Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

Bab 3

Maklumat Bahasa dalam Kamus Dewan Edisi Keempat


Sharipah Nur Mursalina Syed Azmy
3.1 Pengenalan
Bidang perkamusan atau leksikografi ditakrifkan sebagai bidang linguistik terapan yang
garapannya mencakup teknik atau metodologi penyusunan sesebuah kamus (Ibrahim Ahmad
1994:27). Bidang perkamusan juga meliputi semua subdisiplin yang penting dalam linguistik
seperti leksikologi, sosiolinguistik, analisis wacana, pragmatik, etimologi dan sebagainya
(Asmah Hj. Omar 1987:18).
Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa bidang leksikografi melibatkan proses penyusunan
kamus dalam menghasilkan sesebuah kamus. Tidak dapat dinafikan bahawa proses
penyusunan sesebuah kamus bukanlah sesuatu proses yang mudah. Jadi untuk menghasilkan
sebuah kamus yang baik, bermutu tinggi dan terkini, maklumat linguistik dan bukan linguistik
haruslah dimasukkan. Contohnya, teori leksikografi yang berkaitan dengan sistem leksikal,
semantik, leksikologi, morfologi, sintaksis, analisis wacana, pragmatik dan stilistik.
Bidang leksikografi di Malaysia bermula dalam bentuk senarai kata. Senarai kata yang
pertama ialah senarai kata Melayu-Cina merangkumi 482 kata masuk yang dikumpulkan di
antara tahun 1403M – 1511M (Rashidah Ismail 2001:12). Pada tahun 1519M sehingga 1522M,
Antonia Pigafetta telah menulis pengumpulan kata tersebut dan menghasilkan satu senarai kata
Itali-Melayu. Walau bagaimanapun, senarai kata itu telah diolah semula oleh Alessandra
Barsimi dan kemudian diterbitkan dalam majalah Dewan Bahasa pada tahun 1961. Senarai
kata tersebut mengandungi 176 kata termasuk yang terbahagi kepada dua bahasa, iaitu kata
yang dikumpulkan dalam bahasa Melayu sebanyak 153 kata masukkan dan kata daripada
bahasa Jawa sebanyak 23 kata masukkan (Abdullah Hassan 1986).
Banyak kamus telah dihasilkan oleh ahli bahasa. Antaranya ialah sebuah kamus
ekabahasa, iaitu Kamus Mahmudiyyah yang dihasilkan oleh Syed mahmud bin Syed Abdul
Kadir pada tahun 1894. Manakala, Hj. Shamsudin bin Muhammad pula telah menghasilkan
sebuah kamus Melayu (makna dan perkataan). Selain itu, banyak lagi kamus telah dihasilkan
pada tahun berikutnya, iaitu Kamus Al-Hamidi (1941), Kamus Peribahasa oleh Ahmad Asman
(1951), Kamus Politik oleh Muhammad Harit (1949), Kamus Istilah Bahasa oleh Ahmad Ismail
(1959), Kamus Bahasa Sanskrit oleh Abdul hamid (1953) dan Kamus Suku oleh Mansur Sanusi
(1957).
Sehingga awal abad ke-20, banyak kamus telah dihasilkan yang terdiri daripada kamus
ekabahasa, kamus aneka bahasa dan kamus dwibahasa. Salah satunya ialah Kamus Dewan

1
yang merupakan sebuah kamus ekabahasa bahasa Melayu yang lengkap pada masa itu. Pihak
Dewan Bahasa dan Pustaka juga telah menghasilkan kamus lain seperti Kamus Fizik (1989),
Kamus Biologi dan Fisiologi (1990), Kamus Biokimia (1989), beberapa kamus istilah khusus
dan Kamus Melayu-Inggeris (1992). Oleh kerana bidang leksikologi bahasa Melayu semakin
berkembang jadi semakin banyak kamus telah dihasilkan.
Kamus merupakan sebuah rujukan yang mempunyai pelbagai maklumat seperti senarai
masukan atau entri yang akan mempunyai makna, sebutan, ejaan dan disusun mengikut
turutan abjad untuk menyenangkan para pengguna. Walau bagaimanapun, selain entri,
beberapa perkara lain amat dititikberatkan dalam penyusunan kamus. Jadi, kertas ini cuba
meneliti cara penyusunan Kamus Dewan Edisi Keempat (KDE4) yang berkaitan kata masukan,
terutamanya kerana kata masukan merupakan satu aspek penting dalam penghasilan kamus.
Kertas ini akan membentangkan penjelasan ringkas mengenai maklumat bahasa dalam
KDE4 yang merupakan sebuah kamus yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP). Maklumat bahasa akan dilihat berdasarkan jenis dan bentuk penggunaan dalam Kamus
Dewan. Kaedah analisis kandungan digunakan dalam kajian ini untuk mengenal pasti maklumat
bahasa yang terkandung dalam KDE4. Setelah maklumat bahasa dikenal pasti,
pengklasifikasian mengikut jenis atau bentuknya dibuat.
3.2 Kamus
Istilah kamus dalam bahasa Arab bererti “lautan samudera yang dalam-dalam dan berbahaya”
(Teeuw 1964:388). Selain itu, terdapat beberapa ahli bahasa yang memberi makna berkenaan
dengan kamus. Antaranya ialah, Harimurti Kridalaksana mengatakan bahawa kamus ialah
bahan rujukan yang memuatkan daftar kata atau gabungan kata dengan keterangan pelbagai
makna dan penggunaan dalam bahasa, biasanya mengikut abjad (Harimurti 1982:73).
Hartman pula mentakrif kamus sebagai buku rujukan atau senarai perkataan (biasanya
dalam turutan abjad) bersama-sama padanan kepada maknanya, sebutan, ejaan atau
persamaan atau padanan dalam bahasa-bahasa lain (Hartman 1993:4).
Kamus sebagai teks yang mengandungi maklumat dengan ciri-cirinya yang tersendiri
sehingga mudah untuk membezakan kamus daripada teks lain. Menurut beliau lagi, maklumat
dalam kamus disusun secara arbitrari, tidak berdasarkan kaitan dari segi isinya sebaliknya
mengikut urutan abjad dan berdasarkan ejaan entri dalam kamus tersebut. Susunan yang
diguna memanfaatkan pengguna kerana kamus bukan untuk dibaca sebaliknya hanya
digunakan sebagai rujukan apabila perlu (Svensen 1993:2).
Oleh itu, kamus merupakan sebuah rujukan yang mengandungi pelbagai maklumat yang
dapat digunakan apabila perlu. Dalam sebuah kamus akan terdapatnya senarai masukan atau

2
entri yang akan mempunyai makna, sebutan, ejaan dan disusun mengikut turutan abjad untuk
menyenangkan para pengguna.
3.3 Sejarah Kamus Dewan
Kamus Dewan telah diterbitkan pada tahun 1970 oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka. Setelah
dua belas tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, barulah Kamus Dewan yang pertama
dapat diterbitkan. Ini kerana terdapat beberapa masalah yang dihadapi, iaitu kekurangan pakar
dan perbahanan. Empat sumber utama digunakan dalam kerja penyusunan Kamus Dewan,
iaitu:
3.3.1 Petikan daripada beberapa buah kamus yang telah ada, misalnya, yang penting
kamus-kamus susunan Wilkinson, Winsteat, Poerdarwaminta dan Sultan Mohd
Zain.
3.3.2 Petikan daripada akhbar-akhbar, makalah-makalah, novel-novel, buku-buku teks
dan buku-buku klasik.
3.3.3 Kata-kata loghat dari daerah-daerah yang diperoleh dengan kerjasama orang
perseorangan.
3.3.4 Dari istilah-istilah yang terpilih
(Abdullah Hassan 1970:342)
Kemudian pada tahun 1984, Kamus Dewan dicetak untuk kali kedua dan pada tahun
1986 pula dicetak untuk kali ketiga. Akhirnya pada tahun 1989, Kamus Dewan cetakan pertama
untuk edisi baharu pula telah dicetak. Manakala cetakan kedua untuk edisi baharu telah dicetak
pada tahun 1991 dan cetakan ketiga edisi pula pada tahun 1994. Cetakan kelima Kamus
Dewan edisi ketiga pula ialah pada tahun 2000. Akhirnya pada tahun 2005, Kamus Dewan Edisi
Keempat pula diterbitkan untuk kegunaan para pelajar.
3.4 Entri (Kata Masukan)
Semua kamus yang dihasilkan akan mempunyai entri. Entri merupakan salah satu maklumat
bahasa yang boleh didapati dalam sesebuah kamus. Entri ialah istilah khusus bagi kata
masukan yang akan disusun mengikut abjad masing-masing atau lebih senang difahami
sebagai perkataan yang akan dimasukkan ke dalam sesebuah kamus. Begitu juga dengan
Kamus Dewan. Kamus Dewan mempunyai lebih kurang 5843 entri yang telah dimuatkan dalam
KDE4. Kata entri ini terdiri daripada unit-unit leksikal yang merupakan bahagian yang
diterangkan dalam sesebuah kamus (Rashidah Ismail 2001:23).
Oleh itu, entri atau kata masukan amat penting dalam sesebuah kamus. Mengikut
beberapa orang ahli bahasa menyatakan bahawa komponen asas struktur kamus ialah entri
atau kelompok maklumat tatabahasa, semantik, stilistik dan sebagainya yang kelihatan seperti

3
perenggan dan diberi tajuk dalam cetak huruf tebal yang dinamai kata nama (bandingan Lions
1977, Dubois 1981). Jadi kata masukan atau entri dalam Kamus Dewan amat penting kerana
dengan adanya entri, maklumat seperti tatabahasa, semantik, stilistik dan banyak lagi dapat
dilihat dan difahami. Selain itu, kepelbagaian entri yang dimasukkan dalam sesebuah kamus
akan memperbanyakkan lagi perkataan yang akan diketahui oleh para pengguna.
Entri dalam KDE4 disusun mengikut abjad supaya maklumat yang dikandunginya
mudah diperoleh dan dicari oleh para pembaca. Dalam KDE4, terdapat pelbagai jenis entri yang
mencakupi pelbagai bidang seperti bidang sains dan teknologi, linguistik berkomputer,
astronomi, agama, politik, pelayaran serta muzik. Selain penambahan kata-kata teknikal, kata
atau ungkapan umum yang baharu, sama ada yang dipinjamkan atau kata Melayu asli, kata-
kata seperti kata dialek, kata slanga dan nama kaum di Malaysia juga diselitkan sebagai entri
dalam KDE4. Ada beberapa kategori entri atau kata masukan, iaitu:
3.4.1 Entri utama
Entri utama ialah kata masukan yang terdiri daripada perkataan atau kata tunggal yang dipilih
untuk dimasukkan ke dalam kamus. Selalunya dalam sesebuah kamus, kata akar atau kata
dasar akan diletakkan sebagai entri utama. Akan tetapi ada juga kata majmuk yang dijadikan
entri utama. Ini terjadi kerana bentuk-bentuk kata majmuk yang dimasukkan telah mantap
ejaannya.
Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.4.1.1 basuh ~ cuci (halaman133)
3.4.1.2 gadai ~ pinjaman wang dgn menyerahkan barang sebagai cagaran utk tempoh
tertentu (halaman 420)
3.4.1.3 janji ~ pernyataan kesediaan utk berbuat atau memberi sesuatu (halaman 608)
(KDE4 2005)
3.4.2 Entri Sekunder
Entri sekunder ialah kata masukan yang terdiri daripada perkataan yang telah mengalami
proses morfologi tetapi tidak termasuk dengan kata majmuk. Lazimnya kata majmuk dimuatkan
sebagai penerangan atau subentri kepada kata dasar (Salinah Jaafar 1995:117). Entri atau kata
masukan yang telah mengalami proses morfologi ialah entri yang telah menerima proses
pengimbuhan, pemajmukan dan penggandaan dalam kata tersebut. Entri jenis ini tergolong
dalam entri sekunder jika hendak dimasukkan ke dalam kamus kecuali kata majmuk. Contoh
yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.4.2.1 berjanji ~ membuat (mengikat) janji (halaman 609).
3.4.2.2 menghidupi ~ membiarkan hidup (tidak dibunuh) (halaman 533).

4
3.4.2.3 makanan ~ apa sahaja yg boleh dimakan (spt nasi, roti dll) (halaman 981).
(KDE4 2005)
3.4.3 Entri Varian
Entri varian pula ialah kata masukan yang terdiri daripada perkataan yang sama tetapi
mempunyai maksud yang berbeza. Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.4.3.1 semambu
ratan yg besar (biasanya dibuat tongkat)
hantu
ikan laut, Germo sibi
(KDE4 2005:1432)
Jadi, salah satu maklumat bahasa yang boleh dikutip daripada sesebuah kamus,
terutamanya KDE4 ialah maklumat bahasa yang berkaitan dengan entri atau kata masukan.
Dengan itu, para pembaca dapat menambah bilangan entri yang diketahui teruatamanya entri
yang belum pernah dibaca atau didengari.
3.5 Makna Entri
Aspek pemaknaan dalam kamus juga amat penting. Setiap entri atau kata masukan yang
dimasukkan ke dalam kamus akan diberikan makna yang tersendiri dan setiapnya mempunyai
makna yang berlainan. Dalam Kamus Dewan, setiap entri yang dimasukkan mempunyai makna
masing-masing. Pemaknaan dalam kamus telah mengalami banyak perubahan. Ini kerana
berlakunya peningkatan dalam bidang logik dan falsafah. Keadaan ini telah memberi kesan
kepada pakar leksikografi apabila mereka hendak memperhalusi aspek pemaknaan dalam
kamus.
Sejak abad ke-18, gaya yang lebih formal dan sistematik telah diterapkan dalam tugas
penyusunan kamus. Huraian yang berbelit-belit sedikit demi sedikit telah digugurkan. Kamus
pada abad ini berupaya memberikan huraian yang tepat dan mudah difahami. Jika dilihat dalam
KDE4 terdapat banyak entri yang diberikan makna dengan huraian yang tepat dan mudah
difahami. Selain itu, semantik atau aspek pemaknaan mendapat perhatian ahli leksikografi.
Keadaan ini berlaku kerana semantik merupakan salah satu komponen yang penting dalam
disiplin perkamusan selain aspek lain seperti nahu, sosiolinguistik, leksikologi, pragmatik,
analisis wacana dan etimologi.
Kepentingan aspek semantik dalam proses penyusunan kamus tidak dapat dinafikan
lagi. Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Barnhart (1962), Bejoint (1981) dan Hartman (1983),
aspek makna merupakan aspek yang paling diutamakan oleh pengguna kamus (Svensen
1993:14). Walaupun aspek semantik merupakan aspek yang penting dalam proses penyusunan

5
kamus, aspek ini merupakan aspek yang paling rumit dan sukar ditangani oleh penyusun-
penyusun kamus. Pengkaji tempatan seperti Abdullah Hussain (1970:145), Asmah Hj. Omar
(1971:178) dan Ibrahim Ahmad (1994:75) telah mengakui akan hal ini.
Dalam aspek pemaknaan, terdapat dua bidang yang dapat dibincangkan, iaitu makna
dalam semantik dan makna dalam leksikografi. Domain semantik sesuatu kata memainkan
peranan yang penting dalam memberi makna bagi sesuatu kata. Domain yang dimaksudkan di
sini ialah lingkungan makna sesuatu kata yang dapat ditanggap dengan mata kasar tanpa
melakukan sebarang perincian khusus terhadap komponen-komponen makna leksikal tersebut
(Maimoon Kamis 2001:28). Bagi sesuatu makna utama item leksikal, terdapat banyak kata
kunci yang akan melingkungi sesuatu kata fokus yang mempunyai hubungan rapat dengannya.
Kaedah Analisis Komponen Makna (AKM) telah diperkenalkan untuk mendapatkan
pendefinisian yang lebih khusus kerana pada peringkat awal pemerian makna dalam domain
semantik bersikap terlalu umum. Oleh itu, AKM dapat menentukan domain semantik sesuatu
leksikal secara lebih tepat dan khusus. Kaedah ini menganalisis makna perkataan dengan
mengambil seperangkat perkataan yang mempunyai ciri-ciri sepunya (Maimoon Kamis
2001:30).
Makna dalam leksikografi pula, pemerian maknanya berdasarkan beberapa aspek
penting, iaitu aspek antonim, aspek sinonim, aspek homonim dan aspek polisemi serta lain-lain.
Kesemua aspek ini akan membentuk hubungan makna dalam semantik leksikal. Kesemua
aspek ini akan mempengaruhi cara dan kaedah huraian makna dalam Kamus Dewan dan
aspek ini juga mempunyai kaitan antara satu sama lain. Terdapat enam aspek penting dalam
bidang leksikografi, iaitu:
3.5.1 Polisemi
Konsep polisemi membawa pengertian sebagai perkataan yang boleh dikaitkan dengan
berbagai-bagai makna yang berbeza tetapi masih bertalian (Noresah Baharon 1993:258).
Selain itu, polisemi juga boleh ditakrifkan sebagai satuan bahasa (terutama kata atau frasa)
yang memiliki lebih daripada satu makna (Maimoon Kamis 2001:34). Oleh itu, polisemi ialah
kata atau frasa yang mempunyai pelbagai makna dan boleh digunakan untuk banyak makna.
Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.1.1usai
sudah selesai (perayaan dll), berakhir, bubar.
tidak tersusun rapi, terurai (rambut dll).
sudah selesai (dikerjakan) beres, siap.
sudah lampau, sudah berlalu.

6
(KDE4 2005:1782)
3.5.2 Homonim
Homonim mendukung satu atau lebih perkataan yang sama bentuk dari segi ejaan dan sebutan
tetapi setiap satu perkataan tersebut mempunyai makna yang jauh berbeza antara satu sama
lain (Ibrahim Ahmad 1994:105). Selain itu, homonim juga diertikan sebagai perkataan yang
mempunyai bentuk dan bunyi yang sama tetapi mendukung makna yang berbeza (Nathesan
2001:6). Oleh itu, homonim merupakan sesuatu entri yang dimasukkan ke dalam kamus yang
mempunyai perbezaan dari segi makna tetapi bentuk, bunyi,ejaan dan sebutannya adalah
sama. Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.2.1 ratap I ~ ratapan rintihan kerana kesedihan (dengan mengeluh, menangis,
menjerit, dll).
3.5.2.2 ratap II ~ meratap berbunyi sebiji-biji dgn banyak, berbunyi berulang-ulang
(mesingan dll).
3.5.2.3 ratap III ~ meratap penuh dengan barang hiasan (cincin dll).
(KDE4 2005:1294)
3.5.3 Antonim
Antonim ialah perkataan yang makna yang berlawanan. Kata-kata yang dimaksudkan sebagai
berlawanan mempunyai makna kebalikan seperti dalam kata lelaki dan perempuan, gemuk dan
kurus, besar dan kecil dan sebagainya (Nathesan 2001:4). Oleh itu, entri yang dimasukkan ke
dalam kamus mempunyai makna yang berlawanan dengan perkataan tersebut. Contoh yang
terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.3.1Kecil
tidak besar atau kurang besarnya drpd yg biasa
tidak lebar, tidak luas
tidak besar modalnya
tidak banyak (jumlahnya dll)
tidak penting
tidak melibatkan banyak orang
tidak rumit, tidak sukar
tidak tinggi
tidak kuat
(KDE4 2005:699)
Selain terdapat beberapa aspek yang dianggap penting, terdapat empat pendekatan
yang digunakan dalam pemerian makna bagi sesuatu entri. Begitu juga dengan KDE4.

7
Pendekatan tersebut ialah pendekatan leksikografi, pendekatan sinonim, pendekatan logik dan
pendekatan ensiklopedia (Ibrahim Ahmad 1994:76).
3.5.4 Pendekatan Leksikografi
Pendekatan ini menghuraikan makna entri dari segi ciri-ciri semantiknya yang penting secara
berurutan (Maimoon Kamis 2001:45). Dalam pendekatan leksikografi, penjelasan yang
diberikan atau digunakan lebih sederhana dan mudah difahami oleh para pembaca. Contoh
yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.4.1 maskara ~ bahan mekap untuk menghitamkan dan mencantikkan bulu mata
(halaman 1003).
3.5.4.2 nona ~ panggilan untuk gadis atau perempuan yang belum berkahwin (halaman
1084).
(KDE4 2005)
3.5.5 Pendekatan Sinonim
Pendekatan sinonim paling banyak dan kerap digunakan dalam menghasilkan kamus-kamus
ekabahasa. Makna entri disajikan dalam bentuk padanan makna yang berupa kata seerti bagi
entri tersebut (Maimoon Kamis 2001:46). Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.5.1 sangu ~ bekal (halaman 1389)
3.5.5.2 sani I ~ indah, mulia (halaman 1389)
3.5.5.3 tiris ~ bocor (halaman 1697)
(KDE4 2005)
3.5.6 Pendekatan Logik
Pemberian makna dalam pendekatan logik berdasarkan logik pada pemikiran pengguna.
Pentakrifan entri diberikan setelah mengenal pasti objek dan membezakannya dengan objek
lain secara jelas (Maimoon Kamis 2001:47). Dalam pendekatan ini, makna yang diberikan
kepada entri adalah khusus dan saintifik. Jadi, pendekatan ini bersifat ilmiah dan sesuai
digunakan untuk istilah-istilah dalam disiplin tertentu. Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.6.1 tangis I ~ mencucurkan air mata dengan sedu-sedan untuk melahirkan perasaan
sedih (pilu dll). (halaman 1601).
3.5.6.2 panau ~ penyakit kulit yang berupa bintik-bintik, (tompok-tompok) putih (kadang-
kadang gatal) (halaman 1123).
(KDE4 2005)
3.5.7 Pendekatan Ensiklopedia
Pendekatan ini memerikan makna sesuatu entri dengan lebih mendalam, lengkap dan cermat
(Maimoon Kamis 2001:48). Jadi, segala fakta yang mempunyai kaitan dengan entri akan

8
dimasukkan dan makna yang diberikan juga lebih jelas, spesifik dan terperinci. Contoh yang
terdapat dalam KDE4 ialah:
3.5.7.1 kemuliaan (iaitu anugerah Allah kpd hamba-Nya yg dikasihi).
3.5.7.2 suci dan berkat drpd kemuliaan seseorang sehingga menyebabkan doanya
diperkenankan Allah (seperti penyembuhan penyakit dan perlindungan Allah.
3.5.7.3 tempat atau sesuatu yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmah.
3.5.7.4 orang yang sangat warak, oarang yang benar-benar soleh.
(KDE4 2005:751)
Jadi, makna dalam sesebuah kamus untuk setiap entri merupakan maklumat bahasa
yang boleh didapati. Oleh itu, para pembaca dapat mengetahui makna setiap entri yang
dimasukkan ke dalam kamus dan ini dapat membantu para pembaca dalam pencarian makna
bagi entri yang dikehendaki.
3.6 Asal Usul Kata/Etimologi
Selain maklumat bahasa tentang entri (kata masukan) dan makna entri yang boleh didapati
daripada KDE4, maklumat bahasa tentang asal usul kata/etimologi juga boleh didapati daripada
KDE4. Asal usul ialah salasilah atau keturunan (KDE4 2005:81). Etimologi pula ialah cabang
ilmu linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata.
Ini bermakna, dengan melihat KDE4, para pembaca juga dapat mengenal pasti asal usul
atau salasilah sesuatu kata tersebut. Selain itu, ini akan menyenangkan para pembaca untuk
mancari dan mengetahui serba sedikit asal usul sesuatu kata atau entri yang dikehendaki. Oleh
itu, para pembaca dapat mengetahui kata atau entri dari pelbagai negara. Contoh yang terdapat
dalam KDE4 ialah:
3.6.1 lingua franca (latin) (halaman 945)
3.6.2 masyaikh Ar
3.6.3 ijmak Ar (halaman 561)
(KDE4 2005)
Contoh di atas menunjukkan asal usul perkataan tersebut. Dapat dilihat perkataan
lingua franca berasal daripada bahasa Latin. Manakala, perkataan masyaikh dan ijmak pula
berasal daripada bahasa Arab.
3.7 Sebutan
Dalam KDE4 ini, maklumat bahasa tentang sebutan juga boleh didapati. Sebutan sesuatu
perkataan atau entri akan ditulis di sebelah entri tersebut dengan simbol yang biasa digunakan.
Selain dapat mencari makna entri tersebut, para pembaca juga dapat mengenal pasti cara

9
sebutan untuk perkataan atau entri tersebut. Keadaan ini akan menyenangkan para pengkaji
untuk membuat kajian tentang bunyi bahasa. Contoh yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.7.1 bebek (bébék) (halaman 144)
3.7.2 bebel (bébél) (halaman 144)
(KDE4 2005)
3.8 Label
Label juga dapat dilihat dalam KDE4. Label di sini bermaksud label yang akan menerangkan
bidang ilmu yang dicakupi oleh perkataan tersebut. Jadi, para pembaca dapat mengenal pasti
sesuatu perkataan atau entri tersebut berada atau mengcakupi mana-mana bidang. Contoh
yang terdapat dalam KDE4 ialah:
3.8.1 monoksida (Kim) (halaman 1042)
3.8.2 monolit (Geo) (halaman 1042)
3.8.3 korakoid (Bio) (halaman 822)
3.8.4 hologram (Fiz) (halaman 543)
3.8.5 homofoni (Ling) (halaman 543)
3.8.6 adjuster (Eko) (halaman 10)
(KDE4 2005)
Contoh di atas menunjukkan perkataan atau entri yang mempunyai label tentang bidang
ilmu yang dicakupi oleh perkataan tersebut. Monoksida merupakan perkataan dalam bidang
kimia, manakala monolit perkataan dalam bidang geografi dan korakoid pula adalah perkataan
dalam bidang biologi. Jadi, dengan adanya label tersebut para pembaca dapat mengenal pasti
bidang yang dicakupi oleh sesuatu perkataan atau entri tersebut.
3.9 Penutup
Secara umumnya, KDE4 mempunyai banyak maklumat bahasa yang boleh didapati darinya.
Antaranya ialah maklumat berkenaan dengan entri (kata masukan), makna bagi entri tersebut,
asal usul kata/etimologi, sebutan dan label. Maklumat-maklumat bahasa ini boleh dilihat dengan
jelas dalam KDE4 ini. Pelbagai jenis entri yang terkandung dalam KDE4. Kepelbagaian entri
yang dimasukkan akan membantu para pembaca untuk mengetahui pelbagai jenis entri. Secara
tidak langsung, para pembaca dapat mengetahui entri yang belum pernah didengari atau
dibaca. Selain itu, makna yang disertakan sekali dapat membantu para pembaca untuk
mengetahui tentang makna atau maksud entri tersebut dengan lebih jelas dan padat.
Pemaknaan entri yang dimasukkan dalam KDE4 amat senang dan mudah difahami. Ini
membantu para pembaca untuk memahami makna entri tersebut dengan lebih senang dan
cepat. Maklumat lain juga amat berguna kepada para pembaca, terutamanya para pengkaji

10
yang ingin mengkaji tentang sesuatu entri. Asal usul kata/etimologi dan label yang disediakan
dalam KDE4 amat membantu para pengkaji untuk mereka mengetahui tentang sesuatu entri
yang dikaji dan ini menyenangkan mereka. Selain itu, sebutan juga disertakan sekali. Ini
bermakna, para pengkaji dalam bidang fonologi dapat mengetahui bagaimana entri tersebut
disebut terutama entri yang berkaitan dengan dialek dan slanga. Justeru, maklumat bahasa
yang terkandung dalam KDE4 amat dan sangat berguna kepada para pembaca serta para
pengkaji. Oleh itu, kamus yang dihasilkan seharusnya mempunyai banyak maklumat supaya
para pembaca dan pangkaji dapat menggunakan kamus yang dihasilkan sebaik mungkin.
Rujukan
Abdullah Hussain. 1970. Kamus Dewan. Dewan Bahasa. Ogos: 330-347.

Abdullah Hassan. 1986. Penerbitan Kata dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Penerbitan
Fajar Bakti

Asmah Hj. Omar. 1971. The Descriptive-Prescriptive Dictionary: A Review Article of Kamus
Dewan. The Brunei Museum Journal 2: 3

Asmah Hj. Omar. 1987. Perkamusan Melayu: Satu Penilaian. Syarahan Mempengaruhi Ulang
Tahun yang ke Sepuluh Koleksi Kebangsaan Perpustakaan Universiti Malaya, Kuala
Lumpur , Universiti Malaya,.

Hartman R.R.K (ed),. 1993. Leksikografi: Prinsip dan Amalan, terjemahan Zainab Ahmad. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harimurti Kridalaksana. 1982. Kamus Linguistik. Jakarta: PT Gramedia.

Ibrahim Ahmad. 1994. Perkamusan Melayu: Suatu Pengenalan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat. 2005.Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Maimoon Bt Kamis. 2001/2002. Amalan Pemaknaan Entri dalam Leksikografi : Tumpuan pada
Kamus Dewan. Tesis Sarjana Akademi Pengajian Melayu, Kuala Lumpur: Universiti
Malaya.

11
Nathesan. S. 2001. Makna dalam Bahasa Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Noresah Baharon.1993. Perkamusan Melayu dalam Memenuhi Wawasan 2020. Dewan


Bahasa: Januari.

Rashidah Ismail. 2001/2002. Penyusunan entri dalam Kamus Dewan: Satu Penelitian
Leksikografi. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Salinah Jaafar. 1995. Proses Pembentukan Kata dalam Leksikografi Melayu: Tumpuan kepada
Kamus Dewan. Jabatan Pengajian Melayu, Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Svensen Bo. 1993. Practical Lexicography: Principles and Methods of Dictionary-Making,


(Translated from the Swedish by John Sykes and Kerstin Scho field), Oxford: Oxford
University Press.

Teeuw. A. 1964. Tentang Kamus dan Perkamusan Melayu. Dewan Bahasa. September: 388-
398.

12

You might also like