Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 2

Murid darjah lima cedera jatuh longkang di

sekolah

AZLINA Abdul Rahman menunjukkan kecederaan pada bahagian telinga dan pipi anaknya, Mohammad Aqil Haris Mohd. Hanif
setelah terjatuh ke dalam longkang di kawasan Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa (2), Klang, semalam.
KLANG 8 Feb. - Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa (2) di sini lebam di mata dan
luka di muka selepas terjatuh ke longkang sedalam kira-kira 0.3 meter yang tidak bertutup di sekolah berkenaan
pagi semalam.
Ketika kejadian, Mohammad Aqil Haris Mohd. Hanif, 11, baru sahaja selesai mengikuti kelas Pendidikan Jasmani
dan cuba melangkah longkang berkenaan sebelum terjatuh ke dalamnya.
Menurut ibu murid terbabit, Azlina Abdul Rahman, 34, beliau mengetahui kejadian itu apabila melihat kesan
luka pada muka, telinga dan juga lebam di mata anaknya itu ketika menjemputnya pulang pada waktu tengah
hari.
"Saya lihat memang hampir semua longkang di sekolah ini tidak bertutup dan kejadian murid jatuh ke dalam
longkang saya difahamkan bukan baru kali pertama berlaku.
"Saya tidak boleh terima perkara ini terjadi pada anak saya, kali ini nasib baik hanya luka tetapi kalau perkara
buruk yang berlaku, siapa yang mahu bertanggungjawab," kata suri rumah itu ketika ditemui di sekolah itu di sini
hari ini.
Azlina memberitahu, beliau sudah membuat aduan di Pejabat Pendidikan Daerah Klang dan terkejut apabila
dimaklumkan tiada permohonan dibuat untuk menutup longkang di sekolah itu.
"Saya bukan mahu memalukan pihak sekolah tetapi saya berharap tindakan segera dapat diambil sebelum murid
lain menjadi mangsa," ujarnya yang mempunyai dua lagi anak yang berada dalam darjah enam dan tiga di
sekolah sama.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Mansor Abu Bakar ketika dihubungi
berkata, pihaknya tidak pernah menerima aduan mengenai kejadian murid jatuh longkang di sekolah tersebut.
Bagaimanapun ujarnya, PIBG sendiri pernah mengeluarkan bajet untuk membuat penutup longkang di antara
kantin dengan bangunan utama kerana sedar murid sekolah rendah kebanyakannya suka berlari.
"Sebenarnya isu longkang sekolah tidak ditutup bukan sahaja berlaku di Sekolah Kebangsaan Kampung Jawa (2)
tetapi boleh dikatakan hampir di seluruh sekolah kebangsaan di Klang kerana masalah kekurangan bajet.
"Jadi saya sarankan supaya semua longkang di laluan utama ditutup menggunakan simen dan bukan besi konkrit
bagi mengelakkannya dicuri selain menjamin keselamatan murid," jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Selangor, Datuk Mahmud Karim ketika dihubungi memberi jaminan akan
menyemak aduan tersebut termasuklah mengadakan tinjauan di sekolah terbabit.
"Saya akan arahkan pegawai pergi melihat keadaan longkang di sekolah berkenaan dan kita akan menutup
longkang yang terbuka bagi mengelakkan murid daripada terjatuh," ujarnya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140209/dn_20/Murid-darjah-lima-cedera-jatuh-


longkang-di-sekolah#ixzz4LPWfpTp7
© Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like