Mara 1

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 12

MPU 3113 HUBUNGAN ETNIK

ASSIGNMENT 1
ARTIKEL: PERANAN MARA DALAM MEMBANTU EKONOMI BUMIPUTERA

ZAINUL SYAFIQ BIN MOHD AZMI 55220116054


UYUN NOROHMAH BINTI MOHD ALI 55201214249

UNIVERSITI KUALA LUMPUR

SEPTEMBER 2017
Peranan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam
meningkatkan penglibatan kaum Bumiputera dalam
bidang ekonomi.

Uyun Norohmah Mohd Ali Zainul Syafiq Mohd Azmi


Ijazah Kejuruteraan Kimia (Kepujian) Ijazah Kejuruteraan Kimia (Kepujian)
Universiti Kuala Lumpur MICET Universiti Kuala Lumpur MICET
Alor Gajah, Melaka Alor Gajah, Melaka
norohmah@gmail.com zainulsyafiqmohdazmi@gmail.com

Abstrak— Majlis Amanah Rakyat (MARA) merupakan satu badan berkanun di bawah
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang bertanggungjawab melaksanakan
usaha-usaha membangunkan ekonomi golongan bumiputera khususnya masyarakat luar
bandar. Selama lebih lima dekad penubuhan MARA, pelbagai usaha pembangunan
ekonomi telah dilaksanakan merangkumi pembangunan perniagaan, perindustrian,
pelaburan dan pembangunan keusahawanan teknologi. MARA turut membangunkan
modal insan yang berdaya saing melalui pembangunan institusi pendidikan dan bantuan
pengajian. Artikel ini akan membincangkan usaha-usaha MARA sejak penubuhannya pada
tahun 1966 dalam mencapai visi dan misi penubuhan MARA. Perbincangan dimulakan
dengan sejarah ringkas penubuhan MARA dan tanggungjawab yang diamanahkan
mengikut peruntukan Undang-Undang MARA. Seterusnya, artikel ini akan mengariskan
usaha-usaha yang telah diambil oleh MARA merangkumi pembangunan perniagaan,
program perintisan industry dan pelaburan. Turut dibincangkan ialah program-program
berterusan MARA sebagai pemudahcara bagi pengusaha-pengusaha dan juga program
pendidikan yang dibangunkan oleh MARA. Hasil daripada perbincangan, dapat
disimpulkan bahawa MARA memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan
ekonomi golongan Bumiputera selaras dengan tujuan penubuhannya untuk meningkatkan
penguasaan ekonomi golongan ini seperti yang diaspirasikan oleh bekas Perdana Menteri
kedua Malaysia, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Kata kunci—peranan; MARA; bumiputera; ekonomi

1
1. PENDAHULUAN
Majlis Amanah Rakyat (MARA) ditubuhkan pada 1 Mac 1966 ekoran daripada
resolusi-resolusi yang dikemukakan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera pada 1965.
MARA merupakan satu agensi yang ditubuhkan di bawah Undang-Undang Majlis Amanah
Rakyat (MARA) dan diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan dan Koperasi pada
ketika itu. Penubuhan MARA dianggap sebagai satu usaha yang amat penting dan besar
bagi mencapai hasrat supaya Bumiputera dapat mengambil bahagian yang lebih baik dalam
bidang ekonomi seterusnya negara dapat mencapai kejayaan dan kemakmuran seperti yang
dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul
Razak bin Dato‟ Hussein dalam ucapannya ketika Kongres Ekonomi Bumiputera.

“.....langkah kita mengadakan Kongres Ekonomi Bumiputera ini bolehlah dibandingkan


sama dengan langkah kerajaan Amerika Syarikat melancarkan angkasawan-
angkasawannya ke angkasa lepas. Kerajaan dan kongres ini telah melancarkan
angkasawannya ke angkasa lepas ekonomi supaya dapat Bumiputera mengambil bahagian
yang lebih sempurna, lebih penting dan akhirnya mendapat kejayaan dan kemakmuran
yang kita kehendaki. Kita telah lancarkan bukannya GEMINI, bahkan MARA ke angkasa
lepas dengan penuh harapan bahawa kapal angkasa lepas kita ini dapat membawa kita
kepada kesenangan dan kemakmuran” - Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato‟
Hussein, 7 Jun 1965.

Secara amnya, MARA berperanan membantu meningkatkan tahap ekonomi orang-


orang Melayu dan Bumiputera. Serentak dengan penubuhan MARA, kerajaan melancarkan
Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). MARA berfungsi menggantikan RIDA yang
sebelum ini ditubuhkan pada tahun 1956 di bawah Undang-Undang Lembaga Kemajuan
Kampung dan Perusahaan (RIDA). Namun begitu, unsur-unsur penting dalam undang-
undang RIDA telah dimasukkan ke dalam undang-undang baru yang menggantikannya
iaitu undang-undang MARA yang diluluskan oleh Parlimen pada Disember 1965. Oleh itu
MARA secara rasminya menggantikan dan mengambil-alih peranan RIDA dengan
penambahbaikan terhadap fungsi agensi tersebut.

2
Antara tanggungjawab MARA seperti yang tercatat dalam Sekyen 6 undang-undang
MARA adalah:
1. Memaju, menggalak dan menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan
dalam persekutuan khususnya kawasan-kawasan luar bandar.
2. Menjalankan segala usaha khususnya pembangunan usaha-usaha perdagangan dan
perusahaan serta pemasaran barang-barang keluaran.
3. Menjalankan penyelidikan dan latihan.
4. Memajukan usaha-usaha di atas dengan bantuan modal, memberi pinjaman dan lain-
lain.

Tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan terhadap MARA adalah amat penting untuk


pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan khususnya kelompok Bumiputera. Bagi
melicinkan lagi operasi MARA, agensi tersebut diletakkan di bawah Kementerian
Pembangunan Negara dan Luar Bandar dengan objektif utama untuk menambah penyertaan
Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf
ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Usaha ini
dilaksanakan dengan menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera dalam
kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah pembentukan masyarakat Bumiputera yang
berjaya.

2. PERANAN MARA

A. Visi, Misi dan Objektif MARA


Bagi merealisasikan visi MARA untuk menjadi organisasi amanah yang unggul dan
diberkati untuk mengangkat martabat bangsa, MARA meletakkan penguasaan ekuiti
Bumiputera melalui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan sebagai misi yang
perlu dicapai. Misi ini menjadi asas kepada objektif-objektif MARA iaitu membangunkan
usahawan berjaya dan inovatif, melahirkan modal insan global dan berintegriti,
menyumbang kepada pemilikan ekuiti dan memudahkan sistem penyampaian. MARA turut
meletakkan keusahawanan dan pendidikan global sebagai moto badan tersebut untuk
menunjukkan lagi komitmen MARA dalam meningkatkan taraf ekonomi Bumiputera.

3
B. Projek-projek pembangunan ekonomi bumiputera
Sejak awal penubuhan MARA lagi, pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi mencapai
tujuan penubuhan MARA. Dalam sektor Keusahawanan, Kenderaan Bas MARA (KBM)
telah ditubuhkan seawal tahun 1961 iaitu ketika agensi RIDA dipertanggungjawabkan
membangun sosioekonomi masyarakat bumiputera. KBM bersifat perkhidmatan sosial
yang menhubungkan kawasan luar bandar dan pusat pertumbuhan baru dengan pusat-pusat
bandar. Program tersebut turut bermatlamatkan penswastaan untuk diambilalih oleh
usahawan Bumiputera. Beberapa syarikat perniagaan lain turut ditubuhkan dengan
matlamat yang sama seperti Kayu Sedia, Pamagrima, Usmeta dan MARA Holdings.

Selain daripada penswastaan syarikat-syarikat di bawah MARA kepada golongan


Bumiputera, MARA turut menyediakan pelbagai insentif bagi membudayakan
keusahawanan, melatih dan melahirkan golongan usahawan yang berkualiti dari kalangan
kelompok Bumiputera. Sejak tahun 1966 sehingga 1990 sahaja, MARA telah menyediakan
dana bantuan berupa pinjaman kewangan sebanyak RM600 juta kepada 108 000 pengusaha
industri kecil dan sederhana untuk tujuan membangunkan perusahaan tersebut. MARA
turut menyediakan bantuan daripada aspek teknikal, khidmat nasihat, kemudahan
infrastruktur, kemahiran dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan tujuan meningkatkan
bilangan usahawan bumiputera yang berjaya. Penglibatan MARA dalam projek Medan
Perniagaan MARA yang pertama dimulakan di atas tapak Pekan Rabu, Alor Setar, Kedah
pada tahun 1974 dan usaha membantu usahawan melalui penyediaan infrastruktur
diteruskan dengan membina dan menyediakan lebih banyak premis-premis atau ruang niaga
seperti kompleks beli belah, pejabat, arked perniagaan, gerai dan bazar.

MARA turut memfokuskan kepada aktiviti perniagaan dan teknologi perkilangan


seperti yang termaktub dalam Akta MARA. Dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9),
MARA telah mengambil pendekatan “Project Creation-Private Driven” kepada IKS
Bumiputera dengan memberi penekanan kepada MARA sebagai penyelaras dan
pemudahcara. Pendekatan tersebut bertujuan untuk memberi dorongan kepada para
usahawan untuk mengambil sikap lebih bertanggungjawab dalam pengurusan dan
kemajuan industri masing-masing. Dalam RMK-10 pula, MARA bertindak memberi
penekanan kepada program pembangunan usahawan perkhidmatan berteraskan
perkhidmatan vertifikasi dan senggaraan mesin “production line technology”.

4
Sepanjang penubuhannya, MARA terus menerokai dan merintis jalan kepada industri-
industri dan bidang-bidang perusahaan yang pelbagai untuk diceburi oleh para usahawan
Bumiputera. Dalam sektor pelaburan, MARA mengorak langkah pada tahun 1967 dengan
penubuhan Amanah Saham MARA Berhad (ASMB). Pada tahun 1977, Institut
Perdagangan MARA (IPM) ditubuhkan dan usaha perintisan diberikan penekanan pada
tahun 1982 melalui Program Kemudahan dan Perintisan (KPP). MARA Holding
ditubuhkan seawal tahun 1986 dan kemudiannya diambil alih oleh Nadi Corp. Holding Sdn.
Bhd. pada tahun 2000.

MARA merintis jalan kepada industri perabot pada tahun 1994 melalui penubuhan
Furniture Industry Technology Centre Sdn. Bhd. (FITEC). Pada tahun berikutnya, MARA
turut menyediakan pembiayaan Perniagaan berkonsepkan Islam dan diteruskan dengan
pelancaran Program Usahawan Teknikal (PUTEK) yang bertujuan memberi penekanan
kepada usahawan perkhidmatan. MARA dengan lebih serius membuka jalan kepada sektor
perkilangan melalui Program inkubator Teknologi Perkilangan (INTEP). Bagi
menggalakkan lebih ramai Bumiputera menceburi bidang perniagaan, MARA melancarkan
Lanskap Peruncitan Bumiputera pada tahun 2007 dan MARA Inc. Sdn. Bhd. pada tahun
2008. Pusat Pembangunan Reka Bentuk Malaysia Sdn. Bhd. (DDEC) dan Glocal Link (M)
Sdn. Bhd. membuktikan usaha berterusan MARA dalam membuka peluang-peluang
perniagaan dan industri-industri yang pelbagai untuk diceburi oleh kelompok Bumiputera.

Pada tahun 2010, MARA melancarkan Program IBS-Hardware MARA dan


Pembiayaan Skim Jaminan Usahawan MARA (SJUM) bagi menggalakkan lagi penglibatan
Bumiputera dalam bidang perusahaan. MARA mengambil langkah sejajar dengan
Transformasi Ekonomi dan perubahan iklim ekonomi di Malaysia dengan melancarkan
Pelan Strategik MARA 2011-2015 dengan berpandukan dan mendokong falsafah Program
Transformasi Nasional (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) meliputi Model
Ekonomi Baru (NEM) dan Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10). MARA turut
melancarkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SpiKE) dan MARA Excellent Ventures
Sdn. Bhd. (MEX). Dalam sector pelaburan, MARA meningkatkan lagi usaha melalui
Pelancaran Pelaburan MARA Berhad dan Unit Integriti. Pewujudan Unit Penyelidikan dan
Inovasi menunjukkan komitmen MARA dalam meneroka industri-industri dan peluang
baru serta menambahbaik industri sedia ada supaya lebih berdaya saing dan maju.

5
MARA Liner Sdn. Bhd. (dahulunya KBM) dikorporatkan pada tahun 2013 dan pada
tahun yang sama, MARA menubuhkan Rural Capital Sdn. Bhd. MARA Corporation Sdn.
Bhd. ditubuhkan pada tahun berikutnya seiring pelancaran Asia Aerospace City (AAC) dan
pelancaran MARAtv, dua lagi usaha MARA dalam merintis jalan kepada pelbagai bidang
perusahaan. PMB Tijari turut dilancarkan sebagai satu lagi produk pelaburan oleh MARA.
Seterusnya, MARA melancarkan MARA Digital yang pertama di Menaraa MARA, Kuala
Lumpur, satu lagi usaha meningkatkan kemajuan kelompok Bumiputera.

C. Program berterusan MARA


MARA turut menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan berterusan untuk membantu
usahawan Bumiputera melalui beberapa program yang dilancarkan. Program Pembangunan
Teknousahawan bertujuan untuk menggalakkan penglibatan dalam bidang keusahawanan
yang mengaplikasi dan menggunakan kepakaran teknologi dalam pengeluaran produk,
perkhidmatan, pengurusan perniagaan dan membuat keputusan berkaitan perniagaan.
Objektif utama Program Teknousahawan adalah ke arah peningkatan dan pengukuhan
teknousahawan sebagai peneraju atau pemain industri yang mampu menjadi penyumbang
utama kepada Keluaran Domestik Kasar (GDP) negara oleh PKS Bumiputera. Program ini
dilaksanakan melalui kerjasama Rakan Pintar Teknologi antara MARA dengan pihak
Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), Agensi & Badan Kerajaan
Penyedia Teknologi atau Sektor Swasta yang mempunyai kepakaran berasaskan
penyelidikan dan teknologi strategik. Strategi dalam program ini adalah dengan
mempertingkatkan kapasiti dan kapabiliti usahawan melalui pendekatan akademik,
teknologi, teknikal, generik dan keusahawanan. Program ini turut merangkaikan
teknousahawan dengan industri melalui pemadanan perniagaan, penyesuaian teknologi dan
kerjasama strategik dengan peneraju industri. Selain itu, Program Teknousahawan
membantu melengkapkan persediaan teknousahawan untuk memasuki pasaran melalui
skim kemudahan MARA seperti Pembiayaan Perniagaan, Penyewaan Infrastruktur
Perniagaan, Skim Sokongan Berpakej Industri & Perniagaan, Rundingcara Perniagaan dan
Pembangunan Pemasaran. Kejayaan program ini diukur melalui prestasi pencapaian Indeks
Petunjuk Prestasi (KPI) melalui pertambahan saiz modal, jualan dan bilangan pekerja
mengikut takrifan PKS yang telah ditetapkan oleh Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil
dan Sederhana (NSDC).

6
Program Pembangunan Pemasaran pula adalah satu usaha MARA membantu para
pengusaha yang masih baru dalam industri pembuatan dan pengeluaran dan tidak dapat
bersaing dengan kompetitif di pasaran terbuka. Program ini diperkenalkan bagi membantu
memperkenal dan mempertingkatkan permintaan ke atas produk-produk keluaran
Bumiputera ini melalui pelbagai aktiviti. Objektif keseluruhan program ini adalah bagi
membantu usahawan bumiputera yang terlibat dalam pengeluaran pelbagai jenis produk
untuk meneroka serta merebut peluang pasaran, melebarkan saiz pasaran sedia ada dan
meningkatkan daya saing dalam pasaran terbuka. Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah
karnival jualan, Insentif Promosi dan Ekspo, Insentif Lawatan Perniagaan Dalam Negara,
Insentif Promosi Hypermarket, Insentif Kajian Pasaran, Insentif Pelancaran Produk Baru
dalam Pasaran, Insentif Pembungkusan, Pelabelan, Pengiklanan dan Window Dressing,
Pembungkusan dan Pelabelan, Pengiklanan & Window Dressing.

Program Skim Khidmat Nasihat Perniagaan pula merupakan satu kemudahan yang
disediakan bagi membantu menyelesaikan masalah atau meningkatkan prestasi dan
produktiviti usahawan/syarikat melalui khidmat nasihat yang berkualiti dan berkesan yang
dikendalikan oleh panel pemudahcara MARA. Ia bertindak sebagai satu pusat setempat
(„one-stop centre‟) yang mempunyai kemahiran pelbagai dalam bidang khidmat nasihat
untuk ditawarkan kepada usahawan bumiputera. Skim ini ditumpukan kepada perniagaan
persendirian/perkongsian atau syarikat Sendirian Berhad/Berhad atau koperasi bumiputera
yang sedang beroperasi. Skim ini bertujuan untuk:

a) Meningkatkan prestasi dan produktiviti usahawan/syarikat melalui khidmat nasihat dan


perundingan yang berkualiti dan berkesan.

b) Sebagai kemudahan sokongan khidmat tenaga professional dan satu cara pemusatan
aktiviti kepada perunding-perunding yang menjalankan khidmat bimbingan.

c) Membolehkan usahawan mendapat khidmat kepakaran dalam aspek-aspek yang boleh


membantu meningkatkan dan menjayakan perusahaan yang dijalankan.

7
Aktiviti-aktiviti dibawah skim ini antaranya ialah diagnostik perniagaan, Pengurusan
dan Pembangunan, ICT/Perakaunan berkomputer, Pembangunan Konsep, Pemasaran,
Business coaching, Mesin dan Pengeluaran, Good Manufacturing Process (GMP), Hazard
Analysis Control of Critical Points (HACCP), Pembangunan Halal, International Standard
Organisation (ISO), Pensijilan dan Analisa Pelabelan Makanan (“Nutritional Fact”).

Program Latihan Keusahawanan yang disediakan oleh MARA menyediakan pakej


untuk Bumiputera memperlengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan
ciri‐ciri keusahawanan untuk menjadi usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing.
Program‐program di bawah latihan keusahawanan meliputi kursus, latihan, seminar,
bengkel bagi input pendedahan, pengetahuan dan kemahiran di tahap pembudayaan
keusahawanan, pewujudan usahawan serta peningkatan dan pengukuhan yang dianjurkan
oleh Bahagian Pembangunan Usahawan dan PUSMA Negeri serta dengan kerjasama
agensi‐agensi kerajaan, swasta dan badan‐badan bukan kerajaan (NGO). Objektif program
ini adalah untuk mengenalpasti bakat dan potensi peserta untuk menjadi usahawan berjaya
di samping peserta dapat mengemukakan rancangan tindakan untuk memulakan projek,
perniagaan atau perusahaan. Selain itu, program ini turut menerapkan etika perniagaan yang
progresif serta sikap positif bagi membolehkan usahawan mengamalkannya dalam
menjalankan perusahaan atau perniagaan masing – masing dan memberikan pengetahuan
pengurusan moden supaya para usahawan dapat mengamalkannya dalam menjalankan
perusahaan atau perniagaan ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020 dan boleh
mengikuti perkembangan teknologi moden dan mampu bersaing di pasaran terbuka.
Pelbagai strategi digariskan melalui program ini antaranya ialah mengadakan kursus‐kursus
pembudayaan keusahawan untuk bakal‐bakal usahawan; menganjurkan kursus ‐ kursus
pewujudan usahawan bagi membolehkan Bumiputera memulakan perusahaan, perdagangan
atau perniagaan; menyediakan kursus ‐ kursus peningkatan untuk usahawan sedia ada bagi
membolehkan mereka menimba ilmu perniagaan supaya dapat memajukan perusahaan atau
perdagangan yang dijalankan dan meningkatkan kemahiran para usahawan melalui
pendedahan kepada perusahaan atau perdagangan. Latihan dan bimbingan yang disediakan
bertujuan untuk mewujudkan usahawan baru dari kalangan Bumiputera serta meningkatkan
keupayaan usahawan sedia ada selari dengan matlamat Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB).

8
D. Program Pendidikan MARA
MARA selain daripada menumpukan sektor keusahawanan dan pelaburan bagi
meningkatkan keupayaan Bumiputera dari sudut ekonomi, MARA turut memberi tumpuan
dalam bidang pendidikan bagi melahirkan modal insan yang berdaya saing diperingkat
global dan mampu menguasai ekonomi negara. Maktab Mara yang paling awal ditubuhkan
bagi membantu meningkat penguasaan ilmu di kalangan Bumiputera akhirnya menjadi
Institut Teknologi Mara (ITM) dan kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara
(UiTM). Bagi menyediakan generasi pengusaha dan tenaga profesional bumiputera, Mara
telah menyediakan Program Pendidikannya yang merangkumi pendidikan di peringkat
menengah sehinggalah peringkat tinggi termasuk dalam bidang teknikal dan vokasional.
Yayasan Pelajaran Mara telah ditubuhkan pada tahun 1969 dengan tabung permulaan
sebanyak RM 621,000. Bagi membantu pencapaian bumiputera dalam bidang sains dan
teknologi, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) telah dimulakan operasinya pada tahun
1972 sehingga ke hari ini dengan penambahan Kolej MARA. Institut Kemahiran Mara
(IKM) diusahakan bagi meningkatkan bilangan bumiputera sebagai pekerja mahir dan
separa mahir bagi sektor swasta dan latihan vokasional telah dimulakan seawal tahun 1968.

Di samping itu Mara turut menubuhkan Institut Perdagangan Mara (IPM) yang
bermula tahun 1977 (ditukar nama kepada Kolej Profesional Mara pada Disember 1996).
Mara juga turut menaja pelajar bagi melanjutkan pelajaran di Institut pengajian tinggi di
dalam dan luar negara. Pusat GIAT MARA ditubuhkan pada tahun 1986 dan diteruskan
dengan penubuhannya di hampir setiap kawasan parlimen di Malaysia. Sesuai dengan
keperluan sumber tenaga industri berteknologi tinggi negara masa kini dan akan datang,
MARA turut menubuhkan German Malaysian Institute (GMI) dan Universiti Kuala
Lumpur (UniKL) yang menggabungkan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi MARA
seperti Malaysia France Institute (MFI), British Malaysian Institute (BMI), Malaysian
Institute of Aviation Technology (MIAT), Malaysian Institute of Marine Engineering
Technology (MIMET), Malaysian Institute of Chemical Engineering Technology (MICET),
Malaysian Spanish Institute (MSI) dan Malaysian institute of information technology
(MIIT).

9
3. KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, MARA yang diumpamakan sebagai sebuah kapal angkasa
dalam misi penjelajahan angkasa ekonomi oleh Allahyarham Tun Abdul Razak sebelum
penubuhannya telah memainkan peranan yang amat penting dalam meningkat ekonomi
kelompok Bumiputera. Pelbagai usaha telah dilaksanakan dalam bidang ekonomi,
pelaburan dan termasuklah pendidikan bagi merealisasikan visi MARA dan mencapai
matlamat penubuhannya. Usaha-usaha dan peranan yang dimainkan oleh MARA bersifat
holistik bermulalah daripada pembentukan modal insan yang berdaya saing dan mampu
menerajui ekonomi dan negara sehinggalah kepada usaha-usaha pengembangan industri
dan perusahaan sehingga ke taraf global. MARA turut membuka jalan kepada pelbagai
industri dan sektor perniagaan dengan tujuan memberi peluang kepada para usahawan
Bumiputera untuk turut sama menceburi sektor atau industri tersebut dan seterusnya
memainkan peranan penting dalam peningkatan ekonomi negara selaras dengan kekuatan
populasi kelompok Bumiputera sebagai kelompok etnik paling utama (majoriti) di
Malaysia.

BIBLIOGRAFI

Mara melaksana agenda Melayu. (n.d.). diakses September 26, 2017, daripada
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1103&pub=utusan_malaysia&s
ec=Rencana&pg=ot_01.htm

MARA terus perkasa usahawan Bumiputera. (2017). diakses September 26, 2017, daripada
https://www.bharian.com.my/node/262042

MARA. (2016). Laporan Tahunan 2015. diakses September 26, 2017, daripada
http://www.mara.gov.my/documents/10157/2068001/LTM2015BM2.pdf/c8725ae0-
8437-422b-9df2-37cc2a18f4cf

Program Latihan Keusahawanan. (2011). diakses September 26, 2017, daripada


http://www.mara.gov.my/program-latihan-keusahawanan

10
Program Pembangunan Pemasaran. (2012). diaksesSeptember 26, 2017, daripada
http://www.mara.gov.my/program-pembangunan-pemasaran

Program Pembangunan Teknousahawan. (2011). diaksesSeptember 26, 2017, daripada


http://www.mara.gov.my/program-teknousahawan

Program Skim Khidmat Nasihat Perniagaan. (2012). diaksesSeptember 26, 2017, daripada
http://www.mara.gov.my/skim-khidmat-nasihat-perniagaan

11

You might also like