Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 10

Khalid Al-Walid : Panglima Perang Islam

Yang Tak Pernah Tewas Dalam Peperangan

Oleh Kays pada 05 Jun 2017 kategori Islamik

Khalid Al-Walid. Nama yang tidak asing lagi bagi umat Islam. Beliau adalah
merupakan salah seorang sahabat Rasulullah S.A.W dan juga general perang
terhebat dalam sejarah Islam yang diberi gelaran "Saifullah Al-Maslul" yang
membawa maksud pedang Allah yang terhunus. Beliau terkenal dengan
kebijaksanaan dalam peperangan dan mengetuai tentera Islam ketika zaman Nabi
Muhammad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Umar
Al-Khattab.

Kehebatan beliau dalam peperangan dan ketenteraan terbukti apabila beliau


merupakan antara 3 general Islam yang tidak pernah kalah dalam mana-mana
peperangan, sama ada ketika beliau masih di zaman Jahiliyah mahupun setelah
memeluk Islam.

Lahirnya seorang pahlawan agung

Khalid bin Walid dilahirkan pada tahun 585 masihi di Mekah kepada pasangan
bernama Walid bin al-Mughira, seorang ketua dari bani Makhzum (bangsa Quraisy)
dan ibunya bernama Lubabah binti al-Harith. Beliau mempunyai pertalian yang agak
rapat dengan Nabi Muhammad S.A.W kerana ibunya dan isteri Rasulullah S.A.W,
Maimunah binti al-Harith merupakan saudara kandung. Beliau juga merupakan
sepupu kepada Saidina Umar bin Khattab dan kedua-dua mereka mempunyai wajah
yang mirip. Tubuh beliau sangat tinggi, badan yang kuat, bahu yang lebar dan
berjanggut tebal di wajahnya.

Selepas dilahirkan, beliau dihantar kepada suku Badui, sebagai tradisi kaum Quraisy
ketika itu. Pada usia 6 tahun beliau kembali semula ke Mekah. Sejak kecil lagi
Saidina Khalid sudah menunjukkan kekuatannya, seperti contoh dalam bergusti.
Beliau pernah bergusti dengan Saidina Umar sehingga mematahkan kaki sepupunya
itu.

Berasal dari Bani Makhzum, satu kaum yang pandai dalam peperangan dan
merupakan antara penunggang kuda yang mahir dan terhebat di Semenanjung
Arab. Ketika masih kecil beliau sudah mempelajari cara menunggang kuda dan
merperkasa kemahiran bersenjata seperti tombak, lembing busur dan juga pedang.

Kehidupan awal

Pada permulaannya, beliau merupakan salah seorang penentang Islam yang paling
kuat dan tegar. Beliau merupakan panglima tentera kaum kafir Quraisy yang aktif
dalam menentang Islam. Sebelum keislamannya, beliau menyertai perang Uhud di
mana tentera Islam kalah dalam peperangan itu.
Dengan kebijaksanaan beliau dalam taktik peperangan dan ketenteraan, beliau
dapat menghidu peluang dan melihat kelemahan pasukan tentera Islam yang ingin
mengambil rampasan perang. Beliau membawa pasukan berkudanya mara dan
berjaya membuatkan tentera-tentera Islam kucar kacir dan menyebabkan
terbunuhnya 50 orang pemanah terbaik tentera Islam ketika itu yang diletakkan
Rasulullah S.A.W di puncak bukit Uhud.

Pemelukan Islam

Pada tahun 628, sebuah perjanjian telah dimeterai oleh orang Islam dan kaum
Quraiys Makkah yang diberi nama Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian itu adalah untuk
mendamaikan kedua-dua pihak serta mengisytihar gencatan senjata selama 10
tahun. Hati Saidina Khalid dari awal tidak menyukai perbuatan menyembah berhala
dan oleh kerana otaknya yang bijak, beliau menganggap perbuatan itu tidak masuk
akal.
Nabi Muhammad yang amat sukakan Khalid kerana kepintaran dan ketangkasannya
dalam peperangan menginginkan beliau untuk memeluk Islam. Ketika Nabi
Muhammad S.A.W bersama Walid Bin Walid iaitu abang kepada Saidina Khalid,
baginda berkata kepada Walid : "Seseorang seperti Khalid tidak boleh lari lama
daripada Islam, dia pasti akan tertarik pada Islam”. Abangnya yang menyimpan apa
yang diucapkan oleh Rasulullah S.A.W kemudiannya mengutuskan sepucuk surat
kepada Khalid dan mengajaknya untuk memeluk Islam sepertinya.

Membaca surat itu, Khalid mengajak teman semasa kecilnya Ikrimah bin Abu Jahal
untuk berbicara mengenai hal itu, namun ditentang niatnya. Kemudian Abu Sufyan
pula mengancam Khalid dengan mahu menyerangnya dengan penuh berang namun
dihalang oleh Ikrimah seraya berkata "Sabar wahai Abu Sufyan, kemarahanmu ini
mungkin akan mendorong aku juga untuk bersama-sama Muhammad. Khalid bebas
untuk memilih apa jua agama yang diingininya,". Lalu Khalid menjawab "Demi Allah
sama ada orang suka atau tidak, sesungguhanya dia adalah benar,".
Pada tahun 629 M, Khalid al-Walid yang dalam perjalanannya ke Madinah bertemu
dengan Amru al-As dan Uthman bin Talha yang juga menuju ke Madinah untuk
memeluk Islam. 31 May 629, mereka tiba di Madinah dan lantas terus menuju ke
rumah Nabi Muhammad S.A.W. dan Khalid disambut oleh abangnya Walid bin
Walid.

Kehebatan dan sumbangan Saidina Khalid Al-Walid


Setelah memeluk Islam, Khalid al-Walid menjadi orang yang paling keras dan kuat
memerangi mereka yang memusuhi Islam. Beliau terlibat dalam hampir 50 perang
besar dan dilantik menjadi pemimpin tentera Islam kerana kehebatan dan
kepintarannya dalam medan pertempuran. Beliau terlibat dalam Perang Mut'ah
dengan dilantik sebagai panglima tentera. Dalam peperangan itu, tentera Islam
hanya mempunyai jumlah tentera seramai 3,000 anggota berbanding tentera
Romawi yang diketuai Heraclius berjumlah 200,000 anggota yang merupakan
gabungan kaum Nasara Romawi dan Nasara Arab sekitar dataran Syam, jajahan
Romawi.

Setelah 3 panglima yang dilantik oleh Rasulullah S.A.W iaitu Zaid bin Haritsah, Ja’far
bin Abu Thalib dan Abdullah bin Rawahah gugur syahid dalam pertempuran ini,
Khalid al-Walid dilantik menggantikan tempat mereka oleh kata sepakat. Menyedari
kekuatan pasukan Islam tidak dapat menandingi kekuata tentera lawan, Khalid
menggunakan kebijaksanaan taktik peperangannya. Bagaimana? Beliau mengatur
strategi dengan menebarkan rasa takut ke dalam diri pasukan lawan dengan
menukarkan formasi anggota tentera setiap hari.
Anggota yang berada di hadapan ditukarkan ke bahagian belakang, dan sebaliknya.
Pasukak di sayap kiri pula ditukarkan menggantikan pasukan di sayap kanan.
Dengan ini, tentera Romawi beranggapan bahawa tentera Islam mendapat bantuan
pasukan yang baru kerana terdapat perubahan pada formasi. Akhirnya, kedua-dua
tentera Islam dan Romawi berundur tanpa dengan keputusan seri. Namun, jika
dilihat kepada kekuatan, pastilah kemenangan berpihak kepada tentera Muslimin.

Pencapaian terulung

Pencapaian terbesar beliau dalam kariernya sebagai seorang panglima perang


adalah apabila beliau berjaya mengalahkan pasukan Rom dan Parsi dalam masa
tiga tahun sahaja. Dalam Peperangan Yarmuk yang bermula daripada cebisan dan
sambungan daripada peperangan Mu'tah, yang diterajui oleh Khalid al-Walid, tentera
Islam berjaya mengalahkan tentera Kerajaan Romawi Timur (Byzantine-Rom) yang
merupakan sebuah kerajaan yang tersangat kuat ketika itu.
Peperangan berat sebelah yang mana tentera Romawi memiliki senjata yang
lengkap dan tentera yang terlalu besar bezanya dengan jumlah tentera Islam.
Menurut sumber Islam, tentera Muslimin ketika itu hanya berjumlah 45,000 orang
berbanding tentera Romawi yang berjumlah lebih kurang 240,000 orang, nisbah 1:5.
Namun, walaupun dengan kelengkapan yang cukup, pengalaman perang yang
hebat serta tentera yang ramai, kemenangan tetap berpihak kepada tentera Islam
dengan izin Allah S.W.T yang dipimpin oleh Khalid al-Walid.

Menurut beberapa sejarawan, pertempuran ini dianggap sebagai salah satu


pertempuran terpenting dalam sejara dunia kerana ia menandakan sebuah
gelombang pertama penaklukan kerajaan Islam di luar Arab. Dengan penaklukan ini,
empayar Islam masuk dengan laju sekali ke Palestin, Syria, dan Mesopotamia yang
mana rakyatnya beragama Kristian.

Perginya seorang wira

Pada tahun 21 Hijrah, Khalid Al Walid telah jatuh sakit. Panglima terulung yang
hebat ini menangis ketika terbaring di katilnya kerana hajatnya untuk mati syahid di
medan perang tidak kesampaian. Beliau menghembuskan nafas terakhir ketika
berusia 55 tahun. Beliau hanya meninggalkan seekor kuda dan pedang yang pernah
digunakannya di medan perang.
Saidina Abu Bakar AS Siddiq berkata, tidak ada lagi wanita yang mampu melahirkan
anak seperti Khalid. Adi bin Hatim pula berkata, nama Khalid sahaja dapat
mengalahkan musuh sebelum peperangan bermula.

Saidina Umar yang mendapat berita kematian sepupunya itu sangat bersedih dan
berkata beliau memecat Khalid Al-Walid daripada memegang tampuk pimpinan
ketenteraan satu ketika dulu bukan disebabkan rasa benci tetapi kerana sifat Khalid
yang terlalu keras terhadap pihak musuh. Khalid juga terlalu sayangkan anggota
tenteranya sehinggakan sebaik sahaja mendapat harta rampasan perang Khalid
akan terus membahagikan harta tersebut kepada anggotanya tanpa menunggu
sebarang arahan.

Saidina Umar juga bercadang untuk melantik kembali Khalid sebagai panglima
perang namun telah terlambat kerana wira ini telah pun pergi meninggalkan dunia
selama-lamanya.

Wallahualam. Segala puji bagi Allah.

You might also like