Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

Budaya sendi kawasan padi

1.0 PENGENALAN

Pembinaan negara bangsa merupakan matlamat utama sesebuah negara dan boleh
dianggap sebagai kemuncak kejayaan bagi sesebuah negara, pentadbiran serta
penduduknya. Merujuk kepada Malaysia, proses awal pembinaan negara bangsa lebih
tertumpu pada keperluan politik. Sejak pembentukan Malaysia pada 16 September
1963, kerajaan memberi keutamaan kepada proses membina Malaysia sebagai sebuah
negara moden yang berdaya saing dari segi ekonomi dan politik. Kerajaan meletakkan
prinsip asas membina Malaysia yang bersatu padu dan harmoni menerusi rakyat
berbilang kaum, bersama dengan aman damai dan makmur berdasarkan Prinsip
Asimilasi (1957-1969) dan Prinsip Nasional (1970-kini).
Malaysia lahir atas kefahaman dan persetujuan kalangan parti-parti politik bahawa
Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan bersatu. Hasrat murni ini hanya
dapat dicapai dengan penerimaan keutamaan identiti Melayu oleh semua masyarakat
bumiputera mahupun bukan bumiputera berlandaskan ciri-ciri jati diri kebangsaan
dalam proses membina negara bangsa di Malaysia. Usaha-usaha secara intensif bagi
mencapai matlamat sebuah negara bangsa mula dilaksanakan selepas peristiwa 13 Mei
1969 khususnya menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB). Matlamat yang lebih jelas pula
hanya muncul ekoran pengenalan Wawasan 2020 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed
pada tahun 1991. Wawasan yang menekankan terhadap keperluan wujudnya bangsa
Malaysia yang mantap mula diberikan perhatian yang lebih serius oleh pelbagai pihak.
Pembinaan negara bangsa Malaysia berdasarkan acuan sendiri harus dilaksanakan
melalui pelbagai saluran. Salah satu saluran terpenting yang dijadikan mekanisme bagi
pencapaian matlamat tersebut ialah pendidikan khususnya pendidikan sejarah yang
merupakan teras penting dalam dasar pendidikan . Ia juga merupakan satu keperluan
dalam proses pemantapan kewarganegaraan bagi membolehkan sesebuah sejarah
bukan sahaja dihargai dan dihayati malah elemen lain ialah sebagai suatu pengajaran,
pedoman ataupun proses perencanaan. Melalui sejarah, pengalaman masa lampau
merupakan satu rujukan terbaik bagi generasi masa kini dan akan datang membentuk
sebuah negara bangsa.

Definisi Negara, Bangsa dan Negara Bangsa

Negara
Negara secara formalnya sebuah organisasi yang mempunyai sempadan geografi,
ada kerajaan yang memerintah, sistem pentadbiran undang-undang, kewangan dan
lain-lain yang berkaitan. Pemerintah mengatur dan mentadbir rakyat atau masyarakat
dalam negara dengan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Negara adalah
tentang struktur dan organisasi bukan tentang nilai-nilai atau ideologi rakyat atau
masyarakat dalam negara itu. Konsep negara menurut undang-undang antarabangsa
ialah sesuatu masyarakat politik atau negeri yang mempunyai ciri-ciri seperti
sempadan yang tertentu, penduduk, sebuah kerajaan yang teratur dan kedaulatan.

Bangsa
Bangsa pula adalah satu konsep bersifat budaya. Definisi bangsa merujuk kepada
satu komuniti atau masyarakat yang mempunyai nilai-nilai dan norma-norma yang
sama, mempunyai pengalaman dan sejarah yang sama termasuk matlamat dan impian
yang sama serta identiti dan karakter yang tidak jauh berbeza.
Abdul Rahman Embong (2006) dalam bukunya Negara-Bangsa : Proses dan
Perbahasan, mendefinisikan bangsa sebagai satu komuniti politik yang terbentuk
dalam sejarah yang ditautkan melalui perkongsian wilayah, budaya, bahasa serta
perasaan sebangsa.
Negara-negara yang mempunyai penduduk homogeneous seperti Jepun yang
mempunyai bahasa, agama, nilai-nilai, karakter yang sama dan asal usul keturunan
yang sama, soal isu negara bangsa tidak timbul. Begitu juga dengan bangsa German
(Aryan), Cina, Arab, Itali yang dianggap mempunyai identiti tersendiri.

Negara Bangsa
Negara bangsa merujuk kepada kedaulatan negara dengan rakyat yang hidup
dalam harmoni walaupun mereka terpisah dari segi bangsa, kepercayaan, agama,
bahasa, budaya dan lain-lain. Untuk mencapai konsep negara bangsa, kesetiaan kepada
negara, harmoni dan toleransi perlu dijadikan sebahagian kehidupan harian
warganegaranya.

Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka, negara bangsa
didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.
Pembentukan negara bangsa dianggap penting dan menjadi para-syarat kepada
pemodenan negara. Ini disebabkan sekiranya warganegara tidak mempunyai matlamat
yang sama ke arah mencapai negara bangsa, tiada yang berguna dapat dilakukan.

Persoalan Tentang Negara Bangsa

Konsep Negara Bangsa


Pembinaan negara bangsa amat penting bagi sebuah negara yang berbilang kaum
dan agama seperti Malaysia. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada
perkongsian nilai serta semangat patriotisme. Ia menjadi semakin penting lebih-lebih
lagi dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas
bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan
kepercayaan dari pelbagai negara.
Hasrat untuk membentuk sebuah negara bangsa dalam konteks Malaysia boleh
dihuraikan seperti kenyataan oleh Tun Dr. Mahathir b. Mohamed, Melangkah Ke
Hadapan pada 1991, iaitu membentuk sebuah negara yang bersatu padu serta
menyanjung masa hadapan yang dikongsi bersama. Bangsa itu mestilah sejahtera,
berintegrasi wilayah-wilayah dan kelompok-kelompoknya, menikmati kehidupan
bersama yang sepenuhnya berasaskan persamaan hak dan keadilan, membentuk
sebuah bangsa Malaysia dengan rasa taat setia dan pengabdian yang tidak berbelah
bagi terhadap bangsa tersebut.
Menurut YAB Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi (Dewan Budaya USM, 1999) pula, kita
mempunyai tanggung jawab yang besar dalam pembangunan bangsa dan negara ini.
Kita juga mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan minda dan jiwa rakyat
untuk membawa kita ke arah wawasan yang ingin kita capai.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan pemimpin namun unsur-unsur
penghalang yang kebanyakannya berakar umbikan sentimen perkauman masih
mengepompongi sebahagian rakyat negara ini termasuklah pemimpin-pemimpin
politik yang sepatutnya berperanan sebagai role model bagi mencapai matlamat
tersebut. 1 Malaysia umpamanya, merupakan agenda terbaru pemerintah di bawah
kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Abd Razak untuk membentuk sebuah negara yang
dikongsi bersama atau dianggap sepunya bagi seluruh rakyat negara ini.

Persoalannya, apakah matlamat tersebut mampu dicapai? Atau mungkinkah ia hanya


mengulangi dasar-dasar atau program-program terdahulu yang tersimpan di kotak
sejarah negara sebagai retorik? Mengapakah Malaysia yang menjangkau usia
kemerdekaan ke-55 masih tercari-cari identiti untuk membentuk negara dan
bangsanya sendiri? Pelbagai alasan dikemukakan dari aneka sudut pandangan dan
keilmuan bagi mewajarkan kegagalan tersebut.
Memetik pandangan Abdul Rahman Embong, Negara-Bangsa : Proses dan Perbahasan,
“Ditinjau dari segi sejarah, bangsa Malaysia adalah satu konsep baru bagi rakyat
berbilang kaum di negara ini. Apabila Malaya diisytiharkan merdeka pada 31 Ogos
1957, yang dilahirkan ialah sebuah negara, bukan bangsa. Begitu juga apabila Malaysia
terbentuk pada1963, yang kita miliki hanyalah negara Malaysia, sedangkan bangsa
Malaysia yang utuh dan bersatu padu masih jauh daripada terwujud”.
Berbeza dengan Singapura, suatu ketika dahulu, selepas Singapura mencapai
kemerdekaan (dari Malaya) urusan kebudayaan dan keagamaan disekat. Sekolah-
sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubar untuk mengurangkan semangat “kecinaan”
dan “keindiaan”. Atas iltizam dan visi Lee Kuan Yew, Singapura telah berjaya menjadi
sebuah negara-bangsa. Walaupun pada awalnya wujud sedikit kekangan kebebasan
berbudaya dan beragama, Singapura kini terus bergerak ke hadapan. Lee Kuan Yew
telah berjaya menyatukan kebudayaan Siangapura. Lee Kuan Yew dilihat berjaya
mengasimilasikan masyarakat Singapura. Kita boleh mengambil contoh Singapura
sebagai contoh negara-bangsa yang maju dan berjaya.

Perkembangan Sosiopolitik Di Malaysia Ke Arah Pembentukan Negara Bangsa


Berbalik kepada Malaysia, apakah kebebasan berbudaya dan beragama di
Malaysia lebih separuh abad ini menjadikan kita saling faham memahami antara satu
sama lain? Apakah kebebasan berbudaya dan beragama di Malaysia sekarang ini
mampu menjadi titik tolak kepada cita-cita pembinaan negara bangsa Malaysia?
Apakah rupa identiti rakyat Malaysia yang sebenarnya? Apakah semua bangsa harus
menjadi Melayu atau memeluk Islam untuk mempunyai identiti yang sama iaitu bangsa
Malaysia atau rakyat berbilang kaum dan agama mempunyai satu bahasa kebangsaan
yang ditutur semua rakyatnya selaras dengan dasar bahasa kebangsaan, sekolah-
sekolah menggunakan satu bahasa pengantar, dan rakyat mempunyai matlamat dan
impian yang sama setelah hidup dalam sebuah negara yang dikongsi bersama
sepanjang hidup mereka?
Dari aspek sejarah, bila kita kembali kepada perjuangan pemimpin terdahulu konsep 1
Malaysia
yang dianjurkan oleh Dato’ Seri Najib sebenarnya hanya merangkumi usaha-usaha
yang telah dimulakan oleh Dato’ Onn Jaafar dan lima orang Perdana Menteri yang
terdahulu. Ianya bukan usaha yang tergesa-gesa dan berbau politik seperti gagasan
Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh parti DAP.
Pada zaman Dato’ Onn Jaafar, beliau menekankan perlunya memelihara ketuanan
Melayu dengan menentang Malayan Union. Ini membolehkan Melayu mengembalikan
kuasa dan hak orang Melayu sebagai rakyat asli di Tanah Melayu. Pada peringkat awal
ianya tidak berniat menafikan hak kaum-kaum lain tetapi memperkukuhkan hak
Melayu terhadap tanah airnya.
Ketika zaman Tunku Abdul Rahman pula, Tunku memperkukuhkan kedudukan Melayu
dengan menjamin hak-hak istimewa Melayu dan kedudukan raja-raja Melayu tetapi
dalam masa yang sama menerima kewujudan masyarakat berbilang kaum terutama
kaum Cina dan India. Tunku tidak ada pilihan pada ketika itu kerana menjadi syarat
penjajah Inggeris yang hanya akan memberi kemerdekaan setelah mendapat kerjasama
dari semua kaum yang ada di Tanah Melayu.
Walau bagaimanapun, Tunku gagal memperbaiki polarisasi kaum sehingga membawa
kepada peristiwa 13 Mei 1969. Peristiwa berdarah ini menyukarkan lagi usaha Tun
Razak mewujudkan identiti bangsa Malaysia. Namun, dalam tempoh lima setengah
tahun Tun Razak berusaha mewujudkan economic equity iaitu merapatkan jurang
kekayaan sebagai pra syarat kepada keharmonian antara kaum.
Tun Razak percaya bahawa dalam jangka panjang negara tidak akan aman jika
kekayaan ekonomi tidak dinikmati secara adil oleh kaum-kaum yang ada. Maka Dasar
Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk menghapus pengenalan kaum mengikut
fungsi-fungsi ekonomi di samping matlamat pokok membasmi kemiskinan. Apabila
kemiskinan dan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi berjaya dihapuskan
seperti disasarkan dalam DEB maka tidak ada lagi tanggapan bahawa yang miskin itu
Melayu dan bumiputera, yang kaya itu kaum Cina. Matlamat akhirnya untuk mencapai
kesetaraan ekonomi dengan matlamat ekuiti ekonomi Melayu pada kadar 30%
menjelang 1990. Semua dasar dan usaha Tun Razak ini pada hakikatnya begitu ikhlas
untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia yang dapat hidup dengan harmoni
dan makmur apabila kekayaan dapat diagihkan secara adil.

Tun Hussein Onn pula memberi penekanan kepada membina sebuah masyarakat
Malaysia yang bermoral tinggi sebagai asas sebuah masyarakat Malaysia yang
bertamadun. Tun Hussein memberatkan pentingnya keluhuran undang-undang negara
dan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa juga untuk memelihara
moral dan etika rakyat Malaysia. Tindakan ke atas Dato Harun Idris yang pada masa itu
Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda UMNO Malaysia adalah bukti kesungguhan
Tun Hussein Onn. Dalam satu ucapan perasmian pada Julai 1976, Tun Hussein
menegaskan, “Dalam memimpin sebuah negara berbilang kaum, prinsip dalam setiap
keputusan mestilah mengutamakan kepentingan nasional bukan memenuhi tuntutan
satu kaum saja kerana jika kepentingan nasional diketepikan, sebagai contoh
mengabaikan peraturan undang-undang, ini bukan sahaja menyalahgunakan
kepercayaan rakyat tetapi juga akan membuka ruang kepada satu keadaan iaitu rakyat
akan bangkit menentang kita”.
Zaman Tun Dr. Mahathir pula membuat dasar menjangkaui sempadan Malaysia.
Wawasan yang diperkenalkannya iaitu Wawasan 2020 telah mencetuskan kepentingan
pembinaan bangsa Malaysia. Cabaran pertama yang ditonjolkan dalam gagasan
tersebut dengan jelas meletakkan matlamat mewujudkan bangsa Malaysia yang bersatu
padu, mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama, berintegrasi di
peringkat wilayah dan antara kaum berasaskan persamaan hak dan keadilan. Tun
Mahathir ingin identiti rakyat Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai bangsa yang
berjaya, boleh menakluki Everest, Kutub Utara, merentasi Lautan Pasifik dan
sebagainya sebagai satu simbolik kemampuan bangsa Malaysia. Pemodenan Malaysia
yang dipelopori oleh Tun Mahathir bukan sahaja cemerlang dalam negara tetapi rakyat
Malaysia mampu bersaing di peringkat global.
Melampaui abad ke-21, matlamat tersebut masih disuarakan oleh pemimpin
selepasnya. Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menekankan kepentingan
perkongsian sebuah negara dan menekankan semangat kecintaan kepada negara.
Dalam ucapannya sempena ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-50 pada 31 Ogos
2007, beliau mengatakan “Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama. Negara
Malaysia akan terus dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak
membenarkan berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan
berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan
dalam kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan
terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga. Bumi dan langit Malaysia adalah
tempat bertapak, tempat berteduh setiap warga Malaysia. Bumi dan langit Malaysia
menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat hidup bersatu
penuh muafakat”.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula dalam perutusan Hari Kebangsaan
negara ke-52 (2009), menekankan kepada usaha merapatkan hubungan rakyat
berbilang kaum di Malaysia dengan meruntuhkan tembok pemisah yang masih wujud.
Menurut beliau, “ lipatan sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan
yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan”. Justeru beliau telah
memperkenalkan gagasan 1 Malaysia. Malangnya ramai yang keliru dengan konsep
negara bangsa yang cuba dibawakan dengan mengatakan konsep 1 Malaysia akan
menghilangkan hak-hak istimewa bangsa Melayu. Konsep 1 Malaysia adalah tentang
ciri-ciri atau budaya bangsa Malaysia.
umiekalsum
Kekangan Pembentukan Negara Bangsa
Kebanyakan kita mungkin bersetuju bahawa pembinaan sebuah negara bangsa di
Malaysia adalah sebuah jalan berliku yang memerlukan keikhlasan dan penerimaan
semua pihak. Beberapa faktor yang menjadi kekangan pembentukan negara bangsa :

Faktor Masyarakat Majmuk


Sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, Tanah Melayu merupakan tumpuan
kepada masyarakat berbilang bangsa disebabkan oleh Melaka adalah pusat urus niaga
yang terbesar di rantau Asia Tenggara. Kewujudan masyarakat berbilang bangsa
tersebut amat berbeza daripada masyarakat berbilang bangsa yang wujud akibat
penjajahan British di Tanah Melayu pada abad ke-19. Perbezaan antara kedua-dua
masyarakat berbilang bangsa tersebut ialah kesanggupan masyarakat berbilang kaum
pada zaman Melaka untuk menerima budaya masyarakat Melayu seperti bahasa,
makanan, etika dan pakaian. Sebaliknya masyarakat imigran pada zaman British tidak
berpeluang ataupun berkeinginan mengenali sosiobudaya masyarakat Melayu. Ada
juga dalam kalangan masyarakat imigran yang memandang rendah kedudukan dan
sosiobudaya masyarakat Melayu. Malahan mereka menganggap masyarakat Melayu
tidak mempunyai perkaitan dengan mereka. Oleh itu, masyarakat berbilang bangsa
atau masyarakat majmuk pada zaman penjajahan merupakan punca wujudnya
beberapa aspek sosiobudaya negatif yang menghalang usaha-usaha membina sebuah
negara bangsa Malaysia yang bersatu padu, harmoni dan aman pada hari ini.

Faktor Berbilang Agama


Setiap kaum di Malaysia boleh dikatakan mewakili agama tertentu contohnya
Melayu beragama Islam, Cina beragama Buddha, India beragama Hindu. Iban dan
Kadazan beragama Kristian. Adalah jelas ketiga-tiga kaum utama di Malaysia
mempunyai adat resam, bahasa, agama dan falsafah hidup yang berbeza. Masing-
masing menganggap kebudayaan dan agama mereka adalah yang terbaik. Walaupun
berlaku perkahwinan campur antara kaum tetapi ia terhad kerana wujud halangan
yang kuat dari segi agama. Perbezaan dan pengasingan agama, budaya dan cara hidup
ini bukan sahaja menguatkan lagi sikap prasangka buruk antara masyarakat malah
menghalang proses integrasi sosial antara kaum.
Tidak seperti di Indonesia, warga berketurunan Jawa terasimilasikan dengan baik.
Mereka boleh terdiri daripada beberapa agama contohnya Jawa Hindu, Jawa Islam,
Jawa Kristian dan Jawa Buddha.

Faktor Ekonomi
Secara amnya, British telah menetapkan bidang-bidang kegiatan ekonomi
penduduk di Tanah Melayu mengikut keperluan ekonomi British. Oleh itu, orang
Melayu, Cina dan India dibiar menjalankan aktiviti ekonomi yang berlainan.
Kebanyakan orang Melayu yang bermastautin di luar bandar merupakan petani,
pekebun kecil, penoreh getah atau nelayan. Mereka merupakan komuniti ekonomi yang
kurang dapat perhatian untuk terlibat secara langsung dalam rancangan pembangunan
teknologi atau kemasyarakatan oleh British. Sebaliknya, orang Cina yang tinggal di
kawasan bandar terlibat secara langsung dalam sektor perniagaan, perlombongan,
pembinaan dan kewangan manakala sebilangan besar masyarakat India menjadi buruh
di ladang-ladang getah dan buruh kasar Kereta api Tanah Melayu dan Pejabat Kerja
Raya.
Pengasingan kegiatan ekonomi antara kaum ini bererti mereka masing-masing kurang
berpeluang berinteraksi dari aspek sosiobudaya mahupun aspek ekonomi. Tambahan
pula, pengasingan kegiatan ekonomi ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang
tidak seimbang di antara kaum. Apabila wujud jurang ekonomi yang nyata maka akan
wujud tanggapan negatif yang bakal mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan
kaum. Ianya merupakan satu lagi faktor sejarah yang menyebabkan timbul
ketidakpuasan hati antara kaum terutamanya masyarakat Melayu iaitu tuan punya
Tanah Melayu dengan masyarakat Cina sebagai imigran. Tidak dapat dinafikan suasana
sosioekonomi ini telah mengancam proses pembinaan negara bangsa Malaysia.

Dasar Pecah Dan Perintah


Selain daripada itu, kewujudan parti-parti politik berasaskan kaum dan suku
turut menjadi duri dalam daging kepada pembentukan negara bangsa. Parti-parti
politik berasaskan kaum ini tidak lain tidak bukan sebagai penerus legasi penjajah
British dengan konsep devide and rule (pecah dan perintah) mereka.
Dasar British tidak mengambil langkah-langkah yang menggalakkan bagi mewujudkan
kerjasama, toleransi atau interaksi antara kaum di Tanah Melayu. Pengimportan buruh
dari Cina, India dan Sri Lanka secara beramai-ramai adalah untuk kepentingan
ekonomi British. Walaupun wujud segregasi kaum secara sukarela dan bukannya
sesuatu yang dirancang dengan sengaja bagi tujuan dasar pecah dan perintah semata-
mata, British membiarkan keadaan itu terus berlaku. Dasar British tidak langsung
mengambil kira masa depan Tanah Melayu yang bergantung kepada aspek perpaduan
negara sebagai asas kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Kemerdekaan negara yang dicapai pada 31 Ogos 1957 yang kemudian dimantapkan lagi
dengan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 yang menyaksikan
penggabungan wilayah Semenanjung, Sabah dan Sarawak gagal merealisasikan konsep
“Satu Negara Satu Bangsa”. Ia jelas apabila kita masih dihantui pelbagai permasalahan
yang bersifat perkauman walaupun setelah negara mencapai kemerdekaan yang ke-54
tahun. Masyarakat masih terikat dengan identiti kaum masing-masing dan tidak wujud
sebarang usaha yang proaktif ke arah mewujudkan satu kesamaan dalam kalangan
rakyat pelbagai kaum. Lantaran itu, isu nagara dan bangsa masih menjadi wadah yang
kerap dibahaskan oleh ahli politik dan golongan akademik.
Isu negara dan bangsa Malaysia kerap dilihat dengan penuh prejudis dimana wujud
tanggapan bahawa ia merupakan kesinambungan daripada aspirasi perjuangan Parti
PETIR (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew yang memperjuangkan konsep ‘Malaysian
Malaysia’ dan menuntut persamaan hak politik, ekonomi serta sosial bagi semua tanpa
mengira kaum. Dasar yang jelas bertentangan dengan perlembagaan negara dan
menimbulkan ketegangan antara kaum itu kemudiannya diteruskan oleh Parti
Tindakan Demokratik (DAP) selepas penyingkiran Singapura dari Malaysia pada tahun
1965. Oleh yang demikian, konsep negara bangsa Malaysia dianggap sebagai satu
muslihat yang bertujuan merampas hak dan keistimewaan orang Melayu dan
mencabuli Perlembagaan Malaysia yang telah dipersetujui semua pihak semasa
menuntut kemerdekaan. Mengambil petikan daripada akhbar Utusan Malaysia, 17
Oktober 2008, Perkara yang termaktub dalam fasa 153 yang menyentuh kedudukan
serta kebesaran Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu, agama Islam serta
peranan Bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan perlu dihormati. Ianya penting bagi
memastikan asas pembentukan negara terpelihara dan tidak menimbulkan kegusaran
dan keresahan dalam kalangan rakyat. Mengulas pembentukan Gagasan Bangsa
Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri
Malaysia yakin usaha ke arah itu mampu menjadi kenyataan sekiranya rakyat bersedia
mengubah persepsi dan minda mereka. (Berita Harian. 26 Mei 2008). Ia bakal menjadi
kenyataan kalau semua rakyat mengenepikan soal warna kulit, agama, keturunan dan
budaya sebaliknya menekankan pentingnya kerjasama serta perpaduan demi kemajuan
serta kestabilan bersama

Sistem Pendidikan Yang Berasingan


Sehingga Penyata Razak 1956 dibentangkan tidak terdapat satu bentuk sistem
pendidikan kebangsaan di Tanah Melayu. Wujudnya corak pendidikan vernakular yang
menekankan kepada empat aliran pendidikan yang berbeza iaitu aliran Inggeris,
Melayu, Cina dan India. Sekolah Melayu hanya tertumpu kepada pendidikan agama di
sekolah pondok dan pendidikan sekolah rendah yang membolehkan orang Melayu tahu
membaca, menulis dan mengira sahaja.
Bagi orang Cina pula, sekolah-sekolah didirikan sendiri oleh masyarakat Cina. Sekolah
yang terdiri daripada sekolah rendah dan menengah itu menggunakan kurikulum,
buku teks dan guru-guru yang diimport dari Negeri Cina. Bagi kaum India, sekolah-
sekolah Tamil didirikan di estet-estet berasaskan kurikulum dan buku teks yang
diimport dari India Selatan. Selain daripada itu, terdapat juga sekolah aliran Inggeris
yang didirikan oleh mubaligh-mubaligh Kristian dan British. Sekolah-sekolah ini
didirikan di bandar-bandar dan mendapat sambutan yang baik daripada kalangan
penduduk bandar sama ada Melayu, Cina atau India. Bagaimanapun, sekolah aliran
Inggeris ini tidak mendapat sambutan masyarakat Melayu luar bandar kerana bimbang
anak-anak mereka dipengaruhi agama Kristian. Sistem pendidikan ketika itu tidak
menitikberatkan perpaduan sosiobudaya dalam kalangan penduduk yang berbilang
bangsa.
Walaupun terdapat usaha-usaha untuk mewujudkan sistem pendidikan kebangsaan
dan menghapuskan sekolah-sekolah vernakular seperti Laporan Barnes 1951 dan
Laporan Razak 1956, ianya mendapat tentang yang hebat daripada masyarakat Cina
khasnya yang menganggap Laporan Razak ini mengandungi dasar-dasar pendidikan
yang bersifat ‘revolusioner’ walaupun hakikatnya matlamat utama adalah untuk
memupuk perpaduan dan integrasi nasional seterusnya menyatupadukan penduduk
pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia. Natijahnya, sehingga kini masih wujud
sekolah-sekolah pelbagai aliran seperti sekolah kebangsaan (SK), sekolah jenis
kebangsaan Cina (SJK(C), sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJK(T), sekolah menengah
kebangsaan (SMK) dan sekolah menengah Cina persendirian. Keadaan ini berlanjutan
sebagai warisan sejarah yang amat bahaya ibarat ‘api dalam sekam’. Sekolah dan
pendidikan yang sepatutnya menjadi medium utama pembentukan negara bangsa
masih gagal untuk disatukan kerana wujud kepentingan, prasangka dan tiada unsur
penerimaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang terus
mengekang pembentukan negara bangsa yang berjaya.

Empat Komponen Negara Bangsa


Bagi memastikan kejayaan membentuk sebuah negara bangsa, empat komponen
yang harus ada adalah negara, bangsa, kerajaan dan perlembagaan.

Negara
Istilah negara merujuk kepada unit politik yang mempunyai kedaulatan,
akauntabiliti dan kuasa untuk melaksanakan pemerintahan. Negara berfungsi sebagai
perantaraan antara pemerintah dan rakyat. Setiap tindakan dan aktiviti yang
dijalankan negara tertakluk kepada undang-undang dan peraturan undang-undang
yang sah. Mengikut Harold J.A Laski (1984) dan Robert A. Dhal (1983), konsep negara
merujuk kepada satu unit politik yang terdiri daripada penduduk yang tinggal dalam
sesebuah daerah atau wilayah yang mempunyai tanda sempadan yang jelas.
Penduduknya diperintah oleh sebuah kerajaan yang berdaulat dan mempunyai kuasa
untuk membuat dan melaksanakan undang-undang yang mesti dipatuhi oleh
penduduknya.

Bangsa
Bangsa merupakan sekumpulan manusia yang mempunyai beberapa persamaan
dari segi ciri-ciri biologi. Ciri-ciri seperti warna kulit, tekstur rambut dan bentuk muka
telah digunakan untuk mengelaskan manusia kepada bangsa. Dalam sesebuah negara
bangsa, setiap warga adalah tertakluk kepada sistem perundangan yang sama,
mempunyai persamaan dari segi bahasa, adat resam, kesenian dan pengalaman
sejarah.

Kerajaan
Kerajaan adalah institusi pemerintah yang bertanggungjawab menggubal dan
melaksana dasar sesebuah negara. Ia merangkumi semua badan yang membuat,
mentafsir dan melaksanakan dasar tersebut. Sebuah kerajaan bertindak sebagai
pengaman dan penentu arah kehidupan masyarakat yang ada di bawah
pemerintahannya. Dalam konteks negara kita Malaysia, kerajaan merujuk kepada tiga
badan utama iaitu badan perundangan, badan eksekutif (pelaksana) dan badan
kehakiman.

Perlembagaan
Perlembagaan merupakan peraturan tertinggi negara sama ada bertulis atau
tidak bertulis yang menjadi rujukan dan panduan bagi mentadbir dan memerintah
sesebuah negara. Di Malaysia, perlembagaan merupakan peraturan bertulis tertinggi
yang didokumenkan dan dijadikan rujukan untuk mentadbir negara. Ianya bertujuan
memberi jaminan perlindungan kepada rakyat negara ini.

Kepentingan Merealisasikan Cita-Cita Negara Bangsa Untuk Malaysia

Merealisasikan cita-cita negara bangsa adalah demi survival Malaysia untuk masa
yang panjang. Tanpa usaha serius kerajaan dan rakyat Malaysia merealisasikan cita-
cita negara bangsa ini, dikhuatiri bakal mengundang masalah besar kepada negara.
Kita perlu segera keluar dari belenggu perkauman sempit yang telah lama
diprogramkan. Persaingan tidak sihat antara kaum akan sentiasa berlaku. Sekiranya
tidak dibendung, ia akan menjadi lebih berbahaya ibarat bom jangka yang akan
meletup pada bila-bila masa sahaja. Anak-anak akan dihantui dengan prasangka-
prasangka negatif dan berbaur kebencian. Isu perkauman hanya akan membawa
masalah besar untuk kita dan generasi akan datang. Justeru, persoalan hak berbudaya,
beragama, berekonomi tidak seharusnya timbul jika usaha keras mengintegrasikan
kaum ini disertai dengan mengamalkan sikap saling menerima. Berikut adalah
beberapa isu yang perlu dipertimbangkan dalam konteks penerimaan oleh masyarakat
Malaysia bagi memacu usaha ke arah pembentukan negara bangsa.

Definisi Penerimaan
Memetik kata-kata Y.A.B. Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam Blog 1
Malaysia, penerimaan merujuk kepada kesediaan atau penerimaan atau mengambil
sesuatu yang diserahkan kepada kita. Dalam konteks negara kita, penerimaan merujuk
kepada kesediaan kita menerima hakikat bahawa negara kita Malaysia mempunyai
penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh sebab itu, setiap kaum yang
mendiami dan menjadi warganegara Malaysia ini hendaklah bersedia menerima dan
mengiktiraf kewujudan kaum-kaum lain, kebudayaan dan kepercayaan yang diamalkan
mereka. Apabila kita menerimanya, bererti sedikit sebanyak kita mempunyai
pengetahuan tentang kejadian yang membawa kepada kewujudan negara ini dengan
penduduknya yang pelbagai kaum. Ini bermaksud kita bersedia menerima hakikat itu
dan tidak akan mempersoalkannya apatah lagi mengungkit-ungkitnya di kemudian
hari. Penerimaan ini mestilah sepenuh hati tanpa rasa curiga dan prasangka yang
masih bersarang di lubuk hati kita kerana jika rasa curiga dan prasangka ini
berterusan, lambat-laun negara kita akan terdedah kepada kekacauan dan perselisihan
yang boleh membawa kepada pergaduhan kaum dan boleh menjerumuskan negara
kepada satu keadaan yang bahaya.

Apa Yang Hendak Diterima?


Setelah mengetahui maksud penerimaan yang sebenarnya, kita juga harus
mengetahui apakah yang mesti diterima oleh kita sebagai rakyat Malaysia? Ada
beberapa perkara penting yang perlu kita terima sebagai penduduk di negara ini.
Perkara-perkara yang hendak kita terima itu adalah :
* Penduduk Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum iaitu kaum Melayu, Cina dan India
adalah tiga kaum terbesar;
* Penduduk Melayu adalah kaum yang terbesar dan membentuk separuh daripada
penduduk negara ini dan merupakan penduduk asal yang mendiami negara ini iaitu
sejak wujudnya Kesultanan Melayu Melaka;
* Semua penduduk di negara ini adalah tertakluk kepada perlembagaan negara yang
meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi dan agama-agama lain sama sekali tidak
dihalang untuk diamalkan di negara ini;
* Yang Dipertuan Agong adalah Ketua Negara dan Raja Berperlembagaan terus
dipelihara sementara Perdana Menteri adalah pemimpin negara dan kerajaan yang
dilantik menerusi sistem demokrasi berparlimen;
* Rukun Negara adalah rukun hidup yang mesti dijunjung dan diamalkan dalam
kehidupan kita berdasarkan lima prinsip utama yang telah ditetapkan; dan
* Bahasa Malaysia adalah Bahasa Kebangsaan negara ini.

Keenam-enam perkara di atas adalah perkara pokok yang perlu diterima oleh kita
semua tanpa mengira warna kulit. Penerimaan terhadap keenam-enam perkara di atas
hendaklah secara total dan bulat serta tidak perlu dipertikaikan lagi. Kita perlu belajar
dari sejarah akibat daripada tidak bersikap menerima boleh mengakibatkan terjadinya
peristiwa hitam seperti yang tersimpan dalam lipatan sejarah negara iaitu peristiwa 13
Mei 1969.
Semua kaum yang ada di Malaysia harus menerima hakikat dan bersikap saling
menghormati terhadap pelbagai kepercayaan dan kebudayaan yang diamalkan oleh
rakyat negara ini. Kita juga tidak boleh menafikan bahawa kaum Cina dan India dahulu
dibawa masuk oleh penjajah British tetapi generasi Cina dan India yang ada pada hari
ini adalah generasi yang lahir dan membesar sepenuhnya di negara ini. Walaupun asal
usul keturunan mereka tidak berasal dari negara ini, mereka telah menerima negara
ini sebagai tanah air mereka. Mereka telah berikrar menumpahkan taat setia kepada
raja dan negara ini.

Ketiga-tiga kaum utama yang mendominasi penduduk negara ini perlu saling
menerima sesama mereka dan perlu bersikap jujur. Mereka hendaklah berhenti
daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menghakis keikhlasan dan kejujuran
masing-masing. Tindak tanduk yang boleh menggugat kepercayaan dan penerimaan
tersebut hendaklah dielakkan. Dengan itu, barulah semua kaum dapat hidup dengan
penuh harmoni dan matlamat pembinaan negara bangsa dapat dicapai.

Bagaimana Bersikap Menerima ?


Bagi membuktikan sikap menerima, setiap individu yang mendiami bumi yang
makmur dan bertuah ini hendaklah menunjukkan dan mengamalkan beberapa sikap
yang positif yang akan membawa kepada menerima hakikat penerimaan tersebut. Jika
tidak, kita hanya bersikap menerima setakat di bibir mulut sahaja tetapi dari segi
tindakan tidak menunjukkan sikap penerimaan yang sebenarnya. Berikut adalah
beberapa sikap yang boleh membuktikan sikap penerimaan sebagai sebuah bangsa
Malaysia :

*Berbangga Menjadi Seorang Rakyat Malaysia


Setiap daripada kita hendaklah berbangga menjadi rakyat Malaysia tanpa
mengira warna kulit, bahasa dan kepercayaan. Semua rakyat perlu mempertahankan
nama baik negara dan berusaha untuk mengharumkan nama negara. Dengan memiliki
sikap berbangga sebagai rakyat Malaysia, kita akan sentiasa berusaha mengekalkan
hubungan kita dengan rakyat Malaysia yang lain, walaupun berlainan kaum,
kebudayaan dan kepercayaan. Pendek kata, sikap ‘di mana bumi dipijak, di situ langit
dijunjung’ perlu diamalkan dan dijiwai sepenuhnya.

*Bersifat Setia Dan Sayang Akan Negara


Setiap daripada kita haruslah mempunyai sifat setia dan sayang akan negara
dengan menghormati dan menunjukkan taat setia kepada raja dan para pemimpin
negara. Selain itu, kita juga mesti sayang dan hormat kepada lambang-lambang negara
kita seperti Jalur Gemilang, Lagu Negaraku, Parlimen, Rukun Negara dan institusi lain
yang berkaitan. Elakkkan sikap yang boleh menghina, menjejaskan dan menimbulkan
provokatif terhadap lambang-lambang negara kita kerana ini akan memperlihatkan
sejauh mana sikap patriotisme kita sebagai warganegara Malaysia.

*Bersikap Kekitaan
Dalam kehidupan seharian, sama ada dengan jiran dan masyarakat, kita
hendaklah mengamalkan sikap kekitaan. Kita hendaklah menunjukkan keikhlasan kita
dalam menjalin hubungan dengan jiran dan anggota masyarakat yang berbeza warna
kulit, kebudayaan dan agama. Dengan mengamalkan sikap kekitaan sesama kita, kita
sebenarnya mewujudkan satu suasana hidup yang baik dan boleh menguntungkan kita
semua di samping dapat memelihara soal keselamatan hidup setempat. Kesediaan kita
mengamalkan sikap kekitaan ini akan menjadi contoh yang baik kepada generasi muda
hari ini dan mereka juga akan terdorong untuk mengamalkannya. Hal ini tentunya
akan dapat menjalin semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan rakyat di negara
ini. Lama kelamaan benteng prasangka dan prejudis yang bersarang di dada kita
tentunya dapat dirobohkan.
* Sikap Berdisiplin
Sikap berdisiplin turut penting dalam menunjukkan penerimaan kita terhadap
kaum lain. Pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang negara, menunjukkan
kita bersedia bersikap adil terhadap kaum lain dan menghormati amalan dan
kepercayaan mereka serta hak mereka untuk hidup di negara ini.
Sikap berdisiplin juga menunjukkan bahawa kita mahukan yang terbaik untuk kaum
lain sebagaimana kita mahukan yang terbaik untuk diri kita. Hal ini akan mendorong
kita untuk lebih bersikap bertolak ansur dan cuba memahami hak kaum lain. Kita
tidak akan memperjuangkan hak untuk kaum kita semata-mata dengan menindas atau
membelakangkan hak yang sepatutnya turut diterima oleh kaum lain. Kita juga akan
sentiasa bersedia untuk berkongsi dalam sesuatu perkara yang dibenarkan oleh budaya
kita tanpa mengorbankan prinsip undang-undang dan keadilan.

*Bersikap Produktif
Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan kemakmuran, kita hendaklah
berusaha dengan rajin dan sentiasa bersikap produktif. Sikap produktif hendaklah
ditunjukkan oleh semua kaum dan tidak hanya dikaitkan dengan satu-satu kaum
tertentu sahaja. Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah berusaha untuk membuat
yang terbaik bagi diri, keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa mengira siapa majikan
kita dan dengan siapa kita bekerja, kita hendaklah bekerja dengan gigih dan
mengenepikan sikap buruk dan prejudis. Dengan itu, kita akan dapat menyumbang
kepada produktiviti negara dan memberikan kesan yang positif terhadap pertumbuhan
ekonomi negara kita.

Kesimpulan
Membina sebuah negara bangsa yang sempurna bukanlah tugas mudah apatah
lagi bagi sebuah negara seperti Malaysia. Dengan kepelbagaian kaum serta etnik dari
latar sejarah, bahasa dan budaya yang berbeza serta diperkukuhkan pula oleh sentimen
warisan berbeza menyumbang kepada munculnya persoalan dan masalah yang
kompleks. Ibarat sebuah resepi masakan, negara bangsa bukanlah sekadar pelengkap
rasa tetapi merupakan bahan utama bagi menghasilkan satu masakan yang bukan
sekadar enak dan lazat malah menyihatkan.

Di sebalik kesukaran dan pelbagai alasan yang memungkinkan kegagalan mencapainya


ia sebenarnya sesuatu yang tidak mustahil untuk dikecapi. Melalui pengalaman sejarah
yang disalurkan secara sistematik khususnya melalui sektor pendidikan, impian untuk
membentuk negara bangsa yang selama ini kita impikan akan menjadi kenyataan.
Sesungguhnya, sejarah dan pendidikan mampu menjadi alat bagi membentuk sebuah
bangsa Malaysia yang mempunyai jati diri dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi
kepada negara.

You might also like