Professional Documents
Culture Documents
Ciri Gaya Kepimpinan
Ciri Gaya Kepimpinan
Ciri Gaya Kepimpinan
Oleh
Prof. Madya Dr. Shahril @ Charil bin Marzuki
1. Pendahuluan
Kecemerlangan atau kejayaan sesebuah sekolah banyak dipengaruhi dan disebabkan oleh kepimpinan
pengetua/guru besar yang berkesan. Ini bermakna, pengetua atau guru besarlah yang dapat
menggerakkan sekolah itu maju ke hadapan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan
kegiatan ko-kurikulum atau mundur kebelakang sebagai sekolah yang tidak berkesan.
In many ways the school principal is the most important and influential individual in any school. … it is his
leadership that sets the tone of the school, the climate for learning, the level of professionalism and
morale of teacher and the degree of concern for what students may or may not become. … if a school is a
vibrant, innovative, child-centred place; if it has a reputation for excellence in teaching; if students are
performing to the best of their ability one can almost always point to the principals leadership as the key
to success. (Sergiovani, 1995: 83).
Oleh yang demikian, Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan
Malaysia (1982), telah menyarankan bahawa peranan utama kepemimpinan pengetua/guru besar
mestilah:
… cekap dan banyak menghabiskan masa mengelolakan aktiviti pembelajaran di sekolah-sekolah.
Mengekalkan penyeliaan sekolahnya dengan cara yang berkesan, bertindak sebagai pakar runding,
penasihat dan koordinator bagi program-program pengajaran dan pembelajaran di sekolah, dan perlu
juga menghabiskan masa yang lebih dalam aktiviti-aktiviti profesional guru dan pelajar, dan jangan hanya
bekerja semata-mata sebagai pentadbir yang berkurung di bilik mengeluarkan arahan dan surat-surat
arahan dan surat-surat siaran. (Kementerian Pendidikan Mlaaysia, 1982: 6)
Pernyataan di atas menunjukkan terdapat perubahan tugas utama pengetua/guru besar iaitu daripada
pemimpin pentadbiran kepada pemimpin pengajaran. Perubahan peranan pengetua berlaku kerana
desakan daripada Kementerian Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
supaya pihak sekolah dapat mewujudkan sekolah berkesan atau kecemerlangan dalam pencapaian
akademik. Oleh itu, peranan pengetua yang hanya menjalankan peranan sebagai pemimpin pentadbiran
sahaja tidak sesuai lagi bagi mencapai matlamat pendidikan pada alaf baru ini dan juga bagi menghadapi
cabaran-cabaran dan harapan-harapan pada masa akan datang ini. Apatah lagi dalam konteks
pembangunan sumber manusia yang memberi penekanan dalam bidang sains dan teknologi bagi
memenuhi keperluan Wawasan 2020 yang menuntut pelbagai perubahan dalam sektor pendidikan. Oleh
itu, dalam kontek untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan pada alaf baru ini, pengetua/guru
besar perlu mempunyai dua peranan atau fungsi utama secara serentak iaitu sebagai pemimpin
pentadbiran dan pemimpin pengajaran.
1. Ciri-Ciri Kepemimpinan Pengetua / Guru Besar Yang Berkesan Pada Masa Depan
Sebenarnya adalah sukar untuk menentukan ciri-ciri pengetua/guru besar yang berkesan pada masa
depan, kerana seseorang pengetua yang berjaya menjadi pemimpin yang baik di sesebuah sekolah pada
hari ini belum tentu akan berjaya menjadi pemimpin yang baik di sekolah lain pada masa depan.
Mengikut Stoner (1989: 552), seseorang individu yang merupakan pemimpin yang efektif dalam satu
situasi mungkin berprestasi paling buruk dalam satu situasi yang lain. Walau bagaimanapun, terdapat
beberapa pendapat tentang ciri-ciri pengetua berkesan atau cemerlang. Menurut Abas Awang (1999),
pengetua yang berkesan memiliki ciri-ciri profesional seperti berikut:
i. Mengenali penyakit (masalah persekolahan).
ii. Mengenal pasti ubatnya (penyelesaian masalah).
iii. Mengetahui tempoh memerlukan rawatan (jangka masa masalah dapat ditangani).
iv. Mempunyai etika yang tinggi.
v. Memahami teori-teori yang berkaitan dengan kerjanya.
vi. Berilmu.
vii. Berkemahiran dalam bidang tugasnya.
viii. Bersikap positif dan yakin.
Beliau seterusnya mengutarakan pelbagai kemahiran yang perlu ada pada seseorang pengetua yang
berkesan iaitu kepimpinan pengajaran yang berkesan, pengurusan kurikulum, ko-kurikulum, sumber dan
kewangan, perancangan strategik, kemahiran berkomunikasi, memotivasi, pemantauan, penilaian,
membuat keputusan, TQM dan ISO 9000.
Melalui kemahiran-kemahiran ini, pengetua akan mempunyai piawai dalam pengurusannya dan ada
fokus untuk dilaksanakan. Manakala mengikut Institut Aminuddin Baki (1998), berdasarkan (mesyuarat
Gerakan Pengetua Berkesan pada 5 Mac 1998) mengatakan bahawa ciri-ciri pengetua/guru besar yang
berkesan mengikut model Malaysia adalah seperti berikut:-
a. Mengamalkan cara berkomunikasi yang cekap.
b. Prihatin terhadap hubungan kemanusiaan.
c. Prihatin dan peka tentang perbezaan budaya dan adat resam masyarakat.
d. Mempunyai wawasan yang jelas.
e. Berjaya mewujudkan persekitaran pendidikan yang dinamik.
f. Menerima tugas sebagai satu profesion.
g. Membuat keputusan secara konsensus.
h. Memanfaatkan penggunaan teknologi maklumat
i. Ketrampilan lain
(i) Ketrampilan pentadbiran
menganalisis masalah secara berkesan
membuat pertimbangan yang saksama
mengurus dan membuat keputusan
(ii) Ketrampilan peribadi
menilai pendidikan secara jelas
mempunyai minat dan motivasi yang tinggi
menjaga perawakan diri
Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan harapan pada masa depan, di mana dunia pendidikan akan terus
berubah sesuai dengan kemajuan zaman dan dunia tanpa sempadan, ‘langit terbuka’, penggunaan
komputer dan teknologi maklumat di sekolah, ditambah pula dengan seribu satu macam kerenah
pentadbiran, guru dan masalah pelajar, maka pengetua yang berkesan pada masa depan hendaklah
mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
i. Mempunyai kualiti kepimpinan.
ii. Mempunyai kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal, kemanusiaan,
pendidikan, budaya dan simbolik.
iii. Berwawasan, kreatif dan inovatif.
iv. Mempunyai kemahiran komunikasi dan motivasi.
v. Mempunyai kemahiran membuat keputusan dan penyelesaian masalah.
vi. Mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi
vii. Beriman dan bermoral.
Seorang pengetua yang berkesan mestilah mempunyai wawasan dan sanggup mengambil risiko
terhadap tindakannya. Salah satu sebab sekolah kurang berkesan dan timbulnya pelbagai masalah di
kalangan guru dan pelajarnya ialah kerana pengetua tidak mempunyai wawasan. Jika adapun, wawasan
itu tidak disampai dan dijelaskan kepada guru dan pelajarnya. Mengikut Hussein (1993: 163), wawasan
dikatakan sebagai gambaran mental masa depan yang hendak dicapai. Ia meliputi rasional, matlamat,
arah hala dan keutamaan yang mendorong dan memberi tenaga kepada guru dan pelajar untuk
mendapat hasilan yang dicita-citakan. Untuk membolehkan seseorang pengetua itu merealisasikan
wawasannya, ia perlu sentiasa dinamik, kreatif dan inovatif serta inginkan perubahan. Pengetua yang
berkesan juga perlu menjelaskan kepada guru dan staf lain serta pelajar, ibu bapa dan masyarakat
sekitar tentang matlamat dan wawasan sekolahnya. Dengan cara ini, masalah kurangnya hubungan,
sokongan dan komitmen daripada guru, pelajar dan masyarakat terhadap sekolah dapat ditangani
dengan mudah dan berkesan.
Pengetua yang berkesan harus mempunyai kemahiran berkomunikasi dan motivasi. Berlakunya
beberapa masalah di kalangan guru dan pelajar, sekolah dengan agensi luar seperti masyarakat kerana
komunikasi tidak jelas dan pendekatan yang digunakan oleh pengetua kurang sesuai. Oleh itu, pengetua
perlu memahami, proses, pola dan saluran komunikasi yang betul supaya maklumat dapat disampaikan
dan diterima oleh guru, pelajar dan ibu bapa. Mengikut A.L. Ramaiah (1999: 115), seseorang pengetua
yang mahir dalam proses komunikasi adalah pengetua yang sedar serta peka terhadap pelbagai
halangan kepada komunikasi, sentiasa bertindak mendengar secara aktif, dan sebagai pemberi maklum
balas yang mahir. Pengetua yang mempunyai kemahiran komunikasi yang baik akan dapat menangani
pelbagai masalah ketidakjelasan matlamat, kurangnya komitmen dari guru dan masalah disiplin di
kalangan pelajar. Selain itu, masalah jurang komunikasi antara pengetua dengan pelajar dan masyarakat
dapat dikurangkan.
Selain kemahiran berkomunikasi, pengetua yang berkesan perlu mempunyai ciri-ciri sebagai
seorang’motivator’ dan kaunselor di sekolah. Motivasi boleh didefinisikan sebagai penggerak atau
pendorong untuk sesuatu tingkah laku supaya menjadi bertenaga dan bertujuan (Zaidatul Akmaliah,
1999: 108). Kemahiran motivasi penting bagi membolehkan pengetua berhadapan dengan pelbagai
masalah guru dan pelajar di sekolah. Biasanya masalah yang dihadapi oleh pengetua di sekolah ialah
bagaimana untuk mempengaruhi dan memotivasi pekerja supaya bekerjasama dalam usaha mencapai
visi sekolah, iaitu untuk menjadi sekolah berkesan.
Pengetua yang berkesan juga perlu mempunyai personaliti yang sesuai iaitu dari segi fizikal dan emosi.
Dari segi fizikal ia perlu mempunyai tubuh badan yang sihat, tidak cacat dan cergas. Pengetua yang tidak
mempunyai tahap kesihatan yang baik didapati sukar menjalankan tugasnya dengan berkesan. Pengetua
juga perlu mempunyai tahap kecerdasan (IQ) yang tinggi dan kecerdasan emosi yang seimbang (EQ
Test). Kenyataan ini disokong oleh Keith Davis (1972) yang mengatakan pemimpin (pengetua) hendaklah
mempunyai kecerdasan IQ yang tinggi daripada kecerdasan standard kakitangannya. Ciri ini penting bagi
membolehkan pengetua menangani masalah yang dihadapi secara rasional. Mengikut Keith Davis lagi,
pemimpin (pengetua) juga perlu mempunyai kematangan sosial iaitu matang dan stabil dari segi emosi
serta mempunyai konsep kendiri yang boleh diteladani dan disanjung. Kajian yang dijalankan untuk
melihat stres dan kepuasan kerja di kalangan guru-guru di negara ini mendapati bahawa pengetua
adalah antara golongan yang mengalami stres pekerjaan berbanding dengan profesion lain. Kecergasan
fizikal yang terganggu dan ketidakstabilan emosi akan mempengaruhi sikap dan tingkah laku pengetua
terhadap tugas dan gaya kepimpinannya. Pengetua yang terlalu emosional didapati lebih mudah
mengalami stres dan sukar diajak berunding. Mereka lebih cenderung mengamalkan gaya kepimpinan
autokratik. Manakala pengetua yang stabil emosinya lebih mudah diajak berunding dan cenderung
mengamalkan gaya kepimpinan demokratik.
Kesimpulan
Dalam menangani permasalahan yang semakin kompleks di sekolah-sekolah pada abad ke 21 ini,
pengetua/guru besar seharusnya mempunyai ciri-ciri seperti: mempunyai kualiti kepimpinan, mempunyai
kemahiran dan berketrampilan dalam bidang teknikal, kemanusiaan, pendidikan, budaya dan simbolik,
berkemahiran dalam komunikasi, motivasi, membuat keputusan dan penyelesaian masalah. Selain itu, ia
mesti mempunyai kecergasan fizikal dan kestabilan emosi, beriman dan bermoral. Walau bagaimanapun,
Kementerian Pendidikan seharusnya memberikan ganjaran yang setimpal dengan beban tugas dan
tanggungjawab yang semakin kompleks yang dipikul oleh pengetua pada abad ke 21 ini.
Bibliografi
Abd. Razak Wahid (2000). Ciri-Ciri Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang
Terdapat Di Sekolah Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak diterbitkan).
Ahmad Tajuddin bin Abd. Hamid (1989). Peranan Pengetua Dalam Kepimpinan Pengajaran.Fakulti
Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak diterbitkan).
Alias bin Ngah (2000). Ciri-Ciri Pengetua Yang Unggul Bagi Menangani Masalah-Masalah Yang
Terdapat Di Sekolah Menengah Di Malaysia. (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azizah bte. Isa (2000). Apakah Pengetua-Pengetua di Malaysia Menjalankan Tugas Sebagai
Pemimpin Pengajaran atau Pemimpin Pentadbir? (Artikel yang tidak diterbitkan).
Azmi Zakaria (1996). "Indikator Pemimpin Cemerlang: Satu Analisis Pengurusan". JurnalPendidikan.
Genting Highland: Institut Aminuddin Baki.
Brookover, W.B. dan Lezotte, L.W. (1979). Changes in School Characteristics Coincident with
Changes in Student Achievement. East Lansing: Michigan State University: College of Urban
Development.
Covey, S. (1990). Principle-Centered Leadership. New York: Fireside, Simon & Schuster.
Dwyer, D.C. (1986). Understanding the Principal’s Contribution to Instruction dalam D.C. Dwyer (ed.), The
Principal as Instructional Leader. Peabody Journal of Education, 63 (1), hlm. 3 – 17.
Edmond, R. (1979). Effective Schools for the Urban Poor dalam Educational Leadership, 37 (1), hlm. 15
– 27.
Fadzilah bin Hj. Md. Noor (1990). Tingkah Laku Pentadbiran dan Kepimpinan Pengetua Sekolah
Menengah di Pahang. Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya. (Disertasi M.Ed. yang tidak diterbitkan).
Hanafi Kamal (1980). An Identification for the Desirable Behavioral Domains of the Secondary
School Principalship in Malaysia. University Ohio. (Tesis kedoktoran yang tidak diterbitkan).
Hoy, W.K. dan Miskel, C.G. (1991). Educational Administration, Theory Research and Practice.
Singapore: McGraw-Hill.
Hussein Mahmood (1993). Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Kuala Lumpur:
DewanBahasa dan Pustaka.
Institut Aminuddin Baki (1998). Profil Pengetua/Guru Besar Berkesan Menurut Model Malaysia.
Mesyuarat Gerakan Pengetua Berkesan, 5 Mac 1998. (Tidak diterbitkan).
Kementerian Pendidikan Malaysia (1982). Laporan Jawatankuasa Mengkaji Taraf Pelajaran di
Sekolah-Sekolah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Krajewski, R.J. (1977). "Secondary Principals Want to be Instructional Leader". Phi Delta Kappan,
hlm. 53 – 58.
Leithwood dan Montgemery. (1982). "The Role of The Elementary School Principal In Program
Improvement". Review of Educational Research, 52 (3).
Levine, D., dan Lezotte, L. (1990). Unusually Effective Schools. Madison, WI: The National Center for
Effective Schools Research and Development.
Lunenburg, C.F. (1995). The Principalship. Englewood Cliffs: Prentice Hall.
Mortimore, P., Sammons, P., Stoll, L., Lewis, S., dan Ecob, R. (1988). School Matters: The Junior
Years. Somerset, Open Books.
Peter Mortimore. (1995). "Key Characteristics of Effective School". Kertas dibentangkan pada seminar
Sekolah Efektif, Genting Highlands: Institut Aminuddin Baki.
Robiah Sidin (1994). Pendidikan Di Malaysia: Cabaran Untuk Masa Depan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
Rutter, M., Maughan, B., Mortimore, P., Ouston, J., dan Smith, A. (1979). Fifteen Thousand Hours:
Secondary School and Their Effects on Children. Cambridge MA: Harvard University Press.
Sergiovani, T.J. (1982). "Ten Principles of Quality Leadership". Educational Leadership, 35 (9).
Sergiovani, T.J. (1984). "Leadership and Excellent in Schooling". Educational Leadership, 41 (5).
Sergiovani, T.J. (1995). "The Principalship: A Reflective Practice Perspective". Boston: Allyn and
Bacon.
Shahril @ Charil Marzuki (1997). Kajian Sekolah Berkesan Di Malaysia: Model Lima Faktor. Fakulti
Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. (Tesis kedoktoran tidak diterbitkan).
Stoner, J. A. F. (1989). Pengurusan (edisi terjemahan). Kuala Lumpur: AMIZA.
Sweeney, J. (1982). "Research Synthesis on Effective School Leadership". Educational Leadership, 39
(5), hlm. 346 – 352.
Zaidatul Akmaliah (1999). Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur:Fajar Bakti.