Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

Berkesempatan menghadiri Malam Inspirasi Pejuang 2016 pada 24 September 2016.

Rata-rata komentar
positif telah diberikan kepada majlis gemilang ini kerana pengisian istimewanya yang menghubungkan
semula kita pada warisan perjuangan kemerdekaan generasi terdahulu bangsa ini. Generasi ini
mempunyai latar belakang budaya yang kuat bagi membentuk jatidiri unik yang mendokong misi
perjuangan tersebut. Budaya tersebut pula asasnya agama Islam dan telah sebati tak dapat dipisahkan.

Bangsa ini dan budayanya telah menjadi satu, maka disebabkan itu sangat sukar untuk penjajah mahu
memisahkan bangsa ini dari agamanya. Oleh sebab itu, kini bangsa kita kehilangan arah dan menjadi
lemah kerana penjajah telah mengkaji budaya Melayu dan memahaminya, kemudian menjarakkan
bangsa ini daripada budaya maka dengan mudah bangsa ini telah dijauhkan daripada agamanya.

Saya gembira apabila melihat keunikan sastera dan budaya bangsa kita telah menjadi perhatian semula
oleh tetamu yang menghadiri Malam Inspirasi Pejuang 2016 anjuran Isma.

Persembahan sajak Puan Nisah Haron dan nyanyian lagu-lagu rakyat oleh Tuan Roslan Madun antara
persembahan yang mempunyai aura yang istimewa dan disebut-sebut oleh hadirin. Saya tertarik pada
bicara Tuan Roslan Madun sebelum mendendang Seloka Pak Kaduk, beliau memandang Pak Kaduk
sebagai seorang pemikir yang melangkaui zaman, bukan seperti yang digambarkan di dalam penceritaan
iaitu seorang ‘bodoh dan malang’.

Tuan Roslan Madun mengajak kita tidak sekadar memandang prosa-prosa klasik sebagai kisah ringan
untuk sekadar hiburan, pengarang kisah-kisah ini bukan mahu membodohkan kita, tetapi kita harus
lebih berfikir, apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh prosa-prosa itu.

Seloka Pak Kaduk pernah dipelajari di sekolah menengah dahulu dalam subjek komponen sastera
matapelajaran Bahasa Melayu, diletakkan di hujung prosa sebagai kesimpulan seluruh kisah.

Kisah Pak Kaduk sebenarnya terdapat di dalam antologi klasik Cherita Jenaka yang dikarang oleh Raja
Haji Yahya daripada kisah-kisah penglipur lara. Turut terdapat di dalam antologi ini ialah kisah Pak
Belalang, Pak Pandir, Si Luncai, dan Lebai Malang. Kemudian naskhah klasik ini telah disunting semula
oleh R.O Winstedt.

Ada pihak berpendapat bahawa kisah Pak Kaduk ini ialah berdasarkan kisah benar seorang rakyat Perak
yang menetap di Lambor Kiri malah sehingga kini masih terdapat keturunan Pak Kaduk di sana. Di
penghujung cerita, Pak Kaduk dikatakan telah beroleh nasib baik apabila menemui emas di dalam perut
seekor ikan Tapah.

Dengan emas ini kononnya dia telah menebus semula kampungnya yang tergadai dan digunakan untuk
menyara hidupnya. Juga dikatakan konon Pak Kaduk telah bersumpah haram keturunannya makan ikan
Tapah dan akan terkena penyakit gatal jika melanggar sumpah dan hanya air emas ikan tapah itu sahaja
yang dapat menyembuhkan gatal itu. Emas tinggalan Pak Kaduk masih disimpan oleh keturunan Pak
Kaduk sehingga kini.

Kedua-dua versi cerita Pak Kaduk terdapat beberapa perbezaan dan hal itu tidak menghairankan kerana
kisah tersebut telah diwarisi melalui lisan. Pasti akan berlaku perubahan yang besar daripada jalan cerita
asal kerana ‘waktu dan budaya tempat penulis/penyalinnya’. (1)
Yang menariknya, kisah Pak Kaduk ini telah menjadi perhatian para sasterawan dan pemikir kerana kaya
dengan makna yang dinamik serta relevan sepanjang zaman untuk diteliti. Seperti yang dilakukan oleh
Tuan Roslan Madun, beliau menganggap Pak Kaduk tidak bodoh malah berfikir melangkaui zaman
apabila tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Pak Kaduk di dalam cerita ini tidak seperti yang dilakukan
orang lain.

Hal ini diakui oleh Sasterawan Negara Zurinah Hassan di dalam cerpen beliau “Si Kunani”. Cerpen ini
tentang usaha cicit kepada Pak Kaduk berhujah secara undang-undang untuk menuntut kembali tanah
moyangnya yang dirampas oleh raja. Menurut Zurinah Hassan, gelaran bodoh dan malang itu
merupakan public opinion. Jika Pak Kaduk bodoh tidak mungkin dia tahu melihat tuah ayam, tidak
mungkin dia tahu bahawa ayamnya ‘Si Kunani’ merupakan seekor ayam yang hebat dan tidak boleh
ditandingi(2).

Seterusnya, kepandaian Pak Kaduk sebenarnya terbukti dengan perbuatannya bertukar ayam dengan
raja dan mempertaruhkan kampungnya jika kalah. Menurut Zurinah Hassan di dalam sajaknya ‘Pak
Kaduk Di Gelanggang Raja”, Pak Kaduk mengetahui bahawa dia sedang berdepan dengan raja. Jikalau
dia membantah cadangan raja, pasti dia akan dimurkai dan dihukum. Jika ayamnya, Si Kunani menang
pun, pasti dia akan dimurkai dan dihukum juga. Macam timun dengan durian; menggelek luka, kena
gelek pun luka.

Itu tidak benar


Kerana aku terlalu sedar
Bila raja berkata
“Mari kita bertukar ayam”
Itu bukan satu cadangan
Tapi satu perintah
Bagaimana aku membantah
Apa hakku untuk tidak setuju
Rela atau terpaksa tentu tak ada beza
Seribu ayam boleh mengalahkan ayam raja
Tetapi rakyat tidak akan menang sampai bila-bila
Gelanggang ini milik raja
Semua kampung pun kampung raja
Segala ayam pun ayam raja
Jadi apa benar yang aku tukarkan
Apa benar yang aku gadaikan
Segalanya sudah tergadai sejak mula.

(Zurinah Hassan, Pak Kaduk Di Gelanggang Raja)

Beliau mempersoalkan, “adakah seorang raja yang kaya raya sanggup mengambil tanah rakyat miskin
yang tidak mempunyai apa-apa lagi selain rumah dan tanah sekangkang kera”. Pak Kaduk telah
“dimangsai oleh raja dan pemimpin sendiri”(3).

Selain daripada itu, SN Zurinah Hassan turut mengaitkan peristiwa dalam kisah Pak Kaduk ini dengan
realiti politik negara kita kini. Beliau telah menulis sebuah sajak berjudul Pesan Pak Kaduk (Dewan
Sastera Ogos 1996). Sajak ini “menyindir ahli politik yang berkuasa, tetapi takut untuk bertindak dan
tidak mampu untuk meneruskan perjuangannya”(4). Sajak ini dikarang selepas BN menang besar pada
pilihanraya umum tahun 1995, beliau membawa pendapat Rustam A. Sani “yang menyifatkan bahawa
kekalahan parti-parti pembangkang (terutama DAP) hanyalah kekalahan pada peti undi kerana parti itu
pada hakikatnya telah berjaya memperolehi beberapa agenda yang diperjuangkan”(5).

Sajak ini turut menyatakan bahawa sikap tolak ansur yang berlebihan akan membawa akibat buruk,
dilambangkan dalam kisah Pak Kaduk sebagai “tergadai kampung halaman”. Pengarang kisah Pak Kaduk
ini bagai sedang memberi amaran, sikap toleransi melampau ini sangat bahaya, dan boleh menggadai
masa depan kita.

Tuan Yang Berhormat


menang ayam kerana taji
menang tuan kerana undi
menang hamba jangan diulang
menang sorak di tengah gelanggang
sedang tanah diambil orang.

Tuan Yang Berhormat


jangan meniru cerdik raja
memangsai rakyat
jangan ulangi bodoh hamba
tamakkan habuan yang cepat
termakan pujuk rayu terbelit muslihat
kurang ilmu buta hakikat
tumpul akal tidak melihat
kalah orang kalah mendapat.

Silap Pak Kaduk bertukar ayam


maka tergadai kampung halaman
silap tuan bertolak ansur
maka tercagar nasib keturunan.

(Zurinah Hassan, Pesan Pak Kaduk)

Begitulah sebahagian mutiara yang boleh kita dapati daripada karya-karya cendekiawan dahulu, dan
pentafsiran oleh cendekiawan masa kini yang berfikir. Penjajah British ketika berada di negara ini untuk
menjajah negara ini, mereka telah mempelajari kesilapan dan kegagalan Belanda dan Portugis.

Misi mereka tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya iaitu memisahkan bangsa ini daripada Islam. Hal ini
kerana Islam dan budaya Melayu telah sebati umpama besi berkurun lama. Hanya dengan memisahkan
bangsa ini daripada budayanya, dan meleburkan budaya itu, baru akan terpisah Islam daripada bangsa
ini.

Setelah mendalami kebudayaan bangsa ini, mereka berjaya mencabut identiti ini daripada kita,
memisahkan kita daripada sejarah dan mutiara nenek moyang kita. Mereka membentuk negara baharu
yang bersuasana meleburkan identiti, sehingga kita hilang arah mencari jatidiri.
Sehingga kita tidak lagi mengenali dan memahami karya-karya yang penuh pesanan tersirat, penuh
dengan amanat dan amaran daripada generasi terdahulu, tentang siapakah musuh siapakah kawan dan
apakah yang perlu kita lakukan…

Rujukan:

(1) Muhammad Haji Salleh, 2006. Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa Dan
Pustaka.
(2) Zurinah Hassan, 2013. Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan. Kuala Lumpur, Institut
Terjemahan Buku Negara. m/s 62
(3) Ibid, m/s 60
(4) Ibid, m/s 57
(5) Zurinah Hassan, 2005. Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi. Bangi, Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.

You might also like