Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

Kesedaran Guru Matematik Terhadap Penerapan Nilai

Matematik Dalam Pengajaran: Satu Kajian Kes


Siti Aisyah Zakariaa dan Wan Nurul Aiffah Ismailb
a
Institut Matematik Kejuruteraan
Universiti Malaysia Perlis,
Kampus Pauh Putra, 02600 Arau Perlis
b
Institut Matematik Kejuruteraan
Universiti Malaysia Perlis,
Kampus Pauh Putra, 02600 Arau Perlis

Abstrak. Kajian kualitatif ini bertujuan untuk mengenal pasti kesedaran guru matematik terhadap penerapan nilai
matematik dalam pengajaran. Fokus diberikan juga untuk memahami pengajaran guru matematik yang membawa kepada
penerapan nilai matematik. Enam penerapan nilai matematik yang diberi tumpuan ialah rasionalisme, objektisme, kawalan,
kemajuan, keterbukaan dan misteri. Tiga orang guru matematik di Sekolah Menengah Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah
telah dipilih secara bertujuan manakala proses pengumpulan data ini melibatkan pemerhatian di dalam kelas, temu bual
tiga peringkat iaitu temu bual pra-pengajaran, temu bual pasca-pengajaran dan temu bual lepas kajian dan akhirnya analisis
dokumen. Rakaman audio telah digunakan semasa proses temu bual tiga peringkat ini. Manakala, catatan lapangan dan
senarai semak digunakan bagi memudahkan proses pemerhatian di dalam kelas. Data dianalisis melalui lima fasa utama
iaitu rakaman audio daripada temu bual ditranskripsikan ke dalam bentuk bertulis, transkripsi lengkap keseluruhan data,
pembahagian dan pengkodan data yang telah ditranskripsikan, penganalisisan data dilakukan berdasarkan kepada persoalan
kajian dan akhirnya kesimpulan dibuat secara merentas peserta. Hasil kajian yang diperoleh menunjukkan guru tidak
menyedari tentang penerapan nilai matematik sebelum pengajaran di dalam kelas. Hal ini kerana peserta (guru matematik)
tidak memahami secara mendalam tentang nilai matematik; kedua, peserta tidak menumpukan penerapan nilai matematik
ini sebagai salah satu objektif dalam pengajaran di dalam kelas; ketiga, peserta mempunyai kekangan masa untuk membuat
persediaan pengajaran yang lebih banyak; dan keempat, peserta hanya berdasarkan pengalaman pengajaran yang lalu tanpa
cuba menggunakan pendekatan yang lain. Akhir sekali, dapatan kajian tentang pelaksanaan nilai yang berlaku dalam kelas
adalah salah satunya melalui aktiviti seperti perbincangan di dalam kelas di antara guru dengan pelajarnya. Seterusnya bagi
meningkatkan dapatan kajian ini, penambahan peserta kajian yang melibatkan ibu bapa, pensyarah universiti adalah
disyorkan untuk kajian lanjutan tentang nilai matematik pada masa hadapan.

Kata Kunci: Nilai Matematik, Pengajaran Matematik

PENGENALAN
Perkembangan pendidikan sekarang perlu sentiasa dibuat pemantauan dan dilakukan secara berterusan. Dengan
itu, pelbagai pihak terutama para pendidik sendiri perlu memainkan peranan penting dalam meningkatkan mutu
pendidikan negara kita terutamanya dalam matematik. Pengajaran matematik yang berkesan datangnya daripada
pengajaran yang sesuai serta berkualiti berdasarkan sistem serta standard pengajaran matematik sekarang (Nor'Ain,
Noor Shah, Zulkifley, Muzirah, & Lim, 2010). Pengajaran matematik boleh dijalankan dengan pelbagai pendekatan
sama ada secara tradisi atau menggunakan teknologi yang lebih dikenali sebagai e-pembelajaran. Pengajaran
matematik seperti e-pembelajaran ini memerlukan kerjasama antara guru dengan pelajar. Pelajar perlu menghabiskan
masa dengan melakukan latih tubi dengan menggunakan teknologi yang ada. Namun begitu, pembelajaran jenis ini
belum tentu mempunyai keberkesanannya tanpa para pendidik membantu dalam menerapkan nilai yang betul dalam
pengajaran matematik itu (Siti Hafizah, 2003). Walaupun pelbagai cara kita lakukan dalam meningkatkan kualiti
pendidikan pada hari ini namun, kita harus peka terhadap matlamat dalam memperkembangkan kualiti pendidikan itu
sendiri.
Nilai matematik dalam pengajaran telah diperkenalkan oleh Alan Bishop, (1988) yang memfokuskan kepada nilai
yang berkait ideologi iaitu nilai rasionalisme dan nilai objektisme, nilai yang berkait sentimental iaitu nilai kawalan
dan nilai kemajuan dan akhir sekali nilai sosiologis iaitu nilai keterbukaan dan nilai misteri. Kajian yang dilakukan
oleh beliau menjurus kepada wujudnya nilai matematik itu serta bagaimana ia diterapkan di dalam pengajaran. Selain
itu juga, terdapat pengkaji lain seperti Seah & Bishop (2000); Juraidah & Nik Azis (2008); dan Roslaini & Nik
Azis,(2008) yang membuat kajian tentang nilai matematik yang terkandung dalam sukatan buku teks matematik bagi
sekolah menengah. Maka, dalam kajian ini, pengkaji akan lebih memfokuskan kepada kesedaran guru tentang
penerapan nilai matematik dalam pengajaran di dalam kelas terutama di kawasan utara ini.
Antara aspek yang ditekankan dalam kajian ini ialah tentang kesedaran guru matematik terhadap penerapan nilai
matematik dalam pengajaran matematik di dalam kelas. Apakah guru mengetahui dan menyedari tentang nilai
matematik yang terdiri daripada nilai berkait ideologi, nilai yang berkait sentimental dan nilai yang berkait sosiologis?
Selain itu, kajian ini juga memberi tumpuan kepada amalan guru terhadap penggunaan standard pengajaran matematik
yang ditetapkan dan bagaimana pelaksanaan nilai itu dilakukan melalui standard pengajaran matematik berkenaan.
Hal ini kerana nilai matematik dikatakan membangkitkan rasa keindahan terhadap matematik, membangkitkan
kefahaman tentang kepentingan matematik dan dapat membantu seseorang menguasai matematik dengan lebih baik
(National Council of Teacher of Mathematics, 1989; Wan Zah, Sharifah Kartini, Habsah, Ramlah, Mat Rofa, Mohd
Majid & Rohani, 2005; Kementerian Pendidikan Malaysia, 1998). Daripada permasalahan ini, guru akan lebih peka
serta mengetahui bahawa setiap pengajaran yang disampaikan kepada pelajar mempunyai nilainya yang tersendiri.
Merujuk kepada Utusan Malaysia (Mac, 2011) yang melaporkan bahawa pengajaran sains dan matematik perlu
lebih interaktif sama ada melibatkan sekolah di kawasan pendalaman ataupun tidak. Dalam laporan berkenaan ia
memfokuskan kepada kawasan Sabah dan Sarawak namun begitu, masalah pendidikan ini turut melibatkan semua
pihak. Menurut laporan itu lagi, pengajaran dalam sains dan matematik ini haruslah sentiasa dibuat penambahbaikkan
demi meningkatkan mutu serta kualiti pengajaran yang disampaikan. Dengan itu, pengkaji merasakan bahawa salah
satu kaedah atau teknik pengajaran yang dapat meningkatkan kualiti proses pengajaran berkenaan adalah dengan
menerapkan nilai matematik yang berguna kepada para pelajar. Kajian tentang penerapan nilai matematik ini kurang
dititikberatkan pada masa sekarang (Wan Zah, et al., 2005). Oleh itu, pengkaji merasakan satu keperluan bagi
mengkaji tentang topik nilai matematik ini agar masyarakat tahu tentang kepentingannya.
Pengajaran matematik yang berkualiti daripada seorang guru juga akan membuat pelajar lebih menghargai
matematik ini sama ada pelajar itu akan lebih berminat ataupun sebaliknya. Kita juga perlu belajar untuk menghargai
nilai matematik itu sendiri (Noraini, 2005). Menurut Noraini (2005), beliau lebih menekankan kepada penghayatan
pengajaran serta pembelajaran itu di mana, pelajar atau guru itu perlu lebih bijak serta pandai dalam menjadikan
matematik ini sesuatu yang dihargai kerana matematik ini mempunyai nilai matematik, matematik boleh menjadikan
seseorang itu yakin terhadap diri sendiri serta matematik ini membuatkan seseorang itu mahir dalam berfikir. Dengan
itu, kajian dengan lebih mendalam tentang nilai matematik harus dilakukan untuk meneroka tentang kesedaran guru
matematik terhadap erti sebenar nilai matematik.
Dengan berpandukan kajian yang dilakukan oleh Mohd Uzi & Lim (2009), pengkaji terdorong untuk melakukan
kajian dengan lebih lanjut tentang penerapan nilai matematik ini. Namun begitu, kajian ini memberi tumpuan khusus
kepada kesedaran guru matematik terhadap penerapan nilai matematik di dalam kelas. Apabila kajian lanjutan
dilakukan maka, kita akan dapat lihat sejauh mana para pendidik sekarang menyedari tentang nilai matematik itu dan
menjadikan penerapan nilai matematik sebagai salah satu objektif utama dalam menyampaikan pengajaran matematik
di dalam kelas.
Selain itu juga, satu persoalan yang dibangkitkan di sini adalah apabila terdapat guru masa kini yang hanya
menyampaikan pengajaran berdasarkan kepada silibus yang diberikan kepada mereka tanpa menekankan pengertian
sebenar di sebalik pengajaran matematik terutama nilai yang terdapat dalam subjek matematik itu sendiri. Masyarakat
hanya mengetahui bahawa matematik hanyalah berdasarkan nombor sahaja, tetapi sekarang ini banyak kajian yang
telah dilakukan dalam meneroka wujudnya nilai di sebalik subjek matematik itu sendiri. Daripada kajian yang dibuat,
para pendidik akan lebih memahami serta dapat menyampaikan ilmu yang berguna kepada anak didik mereka. Dengan
mengetahui bahawa wujudnya nilai dalam matematik, guru bolehlah memainkan peranan dalam menerapkan nilai-
nilai berkenaan di dalam proses pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas. Justeru, dapat melahirkan anak bangsa
yang mempunyai ilmu pengetahuan yang berguna dalam menghadapi kehidupan seharian.
Penerapan nilai matematik terutama dalam pengajaran matematik sekarang tidak begitu diambil berat serta para
pendidik sendiri kurang memahami pengertian nilai itu sendiri (Bishop, Clarke, Corrigan, dan Gunstone, 2005).
Dengan menggunakan kaedah pembelajaran yang terlalu tertumpu kepada peperiksaan dan budaya sekolah yang
masih belum memberi perhatian yang mencukupi kepada penghayatan ilmu boleh mempengaruhi keberkesanan
penerapan nilai matematik dalam pengajaran matematik di dalam kelas. Penerapan nilai matematik menerangkan
kepada kita bahawa nilai perlu dibentuk, dikembangkan, dipertahankan, dan diamalkan oleh setiap pelajar. Pengertian
nilai adalah berbeza mengikut individu yang berpengalaman secara empiris dan pemikiran rasional semata-mata
dengan nilai yang dibentuk berasaskan gabungan sumber ilmu yang diwahyukan. Bagi individu yang dapat
menerapkan nilai dengan baik sehingga menjadi adab yang bersepadu, walaupun dalam keadaan paling sukar, akan
tetap tenang menghadapi cabaran hidup (Nik Azis, 2009).
Justeru itu, dalam kajian ini pengkaji akan menumpukan kepada kesedaran terhadap penerapan nilai matematik
dalam pengajaran matematik dan pelaksanaannya di dalam kelas. Sebelum proses pembelajaran berlaku, setiap guru
perlu yakin serta memperolehi ilmu dengan mendalam tentang subjek yang akan diajarkan kepada pelajar terutamanya
dalam matematik. Bukan sahaja pengiraan atau penyelesaian pantas dalam pengajaran matematik yang diperkenalkan
malah pengertian di sebalik matematik itu sendiri perlu ditekankan atau lebih dikenali sebagai konsep matematik itu.

METADOLOGI
Pendekatan kualitatif telah diaplikasikan dalam kajian ini dalam proses pengumpulan data secara optimum. Terdapat
tiga peringkat utama dalam proses pengumpulan data iaitu peringkat pertama ialah temu bual sebelum pengajaran
dimulakan di dalam kelas bagi mendapatkan maklumat daripada para peserta tentang pengetahuan mereka tentang
penerapan nilai matematik sebelum pengajaran dimulakan. Temu bual sebelum pengajaran ini dijalankan selama lebih
kurang 10 minit dan rakaman audio dilakukan bagi merakam proses temu bual berkenaan. Seterusnya peringkat kedua
ialah pemerhatian di dalam kelas dijalankan bagi melihat kaedah serta teknik pengajaran yang digunakan oleh para
peserta yang menjurus kepada penerapan nilai matematik di dalam kelas. Catatan lapangan serta senarai semak
pemerhatian digunakan bagi membantu mendapatkan data semasa proses pemerhatian dilakukan. Akhir sekali,
peringkat ketiga ialah temu bual selepas pengajaran dilakukan bagi mendapatkan maklumat tambahan berdasarkan
pengajaran yang telah dilakukan oleh para peserta. Sekiranya terdapat sebarang maklumat yang tertinggal atau belum
mencukupi maka, pengkaji akan mengadakan temu bual lepas kajian bagi memperolehi maklumat tambahan
berkenaan. Analisis dokumen juga dilakukan bagi melihat rangka persediaan guru sebelum pengajaran dimulakan di
dalam kelas ataupun maklumat lain yang boleh membantu dalam mencari jawapan bagi persoalan dalam kajian ini.
Peserta yang terlibat dalam kajian ialah adalah seramai tiga orang guru matematik yang berlainan sekolah. Temu bual
yang dilakukan adalah sebanyak tiga kali pengajaran bagi memperolehi ketepuan data.

NILAI MATEMATIK

Nilai matematik adalah kualiti berkait dengan sifat-sifat pengetahuan matematik itu sendiri, yang dibina oleh ahli
matematik (Bishop, 1988). Nilai matematik juga dikatakan berkait rapat dengan kualiti disiplin yang terdapat dalam
matematik dan sifat matematik sebagai satu ilmu (Wan Zah, et al. (2005). Berdasarkan kepada teori White yang
memperkenalkan bahawa nilai adalah berasal daripada perkembangan teknologi (Bishop, 1988). Perkembangan
teknologi ini mempunyai komponen budaya berdasarkan ideologi, sentimental, dan sosiologis. Daripada komponen
ini, Bishop (1988) telah memperkenalkan model enam kumpulan yang terdiri daripada nilai yang berkait ideologi iaitu
rasionalisme dan objektisme; nilai yang berkait sentimental iaitu kawalan dan kemajuan; dan akhirnya nilai yang
berkait sosiologis iaitu keterbukaan dan misteri. Model enam kumpulan nilai matematik ini mempunyai pembahagian
kandungannya yang tersendiri iaitu:

Nilai yang berkait ideologi – rasionalisme: Rasionalisme melibatkan proses matematik seperti pemikiran logik,
penaakulan deduktif (deductive reasoning), dan penerangan terhadap sebab dan akibat (Nik Azis, 2008; Mohd Uzi &
Lim, 2007a; Bishop, Clarkson, FitzSimons & Seah, 2000; Bishop, 1988). Dalam pemikiran logik, proses yang berlaku
adalah bagaimana pelajar mendapat maklumat daripada guru dan menjadikan maklumat itu sebagai input dan
seterusnya berlaku proses memahami dan akhirnya akan menjadi output. Berdasarkan kajian daripada Cizkora &
Ctrnactora, (2003) menyatakan bahawa dalam membentuk pemikiran logik, guru perlu memberi dua tugasan kepada
pelajar iaitu tugasan pertama dipanggil tugasan kerja (assignment task) di mana pelajar akan mencapai matlamat
tertentu dan mengetahui bagaimana jalan penyelesaiannya. Tetapi bagi tugasan kedua iaitu masalah kerja (problem
task) ia lebih kritikal di mana pelajar mengetahui matlamat tetapi pada masa yang sama pelajar sukar mencari jalan
penyelesaiannya.
Namun begitu, terdapat jalan penyelesaian seandainya pelajar tidak dapat mencari jawapan di mana guru perlulah
menetapkan matlamat sesuatu kerja itu, memberi tugasan mengikut kemampuan pelajar, menerapkan unsur motivasi
dalam penyelesaian masalah dan akhirnya memberi tunjuk ajar kepada pelajar dalam menyelesaikan masalah
berkenaan. Pemikiran logik ini perlu ada bagi setiap pelajar untuk menunjukkan berlakunya peningkatan dalam
teknologi dan dapat melakukan perubahan ke arah perkembangan dunia. Antara aktiviti di dalam kelas yang boleh
merangsang pemikiran logik pelajar adalah seperti proses penyelesaian masalah dalam matematik yang melibatkan
unsur permainan, unsur menguji IQ pelajar serta melibatkan aktiviti yang menguji kreativiti pelajar dalam
menyelesaikan masalah (Koray & Koksal, 2009).
Seterusnya dalam nilai rasionalisme melibatkan kaedah seperti penaakulan deduktif (deductive reasoning) yang
bermaksud logik asas yang digunakan untuk penerangan saintifik dan penentuan/peramalan. Pelajar akan membuat
ramalan dahulu sebelum mencari jawapan sebenar dalam penyelesaian masalah (Park & Han, 2002). Penaakulan
deduktif ini dikatakan unik kerana ia merupakan proses dalam membuat kesimpulan daripada maklumat yang
diketahui yang berasaskan kepada peraturan logik di mana kesimpulan yang diperolehi adalah berdasarkan maklumat
yang ada (Ayalon & Even, 2008).
Penerangan dalam pengajaran matematik juga memainkan peranan penting dalam menunjukkan bahawa
matematik mempunyai nilai rasionalisme. Seperti dalam kajian daripada Proulx, Kieran & Bednarz, (2003) mengenai
kajian kes tentang tahap guru matematik dalam proses penerangan. Dalam kajian ini menunjukkan kepentingan
penerangan secara oral daripada guru di dalam kelas dengan mengharapkan bahawa pelajar akan memahami dengan
penerangan yang diberikan. Dalam kajian beliau juga menerangkan tentang pengajaran matematik yang mempunyai
ciri dalam komunikasi, berinteraksi dan pertukaran eksplisit dalam kandungan yang berkaitan dengan matematik.
Pengajaran yang sama boleh dilihat pada dua aspek penting iaitu pengajaran awam dan juga pengajaran peribadi. Bagi
pengajaran awam, ia diterangkan sebagai interaksi antara dua orang individu (iaitu orang yang bercakap dan orang
yang mendengar). Manakala bagi pengajaran individu adalah lebih kepada peribadi dan penyelesaian matematik
berdasarkan kefahaman sendiri.

Nilai yang berkait ideologi – objektisme: Nilai ini wujud melalui simbol atau gambar rajah di mana ia menerangkan
masalah abstrak matematik. Daripada satu pernyataan masalah matematik yang abstrak ditukarkan kepada objek
matematik seperti gambar rajah atau simbol tertentu maka, akan memudahkan pelajar dalam menyelesaikan masalah
matematik berkenaan (Mohd Uzi & Lim, 2007a; Bishop, 1988). Ia juga lebih menekankan kepada objek, simbol,
pengkonkritan dan melaksanakan idea dalam matematik. Permulaan masalah matematik adalah daripada pernyataan
yang abstrak dan apabila diadaptasikan menjadi objek atau simbol matematik, ia akan lebih mudah diselesaikan.
Contohnya, nilai objektisme yang digunakan di Singapura dan Vietnam serta Australia melalui pengendalian idea
abstrak dengan menjadikan konkrit melalui perwakilan menggunakan simbol dan objek matematik. (Mohd Uzi &
Lim, 2007a; Bishop, Clarkson, FitzSimons & Seah, 2000).

Nilai yang berkait sentimental - kawalan: Dalam nilai kawalan ini, pengetahuan matematik juga membolehkan
manusia memahami, mengurus dan mengawal persekitaran fizikal dan sosial. Kebanyakan guru menyedari wujudnya
nilai ini tetapi ia hanya kurang dititikberatkan. Dalam nilai ini, ia melibatkan peraturan yang digunakan dalam situasi
semasa atau persekitaran (Seah & Bishop 2000; Bishop, Clarkson, FitzSimons & Seah 2000; Bishop 1988).
Pendedahan aplikasi matematik dalam dunia sebenar membolehkan pelajar mengetahui dengan lebih mendalam
tentang matematik itu sendiri. Pelbagai aktiviti pengajaran yang boleh dijadikan sebagai contoh aplikasi matematik
dalam kehidupan seharian sama ada dalam bidang pendidikan ataupun bidang lain.
Penggunaan teknologi seperti komputer juga merupakan salah satu nilai yang menjurus kepada nilai kawalan di
mana dengan penggunaan teknologi ini, ia akan lebih menarik minat pelajar untuk mempelajari matematik (Bishop,
1988). Sebagai contoh, kajian daripada Leikin, Berman & Zaslavsky, (2000) mengenai aplikasi simetri dalam
penyelesaian masalah. Simetri merupakan satu konsep matematik yang penting dan memainkan peranan yang penting
dalam teknik penyelesaian masalah. Kebanyakan teknik simetri ini diaplikasi atau digunakan dalam penyelesaian
masalah matematik yang dipelajari di sekolah menengah. Simetri juga dikatakan ada hubungan di antara konsep
matematik yang lain seperti geometri, algebra, kebarangkalian dan kalkulus. Hal ini menunjukkan bahawa dalam
konsep matematik tertentu, ia boleh mengawal pelajar dalam mencari jalan penyelesaian bagi sesuatu permasalahan
matematik menjadi mudah atau tidak.

Nilai yang berkait sentimental – kemajuan: Bagi nilai kemajuan, ia melibatkan pengetahuan matematik seperti lebih
kepada perasaan yang dinamik daripada sebelumnya, melibatkan proses memperoleh alternatif tertentu dalam
penyelesaian masalah, generalisasi dan juga pengembangan serta membentuk alternatif yang mudah dalam
menyelesaikan masalah matematik (Bishop, 1988; Bishop, Clarkson, FitzSimons & Seah, 2000). Kreativiti seseorang
guru atau pelajar dalam mencari penyelesaian dalam matematik juga merupakan satu kaedah pembelajaran dan
pengajaran yang menunjukkan ciri nilai kemajuan. Kreativiti dikatakan satu proses yang sensitif terhadap
permasalahan, ketidakpastian, jarak dalam pengetahuan, elemen yang hilang, mengenal pasti kesukaran, mencari
penyelesaian, membuat anggapan atau membentuk hipotesis bagi sesuatu yang kurang pasti dan boleh diubahsuai
(Torrance, 1966).
Balka (1974) telah memperkenalkan ciri-ciri dalam mengukur kebolehan kreativiti dalam matematik. Ciri-ciri
berkenaan adalah penggunan pemikiran logik atau tidak, berkebolehan dalam menentukan corak dan bahagian dalam
menetapkan sesuatu pemikiran, dapat mencipta satu hipotesis matematik, mencipta idea matematik yang luar biasa
serta akhirnya peka pada masalah-masalah kecil dalam penyelesaian matematik. Berdasarkan kajian daripada Mann
(2006) menyatakan bahawa kretiviti dalam matematik diukur daripada ketekalan, kekerapan dan keaslian sesuatu
masalah itu diselesaikan. Dengan berdasarkan jenis atau keadaan masalah matematik berkenaan, pelajar boleh
mengalakkan penggunaan pengetahuan yang tekal dalam setiap aplikasi matematik yang baru.

Nilai yang berkait sosiologis - keterbukaan: Pengetahuan matematik boleh dibincangkan, diubah suai, dan
dikembangkan. Dalam komponen ini melibatkan hubungan antara manusia, dan hubungan antara instituisi sosial
dengan pengetahuan matematik. Melalui perbincangan dengan rakan sekelas ataupun dengan guru itu sendiri secara
tidak langsung pengetahuan matematik itu mudah difahami serta mendapat jalan penyelesaiannya (Seah & Bishop,
2000; Juraidah & Nik Azis, 2008; Bishop, 1988). Aktiviti pengajaran yang utama dalam menunjukkan matematik itu
mempunyai nilai keterbukaan adalah melalui aktiviti perbincangan dalam mencari penyelesaian matematik sama ada
perbincangan dilakukan antara guru ataupun rakan sekelas.
Menurut kajian daripada Jansen (2008) membincangkan tentang penyiasatan beliau dalam melihat hubungan
antara kepercayaan pelajar dan penglibatan pelajar dalam perbincangan antara dua kelas. Tujuan kajian beliau adalah
menentukan sama ada terdapat hubungan antara penglibatan pelajar semasa perbincangan keseluruhan dalam kelas
dan kepercayaan pelajar dalam penglibatan dalam bilik darjah. Hasil kajian menunjukkan tidak terdapat hubungan
antara penglibatan pelajar dalam perbincangan di antara dua kelas yang beliau kaji. Hal ini kerana bagi kelas A, kaedah
perbincangan yang dilakukan adalah berbeza dengan kaedah yang dilakukan dalam kelas B di mana dalam kelas A
menggunakan pendekatan struktur I-R-E iaitu guru memberi soalan, pelajar memberi maklumbalas dalam menjawab
soalan dan akhirnya guru menilai pada maklumbalas tersebut. Perbincangan selalunya mengikut masalah matematik
daripada buku teks dan tujuan perbincangan dilakukan ialah supaya pelajar boleh menyemak jawapan melalui
penyelesaian sendiri. Manakala bagi kelas B, perbincangan yang dilakukan melibatkan pertemuan daripada guru
dalam perspektif daripada pelajar, selepas itu ia dipilih dan perbincangan tersebut ditapis mengikut kesignifikan dalam
idea matematik. Berdasarkan kepada kajian beliau menunjukkan perbincangan di dalam kelas adalah penting serta
pelbagai kaedah yang boleh digunakan dalam mendapat keputusan perbincangan yang terbaik. Dengan ini
menunjukkan matematik mempunyai nilai keterbukaan dalam proses penyelesaian matematik dengan menggunakan
kaedah perbincangan di dalam kelas atau di mana sahaja.

Nilai yang berkait sosiologis – misteri: Seterusnya nilai misteri yang mengatakan bahawa matematik ini kurang
difahami, penuh misteri dan tidak mempunyai asal usul yang jelas (Bishop, 1988; Juraidah & Nik Azis, 2008).
Pengetahuan matematik juga perlu mempunyai pembuktian tertentu dalam mendapatkan satu formula yang tepat dan
dapat digunakan dalam penyelesaian matematik. Pembuktian adalah asas kepada membuat dan memahami
pengetahuan matematik itu sendiri. Ia adalah pemahaman asas matematik dan penting dalam pengembangan,
penetapan dan komunikasi dalam pengetahuan matematik (Stylianides, 2007; Stylianides & Stylianides, 2008).
Dengan menerapkan ilmu pembuktian kepada pelajar, ia akan lebih memudahkan pelajar dalam mengetahui ilmu
matematik itu sebenarnya serta menunjukkan pengetahuan matematik adalah misteri serta perlu diterokai.
Dalam menunjukkan pengetahuan matematik itu misteri, satu kaedah pengajaran yang dikaitkan ialah dengan
menerapkan permainan dalam pengajaran matematik. Guru perlu memainkan peranan penting dalam menarik minat
pelajar dalam mempelajari matematik. Dengan itu guru boleh menerapkan beberapa aktiviti permainan dalam mencari
jawapan untuk penyelesaian matematik. Hal ini boleh meningkatkan kemahiran pelajar dalam mempelajari matematik
(Parsons, 2008). Dalam artikel Parsons (2008), beliau menganggap bahawa permainan terdiri daripada tiga kategori
iaitu bertuah, bertuah bercampur dengan kemahiran yang dimiliki dan kemahiran yang asal ada pada seseorang itu.
Dengan mempelbagai permainan dalam pengajaran di kelas, pelajar akan mudah memahami tentang konsep yang
disampaikan oleh guru serta akan meningkatkan tahap ingatan pelajar mengingat tentang kaedah penyelesaian
matematik berkenaan. Berdasarkan kajian daripada Lipeikiene, Cechamiriene dan Norkute (2009) menyatakan
bahawa permainan video dalam salah satu kaedah pembelajaran matematik juga dapat membantu meningkatkan
kemahiran memahami konsep matematik dengan lebih mudah. Kajian mereka juga menunjukkan bahawa pendidikan
matematik di luar negara mempunyai pelbagai aktiviti bagi meningkatkan kemahiran dalam pembelajaran matematik
pelajar. Antara perisian yang membantu bagi meningkat mutu permainan video dalam pendidikan matematik ini ialah
“Adventure Maker”, “Adobe Flash” dan “Adobe Photoshop”. Guru Matematik sekarang perlu menerapkan pengajaran
secara interaktif dengan menggunakan bahan pengajaran yang inovatif. Oleh itu, pengetahuan tentang perisian ini
perlu ada agar dapat meningkatkan aktiviti pengajaran kelak.

TUJUAN KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti kesedaran guru matematik terhadap nilai matematik dalam pengajaran
kelas. Fokus diberikan juga untuk memahami pengajaran guru matematik yang membawa kepada penerapan nilai itu
sendiri. Tiga jenis penerapan nilai matematik yang diberi tumpuan ialah nilai yang berkait ideologi, nilai yang berkait
sentimental dan nilai yang berkait sosiologis. Terdapat tiga persoalan penting dalam kajian ini, di mana melalui
persoalan ini pengkaji akan mengetahui dengan lebih mendalam tentang kesedaran guru matematik terhadap
penerapan nilai matematik dalam pengajaran di dalam kelas. Persoalan berkenaan adalah (1) Apakah guru menyedari
tentang penerapan nilai matematik sebelum pengajaran di dalam kelas? (2) Apakah nilai matematik yang diterap dalam
pengajaran itu disedari atau tidak oleh guru matematik berkenaan? (3) Bagaimanakah penerapan nilai matematik
dilaksanakan dalam pengajaran matematik? Namun begitu, dalam kertas kerja ini hanya dibincangkan tentang dapatan
kajian bagi persoalan pertama dan ketiga sahaja.

DAPATAN KAJIAN

Dapatan kajian dianalisis menggunakan pendekatan kualitatif melalui lima fasa utama iaitu rakaman audio daripada
temu bual ditranskripsikan ke dalam bentuk bertulis, transkripsi lengkap keseluruhan data, pembahagian dan
pengkodan data yang telah ditranskripsikan, penganalisaan data dilakukan berdasarkan kepada persoalan kajian dan
akhirnya kesimpulan dibuat secara merentas peserta.

Penerapan Nilai Matematik Sebelum Pengajaran

Sebelum bermulanya kelas, para peserta membuat perancangan untuk menerapkan beberapa nilai sama ada ia ialah
nilai matematik atau tidak. Kebanyakan nilai yang dirancang adalah nilai-nilai murni. Berikut ialah jadual 5.3 yang
menunjukkan senarai nilai-nilai yang dirancang oleh para peserta.

JADUAL (1): Senarai Nilai-nilai Yang Dirancang Menurut Peserta Sebelum Pengajaran
Kategori Nilai Jenis Nilai
Cikgu Cheng Cikgu Syariza Cikgu Rizal
Nilai Matematik Pemikiran Logikal Berhati-hati Positif
Kecantikan Matematik Kerjasama Negatif
Aplikasi dalam Kehidupan Kefahaman Rohani
Estetik Naik
Kecantikan Geometri Turun
Moral Kebersihan
Tolong-menolong Ketepatan Masa
Kerjasama Adab Sopan Yang Baik
Suka Mencuba
Suka Berfikir
Analitik

Berdasarkan jadual 5.3 menunjukkan para peserta telah membuat perancangan dalam menerapkan nilai yang
diketahui semasa pengajaran nanti. Namun begitu, kebanyakan nilai yang dirancang adalah nilai-nilai murni seperti
moral, berhati-hati dan lain-lain. Nilai yang menjurus kepada nilai matematik adalah seperti pemikiran logikal dan
analitik. Para peserta juga membuat perancangan nilai hanya bagi kelas-kelas tertentu sahaja serta nilai yang dirancang
juga berbeza bagi setiap kelas yang hendak dimulakan. Maka, di sini menunjukkan peserta kurang prihatin atau kurang
memberi tumpuan dalam menerapkan nilai-nilai di dalam kelas. Seperti dalam jadual, peserta lebih banyak merancang
nilai-nilai murni berbanding nilai matematik. Hal ini kerana para peserta kurang pengetahuan tentang nilai matematik
yang boleh diterapkan di dalam kelas.
Ketiga-tiga peserta ini juga lebih mengutamakan objektif pengajaran berdasarkan topik yang diajar dan bukan
menyelitkan tentang penerapan nilai matematik itu dalam pengajaran. Selain itu juga, kesungguhan peserta dalam
menyampaikan pengajaran mereka boleh dilihat melalui aktiviti serta pendekatan yang dilakukan. Namun begitu,
mereka masih kurang yakin dalam menerapkan nilai matematik yang dirancang walaupun nilai itu tidak difahami
sepenuhnya oleh mereka. Para peserta tidak mempunyai keyakinan tentang erti sebenar nilai matematik dan apabila
ditanya tentang nilai yang dirancang, peserta hanya mengagak nilai yang hendak diterapkan. Perkara ini menunjukkan
sebab utama mereka kurang menyedari tentang pentingnya penerapan nilai matematik semasa
pengajaran.Perancangan pendekatan atau aktiviti di dalam kelas berdasarkan kepada kesemua peserta ini adalah sama
iaitu penerangan, latihan di dalam kelas serta perbincangan antara pelajar dengan guru atau pelajar dengan pelajar.
Melalui aktiviti seperti ini juga, para peserta boleh menerapkan nilai matematik namun begitu, peserta tidak
menyedarinya. Para peserta juga kelihatan kurang yakin apabila persoalan nilai ditanya kepada mereka. Terdapat juga
peserta yang merujuk nilai matematik ini berdasarkan kepada buku teks sahaja tanpa memikirkan sendiri tentang nilai
yang mahu diterapkan.
Pengajaran yang terbaik dan berkualiti adalah berdasarkan perancangan peserta itu sendiri dalam mengubah
pendekatan yang digunakan sebelum ini. Berdasarkan kepada kesemua peserta, mereka sangat menyokong sekiranya
nilai matematik ini diterapkan di dalam kelas terutama bagi kelas yang selalu mengalami masalah. Hal ini kerana nilai
matematik ini mempunyai kepentingannya tersendiri. Sebagai contoh, nilai matematik ini akan dapat menimbulkan
minat pelajar untuk mempelajari matematik mengikut salah satu pendapat seorang peserta kajian ini. Ada juga yang
berpendapat bahawa dengan penerapan nilai matematik ini, pelajar akan lebih mengetahui tentang kegunaan
matematik apabila mereka tamat sekolah nanti. Maka, di sini menunjukkan kesedaran daripada para peserta tentang
kepentingan penerapan nilai matematik tetapi mereka tidak berusaha untuk melaksanakannya di dalam kelas.
Seterusnya dalam perancangan pengajaran ini, para peserta juga telah mengatur langkah-langkah seperti yang
dikehendaki dalam standard pengajaran matematik. Namun begitu, peserta kajian ini tidak mengetahui bahawa mereka
telah mengaplikasikan standard ini di dalam kelas. Melalui standard pengajaran matematik ini, para peserta juga dapat
menerapkan nilai matematik secara langsung atau tidak. Sekiranya peserta kajian tidak menyedari tentang standard
pengajaran matematik ini maka, bagaimana mereka hendak menyedari tentang penerapan nilai matematik itu sendiri?
Oleh itu, para peserta perlu mengambil inisiatif untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang nilai matematik yang
wujud dalam sesuatu pengajaran itu.
Secara keseluruhan tentang ketiga-tiga peserta ini, mereka tidak mengetahui secara tepat tentang penerapan nilai
matematik ini. Walaupun pengalaman mengajar mereka melebihi 5 tahun tetapi pendekatan pengajaran yang
dilakukan tetap sama dan mereka tidak berusaha untuk menambahbaikkan kaedah pengajaran agar menjadi lebih
berkualiti. Sebagai contoh, menerapkan nilai matematik semasa pengajaran mereka. Di sini juga dapat disimpulkan
sebab utama peserta tidak menyedari tentang penerapan nilai matematik iaitu pertama, peserta tidak memahami secara
mendalam tentang nilai matematik; kedua, peserta tidak menumpukan penerapan nilai matematik ini sebagai salah
satu objektif dalam pengajaran di kelas; ketiga, peserta mempunyai kekangan masa untuk membuat persediaan
pengajaran yang lebih banyak; dan keempat, peserta hanya berdasarkan kepada pengalaman yang lalu dalam membuat
persediaan semasa mengajar dan merancang aktiviti pengajaran tanpa cuba untuk menggunakan pendekatan lain.

Pelaksanaan Nilai Matematik Di Dalam Kelas

Walaupun kesemua peserta ini kurang menyedari dan yakin tentang penerapan nilai matematik yang dilakukan oleh
mereka namun, mereka berpendapat bahawa penerapan nilai matematik ini dilaksanakan melalui pelbagai cara.
Ketiga-tiga peserta ini kebanyakannya mempunyai cara yang sama sekiranya mereka menerapkan nilai matematik
atau nilai yang diketahui oleh mereka semasa pengajaran di dalam kelas. Bagi pendapat peserta pertama, beliau
mengatakan pelaksanaan nilai matematik ini ialah melalui perbincangan yang berlaku di antara pelajar dengan pelajar
yang lain. Nilai yang wujud antara mereka ini dipanggil sebagai nilai kerterbukaan, nilai kerjasama dan nilai tolong-
menolong. Begitu juga dengan dua orang peserta lain yang menyedari bahawa penerapan nilai ini boleh wujud ketika
perbincangan berlaku di antara pelajar dengan pelajar. Hal ini menunjukkan peranan pelajar itu sendiri dalam
melaksanakan setiap aktiviti yang diarahkan oleh guru akan menjurus kepada penerapan nilai. Peranan pelajar dalam
kelas begitu luas bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas berjalan dengan lancar. Begitu
juga dengan peranan guru dalam meningkatkan kualiti para pelajarnya di mana peserta perlu sentiasa membuat
pemantauan di dalam kelas bagi memastikan proses perbincangan yang berlaku adalah mengenai latihan yang
diberikan dan bukan sekadar bersembang atau membuat kerja yang lain. Maka, apabila guru dan pelajar memainkan
peranan masing-masing, nilai ini akan mudah diterapkan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Menurut peserta ketiga, beliau sentiasa menerapkan nilai matematik ataupun nilai yang beliau ketahui iaitu ketika
waktu rehat pelajar setelah penat mendengar penerangan peserta di hadapan. Kebanyakan kelas yang diajar adalah
selama 50 minit. Bagi 30 minit pertama proses pengajaran berlaku manakala 10 minit kemudian pelajar akan diberi
masa untuk berehat seketika maka, melalui masa inilah peserta ini akan cuba menasihati mereka serta mengingatkan
mereka tentang kepentingan mempelajari matematik serta aplikasi matematik dalam kehidupan mereka. Selepas itu,
10 minit kemudian, pelajar akan diberi latihan untuk disiapkan di dalam kelas ataupun dibawa pulang. Latihan yang
diberikan juga akan dibincangkan di dalam kelas sekiranya masa pengajaran dilanjutkan pada masa yang kedua. Bagi
ketiga-tiga peserta ini, mereka suka memberi peluang kepada para pelajarnya untuk menjawab soalan latihan yang
diberikan di hadapan. Aktiviti ini juga ialah salah satu cara pelaksanaan nilai di mana ia akan menguji pelajarnya
untuk memberanikan diri atau melatih pelajar supaya mempunyai keyakinan diri dalam menerangkan atau
menunjukkan jalan kerja matematik yang dibuat di hadapan kelas.
Corak soalan latihan juga memainkan peranan penting dalam pelaksanaan nilai ini kerana daripada bentuk-bentuk
atau corak soalan inilah yang dapat menguji minda pelajar bagi meningkatkan kefahaman mereka atau tidak. Bagi
peserta pertama, beliau lebih gemar mengambil soalan latihan daripada buku teks tetapi bagi peserta ketiga beliau
akan lebih mengutamakan soalan latihan yang mirip kepada soalan peperiksaan sebenar manakala peserta kedua pula
akan merujuk kepada latih tubi tetapi ia juga lebih bermirip kepada peperiksaan sebenar. Sumber latihan ini sebenarnya
tidak diutamakan tetapi soalan yang diberikan itu hendaklah menguji minda pelajar serta guru perlu memberi peluang
kepada pelajar dalam mencuba menyelesaikan masalah matematik berkenaan dengan kemampuan sendiri walaupun
mengambil masa yang lama. Dengan ini, nilai kemajuan dalam diri pelajar itu dapat dikeluarkan. Maka, di sini
menunjukkan salah satu pelaksanaan nilai matematik ini juga ialah melalui bentuk soalan itu sendiri.

PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN

Daripada kajian lepas iaitu kajian Mohd Uzi & Lim, (2007b) menyatakan bahawa penerapan nilai matematik di
sekolah kebanyakannya berlaku secara implisit. Kajian beliau lebih ditumpukan kepada nilai objektisme dan juga nilai
keterbukaan. Namun begitu, beliau dapati bahawa penerapan nilai yang berlaku kurang dipamerkan atau disedari oleh
guru. Hal ini kerana terdapat beberapa cabaran yang beliau temui iaitu pertama, pelajar sendiri memahami masalah;
kedua, mengaitkan matematik dengan situasi sebenar; dan ketiga, memahami rajah secara munasabah. Selain itu juga,
dalam kajian beliau yang lain turut memperoleh keputusan yang sama dengan dapatan kajian ini di mana, guru tidak
menekankan kepada penerapan nilai matematik ini sama ada di dalam objektif pengajaran ataupun semasa pengajaran
(Mohd Uzi & Lim, 2007b). Menurut beliau lagi, guru lebih menerapkan nilai pendidikan umum berbanding dengan
nilai matematik biasa seperti nilai berhati-hati, perhatian, ataupun keyakinan diri.
Seterusnya berdasarkan kepada kajian oleh Bishop (2008), beliau mendapati bahawa terdapat perbezaan penerapan
nilai matematik di antara guru sekolah menengah dengan guru sekolah rendah. Bagi guru sekolah menengah mereka
lebih menekankan kepada nilai rasionlisme, nilai kemajuan dan juga nilai keterbukaan berbanding dengan nilai-nilai
lain. Manakala, bagi cikgu sekolah rendah pula nilai yang ditekankan ialah nilai objektisme, nilai kemajuan dan nilai
keterbukaan. Maka, di sini menunjukkan guru di sekolah rendah ataupun menengah kurang menekankan kepada nilai
misteri. Penerapan nilai-nilai ini dilihat melalui aktiviti pengajaran yang dilakukan oleh guru di dalam kelas. Seperti
kajian ini, pengkaji melihat penerapan nilai matematik melalui pemerhatian yang dibuat, guru banyak menekankan
kepada nilai rasionalisme, nilai objektisme, nilai kemajuan dan nilai keterbukaan walaupun tanpa disedari oleh
mereka. Pengkaji juga mendapati bahawa penekanan terhadap penerapan nilai misteri kurang dititikberatkan seperti
kajian yang dilakukan oleh Bishop (2008).
Dalam dapatan kajian ini, pengkaji dapat lihat bahawa guru-guru lebih memahami nilai matematik itu sebagai nilai
murni dan kesedaran mereka dalam menerapkan nilai tersebut adalah kurang kerana bagi mereka para pelajar hanya
perlu menumpukan kepada kefahaman tentang konsep matematik itu sahaja. Dapatan ini mempunyai persamaan
dengan dapatan kajian tentang kefahaman nilai daripada Wan Zah, et al., (2005) yang mendapati bahawa guru kurang
memahami erti sebenar nilai matematik itu sendiri. Namun begitu, para guru sentiasa menerapkan nilai di dalam kelas
di mana, nilai yang dirancang adalah lebih kepada nilai-nilai murni. Bagi guru-guru ini, nilai matematik itu adalah
mirip kepada nilai-nilai murni yang sentiasa mereka aplikasikan di dalam kelas.
Selain daripada itu, dapatan kajian yang diperolehi mengenai kesedaran guru dalam menerapkan nilai rasionalisme
yang melibatkan bentuk soalan yang diberi di dalam kelas adalah kurang. Hal ini kerana guru kerap kali menyediakan
soalan latihan yang mudah dan tidak terlalu berbelit. Para guru juga sentiasa membuat rujukan daripada buku teks
yang mengandungi soalan latihan yang terlalu mudah tanpa menguji minda para pelajar. Dapatan kajian ini disokong
oleh kajian daripada Juraidah & Nik Azis (2008) dan Roslaini & Nik Azis (2008) di mana mereka dapati bahawa
sukatan pelajaran buku teks matematik tingkatan empat dan tingkatan dua ini tidak mempunyai nilai rasionalisme dan
nilai yang ada lebih kepada nilai objektisme dan kawalan. Bentuk soalan yang diberikan juga lebih kepada penggunaan
simbol dan kurang contoh pengenalan terhadap pembuktian matematik. Hal ini menunjukkan pihak tertentu tidak
menitikberatkan nilai matematik walaupun hanya pada sukatan pelajaran buku teks. Oleh itu, pihak berkenaan perlulah
mengambil inisiatif bagi memastikan sukatan yang dikeluarkan turut mempunyai nilai matematik yang pada masa
sama boleh digunakan atau diterapkan kepada para pelajar.
Terdapat juga pengkaji yang mengkaji tentang kefahaman murid tentang nilai penggunaan kalkulator grafik dalam
pembelajaran statistik yang memperoleh dapatan kajian bahawa para pelajar memahami nilai ini daripada aspek
penggunaan alat tersebut sahaja dan menjadi kerisauan bagi pengkaji (Nurhayani & Nik Azis, 2008) kerana para
pelajar beranggapan bahawa adanya alat ini, ia dapat membantu mereka dalam menyelesaikan masalah statistik yang
diberikan. Mereka tidak memahami nilai sebenar di sebalik penggunaan kalkulator ini. Hal ini dikatakan juga daripada
aspek realiti pengajaran dan pembelajaran statistik yang banyak tertumpu kepada kemahiran dan kurang pada
pembinaan dan penghayatan pengetahuan itu sendiri (Nurhayani & Nik Azis, 2008). Maka, pelajar akan sukar untuk
memahami nilai yang itu sendiri sekiranya kurang pendedahan yang dilakukan. Begitu juga dengan subjek matematik,
apabila guru sendiri tidak memainkan peranan maka, ilmu tentang nilai ini pasti tidak akan diketahui atau diterapkan
kepada para pelajarnya serta guru itu sendiri perlu mengambil inisiatif bagi mempelajari tentang nilai matematik demi
meningkatkan kualiti pengajaran pada masa depan.
Walaupun kajian ini mempunyai kerangka konseptual yang berlainan namun demikian, dapatan kajian yang
diperoleh membuktikan ia sepadan dengan asas yang diletakkan dalam kajian Mohd Uzi & Lim (2009) di mana, ia
menyatakan bahawa peserta kajian tidak menjadikan penerapan nilai ini sebagai perkara yang perlu dinyatakan secara
tersurat dalam rancangan pengajaran. Bagi peserta, rancangan tentang nilai matematik ini kurang diutamakan
berbanding dengan objektif dalam memberi kefahaman terhadap para pelajarnya. Nilai matematik yang tersirat tidak
diterapkan secara langsung tetapi tanpa disedari oleh peserta yang telah melakukan aktiviti-aktiviti di dalam kelas
yang menjurus kepada nilai matematik itu sendiri. Penerapan nilai matematik yang diterap secara tersirat atau secara
tidak langsung ini membabitkan nilai berkait ideologi iaitu nilai rasionalisme dan nilai objektisme; kedua, nilai
sentimental iaitu kawalan dan kemajuan; dan ketiga, nilai sosiologis iaitu nilai keterbukaan dan nilai misteri. Dapatan
kajian yang diperolehi mempunyai persamaan dengan dapatan kajian ini di mana guru tidak menjadikan penerapan
nilai matematik itu sebagai objektif utama dalam pengajaran kerana kurangnya kesedaran mereka terhadap
kepentingan nilai matematik ini.
Penerapan nilai matematik ini dilakukan secara tidak menyeluruh oleh para guru ini tetapi penerapan nilai yang
berlaku adalah melibatkan nilai-nilai murni seperti nilai kerjasama, nilai tolong menolong dan nilai-nilai lain yang
berkaitan. Namun begitu, peserta menerapkan nilai matematik ini secara tidak langsung seperti nilai rasionalisme,
nilai objektisme, nilai kawalan, nilai kemajuan, nilai keterbukaan dan sedikit tentang nilai misteri yang berkaitan
dengan usaha peserta dalam menerangkan tentang pembuktian matematik atau sejarah matematik itu sendiri. Apabila
kurangnya kesedaran dalam menerapkan nilai matematik ini, sikap pelajar yang cenderung kepada kurangnya
kekreatifan atau minat terhadap matematik tidak boleh disalahkan. Hal ini kerana, nilai matematik ini dapat
membangkitkan rasa keindahan terhadap matematik dan membuatkan pelajar akan lebih meminati dalam menguasai
subjek ini (Wan Zah, et al., 2005). Para guru juga perlu menyedari tentang cara terbaik bagi meningkatkan kebolehan
IQ dan EQ pelajar terutamanya dalam subjek matematik ini. Setiap daripada peserta mempunyai objektif utama
sebelum pengajaran iaitu untuk meningkatkan kefahaman pelajar serta untuk menimbulkan minat pelajar terhadap
matematik tetapi objektif ini hanya sekadar tercapai apabila guru melihat para pelajarnya dapat menjawab soalan yang
diberikan, sedangkan pencapaian yang diperolehi oleh pelajar ini hanya tersurat sahaja tetapi kesedaran pelajar tentang
kepentingan matematik pada masa hadapan itu lebih penting.
Penyampaian guru dalam menguji minda pelajar juga memainkan peranan yang penting. Merujuk kepada kajian
Chap (2007), beliau telah membuat kajian tentang cara pengajaran guru di Shanghai yang menunjukkan teknik yang
digunakan amat berbeza berbanding dengan negara kita. Pendekatan yang lebih kepada menguji minda pelajar dalam
memahami konsep matematik itu sangat penting di negara mereka. Berbeza dengan negara kita yang lebih kepada
penerangan tentang penyelesaian matematik berkenaan tanpa memberi peluang kepada pelajarnya untuk memberi
jawapan sendiri atau cuba berfikir bagaimana penyelesaian matematik itu diperoleh. Maka, dengan itu penerapan nilai
matematik juga kurang diterapkan kerana para pelajar tidak diberi peluang dalam memikirkan dengan lebih mendalam
tentang sesuatu penyelesaian permasalahan matematik itu.
Pelajar juga kurang didedahkan dengan aplikasi matematik terhadap kehidupan seharian kerana peserta hanya
menumpukan kepada objektif pengajaran yang ditetapkan dan juga topik pengajaran itu sendiri. Sekiranya objektif
pengajaran tidak menfokuskan kepada aplikasi matematik maka, peserta tidak akan menceritakan kepada pelajarnya
tentang aplikasi berkenaan. Salah seorang peserta ini iaitu cikgu Rizal, beliau tidaklah terlalu mengikut objektif
pengajarannya kerana di dalam kelas beliau, beliau sentiasa menerangkan tentang kaitannya matematik dengan
kehidupan serta menjadikan kesusahan dalam mendapatkan jawapan matematik ini dengan kehidupan pelajar itu
sendiri iaitu kehidupan ini tidak selalunya indah dan juga tidak selalunya sentiasa berduka. Maka, di sini menunjukkan
ada juga peserta yang menerapkan nilai kawalan dalam pengajaran tetapi secara tidak langsung atau disedari oleh
beliau. Apabila guru kurang menitikberatkan tentang aplikasi matematik ini maka, pelajar akan menjadi kurang yakin
tentang tujuan sebenar mempelajari matematik ini dan sentiasa mengatakan bahawa matematik adalah subjek yang
sukar dan membosankan. Oleh itu, peserta perlu berfikir dan mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah ini (Wan
Zah, et.al., 2005).
Kesungguhan dan kesediaan guru dalam membuat persediaan dalam menyampaikan ilmu matematik ini perlu
diberi kepujian. Hal ini kerana ketiga-tiga peserta ini membuat persediaan yang terperinci bagi menyediakan nota dan
latihan yang bersesuaian dengan keadaan pelajarnya. Maka, di sini menunjukkan penerapan nilai kemajuan dan
keterbukaan itu ada tetapi tidak disedari oleh guru berkenaan. Di antara sumber latihan yang dijadikan rujukan oleh
guru ialah buku teks, buku latih tubi, buku rujukan tambahan serta latihan soalan peperiksaan tahun-tahun lepas.
Langkah-langkah penting dalam latihan sentiasa diberi tunjuk ajar oleh guru ini yang menunjukkan bahawa penerapan
nilai kemajuan berlaku berdasarkan kepada perkongsian ilmu matematik ini tetapi nilai rasionalisme kurang
dititikberatkan di mana pelajar tidak diberi peluang untuk cuba menyelesaikan masalah matematik dengan cara sendiri
atau menggunakan pengetahuannya yang sedia ada. Sekiranya cara mereka mengandungi kesalahan maka, peserta
akan menegurnya tetapi perkara ini tidak dijadikan sebagai budaya di dalam kelas pada masa sekarang ini. Peserta
hanya menumpukan kepada penerangan mereka agar dapat menghabiskan silibus matematik dalam masa yang
ditetapkan tanpa memberi peluang kepada pelajar untuk berkongsi pendapat mereka tentang jalan kerja matematik
yang dilakukan sendiri. Perkara ini juga menjadi kerisauan para pengkaji seperti Wan Zah, et al. (2005) dan Mohd
Uzi & Lim (2007a).
Pembuktian sesuatu formula matematik juga adalah satu perkara yang boleh menunjukkan pengetahuan matematik
ini mempunyai nilai misteri. Di samping itu, sejarah matematik pada zaman dahulu juga perlu ditekankan agar para
pelajar akan mengetahui asal usul matematik dan secara tidak langsung pelajar akan berminat untuk mempelajarinya
kerana mereka mengetahui konsep sebenar serta sejarah matematik. Namun begitu, kesedaran peserta dalam
menerapkan nilai ini agak mengecewakan kerana bagi mereka pembuktian ini hanya akan membosankan pelajar
mereka sedangkan konsep biasa pun mereka sukar untuk menguasai inikan pula pembuktian matematik. Maka, hal ini
menunjukkan peserta mempunyai pandangan yang salah terhadap pendedahan dalam pembuktian matematik ini dan
secara tidak langsung menyebabkan pelajar mereka kurangnya ilmu tentang kebenaran dalam memperoleh sesuatu
formula matematik itu. Bagi pendapat peserta juga, mereka lebih berusaha untuk menghabiskan silibus yang diberi
dan sekiranya topik yang agak sukar bagi pelajar seperti pembuktian ini, mereka tidak akan tekankan secara
menyeluruh di dalam kelas kerana mereka beranggapan bahawa pelajar tidak berminat untuk mengetahuinya.

PENGHARGAAN
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Bersyukur saya yang tidak terhingga kepada
Allah S.W.T kerana telah memberi kekuatan dan semangat serta idea untuk saya menyiapkan tajuk penyelidikan saya
iaitu "Kesedaran Guru Matematik Terhadap Penerapan Nilai Matematik Dalam Pengajaran: Satu Kajian Kes. Saya
juga ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada sahabat saya Wan Nurul Aiffah binti Ismail kerana membantu
dalam menyumbangkan idea bagi menyiapkan kertas kerja ini.
Terima kasih yang tidak terhingga juga kepada pihak Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Kementerian
Pengajian Tinggi dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah serta pihak sekolah yang telah memberi kebenaran kepada saya
untuk menemu bual tiga orang guru sebagai peserta kajian saya. Terima kasih sekali lagi buat tiga orang guru
berkenaan yang sudi dijadikan peserta kajian serta sanggup meluangkan masa dalam menyumbangkan idea-idea bagi
pengumpulan data untuk penyelidikan ini, tanpa sumbangan mereka hasil dapatan kajian saya pasti tidak dapat
diperoleh seperti yang dirancang.
Jutaan terima kasih juga buat suami saya yang tercinta, Encik Ibrahim bin Sulong yang sentiasa memberi dorongan
dan anak sulong saya Anwar Mubarrak yang memberi semangat untuk saya menyiapkan disertasi ini dalam masa yang
ditetapkan. Tidak lupa juga kepada kedua ibu bapa saya Haji Zakaria bin Mat dan Hajjah Hamidah binti Mat yang
juga sentiasa mendoakan kejayaan saya sehingga kini

RUJUKAN
1. Ayalon, M., & Even, R. (2008). Deductive Reasoning: In the eye of the beholder. Education Studies Mathematics, 69, 235-
247.
2. Balka, D. S. (1974). Creative ability in mathematics. Arithmetic's Teacher, 21, 633-636.
3. Bishop, A. J. (2008). Values in mathematics and science education: Similarities and differences. The Montana Mathematics
Enthusiast, 5(1), 47-58
4. Bishop, A. J., Clarke, B., Corrigan, D., & Gunstone, D. (2005). Teachers' preferences and practices regarding values in teaching
mathematics and science. Proceedings of the Annual Conference of Mathematics Education Research Group of Australasia
(Vol 1). Melbourne, Australia.
5. Bishop, A. J., Clarkson, P., FitzSimons, G., & Seah, W. T. (2000). Why study values in mathematics teaching: Contextualising
the VAMP project? Australia: Values And Mathematics Project (VAMP). Retrieved January 12, 2001, from
http://www.education.monash.edu.au/projects/vamp/mav98.html
6. Bishop, A. L. (1988). Mathematical enculturation: A cultural perspective on Mathematics Education. Netherlands: Kluwer
Academic Publishers.
7. Chap, S. L. (2007). Characteristics of mathematics teaching in Shanghai, China: Through the lens of Malaysian. Mathematics
Education Research Journal, 19(1), 77-89.
8. Chin, C. (2002). Developing student teachers' pedagogical values: Two initial states and a co-learning cycle. Proceedings of
the PME 26th Conference, 2, 241-248.
9. Chin, C., & Lin, F. L. (2001). Value-loaded activities in mathematics classroom. In M. v. d. Heuvel-Panhuisen (Ed.),
Proceedings of the 25th conference of the International Group for the Psychology of Mathematics Education, Vol. 2. Utrecht.
The Netherlands: Freudenthal Institute. Halaman 249-256. Retrieved August 12, 2010, from
http://www.education.monash.edu.au/projects/vamp/publications.html.
10. Christiansen, N. & Maglaughlin, K. (2003). Crossing from physical workspace to virtual workspace: be aware! Proceedings of
HCI International Conference on Human Computer Interaction, Lawrence Erlbaum Associates, New Jersey, 1128-1132.
11. Cizkova, V., & Ctrnactova, H. (2003). Development of logical thinking in science subjects teaching. Journal of Baltic Science
Education, 2(4), 12-20.
12. Jansen, A. (2008). An investigation of relationships between seventh-grade students' beliefs and their participation during
mathematics discussions in two classrooms. Mathematical Thinking and Learning, 10, 68-100.
13. Juraidah, A. R., & Nik Azis, N. P. (2008). Nilai dalam huraian sukatan pelajaran dan buku teks matematik tingkatan empat di
Malaysia. Kertas kerja yang dibentang dalam seminar kebangsaan tentang nilai dalam pendidikan matematik, pada 1-2 Ogos
2008, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
14. Kementerian Pendidikan Malaysia (1998). Huraian sukatan pelajaran matematik Tingkatan 1. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
15. Koray, O., & Koksal, M. S. (2009). The effect of creative and critical thinking based laboratory applications on creative and
logical thinking abilities of prospective teachers. Asia-Pacific Forum on Science Learning and Teaching, 10(1).
16. Leikin, R., Berman, A., & Zaslavsky, O. (2000). Application of symmetry to problem solving. International Journal of
Mathematical Education in Science and Technology , 31(6), 799-809.
17. Lipeikiene, J., Cechamiriene, G., & Norkute, E. (2009). Videogame as mathematics learning environment. PEDAGOGIKA,
94, 84-88.
18. Mann, E. L. (2006). Creativity: The essence of mathematics. Journal for the Education of the Gifted, 30(2), 236-260.
19. Mohd Uzi Dollah & Lim, C. S. (2009). Penerapan Nilai Dalam Pengajaran Guru Matematik Sekolah Menengah: Satu Kajian
Kes. Jurnal Sains dan Matematik, 1(2), 29 - 40.
20. Mohd Uzi Dollah & Lim, C. S. (2007a, Jun 12 -18). Values in mathematics teaching among secondary school mathematics
teachers. Paper presented at the 4th East Regional Conference on mathematics education (EARCOME4). Hotel City Bayview,
Penang, Malaysia.
21. Mohd Uzi Dollah & Lim, C. S., (2007b). Cabaran penerapan nilai matematik dalam pengajaran matematik sekolah menengah.
Pulau Pinang: USM
22. National Council of Teacher of Mathematics (1989). Curriculum and Evaluation Standards for School Mathematics. Reston
VA: The Council.
23. Nik Azis Nik Pa (2008). Penyelidikan tentang nilai dalam pendidikan matematik dan sains: Di mana dan ke mana? Kertas kerja
yang dibentang dalam seminar kebangsaan tentang nilai dalam pendidikan matematik, pada 1-2 Ogos 2008, di Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya.
24. Nik Azis Nik Pa (2009). Nilai dan etika dalam pendidikan matematik. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
25. Nor'Ain, et. al. (2010). Standard kecemerlangan pengajaran matematik (set@math): Satu cadangan bagi meningkatkan kualiti
pengajaran guru matematik. Jurnal Sains dan Matematik, 2(1), 40-55.
26. Noraini, I. (2005). Pedagogi dalam pendidikan matematik (Edisi 3). Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn
Bhd.
27. Nurhayani, R., & Nik Azis, N. P. (2008). Kefahaman murid tingkatan empat tentang nilai penggunaan kalkulator grafik dalam
pembelajaran statistik. Kertas kerja yang dibentang dalam seminar kebangsaan tentang nilai dalam pendidikan matematik, pada
1-2 Ogos 2008, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
28. Park, J., & Han, S. (2002). Using deductive reasoning to promote the change of students' conceptions about force and motion.
International Journal of Science Education, 24(6), 593-609.
29. Parsons, J. (2008). Mathematical games: Skill + luck = learning. Mathematics teaching incorporating micromath, 209, 18-21.
30. Proulx, J., Kieran, C., & Bednarz, N. (2003). Case studies of future secondary level mathematics teachers' mode of explaining.
31. Roslaini. H., & Nik Azis, N. P. (2008). Nilai dalam huraian sukatan pelajaran dan buku teks matematik tingkatan dua di
Malaysia. Kertas kerja yang dibentang dalam seminar kebangsaan tentang nilai dalam pendidikan matematik, pada 1-2 Ogos
2008, di Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.
32. Seah, W. T., & Bishop, A. J. (2000, April 24-28). Values in mathematics textbooks: A view through two Australasian regions.
Paper presented at the 81st Annual Meeting of the American Educational Research Association, New Orleans, LA.
33. Seah, W. T., & Bishop, A. J. (2000, April 24-28). Values in mathematics textbook: A view through two Australasian regions.
Paper presented at the 81st Annual Meeting of the American Educational Research Association, New Orleans, LA.
34. Siti Hafizah Ab. Hamid (2003). Teknik Automasi dalam E-Pembelajaran: Modul Matematik.In: The Public Institutions of
Higher Learning R & D Exposition 2003, October 9-10, 2003 , PWTC, Kuala Lumpur, Malaysia . (Unpublished)
35. Stylianides, A. J. (2007). The notion of proof in the context of elementary school mathematics. Educational Studies in
Mathematics, 65, 1-20.
36. Stylianides, G. J., & Stylianides, A. J. (2008). Proof in school mathematics: insights from psychological research into students'
ability for deductive reasoning. Mathematical Thinking and Learning, 10, 103-133.
37. Teknik Pengajaran Sains, Matematik Perlu Lebih Interaktif. Utusan Malaysia, Sabah dan Sarawak,
www.utusan.com.my/utusan/info.asp. (accessed on Jun 23, 2011).
38. Torrance, E. P. (1966). Torrance test on creative thinking: Norms-technical manual (Research Ed). Lexington, MA: Personal
Press.
39. Wan Zah, W. A., Sharifah Kartini, S. H., Habsah, I., Ramlah, H., Mat Rofa I., Mohd Majid, K., & Rohani, A. T. (2005).
Kefahaman guru tentang nilai matematik. Jurnal Teknologi, 43, 45-62.

You might also like