Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 18

Isi Kandungan

Bahagian A...................................................................................................................................... 2

1.0 Pengenalan ................................................................................................................................ 2

1.1 Isu-isu Kajian ............................................................................................................................ 3

1.2 Dapatan Kajian.......................................................................................................................... 3

Bahagian B ...................................................................................................................................... 6

1.0 Pengenalan ................................................................................................................................ 6

2.0 Faktor-faktor ............................................................................................................................. 7

2.1 Politik ........................................................................................................................................ 7

2.2 Ekonomi .................................................................................................................................. 10

2.3 Pendidikan............................................................................................................................... 11

2.4 Agama dan kepercayaan ......................................................................................................... 13

2.5 Hubungan sosial ...................................................................................................................... 14

3.0 Kesimpulan ............................................................................................................................. 16

Rujukan ......................................................................................................................................... 18
Bahagian A

1.0 Pengenalan

Bahagian ini akan merumuskan artikel faktor utama konflik etnik dan kemampuan gagasan
1Malaysia menurut perspektif mahasiswa oleh Nur Azuki Yusuff, Nik Yusri Musa dan Wan
Sopian Sori. Kajian tersebut telah dilakukan di Universiti Malaysia Kelantan dengan melibatkan
seramai 843 orang responden yang merupakan mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan.
Responden adalah terdiri daripada pelajar yang telah diberikan penerapan nilai dan pengetahuan
berkenaan Hubungan Etnik dan perpaduan dari sudut konvensional mahupun nilai keagamaan
yang meliputi 61% responden adalah Melayu, 19% adalah Cina, 9% adalah India dan 11%
masyarakat bumiputera. Daripada segi peratusan jantina responden pula didapati bahawa
bilangannya adalah agak seimbang dengan bilangan perempuan lebih ramai, begitu juga dari
sudut anutan agama.

Soalan Soal Selidik digunakan sebagai instrumen untuk mendapatkan maklumbalas daripada
responden. Soal selidik yang digunakan telah dibahagikan kepada 3 bahagian yang merangkumi
Bahagian A, B dan C. Bahagian A berfungsi untuk mengetahui tiga faktor utama ynag
mempengaruhi konflik hubungan antara masyarakat di Malaysia. Sebanyak sembilan faktor telah
disenaraikan setelah pengkaji berbincang dengan penyelidik Institut Kajian Etnik dan hasil
pemerhatian pengkaji sendiri. Faktor-faktor yang telah disenaraikan oleh pengkaji adalah:
perbezaan genetik/ras dan etnik; kelainan bahasa pertuturan; warna kulit dan bentuk fizikal;
agama dan kepercayaan; politik kepartian dan kepimpinan parti; sokongan kumpulan sukan;
persaingan bisnes/perniagaan; fesyen dan kegiatan harian dan penempatan dan kejiranan. Selain
daripada faktor yang disenaraikan, responden juga boleh menyenaraikan faktor-faktor lain yang
mereka kenalpasti dapat mengugat hubungan etnik di kalangan rakyat negara ini.

Bahagian B pula menekankan kepada faktor yang tidak memberi kesan buruk kepada hubungan
etnik. Item bahagian ini berkait rapat dengan item Bahagian A. Akhir sekali adalah bahagian C
yang memberikan tumpuan kepada pandangan responden mengenai kemampuan gagasan
1Malaysia dalam membina perpaduan di kalangan etnik di negara ini.
1.1 Isu-isu Kajian

Kajian ini memberikan tumpuan kepada pelbagai faktor yang menyebabkan wujudnya konflik
antara etnik di negara ini serta kemampuan gagasan 1Malaysia untuk mengatasi masalah ini.
Meskipun konflik hubungan etnik di negara ini pada tahap yang minima, namun pengukuran
faktor penyebab kepada masalah hubungan etnik perlu diadakan bagi menghapuskan faktor
kepada masalah tersebut. Pandangan golongan siswa adalah perlu kerana mereka adalah
pemimpin masa depan. Malah dengan mengetahui faktor-faktor penyumbang ini akan membantu
dalam mengukuhkan lagi hubungan etnik di kalangan etnik negara ini.

Pandangan dan keyakinan mahasiswa mengenai Kemampuan gagasan 1Malaysia dalam


meningkatkan perpaduan di kalangan etnik juga di ambil kira dalam kajian ini. Hubungan etnik
di kalangan rakyat negara ini dilihat belum mencapai kematangan. Ketegangan dan konflik boleh
berlaku bila-bila masa sahaja jika tidak ada kesedaran mengenai pentingnya perpaduan di
kalangan etnik negara ini. Kehidupan masyarakat negara ini telah terpisah sejak dari awal
kemerdekaan Malaya sehinggalah ke hari ini.

Perbezaan wujud dari segi pendidikan, kuasa ekonomi, penempatan dan politik. Anjakan
paradigma masyarakat negara ini mengenai hubungan etnik bermula pada tahun 1950-an yang
menumpukan kepada pengklasifikasian etnik, diikuti pengkayaan budaya (1960-an), perubahan
kelas sosial (1970-an), pengenalan identiti (1980-an), pengurusan kerencaman sosial (2000-an)
dan usaha kesepaduan sosial pada tahun 2010-an.

1.2 Dapatan Kajian

Fokus kajian tersebut adalah untuk mengenalpasti faktor utama yang berkemungkinan
menyumbang kepada konflik etnik dalam negara ini. Daripada kajian yang dijalankan didapati
bahawa tiga faktor utama yang dilihat membangkitkan konflik hubungan antara masyarakat
negara ini adalah (i) politik kepartian dan kepimpinan, (ii) Agama dan kepercayaan dan (iii)
Perbezaan genetik/ras dan etnik.

i. Politik kepartian dan kepimpinan


Daripada kajian yang dijalankan didapati bahawa Mahasiswa yang terlibat dalam kajian
menyatakan bahawa politik kepartian dan kepimpinan parti yang tiada kawalan merupakan
faktor yang paling utama dalam mempengaruhi konflik hubungan antara masyarakat. Ini
semakin ketara apabila sentimen kepartian melampau yang tersemat di kalangan ahli
menyebabkan mereka lebih mengutamakan kepentingan parti daripada perpaduan kaum.
Ketaksuban ini semakin ketara apabila datangnya pilihanraya.
Pemimpin politik lebih banyak mempengaruhi masyarakat dengan mewujudkan jurang antara
mereka dengan pesaing dari parti yang berlainan. Sentimen yang diwujudkan oleh pemimpin
politik semasa berkempen inilah akan mewujudkan satu jurang yang amat besar dalam
hubungan etnik di negara ini.
ii. Agama dan Kepercayaan

Faktor agama merupakan faktor kedua yang mendominasi perspektif mahasiswa yang dikaji.
Namun, faktor ini hanya berfokuskan dalam batasan dalam pergaulan harian sahaja dan
bukannya memberikan ancaman kepada kestabilan negara. Ini bermakna agama dan
kepercayaan dilihat tidak memberi ancaman kepada kestabilan dalam negara ini. Namun
demikian, agama dan kepercayaan ini merupakan satu perkara yang sangat sensitif untuk
disentuh dan dibincangkan secara terbuka.

Andainya ada anasir yang tidak sihat yang menyentuh sensitiviti keagamaan ini, maka akan
berlakulah rusuhan antara masyarakat dalam negara ini. Sesungguhnya perkara ini perlu
diberi perhatian yang serius oleh pihak pemerintah bagi menjamin kesejahteraan dan
perpaduan negara. Segala anasir dari luar yang cuba untuk menggugat hubungan antara etnik
dengan menyentuh perihal keagamaan dan kepercayaan haruslah dibendung atau di kekang.

iii. Perbezaan genetik/ras dan etnik

Meskipun etnik Cina, India dan Melayu adalah dari ras yang sama, namun mereka tidak
mengakui bahawa mereka adalah sama. Malah setiap etnik sentiasa mewujudkan perbezaan
dari pelbagai sudut. Perbezaan inilah yang mewujudkan jurang antara hubungan etnik di
negara ini. Setiap etnik berbangga dengan keunikan etnik masing-masing sehinggalah
wujudnya jurang hubungan antara etnik yang berlainan. Justeru, kelainan inilah yang
menyebabkan responden kajian berpendapat bahawa perbezaan genetik/ras dan etnik
merupakan faktor yang ketiga mempengaruhi konflik hubungan antara masyarakat.
Seterusnya kajian juga menumpukan kepada faktor yang kurang menyumbang kepada masalah
etnik di negara ini. Faktor-faktor tersebut terdiri daripada (i) sokongan terhadap kumpulan sukan,
(ii) Fesyen, budaya dan kegiatan harian dan (iii) warna kulit dan bentuk fizikal.

i. Sokongan Terhadap kumpulan sukan

Daripada kajian yang dijalankan didapati bahawa sokongan terhadap kumpulan sukan adalah
faktor yang paling tidak mempengaruhi hubungan sosial. Jika ada konflik sekalipun ia hanya
bersifat sementara dan jangka pendek. Namun demikian, konflik ini perlu dibendung dan di
kawal rapi kerana ianya boleh menjadi satu malapetaka yang amat teruk jika tidak dibendung dan
di ambil lewa sahaja.

ii. Fesyen, budaya dan kegiatan harian

Fesyen, budaya dan kegiatan harian bukanlah merupakan faktor besar atau utama dalam konflik
antara etnik. Ini disebabkan rakyat negara ini sudah biasa dengan perbezaan ini.

iii. Warna Kulit dan bentuk fizikal

Begitu juga dengan warna kulit dan bentuk fizikal yang dilihat sebagai tidak menjadi faktor
utama dalam konflik antara etnik. Ini juga disebabkan oleh rakyat negara ini sudah biasa dengan
perbezaan yang wujud.

Daripada kajian yang telah dijalankan juga didapati bahawa responden tidak meletakkan
keyakinan sepenuhnya terhadap usaha gagasan 1Malaysia ke arah kesatuan rakyat negara ini. Ini
kerana dalam masa kerajaan atau pemerintah berusaha untuk menjayakan gagasan ini, mereka
juga telah menjadi faktor utama kepada wujudnya konflik antara etnik. Kepimpinan politik
kepartian dan penyokong parti yang taksub dan tiada toleransi menghalang kepada pembentukan
perpaduan di negara ini.

Justeru, kesedaran semua pihak perlulah diwujudkan bagi memastikan bahawa konflik antara
etnik tidak berlaku sehingga menganggu kesejahteraan dan keamanan negara.
Bahagian B

Faktor-faktor yang menyumbang kepada keharmonian Negara Malaysia

1.0 Pengenalan

Malaysia yang merupakan sebuah negara yang mempunyai pelbagai etnik, agama, bahasa dan
budaya sudah tentu tidak dapat lari dari menghadapi cabaran hubungan etnik. Pelbagai cabaran
harus ditempuhi oleh masyarakat Malaysia disebabkan wujudnya konflik dalam masyarakat
majmuk ini.

Disebabkan terdapat pelbagai kaum di Malaysia, terutamanya tiga kaum utama iaitu Melayu,
Cina dan India, maka hak dan kepentingan semua kaum perlulah dijaga agar keharmonian negara
dapat dikecapi. Hak dan kepentingan mereka yang perlu dijaga termasuklah daripada segi
Politik, Ekonomi dan Sosial (Aziz, 2008).

Sebagai sebuah Negara yang penduduknya berbilang kaum, Malaysia perlu memastikan
semangat muhibah, Tolak ansur, dan perpaduan sentiasa tertanam dalam jiwa setiap rakyat. Hal
ini demikian kerana semangat muhibah dan perpaduan merupakan elemen terpenting dalam
memastikan kestabilan dan keharmonian sesebuah Negara. Jika semangat perpaduan selalu
diterapkan dalam jiwa seseorang, maka hasilnya akan lahirlah individu dan seterusnya
masyarakat yang cinta akan perpaduan. (Sarlan, ngadiman, & Hairan, 2009) sekolah merupakan
temat yang paling sesuai untuk menerapkan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan
masyarakat kerana dunia persekolahan sangat luas dan memakan masa yang panjang. (Sarlan,
ngadiman, & Hairan, 2009)

Pelajar dari tadika hingga universiti merupakan kelompok masyarakat yang besar. Oleh itu, amat
wajar sekolah dijadikan tempat untuk menerapkan semangat perpaduan dalam kalangan
masyarakat. Apabila pelajar yang tamat sekolah berada dalam kelompok masyarakat setempat,
maka mereka telah mempunyai asas untuk mengamalkan nilai perpaduan yang selama ini
dipelajari di sekolah.

Malaysia adalah sebuah negara yang sering dikaitkan dengan kebujaksanaan dalam pengurusan
keharmonian antara kaum. Ini kerana lebih 50 tahun merdeka, tidak ada pergolakan kaum yang
benar-benar serius. Beberapa siri insiden perkauman di Malaysia berpunca daripada sensitiviti
perkauman dan keagamaan. Ia adalah api kecil yang mampu marak dengan pantas sekiranya
tidak dipadam dengan cara yang berhemah. (Awang, 2013)

Lebih 50 tahun merdeka, masyarakat pelbagai kaum masih memilih untuk berada dalam
kelompok majoriti kaum masing-masing tetapi mengekalkan keharmonian dan kesepaduan.
Mungkin inilah cara Malaysia untuk mengekalkan keharmonian. Setiap etnik dilihat yang lebih
cenderung untuk bersama-sama kelompok masing-masing dan pada masa sama menjaga
sensitiviti kaum lain.

Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah.
Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan
adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan
keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan
ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa,
semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama
sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah
pembentukan masyarakat majmuk. (Awang, 2013).

Justeru, artikel ini akan mengupas mengenai faktor-faktor yang menyumbang kepada
keharmonian negara Malaysia.

2.0 Faktor-faktor

Antara faktor-faktor yang dikenalpasti menyumbang kepada keharmonian negara Malaysia


adalah politik, ekonomi, pendidikan, Agama dan Kepercayaan dan hubungan sosial.

2.1 Politik

Politik adalah antara faktor penting dan perlu diberi perhatian dalam rangka memahami bentuk
dan sifat hubungan etnik dalam sesebuah masyarakat plural seperti di Malaysia. Hal ini kerana,
politik sering dikaitkan dengan kuasa, pembentukan dan pelaksanaan dasar . politik memberikan
kuasa kepada sesuatu kelompok atau rejim untuk melaksanakan sesuatu mengikut hajat dan
landasan pemikiran atau ideologi mereka. Selepas memperoleh kemerdekaan 1957, Malaysia
ialah negara yang mengamalkan sistem politik dan pemerintahan serta kerajaan yang
berlandaskan prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Dalam sistem
demokrasi, kerajaan dipilih melalui pilihan raya secara berkala yang diadakan sekali dalam
tempoh lima tahun. Pilihan raya diadakan bagi memperbaharui mandat yang diperoleh bagi
sesebuah kerajaan memerintah yang berasaskan prinsip demokrasi. Sistem demokrasi dan
amalan pilihan raya mengizinkan kewujudan dan penubuhan parti-parti politik bagi tujuan
bertanding dalam pilihan raya. Setiap parti politik yang ditubuhkan mempunyai asas-asas serta
prinsip perjuangannya yang tersendiri. Hal ini termasuklah yang berasaskan ideologi tertentu dan
parti-parti tang berteraskan kepentingan etnik dan perkauman.

Sejak merdeka, parti-parti politik yang terdapat di Malaysia rata-rata ditubuhkan berasaskan
kaum atau nilai perkauman seperti UMNO, MCA dan MIC. Namun begitu, sejarah menunjukkan
bahawa parti-parti ini walaupun ditubuhkan berasaskan kepentingan dan perjuangan kaum, tetapi
telah berupaya membentuk gabungan dalam sesuatu kerja sama permuafakatan politik dikenali
sebagai Perikatan dan mengamalkan konsep perkongsian kuasa. Keadaan ini berlaku atas
keperluan demokrasi juga kerana penggabungan akan memberikan peluang sesuatu perikatan itu
mendapat sokongan yang lebih besar dan seterusnya mengekalkan kuasa.

Sejak pilihan raya pertama pada tahun 1955, gabungan perikatan parti-parti berasaskan kaum
yang menyertai pilihan raya atas nama PERIKATAN dan kemudiannya BARISAN NASIONAL
telah memenangi 12 kali pilihan raya dan memegang tampuk pemerintahan negara sehinggalah
sekarang. Perkara yang hendak ditekankan di sini adalah kepentingan serta peranan parti-parti
politik dalam konteks perhubungan antara kaum. Lazimnya, Parti-parti yang ditubuhkan untuk
kepentingan-kepentingan yang dirasakan perlu dalam masyarakat majmuk . Sehubungan itu, isu-
isu seperti ketidakadilan sosial, kesaksamaan, diskriminasi dan seumpamanya sering menjadi
perdebatan serta menghangatkan polemik hubungan kaum di Malaysia.

Situasi ini ditambah lagi dengan kandungan Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan
beberapa bahagian yang secara langsung memberikan keistimewaan kepada kaum Melayu dan
bumiputera secara tidak dirancang kerana perkara ini terhasil daripada permuafakatan politik
antara kaum utama dalam negara ini yang terlibat dalam proses menuntut kemerdekaan. Bagi
mereka yang tidak benar-benar memahami sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan dan
proses permuafakatan itu berlaku serta persetujuan itu dicapai antara pemimpin kaum-kaum yang
terdapat di tanah Melayu pada waktu itu, mereka melihat perlembagaan itu dari sudut unsur –
unsur yang boleh ditafsirkan sebagai diskriminasi. Akan tetapi , bagi warga Malaysia, hal ini
seharusnya tidak berbangkit lagi sesudah negara menempuh era pasca kemerdekaan selama 5o
tahun . Hal ini kerana, perkara itu merupakan sebahagian daripada sejarah unik negara ini yang
memperlihatkan kesediaan setiap pemimpin kelompok dan kumpulan suku kaum yang akan ada
dalam nagara pada waktu itu bermuafakat dan menerima konsep perkongsian seperti mana yang
dipersetujui sebagai sesuatu kontrak sosial.

Walaupun parti-parti politik yang ditubuhkan berteraskan kaum, dengan semangat toleransi dan
kebersamaan yang tinggi, kaum-kaum yang ada di tanah Melayu ketika itu bersedia memberi dan
menerima serta bertolak ansur dalam perkara-perkara dalam perkara-perkara yang melibatkan
perbezaan, serta pada waktu yang sama bersedia berkorban atas asas dan hasrat mahu membina
negara dan masyarakat yang aman dan harmoni. Sehingga kini parti politik yang berasaskan
kaum masih terus wujud dan berperanan dalam sistem politik negara.

Dalam konteks hubungan antara etnik, idealnya parti-parti politik yang ditubuhkan itu harus
bersifat merentas kaum. Akan tetapi, realiti kehidupan masyarakat selalunya tidaklah sedemikian
rupa. Hal ini mungkin disebabkan sifat semula jadi manusia yang sentiasa berasa terancam.
Keadaan ini ditambah pula dengan ketidakseimbangan hubungan antara kaum yang terdapat di
negara ini seperti hubungan majoriti-majoriti , jarak sosial dan budaya yang berbeza dan
sebagainya.

Bagi memahami persoalan hubungan timbal balik antara pembangunan politik dan hubungan
etnik, kita perlu menyentuh beberapa aspek kemajmikan masyarakat Malaysia yang mewarnai
proses politik di Malaysia. Kemudian, bab ini akan menghuraikan evolusi langkah-langkah
memupuk hubungan etnik yang harmonis secara formal melalui institusi dan tindakan politik.
Institusi dan tindakan politik yang dimaksudkan ialah reaksi terhadap Melayan Union, perjanjian
persekutuan, penggubalan perlembagaan, pembentukan parti politik, pilihan raya dan kerjasama
parti-parti politik membentuk gabungan.

Permuafakatan, kefahaman, kerjasama dan penyatuan etnik merupakan unsur-unsur utama yang
perlu dicapai dalam usaha negara Malaysia ke arah pembentukan 1Malaysia. Hal ini kerana,
hubungan etnik yang harmoni dan sihat memainkan peranan penting dalam konteks
pembangunan politik negara. Hubungan etnik di negara ini telah terjalin sejak sebelum merdeka
lagi. Dari zaman penjajahan British sehingga Perang Dunia Kedua, hubungan etnik telah melalui
pasang surut seiring dengan perkembangan politik semasa. Keadaan bertambah baik apabila
usaha ke arah mencapai kesepakatan dan kompromi politik dimulakan selepas Perang dan
menjadi lebih rancak lagi pada tahun 1950-an di Semenanjung Malaysia.

Selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963, pelbagai usaha dilakukan untuk memupuk
semangat kerjasama dan penyatuan penduduk berbilang kaum dalam pembangunan politik
negara. Secara umumnya, proses politi di Sabah dan Sarawak diwarnai oleh pertubuhan parti-
parti politik berasaskan kepentingan kelompok etnik tertentu sejak penghujung tahun 1950-an,
namun pada masa yang sama usaha-usaha untuk memupuk perpaduan etnik melalui kerjasama
politik turut dijalankan hingga kini. Walaubagaimanapun, usaha pihak kerajaan tercabar apabila
berlakunya rusuhan pada tahun 1969. Peristiwa 13 Mei 1969 berlaku kerana ketidakseimbangan
tahap pembangunan politik, sosial dan ekonomi antara etnik dengan wilayah di Malaysia.
Ketegangan etnik sekali lagi dirasai oleh rakyat Malaysia ketika berlaku Peristiwa Kampung
Medan pada Mac 2001.

Walaubagaimanapun, atas usaha gigih yang dijalankan oleh pelbagai pihak di Malaysia dan
melalui berbagai-bagai saluran seperti pembangunan politik, negara kita pada hari ini bukan
sahaja dapat menikmati kestabilan politik, malah sedang menuju kearah penyatuan dan
keharmonian etnik. Keadaan ini membantu mencapai perpaduan penduduk berbilang kaum dan
meletakkan landasan asas bagi Malaysia menuju kearah pembentukan 1Malaysia yang
dikemukan oleh Perdana Menteri Malaysia dalam hasrat beliau untuk melahirkan sebuah negara
Malaysia yang unggul dan disanjung tinggi.

2.2 Ekonomi

Melalui aspek ekonomi terdapat dua perkara yang perlu ditekankan adalah penguasaan ekonomi
dan perbezaan pekerjaan berdasarkan sektor ekonomi. Pertama, penguasaan ekonomi
memperlihatkan jurang yang luas bagi setiap etnik. Majoriti kaum Melayu menguasai sektor
pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Bagi kaum
Cina, yang umumnya menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan
menggunakan teknologi moden. Manakala, kaum India pula banyak terlibat dengan perladangan
di estet getah dan kelapa sawit.
Kenyataan di sini sudah membolehkan kita membuat satu kesimpulan iaitu terdapatnya jurang
pendapatan yang begitu ketara dan tidak seimbang dalam ekonomi negara Malaysia. Semua
golongan etnik sentiasa mencuba untuk bersaing dalam ekonomi ini untuk berusaha
mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar. Penguasaan ekonomi yang berbeza serta
jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat
majmuk. Justeru itu, implikasinya mengakibatkan ketidakpuasan hati bagi semua golongan etnik.
Bagi kaum Melayu yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat pendapatan yang sedikit dan
berkemungkinan akan menghadapi dengan kemiskinan.

Situasi yang sama juga akan berlaku terhadap kaum India yang di mana harga getah dan kelapa
sawit adalah berlandaskan kepada keadaan ekonomi di dunia. Jika harga meningkat, maka,
pulangannya tentu baik dan sebaliknya juga akan berlaku. Golongan etnik Cina pula akan terus
mencari peluang-peluang keemasan dalam perniagaan dan mereka dapat hidup dalam hidup yang
cukup mewah. Akan tetapi, mereka pasti berasa tidak puas hati yang di mana kebanyakan lubang
perniagaan banyak diutamakan kepada kaum Bumiputera atau Melayu.

Sudah tentu timbulnya persoalan di lubuk pemikiran mereka di mana hak mereka sedangkan
selama ini mereka banyak menyumbang kepada ekonomi negara. Isu-isu sebegini merupakan
perkara yang boleh menyebabkan negara kita bergolak. Selain itu, dalam Rancangan Malaysia
Kedua ada menyatakan perpaduan negara tida boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan
keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik Malaysia melalui
penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada
permodenan dan pertumbuhan ekonomi.

Sesungguhnya, perpaduan negara tidak boleh dipupuk seandainya sebahagian besarnya


penduduk kekal miskin dan peluang pekerjaan produktif yang tidak mencukupi. Fenomena
kemiskinan bukan sahaja terdapat di kawasan luar bandar tetapi juga di kawasan bandar.
Keadaan ini boleh mengugat perpaduan negara kerana masalah kemiskinan hanya menonjol
dalam kalangan kelompok etnik yang tertentu sahaja.

2.3 Pendidikan

Pendidikan merupakan asas penyatuan dalam proses pembinaan negara bangsa. Walaupun
negara ini mempunyai Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan, tetapi dari
sudut praktiknya, dasar tersebut agak berbeza dengan negara berkenaan. Sistem pendidikan di
negara ini berorientasikan komuniti etnik tertentu yang berkongsi kurikulum yang sama. Sistem
ini disebut sebagai Sistem Pendidikan Vernakular ataupun jenis Kebangsaan. Pengekalan sistem
sedemikian akan menggalakkan pemisahan kanak-kanak daripada komuniti etnik yang berbeza.
Jika langkah bersepadu kurang mampu dilaksanakan, tidak mustahil matlamat kerajaan untuk
memupuk kesepaduan sosial antara anggota masyarakat menerusi sistem pendidikan kebangsaan,
sukar untuk dicapai sepenuhnya.

Neena (1985) meletakkan peranan penting pendidikan formal dalam proses sosialisasi. Bagi
pelajar yang mempunyai perbezaan latar belakang sosiopolitik, sekolah boleh mensosialisasikan
mereka semula mengikut kumpulan yang sama sehingga ke peringkat yang lebih tinggi, di
samping dapat mengamalkan semangat bertolak ansur dan saling memahami antara satu sama
lain.

Bahasa dan pendidikan adalah dua perkara yang saling berkait rapat. Melalui pendidikan, sesuatu
bahasa dapat dipertahankan dan bahasa juga menggambarkan jiwa sesebuah bangsa. Dengan
warisan nilai budaya dan peradaban yang berbeza, setiap komuniti etnik di Malaysia, berusaha
mempertahankan sistem pendidikan masing-masing. Atas alasan ini, usaha kerajaan untuk
membentuk satu identiti kebangsaan menerusi sistem pendidikan kebangsaan dengan
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan agak sukar.

Transformasi dalam pendidikan negara menunjukkan komitmen kerajaan ke arah memupuk


perpaduan kaum dengan lebih berkesan. Peluang mempelajari bahasa asing yang diwujudkan di
sekolah rendah kebangsaan memberi kefahaman kepada pelajar bahawa perbezaan bahasa tidak
menyebabkan segregasi, tetapi lebih kepada mewujudkan integrasi. Hal ini kerana kanak-kanak
yang terdedah kepada persekitaran pelbagai etnik akan menjadikan mereka lebih terbuka dan
saling menghormati antara satu sama lain.

Pengekalan kepelbagaian struktur aliran sekolah yang terdapat di negara ini perlu difahami oleh
semua pihak, iaitu lebih kepada untuk menjaga kepentingan identiti sesuatu masyarakat, yang
merupakan khazanah yang amat berharga bagi masyarakat berkenaan. Pengekalan yang wujud
tidak bermakna struktur pendidikan masih berasaskan sistem vernakular zaman kolonial Inggeris
yang mengguna pakai kurikulum mengikut negara asal sesuatu etnik. Pengekalan sistem dan
struktur pendidikan jenis kebangsaan ini wujud adalah hasil daripada semangat tolak ansur dalam
kalangan pemimpin negara. Keunikan dalam struktur pendidikan yang pelbagai membawa
kepada pemerkasaan sistem pendidikan negara ke arah kesepaduan sosial dengan melakukan
banyak penambahbaikan demi mencapai wawasan pendidikan negara. Pengekalan struktur dan
sistem pendidikan semasa di negara ini merupakan alat penyatuan dalam kepelbagaian.

Akta Pendidikan 1996 telah mengemukakan satu undang-undang baharu tentang pendidikan bagi
maksud melaksanakan dasar pendidikan negara yang berasaskan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Matlamat seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara dijangka
dapat dicapai melalui suatu Sistem Pendidikan Kebangsaan, yang memperuntukkan bahasa
kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama, kurikulum kebangsaan dan peperiksaan yang sama.
Pendidikan yang disediakan melalui akta ini adalah pelbagai dan komprehensif skopnya dan
akan memenuhi keperluan negara, serta berupaya memupuk perpaduan negara melalui
pembangunan budaya, sosial, ekonomi dan politik.

Sistem pendidikan hari ini mesti memenuhi keperluan 1Malaysia. Sistem pendidikan pelbagai
tidak akan membantu rakyat memahami gagasan tersebut. Kanak-kanak dipisahkan sejak kecil.
Apabila membesar agak sukar untuk mereka memberikan kerjasama antara satu lain. Sekolah
vernakular pada asalnya diwujudkan bagi membolehkan orang Cina dan India belajar tentang
asal-usul negara mereka, tetapi hari ini mereka telah menjadi rakyat Malaysia dan sepatutnya
keadaan sedemikian tidak perlu wujud lagi (Khoo 2008).

Kerajaan sedar bahawa pendidikan merupakan satu bidang yang amat penting dalam
pembangunan modal insan bagi menjamin kelestarian dan kejayaan sesebuah negara.
Pembangunan sistem pendidikan negara melalui kewujudan sekolah vernakular mampu
melahirkan rakyat yang mempunyai nilai tambah apabila dapat menguasai lebih daripada satu
bahasa.

2.4 Agama dan kepercayaan

Faktor yang keempat adalah cabaran nilai antara etnik yang menyatakan perbezaan dari segi
agama, bahasa, dan kebudayaan lebih ketara dalam masyarakat majmuk. Kaum Melayu, Cina
dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan yang berlainan. Perbezaan ini bertambah
sukar apabila setiap kaum terus menebal dengan bahasa dan kebudayaan mereka sendiri.
Implikasi di sini mengakibatkan anggota etnik lebih mengutamakan anggota daripada etnik yang
sama dalam memilih sahabat, mendapatkan perkerjaan.

Faktor ini merupakan faktor yang tidak dapat dielakkan kerana semua kaum mempunyai
kepercayaan,budaya dan agama mereka yang tersendiri. Setiap kaum mempunyai semangat
yangmenebal terhadap kebudayaan mereka dan bahasa mereka. Mereka hanya ingin
menggunakan bahasa mereka dan tidakmahu membuka dunia budaya mereka kerana
beranggapan jika terdapat yang lain selain bangsa mereka. Identiti bangsa mereka akan hilang
dan tiada lagi keistimewaannya. Disamping itu,terdapat juga juga batasan dan peraturan sosial
yang perludiambil kira kerana perbezaan budaya. Ini kerana apabilaterdapatnya perbezaan ini,
kita tidak tahu apa yang diperkatakandan apa yang menjadi dalam kalangan bangsa lain. Masalah
bahasa ini juga menunjukkan akan kurangnya interaksi di mana pelajar tidak banyak bergaul.

Perkara ini seolah-olah sudah menjadi tegal atau “taboo” kerana ia memang sukar untuk diubah
walaupun menggunakan ubatan atau teknologi yang moden sekali pun. Setiap etnik tidak
mempunyai perasaan hormat menghormati dengan agama dan budaya etnik-etnik yang lain.
Kesukaran untuk hidup dalam satu masyarakat yang sama pasti akan menimbulkan kekecohan di
kawasan tersebut. Ini adalah berdasarkan mereka mempunyai masalah untuk berkomunikasi
dalam bahasa yang difahami oleh semua etnik.

Masalah ini pasti mewujudkan ketidakselesaan juga mereka melihat budaya yang sebelum ini
belum pernah disaksikan oleh mereka. golongan etnik-etnik ini tentunya sukar untuk
menerimanya dan tidak mungkin akan menerima apa-apa perubahan walhal ianya memberikan
banyak faedah dalam kehidupan seharian mereka.

2.5 Hubungan sosial

Aspek sosial ini dapat lihat melalui empat paradigma yang berlainan iaitu dari sudut pemisahan
fizikal, sistem pendidikan yang berasingan, polarisasi dalam kalangan pelajar dan kontrak sosial.
Dari sudut pemisahan fizikal ianya berlaku dalam masyarakat negara ini yang timbul akibat
daripada kesan dasar “pecah dan perintah” yang diamalkan oleh British sejurus menjajah
Malaysia. Ketiga-ketiga kumpulan kaum ini bukan sahaja terasing daripada segi lokasi tempat
tinggal, malahan mereka menjalankan jenis pekerjaan yang berbeza. Keadaan ini juga
menyebabkan sesuatu golongan etnik itu tidak mengenal atau berpeluang berinteraksi dengan
lebih kerap di antara sesama mereka khususnya mereka yang tinggal dalam wilayan yang
berbeza. Hal ini berlaku akibat pemisahan fizikal yang disebabkan keadaan geografi di Sabah
dan Sarawak yang terpisah oleh Laut China Selatan.

Hanya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi yang berbeza
merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia.
Selain itu, ia hanya meningkatkan lagi perasaan kekitaan atau etnosentrisme yang bermaksud
pandangan atau perseptif yang melihatkan kelompok etnik lain melalui kaca mata etnik itu
sendiri. Keadaan sebegini hanya akan menimbulkan prasangka, stereotaip dan mengekalkan
kejahilan di dalam kalangan ahli bagi sesuatu golongan etnik terhadap golongan etnik yang lain.

Contoh yang boleh kita nyatakan di sini adalah, kejahilan ilmu masyarakat Semanjung Malaysia
dalam memahami cara hidup masyarakat Sabah dan Sarawak yang sedikit berbeza dari aspek
budaya, keagamaan mahupun adat resam. Perkara sebegini mungkin akan berlaku jika semua
etnik hanya mengambil berat tentang etniknya yang tersendiri sahaja. Maka, pastinya amat sukar
sekali Malaysia untuk menjadi negara yang lebih maju sekiranya masyarakatnya terpisah dari
sudut fizikal dan terasing dari arus pemodenan negara. Seterusnya, adalah dari sudut sistem
pendidikan yang terasing.

Setiap golongan etnik mempunyai sistem pendidikan yang tersendiri. Maksudnya di sini adalah,
pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa
Melayu, pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai
bahasa perantaraan, manakala, pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan
bahasa Tamil. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan
perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan
persefahaman dalam kalangan pelajar. Situasi hanya akan menyebabkan interaksi mereka hanya
terhad di antara etnik yang sama sahaja. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan
kesan yang negatif kepada negara Malaysia.

Semua etnik masing-masing mempertahankan bahasa ibunda mereka dan tidak akan menerima
bahasa ibunda kaum yang lain. Ini adalah mereka akan menganggap adalah tidak wajar dan tidak
penting untuk mempelajari bahasa kaum yang lain. Selain itu, adalah menjadi satu kemestian di
mana setiap sekolah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Ianya akan memberikan
impak yang kurang elok kepada penstrukturan negara kerana mempunyai corak pendidikan yang
berbeza-beza. Tidak juga dilupakan bahawa golongan yang menuntut di sekolah itu juga akan
terlahirnya para pemimpin untuk mentadbir negara Malaysia pada satu hari kelak. Sekiranya
pemikiran mereka hanya disogok dengan etnik mereka sahaja, sudah pasti Malaysia tidak akan
berada dalam keadaan yang aman. Bakal pemimpin negara ini juga mengalami kesukaran untuk
mendapatkan kata sepakat daripada rakyatnya yang terdiri daripada etnik yang berbeza.

Pastinya, amat sukar untuk kita memupuk masyarakat yang majmuk jika cabaran ini dianggap
enteng oleh pihak yang berwajib. Dari sudut polarisasi dalam kalangan pelajar yang dapat kita
lihat adalah masih lagi terdapat keterasingan pada peringkat sekolah rendah, kerenggangan pada
peringkat sekolah menegah dan institut pengajian tinggi awam (IPTA) serta institut pengajian
tinggi swasta (IPTS) masih wujud. Keadaan sebegini menyukarkan lagi proses hubungan etnik di
Malaysia.

Implikasinya di sini adalah nilai-nilai bagi memupuk semangat kekitaan pada negara Malaysia
tidak dapat diterapkan dengan berkesan kerana masih lagi terdapat jurang di antara semua kaum.
Jika kita lihat, pada masa kini, masih ada lagi para ibu bapa yang kurang mempercayai untuk
menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Mereka lebih mudah menghantar anak-
anak mereka ke Sekolah Jenis Kebangsaan kerana merasakan struktur pendidikan di sekolah
tersebut dapat menjamin kecemerlangan akademik anak mereka. Sukar sekali untuk kita
memaksa ibu bapa ini kerana mereka mempunyai satu perspektif yang perlu kita hormati. Walau
bagaimanapun, tidak semua ibu bapa yang bertindak sedemikian.

3.0 Kesimpulan

Ternyata bahawa peranan pendidikan amat dominan dalam proses sosialisasi. Walaupun agen
sekolah diletakkan sebagai agen kedua penting dalam sosialisasi politik, tetapi pengaruhnya
memang tidak boleh dinafikan kerana perkaitannya yang amat rapat dengan keluarga yang
berhak untuk menentukan proses persekolahan anak-anak mereka. Dasar pendidikan dan bahasa
di Malaysia pula amat unik jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Ramai yang berhujah
bahawa kepelbagaian sebagai satu kekuatan, namun terlalu banyak perbezaan juga tidak
membawa kepada kebaikan.
Meskipun pendidikan dilihat sebagai satu faktor yang dominan namun, faktor politik juga dilihat
salah satu faktor yang amat mempengaruhi hubungan etnik di negara ini. Ini dapat dilihat apabila
berlakunya perubahan dalam kabinet terutamanya yang melibatkan kementerian pendidikan
maka akan bertukarlah dasar-dasar yang diperkenalkan. Dasar-dasar lama akan diganti dengan
dasar baru. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan
mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat
oleh semua pihak. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama,
kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik, pastinya, ia tidak akan
menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu.

Justeru, Kerajaan perlu mencari titik persamaan untuk memenuhi matlamat gagasan 1Malaysia.
Persamaan itu hanya akan dapat dicapai dengan memahami dan berkongsi matlamat wawasan
negara dalam kalangan rakyat dan diterajui oleh barisan kepemimpinan yang sentiasa berpegang
kepada slogan ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’.

Kesimpulannya, perpaduan kaum adalah perkara utama yang harus diberi perhatian kerana
pemupukan hubungan etnik antara masyarakat adalah amat penting bagi negara Malaysia yang
bermasyarakat majmuk serta menjamin kestabilan politik dan ekonomi negara. Kerajaan sentiasa
prihatin dan mengambil berat terhadap isu perpaduan ini supaya dapat mengekalkan
keharmonian kehidupan di negara kita selain menjaga kemerdekaan yang telah dicapai melalui
perpaduan nenek moyang kita. Oleh yang demikian, setiap kaum, golongan masyarakat dan
semua pihak adalah terlibat bekerjasama dalam mencapai usaha yang murni ini bagi menjamin
kehidupan sejahtera yang berpanjangan.
Rujukan

Awang, M. (2013). Menghormati sensitiviti kaum di Malaysia. Kaum di Malaysia, 12.

Aziz, R. A. (2008). Jurnal Antropologi Dan Sosiologi. Jabatan Antropologi dan Sosiologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hasnah Hussin . (2007) .Pembangunan etnik di Malaysia.Pemikir. April-Jun Bil. 43.

Mansor Mohd Nor, Abdul Rahman Aziz & Mohammad Ainuddin Iskandar Lee.( 2006 ).
Hubungan etnik diMalaysia. Kuala Lumpur: Prentice Hall Malaysia.

Mohammad Redzuan Othman. (2006). Sejarah Pembinaan Negara Bangsa: Siri Khas Sastera dan
Sains Sosial. Kuala Lumpur: Penerbit UM [Universiti Malaya].

Sarlan, M., ngadiman, Y., & Hairan, H. (2009). Focus Ace SPM . Kuala Lumpur: Pelangi
Publishing Group.

Shamsul Amri Baharuddin. (Ketua Editor). 2007. Modul hubungan etnik. Shah Alam: Penerbit
UITM.

Shamsul Amri Baharuddin.( 2003 ) . Membina Bangsa Malaysia.Jil.1, 2 & 3. Kuala Lumpur:
Jabatan Perpaduan Negara.

You might also like