Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

1.

0 Penulisan akademik

1.1 Pengenalan

Penglibatan ibu bapa dan komuniti dalam PAKK merupakan satu konsep complimentary
learning bagi membantu mencapai segala keperluan dan kejayaan kanak-kanak (Zulkifli et. al. ,
2015). Guru, ibu bapa dan komuniti berperanan utama sebagai rakan kongsi aktif dalam proses
membantu dan meningkatkan tahap perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak secara
menyeluruh dan seimbang. Proses ini memerlukan pembinaan repo dan hubungan positif
antara guru dengan keluarga dan komuniti agar kerjasama dapat diberikan semaksimanya. Ia
adalah satu pendekatan terbaik yang mengintegrasikan sekolah dan sokongan bukan sekolah
dalam memastikan semua kanak-kanak mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk berjaya
(Fauziah et. al., 2015).

1.2 Sejarah

Sejarah penglibatan ibu bapa di luar negara dapat dilihat melalui Program Pendidikan Awal
Kanak-Kanak (PAKK) seperti Head-Start di Amerika Syarikat, Sure-Start di Pen Green dan
Model Reggio Emilia yang digunakan di banyak negara. Ketiga-tiga program ini mempunyai
persamaan iaitu ibu bapa dilibatkan secara aktif dengan program sekolah. Ibu bapa digalakkan
untuk melibatkan diri dalam pengajaran dan pembelajaran, perancangan program, pengurusan
sekolah untuk menghasilkan pendidikan berkualiti kepada kanak-kanak (Zainon & Ahmad,
2008). Lawatan ke rumah juga dilakukan pada hujung minggu untuk berbincang mengenai
prestasi perkembangan dan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan pada kanak-
kanak. Di Malaysia, Sarana Sekolah dan Sarana Ibu Bapa di dalam Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 sehingga 2025 menjadi garis panduan kepada pihak
sekolah untuk melibatkan ibu bapa dalam aktiviti yang dianjurkan. Peranan ibu bapa
diperluaskan sebagai rakan sekolah dalam meningkatkan keberhasilan kanak-kanak. Oleh itu,
dapat disimpulkan bahawa penglibatan ibu bapa amat ditekankan sejak dari dahulu lagi untuk
membina repo dan hubungan positif antara guru dengan ibu bapa dan komuniti.

1
1.3 Model

Dalam Model Penglibatan NNPS (National Network Of Partnership School) menggariskan enam
elemen utama seperti keibubapaan, komunikasi, kesukarelawan, pembelajaran di rumah,
membuat keputusan dan berkolaborasi dengan komuniti. Elemen-elemen tersebut amat
bergantung antara satu sama lain. Sebagai contoh, ibu bapa perlu menjadi sukarelawan kepada
pihak sekolah dan berkolaborasi dengan komuniti untuk meningkatkan tahap pendidikan kanak-
kanak. Di rumah pula, ibu bapa berperanan utama untuk membantu kanak-kanak membuat
keputusan, mewujudkan persekitaran pembelajaran di rumah dan mengambil tahu
perkembangan kanak-kanak melalui komunikasi sekolah ke rumah dan rumah ke sekolah. Hal
ini demikian kerana sebahagian besar masa kanak-kanak adalah bersama ibu bapa (Anuar &
Norhaidawati, 2016). Oleh itu, elemen-elemen ini amat penting untuk mewujudkan hubungan
positif antara guru dengan keluarga dan komuniti.

1.4 Faedah

Antara faedah penglibatan guru dengan ibu bapa dan komuniti adalah tahap perkembangan
kanak-kanak dapat dipertingkatkan secara menyeluruh. Menurut Hountenville (2015), ibu bapa
akan memantau pembelajaran kanak-kanak di dalam bilik darjah dan melaksanakan tindakan
susulan yang sesuai dengan tahap perkembangan kanak-kanak serta tidak mengharapkan
100% usaha daripada pihak sekolah sahaja. Faedah lain yang dapat diperolehi adalah guru
dapat merancang dan melaksanakan P&P yang berkesan, menyeronokkan dan bermakna
kepada kanak-kanak. Ibu bapa digalakkan untuk memberi cadangan idea dan membantu guru
menghasilkan bahan bantu mengajar (BBM) yang menarik dan dapat membentuk pengalaman
sebenar kepada kanak-kanak. Menurut Paezah & Faridah (2016), penyediaan BBM yang
sesuai dapat meningkatkan kemampuan belajar sendiri dalam kalangan kanak-kanak. Jadinya,
perkara ini memerlukan hubungan yang positif antara guru dengan ibu bapa dan komuniti agar
kerjasama dan komitmen dapat diberikan sepenuhnya.

1.5 Sekatan penglibatan

Dari aspek sekatan penglibatan pula, komunikasi menjadi masalah utama kerana guru tidak
berkemahiran mengaplikasikan komunikasi berkesan semasa berbincang dengan ibu bapa.

2
Kesannya, ibu bapa tidak dapat memahami hasil perbincangan dengan jelas dan tidak dapat
memberikan kerjasama yang baik terhadap program dan aktiviti sekolah yang dianjurkan
(Halimah et. al., 2017). Oleh itu, guru digalakkan untuk mengikuti bengkel komunikasi berkesan
agar hubungan positif antara guru dengan ibu bapa dapat diperkukuh. Selain komunikasi
kurang berkesan, perbezaan latar belakang, kewangan dan sosiobudaya ibu bapa juga menjadi
penghalang untuk mewujudkan hubungan positif antara guru dengan ibu bapa. Guru digalakkan
mengetahui dan menganalisis latar belakang ibu bapa agar hubungan kemesraan dapat dibina
antara guru dengan ibu bapa (Che Hasniza, 2017). Faktor luaran seperti usia guru yang lebih
muda dan pengalaman guru yang kurang dalam bidang PAKK turut menjadi sekatan kerana ibu
bapa tidak mempercayai kredibiliti guru tersebut.

1.6 Teknik membina perkongsian

Teknik membina perkongsian memerlukan hubungan awal antara guru, ibu bapa dan kanak-
kanak melalui perjumpaan/perbincangan awal bersama ibu bapa. Guru dan ibu bapa perlu
menyatakan hasrat dan harapan serta tindakan yang perlu dilaksanakan agar memenuhi
keperluan dan perkembangan kanak-kanak. Antara perkongsian yang boleh meningkatkan
hubungan antara guru dengan ibu bapa adalah perkongsian pengetahuan, kemahiran, bakat
dan pengalaman. Secara umumnya, guru amat memerlukan kepercayaan daripada ibu bapa
untuk menggalas tanggungjawabnya sebagai pendidik di sekolah. Ibu bapa juga mengharapkan
guru untuk mendidik kanak-kanak dengan pendidikan berkualiti. Tindakan awal yang ibu bapa
boleh laksanakan adalah mengurus pengalaman pemisahan kanak-kanak Oleh itu, kedua-dua
pihak iaitu guru dan ibu bapa perlulah berkerjasama untuk mencapai hasrat yang diinginkan
dan secara tidak langsung, perkara ini memerlukan pembinaan repo dan hubungan positif
antara guru dengan ibu bapa.

1.7 Teknik komunikasi

Menurut Norzila & Mohd Noor (2018), kemahiran komunikasi yang baik adalah kunci kepada
perhubungan yang baik antara guru, ibu bapa dan kanak-kanak. Oleh itu, guru memerlukan
medium komunikasi untuk menyampaikan info semasa dan hal penting yang berlaku di sekolah
kepada ibu bapa seperti kemalangan dan kecederaan. Antara medium yang boleh digunakan
adalah aplikasi Whatsapp, Telegram, Facebook dan surat rasmi. Ibu bapa perlulah cakna dan

3
memberi maklum balas dengan segera terhadap sebarang maklumat yang diterima. Medium ini
juga dapat memberi peluang dan ruang untuk ibu bapa dan guru berkongsi pendapat atau idea
masing-masing bergantung kepada topik yang mahu dibincangkan dan secara tidak langsung
hubungan positif dapat dikekalkan (James Ang, 2015).

1.8 Lawatan ke rumah

Lawatan ke rumah iaitu Home Visit bertujuan untuk mendekatkan lagi hubungan antara guru
dengan ibu bapa dan komuniti. Guru boleh mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai latar
belakang keluarga, tahap sosiobudaya dan persekitaran pembelajaran di rumah apabila
melawat ke rumah kanak-kanak. Walaubagaimanapun, guru perlu mendapatkan kelulusan dan
persetujuan daripada ibu bapa untuk melaksanakan lawatan ke rumah agar segala isu atau
masalah dapat dielakkan. Aspek keselamatan juga perlu dititikberatkan lebih-lebih lagi guru
perempuan dan jarak dan lokasi perumahan sekiranya berada di pedalaman. Menurut
Nurzaimah et. al, (2012), guru perlulah menjaga kata-kata dan menggunakan komunikasi yang
berkesan semasa berbincang dengan ibu bapa agar tidak mengguris hati ibu bapa dengan isu-
isu sensitif. Masa melawat juga perlu dijaga agar ibu bapa selesa untuk menerima kunjungan
guru ke rumah.

1.9 Penutup

Secara kesimpulannya, pembinaan repo dan hubungan positif antara guru dengan ibu bapa dan
komuniti amat penting untuk melancarkan pengurusan PAKK dan meningkatkan tahap
perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Guru perlu mengetahui sejarah dan model
penglibatan ibu bapa untuk dijadikan garis panduan. Guru juga perlu sentiasa melibatkan ibu
bapa dengan program dan aktiviti PAKK agar wujud kemesraan dan “chemistry”.

4
Rujukan

Anuar Ahmad & Norhaidawati Mohd Noor. (2016). Persekitaran Keluarga Dan
KesannyaTerhadap Pendidikan Anak-Anak Jalanan Di Chow Kit, Kuala Lumpur. Jurnal
Pendidikan, 20.

Che Hasniza Che Noh. (2017). Hubungan Keluarga Dari Aspek Komunikasi Dan Gaya
Keibubapaan. Jurnal Bahasa, 4.

Fauziah Hanim Jalal, Fairuz 'Ain Harun, Noraini Ismail & Nazariah Abd Samad. (2015).
Penglibatan Ibu Bapa Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak Di Pusat Anak PERMATA
Negara. Jurnal Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kebangsaan, 3.

Halimah Abdul Majid, Eow Yee Leng & Chuah Beng Ean. (2017). Penglibatan Ibu Bapa Dan
Komuniti Dalam Memperkasakan Sekolah. Jurnal Pendidikan, 5.

Houtenville, A., & Conway, K. (2015). Parental Effort, School Resouces And Student
Achievement. Journal of Human Resources, 437-453.

James Ang Jit Eng . (2015). Pengurusan Bilik Darjah: Strategi-Strategi Mewujudkan Komuniti
Pmebelajaran Berkesan. Selangor: PTS Akademia.

Norzila Zakaria & Mohd Noor Mamat. (2018). 7 Tip Komunikasi Dengan Kanak-Kanak. Kedah:
Universiti Sains Malaysia.

Nurzaimah Asalal, Ezarina Zakaria & Haris Abd Wahab. (2012). Tahap Pengetahuan Guru Dan
Pelajar Terhadap Intervensi Kerja Sosial Sekolah Dalam Menangani Masalah Sosial
Pelajar. Jurnal Pendidikan, 4-7.

Paezah Abd Halim & Faridah Yunus. (2016). Kepentingan Penglibatan Ibu Bapa Dalam Aktiviti
Pembelajaran Kanak-Kanak Di Prasekolah. Jurnal Pendidikan, 9.

Zainon binti Omar & Ahmad bin Esa. (2008). Persepsi Guru Terhadap Hubungan Pihak Sekolah
Dengan Ibu Bapa. Seminar Kebangsaan Pengurusan Pendidikan PKPGB (p. 4). Johor :
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Zulkifli Abd. Hamid, Jamilah Othman, Aminah Ahmad & Ismi Arif ismail. (2015). Hubungan
Antara Penglibatan Ibu Bapa Dan Pencapaian Akademik Pelajar Miskin Di Negeri
Selangor. Jurnal Pendidikan Islam dan Arab, 5.

You might also like