Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

DILEMA TEKNOLOGI CAM WAJAH?

Salleh Buang

TEKNOLOGI pengecaman wajah membolehkan pergerakan individu dipantau sepanjang


masa di mana-mana kawasan yang mempunyai kamera atau liputan satelit dari angkasa lepas.
GAMBAR HIASAN/AFP
09 Mei 2018 12:00 PM
DARI sudut undang-undang, privasi mengandungi tiga komponen utama hak
untuk bersendirian (maksudnya tidak diganggu oleh orang lain), hak
mengawal informasi diri dan hak mempertahankan nama baik dan autonomi
diri.

Dalam bahasa lain, privasi merangkumi privasi fizikal, privasi informasi dan
kebebasan daripada pengawasan yang keterlaluan.

Hak privasi diri setiap orang di negara ini diiktiraf dan dilindungi oleh
mahkamah seperti yang telah diputuskan dalam beberapa kes sebelum ini
iaitu antaranya kes Maslinda Ishak v Mohd Tahir Osman & Ors (2009) dan
Lee Ewe Poh v Dr Lim Teik Man & Anor (2010). Dalam aspek privasi
informasi atau kerahsiaan data peribadi pula, Parlimen telah meluluskan
Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2013, yang mula dikuatkuasakan
pada 15 November 2013.
Baru-baru ini media Barat melaporkan keresahan serta kegelisahan
beberapa pihak mengenai ketepatan teknologi moden menggunakan
perisian pengecaman wajah (facial recognition software) yang digunakan
oleh pihak berkuasa beberapa negara.

Sebuah portal teknologi (www.technologyreview.com) sedikit masa lalu


menyatakan bahawa mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Government
Accountability Office Amerika Syarikat, pihak FBI sendiri telah gagal
menjalankan ujian rapi tentang ketepatan sistem pengecaman wajah yang
digunakan olehnya (“Are face recognition systems accurate?”, MIT
Technology Review, 6 Julai 2016).

Mengikut sebuah portal lain, pasaran sistem pengecaman wajah kini bernilai
hampir AS$3 bilion (RM11.84 bilion) dan dijangka berkembang dua kali
ganda sehingga AS$6 (RM23.69) bilion menjelang tahun 2021. Pengawasan
ke atas orang awam yang kini diamalkan oleh pelbagai agensi awam negara
menjadi sebab utama pertumbuhan pasaran ini. Pihak FBI sendiri kini
memiliki pangkalan data berisi imej hampir separuh populasi Amerika
Syarikat. Selain keresahan rakyat berpunca daripada pengawasan yang
melampau oleh kerajaan, timbul juga kebimbangan bahawa teknologi
moden ini boleh disalah gunakan untuk maksud gangguan dalam talian atau
jenayah stalking.

Kajian yang dijalankan oleh National Institute of Standards and Technology


menunjukkan walau pun kadar kesilapan pengecaman terus berkurangan 50
peratus setiap dua tahun, ia masih lagi melebihi enam peratus. Kadar
kesilapan pengecaman wajah ini lebih tinggi daripada kadar kesilapan
imbasan iris dan imbasan cap jari (pengecaman identiti seseorang
berasaskan pemeriksaan mata dan cap jari).

Selain isu ketepatan pengecaman wajah itu sendiri, penggunaannya yang


keterlaluan oleh pelbagai agensi awam juga menimbulkan keresahan dari
aspek pelanggaran hak privasi diri. Sepertimana halnya dengan pangkalan
data DNA, gambar muka rakyat yang dirakam dan disimpan oleh pelbagai
agensi awam menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh disalahgunakan,
sekali gus menjejaskan hak privasi rakyat.

Andainya ada pihak berkuasa atau agensi awam meminta maklumat diri kita
seperti cap jari, sampel darah, kuku, rambut dan sebagainya untuk
memastikan identiti kita atau identiti orang lain yang disyaki ada pertalian
darah dengan kita, kesemuanya itu hanya boleh diambil setelah mendapat
izin dari kita atau ada perintah mahkamah. Situasi tidak sama dalam hal
pengambilan gambar muka (foto) seseorang, ia boleh diambil menerusi alat
CCTV dan alat perakam gambar yang dipasang di merata tempat dalam
negara terutama sekali di pintu keluar masuk negara. Kita tidak tahu bila
gambar muka kita telah dirakam dan di mana ia disimpan.

Pada 2015, satu kes difailkan di Illinois, Amerika Syarikat oleh Carlos Licata
terhadap Facebook di bawah satu undang-undang privasi di negeri itu
bernama Akta Privasi Maklumat Biometrik (BIPA) 2008. Di bawah akta itu,
maklumat biometrik seseorang itu tidak boleh diperoleh dan disimpan oleh
mana-mana pihak kecuali terlebih dahulu telah mendapat izin darinya. Jika
ada pihak berbuat demikian tanpa izin (dalam kes ini, ia dilakukan oleh
Facebook), pihak tersebut boleh diheret ke mahkamah.

Facebook telah bekerja keras melawan kes itu selain menentang usaha
kerajaan negeri-negeri lain (seperti Washington, Montana, New Hampshire,
Connecticut dan Alaska) meluluskan undang-undang yang sama. Pada
masa ini Facebook dianggarkan ada menyimpan 350 juta foto pemegang
akaunnya yang dimuat naik setiap hari.

Pada Mei 2016, majalah Fortune melaporkan bahawa di Rusia seseorang


itu boleh menggunakan telefon pintarnya untuk mengambil gambar orang
lain pada bila-bila masa dan di mana-mana tempat. Dan dengan
menggunakan satu aplikasi pengecaman wajah sedia ada, ia boleh
mengetahui siapa orang itu dan latar belakang peribadinya. Menyifatkan
situasi begini sebagai satu mimpi ngeri, majalah itu menyatakan perkara ini
berlaku disebabkan kecanggihan teknologi semasa yang kini nampaknya
sudah di luar kemampuan pihak kerajaan selaku gatekeepers (pelindung)
privasi rakyat untuk mengawalnya. Teknologi begini membolehkan seorang
itu berdiri di luar bangunan seperti masjid, kelab malam gay, klinik AIDS dan
seumpamanya. Dan hanya dengan menggunakan telefon pintar, boleh
mengetahui dengan segera identiti setiap orang yang keluar masuk
bangunan itu.

Majalah itu menyifatkan kebanyakan rakyat di Amerika Syarikat yang tidak


peka dengan kesan buruk teknologi moden ini sebagai seekor katak dalam
periuk air yang tidak sedar ia sedang direbus. Jika kita di negara ini juga
kurang prihatin dengan isu yang sama, nasib yang sama boleh menimpa kita.

Saya sempat meneliti Akta Privasi Informasi Biometrik yang diluluskan di


Illinois AS dan merasakan ada baiknya jika satu akta yang serupa
dengannya boleh dikuatkuasakan di sini.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan


Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia
(UTM) Skudai, Johor.

You might also like