kesukaran memahami
81
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

pembelajaran, kurang berminat terhadap kerja sekolah dan faktor kegagalan dalam sesuatu
mata pelajaran. Pendapat ini turut dikongsikan oleh Ma’rof dan Sarjit (2008) yang
menjelaskan faktor yang membawa murid Orang Asli kurang kompeten dalam aspek
pengetahuan hingga menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah adalah disebabkan oleh
kesukaran dalam menanam minat dan budaya belajar, kurang motivasi dan semangat untuk
kehadapan dan sukar memahami penyampaian maklumat.

Lazimnya kurang minat belajar akan membawa kesan langsung kepada pencapaian
akademik seseorang pelajar yang dinyatakan sebelum ini. Mengikut Raven(1977) apabila
seorang pelajar tidak minat dalam sesuatu mata pelajaran tertentu dan guru pula tidak
berusaha untuk menarik minat mereka, pelajar-pelajar ini akan kurang bersemangat dan
akan melakukan sesuatu yang terlintas di fikiran mereka. Dan kajian mendapati elemen
muzik dan nyanyian mampu menyelesaikan masalah ini. Muzik adalah sebahagian
daripada alam kehidupan pelajar yang tidak boleh dipisahkan. Tanpa muzik beerti dunia
pelajar adalah kosong (Zulkifli bin Yaakob,2007) Selain daripada itu, muzik juga
merupakan satu budaya kepada masyarakat. Pelajar sentiasa memberi respon kepada muzik
dan akan merasa senang hati apabila dapat melahirkan ekspresi diri apabila mendengar
muzik. Asas muzik iaitu irama dan ton juga terdapat dalam amalan dan interaksi harian.
Sifat cenderung kepada muzik yang sedia ada pada pelajar mempunyai peranan tertentu
dalam proses perkembangan diri dari segi kualiti diri dan sahsiahnya (Zulkifli
Yaakob,2007).

Shaari, Yusoff, Ghazali dan Dali (2011) dalam kajian mereka mendapati sebab dan alasan
mengapa murid Orang Asli tidak menguasai pelajaran yang diajar oleh guru disebabkan
mereka mudah lupa. Hal ini disebabkan daya ingatan mereka yang rendah. Menurut Shaari
et.al (2011) juga,menerusi penelitian hasil kajian mereka mendapati kebanyakkan murid
Orang Asli mengalami masalah dalam menguasai 3M iaitu kemahiran membaca, menulis
dan mengira. Walaupun terdapat murid yang boleh membaca tetapi bukan semua mereka
yang memahami makna ayat yang dibaca. Masalah penguasaan 3M ini akan mendatangkan
masalah penguasaan ilmu pada peringkat yang selanjutnya. Perkara ini dikongsikan oleh
Dawi (2002) yang mendapati kegagalan murid khasnya murid luar bandar sewaktu UPSR
adalah berpunca daripada kelemahan mereka menguasai kemahiran 3M pada peringkat
awal persekolahan. Selain itu, penguasaan kemahiran 3M yang lemah juga akan
menyebabkan murid-murid Orang Asli ini sukar menguasai mata pelajaran yang
memerlukan penyelesaian masalah.

Daya penaakulan yang lemah ini adalah disebabkan mereka tidak berusaha untuk
memahami sesuatu ilmu yang dipelajari (Shaari et.al , 2011). Murid-murid Orang Asli juga
didapati mudah berasa bosan dan jemu dengan aktiviti pembelajaran. Menurut Ahmad &
Mohd Jelas (2009) menerusi pengalaman program mentor mantee bersama murid-murid
Orang Asli di sekitar kawasan Selangor mendapati mereka mudah berasa bosan dan hanya
boleh memberi tumpuan selama 15 minit sahaja. Namun begitu, jika aktiviti pembelajaran
dijalankan di kawasan terbuka seperti di tepi sungai atau di bawah pokok, mereka dapat
memberi tumpuan selama 30 minit. Ini mungkin disebabkan sifat semulajadi mereka yang
dekat dan cintakan alam sekitar. Hasil dapatan ini adalah seiring dengan penyataan Ma’rof
dan Sarjit (2008) yang menyatakan anak-anak Orang Asli menyukai pendidikan yang tidak
formal khasnya yang menawarkan kebebasan dengan melakukan aktiviti yang lebih
mencabar dengan alam sekeliling. Bagi murid Orang Asli hutan begitu penting dalam
82
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

kehidupan mereka.

Menurut Abdullah Hassan (1980) menjelaskan, mengajar bahasa kedua kepada pelajar
bukan penutur jati memerlukan perhatian yang lebih teliti: dirancang dan dilaksanakan
secara semula jadi dan tidak terlalu formal. Oleh itu dalam pengajaran, guru sewajarnya
menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik, yang bersesuaian dalam menyampaikan
pengajaran.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif. Metode kajian menggunakan temubual,


pemerhatian dan analisis dokumen. Temubual dijalankan dengan guru dan murid Orang
Asli. Temubual dilakukan dengan secara bersemuka selama satu jam. Temubual itu
dirakamkan dan ditranskripsikan. Temubual berbentuk semi struktur berdasarkan tema
pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: tinjauan
terhadap sikap dan minat murid Orang Asli di negeri Perak.Pemerhatian dijalankan dalam
bilik darjah berdasarkan senarai semak iaitu interaksi guru dengan murid dari aspek
pengajaran dan pembelajaran. Analisis dokumen dijalankan dengan melihat portfolio
responden, program yang dijalankan serta buku latihan murid.

Analisis Data
Analisis data tertumpu kepada tiga aspek yang merupakan angkubah signifikan bagi
melihat reaksi murid terhadap pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan
pendekatan didik hibur. Tiga aspek tersebut adalah:
1. Minat belajar mata pelajaran Bahasa Melayu
2. Penglibatan murid-murid untuk mengikuti aktiviti yang dirancang oleh guru
3. Motivasi diri murid untuk datang ke sekolah

DAPATAN KAJIAN

Analisis data terhadap pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa
Melayu terhadap sikap dan minat murid Orang Asli di negeri Perak dilakukan dan
beberapa penemuan dihuraikan seperti berikut;

1. Minat belajar mata pelajaran Bahasa Melaysia berasaskan pendekatan didik


hibur.
Responden kajian iaitu beberapa orang Guru Bahasa Melayu tahun 4 antaranya Cikgu Jo
(GBM1), Cikgu Gayah (GBM2), Cikgu Zah (GBM3), Cikgu Sila (GBM4), Cikgu Azman
(GBM5), Cikgu Zaini (GBM6), Cikgu Khairo (GBM7) dan Cikgu Bah (GBM8).Nama
guru-guru yang digunakan bukan nama sebenar untuk memelihara kerahsian kajian.
Salah seorang guru Bahasa Melayu tahun 4 menyatakan;

Jika dibanding antara pendekatan biasa yang digunakan dengan pendekatan


didik hibur, amat ketara perbezaannya. Kalau pendekatan tradisional digunakan,
murid biasanya beri tumpuan sepuluh minit awal, selepas itu mereka sudah
hilang fokus. Kami terpaksa menjerit untuk mendapat perhatian mereka. Berbeza
dengan menggunakan pendekatan didik hibur, murid beri fokus dan kerjasama
83
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

dari awal hingga akhir. Kelas nampak ceria, nampak pemusatan murid berlaku.
Murid aktif dan nampak ceria. (Temu bual 1_ GBM1)

Seorang responden yang berpengalaman mengajar Bahasa Melayu menjelaskan;


Pengalaman saya yang tak dapat saya lupa semasa menyanyikan lagu bagi
mengingat "hari dalam seminggu", bagi murid tahun 1. Didapati hampir 80%
boleh mengingati nama hari selepas proses pengajaran dan pembelajaran kelas.
(Temu bual 2_GBM2)

Begitu juga bagi guru Bahasa Melayu tahun 4 (GBM5) menceritakan perasaan-perasaan
yang muncul kalangan muridnya apabila beliau mengajar menggunakan pendekatan didik
hibur.

Rasa gembira dan seronok apabila murid-murid beri lebih tumpuan terhadap
PdP. (Temu bual 3_ GBM3)

Seterusnya seorang guru Bahasa Melayu tahun 4, sekolah yang berbeza menyatakan:

Pendekatan didik hibur ini bagi saya adalah satu pendekatan yang amat baik.
Murid-murid seronok mengikuti perkembangan pengajaran dan pembelajaran
yang mengandungi aktiviti nyanyian dan permainan bahasa. Penglibatan murid
begitu memberangsangkan terutama apabila aktiviti nyanyian dijalankan. Murid
Asli dapat nyanyi memang seronok. (Temu bual 4_ GBM5)

2. Penglibatan murid-murid mengikuti aktiviti didik hibur yang dirancang oleh guru.

Pengkaji mendapati selepas pengajaran dan pembelajaran menggunakan pendekatan didik


hibur, murid menunjukkan perlakuan positif, di mana mereka begitu aktif dan memberi
kerjasama yang baik terhadap pengajaran guru.

Murid-murid menunjukkan riak muka yang ceria dan gembira semasa sesi
pengajaran dan pembelajaran berjalan khusus semasa aktiviti nyanyian dan
permainan bahasa. Murid yang pasif dan pemalu juga turut bersama melakukan
aktiviti khususnya permainan bahasa. Keadaan ini sedikit sebanyak
mencerminkan perasaan dalamannya yang cukup seronok dan gembira mengkuti
kelas tersebut. (Temu bual 5_GBM6)

Begitu juga semasa aktiviti pada induksi set dan penutup semasa aktiviti
menyanyi, semua murid memberi komitmen menyanyi lagu tersebut dengan penuh
semangat. Ada juga murid yang tidak faham lirik yang diberi tetapi ikut serta
menyanyi. Ini melucukan tetapi yang penting penglibatan mereka. (Temu bual 6_
GBM4)

Seorang responden turut memberi maklumat bahawa apabila aktiviti didik hibur
dijalankan, murid memberi respon seperti di bawah.

Apabila aktiviti didik hibur terutamanya semasa aktiviti menyanyi semua murid
sama ada yang pemalu atau yang pasif sama-sama turut menyanyi bersama. Saya
84
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

juga turut kelakar tengok gelagat mereka kerana sebelum ini mereka yang pasif
suka termenung dan buat hal sendiri. (Temu bual 7_ GBM7)

Begitu juga bagi seorang responden bersetuju menyatakan murid memberi kerjasama yang
baik kepada guru sekira aktiviti didik hibur dijalankan.

Semasa aktiviti lakonan menjual buah-buahan sambil menyanyi, murid-murid


sangat gembira dan seronok menyanyi lagu tersebut. Mereka menyanyi mengikut
lirik yang diberi mengikut tempo lagu "Rasa Sayang Ye". (Temu bual8_-GBM8)

Seorang responden turut memberitahu bahawa semasa aktiviti lakonan dan nyayian, apabila
diminta beberapa orang murid tampil ke depan, mereka memberi kerjasama.

Begitu juga semasa aktiviti lakonan antara penjual buah-buahan dengan


pembeli, apabila guru meminta beberapa orang murid tampil ke depan, mereka
berani ke depan. Mungkin aktiviti tersebut mereka suka kerana ada aktiviti
lakonan mudah dan nyanyian. (Temu bual 9_ GBM2)

3.Motivasi diri murid orang Asli hadir ke sekolah kesan daripada pengajaran
menggunakan pendekatan didik hibur.

Apabila pengajaran Bahasa Melayu banyak menggunakan pendekatan didik hibur, respon
guru menunjukkan murid sudah mula kurang ponteng.

Kami dapati bahawa unsur-unsur hiburan, keseronokan dan peluang turut serta
dalam setiap aktiviti yang berunsurkan didik hibur sememangnya memberi
pengaruh besar kepada minat murid-murid Orang Asli untuk datang ke
sekolah.(Temu bual 10_GBM3)

Kalau dulu mereka sering ponteng tetapi apabila pendekatan pengajaran diubah
kepada lebih banyak pendekatan didik hibur, mereka sudah sering ke sekolah
kerana seronok mengikuti proses pengajaran tersebut. Murid-murid menunjukkan
riak muka yang ceria dan gembira semasa sesi pengajaran dan pembelajaran
berjalan. (Temu bual 11_GBM5)

Minat mereka akan lebih mendalam dan akan menimbulkan rasa tertunggu-
tunggu untuk mempelajari Bahasa Melayu. (Temu bual 12_ GBM2)

Begitu juga beberapa orang responden turut memberi maklumat baru sikap murid yang
sebelum ini sering tidak hadir ke sekolah. Apabila aktiviti yang melibatkan hiburan seperti
aktiviti nyanyian dan permainan bahasa diadakan ianya menjadi salah satu mekanisma
yang boleh menarik minat murid ke sekolah

Apabila mereka sudah menunjukkan minat terhadap pengajaran guru yang


banyak mengandungi aktiviti didik hibur seperti menyanyi, main peranan dan
permainan bahasa, nampak mereka sudah mula kurang ponteng sekolah. Yang
pasifpun nampak ceria dan bersemangat. (Temu bual 13_ GBM3)
85
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Murid Orang Asli amat meminati hiburan, terutamanya nyanyian, mereka akan
gembira dan seronok jika mereka disuruh menyanyi. Yang pemalu sebelum ini
turut sama menyanyi. Dengan cara ini saya merasakan bahawa aktiviti didik
hibur adalah satu cara untuk menarik minat murid ke sekolah. (Temu bual 14_
GBM8)

Hasil Pemerhatian
Pemerhatian merupakan satu teknik pengutipan data dengan memerhati tingkah laku
subjek kajian secara langsung. Penyelidik membuat andaian bahawa program yang
berkesan dengan rancangan yang teliti terutama pengajaran menggunakan pendekatan
didik hibur dapat menarik minat murid untuk hadir ke sekolah.

Jadual 1
Nota Data daripada Pemerhatian

Items Nota Pemerhatian


Memerhati murid SK Suak Padi di daerah Murid seronok dan ceria mengikuti
Perak Tengah - (Tahun 4) buat ketika pengajaran menggunakan pendekatan
guru sedang mengajar. didik hibur oleh guru.
Murid yang sebelum ini pemalu dan
kurang aktif nampak aktif apabila guru
menggunakan pengajaran pendekatan
didik hibur.
Murid banyak bergerak dan aktif
semasa pengajaran guru berlangsung
tetapi terkawal.

Memerhati murid SK. Pos Raya di daerah Murid sangat suka akan pengajaran
Kinta Utara - (Tahun 4) buat ketika guru yang ada nyanyian dan permainan
sedang mengajar. bahasa seperti "Kotak Beracun".
Murid memberi respon dan maklum
balas dalam pengajaran dan
pembelajaran menggunakan pendekatan
didik hibur.
Murid begitu aktif dan riang semasa
pengajaran guru apabila menggunakan
pendekatan didik hibur.
Memerhati murid SK. Kampung Kenang Murid sangat berminat terhadap
di daerah Kuala Kangsar - (Tahun 4) pengajaran guru menggunaka
buat ketika guru sedang mengajar. pendekatan didik hibur terutamanya
bahagian nyanyian.
Nampak kecenderungan positif terhadap
pengajaran guru menggunakan
pendekatan didik hibur apabila murid
mengangkat tangan untuk menjawab
soalan guru.
Memerhati murid SK. Chenein di daerah Murid nampak ceria dan berminat
86
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Kuala Kangsar - (Tahun 4) buat ketika mengikuti pengajaran guru


guru sedang mengajar. menggunakan pendekatan didik hibur.
Murid sudah mula berani tampil ke
hadapan kelas apabila guru mengarah
mereka ke depan untuk mengambil
bahagian dalam permainan bahasa.

Berdasarkan Jadual 1 di atas, lapan orang murid merupakan sampel yang diperhatikan.
Melalui temubual murid-murid SK. Suak Padi, SK Pos Raya, SK. Kampung Kenang dan
SK. Chenein samada mereka suka mengikuti pengajaran guru. Kelapan-lapan murid ini
menjawab “suka dan seronok”. Sehubungan dengan itu, guru perlu perbanyakkan
menggunakan pendekatan didik hibur dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH) supaya
murid seronok dan ceria mengikuti pengajaran guru.

RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Secara keseluruhannya, dapatan kajian menunjukkan bahawa murid-murid orang Asli


begitu seronok dan berminat untuk mengikuti kelas mata pelajaran Bahasa Melayu, yang
diajar oleh guru yang menggunakan pendekatan didik hibur. Pemerhatian oleh pengkaji
juga mendapati bahawa murid-murid telah mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran
yang berlangsung selama satu jam, dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Segala arahan
dan permintaan guru, dipatuhi dan dilakukan dengan baik. Riak muka mereka begitu ceria
dan situasi bilik darjah begitu ‘hidup’.

Tambahan pula dengan perancangan yang rapi dan persediaan yang baik dibuat oleh guru,
sudah tentu hasilnya tentu membanggakan. Murid seronok belajar, manakala guru seronok
mengajar. Menurut aliran pendekatan teori tingkahlaku yang dipelopori oleh tokoh-tokoh
seperti Pavlov, Thorndike, Watson dan Skinner (Slavin, R.E 1997) telah membuktikan
bahawa pembelajaran yang dilakukan dengan adanya kesediaan dalaman sudah pasti akan
menghasilkan pembelajaran positif. Thorndike, misalkan melalui teorinya yang berkait
rapat dengan konsep Hukum Kesediaan, Hukum Kesan dan Hukum Latihan, berpendapat
bahawa pembelajaran akan menjadi lebih sempurna sekiranya dilaksanakan dalam bentuk
yang menyeronokkan. Seandainya dapat dilaksanakan dalam bilik darjah sudah pasti akan
memberi impak yang positif dalam pengajaran dan pembelajaran (Roblyer, M.D, et al.
(1977).

Faktor kedua adalah minat murid-murid Orang Asli terhadap mata pelajaran Bahasa
Melayu yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur, juga disebabkan oleh mereka diberi
ruang dan peluang untuk turut serta dalam setiap aktiviti yang dirancang oleh guru.
Lumrah kehidupan sebenar masyarakat orang asli yang lasak dan sentiasa bergerak untuk
survivalnya nampak lebih sinonim dengan aktiviti yang disediakan melalui pendekatan
didik hibur. Sebagai contohnya, melalui aktiviti main peranan, murid diminta tampil ke
hadapan, bergerak dan bertindak sebagaimana yang diarahkan, sudah tentu akan
menghilangkan rasa bosan dan mengantuk.

Dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa setelah diserapkan pendekatan didik hibur
dalam pengajaran dan pembelajaran, bilangan murid Orang Asli yang bersedia untuk
87
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

memberikan kerjasama kepada guru dalam setiap aktiviti makin bertambah. Melalui
pemerhatian pengkaji, murid Orang Asli begitu ghairah mengangkat tangan dan
menawarkan diri, untuk turut serta dalam setiap aktiviti. Pemerhatian pengkaji juga
mendapati, situasi ini memberi sedikit cabaran kepada guru dalam pengurusan bilik darjah.
Namun guru tetap ceria.

Fenomena ini agak luar biasa dan jarang berlaku. Sebagaimana yang kita ketahui
masyarakat Orang Asli begitu pasif dan sangat menebal rasa rendah dirinya. Anak-anak
murid orang Asli amat sukar untuk memberi kerjasama jika dia tidak berminat terhadap
sesuatu perkara. Faktor inilah merupakan salah satu tabiat negatif yang menyumbang
kepada kemunduran masyarakat orang Asli di negara kita.

Namun begitu, pengalaman mengikuti kelas Bahasa Melayu di 4 buah sekolah Orang Asli
yang menjadi subjek kajian, didapati bahawa rata-rata murid orang Asli memberikan
respon yang baik terhadap aktiviti yang dijalankan oleh guru. Perasaan malu, segan dan
rendah diri ternyata berjaya dihindari seketika semasa mengikuti pengajaran dan
pembelajaran yang mengaplikasikan pendekatan didik hibur. Walaupun tempoh
pemerhatian yang singkat iaitu selama 60 minit sahaja, namun dapat diperhatikan dengan
jelas perubahan sikap ini.Sememangya, murid-murid orang Asli yang menjadi subjek
kajian sudah memenuhi matlamat tersebut. Hal ini kerana melalui aktiviti main peranan
yang dijalankan, murid-murid harus melibatkan diri untuk memahami tugas sebenar
mengikut peranan yang diberikan. Seandainya, mereka diberi peranan sebagai tentera
misalnya, maka murid perlu terlebih dahulu memahami tugas sebagai seorang anggota
tentera, mengaitkan dengan pengalaman sedia ada, kemudian menterjemahkan semula
dalam bentuk lakonan dalam bilik darjah.

Masalah ponteng sekolah sudah menjadi sinonim dengan budaya sekolah Orang Asli.
Kedatangan harian ke sekolah begitu mengecewakan. Sememangnya, pihak pengurusan
sekolah telah melakukan berbagai-bagai cara dan ikhtiar untuk mengatasi gejala ini kerana
jika keadaan ini berterusan maka hasrat kerajaan untuk mengatasi masalah murid tercicir,
khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar, akan menemui jalan buntu.

Dapatan kajian ini mendapati bahawa murid Orang Asli berminat untuk datang ke sekolah
jika guru menyediakan set pengajaran dan pembelajaran yang berteraskan didik hibur.
Dapatan kajian menunjukkan bahawa hampir semua responden bersetuju dengan
kenyataan ini. Dengan bahasa yang lebih mudah dapat dikatakan iaitu, pendekatan didik
hibur yang diaplikasikan dalam pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu berkeupayaan
bagi menarik minat murid-murid orang Asli untuk datang ke sekolah. Fenomena ini
nampaknya memberikan satu dimensi baru dalam usaha mengurangkan masalah keciciran
murid yang menjadi salah satu agenda utama Kementerian Pelajaran Malaysia.

Secara semula jadi, ramai orang gemar kepada hiburan sama ada melalui nyanyian, tarian
dan main peranan. Persembahan yang menghiburkan ini merupakan sebahagian daripada
kehidupan masyarakat, tidak kira rupa paras dan warna kulit. Melalui seni pesembahan
(lagu atau tarian), seseorang itu dapat berhibur, meluahkan perasaan dan menyampaikan
mesej. Begitu juga dengan masyarakat orang Asli. Anak-anak Orang Asli amat meminati
seni persembahan dan seni muzik.

88
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Diharapkan kajian ini dapat diaplikasikan oleh guru Bahasa Melayu dalam usaha
meningkatkan pencapaian murid dalam mata pelajaran Bahasa Melayu khususnya di
kalangan Orang Asli. Kajian ini menunjukkan bahawa minat yang mendalam dan sikap
yang positif terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu boleh meningkatkan kebolehan murid
menguasai kemahiran berbahasa sekali gus dapat meningkatkan pencapaian murid secara
keseluruhannya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Guru juga perlu diberi pendedahan, pengalaman, kefahaman dan pengetahuan yang lebih
luas tentang amalan pembelajaran menyeronokkan. Misalnya, memberi kursus-kursus
mahupun bengkel-bengkel jangka pendek secara berkala untuk memastikan guru-guru
Bahasa Melayu sentiasa dibekalkan dengan pengetahuan dan kemahiran yang berkaitan
dengan kemajuan dalam teknologi pendidikan terkini. Begitu juga, unsur-unsur didik hibur
didatangkan dalam bentuk modul yang lengkap dan aktiviti-aktiviti yang disusun rapi
sebagai panduan kepada guru tentang konsep didik hibur.

Pada kesimpulannya, aktiviti nyanyian dalam didik hibur banyak membantu dalam
pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah murid Orang Asli. Aktiviti sebegini boleh
ditingkatkan lagi dengan memberi pendedahan kepada para guru menguasai komponen
didik hibur terutamanya aktiviti nyanyian. Kepelbagaian kaedah dan teknik guru harus
dipertingkatkan dan ini bersesuaian dengan pendapat Abdullah Hassan (1980) menjelaskan
bahawa mengajar bahasa kedua kepada pelajar bukan penutur jati memerlukan perhatian
yang lebih teliti,dirancang dan dilaksanakan secara semula jadi dan tidak terlalu formal.
Oleh itu, pengajaran guru sewajarnya menggunakan pendekatan, kaedah dan teknik yang
bersesuaian dalam menyampaikan pengajaran.

RUJUKAN

Abdullah Hassan (1980). Linguistik Am untuk Guru Bahasa Malaysia. Petaling Jaya: Fajar
Bakti Sdn. Bhd.

Ahmad,Abdul Razaq & Mohd Jelas, Zalizan. (2009).Masyarakat Orang Asli. Perspektif
Pendidikan dan Sosiobudaya. Bangi:UKM.
Dawi, Amir Hassan. (2002).Penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak di
peringkat sekolah rendah. Kuala Lumpur: Univerisiti Malaya.
Hassan, M.N., Shaharudin, I. & Sarah Aziz, A.G.A. eds., (2001). Manusia, Alam Sekitar
dan Pembangunan: Bicara Pengalaman Komuniti Orang Asli, Selangor.

Khan, Jamilah. (1987). Perubahan sosial dalam kalangan Orang Asli Temuan di Sungai
Buah. Satu kajian kes. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Majlis Peperiksaan Malaysia, (1992).Laporan Keputusan Peperiksaan 1991. Kuala


Lumpur: Majlis Peperiksaan Malaysia.

Ma’rof, R. & Sarjit S., G. eds.,( 2008). Orang Asli:Isu, Transformasi dan Cabaran,
Selangor: Penerbit Universiti Putra Malaysia.

89
Jurnal Penyelidikan Dedikasi, Jilid 9, 2015

Ramlah Jantan & Mahani Razali (2002). Psikologi Pendidikan–Pendekatan Kontemporari.


Kuala Lumpur : Mc Graw Hill.

Raven, J. (1977). Education, Values, and Society : The Objectives of Education and the
Nature and Development of Competence. London : HK Lewis & Co. Ltd.

Roblyer, M.D., Edwards,J, Harviluk, M.A., (1977). Integrating Educational Technology


into Teaching. New Jersey: Prentice Hall.

Shaari, Abdul Sukor., Yusoff, Nuraini.,Ghazali, Mohd Izam & Dali, Mohd Hasani. (2011).
Kanak- kanak Minoriti Orang Asli di Malaysia: Menggapai Literasi Bahasa
Melayu. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu. Kedah: UUM.

Slavin, R.E (1997). Educatinal Psychology : Theory and Practise. Boston: Allyn Bacon.

Roblyer, M.D., Edwards,J, Harviluk, M.A., (1977).Antegrating Educational


Technologyinto Teaching.New Jersey: Prentice Hall.

Zulkifly bin Yaakob(2007). IPTHO Pendidikan Muzik Prasekolah, Batu Pahat, Johor.

90

You might also like