Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

Sukan dan wanita dari sudut pandangan

Islam
Written by Wanita Isma on April 27, 2012 in Kesihatan, Tarbiyyah Wanita - 63 Comments

Pengenalan

Firman Allah S.W.t dalam Surah An-Nisa’ ayat 34 bermaksud:

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita oleh kerana Allah telah melebihkan
sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah
menafkahkan sebahagian dari harta mereka. Sebab itu, maka wanita yang solehah ialah yang taat
kepada Allah lagi memelihara diri”.

Ayat di atas jelas menerangkan tentang kedudukan wanita di dalam Islam. Islam sangat
mengambil berat dan memandang tinggi golongan wanita. Kemuliaan wanita di sisi Allah bukan
sahaja meniti di bibir cendikiawan dan ilmuan Islam malah, salah satu surah yang terdapat dalam
Al-Quran ialah Surah An-Nisa’ yang membawa maksud wanita. Begitu juga terdapat di dalam
kitab-kitab hadis yang membincangkan mengenai nasihat supaya berbuat baik terhadap wanita
sebagaimana yang terdapat dalam kitab Riyadhussolihin karangan Imam An-Nawawi.
Sejarah Islam dan Wanita dalam Sukan

Sejarah silam telah membuktikan adalah cabang kesihatan fizikal dan mental (fizikal cergas,
mental cerdas). Zaman Rasulullah S.A.W, Saidatina Aisyah Isteri nabi sendiri pernah berlumba
lari dengan Rasulullah S.A.W ketika bermusafir. Ada ketikanya Saidatina Aisyah menang dan
ada ketikanya kalah dalam perlumbaan tersebut. Safiyyah, ibu saudara Rasulullah S.A.W dan
kakak kepada Saidina Hamzah telah membuktikan ketangkasan dalam tindakkannya semasa
menyertai Perang Uhud. Ketika orang Islam ditimpa kekalahan, sebahagian dari mereka mula
melarikan diri dari medan perang. Melihat keadaan ini dan demi maruah Islam, Safiyyah
bersama tombak di tangannya terus memukul muka mereka dengan tombak sambil
menyemarakkan semula semangat mereka untuk terus berjuang. Semasa Perang Khandak, sekali
lagi membuktikan ketangkasan dan kecergasan Safiyyah. Pada ketika itu, Safiyyah dengan
pancang di tangan mengetuk kepala pengintip Yahudi sehingga mati.

Kehebatan wanita Islam terdahulu bukan setakat menyertai perang, malah ada yang
bertanggungjawab sebagai perisai kepada Rasulullah S.A.W di medan pertempuran. Contohnya
Ummi Ummarah, seorang wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam. Beliau menyertai
peperangan Uhud, Hudaibiyyah, Khalbar, Ummratul-qadha, Hunain dan Yamamah. Beliau
menjadi perisai kepada Rasulullah S.A.W apabila ada musuh yang menghampiri baginda. Kisah
kehebatan, semangat perjuangan, keberanian, sumbangan dan pengorbanan wanita Islam di
zaman silam tiada tolok bandingnya. Islam adalah agama yang meletakkan wanita setaraf dengan
lelaki.

Ketangkasan, kecergasan fizikal dan mental mereka membuktikan mereka melakukan latihan
fizikal dan mental yang berulang sama seperti apa yang dilakukan dalam bersukan atau
bersenam. Islam sangat menitikberatkan pembentukan jasmani yang sihat sejak kecil lagi.

Dilihat dari sudut kematangan Negara Malaysia kini, kaum wanita jauh lebih hebat malah
martabat kaum wanita terus dijulang sehingga mampu memegang tampuk pimpinan Negara.
Persidangan Dasar Wanita Negara bukti betapa kerajaan tidak pernah mengabaikan wanita malah
kebajikan dan maruah wanita terbela. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai
agama persekutuan negara kaum wanita tidak pernah ketinggalan dalam apa jua aspek sama ada
dalam bidang pentadbiran, pendidikan, politik, ekonomi, sosial dan sukan selagi berlandaskan
syariat Islam. Dalam bidang sukan, wanita tidak ketinggalan malah harum di persada dunia
seperti pemain Nur Suryani Mohd Taibi atlet menembak Malaysia. Berpakaian menutup aurat
dan beliau pernah merangkul pingat emas pertama dalam acara 50 meter rifle 3 posisi wanita
akhir di lapang sasar,Jakabaring,Palembang.

Hal demikian menunjukkan bahawa Islam sebagai agama syumul bukan sahaja menekankan
aspek peribadatan semata malah satu cara hidup yang merangkumi peraturan dan panduan dari
segenap aspek kehidupan manusia termasuk kerohanian, ekonomi, politik, sosial, kesenian,
ketenteraan dan sukan. Dunia mengetahui bahawa sukan menjana kecergasan fizikal dan mental,
bermakna dengan bersukan badan sihat otak cerdas (cergas cetus cerdas). Pepatah Arab ada
menyebut bahawa ‘al-aql salim fi jism as-salim’ ‘otak yang cerdas datangnya dari badan yang
sihat’. Walau bagaimanapun dan dalam apa juga bidang termasuk bidang sukan, Islam tetap
menetapkan beberapa syarat dan peraturan sebagai rujukan dalam menjana setiap gerak-geri
umatnya terutama dalam kalangan wanita agar tidak terpesong daripada ajaran Islam yang
hakiki.

Kebaikan bersukan

Sukan adalah satu aktiviti yang biasa dilakukan sama ada untuk mengisi masa lapang mahupun
untuk pertandingan. Malah dengan bersukan juga tubuh badan menjadi sihat dan bertenaga serta
dapat menguji daya kekuatan fizikal dan mental seseorang yang terlibat dengan sukan.
Rasulullah SAW sendiri sentiasa mengingatkan umatnya menjaga kesihatan, kuat serta terhindar
daripada sebarang penyakit memudaratkan.
Rasulullah SAW dalam bersabda yang bermaksud: “Orang beriman yang kuat lebih baik dan
lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang lemah.” (Hadis riwayat
Muslim).

Hadis ini jelas memperlihatkan betapa Rasulullah S.A.W amat menitikberatkan kesihatan agar
terhindar dari penyakit yang memudartkan umpamanya jantung, strok,darah tinggi, barah,
diabetis dan sebagainya.

Selain daripada itu, dengan sukan juga dapat memupuk tali persaudaraan antara ahli keluarga,
masyarakat setempat, negara dan bangsa di dunia. Sebagai contoh, sukan menjadi tali
penghubung antara Malaysia dengan negara-negara luar. Bermakna sukan bukan saja menguji
kekuatan fizikal dan mental malah membina hubungan ukhuwah serta silaturahim demi
perpaduan ummah sejagat.

Amalan temasya sukan di mata dunia dari sukan dalam negara sehinggalah ke kancah
antarabangsa seperti sukan Olimpik dan sebagainya, menjadikan sesebuah negara terkenal dan
imej negara terjulang. Dengan ini, sesebuah negara bukan saja terkenal oleh kemajuan sains dan
teknologinya, malah sukan juga memainkan peranan penting memartabatkan negara di mata
dunia. Sebagai contoh, sukan menjadi tali penghubung antara Malaysia dengan negara-negara
luar. Malah negara luar menggeruni Malaysia kini kerana taraf sukan Malaysia kini tidak ubah
seperti berdiri sama tinggi dengan sukan negara luar. Kehebatan Malaysia kini bukan saja
terletak pada kehebatan politik, ekonomi, sosial, sains dan teknologi malah dalam bidang sukan
juga.

Dakwah dalam konteks Islam adalah sangat luas, dakwah bukan saja dilakukan di masjid-masjid,
atau di majlis ilmu atau melalui usrah. Dakwah juga boleh dilakukan dengan bersukan yang
mana sukan adalah medan yang luas dan wasilah terbaik untuk berdakwah. Pada peringkat
permulaan mungkin cukup sekadar dakwah bil hal dan seterusnya tafaddhol. Contoh, baik
semasa bersukan adalah seperti berhenti bila mendengar azan, berhenti sebelum azan Maghrib,
memakai pakaian yang menutup aurat, tidak memaki hamun apabila bersukan, elakkan
pergaduhan dan mempunyai semangat kesukanan yang tinggi. Cukup mudah tetapi sebenar
itulah cara mudah untuk berdakwah dalam sukan.

Adab dan etika wanita semasa bersukan


Dalam Utusan Malaysia 7/72011, YB Dato’ Sri Ahmad Shabery Bin Cheek, Menteri Belia dan
Sukan dalam ucapannya menyatakan bahawa pihak Kementerian Belia dan Sukan tidak
mempunyai halangan sekiranya terdapat mana-mana atlet wanita beragama Islam yang ingin
mengenakan pakaian menutup aurat ketika menyertai sebarang kejohanan termasuk di peringkat
antarabangsa. Beliau mengambil bukti kejayaan telah dicipta oleh dua orang atlet menembak
kebangsaan iaitu Nur Suryani Mohd Taibi dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraih emas
acara menembak 10 meter air rifle berpasangan wanita pada sukan Komanwel di India 2010.
Memetik ucapannya, “Dalam keadaan menutup aurat dan bertudung telah membuktikan bahawa
pakaian bukan penghalang kepada atlet Malaysia untuk berjaya”. Kenyataan ini membuktikan
bahawa kerajaan tidak menghalang atletnya menutup aurat dan bertudung litup semasa bersukan
dan bukan penghalang untuk berjaya, terpulang kepada personaliti dan jati diri serta keimanan
atlet tersebut.

Menurut Dr. Mashitah dalam harian Metro Januari 2012, bersukan adalah sesuatu yang harus. Ia
baik untuk kesihatan dan wajar dilakukan dalam keadaan beradab dengan pakaian yang sopan
dan dalam keadaan tidak bercampur lelaki dan perempuan. Jika sukan dijadikan profesion, sudah
tentu ada pakaian yang perlu dipatuhi. Oleh yang demikian, satu anjakan paradigma perlu
dilakukan bagi mengislahkan keadaan ini. Contohnya hari ini rekaan pakaian renang wanita
Islam ciptaan ahli perniagaan Turki, Mehmet Sahin bagi muslimah yang dipasarkan satu
alternatif terbaik menggalakkan muslimah menceburi sukan akuatik selaras dengan syariat Islam
yang bersifat syumul, dinamik dan fleksibal.

Australia juga telah memperkenalkan pakaian renang yang menutup aurat khas untuk wanita
Islam. Pakaian ini dibuat daripada polyester, menutup aurat dari kepala hingga ke kaki.
Pengenalan pakaian burqini ini disokong oleh Majlis Islam Australia dan Mufti Australia.
Pakaian ini ternyata memberi kebebasan kepada wanita Islam untuk menjalankan aktiviti sukan
air dan bergiat aktif dalam aktiviti renang tanpa perlu mendedahkan aurat.

Batasan wanita bersukan

1. Hendaklah menjaga aurat dengan memakai pakaian menurut syariat.

Atas dasar Islam itu indah dan amat menjaga sensitiviti wanita serta kedudukan sebagai
muslimah, maka Islam menetapkan tata cara garis panduan wanita yang ingin keluar sama ada
untuk bekerja, bersukan atau perkara lain mestilah menjaga adab-adab antaranya dengan izin
suami bagi yang bersuami dan bapa bagi yang belum, menutup aurat dengan memenuhi syarat-
syaratnya seperti tutup kawasan yang wajib, tidak ketat, tidak nipis dan tidak menyerupai lelaki,
menjaga suara dan menjaga pergaulan dengan lelaki.

Sabda Rasullullah S.A.W “Wanita itu adalah aurat, maka apabila ia keluar mendonggaklah
syaitan memandang akan dia.”- (Riwayat Ahmad, Thabrani dan Hakim). :

Dalil lain yang menunjukkan seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak
tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar,
“Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh
baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak
tangannya.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

Dengan ini jelas, bagi menjaga kehormatan seorang wanita, Islam telah menetapkan garis
panduan di dalam Al-Quran di mana ia mewajibkan bagi setiap wanita muslim menutup aurat
iaitu menutup segala bahagian tubuh badan dari hujung kepala ke hujung kaki kecuali kedua-dua
tapak tangan dan muka. Menurut fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa dan
Penyelidikan Kesatuan Eropah menerusi Timbalan Pengerusinya, Sheikh Faysal Mawlawi
menegaskan bahawa: “Perkara asas yang perlu dititikberatkan oleh seorang wanita Islam
mengenai penyertaannya di dalam aktiviti sukan adalah menjaga auratnya. Aurat bagi seorang
wanita Islam ialah keseluruhan anggota badan kecuali muka dan telapak tangannya….”. Dr. Ali
Muhyy Ed-Deen Al-Qara Daaghi, Ketua di Jabatan Usul al Fiqh, Fakulti Syariah, Universiti
Qatar menambah:

“Tidak dapat disangkal bahawa agama Islam tidak pernah menghalang kaum wanita melibatkan
diri mereka di dalam sukan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil
kira. Syarat-syarat tersebut adalah:

1) Wanita dilarang memperagakan diri mereka dengan tujuan menarik perhatian kaum lelaki.
2) Wanita dilarang mendedahkan aurat mereka.
3)Wanita dilarang bergaul dengan kaum lelaki sehingga melanggar batas-batas pergaulan.”

2. Bersukan hanya di kalangan wanita

Mengambil kepentingan hak dan kemuliaan wanita dalam sukan adalah sesuai jika tempat dan
waktu bersukan bagi lelaki dan wanita diasingkan. Wanita mempunyai hak yang perlu dilayan
sesuai dengan fitrah dan kejadian wanita yang sopan dan pemalu. Layanan istimewa bukan
sahaja terhadap wanita Islam malah terhadap wanita buka Islam. Seperti contoh Contohnya
pengasingan penggunaan bilik gymnasium mengikut hari-hari tertentu antara lelaki dan
perempuan yang diamalkan dikebanyakan IPTA di Malaysia. Dengan pengasingan tersebut kaum
wanita dapat melakukan aktiviti sukan tanpa batasan.

3. Menjaga pergerakkan semasa bersukan

Tidak harus mereka memperlihatkan liuk lintuk dan lenggang lenggok yang menggoda. Sukan
wanita yang boleh membawa fitnah kepada lelaki seperti berenang, gimnastik, luncur ais , tarian
ballet dan sebagainya harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya. Dr Yusuf Qardawi
menyatakan:
“Permainan yang dilakukan wanita seumpama berenang, gimnastik, luncur ais, tarian ballet,
lumba lari, lompat jauh dan sebagainya, harus diadakan sesama wanita dengan syarat-syaratnya.
Tidak ada lelaki yang bukan mahram melihat sukan wanita seumpama ini. Oleh kerana itu sukan-
sukan wanita seumpama berenang, gimnastik dan seumpama dengannya haram disiarkan dan
ditonton oleh lelaki yang bukan mahram.”

4. Batasan penonton atau penyokong


Dalam menyokong pasukan, keganasan perlu dielakkan. Menang dalam pertandingan tidak
semestinya menghina lawan yang kalah. Islam memandang sukan sebagai jalan meningkatkan
kasih dan kerjasama antara manusia. Penyokong sukan wanita biarlah dari kalangan wanita
sahaja, tidak dipertontonkan kepada lelaki. Islam tidak membenarkan pertandingan atau
permainan yang melibatkan kedua-dua jantina, dengan cara ,membuka jalan hawa nafsu, syahwat
dan keruntuhan akhlak. Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Dicucuk kepala seseorang dengan jarum besi lebih baik dari dia menyentuh wanita
yang tidak halal baginya.” (Hadis Riwayat Tabrani)

5. Sukan tidak melalaikan

Sukan tidak melalaikan sehingga menyebabkan meninggalkan benda yang wajib seperti
kewajipan bersolat. Firman Allah SWT:
“Dan celaka bagi orang yang lalai dari melakukan solatnya (sehingga solat diluar waktu).” (4 :
al-Ma’un).

6. Wanita perlu ada jati diri

Wanita yang bersukan perlu ada jati diri dan keimanan yang teguh agar tidak mudah membuka
tudung semasa mempamerkan aksi sukan. Sesetengah atlet wanita yang berkecimpung dalam
sukan sering kali dilihat membuka tudung semasa bersukan dan kembali bertudung selepas
kejohanan atau pertandingan. Fenomena ini dilihat sebagai mencemar imej Islam dan jati diri
yang goyah. Perlu ada cara lain yang difikirkan bagi mengatasi syarat yang dikenakan oleh
sesetengah peraturan dalam sukan yang tidak membenarkan memakai tudung ketika kejohanan.
Atlet juga boleh memakai tudung yang sesuai untuk bersukan seperti memakai Sports Hijab
rekaan Elham Seyed Javad dari Kanada semasa bersukan.

Atlet tekong skuad wanita Indonesia Cahaya Permata Fahrani perlu dicontohi. Tampil dengan
pakaian yang menutup aurat sama sekali tidak menghalang beliau melakukan libasan kencang
ketika beraksi pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw
Antarabangsa (Istaf) tahun 2011 yang berlansung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Sebagai
seorang muslim perlu ada jati diri dan tidak perlu meniru gaya orang barat untuk bersukan. Jati
diri dan iman yang teguh tidak menjadi penghalang untuk seseorang atlet menutup aurat semasa
bersukan walaupun di peringkat antarabangsa.

Ungkapan dari Al-Hikam iaitu “Istiqamah itu lebih tinggi daripada Karamah kerana Istiqamah itu
hakikatnya lebih sukar. Istiqamah memerlukan mujahadah sedangkan Karamah itu adalah
anugerah. Mujahadah itu kerja kita dan Karamah itu ‘kerja’ ALLAH. Berdasarkan ungkapan ini,
jelas mengajak kita melakukan sesuatu amal untuk kejarkan Istiqamah bukannya mengejar
Karamah. Oleh yang demikian, untuk mendapatkan Istiqamah perlukan pengorbanan. Bersukan
berlandaskan syariat adalah satu pengobanan, pengobanan melawan hawa nafsu, pengorbanan
berpakaian menurut syariat dan sebagainya.

Cadangan Sukan Untuk wanita


1. Sukan yang dianjurkan untuk wanita haruslah bersesuaian dengan keadaan. Pertubuhan Bukan
Kerajaan (NGO) termasuk Persatuan-persatuan Pengguna Muslim perlu bekerjasama dengan
Jabatan Kebajikan Islam Malaysia untuk merealisasikan hasrat ini. Dalam memperkatakan
pakaian menutup aurat, kita perlu mencontohi negara Iran. Aktivis Iran sering tampil
memperjuangkan hak wanita berpakaian menutup aurat ketika bersukan. Sebagai contoh pernah
satu ketika Persatuan Bola Sepak Iran memperjuangkan agar pasukan bola sepak wanita mereka
diberi peluang menggunakan pakaian menutup aurat sepenuhnya pada Kejohanan antarabangsa
di Singapura.

2. Golongan wanita yang melibatkan diri dalam sukan secara profesional perlu mempunyai jati
diri yang kukuh berlandaskan syari’at Islam. Hal demikian menekankan bahawa segala hal
ibadat wajib seperti solat dan puasa wajib ditunaikan walaupun atlet bertanding di peringkat
antarabangsa.

3. Batasan aurat antara lelaki dan wanita perlu dijaga. Oleh yang demikian tidak keterlaluan
apabila kita menetapkan atau menyediakan stadium khas untuk wanita sahaja di mana atlet dan
penonton adalah dari kalangan wanita sahaja. Allahyarhamah Dr Lo’ Lo’ Mohamed Ghazali
(Pas-Titiwangsa) pernah mencadangkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri
agar mewujudkan ruang senaman eksklusif di komples sukan khas untuk golongan wanita Islam
bersukan. Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Siti Mariah Mahmod 2010 juga pernah menyarankan
agar Kementerian Belia dan Sukan menyediakan prasarana sukan kepada wanita Islam.

4. Dari segi adab berpakaian, pengeluaran fesyen sukan atau pakaian sukan perlu mengharuskan
pakaian menutup aurat untuk menfaat masyarakat wanita bersukan. Pakaian dan trend masa kini
yang kurang sesuai sedikit sebanyak telah mengurangkan minat wanita Islam untuk aktif dalam
sukan walaupun mereka mempunyai minat dan bakat untuk dipamerkan dalam bidang sukan.
Sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan Ruqaya Al- Ghasara dalam sukan Asia di Doha
beberapa tahun lalu membuktikan bahawa pakaian menutup aurat bukan penghalang bagi wanita
menempa kejayaan dalam sukan. Di negara kita, Sukan Nisa’ -acara sukan khas untuk wanita
berjalan penuh meriah dan warna warni dengan kehadiran ratu pecut 200m sukan Asia Doha,
Ruqayya al-Ghasara mencetus semangat peserta dan penganjur. Nampak remeh tentang pakaian
wanita nemun arahan Allah swt sangat jelas dan tegas melalui firmanNya dalam surah an-Nur
ayat 30-31 yang bermaksud: “….Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki yang beriman
supaya menyekat pandangan mereka daripada memandang yang haram, dan memelihara
kehormatan (kemaluan) mereka. Dengan demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya
Allah amat mendalam pengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Katakanlah kepada
wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangan dan memelihara kemaluan
mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak
daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya.”

KESIMPULAN

Penglibatan wanita dalam sukan haruslah dipandang dari perspektif sama ada membawa
implikasi yang baik ataupun sebaliknya. Secara dasarnya, kebanyakan wanita dikaitkan dengan
kelembutan dan wujudnya ketidaksesuaian dalam mana-mana acara sukan. Namun, fenomena ini
masih mampu diperbetulkan dengan pelbagai cara melalui penekanan dan perundangan baru
yang melanggar peraturan dan adat khusus masyarakat Timur di Malaysia.

Etika berpakaian, penetapan masa dan batasan dalam pergaulan di dalam bersukan merupakan
antara pembangunan secara globalisasi semestinya dijadikan wadah utama tanpa mengenepikan
pegangan segenap lapisan masyarakat.

Sukan hendaklah diamalkan dengan mengikuti syarat-syarat ini supaya boleh mengelakkan
sebarang kemudaratan yang tidak dikehendaki. Peraturan umum dalam Syari`ah ialah apa-apa
perbuatan yang melampaui batas sama ada dalam makan, minum, berpakaian atau sebagainya,
adalah dilarang. Al-Qur’an mengisytiharkan:

“Hai orang yang beriman, janganlah kamu haramkan apa-apa yang baik yang telah Allah
halalkan bagi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang yang melampaui batas.”(Al-Ma’idah: 87) .

Sumbangan artikel daripada,


Hamsiah Binti Bontal (Master Sains Sukan, UPSI)
Jane Francisca Seruti (Master Sains Sukan, UPSI)
Dr. Nelfianty Abd Rasyid (Pensyarah, UPSI)

You might also like