Karangan

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

TAJUK : PERMAINAN TRADISIONAL

TUGASAN : CARA-CARA MEMPOPULARKAN PERMAINAN TRADISIONAL

ISI-ISI PENTING :

Individu mencari maklumat berkaitan permainan tradisional

Ibu bapa beri sokongan kepada anak-anak

Peranan pihak sekolah yang menubuhkan kelab permainan tradisional

Peranan kerajaan melalui media massa

Peranan pihak swasta

CONTOH KARANGAN (YANG MUDAH - SESUAI UNTUK KATEGORI MURID PENCAPAIAN SEDERHANA)

Permainan tradisional ialah permainan yang dimainkan oleh masyarakat dahulu pada masa lapang.
Antara permainan tradisional yang mendapat sambutan masyarakat ialah layang-layang, congkak dan
batu seremban. Namun demikian, permainan tradisional semakin dilupakan oleh generasi muda. Oleh
sebab itu, pelbagai usaha perlu dilakukan untuk mempopularkan permainan tradisional ini.

Antara cara mempopularkan permainan tradisional ini ialah kita perlu mencari maklumat tentang
permainan tradisional tersebut. Setelah maklumat diperoleh , kita perlu mencuba permainan tersebut
dengan ahli keluarga. Kita juga boleh mengambil bahagian dalam pertandingan permainan tradisional
yang dianjurkan oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh pertandingan permainan congkak. Dengan ini,
jelaslah bahawa generasi muda perlu mempopularkan permainan tradisional negara kita.

Ibu bapa pula, perlu memberi sokongan kepada anak-anak dengan cara membelikan peralatan
permainan tradisional. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak menyaksikan pertandingan permainan
tradisional ini. Selain itu, ibu bapa boleh membawa anak-anak melawat ke muzium dan galeri seni untuk
melihat dengan lebih dekat peralatan permainan tradisional ini di samping memahami cara-cara
permainan ini dimainkan. Usaha-usaha yang dilakukan oleh ibu bapa ini dapat mempopularkan
permainan tradisional.
Pihak sekolah juga boleh menubuhkan kelab permainan tradisional. Dengan tertubuhnya kelab
permainan tradisional ini, ahli-ahli kelab dapat menganjurkan pertandingan. Sekolah juga boleh
menghantar ahli-ahli kelab mengikuti kursus permainan tradisional bagi menarik minat pelajar
melibatkan diri dalam permainan ini. Peserta yang mengikuti kursus hendaklah diberi sijil penyertaan
dan penghargaan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa pihak sekolah berperanan penting untuk
mempopularkan permainan tradisional.

Kerajaan perlu mempromosikan permainan tradisional melalui televisyen dan surat khabar. Usaha ini
boleh dilakukan melalui kempen yang berterusan. Sebagai contoh, kerajaan mengadakan karnival
pertandingan tradisional seperti Pesta Layang-layang yang diadakan di Pasir Gudang, Johor setiap tahun.
Melalui Kementerian Belia dan Sukan kerajaan boleh mengadakan kursus permainan tradisional ini
untuk golongan belia. Hal ini secara tidak langsung dapat mengurangkan gejala sosial dalam kalangan
remaja. Usaha kerajaan ini dapat menarik kedatangan pelancong asing ke negara kita sekali gus dapat
mempopularkan permainan tradisional ini.

Sementara pihak swasta pula boleh menganjurkan pertandingan permainan tradisional ini. Pihak swasta
boleh menjadi penaja bagi pertandingan yang dianjurkan dengan menyediakan hadiah yang lumayan.
Sebagai contoh, penganjur menyediakan hadiah berbentuk tiket pelancongan ke luar negara kepada
para pemenang. Hal ini dapat menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat untuk menyertainya.
Pendek kata, jelaslah bahawa pihak swasta juga memainkan peranan penting dalam mempopularkan
permainan tradisional negara ini.

Kesimpulannya, pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam mempopularkan permainan tradisional ini .
Usaha yang berterusan penting supaya generasi akan datang dapat mengenali dan meminati permainan
tradisional. Kesannya, permainan tradisional ini tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.
Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan
tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah
berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum
ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar
dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.

Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat


sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan
tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan kerana ada gula ada
semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai
untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar
pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran
pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.

Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik
pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong
mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional
Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi
duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan
permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai
acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan
kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.

Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan
tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi.
Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional
kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan
dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh
mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan
menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional
tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional
dalam kalangan generasi muda di negara kita.

Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan


generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan
bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia
kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada
suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan
bangsa kita sampai bila-bila.

You might also like