Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 16

Penentangan Terhadap Kuasa Asing

Penentangan di Sabah

Pengenalan

Seperti Negeri-negeri Melayu di Tanah Melayu, Sabah juga dijajahi oleh British melalui
Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Di bawah pemerintahan kompeni, rakyat Sabah telah bangkit
menentang kerana tindakan pegawai kompeni yang melanggar adat mereka. Antara penentangan
yang terkenal ialah penentangan oleh Mat Salleh dan penentangan oleh Antanum.

1. Penentangan oleh Mat Salleh

Mat Salleh atau Mohammad Salleh ialah seorang pahlawan di Sabah yang bangkit menentang
pemerintahan Kompeni Berpiagam Borneo Utara di Sabah. Mat Salleh dilahirkan di Inanam dan
berketurunan Bajau-Suluk. Beliau berkahwin dengan seorang puteri Sulu yang bernama Dayang
Bandung. Beliau merupakan pembesar di hulu Sungai Sungut dan memerintah kawasannya
dengan bebas.

Pada tahun 1894, Mat Salleh telah bangkit menentang Kompeni Berpiagam kerana kompeni
campur tangan di kawasannya. Kompeni telah menyerang dan membakar kampung Mat Salleh di
Sungai Sugut apabila beliau membuat aduan tentang pergaduhan di antara pegawai British
dengan Iban. Kompeni juga telah membina jalan raya dari jalan keretapi merentasi kawasan
Ranau yang dikuasai oleh Mat Salleh. Selain itu, kompeni juga mengenakan pelbagai cukai ke
atas rakyat dan mengerah buruh paksa.

Pada tahun 1897, Mat Salleh menyerang dan memusnahkan pelabuhan kompeni di Pulau Gaya.
Beliau kemudiannya membina sebuah kubu di Ranau untuk meneruskan serangannya. Kompeni
membalas dengan menyerang dan memusnahkan kubu Mat Salleh di Ranau. Mat Salleh tidak
dapat ditewaskan tetapi beliau terpaksa beundur ke kawasan pedalaman.
Kompeni khuatir Mat Salleh akan menyerangnya lagi. Oleh itu, Pengarah Urusan Kompeni iaitu
William Cowie mengesyorkan supaya diadakan perdamaian di antara kompeni dan Mat Salleh.
Satu rundingan damai telah diadakan di antara Cowie dengan Mat Salleh. Menurut rundingan
damai ini:

a. Mat Salleh dibenarkan mentadbir kawasan Tambunan dengan bebas.


b. Kompeni berjanji memberi pengampunan kepada pengikut Mat Salleh

Kompeni telah memungkiri janjinya. Pada tahun 1897, Kompeni telah membuat keputusan untuk
mengambilalih kawasan Tambunan. Mat Salleh sangat marah dan membina sebuah kubu di
Tambunan untuk mempertahankan diri. Pada tahun 1900, pasukan kompeni telah menyerang
kubu Mat Salleh di Tambunan. Mat Salleh terbunuh dalam serangan tersebut pada bulan Februari
1900.

2. Penentangan oleh Antanum

Pada tahun 1915, seorang Murut dari kawasan pedalaman Sabah telah bangkit menentang
Kompeni Berpiagam Borneo Utara. Orang Murut bangkit menentang kompeni kerana:
a. Mereka dilarang menebas hutan rimba untuk membuka tanah pertanian.
b. Mereka terpaksa membina jalan raya di kawasan pedalaman tanpa dibayar gaji.
c. Mereka percaya bahawa pembinaan jalan raya itu telah mengusir roh nenek moyang dan
menimbulkan kemarahan yang akan mengakibatkan kemarau selama 4 tahun.

Kebangkitan orang Murut dipimpin oleh pemimpin murut yang bernama Antanum.
Pemberontakan tercetus pada tahun 1915 apabila orang Murut menyerang dan membakar
Pensiangan. Kemudian mereka menyerang Rundum tetapi Rundum dapat diselamatkan oleh
Kompeni. Oleh itu, pemberontakan ini juga dikenali sebagai Pemberontakan Rundum.

Selepas itu, Antanum dan pengikutnya (seramai 900 orang) telah membina sebuah kubu di
Sungai Selangit. Kubu itu diserang oleh askar kompeni. Antanum serta 400 orang pengikutnya
telah terkorban. Pemberontakan Rundum tamat selepas kematian Antanum tetapi orang Murut di
kawasan pedalaman telah berpindah ke Kalimantan kerana tidak lagi takin terhadap
pemerintahan Kompeni.

Penentangan di Sarawak

Pengenalan

Sarawak di bawah pemerintahan Brooke telah berlaku banyak perubahan dari segi politik,
ekonomi dan social. Perubahan ini telah menyebabkan penduduk pribumi bangun untuk
menentangnya kerana perubahan ini telah melanggar adat dan kepercayaan mereka. Antaranya
ialah penentangan oleh Syarif Masahor, Rentap dan Banting.

1. Penentangan oleh Syarif Masahor

Syarif Masahor dilantik oleh Sultan Brunei sebagai Gabenor Sarikei di Sungai Rajang. Beliau
adalah pembesar yang sangat dihormati dan disegani oleh orang Melanau dan Iban. Walau
bagaimanapun, kuasa Syarif Masahor telah tergugat apabila James Brooke mengambilalih
kawasan Sungai Rajang daripada Sultan Brunei pada tahun 1853. James Brooke kemudian
membina sebuah kubu di Kanowit di Sungai Rajang.

Tindakan Brooke telah mencabar kewibawaan Syarif Masahor sebagai pembesar di Sungai
Rajang. Syarif Masahor telah berpakat dengan Dato’ Patinggi Abdul Gapur di Kuching untuk
menyerang kubu Brooke di Kanowit dan mengusirnya keluar dari Sarawak. Tentera bersekutu
Syarif Masahor dan Dato’ Patinggi Abdul Gapur telah menyerang kubu Kanowit dan membunuh
2 orang pegawai Inggeris, iaitu Charles Fox dan Henry Steel.

Pada tahun 1860, angkatan perang Syarif Masahor telah menyerang Kuching tetapi dapat
dipatahkan oleh pasukan tentera Brooke di bawah pimpinan Charles Brooke. Syarif Masahor
dapat menyelamatkan diri dan berlindung di Brunei. Namun James Brooke telah memaksa
Sultan Brunei supaya Syarif Masahor dibuang negeri ke Singapura.
Dengan itu, Syarif Masahor dihantar ke Singapura dan meninggal dunia di situ pada tahun 1890.
Dato’ Patinggi Abdul Gapur cuba menyerang Kuching dari Pontianak tetapi beliau ditahan oleh
Belanda dan dipenjarakan di Betawi.

2. Penentangan oleh Rentap

Rentap ialah seorang pahlawan Iban yang bangkit menentang pemerintahan James Brooke di
Sarawak. Rentap ialah ketua orang Iban yang sangat berpengaruh di hulu Sungai Sekrang. Beliau
digelar “Raja Darat”. Nama sebenar beliau ialah Libau.

Rentap tidak suka kemaraan kuasa Brooke ke kawasan orang Iban. Pada tahun 1853, Rentap
menyerang kubu James Brooke di Sungai Sekrang dan membunuh seorang pegawai Brooke yang
bernama Alan Lee. Kemudian Rentap meminta sebuah kubu yang kuat di Bukit Sadok di hulu
Sekrang. Kubu itu dilengkapkan dengan meriam besi yang besar yang telah dirampas dari
Pontianak, Kalimantan. Kubu di Bukit Sadok sangat kuat sehingga serangan Charles Brooke
sebanyak 2 kali pada tahun 1854 gagal menawan kubu tersebut.

Pada tahun 1861, Charles Brooke telah menyerang Bukit Sadok dengan sebuah meriam tembaga
bernama Bujang Sadok yang dibuat di Kuching. Kali ini, kubu Rentap di Bukit Sadok dapat
ditawan oleh Charles Brooke. Rentap berjaya melepaskan diri ke kawasan pedalaman.

3. Penentangan oleh Banting

Pada tahun 1893, orang Iban di bawah pimpinan Banting bangkit menentang pemerintahan
kerajaan Brooke di Sarawak. Banting ialah penghulu Iban di hulu Sungai Batang Lupar di
kawasan Hulu Air. Banting menentang Charles Brooke yang cuba menghapuskan adat dan
upacara yang diamalkan oleh orang Iban.

Pada tahun 1902, Charles Brooke telagh menghantar satu pasukan tentera untuk menawan
Banting tetapi beliau dapat mempertahankan dirinya dan memerintah dengan bebas sehingga
tahun 1908. Pada tahun itu, tentera Brooke berjaya menewaskan Banting tetapi gagal
menangkapnya. Selepas itu, kuasa Banting semakin lemah dan beliau menamatkan
penentangannya terhadap Kerajaan Brooke.

Penentangan di Perak

Pengenalan

Kekacauan yang berlaku di Perak membimbangkan British terhadap campur tangan asing.
Akibatnya, Gabenor Negeri-negeri Selat, Andrew Clarke telah mengambil langkah campur
tangan di Perak. Hasil usaha beliau, satu rundingan telah diadakan sejak 17 Januari 1874 dan
hasil rundingan tersebut, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874. Mengikut
Perjanjian Pangkor, Sultan Abdullah diiktiraf sebagai Sultan. Baginda bersetuju menerima
seorang Residen sebagai penasihat dalam semua hal pentadbiran kecuali adat resam orang
Melayu dan hal ehwal agama Islam. Lebih kurang 10 bulan kemudian, J.W.W. Birch telah
dihantar sebagai Residen yang pertama pada 1 November 1874. Kehadiran Birch telah
menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan
sosial. Akibatnya, Birch telah dibunuh di Pasir Salak pada 2 November 1875 selepas berada di
Perak hanya selama 12 bulan.
Sebab-sebab berlaku Penentangan di Perak :

1. Kelemahan Perjanjian Pangkor

Ahli-ahli Sejarah seperti Kennedy, Tregonning dan C.D. Cowan menganggap kelemahan
Perjanjian Pangkor adalah sebab utama membawa kepada pembunuhan Birch pada tahun 1875.
Perjanjian Pangkor tidak menyelesaikan masalah tentang perebutan takhta Perak antara Raja
Abdullah, Raja Ismail dan Raja Yusof. Pembesar Perak dan ramai rakyat Perak tidak mengiktiraf
Raja Abdullah sebagai Sultan kerana baginda tidak dilantik mengikut adat resam. Di samping
itu, Raja Abdullah tidak mempunyai alat-alat kebesaran yang diperlukan dalam perlantikan
Sultan. Ramai pembesar dan rakyat Perak masih menganggap Raja Ismail sebagai Sultan kerana
baginda dilantik sebagai Sultan Perak pada tahun 1871 selepas kemangkatan Sultan Ali. Selain
itu, Raja Ismail masih lagi menyimpan alat-alat kebesaran diraja yang diterima semasa
perlantikannya pada tahun 1871.
Walaupun Perjanjian Pangkor ditandatangani pada 20 Januari 1874, tetapi Birch dilantik sebagai
Residen yang pertama pada 1 November 1874, iaitu 10 bulan kemudian. Dalam tempoh tersebut,
Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar mempunyai kuasa penuh dalam pentadbiran Perak.
Kehadiran Birch dirasai oleh Sultan dan pembesar-pembesar yang British cuba mengambil alih
semua kuasa pentadbiran Perak. Perlaksanaan sistem Residen juga mendapat tentangan dari
Menteri Larut (Ngah Ibrahim). Beliau tidak lagi bebas mentadbir Larut seperti sebelumnya.
Semua urusan pentadbiran terpaksa merujuk kepada Kapten Speedy yang dilantik sebagai
Penolong Residen.
Bagi British, perlantikan Raja Abdullah sebagai Sultan dianggap sebagai satu kesilapan kerana
Raja Abdullah dikatakan tidak mengetahui hal pentadbiran moden. Raja Abdullah dianggap tidak
menerima pembaharuan yang cuba dilaksanakan di Perak. Kelemahan Perjanjian Pangkor juga
terbukti kerana perjanjian ini tidak mengiktiraf Sultan Ismail kerana beliau amat berpengaruh
ketika itu.

2. Kelemahan Birch

Kelemahan Birch juga merupakan faktor yang penting yang membawa kepada berlakunya
Perang Perak pada 1874-1875. British menganggap perlantikan Birch sebagai Residen lebih-
lebih lagi sebagai Residen Pertama sebagai satu kesilapan. Birch tidak dapat bertutur dalam
Bahasa Melayu serta tidak memahami dan menghormati adat resam orang Melayu. Birch
merupakan seorang yang degil dan tidak berganjak dari kemahuannya. Beliau tidak berdiplomasi
dan tidak bertolak-ansur. Birch mahu melaksanakan pembaharuan secara tergesa-gesa tanpa
memikirkan kepentingan Sultan dan pembesar. Kelemahan peribadi Birch ternyata dari peristiwa
Ogos 1875 bila Sultan Abdullah serta pembesar-pembesar mengunjungi tempat kediaman
dengan tujuan untuk mendapat ganti rugi akibat penghapusan beberapa keistimewaan. Birch
dengan biadap menegaskan ganti rugi akan dibayar sekiranya Sultan dan pembesar berhenti
memungut cukai di kawasan masing-masing. Kelemahan peribadi Birch lebih ternyata pada
Disember 1874 bila beliau membakar rumah Raja Ngah dan Tengku Panglima Besar kerana
mereka terus memungut cukai walaupun ditegah oleh Birch. Kennedy dalam bukunya: History of
Malaya menganggap Birch sebagai “an idealist in a hurry” kerana mahu melaksanakan
pembaharuan secara terburu-buru tanpa memikirkan itu dianggap radikal oleh Sultan dan para
pembesar.
3. Pembaharuan-pembaharuan Birch

Pembaharuan-pembaharuan yang cuba dilaksanakan oleh Birch telah menjejaskan kepentingan


Sultan dan pembesar sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.

a. Politik

Dari segi politik, Sultan dan pembesar kehilangan kuasa kerana semua urusan pentadbiran
dijalankan atas arahan Birch. Keadaan ini menunjukkan Residen lebih berkuasa dari Sultan.
Sultan Abdullah yang menganggap kehadiran Birch sebagai Penasihat mendapati Birch bukan
menasihatinya tetapi mengeluarkan arahan-arahan yang perlu dipatuhi oleh Sultan dan pembesar-
pembesar. Sultan Abdullah yang tidak berpuas hati dengan tindakan Birch telah menulis surat
kepada Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir Andrew Clarke meminta kuasa Residen dihadkan
ataupun ditukar. Jawapan yang diterima amat mengecewakan Sultan Abdullah kerana bukan
sahaja suratnya tidak mendapat layanan, malah Andrew Clarke telah arahkan bahawa hubungan
antara Sultan dan pembesar dengan Gabenor mesti dibuat melalui Residen. Keadaan ini
menunjukkan bahawa Residen lebih berkuasa dari Sultan. Kehadiran Birch menjejaskan kuasa-
kuasa pembesar daerah kerana Birch telah melantik pegawai-pegawai British untuk menjalankan
pentadbiran daerah. Selain itu, Sultan dan pembesar dilarang menjatuhkan hukuman, lebih-lebih
lagi hukuman mati, lebih-lebih lagi kepada orang-orang Melayu. Arahan ini mendapat bantahan
Sultan dan pembesar-pembesar kerana ini menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan mereka serta
kuasa tradisional. Kerajaan British telah mengarahkan bahawa hukuman hanya boleh dijatuhkan
oleh hakim-hakim yang dilantik oleh British.

b. Ekonomi

Dari segi ekonomi, pembaharuan British juga telah menjejaskan kepentingan Sultan dan
pembesar. Sultan dan pembesar dilarang memungut cukai seperti sebelumnya. Arahan ini
menjejaskan pendapatan Sultan dan pembesar kerana Birch tidak membayar ganti rugi akibat
penghapusan keistimewaan tersebut. Dalam masyarakat tradisional Melayu, cukai adalah penting
bagi Sultan dan pembesar-pembesar. Birch telah mengarahkan bahawa kutipan cukai hanya
boleh dijalankan oleh pegawai-pegawai yang dilantik oleh Residen. Kemarahan Sultan Abdullah
bertambah apabila Birch membatalkan pajakan memungut cukai kastam bernilai $26 ribu
setahun yang diberikan oleh Sultan Abdullah kepada seorang saudagar Cina dari Singapura iaitu
Lee Cheng Tee. Sebaliknya, Birch telah memberikan pajakan baru ke atas minuman keras dan
candu bernilai $6 ribu sebulan kepada Lee Cheng Tee dan rakan-rakannya kerana salah seorang
rakannya telah memberi hutang dengan jumlah yang besar kepada Birch. Tindakan Birch bukan
sahaja mendapat tentangan Sultan dan pembesar, tetapi juga gabenor dan pedagang-pedagang
Negeri-negeri Selat kerana ia bertentangan dengan arahan.

c. Sosial

Dari segi sosial, Birch telah campur tangan dalam adat resam orang Melayu. Apabila beliau cuba
menghapuskan perhambaan yang merupakan adat tradisional orang Melayu. Dalam masyarakat
Melayu tradisional, perhambaan merupakan lambing status yang menentukan kekuasaan dn
kewibawaan Sultan dan pembesar dari segi politik, ekonomi dan sosial. Birch hanya
membebaskan hamba-hamba perempuan sahaja. Tindakan beliau melindungi hamba-hamba
perempuan di kemudiannya yang terdapat ramai tentera telah mencurigakan Sultan dan para
pembesar. Perasaan curiga mereka bertambah apabila Birch menyeludup 2 orang hamba
perempuan berketurunan Melayu, berpakaian Cina ke Pulau Pangkor. Hubungan Sultan
Abdullah dan Birch bertambah runcing apabila Birch enggan memulangkan 2 orang hamba
perempuan Sultan Abdullah yang malarikan diri ke kediaman Birch pada Oktober 1875.
Kemarahan Sultan terhadap tindakan Birch bukan sahaja
kerana mereka menjadi tuan kepada hamba tetapi kerana tindakan Birch bertentangan dengan
syarat Perjanjian Pangkor yang berkaiatan dengan adat resam orang Melayu.

4. Tindakan Sir William Jervais

Tindakan Sir William Jervais yang menggantikan Andrew Clarke sebagai Gabenor Negeri-negeri
Selat pada Mei 1875 juga membawa kepada berlakunya Perang Perak 1875. Selepas melawat
Perak, William Jervois tidak puas hati terhadap pentadbiran Birch secara tidak langsung di
Perak. Beliau mahukan pentadbiran British dijalankan secara langsung di Perak di mana
pentadbiran dijalankan oleh pegawai-pegawai British. Beliau mahukan Sultan dan pembesar
dibayar wang persaraan supaya menyerahkan kekuasaan kepada British. Pada 2 Oktober 1875,
Sultan Abdullah telah dipaksa untuk menandatangani perjanjian menyerahkan pentadbiran
kepada British. Beliau telah mengugut sekiranya beliau enggan menandatangani perjanjian
tersebut, Sultan Abdullah akan disingkirkan dan Raja Yusof akan dilantik sebagai Sultan.
Akibatnya, Sultan Abdullah terpaksa menandatangani persetujuan tersebut.

5. Peristiwa Pembunuhan J.WW. Birch

Kemarahan Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar sampai kemuncaknya menjelang akhir


tahun 1875 dan keputusan diambil untuk membunuh Birch. Pada 20 Julai 1875, satu perjumpaan
telah diadakan di Durian Sebatang yang dihadiri oleh pembesar-pembesar Perak atau wakilnya
kecuali Raja Yusof. Dalam pertemuan itu, Dato’ Maharaja Lela dipertanggungjawabkan untuk
melaksanakan tugas tersebut. Raja Ismail menyatakan persetujuannya untuk membantu Dato’
Maharaja Lela. Sebagai persiapan, Raja Abdullah dan Raja Ismail telah menyediakan alat-alat
senjata yang dibeli dari Pulau Pinang.

Selepas beberapa hari dari peristiwa perjumpaan di Durian Sebatang, hubungan Sultan Abdullah
dengan British menjadi genting. Pada 24 Julai 1875, pihak British mengugut Raja Abdullah jika
baginda tidak mengikut arahan mereka. Pada 2 Oktober 1875, Sultan Abdullah dipaksa untuk
menyerahkan kuasa pentadbiran kepada British. Birch ditugaskan untuk mengumumkan
perubahan sistem pentadbiran tersebut. Beberapa hari selepas persetujuan itu, Sultan Abdullah
memerintah Dato’ Maharaja Lela membunuh Birch.

Sungguhpun telah diketahui adanya komplot membunuh Birch, namun rancangan tetap
dilaksanakan. Swettenham ditugaskan untuk membantu Birch dan beliau bertolak dari Singapura
pada 23 Oktober 1875. Swettenham ditugaskan di bahagian Hulu Perak sementara Birch di Hilir
Perak. Mereka bertolak dari Bandar Bahru dan akan bertemu di Pasir Salak pada 30 November
1875.
Pada 27 Oktober 1875, Birch telah menampal pengisytiharaan itu di rumah dan kemudian
belayar ke Pasir Salak. Pada 1 November 1875, Birch bersama keraninya Mat Arshad telah tiba
di Pasir Salak. Ketibaan beliau mendapat tentangan hebat daripada Dato’ Maharaja Lela. Pada 2
November 1875, Birch ditikam oleh orang suruhan Dato’ Maharaja Lela, iaitu Pandak Induk dan
Seputum ketika Birch mandi di Sungai Pasir Salak.

4 November 1875, Swenttenham di Blanja menerima peristiwa pembunuhan. Dengan


pertolongan beberapa orang Melayu, beliau berjaya menyelamatkan diri.
Perang Perak 1875-1876
Pembunuhan Birch telah mengemparkan pihak British.

15 November 1875, tentera British dari Pulau Pinang menyerang Pasir Salak. Dato’ Maharaja
Lela mengundurkan diri ke Blanja. Kemudian, tentera tambahan British dari Hong Kong di
bawah perintah Major Jeneral Calalborne menawan Pasir Salak. Dari India, tentera di bawah
Brig. Jeneral J. Rose menawan Kuala Kangsar.

Sebelum tentera British menawan Blanja, Dato’ Maharaja Lela dan Raja Ismail berundur ke
Kinta. Dari Kinta mereka bergerak menuju Kota Lama. British menawarkan hadiah kepada
sesiapa yang menangkap orang yang dikehendaki iaitu $6 ribu untuk Maharaja Lela dan $3 ribu
untuk Dato’ Sagor dan Pandak Induk.

Pada pertengahan Januari 1876, Raja Ismail meminta bantuan dari Kedah. Pada akhir bulan Mac,
baginda menyerah diri dan dihantar ke Singapura kemudian Johor. Dalam bulan yang sama,
Dato’ Sagor ditawan di Bandar Bahru sementara pada Julai 1876, Dato’ Maharaja Lela menyerah
diri. Dengan ini semua orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch ditangkap.
Dengan itu, suatu perbicaraan diadakan dan keputusannya ialah:

a. Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Sagor, Pandak Induk dan Seputum dihukum gantung sampai mati
di Matang pada 20 Januari 1877.
b. Cik Gondoh, Ngah Ahmad Ngah Jabbar, Panjang Nur dan Cik Ali dijatuhkan hukuman
penjara seumur hidup.
c. Sultan Abdullah, Ngah Ibrahim, Dato’ Laksamana dan Dato’ Syahbandar dibuang ke Pulau
Seychelles di Lautan Hindi.
d. Raja Ismail dipindah ke Johor.
e. Raja Yusof dilantik sebagai Sultan.

Perang Perak ini akhirnya berkesudahan dengan kemenangan British. Kemenangan ini
membolehkan British meneruskan sistem Residen dan memajukan ekonomi Perak tanpa
halangan.

Penentangan di Pahang

Pengenalan

J.P. Rodger memegang jawatan Residen British di Pahang pada bulan Oktober 1888. Seperti di
Perak, pengenalan sistem Residen di Pahang ditentang oleh pembesar-pembesar Melayu yang
kehilangan kuasa dan keistimewaan mereka. Penentangan sistem Residen oleh orang Melayu di
Pahang berkesudahan dengan satu pemberontakan yang meletus pada tahun 1891 di bawah
pimpinan Dato’ Bahaman dari Semantan, Tok Gajah dan anaknya Mat kilau.
Sebab-sebab berlaku penentangan di Pahang
1. Perasaan tidak puas hati Sultan

Hubungan Sultan Ahmad dengan British sememangnya tidak memuaskan sejak lama lagi. Hal
ini disebabkan Sultan Ahmad masih menyimpan perasaan benci terhadap British kerana memberi
bantuan ketika menentang saudaranya Wan Mutahir dalam Perang Saudara di Pahang. Oleh
sebab itu, Wan Ahmad enggan menerima Residen British, tetapi dengan adanya tekanan dari
British, Wan Ahmad terpaksa mengalah dan menerima Residen pada bulan Oktober 1888 iaitu
J.P. Rodger.
Sultan Ahmad berasa kecewa apabila baginda sedar bahawa kekuasaannya semakin berkurangan.
Kedudukan baginda dalam Majlis Mesyuarat Negeri tidak berfungsi kerana keputusan adalah
diputuskan oleh Residen. Kekuasaannya semakin tercabar apabila pihak British menunjukkan
sikap lebih mempercayai putera baginda iaitu Tengku Mahmud. Akibatnya, Sultan Ahmad
mengambil keputusan meninggalkan Pekan dalam bulan Disember 1889 dan berangkat ke Pulau
Tawar. Tengku Mahmud telah dilantik sebagai wakil Raja.

2. Perasaan tidak puas hati pembesar-pembesar

Langkah-langkah yang diambil oleh J.P. Rodger untuk memperkenalkan peraturan-peraturan


baru telah membangkitkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar Pahang. Para
pembesar telah kehilangan hak mereka untuk mengutip cukai, menyimpan hamba abdi, pentadbir
keadilan dan sebagainya. Daerah-daerah diwujudkan dan diletak di bawah pengawal British yang
dipanggil pemungut cukai dan majistret, misalnya Daerah Pekan oleh F. Belfield, Kuantan oleh
A.H. Wall. Residen pula mengambilalih peranan pembesar sebagai penasihat Sultan. Mereka
juga tidak mempunyai kuasa dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Walaupun para pembesar dibayar
elaun sebagai ganti rugi tetapi jumlahnya adalah kecil, misalnya, Orang Besar Berempat
menerima $100 sebulan, Orang Kaya Semantan $70 sebulan dan orang Kaya Berlapan $20
sebulan. Keadaan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar. Pada tahun
1891, mereka bangkit menentang pentadbiran British.

3. Perasaan tidak puas hati Dato’ Bahaman

Dato’ Bahaman menentang pihak British kerana beliau tidak dibenarkan memungut cukai dan
tidak diberi elaun yang setanding dengan elaun Orang Besar Berempat, iaitu sebanyak $100
sebulan. Beliau ditawarkan elaun sebanyak $70 sebulan sahaja. Dato’ Bahaman juga berasa
marah apabila British membina sebuah balai polis di Lubuk Trua di daerah Semantan, aiitu
daerah di bawah jagaanya tanpa kebenaran daripada beliau. Beliau telah menulis sepucuk surat
bantahan kepada majistret di Temerloh, iaitu E.A. Wise tetapi beliau gagal mendapat keadilan
daripada majistret Temerloh. Sebaliknya, Dato’ Bahaman diberi amaran kerana tindakannya itu.

4. Perasaan tidak puas hati Tok Gajah

Tok Gajah ialah seorang pembesar dari Pulau Tawar. Atas jasanya kepada Sultan Ahmad dalam
Perang Saudara (1857-1863), beliau dianugerahi gelaran Orang Besar Raja. Tok Gajah pula
berperasaan anti-Inggeris apabila rayuannya untuk pertambahan elaun ditolak oleh pihak British
pada Januari 1890. permintaan Tok Gajah untuk menangguhkan pembayaran cukai tanah ke atas
orang Melayu juga ditolak oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Disember 1890. Beliau
disokong oleh anaknya dalam penentangannya terhadap British.
5. Perasaan tidak puas hati rakyat Pahang

Pengenalan beberapa perubahan oleh British seperti sistem lesen dan permit telah mengakibatkan
ketidakpuasan hati rakyat Pahang. Sebagai contoh, mereka terpaksa memperolehi lesen atau
permit bagi mendapatkan hasil hutan seperti kayu dan daun rembia. Rakyat juga tidak
dibenarkan memakai keris yang selama ini merupakan sebahagian daripada pakaian tradisional
mereka. Mulai 1 Januari 1891, British mengenakan cukai ke atas tanah yang diperolehi (kecuali
tanah warisan). Kadar cukai adalah tertakluk kepada kategori tanah. Rakyat juga membantah
terhadap sistem kerah yang dilaksanakan oleh British bagi projek-projek awam.

6. Perasaan benci orang asing

Mengikut Jang Aisjah, perasaan benci orang asing (Xenophobia) juga bertanggungjawab bagi
peletusan pemberontakan Pahang. Rakyat Pahang tidak puas hati dengan kehadiran orang asing,
terutamanya pasukan polis yang terdiri daripada orang Sikh. Di Pahang, terdapat juga ramai
orang Eropah dan Cina yang terlibat dalam perusahaan perlombongan. Sikap kesombongan serta
kejahilan mereka terhadap adat resam tempatan telah menyinggung perasaan orang Melayu.
Perasaan anti-orang asing jelas kelihatan apabila Dato’ Bahaman dan Mat Kilau Seringkali
menyerang pedagang-pedagang Cina di Pahang.

Proses pemberontakan

Peristiwa yang membawa kepada meletusnya pemberontakan ialah tindakan tidak wajar British
di Lubuk Trua. Ketika melakukan penyiasatan di tempat itu, Pemangku Pemungut Hasil dari
Semantan telah menangkap 3 orang pengikut Dato’ Bahaman kerana dituduh mengambil hasil-
hasil hutan tanpa kebenaran. Ketiga-tiga orang yang tertuduh telah dibicarakan di Lubuk Trua.
Tindakan ini merupakan satu penyelewengan kerana kebiasaannya perbicaraan dijalankan di Ibu
Pejabat Daerah di Temerloh. Hal ini juga menunjukkan pihak British merasa mereka lebih
berkuasa.
Dato’ Bahaman bertindak untuk membebaskan orang-orang tawanan itu dengan menyerang
hendap ke atas pasukan kerajaan dan kemudian menyerang balai polis Lubuk Trua. Pada 21
Disember 1891, Temerloh pula diserang dan ditawan. Pihak British telah bertindak balas
beberapa hari selepas peristiwa itu berlaku. Satu pasukan yang dipimpin oleh Hugh Clifford telah
mara ke Semantan tetapi terpaksa berundur ke Temerloh kerana banjir.

Pihak British mendesak Sultan Ahmad supaya memberi kerjasama kepada pemerintah dalam
menhadapi ancaman Dato’ Bahaman. Oleh sebab adanya desakan dan secara kebetulan
hubungannya dengan Dato’ Bahaman tidak begitu baik, Sultan Ahmad telah bersetuju. Sultan
Ahmad dan puteranya keduanya iaitu Tengku Ali telah menyerang Semantan pada 14 Januari
1892 tetapi Dato’ Bahaman telah mengundurkan diri terlebih dahulu. Sultan Ahmad telah
mengumumkan pengampunan dan meminta golongan penentang pulang ke rumah masing-
masing.

Tengku Ali telah diarahkan mengawal tempat itu tetapi tidak berupaya untuk menyekat
kemaraan Dato’ Bahaman kerana orang-orang Melayu menyokongnya. Dato’ Bahaman telah
menawan semula Lubuk Trua pada awal bulan Mac 1892. Peristiwa itu menyebabkan Clifford
dan wakil Raja menyerang Semantan dan sekali lagi Dato’ Bahaman telah berundur. Bolo dan
Cempaka dimusnahkan. Clifford telah cuba meneruskan tindakan ke atas golongan penentang
tetapi Sultan Ahmad mencegahnya memandangkan bermulanya bulan puasa iaitu pada akhir
bulan Mac 1892.
Keberanian Dato’ Bahaman telah memberi semangat kepada pembesar-pembesar Melayu yang
lain untuk turut menentang British. Atas usaha Tok Gajah, pertemuan telah diadakan dan dalam
pertemuan itu, semua pembesar telah bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad.
Selanjutnya, atas cadangan Tok Gajah, keputusan telah diambil untuk menentang British secara
besar-besaran. Mengikut cadangan Tok Gajah, serangan akan dilaksanakan secara serentak.
Dato’ Bahaman akan mengambil Semantan, Sultan Ahmad dikehendaki mempertahankan
Chenor, Panglima Muda dari Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Raja akan menawan
Kuala Lipis dan Raub sementara Tok Gajah sendiri akan ke Tembeling.

Rancangan tersebut dimulakan dengan serangan oleh Panglima Muda pada 5 April 1892. Dua
orang bangsa British daripada Syarikat Penyelidikan Pahang telah dibunuh dan kemudian
pasukan Panglima Muda mara ke Pekan. Orang-orang Melayu telah memberi sokongan
kepadanya dan ini menyulitkan pihak British. Gerakan penentang British ternyata telah terjejas
kerana di medan perjuangan yang lain, keadaan telah berubah. Wan Ahmad yang berada di Pulau
Tawar telah mengubah fikiran dan memujuk Tok Raja yang datang mengadapnya supaya tidak
menyertai penentangan itu. Tok Gajah juga telah menyertai Sultan Ahmad dan yang
menyedihkan, kedua-duanya bertindak ke atas Dato’ Bahaman kemudiannya.

Dato’ Bahaman telah berjaya menawan Semantan. Sekali lagi pihak British meminta Wan
Ahmad menyertai pemerintah untuk menentang Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan
Tok Gajah telah berjaya mengusir Dato’ Bahaman. Pasukan Sultan Ahmad dan Tok Gajah telah
berjaya mengusir Dato’ Bahaman pada 8 Mei 1892. Sementara itu, pasukan Clifford dan
Leftenan Kolonel Walker, terus bertindak menyerang Budu pada 21 Mei 1892 tetapi Mat Kilau
berjaya melepaskan diri lalu bersatu dengan Dato’ Bahaman yang berada di Cheka.

Dalam bulan Jun 1892, British menyerang Jempul dan menawannya. Keadaan ini menyebabkan
Sultan Ahmad menasihatkan Tok Gajah supaya melarikan diri kerana bimbang British akan
mengambil tindakan ke atasnya. Oleh itu, dalam bulan Ogos 1892, Tok Gajah melarikan diri
untuk menyertai Mat Kilau dan Dato’ Bahaman yang berada di Tembeling. Oleh sebab tekanan-
tekanan seterusnya, mereka terpaksa berundur ke Sempadan Kelantan dalam bulan September
1892. Malangnya, Panglima telah terbunuh dalam bulan Oktober 1892.

Melalui Tok Raja yang bertugas sebagai orang perantaraan, usaha telah diambil untuk
menghentikan penentangan. Perundingan telah dimulakan dalam bulan Disember 1893 tetapi
Mat Kilau dan Mat Lela, putera Dato’ Bahaman, enggan mengambil bahagian. Perundingan yang
berjalan sehingga bulan April 1894 tidak memberi sebarang hasil.

Selepas perundingan mengalami kegagalan, perjuangan orang-orang Melayu semakin


bersemangat. Hal ini disebabkan peranan yang dimainkan oleh Engku Syed dari Paloh. Ketika
ini Dato’ Bahaman telah berjaya mengumpulkan pengikut-pengikutnya dari Besut dan Ulu Lebir.
Pada 12 Jun 1894, penentangan meletus kembali apabila golongan penentang menyerang Kuala
Tembeling. Seorang anggota polis iaitu Ram Singh yang mendapat luka parah akibat ditikam
telah dapat melepaskan diri menaiki sampan ke Pulau Tawar. Golongan penentang telah cuba
mendapatkan bantuan dari Tok
Raja dari Pulau Tawar tetapi gagal. Hal ini menyebabkan penentang telah cuba membina kubu
pertahanan di Jeram Ampai. Satu angkatan tentera British yang besar telah menyerang Jeram
Ampai dan menawannya pada 29 Jun 1894. Akhirnya golongan penentang telah berundur ke
Kelantan dan Terengganu.

Pihak British telah meminta Kerajaan Siam supaya campur tangan. Akhirnya, dalam bulan
November 1895, Dato’ Bahaman dan Mat Kilau serta 4 orang pengikutnya telah menyerah diri
kepada pihak Siam dan kemudian dihantar ke Siam. Sementara Tok Gajah dan Mat Kilau terus
menetap di Terengganu dan dikatakan meninggal dunia di sana.

Penentangan di Kelantan

Pengenalan

Melalui Perjanjian Inggeris-Siam 1909, kuasa Kelantan telah dipindahkan oleh Siam kepada
Kerajaan British. James Scott Mason dilantik sebagai Penasihat British yang pertama di Kelantan
pada Julai 1909. Pada tahun 1910, British secara rasmi menguasai hubungan luar negeri
Kelantan melalui Perjanjain Inggeris-Kelantan. Perjanjian ini juga menegakkan hak British untuk
melantik seorang Penasihat kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad IV. Baginda mesti
mematuhi nasihat Penasihat British dalam semua perkara kecuali yang berkaitan dengan agama
dan adat resam orang Melayu. Perubahan sosio ekonomi yang dibawa oleh British telah
mengakibatkan pemberontakan di daerah Pasir Putih pada 29 April 1915.

British di Kelantan sebelum 1909

Kebangkitan menentang bermula sejak termeterainya Pengisytiharaan Inggeris-Siam 1902.


Menurutnya, seorang Penasihat berbangsa Inggeris bernama William Amstrong Graham dilantik
sebagai Penasihat dan Pesuruhjaya Siam di Kelantan pada Julai 1903.
Pada tahun 1904, W.A. Graham telah memperkenalkan beberapa perkara baru dalam pentadbiran
Kelantan. Pengenalan peraturan-peraturan baru ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan
rakyat Kelantan. Antaranya ialah:

a. Penubuhan beberapa jajahan baru seperti Kota Bahru, Hulu Kelantan dan Pasir Putih. Tiap-
tiap jajahan ini ditadbir oleh seorang Ketua Jajahan. Sebuah balai polis juga didirikan di setiap
jajahan. Sebagai contohnya, Encik Ibrahim menjadi Ketua Jajahan dan Sarjan Che Wan menjadi
Ketua Balai Polis di jajahan Pasir Putih. Ketua Jajahan dibantu oleh 2 orang yang bergelar Tok
Kweng atau Penggawa dan Tok Nebeng atau Penghulu. Tok Nebeng bertugas menjaga
keamanan dan memungut hasil dalam kampung masing-masing.

b. Pada tahun 1905, Undang-undang Hasil Padi diluluskan. Menurutnya, semua pemilik tanah
perlu memberi maklumat yang tepat tentang kawasan tanah, hasil dan kedudukan tanah kepada
Tok Kweng.
Perubahan-perubahan ini menjejaskan hak kuasa pembesar ke atas daerah masing-masing.
Malah, kuasa Engku Besar Jeram dan Pasir Putih semakin berkurangan.

Kebangkitan menentang British di Kelantan semakin hebat selepas tahun 1909. Pada tahun 1909,
Kelantan dipindahkan daripada pemerintahan Siam kepada Inggeris menurut Perjanjian Inggeris-
Siam (Bangkok) 1909. Ekoran ini, British melantik seorang penasihat di Kelantan untuk
menasihati Sultan Muhammad IV dalam semua perkara, kecuali adat-istiadat dan agama Islam.
Penglibatan British dalam pentadbiran Kelantan menimbulkan rasa tidak puas hati. Mulai tahun
1910, perubahan yang agak radikal telah diperkenalkan oleh Penasihat British kepada sistem
pentadbiran Kelantan. Malah pihak British menggunakan pegawai-pegawai Melayu dari luar
negeri Kelantan untuk melaksanakan peraturan-peraturan tersebut.

Tindakan ini telah mencetuskan kebangkitan di daerah Pasir Putih, Kelantan pada tahun 1915
semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Kebangkitan ini dipimpin oleh Haji Mat Hassan
bin Munas, lebih dikenali sebagai Tok Janggut. Pembesar-pembesar lain yang menyertai
pemberontakan ini ialah Engku Besar Tun Ahmad Jeram, Penghulu Adam, Haji Said dan Che
Ishak Merbol.
Sebab-sebab penentangan di Kelantan

1. Ketidakpuas hati Engku Besar Jeram

Engku Besar Tun Ahmad dan penduduk kawasan Jeram tidak puas hati dengan campur tangan
British di jajahan Pasir Putih. Engku Besar adalah pembesar di daerah Jeram. British campur
tangan dalam pentadbiran Jeram dengan menasihati Sultan Muhammad IV supaya membina
sebuah pondok polis di Pasir Putih. Kerajaan British juga campur tangan dengan melantik
seorang Pegawai Daerah untuk mentadbir jajahan Pasir Putih yang dahulunya diletakkan di
bawah Engku Besar Jeram. Perlantikan pegawai daerah ini menyebabkan Engku Besar Jeram
kehilangan hak yang diwarisi turun-temurun sejak abad ke-18. Engku Besar Jeram seterusnya
kehilangan kuasa, wibawa dan keistimewaan. Engku Besar Tun Ahmad hanya berkuasa sebagai
Tok Kweng Muda, iaitu kedudukannya lebih rendah daripada Tok Kweng (penggawa). Sebelum
perubahan ini, Tok Kweng adalah di bawah kuasa Engku Besar Jeram. Engku Besar juga telah
kehilangan hak memungut cukai’ sebaliknya, beliau terpaksa membayar cukai ke atas tanah yang
menjadi hak miliknya seperti rakyat biasa. Engku Besar Jeram yang tidak puas hati dengan
sistem pentadbiran British lalu menghasut pengikutnya Tok Janggut atau Haji Mat Hassan
supaya bangun menentang dan mengusir British dari Pasir Putih. Tok Janggut dikatakan lebih
lama menyimpan dendam dalam hati kerana ayahnya, iaitu Panglima Munas dan abangnya Mat
Tahir sebelum itu telah dibunuh atas perintah Sultan.

2. Pengenalan sistem cukai baru

Pentadbiran British telah memperkenalkan sistem pentadbiran dan peraturan baru yang
menimbulkan rasa tidak puas hati penduduk tempatan. Sebelum pengenalan peraturan baru,
cukai atau hasil di Pasir Putih berdasarkan kepada jumlah hasil tahunan. Sekiranya jumlah hasil
adalah sangat sedikit, dikecualikan daripada cukai. Tanah yang tidak dikerjakan atau diusahakan
tidak dikenakan cukai, misalnya pokok pinang kurang daripada 10 batang dikecualikan daripada
cukai.

Peraturan baru yang diperkenalkan oleh pentadbiran British tidak ada pengecualian. Pokok buah-
buahan dikenakan cukai 12 ½ sen setahun, sirih dikenakan 5 sen sejunjung, lembu dan kerbau
dikenakan 20 sen seekor, pokok-pokok kayu seperti temberu, mendung dan kapur yang hendak
ditebang dikenakan cukai $1 sebatang, tanah pula 60 sen seekar.

Menurut undang-undang baru itu, cukai dikenakan ke atas tanah dan bukannya ke atas hasil
tanah seperti dahulu. Sebelum itu, peraturan tanah padi tahun 1905 amat longgar, iaitu hanya
mewajibkan satu penjuru bersamaan 400 depa tanah padi dikenakan cukai 30 sen setahun.
Kurang daripada 200 depa dikecualikan cukai. Selain itu, penduduk Pasir Putih dikehendaki
melaporkan keluasan dan tempat tanah yang mereka miliki kepada Tok Kweng. Dengan
demikian, rakyat telah dibebankan dengan bermacam-macam jenis cukai yang diperkenalkan
melalui sistem pentadbiran baru. Cukai tanah yang diperkenalkan oleh pihak British merupakan
suatu yang baru bagi penduduk Kelantan. Cukai tanah yang dikuatkuasakan oleh pihak British
adalah tetap. Cukai harus dibayar walaupun tanah tidak dikerjakan. Sekiranya gagal berbuat
demikian, mereka akan didenda.

Penduduk menghadapi kerumitan dalam pembayaran cukai kerana pejabat bayaran cukai hanya
diwujudkan di daerah tertentu dan pejabat itu terletak agak jauh. Bayaran hanya boleh dibuat
dalam waktu tertentu. Rakyat menghadapi masalah untuk membayar dalam masa yang
ditentukan. Pegawai-pegawai yang bertugas tidak cekap. Rakyat terpaksa datang ke pejabat
beberapa kali untuk membayar cukai, misalnya, Tok Janggut telah datang beberapa kali untuk
membayar cukai tetapi gagal membayar dalam masa yang ditetapkan. Pegawai yang bertugas
kadang-kala bersikap kasar kepada penduduk.
Keadaan ini menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat kerana mereka berasakan perlaksanaan
undang-undang baru membebankan mereka berbanding dengan peraturan sebelum ini. Engku
Besar kemudiannya mengarahkan Tok Janggut menjalankan kempen agar penduduk Jeram dan
seluruh jajahan Pasir Putih jangan membayar cukai. Dalam kempen ini, Tok Janggut mendapat
bantuan dan kerjasama daripada Penghulu Adam, Haji Said dan Che Ishak Merbol.

3. Sikap pegawai British Daerah Jajahan Pasir Putih

Pada tahun 1912, British menggantikan Encik Salleh, seorang Melayu tempatan dengan Encik
Latiff yang berasal dari Singapura sebagai Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih. Beliau telah
melaksanakan pelbagai cukai baru yang membebankan rakyat seperti cukai kepala, cukai buah
kelapa dan cukai pokok buah-buahan. Encik Latiff merupakan seorang pegawai yang jujur dalam
tugasnya. Beliau telah bertindak dengan tegas untuk melaksanakan undang-undang cukai yang
baru diperkenalkan oleh British. Pegawai Daerah dan kakitangannya bersikap kasar terhadap
penduduk di Pasir Putih. Mereka yang enggan atau lewat membayar cukai akan ditangkap dan
didenda. Ada kalanya, rakyat yang lewat membayar cukai dimaki dan dicaci oleh pegawai-
pegawai. Perbuatan yang kurang ajar ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai. Perasaan
tidak puas hati semakin bertambah apabila Encik Latiff telah menawarkan kontrak bagi mengutip
telur penyu dan kercut. Langkah ini mendapat tentangan hebat daripada orang ramai yang
sebelumnya boleh mendapatnya secara percuma tanpa dikenakan sebarang bayaran.

4. Pengaruh luar

Pengaruh luar seperti Perang Dunia Pertama dan Dahagi di Singapura pada tahun 1915 juga
mempengaruhi penduduk Kelantan melancarkan kebangkitan terhadap pentadbiran British.
Orang Kelantan percaya British akan mengalami kekalahan dalam Perang Dunia I. Begitu juga
apabila Dahagi meletus di Singapura pada tahun 1915. Penduduk Kelantan mendapat berita
bahawa tentera India berjaya membunuh orang Eropah secara beramai-ramai. Kesannya,
kejayaan Dahagi ini menyebabkan orang Kelantan tidak lagi menghormati orang Eropah
sebagaimana sebelumnya.
Proses penentangan

Tok Janggut yang mendapat sokongan daripada Engku Besar Jeram Tun Ahmad dan sokongan
oleh Haji Said, Che Ishak, Penghulu Adam, Tok Husin, Tok Abas, Tok Laboh dan Tok Deraman
telah menjalankan kempen mempengaruhi penduduk Pasir Putih menentang peraturan baru dan
British.
Pada 28 April 1915, Encik Latiff, Pegawai Daerah Jajahan Pasir Putih mendapat berita Tok
Janggut dan pengikutnya di Kampung Jeram. Pada 29 April 1915, beliau menghantar Sarjan Che
Wan dan beberapa orang anggota polis untuk menangkap Tok Janggut atas tuduhan tidak
membayar cukai. Dalam pertengkaran yang berlaku, Sarjan Che Wan ditikam oleh Tok Janggut
dan anggota polis yang lain dapat menyelamatkan diri dan membuat laporan kepada Encik Latiff.

Encik Latiff cuba mengambil tindak balas dengan menghantar 7 orang polis untuk menangkap
Tok Janggut. Apabila pasukan polis ini tiba di Kampung Kelubi, mereka diberitahu bahawa Tok
Janggut dan pengikutnya sedang mara hendak menyerang Pasir Putih. Dengan itu, Encik Latiff
bersama kakitangannya berundur ke Kota Bahru dengan bot melalui Kuala Semerak.

Tok Janggut, Engku Besar Jeram, Penghulu Adam dan Che Ishak Merbol melancarkan serangan
3 penjuru ke atas Pasir Putih kira-kira 4 petang pada 29 April 1915 dan mendudukinya selama 3
hari. Mereka membakar pejabat kerajaan, menawan balai polis dan membebaskan orang tahanan.
Mereka kemudian menubuhkan kerajaan sementara di Pasir Putih. Engku Besar dilantik sebagai
Raja Jeram dan Tok Janggut menjadi Perdana Menteri kerajaan sementara.

Penasihat Inggeris, W. Longham-Carter menerima berita serangan ke atas Pasir Putih pada 30
April 1915. Beliau menasihati Sultan Muhammad IV supaya menguatkan pertahanan Kota
Bahru. Penasihat British meminta bantuan dari Singapura. Pada 5 Mei 1915, bantuan dari
Singapura tiba di Tumpat dengan kapal H.M.S. Cadmus yang terdiri daripada 239 orang di
bawah pimpinan Kolonel C.W. Brownlow.

Pada 9 Mei 1915, pasukan Inggeris tiba di Pasir Putih tetapi gagal menangkap pemimpin yang
terlibat. Kebanyakan pemimpin telah melarikan diri ke dalam hutan dan juga ke Besut. Hadiah
$500 ditawarkan kepada sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut atau Engku Besar.
Penghulu Adam telah menyerah diri. Rumah Tok Janggut, Che Ishak Merbol dan Haji Said
dibakar.

Pada 23 Mei 1915, Tok Janggut sekali lagi melancarkan serangan ke atas Pasir Putih. Hal ini
memaksa Major Borton bersama 50 orang anggota polis Sikh dan 7 orang Eropah datang ke
Jeram pada 24 Mei 1915 untuk menjejaki kedudukan Tok Janggut dan pengikutnya.

Tok Janggut dan pengikutnya yang berkubu di Kampung Pupuh akhirnya bertempur dengan
pasukan British. Dalam pertempuran ini, beberapa orang terbunuh, termasuklah Tok Janggut.
Engku Besar Jeram Tun Ahmad yang cedera diselamatkan oleh Awang Deraman ke Reman,
Thai. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bahru. Setelah diarak, mayat beliau digantungkan
dengan kepala ke bawah di Padang Bank atau Padang Merdeka, Kota Bahru selama satu jam
sebelum dimakamkan di Pasir Putih.

Kebangkitan di Pasir Putih di bawah pimpinan Tok Janggut berjaya buat sementara
mengundurkan kakitangan kerajaan yang bertugas di Kota Bahru. Namun, kebangkitan ini telah
gagal untuk mempertahankan kejayaannya. Pasukan British bertindak bebas dengan cepat dan
berjaya mematahkan kebangkitan dan Tok Janggut sendiri terkorban dalam pertempuran.

Penentangan di Terengganu

Pengenalan

Usaha British meluaskan kuasanya di Terengganu menyebabkan rakyat bangkit menentang


British antara tahun 1922-1928. Kebangkitan itu berlaku pada zaman pemerintahan Sultan
Sulaiman Badrul Alam Syah. Punca kebangkitan rakyat Terengganu adalah pelaksanaan sistem
pentadbiran dan undang-undang bercorak Barat dan cukai-cukai baru yang membebankan rakyat
seperti cukai tanah dan pas kerajaan untuk membuka tanah dan mengambil hasil hutan.
Pemimpin ulama penentangan ini ialah seorang ulama yang bernama Haji Abdul Rahman
Limbong. Penentangan ini bertumpu di Hulu Telemong, Kuala Telemong, Kuala Berang, Alor
Limbat dan Tersat.

Kebangkitan tahun 1922 dan 1925

Penentangan terhadap British yang pertama berlaku pada tahun 1922 di Hulu Telemong.
Penentangan ini bermula apabila 43 orang rakyat ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas
tuduhan membersihkan tanah dan bercucuk tanam tanpa mendapatkan pas kebenaran daripada
Kerajaan British. Mereka dibela oleh Haji Abdul Rahman Limbong. Beliau berjaya
membebaskan mereka dari tuduhan dengan menitikberatkan undang-undang Islam.

Pada tahun 1925, satu lagi kebangkitan menentang undang-undang British berlaku di Kuala
Telemong. Kebangkitan ini disebabkan oleh beberapa orang telah membersihkan tanah kawasan
Kuala Telemong untuk bercucuk tanam. Tanah itu adalah kepunyaan Tengku Haji Nik (200 ekar)
dan tanah kerajaan yang terbiar (400 ekar). Mereka membersihkan tanah itu tanpa meminta pas
kebenaran daripada kerajaan kerana Tengku Haji Nik sendiri yang meminta mereka mengerjakan
tanah itu. Kebangkitan ini mendapat sokongan yang kuat daripada ramai rakyat Terengganu.
Walau bagaimanapun, tidak berlaku sebarang kejadian buruk dalam kebangkitan tersebut.
Kebangkitan tahun 1928

Peristiwa-peristiwa kebangkitan rakyat Terengganu di Hulu Telemong dan Kuala Telemong pada
tahun 1922 dan 1925 telah menambahkan kebencian rakyat terhadap British. Semangat
kebangkitan rakyat Terengganu sampai ke kemuncaknya pada tahun 1928 di Kuala Berang.

Penduduk Kuala Berang, Kampung Pelam (Telemong), Tersat dan Dungun telah membuka tanah
untuk bercucuk tanam tanpa mengambil pas kebenaran dari pihak British. British mengancam
hendak mengambil tindakan ke atas penduduk yang terlibat. Berikutan dengan ancaman itu,
penduduk dari kawasan-kawasan tersebut telah berhimpun beramai-ramai untuk bangkit
menentang British. Menurut buku “Pemberontakan Tani 1928 di Terengganu”, karangan Timah
Hamzah, kira-kira 1000 orang penduduk berkumpul di Tersat, Hulu Telemong pada 21 Mei 1928
dengan tujuan untuk memulakan peperangan terhadap orang kafir.

Pada 23 Mei 1928, penduduk yang berhimpun di Kuala Berang telah menduduki pejabat
kerajaan dan memusnahkan balai polis di situ. Pegawai-pegawai British di Kuala Berang
terpaksa berundur ke Kuala Terengganu. Setelah kemenangan awal itu, pejuang-pejuang itu telah
menuju ke arah Kuala Terengganu untuk mengadu masalah mereka kepada Sultan Sulaiman.
Pada masa itu, Kerajaan British telah menghantar sepasukan polis di bawah pimpinan Dato’ Seri
Lela Diraja dari Kuala Terengganu ke Kuala Berang untuk mengawal keadaan. Pasukan polis itu
telah bertempur dengan rakyat yang sedang mara di Padang Kachong. Di situ, Dato’ Seri Lela
Diraja telah memberi amaran kepada rakyat supaya berhenti dan tidak meneruskan pergerakan.
Walau bagaimanapun, kebanyakan tidak menghiraukan amaran tersebut. Akibatnya, pasukan
polis telah melepaskan tembakan.

Dengan bantuan polis tambahan dari Negeri-negeri Melayu Bersekutu, British dapat
memadamkan kebangkitan rakyat Terengganu. Semua pemimpin yang terlibat ditangkap dan
dipenjarakan iaitu Haji Zakaria 7 tahun; Abu Bakar Chinting 10 tahun; Abdullah Jurukka 10
tahun; Mat Tok Pitas 5 tahun dan Lebai Hassan 5 tahun. Penghulu Salleh Pasir Nyior pula telah
dibebaskan. Haji Abdul Rahman Limbong juga didapati bersalah tetapi beliau tidak dihukum
penjara. Beliau dibuang negeri ke Makkah.

Sebab Haji Abdul Rahman Limbong tidak dipenjarakan ialah beliau dianggap sebagai pemimpin
yang sangat berpengaruh dan kehadirannya akan meningkatkan lagi semangat kebangkitan
terhadap British. Selain itu, British juga tidak mahu menimbulkan lagi kemarahan penyokong-
penyokong beliau sekiranya beliau dihukum penjara. Beliau dihantar ke Makkah juga disebabkan
beliau berhasrat pergi ke tanah suci untuk mendalami dan mengajar agama Islam. Haji Abdul
Rahman Limbong meninggal dunia di Makkah pada 16 November 1929.

You might also like