Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 11

Novel Cempaka Putih Untukmu (Ting 3 ~ PMR)

~Sinopsis Keseluruhan
Novel ini mengisahkan keakraban dan keikhlasan dalam persahabatan antara dua
kaum iaitu Hartini (orang Melayu) dan Satiah (orang Asli). Hartini telah mengikut ayahnya Encik
Hasrul berpindah ke sebuah perkampungan orang asli iaitu Kampung Kuala Batu di Jerantut,
Pahang. Hartini bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan telah berkenalan dengan
beberapa orang rakan baharunya seperti Satiah, Mijod, Ineng, Sinda, Ambok dan Meramu. Satiah
merupakan rakan karibnya. Satiah seorang murid yang pendiam kerana latar belakang dan
masalah peribadinya. Justeru keluarga Hartini mengambil keputusan untuk mengambil Satiah
sebagai anak angkat mereka. Lalu, Satiah tinggal bersama keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah.
Hubungan dan persahabatan antara dua keluarga semakin erat. Namun pada suatu hari Satiah
didapati pengsan. Satiah telah dibawa ke hospital dan doktor mengesahkan Satiah menghidap
penyakit barah paru-paru yang kronik. Encik Hasrul mencadangkan supaya Satiah dirawat di
hospital, tetapi hal ini mendapat bantahan daripada ayah Satiah, Pak Morit yang masih kuat
berpegang kepada rawatan tradisional. Penyakit Satiah masih tidak menampakkan apa-apa
perubahan sehinggalah tiba hari keputusan peperiksaan PMR diumumkan. Satiah merupakan
calon tunggal yang berjaya memperoleh keputusan 8A tetapi pada masa yang sama dia terpaksa
bertarung dengan kesakitan. Akhirnya Pak Morit akur dan bersetuju agar Satiah dirawat di
hospital. Keadaan Satiah beransur pulih tetapi mereka terpaksa berpisah kerana mereka berdua
akan melanjutkan pelajaran di sekolah berasrama yang berasingan. Pelbagai dugaan telah Hartini
lalui di sekolah baharu, antaranya dia telah dimasukkan ke dalam lokap kerana difitnah oleh
Junainah yang mengedarkan pil ecstasy. Semua dugaan berjaya diatasi dengan bantuan Encik
Hasrul. Hartini dan Satiah berpeluang bertemu kembali sewaktu cuti persekolahan. Namun
pertemuan mereka merupakan pertemuan terakhir apabila Satiah telah kembali kerahmatullah.
Hartini telah membaca catatan Satiah dan sebelum kembali ke asrama dia telah menanam
sepohon cempaka putih di pusara Satiah sebagai tanda kasihnya dan memenuhi permintaan
Satiah.

~Sinopsis Bab
Bab 1 – Akur Akan Perintah
Berita kenaikan pangkat Encik Hasrul disambut dengan penuh rasa syukur dan gembira
oleh Encik Hasrul dan keluarga. Walau bagaimanapun Encik Hasrul sekeluarga terpaksa
berpindah ke tempat baharu. Encik Hasrul diarah bertugas di daerah pedalaman masyarakat
Orang Asli di Pahang. Pertukaran ini menyebabkan semua ahli keluarganya merungut kerana
bimbang tidak dapat menyesuaikan diri tinggal di kawasan luar bandar. Encik Hasrul tetap tenang
menerima rungutan daripada isteri dan anak-anaknya. Berita pertukaran Encik Hasrul juga
tersebar luas di kawasan perumahan mereka. Jiran-jiran mula bertanya tentang hal tersebut. Encik
Hasrul berangkat ke Jerantut untuk membuat tinjauan tentang rumah baharu mereka. Encik Hasrul
berpuas hati dengan keadaan rumah baharu mereka . Mereka akan berpindah dalam masa
seminggu lagi. Perpindahan awal ini untuk menguruskan persekolahan anak-anak dan juga agar
mereka dapat menyesuaikan diri dengan keadaan setempat.

Bab 2 – Tersalah Duga


Keluarga Encik Hasrul berpindah ke Jerantut pada awal pagi. Rumah mereka dibiarkan
kosong tanpa penyewa. Ramai rakan ayah dan ibu Hartini yang datang berkunjung ke rumah
untuk memberikan ucapan selamat jalan. Akhirnya, Encik Hasrul sekeluarga selamat sampai ke
Kampung Kuala Batu kira-kira jam 5.00 petang. Masyarakat di Kampung Kuala Batu menyambut
kedatangan Encik Hasrul sekeluarga dengan meriah. Encik Hasrul melayani penduduk kampung
dengan mesra dan ceria walaupun beliau keletihan. Encik Hasrul dan keluarga berpuas hati
dengan keadaan rumah baharu mereka yang agak selesa. Pada malam itu, anak-anak Encik
Hasrul tidur dalam keletihan. Keesokan harinya, Hartini bangun dengan satu perasaan yang
berbeza. Dia sungguh damai kerana dapat menghirup udara segar pada pagi itu. Dia berasa
seronok mendengar muzik alam yang begitu asli. Hartini tidak menduga keadaan di pedalaman ini
begitu indah. Jalan raya yang bertar dengan baik dan kampung tersebut dilengkapi dengan
kemudahan asas. Keadaan rumah masyarakat Orang Asli juga telah berubah.
Bab 3 – Sekolah Baharu Kawan Baharu
Hartini mula bersekolah di Sekolah Menengah Kuala Batu dan dia dimasukkan ke
Tingkatan Tiga Teratai. Cikgu Malik, guru Tingkatan Tiga Teratai memperkenalkan Hartini kepada
murid-murid dalam Tingkatan Tiga Teratai. Murid- murid Tingkatan Tiga Teratai menyambut baik
kedatangan Hartini. Mereka berkenalan dengan rasa senang hati. Hartini berasa geli hati apabila
mendengar nama rakan-rakan barunya yang pelik. Hartini mendapati tidak banyak perbezaan
antara kelasnya yang dahulu dengan kelas baharunya. Kelas ini bersih dan susunan kerusi
mejanya tersusun rapi. Hiasan kelas juga menarik. Perbezaan yang ketara adalah dari segi
penampilan murid-murid. Baju, kasut dan beg sekolah mereka agak lusuh. Hal ini mungkin
disebabkan kemiskinan. Selain itu, cara belajar mereka juga berlainan. Murid-murid di sini tekun
mendengar pengajaran guru dan sangat menghormati guru-guru. Pada waktu rehat, Hartini
berbual-bual dengan Ineng, Ambok, Satiah dan Sinda. Hartini mengajak rakan-rakannya
mengulang kaji bersama-sama. Rakan-rakan Hartini agak keberatan apabila Hartini
mencadangkan mereka mengulang kaji di rumahnya. Mereka bimbang bapa mereka tidak
memberi kebenaran. Hartini meminta mereka memujuk bapa masing-masing. Satiah menyatakan
bahawa bapanya tidak suka dia bercampur dengan orang lain selepas waktu persekolahan.
Bapanya akan memukul Satiah jika ada rakan-rakannya yang datang ke rumah. Hartini berasa
simpati terhadap Satiah. Masalah Satiah ini mengganggu fikiran Hartini. Dia ingin Satiah belajar
bersama-sama mereka kerana Satiah bijak dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Hartini
menceritakan masalah Satiah kepada ibunya. Ibunya memahami keadaan tersebut dan bercadang
untuk berkunjung ke rumah Satiah tetapi Hartini melarang kerana bimbang Satiah akan dipukul
oleh bapanya.

Bab 4 – Masalah Satiah


Hartini berasa beban yang ditanggung menjadi ringan setelah bercerita kepada ibunya
tentang masalah Satiah. Ibunya memanjangkan berita itu kepada ayah Hartini dan ayahnya
berjanji akan menziarah keluarga Satiah dengan alasan atas urusan kerjanya. Keesokan harinya,
Hartini ke sekolah dan dia tidak sabar memberitahu hal tersebut kepada rakan-rakannya. Hartini
mencari Satiah dan mendapati Satiah tidak hadir ke sekolah pada hari tersebut. Aton, jiran Satiah
menyatakan bahawa Satiah tidak hadir ke sekolah kerana demam. Hartini ingin menziarahi Satiah
tetapi dilarang oleh Ambok. Akhirnya mereka bersetuju menunggu berita daripada ayah Hartini
yang akan menziarahi keluarga Satiah. Pada petang itu, ayah Hartini memaklumkan bahawa dia
tidak dapat berjumpa dengan Pak Morit kerana Pak Morit ke hutan untuk mencari ramuan ubat-
ubatan untuk Satiah. Hartini terkejut dengan tindakan Pak Morit yang hanya memberi daun dan
akar kayu untuk mengubati penyakit Satiah. Ayahnya menjelaskan bahawa masyarakat Orang Asli
masih mengamalkan perubatan tradisional. Setelah dua hari, Satiah masih tidak hadir ke sekolah.
Hartini segera mencari Aton untuk bertanya khabar Satiah. Aton memberitahu bahawa Satiah
sudah beransur pulih. Semasa waktu rehat, Cikgu Malik berjumpa dengan Hartini dan
memaklumkan hasratnya untuk melantik Hartini asebagai ketua Kelab Komputer. Pada mulanya,
Hartini agak keberatan menerima jawatan tersebut tetapi setelah dipujuk oleh Cikgu Malik, Hartini
bersetuju. Ayah Hartini menyambut baik berita pelantikan Hartini dan berharap Hartini dapat
belajar tentang komputer dengan lebih mendalam. Hartini bertanyakan perkembangan Satiah
kepada ayahnya. Ayahnya memberitahu sebab-sebab Pak Morit melarang anaknya bergaul
dengan orang lain. Hal ini kerana peristiwa hitam yang telah menimpa anak perempuannya yang
pernah belajar di Jerantut. Ayah Hartini telah meminta kebenaran daripada Pak Morit supaya
membenarkan anaknya Satiah belajar bersama dengan Hartini dan rakan-rakannya di rumahnya
nanti. Ayah Hartini juga menjamin keselamatan Satiah dan akan bertanggungjawab terhadap
Satiah. Akhirnya Pak Morit bersetuju membenarkan Satiah belajar bersama-sama Hartini dan dia
juga bersetuju menyerahkan Satiah sebagai anak angkat Encik Hasrul.
Bab 5 – Ahli Baharu Keluarga Kami
Pak Morit dan Mak Sukin datang ke rumah Encik Hasrul untuk menghantar Satiah. Ibu
Hartini menjamu keluarga Pak Morit dengan hidangan makan tengah hari yang istimewa. Mulai
hari itu, Hartini dan Satiah menjadi rakan belajar yang akrab. Satiah seorang yang ringan tulang.
Dia sering membantu ibu Hartini di dapur walaupun dihalang. Semua ahli keluarga Hartini
menyayangi Satiah. Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dengan Pak Morit juga semakin erat.
Peperiksaan akan bermula tidak lama lagi. Ayah Hartini menasihati mereka berdua supaya
bersedia menghadapi peperiksaan. Pada suatu hari, sewaktu Hartini dan Satiah mengulangkaji
bersama-sama. Hartini berasa mengantuk dan ingin tidur sebentar. Dia meminta Satiah
mengejutkannya. Hartini tersedar daripada tidur dan dia ternampak Satiah tidur tertiarap di atas
katil. Hartini cuba mengejutkan Satiah tetapi tiada tindak balas dari Satiah. Hartini membalikkan
badan Satiah dan mendapati ada kesan tompokan darah pada bantal. Hartini memberitahu ibu
bapanya. Pak Morit dimaklumkan tentang perkara tersebut. Pak Morit menjelaskan bahawa
mereka sudah biasa dengan penyakit Satiah dan dia telah membawa Satiah berubat dengan
dukun. Menurut dukun, Satiah terlangkah ‘benda kotor’ dan dia perlu dihantar ke satu tempat untuk
membuang ‘benda’ yang ada di dalam tubuhnya. Ayah Hartini mencadangkan agar Hartini dibawa
ke hospital tetapi dilarang oleh Pak Morit dengan alasan dukun yang mengubati Satiah tidak
mengizinkan. Ayah Hartini memujuk Pak Morit agar bersetuju dengan cadangannya apabila
keadaan kesihatan Satiah semakin merosot. Akhirnya Pak Morit bersetuju dan Satiah dibawa ke
hospital.

Bab 6 – Senyuman Satiah Mulai Tawar


Satiah mendapat rawatan awal daripada pihak hospital. Dia dibenarkan pulang pada
malam itu. Pihak hospital telah mengambil contoh darah, air kencing dan kahak Satiah untuk
dihantar ke Makmal Kaji Penyakit. Pada malam itu, Pak Morit dan Mak Sukin bermalam di rumah
Encik Hasrul. Kira-kira jam 3 pagi, Satiah mengaduh perlahan. Hartini terjaga dan membancuhkan
segelas susu untuk Satiah. Keesokan hari, rakan-rakan di sekolah sibuk bertanya tentang Satiah.
Sinda mengajak rakan-rakan menziarahi Satiah yang sedang sakit di rumah Hartini. Pada petang
itu, rakan-rakan sekelas Hartini datang melawat Satiah bersama-sama Cikgu Malik dan Cikgu Anis.
Ibu Hartini dan Mak Sukin menjamu mereka dengan cempedak goreng dan kopi O. Ayah Hartini
berjanji akan mengadakan kenduri besar-besaran sekiranya mereka semua lulus dengan
cemerlang dalam peperiksaan nanti. Janji Encik Hasrul menjadi pembakar semangat dalam dada
murid-murid Tingkatan Tiga Teratai.

Bab 7 – Perpisahan Sementara


Peperiksaan telah selesai. Satiah dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan
sihat. Encik Hasrul dan Pak Morit telah membawa Satiah ke hospital unutk rawatan lanjut namun
doktor belum dapat mengesan punca sebenar penyakit Satiah. Cuti sekolah bermula, Hartini
mengikut neneknya pulang ke Johor. Hartini akan mengikuti kelas komputer di sana. Sebelum
berangkat, Hartini berpesan kepada Satiah agar selalu datang melawat ibunya dan menjaga bilik
mereka. Hartini berasa sedih berpisah dengan Satiah. Satiah menitiskan air mata sebelum
berpisah. Semasa berada di rumah nenek, Hartini selalu terkenangkan ibunya dan Satiah. Nenek
memujuk Hartini dan berjanji akan menghantar Hartini pulang ke Jerantut selepas tamat kelas
komputernya. Nenek meluahkan perasaan sunyinya kerana tinggal seorang diri. Anak bongsu
nenek kini tinggal bersama abangnya di Ipoh. Nenek menghantarnya ke sana kerana dia terlibat
dalam masalah sosial. Keesokan hari, Hartini dan nenek ke Bandar Pontian untuk mendaftarkan
Hartini ke kelas komputer. Nenek menasihati Hartini agar bijak memilih kawan. Dalam perjalanan
pulang, mereka terserempak dengan Mak Leha yang baru pulang dari balai polis kerana anak
lelakinya terlibat dalam penyalahgunaan najis dadah. Nenek menasihati Mak Leha agar bersabar.
Bab 8 – Berita Yang Membimbangkan
Setelah selesai menduduki ujian komputer, Hartini dan nenek berangkat ke Jerantut. Ibu
Hartini riang menyambut kepulangan Hartini dan nenek. Setelah saling bertanya khabar, Hartini
menuju ke biliknya. Dia mendapati biliknya kemas dan rapi. Ibunya memberitahu bahawa Satiah
yang telah mengemaskan bilik tersebut. Ibunya juga menceritakan bahawa Satiah disahkan
menghidap barah paru-paru. Hartini terkejut apabila mendengar berita itu. Hartini terus menuju ke
rumah Satiah. Dia pasti Satiah memerlukannya pada saat itu. Satiah menyambut kedatangan
Hartini dengan senyuman yang tawar dan hambar. Hartini menangis melihat keadaan Satiah. Dia
menangis semahu-mahunya, begitu juga Satiah. Satiah memohon maaf kerana tidak
memberitahu Hartini tentang penyakitnya kerana bimbang akan mengganggu pelajaran dan cuti
Hartini di Johor. Hartini menasihati Satiah agar tidak berputus asa dan Satiah mesti menguatkan
semangatnya untuk melawan penyakit itu. Satiah memberitahu Hartini bahawa bapanya tidak
bersetuju dengan cara perubatan moden malah dia menyesal kerana membenarkan Satiah dibawa
ke hospital dulu. Mak Sukin menyuruh Satiah bersabar dan dia berjanji akan memujuk bapa Satiah
supaya membenarkan Satiah berubat di hospital.

Bab 9 - Kerana Adat dan Pantang Larang


Sejak hari itu, Hartini berasa tidak tenang. Peristiwa Mak Sukin datang mengadu tentang
pendirian suaminya kepada ibu Hartini turut menganggu fikiran Hartini. Hartini berasa tidak
berdaya untuk membantu kerana ayahnya sendiri tidak dapat memujuk Pak Morit. Namun Hartini
bertekad untuk mencuba memujuk Pak Morit. Pada keesokan hari, Hartini menziarahi Satiah. Dia
membawa kuih kegemaran Satiah iaitu bingka jagung. Sewaktu Hartini sampai di rumah Satiah,
Pak Morit berada di rumah. Hartini memberitahu Mak Sukin tentang hasratnya ingin memujuk Pak
Morit. Mak Sukin dan Satiah membantah tindakan Hartini tetapi Hartini tetap ingin
mencuba. Hartini cuba untuk menerangkan keadaan Satiah kepada Pak Morit tetapi Pak Morit
tetap berkeras dengan pendiriannya. Pak Morit tidak mempedulikan rayuan dan tangisan
Hartini. Hartini berasa sedih dan kecewa kerana usahanya memujuk Pak Morit gagal. Hartini
pulang ke rumah dan memeluk ayahnya sambil menangis teresak-esak. Hartini menceritakan
peristiwa yang berlaku dan ibunya menasihatinya agar berhati-hati menangani masalah ini. Ibu
Hartini bimbang jika Pak Morit memutuskan hubungan antara dua keluarga ini. Pada keesokan
hari, Hartini menziarahi Satiah seperti biasa tetapi Satiah tiada di rumah kerana Pak Morit telah
membawa Satiah berubat di Kampung Langsat.

Bab 10 – Keruhnya Air yang Tenang


Hubungan antara keluarga Satiah dan keluarga Hartini semakin renggang. Mak Sukin
berasa kesal dengan sikap suaminya yang semakin dingin terhadap keluarga Encik Hasrul. Encik
Hasrul dan keluarga tidak menghiraukan sikap Pak Morit mereka tetap menziarahi Satiah. Hartini
berasa hari-hari yang dilaluinya sudah tawar dan hambar. Dia hanya merasakan hubungannya
dengan Satiah sahaja yang tetap utuh. Hartini cuba memberi sokongan dan semangat kepada
Satiah. Kini Satiah sudah boleh bangun dan berjalan sendiri. Satiah terpaksa mematuhi pantang
larang dukun yang melarangnya memijak tanah selama beberapa hari. Hartini memberitahu Satiah
bahawa keputusan peperiksaan akan diumumkan pada esok hari. Hartini mengajak Satiah ke
sekolah untuk mengambil keputusan peperiksaan namun Satiah pasti bapanya tidak
membenarkannya pergi ke sekolah.
Bab 11- Berita Gembira Di Sambut Duka
Sewaktu keputusan PMR diumumkan, Hartini, Ineng dan rakan-rakannya ke sekolah untuk
mengambil keputusan masing-masing. Satiah tidak hadir untuk mengambil keputusan PMR kerana
keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Jam 11.00 pagi, Cikgu Malik kembali ke sekolah
bersama keputusan PMR yang diambil dari bandar. Keputusan PMR tidak ditampalkan di papan
notis untuk mengelakkan kesesakan. Setiap murid mengambil keputusan masing-masing di bilik
Cikgu Malik. Satiah mendapat keputusan terbaik iaitu 8A. Hartini menduduki tempat kedua dengan
memperolah 7A 1B. Rakan-rakan yang lain juga memperoleh keputusan yang cemerlang dan
membanggakan pihak sekolah. Pak Morit yang hadir untuk mengambil keputusan Satiah pulang
tergesa-gesa setelah dimaklumkan oleh anaknya Akob tentang Satiah yang kembali diserang
penyakitnya. Apabila Hartini mengetahuinya, dia juga tergesa-gesa ke sana dan meminta rakan-
rakannya memberitahu ibu bapanya di rumah. Kedegilan Pak Morit untuk mengubati Satiah
dengan cara tradisional akhirnya terlerai setelah Encik Hasrul dan Hartini merayu sehabis mungkin
demi masa hadapan Satiah yang cemerlang dalam pelajaran. Keadaan Satiah yang semakin
kritikal dengan darah yang membuak-buak keluar dari mulutnya juga menyedarkan Pak Morit akan
ketidakberkesanan perubatan tradisional itu. Akhirnya Satiah dibawa ke hospital untuk
mendapatkan rawatan.

Bab 12 - Kuntum yang Hampir Layu


Kecanggihan peralatan dan kakitangan yang cukup untuk merawat di samping doa-doa
semua orang yang menyayanginya telah berjaya mengurangkan penderitaan penyakit Satiah.
Keluarga Satiah dan keluarga Hartini bergilir-gilir untuk menjaganya di hospital. Pak Morit juga
telah sedar akan kesilapannya yang membiarkan Satiah menderita lama dan berjanji akan
mengubah pendiriannya. Encik Hasrul dan Pak Morit merancang untuk mengadakan majlis kenduri
kesyukuran setelah Satiah pulih di samping memenuhi janji Encik Hasrul kepada murid-murid
Sekolah Menengah Kuala Batu sebelum peperiksaan PMR dahulu. Satiah telah mendapat tawaran
untuk ke sekolah berasrama di Sekolah Menengah Tanjung Bestari sementara Hartini pula di
Sekolah Menengah Gemilang Wawasan.

Bab 13 - Demi Cita-cita dan Harapan Keluarga


Kenduri kesyukuran yang dirancang berjalan dengan baik. Hampir semua murid lepasan
tingkatan 3 dan guru-guru Sekolah Menengah Kuala Batu hadir. Pengetua juga hadir bersama
isterinya. Penduduk kampung juga turut memeriahkan kenduri tersebut. Hubungan keluarga Encik
Hasrul dan Pak Morit kembali pulih seperti sedia kala dan semakin erat. Sewaktu kenduri, Hartini
dan Satiah memakai pakaian sedondon yang ditempah khas oleh Puan Sarah dan mereka
menjadi usikan Along yang menggelar mereka ‘kembar siam’. Rakan-rakan mereka juga gembira
melihat keakraban Hartini dan Satiah. Keesokan paginya, Hartini telah diserang demam selsema
tetapi keadaannya semakin pulih setelah dibawa ke klinik oleh bapanya. Puan Sarah dan Encik
Hasrul sibuk membuat persiapan untuk Hartini dan Satiah yang akan memasuki asrama. Pak Morit
dan Mak Sukin cuba memberi wang untuk pembelian barang keperluan Satiah ke asrama tetapi
ditolak dengan baik oleh Puan Sarah kerana mereka ikhlas dan menganggap Satiah seperti anak
sendiri. Masa untuk Hartini dan Satiah berpisah akhirnya tiba juga setelah masing-masing
memasuki sekolah berasrama yang berasingan.

Bab 14 - Kesabaran juga Ada Batasnya


Hartini dan Satiah sering berutus surat walaupun tinggal di asrama untuk mengetahui
perkembangan diri masing-masing. Keakraban hubungan antara Hartini dan Satiah telah menarik
perhatian Nora rakan sebilik Hartini. Rakan sebiliknya yang lain, iaitu Junaidah pula tidak
mempercayai kejujuran persahabatan Hartini dan Satiah. Sikap Junaidah yang tidak sopan di
samping perlakuan dan bahasa yang kasar telah menyebabkan Hartini hilang kesabaran dan
timbul pertengkaran yang membawa kepada pergaduhan sehingga menyebabkan Junaidah
cedera. Perkara itu dibawa kepada pengetahuan pengetua dan setelah disiasat, pengetua
meminta mereka berdamai dan memperbaiki kelemahan dan kesilapan masing-masing.
Bab 15- Pecahnya Tembelang
Cuti semester pertama hampir tiba. Hartini menyatakan kegembiraannya kepada Nora
kerana Satiah akan datang menjemputnya bersama bapanya nanti. Dia juga berhasrat untuk
memperkenalkan Satiah kepada Nora. Selepas konflik terjadi antara Hartini dan Junaidah, kelibat
Junaidah jarang-jarang dilihat di dalam bilik mereka kerana dia menumpang di bilik sebelah iaitu
bersama rakan karibnya Salha. Ketika di dalam kelas, Hartini, Nora dan Najmi telah dipanggil
untuk balik ke asrama kerana ada pemeriksaan mengejut di bilik mereka. Apabila digeledah, polis
Cawangan Narkotik telah menjumpai pil ecstacy di dalam kotak kecil di dalam laci Hartini.
Akibatnya Hartini telah ditahan di lokap. Encik Hasrul menyarankan dan meminta jasa
baik pengetua untuk menjalankan pemeriksaan mengejut di kawasan asrama bersama dengan
pihak polis sewaktu proses pembelajaran berjalan. Tindakan itu menemui kegagalan tetapi
keanehan tingkah laku Encik Kancho, pengawal keselamatan asrama telah menimbulkan
kecurigaan. Kelalaian Encik Kancho telah meninggalkan bukti kepada pihak polis dan pihak polis
telah menjejaknya sehingga dia ditahan disebuah restoran di bandar Kuantan ketika menyerahkan
sejumlah pil itu kepada pelanggannya. Kehadiran Satiah, ibu bapanya dan ibu bapa Satiah
melawatnya di lokap menimbulkan suasana sedih tetapi Satiah memujuknya kerana Hartini
memang didapati tidak bersalah. Pengetua yang hadir sama juga meminta maaf kepada Hartini
atas segala yang berlaku.

Bab 16 - Dia Pergi Jua


Sewaktu di rumah, Hartini menghabiskan masa seharian untuk tidur sepuasnya. Satiah
balik ke rumahnya tanpa ditemani oleh Hartini, tetapi Hartini berjanji untuk menyusulnya pada
waktu petang. Encik Hasrul dan Puan Sarah mengatur kenduri kesyukuran untuk Hartini yang
telah terlepas daripada semua mala petaka. Orang kampung sibuk membantu termasuk Pak Morit
dan Mak Sukin. Pada waktu petang, Hartini ingin menunaikan janji terhadap Satiah dan ingin
menemuinya di rumah Satiah tetapi tidak menemuinya. Hartini menunggu sehingga ditegur oleh
Akob dan Amat yang balik dari berkubang dengan rakannya. Jeritan Amat dari perigi telah
mengejutkan Hartini. Satiah terlentang di situ dengan darah yang banyak sekali. Satiah segera
dikejarkan ke hospital oleh Encik Hasrul dan Pak Morit dan ditempatkan di wad ICU. Kematian
Satiah telah menjadi pukulan hebat kepada Hartini sehingga dia pengsan. Pengebumian Satiah
terpaksa dilewatkan atas permintaan Pak Morit yang mahu menunggu sehingga Hartini sedar
daripada pengsannya. Ustaz Amin berusaha memulihkan semangat Hartini. Setelah sedar, Hartini
teringat kembali kata-kata Satiah dan dia reda dengan pemergian sahabatnya itu.

Bab 17 - Tersingkap Misteri


Encik Hasrul telah memohon kepada pengetua untuk melanjutkan cuti Hartini selama
seminggu lagi kerana keadaan kesihatan Hartini yang merosot sejak pemergian Satiah. Keluarga
Hartini cuba untuk menghiburkan hatinya yang kosong. Encik Hasrul dan Puan Sarah mengambil
barang-barang arwah Satiah dari asramanya di Kuantan. Setelah memeriksa barang-barang
tersebut satu persatu, Puan Sarah menyerahkan sebuah buku berkulit tebal kepada Hartini. Hartini
sedar, arwah Satiah sering menghabiskan masanya untuk menulis di buku itu ketika masa lapang
tetapi tidak mengizinkan orang lain melihatnya dan dia menyatakan bahawa Hartini akan
mengetahui juga isi kandungannya suatu hari nanti. Kesempatan ini digunakan oleh Hartini untuk
membaca catatan arwah Satiah yang telah meluahkan segala isi hatinya tentang persahabatan
mereka di dalam buku itu. Setelah selesai membaca buku catatan sebanyak 180 helai, Hartini
dapat merasai bahawa arwah Satiah telah tahu dan yakin akan detik kematiannya. Hartini
bertekad untuk merealisasikan wasiat sahabat dan saudaranya itu.

Bab 18 - Cempaka Putih Untukmu


Percutian tambahan yang dipohon daripada pengetua telah berakhir. Hartini akan kembali
semula ke asrama. Hartini dihantar oleh ibu bapanya bersama Pak Morit dan Mak Sukin. Sebelum
bertolak, Hartini meminta ayahnya supaya singgah di tanah perkuburan. Setelah menghadiahkan
al-Fatihah, Hartini mengajak Pak Morit menanam pokok bunga cempaka putih yang dibawa oleh
Mak Sukin di atas pusara arwah Satiah untuk memenuhi permintaan sahabatnya itu.
~Tema
Novel ini bertemakan keakraban dan keikhlasan persahabatan antara dua orang remaja walaupun
berbeza latar belakang dan keturunan. Hartini dan Satiah bersahabat baik dan persahabatan
mereka kekal hingga ke akhir hayat.

~Persoalan
i. Kasih sayang antara keluarga.
Contoh: Keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah begitu menyayangi keluarga Pak Morit dan Mak
Sukin sehingga mereka sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk kebaikan anak mereka iaitu
Hartini dan anak angkatnya Satiah. Encik Hasrul telah membawa Satiah ke hospital manakala
Puan Sarah mempelawa Mak Sukin tidur di rumahnya.

ii. Ketabahan menghadapi dugaan hidup.


Contoh: Satiah yang menghidap penyakit barah paru-paru tabah menghadapi
penyakitnya dan tetap meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Tanjung Bestari.

iii. Kebijaksanaan mengatasi masalah.


Contoh: Encik Hasrul berjaya membuktikan anaknya tidak bersalah dengan meminta kerjasama
pengetua dan beberapa pegawai polis Cawangan Narkotik supaya mengadakan pemeriksaan
mengejut di seluruh bilik asrama.

iv. Percaya kepada perkara karut.


Contoh : Pak Morit percaya bahawa penyakit Satiah berpunca daripada terlangkah ‘benda kotor’
dan dia perlu dihantar ke suatu tempat untuk membuang ‘benda’ yang ada pada tubuhnya.

v. Sanggup berkorban menghadapi kehidupan baharu


Contoh: Keluarga Encik Hasrul dan Puan Sarah menerima dengan hati yang terbuka untuk
berpindah ke perkampungan orang asli dengan meninggalkan kehidupan yang selesa di bandar.

~Plot
Secara keseluruhannya plot novel Cempaka Putih digarap mengikut kronologi.
i. Permulaan
Cerita bermula dengan sebuah keluarga iaitu Encik Hasrul yang bertugas sebagai pegawai
kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah ditawarkan berkhidmat di sebuah perkampungan orang
Asli. Ahli keluarga terpaksa mengikut Encik Hasrul berpindah ke tempat tersebut sebagai
menghormati beliau sebagai ketua keluarga.

ii. Perkembangan
Keluarga Encik Hasrul mengambil Satiah yang merupakan kawan karib Hartini sebagai anak
angkat. Hubungan antara keluarga Encik Hasrul dan Pak Morit semakin erat. Hartini menjalani
kehidupan seperti biasa namun Satiah terpaksa bertarung dengan penyakit yang dihidapinya.

iii. Klimaks
Penyakit Satiah semakin serius walaupun Pak Morit telah menghantar anaknya berubat dengan
seorang dukun di Kampung Langsat. Satiah pengsan pada hari keputusan PMR diumumkan.
Darah keluar membuak-buak dari mulutnya sehingga Pak Morit akhirnya bersetuju menghantar
Satiah ke hospital untuk mendapat rawatan.

iv. Peleraian
Setelah bertahun-tahun menanggung penderitaan, akhirnya Satiah menemui ajal. Dalam catatan
hariannya, Satiah telah meminta Hartini supaya menanam pohon cempaka putih di pusaranya.
Permintaan tersebut telah ditunaikan oleh Hartini sebelum dia kembali ke asrama.
~Perwatakan (Watak Utama)
A)Hartini
i.Anak ketiga kepada Encik Hasrul dan Puan Sarah.
ii.Merupakan pelajar Tingkatan Tiga Teratai di Sekolah Menengah Kuala Batu.
Melanjutkan pelajaran tingkatan empat di Sekolah Menengah Gemilang Wawasan, Raub.
iii.Mempunyai kakak (Along), abang (Angah) dan adik bernama Amin.
iv.Seorang yang berani.Contoh: Hartini berani memujuk Pak Morit supaya bersetuju agar
Satiah dirawat di hospital.
v.Seorang yang tabah.Contoh: Hartini menerima kehilangan rakan karibnya dengan tabah.
Dia berjanji tidak akan menangis lagi.
vi.Seorang yang penyayang.Contoh: Hartini sangat menyayangi rakannya Satiah.
Buktinya sewaktu Satiah meninggal dunia Hartini pengsan dan tidak sedarkan diri. Agak
sukar bagi Hartini menerima hakikat bahawa rakan karibnya itu telah meninggal dunia.
vii.Seorang pelajar yang bijak.Contoh: Hartini merupakan seorang pelajar yang bijak. Dia
telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan PMR iaitu 7A 1B.

~Perwatakan (Watak Sampingan)


A)Satiah
i.Anak sulung kepada Pak Morit dan Mak Sukin
ii.Mempunyai adik iaitu Akob dan Amat.
iii.Rakan karib Hartini
iv.Menghidap penyakit barah paru-paru.
v.Seorang yang pendiam. Contoh: Tidak banyak bercakap di dalam kelas dan jarang ke
rumah kawan-kawan .
vi.Seorangyang tabah.Contoh:Satiah tabah menanggung kesakitan akibat penyakit barah
paru-paru.
vii.Seorang yang bijak.Contoh: Satiah merupakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan
PMR. Beliau memperoleh keputusan 8A. Dia juga mahir dalam penulisan. Menyambung
pelajaran tingkatan empat di Sekolah Menengah Tanjung Bestari, Kuantan.

B)Encik Hasrul
i.Suami kepada Sarah .
ii.Mempunyai empat orang anak iaitu Along, Angah, Hartini dan Amin.
iii.Merupakan seorang kakitangan kerajaan di Jabatan Pertanian.
iv.Seorang yang bertanggungjawab. Contoh: Sebelum berpindah ke tempat baharu beliau
memastikan segala urusan persekolahan anak-anak dan keperluan tempat tinggal
diselesaikan terlebih dahulu.
v.Seorang yang baik hati. Contoh: Encik Hasrul telah menghantar Satiah ke hospital untuk
mendapatkan rawatan.
vi.Seorang yang menepati janji. Contoh: Encik Hasrul mengotakan janjinya untuk
mengadakan kenduri kesyukuran apabila Hartini dan rakan-rakannya mencapai keputusan
cemerlang dalam PMR.
~Latar
a)Latar Masa
i.Pagi
Contoh: Pada pukul 9.00 pagi, Encik Hasrul sekeluarga bertolak dari Kuala Lumpur menuju ke
Jerantut

ii.Petang
Contoh: Pada suatu petang setelah keluarga Encik Hasrul tiba di rumah baharu, masyarakat
setempat menyambut kedatangan mereka.

iii.Malam
Contoh: Encik Hasrul mempelawa Pak Morit dan Mak Sukin bermalam di rumahnya kerana
keadaan Satiah yang masih lemah. Encik Hasrul bimbang penyakit Satiah berulang kembali.

B) Latar Tempat
i. Di Kuala Lumpur
Contoh: tempat tinggal asal keluarga Encik Hasrul.

ii. Di kampung Kuala Batu.


Contoh: sebuah perkampungan orang asli yang dihuni oleh Pak Morit dan Mak Sukin yang juga
merupakan tempat tinggal baharu Encik Hasrul dan keluarganya.

iii. Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Batu


Contoh: Tempat Hartini , Satiah dan rakan-rakannya bersekolah sehingga tamat PMR.

iv. Sekolah Menengah Gemilang Wawasan.


Contoh: Sekolah Berasrama Hartini setelah beroleh keputusan cemerlang dalam PMR.

v. Pontian
Contoh:Tempat tinggal nenek Hartini dan di situlah Hartini belajar komputer selepas peperiksaan
PMR.

vi. Kampung Langsat


Contoh : Tempat Pak Morit menghantar anaknya Satiah berjumpa dukun.

c)Latar Masyarakat
i. Masyarakat bandar
Contoh: Keluarga Encik Hasrul yang telah lama tinggal di bandar agak keberatan untuk berpindah
ke kawasan pedalaman.

ii. Masyarakat orang Asli


Contoh: Masyarakat orang Asli suka bersedekah dengan memberikan hasil pertanian seperti
keledek, dan pisang kepada keluarga Encik Hasrul.

iii. Masyarakat yang percaya kepada amalan tradisional


Contoh: Dukun dari Kampung Langsat dan Pak Morit mempercayai Satiah jatuh sakit kerana telah
terlangkah ‘benda kotor’.

iv. Masyarakat pelajar


Contoh: Hartini, Satiah, Sinda, Ineng, Ambok, Meranu, Ali Sintok dan rakan-rakan yang lain
menduduki peperiksaan PMR di Sekolah Menengah Kuala Batu.

v. Masyarakat peniaga
Contoh: Pak Dollah seorang peniaga yang menjual ikan.

vi. Masyarakat pendidik


Contoh: Cikgu Hanafi sentiasa memberi pujian ke atas Satiah yang pandai mengarang.
~Teknik Plot
i. Pemerian
Contoh: Murid-murid dalam Tingkatan Tiga Teratai hanya 25 orang sahaja termasuk aku. Ada 15
orang murid perempuan dan 10 orang murid lelaki. Ketua kelas kami ialah Ali Sintok. Dia murid
yang cukup serius dan berdisiplin.

ii. Dialog
Contoh: “Yalah. Dua tiga hari lagi kita berangkat. Nenek tahu Tini rindu akan mama dan kawan-
kawan di sana. Sabarlah, nanti nenek uruskan tiket dulu,” kata nenek

iii. Imbas kembali


Contoh: Ketika membaca catatan demi catatan yang ditulis itu aku terasa seperti berada di sisi
Satiah. Aku seperti sedang bercakap dengannya. Bayangan peristiwa semasa bersama-sama
seperti hadir semula dalam hidupku. Semua peristiwa yang berlaku antara kami ditulis dengan
menarik.

iv. Monolog Dalaman


Contoh: “Apa agaknya yang sedang Satiah lakukan pada saat ini?”

v. Saspens
Contoh: Hartini, Nora dan Najmi dipanggil oleh pengetua berkaitan kes pengedaran pil ecstasy.

vi. Kejutan
Contoh: Hartini terkejut dengan kematian rakan karibnya Satiah, menyebabkan badannya lemah
longlai.

~Gaya Bahasa
i. Diksi(Penggunaan bahasa Arab)
Contoh: Allahyarhamah Satiah

ii. Penggunaan bahasa Inggeris


Contoh: `mood`,‘computer games’ , phobia

iii. Simile
Contoh: seperti kuntum bunga yang hampir layu (m/s 78), teguh seperti tiang batu

iv. Kata ganda


Contoh: tempat-tempat, rumah-rumah, kelam-kabut.

v. Sinkope
Contoh: “Aku berasa tak sabar nak ke sekolah esok”

vi. Peribahasa
Contoh : ringan tulang, berbesar hati, sebusuk-busuk daging dikunyah-kunyah tetap juga boleh
dimakan, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga

vii. Hiperbola
Contoh: Udara sejuk menerjah tubuh

viii. Metafora
Contoh : Seronok sekali rasanya mendengar muzik alam yang begitu asli,entahlah, rasanya kotak
fikiranku belum dapat menjangkau sejauh itu.

ix. Personifikasi
Contoh: Hatiku berbunga rasa bangga
~Nilai
a) Nilai keberanian
Contoh: Hartini berani memujuk Pak Morit supaya bersetuju membenarkan Satiah dirawat di
hospital.

b)Nilai ketabahan
Contoh: Penderitaan yang dialami oleh Satiah sangat menyakitkan. Walaupun dia mengalami
kesakitan yang teruk, dia tetap meneruskan pelajarannya di sekolah berasrama penuh.

c)Nilai bertanggungjawab
Contoh: Encik Hasrul merupakan seorang pegawai kerajaan yang bertanggungjawab, beliau
sanggup menerima tawaran berkhidmat di luar Bandar untuk memajukan masyarakat di sana.

d)Nilai kasih sayang


Contoh: Hartini sangat menyayangi Satiah sehingga dia tidak dapat menerima kenyataan
pemergian rakan karibnya itu pada peringkat awal.

e)Nilai kebijaksanaan
Contoh: Encik Hasrul bijak menangani masalah anaknya yang difitnah mengedar pil ecstasy di
sekolahnya.

f)Nilai kegigihan
Contoh : Satiah, Ineng, Sinda, Ambok, Meramu dan rakan-rakan yang lain gigih belajar sehingga
berjaya dalam peperiksaan PMR.

~Pengajaran
i. Kita hendaklah ikhlas dalam persahabatan
Contoh: Hartini dan Satiah telah menjalin hubungan persahabatan dengan ikhlas walaupun
berbeza kaum. Satiah menjadi teman belajar, menangis dan ketawa Hartini.

ii. Kita hendaklah saling menyayangi.


Contoh: Keluarga Hartini amat menyayangi Satiah walaupun Satiah hanyalah anak angkat mereka
dan berasal daripada anak orang Asli.

iii. Kita hendaklah bijak menyelesaikan masalah


Contoh: Encik Hasrul bijak menyelesaikan masalah anaknya yang telah difitnah mengedar pil
ecstasy

iv. Kita hendaklah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan


Contoh: Hartini, Satiah dan rakan-rakan yang lain bersungguh-sungguh belajar secara
berkumpulan untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan PMR.

v. Kita hendaklah berpegang kepada janji


Contoh: Encik Hasrul telah menunaikan janjinya dengan mengadakan kenduri kesyukuran setelah
Hartini dan rakan-rakannya berjaya dalam PMR

vi. Kita janganlah menganiaya orang lain


Contoh: Junainah telah menganiaya Hartini dengan meletakkan pil ecstasy di dalam almari.
Perbuatannya telah terbongkar dan dia telah menerima balasan.

You might also like