Tabiat Pemakanan

You might also like

Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 6

Bentuk tabiat pemakanan sihat

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan pada 2015, kira-kira 2.3 bilion penduduk di
seluruh dunia akan mempunyai berat badan berlebihan, manakala 700 juta daripadanya mengalami
masalah kegemukan keterlaluan atau obesiti.

Apa yang membimbangkan, masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak semakin menular tahun demi tahun di
negara-negara membangun. Di Malaysia, sehingga 2010, peningkatan kes obesiti yang direkodkan dalam
kalangan keseluruhan kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun adalah sebanyak 10 peratus.
Masalah ini menjadi lebih serius apabila meningkatnya risiko kesihatan lebih kronik seperti kencing manis, darah
tinggi, penyakit jantung, kegagalan sistem pernafasan dan perkumuhan serta kanser. Apakah faktor
menyumbang kepada masalah kegemukan dalam kalangan kanak-kanak ini?

Menurut Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pakar Program
Kanak-Kanak Sihat Nestle (NHK), Dr Tee E Siong, faktor utama penyumbang masalah obesiti kanak-kanak
adalah pengambilan nutrisi tidak seimbang atau makanan dengan kadar banyak atau terlalu kurang.

DR CHIN...ikut panduan piramid makanan untuk pengekalan berat badan.

Katanya, kanak-kanak sememangnya gemarkan makanan ringan seperti keropok, coklat, jeruk serta makanan
segera yang tidak mempunyai zat seimbang untuk tumbesaran mereka. Ini disebabkan mereka terpengaruh
dengan rasa, pembungkusan dan promosi iklan atau jualan dilakukan pengeluar dan juga penjual.

Dalam hal ini, ibu bapa berperanan penting membentuk tabiat pemakanan sihat dalam kalangan kanak-kanak
serta membekalkan nutrisi seimbang sejak awal kelahiran lagi. Ini boleh dipastikan dengan memberikan susu ibu
sepenuhnya sehingga enam bulan pertama kemudian bersambung sehingga dua tahun.

“Apabila kanak-kanak ini mula bersekolah, pendidikan mengenai pemilihan makanan seimbang boleh diberikan
guru-guru di sekolah. Namun begitu, walaupun terdapat kurikulum mengenai pemakanan seimbang di sekolah,
tetapi tidak begitu jelas dan terperinci, malah guru-guru juga tidak dilatih sepenuhnya bagi memberikan latihan
serta pengajaran kepada pelajar secara eksklusif ,” katanya.

Menyedari pentingnya meningkatkan pengetahuan pemakanan dan menggalakkan gaya hidup sihat dalam
kalangan kanak-kanak, bermula Ogos 2010, Nestle (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Persatuan
Pemakanan Malaysia melaksanakan program Kanak-Kanak Sihat Nestle yang bukan saja memberi manfaat
kepada kanak-kanak malah ibu bapa dan guru amnya.

Ini secara tidak langsung mendedahkan ibu bapa kepada corak serta gaya pemakanan sihat di samping
memainkan peranan penting dalam tabiat pemakanan anak masing-masing supaya mereka membesar menjadi
dewasa yang sihat dan memberi sumbangan kepada keluarga dan negara.

Menurut Dr Tee, program NHK terbahagi kepada dua bahagian iaitu memberi kesedaran kepada khalayak ramai
dan kajian penyelidikan intervensi jangka panjang bagi membentuk, melaksana dan menilai keberkesanan
modul pendidikan pemakanan dan aktiviti yang diadakan di sekolah-sekolah terbabit.

Program ini membabitkan 2,600 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun yang diberi pendedahan menerusi
bengkel pemakanan dan kesihatan, pameran dan program intervensi.

“Matlamat utama pada akhir program ini adalah membentuk modul pendidikan yang boleh digunakan
Kementerian Pelajaran bagi pelaksanaan program kesihatan di sekolah rendah di Malaysia,” katanya.

Dalam pembentangan hasil kajian pada bengkel ibu bapa dan guru anjuran Nestle Malaysia di Kuala Lumpur, Dr
Tee mendedahkan, kanak-kanak yang terbabit dalam program ini menunjukkan minat memberangsangkan
hanya selepas setahun kajian dijalankan dengan peningkatan pengetahuan, sikap dan amalan terhadap
pemakanan mereka.

Kira-kira satu pertiga daripada kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam skor pengetahuan mereka dalam
kesemua enam modul pendidikan pemakanan dan kesihatan yang diajar kepada mereka.

“Hasil menggalakkan ini diperoleh pada akhir tahun pertama pelaksanaannya dan ia turut menunjukkan kanak-
kanak mendapat pengajaran daripada program berkenaan. Hari ini (bengkel) ibu, bapa dan guru yang hadir turut
dimaklumkan bahawa kanak-kanak menunjukkan peningkatan dalam amalan sihat dengan lebih ramai murid
membuat pilihan makanan yang lebih menyihatkan berbanding pada awal program berkenaan,” katanya semasa
membentangkan laporan NHK.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal-Ehwal Korporat Kumpulan Nestle,
Zainun Nur Abdul Rauf, pelaksanaan program ini tepat pada masanya, memandangkan orang ramai dan
kerajaan kini semakin prihatin terhadap kes penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat.

“Apa yang membimbangkan, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan paras
kolesterol yang tinggi semakin bertambah setiap tahun.
Bagi kami, apa yang lebih penting bukan saja memastikan produk kami membantu mengurangkan masalah-
masalah ini, tetapi juga menggalakkan tabiat pemakanan dan gaya hidup sihat secara lebih aktif dalam kalangan
pengguna.

“Nestle memberi sumbangan dari segi pengetahuan pemakanan dengan menggunakan pendidikan sebagai
kaedah membantu kanak-kanak memahami nilai pemakanan dan aktiviti fizikal.

“Dua perkara ini akan memperkasakan mereka dalam membuat pilihan yang tepat berkaitan tabiat pemakanan
dan gaya hidup sihat,” tambahnya.

Beliau turut memberitahu, program ini membabitkan lebih 60 buah negara di seluruh dunia dan pihaknya akan
meningkatkan jumlah itu dalam tempoh tiga tahun lagi. Melalui program pemakanan sihat ini pihaknya
mensasarkan lebih enam juta kanak-kanak seluruh dunia mendapat manfaat daripadanya menjelang 2014.

Bengkel pada petang itu turut disertakan perbincangan panel oleh pakar-pakar pemakanan seperti Naib
Presiden Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Prof. Dr.
Norimah A. Karim, Ahli Majlis Persatuan Kajian Obesiti Malaysia, Dr. Zawiah Hashim dan wakil daripada Jabatan
Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan di Universiti Putra Malaysia, Dr. Chin Yit Siew.

Menurut Dr Chin Yit Siew, pendidikan dalam pemilihan makanan yang betul harus diberikan kepada ibu bapa
kerana mereka berperanan menyediakan keperluan makanan seimbang sejak anak dilahirkan sehingga dewasa.
Ini boleh dilakukan dengan merujuk kepada garis panduan pemakanan Malaysia atau piramid makanan yang
memberikan senarai berguna mengenai pemakanan seharian.

“Namun begitu makanan tanpa aktiviti fizikal juga masih belum cukup dan inilah yang ingin kami tekankan
kepada ibu bapa, guru dan juga kanak-kanak supaya mereka dapat menyeimbangkan keperluan harian bukan
saja pada pengambilan makanan tetapi senaman,” katanya.

Ibu bapa boleh menyediakan cara hidangan yang pelbagai bukan dengan cara menggoreng tetapi kukus,
panggang, bakar dan rebus dengan memastikan mengambil tiga jenis sajian sayur-sayuran dan dua jenis buah-
buahan dalam setiap hidangan.

“Mungkin bagi kanak-kanak, menu sayur-sayuran tidak menjadi pilihan mereka, dalam hal ini ibu bapa perlu bijak
memilih sayur-sayuran pelbagai warna dengan cara masakan berbeza setiap hari. Apa yang penting pastikan
dalam setiap hidangan seimbang, pelbagai serta mengikut piramid makanan,” katanya.

Pada majlis itu juga turut diadakan demonstrasi masakan sihat oleh chef selebriti Florence Tan yang
menunjukkan cara mudah menyediakan tiga jenis makanan berkhasiat untuk anak-anak iaitu salad segar, jus
tembikai susu dan lempeng pisang.

Panduan pemakanan seimbang

Makan nasi, produk bijirin dan ubi terutama bijian penuh yang mencukupi.

Ini termasuk nasi, produk bijirin seperti mi, roti dan gandum atau ubi seperti kentang dan keledek pada setiap
hidangan.

Pilih produk bijirin seperti roti, biskut yang tinggi serat dan rendah lemak, gula dan garam.

Bijian penuh mengekalkan kesemua bahagian bijirin asli iaitu bran dan germ. ia mengandungi pelbagai
vitamin, mineral, fitokimia (bahan kimia tumbuhan) dan serat berbanding bijirin terproses.

Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari.

Makan sekurang-kurangnya tiga hidangan sayur-sayuran dan dua hidangan buah-buahan setiap hari.

Amalkan kepelbagaian dengan makan buah dan sayuran berlainan setiap hari.

Ambil sayuran berdaun hijau gelap dengan batang boleh dimakan seperti sawi atau kailan setiap hari atau
sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu.

Ambil sayur-sayuran buah dan akar seperti tomato, peria, kacang bendi, lobak merah dan sayur-sayuran tidak
berdaun seperti bunga kubis, brokoli beberapa kali seminggu.

Fitokimia dalam buah dan sayuran memberikan warna hijau, merah, oren, kuning dan ungu yang
menjadikannya menarik. Kebanyakan fitokimia bertindak sebagai antioksidan dan melindungi sel tubuh.

Makan ikan, daging, ayam, itik, telur, kacang dan bijian secara sederhana.

Ambil daging, ayam dan itik secara sederhana.

Ambil telur dalam jumlah sederhana sehingga purata sebiji sehari (seluruh atau dalam hidangan).

Ambil produk kekacang setiap hari seperti kacang pis atau dal ke dalam sup atau sediakan produk kekacang
seperti tempe dan tauhu.

Ambil kacang sekurang-kurangnya sekali seminggu sebagai snek atau pengganti daging, ayam dan itik dalam
masakan.
Ikan membekal protein, vitamin B dan iodin. Ikan bersaiz kecil dengan tulang boleh dimakan membekalkan
kalsium. Kebiasaannya ia lebih rendah kandungan kolesterol berbanding daging, ayam dan itik. Sesetengah ikan
tiada kandungan asid lemak omega 3 yang dikaitkan dengan penyakit darah tinggi dan jantung.

Ambil jumlah susu dan produk tenusu yang mencukupi.

Susu adalah makanan berkhasiat mengandungi pelbagai nutrien penting. Jadi individu daripada semua
peringkat usia harus mengambil susu dan produk tenusu setiap hari.

Tambahkan susu ke dalam makanan dan minuman. \

Pilih susu rendah lemak jika anda perlu mengurangkan berat badan berlebihan.

Gunakan susu tepung atau cecair bukannya pekat manis dan susu pekat sejat manis.

Jika pengambilan susu menyebabkan anda rasa kembung, cirit-birit atau muntah, anda mungkin tidak boleh
mengambil laktosa. Namun anda masih boleh menikmati manfaat dengan memilih produk tenusu bebas seperti
dadih dan keju.

Makan secara pintar.

Mengamalkan diet seimbang untuk memperoleh nutrien dalam kombinasi sepatutnya.

Memakan pelbagai jenis makanan dan pastikan memilih makanan sihat.

Mengambil makanan secara sederhana bermakna mengambil jumlah makanan sesuai untuk mengekalkan
berat badan sihat dan mengoptimumkan proses metabolisme badan.

Mengambil makanan mengikut waktu makanan.


Artikel ini disiarkan pada : 2012/03/20
http://www.hmetro.com.my/articles/Bentuktabiatpemakanansihat/Article
http://www.konsumerkini.net.my/v1/index.php/berita-terkini/kesihatan/593-pupuk-cara-pemakanan-sihat-di-
sekolah
Huraikan pendapat anda tentang cara-cara mengamalkan gaya hidup sihat. Panjang karangan anda hendaklah
antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Dalam meniti arus kemodenan yang berteraskan sains dan teknologi maklumat, faktor kesihatan masyarakat
pada hari ini berada pada tahap yang membimbangkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan
Malaysia. Semakin hari, masalah wabak pelbagai penyakit semakin menjalar dalam kalangan masyarakat tanpa
mengira usia tua atau muda. Jika dahulu masalah darah tinggi dan kencing manis merupakan penyakit yang
sering dihadapi oleh golongan tua tetapi pada hari ini golongan kanak-kanak juga sering dihantui penyakit
berkenaan. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2011, angka
pesakit yang menghadapi masalah kesihatan telah meningkat sebanyak 200 000 orang pesakit melebihi
bilangan pesakit pada tahun sebelumnya. Sebenarnya masalah kesihatan masyarakat mampu diatasi dengan
pelbagai cara terutamanya dengan kemudahan prasarana berkaitan kesihatan semakin banyak disediakan oleh
pihak kerajaan. Klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa, Hospital Besar merupakan tempat masyarakat
mendapat kemudahan rawatan kesihatan. Persoalannya, mengapakah kadar pertambahan bilangan pesakit
yang tidak mengenal usia berlaku pada zaman sekarang? Bak kata pepatah, setiap penyakit ada ubatnya, setiap
masalah pasti ada jalan keluarnya. Salah satu daripadanya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat
sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Bagaimanakah caranya untuk kita
mengamalkan gaya hidup sihat?

Mari kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci
pengambilan makanan seimbang. Kebanyakan rakyat Malaysia mengganggap pengambilan makanan seimbang
ialah diet. Sebenarnya, tanggapan masyarakat mengenai perkara tersebut adalah salah sama sekali.Hal ini
kerana pengambilan makanan seimbang bermaksud pengambilan makanan oleh seseorang individu yang
mengandungi semua nutrien dan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan secara seimbang. Jika kita merujuk
piramid makanan, pembahagian pemakanan terbahagi kepada beberapa bahagian mengikut keperluan
makanan berdasarkan seorang manusia normal. Bahagian bawah piramid makanan merupakan kumpulan
makanan mengandungi karbohidrat, diikuti dengan kumpulan makanan yang mengandungi vitamin, mineral, dan
serat, seterusnya kumpulan makanan yang mengandungi protin, dan terakhir bahagian atas ialah kumpulan
makanan mengandungi lemak. Piramid makanan juga merupakan panduan kepada pengguna dengan
mengurangkan pengambilan makanan berlemak di bahagian atas sekali, seperti lemak dan gula,. Oleh sebab
itu, makanan berlemak hanya perlu kita ambil dalam kuantiti sedikit. Berbanding kandungan karbohidrat perlu
diambil dalam kuantiti yang banyak kerana makanan seperti ini membekalkan kita tenaga untuk menjalani
kehidupan seharian, contohnya nasi, roti, dan bijirin. Seorang ahli falsafah Yunani iaitu Socrates berkata " Aku
makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan." Tegasnya, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan
mengambil makanan seimbang setiap hari.

Seterusnya, mari kita lebarkan lensa perbincangan dengan memperkatakan gaya hidup sihat iaitu
menjalankan aktiviti rekreasi. Sebagai mana yang kita sedia maklum, kegiatan rekreasi merupakan aktiviti yang
berfaedah terutama untuk mengisi masa senggang, merehatkan minda dan mengelakkan stress, selain
menyehatkan badan. Pada abad milenium ini, banyak tempat rekreasi, sama ada bertemakan air, alam sekitar
dan sebagainya. Dengan adanya pusat rekreasi, anak muda atau remaja boleh menyertai aktiviti berkenaan
dengan mandaftar diri dan menyertai program yang dianjurkan seperti kursus berkayak, mendaki gunung, ,
menyelam, "jungle tracking" dan sebagainya. Bagaimana kegiatan rekreasi ini dapat menyihatkan tubuh badan?
Aktiviti rekreasi merupakan aktiviti mencabar. Sebelum melakukan aktiviti berkenaan, peserta selalunya diminta
untuk melakukan aktiviti regangan agar seluruh sendi dan sistem kardivaskular kita bersedia terlebih dahulu
sebelum melakukan aktiviti berkenaan. Bahkan juga, dengan adanya aktiviti regangan dan pemanasan badan,
kadar pengaliran darah dan pergerakan jantung akan stabil sebelum peserta melakukan aktiviti yang berat.
Selain itu, kelenjar endokrin dan kelenjar adrenalina akan merembeskan peluh yang mengandungi toksin untuk
disingkirkan daripada badan. Oleh sebab itu, badan kita akan menjadi sihat dan sukar untuk dijangkiti patogen-
patogen penyakit. Kebiasaanya, seorang fasiltator akan memberi penerangan kepentingan melakukan regangan
dan peringatan mengenai langkah-langkah menjaga keselamatan sepanjang program rekreasi diadakan untuk
mengelak sebarang kemalangan atau kecederaan. Bak kata pepatah, malang tidak berbau dan sediakan payung
sebelum hujan. Justeru, tahap keselamatan peserta lebih terjamin semasa melakukan aktiviti lasak tersebut. Hal
ini jelas menunjukkan aktiviti berekreasi merupakan satu cara untuk kita mengamalkan gaya hidup sihat dalam
kehidupan.

Mari kita meneruskan perbincangan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam membicara
aktiviti sukan sebagai amalan gaya hidup sihat. Sebagaimana kita maklum, remaja tidak lari daripada melakukan
aktiviti sukan dalam kehidupan mereka sejajar dengan usaha Kementerian Pelajaran Malaysia memperkenalkan
pelaksanaan Program 1 Murid 1 Sukan yang mewajibkan pelajar sekurang-kurang menyertai satu aktiviti sukan
di sekolah. Bahkan juga,Kementerian Pelajaran Malaysia juga telah 10% syarat kemasukan ke universiti
berdasarkan pencapaian pelajar dalam bidang kokurikulum antaranya sukan permainan. Namun, pelaksanaan
program ini belum mencapai objektifnya kerana sebilangan pelajar masih belum membudayakan diri mereka
untuk bersukan dan penglibatan mereka dalam aktiviti berkenaan hanya sekadar untuk penyertaan bukan
sebagai budaya. Sebenarnya, pucuk pangkal permasalahan berkenaan terus berlaku akibat masyarakat masih
belum mengetahui akan manfaat dan kepentingan sukan dalam kehidupan mereka. Dengan bersukan,
masyarakat akan mendapat manfaat iaitu selain menyihatkan badan, mereka juga akan dapat mencergaskan
minda mereka. Hal ini kerana ketika bersukan oksigen akan diserapkan ke dalam badan dengan lebih cepat dan
akan mengaktifkan sel-sel badan menjalankan proses respirasi, disamping aliran oksigen ke otak akan lebih
aktif. Secara langsung neuron-neuron otak juga akan bersambung dan badan akan menerima cas-cas positif
yang berfungsi untuk menyihatkan badan dan mencerdaskan otak. Kebaikannya kepada pelajar, mereka tidak
akan mudah mengantuk semasa berada di dalam kelas dan sudah pasti proses pengajaran dan pembelajaran
akan lebih bermakna. Pepatah Arab ada mengatakan bahawa minda cerdas lahir daripada badan yang sihat.
Justeru, kita boleh mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti bersukan.

Akhir sekali, sudah terang lagi bersuluh bahawa pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah penting
dalam memastikan tahap kesihatan kita sentiasa berada di bawah paras bahaya. Masyarakat Malaysia perlu
bersyukur kerana kerajaan terutamanya di bawah kelolaan Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil
berat dalam menyediakan prasarana dan kemudahan kesihataperkhidmatan bertaraf dunia. Hal ini boleh kita
lihat di setiap pelusuk negara terdapat pusat rawatan sama ada klinik desa, Klinik 1 Malaysia, Hospital Desa dan
Hospital Besar sentiasa terbuka untuk dikunjungi oleh rakyat yang sedar akan kepentingan kesihatan mereka.
Bahkan juga, pengamal perubatan yang sedia merawat pesakit adalah lepasan universiti dikerah berkhidmat di
pusat rawatan daerah, dan negeri agar setiap masyarakat mudah untuk mendapat perkhidmatan kesihatan yang
berkualiti. Berbading suatu ketika dahulu, pesakit yang memerlukan rawatan daripada seorang doktor hanya
boleh mendapat perkhidmatan mereka di hospital desa atau hospital besar. Rawatan kesihatan amat penting
supaya setiap warganegara akan tahu tahap dan darjah kesihatan mereka dari semasa ke semasa. Apabila kita
melakukan rawatan kesihatan secara berskala sekurang-kurangnya tiga bulan sekali perkembangan kesihatan
kita boleh dipantau oleh pengamal perubatan atau doktor dengan sebaik-baiknya. Natijahnya cukup positif
kerana pengesanan penyakit secara awal akan memudahkan mereka mendapat rawatan yang sepatutnya.
Secara langsung pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa kerana kadang kala penyakit menyerang tanpa
disedari terutama penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, kecing manis dan serangan jantung. Contohnya,
sekiranya pesakit mengalami penyakit kencing manis para doktor berpengalaman akan menasihatkan pesakit
mengawal kaedah pemakanan yang sesuai dan sekiranya pesakit mengalamai masalah diabetis yang kronik
suntikan insulin akan dilakukan untuk mengawal paras gula dalam badan. Pepatah ada menyebut " mencegah
lebih baik daripada merawat." Tegasnya mendapat pemeriksaan dan rawatan kesihatan adalah sangat penting
dalam memastikan tahap kesihatan masyarakat dalam keadaan baik.

Kesimpulannya, pengamalan gaya hidup sihat merupakan inisiatif kita sendiri. Jika kita inginkan kesihatan
kita sentiasa sihat, kita perlulah melibatkan diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh menyihatkan tubuh
badan kita seperti pengambilan makanan seimbang, melakukan aktiviti rekreasi, menyertai aktiviti sukan dan
mendapatkan rawatan kesihatan secara sempurna. Oleh itu, untuk menyokong kerajaan dalam merealisasikan
Wawasan 2020, kita perlulah memastikan tahap kesihatan kita dalam keadaan terbaik kerana pekerja, pentadbir,
dan pemimpin yang sihat jasmani, rohani, emosi dan inteleknya sahaja yang akan dapat membantu menggapai
cita-cita pemimpin untuk memastikan Malaysia mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi
dengan negara maju yang lain. Justeru, kesihatan merupakan aset paling penting sebagai warganegara
Malaysia kerana bak kata pepatah, kesihatan itu lebih penting daripada wang ringgit yang menggunung.

You might also like