Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 4

PENETAPAN KADAR ZAKAT FITRAH DI MALAYSIA: ISU DAN

CABARAN

Abdul Hadi Awang, Nor ‘Adha Abdul Hamid, Nurkaliza Khalid,


Nazifah Mustaffha, Marliana Abdullah, Muhammad Firdaus Mohamad Sabri .

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS)

abdulhadi@kuis.edu.my, noradha@kuis.edu.my, nurkaliza@kuis.edu.my,


nazifah@kuis.edu.my, marliana@kuis.edu.my, firdaussabri@kuis.edu.my .

ABSTRAK

Kadar zakat fitrah di Malaysia ditentukan oleh Majlis Agama Islam


Negeri (MAIN) masing-masing berdasarkan kepada harga beras yang
dimakan oleh pembayar zakat bagi setiap negeri. Hal ini menyebabkan
berlaku perbezaan dan ketidakselarasan kadar harga zakat fitrah di
seluruh negeri di Malaysia. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk
mengenalpasti dan menganalisis isu-isu dan cabaran yang menyebabkan
ketidakselarasan kadar zakat fitrah di Malaysia. Kajian ini menggunakan
metodologi tinjauan literatur dan analisis data statistik daripada setiap
negeri di Malaysia. Kajian awal mendapati bahawa penetapan kadar zakat
fitrah di negeri-negeri di Malaysia bergantung kepada kaedah penetapan
zakat fitrah dan harga runcit beras yang dijual di tempat masing-masing.
Kajian ini mencadangkan pelarasan kadar zakat fitrah di Malaysia
dilaksanakan melalui pelarasan kaedah penetapan zakat fitrah dan
pelarasan harga beras di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kata kunci: Penetapan zakat fitrah, isu dan cabaran, pelarasan zakat
fitrah.

1.0 PENGENALAN

Zakat fitrah merupakan zakat badaniah yang telah disyariatkan pada tahun kedua Hijrah dan
ianya menjadi suatu kewajipan bagi setiap Muslim untuk melaksanakannya sebelum solat
sunat Aidilfitri sebagai tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t dalam menyelesaikan ibadah
puasa. Zakat fitrah dilaksanakan oleh umat Islam sebagai suatu penyempurnaan rukun Islam
iaitu puasa pada bulan Ramadhan dan dibayar mengikut kadar yang telah ditentukan
(Syarifuddin, 2013).

Zakat fitrah ditentukan mengikut beras yang dimakan oleh rakyat Malaysia. Beras
pula akan ditentukan mengikut jenis beras yang dimakan oleh majoriti rakyat sebagai kayu
pengukur kepada semua orang. Kadar yang dikeluarkan ialah 2.7 kilogram atau 1 sa‘
sepertimana yang telah disebutkan oleh baginda Nabi saw. Kadar ini tidak akan mengalami
perubahan dengan perubahan masa dan keadaan, bahkan ia dijadikan sebagai kayu ukur dalam
penentuan kadar yang perlu dikeluarkan tetapi nilaiannya terhenti pada perkiraan semasa (
Ummi Farahin Yasin et.al 2013).

Berdasarkan hadith Nabi s.a.w., Ahmad Hadi Yasin, 2011 menyatakan pengeluaran
zakat kepada yang hak akan membersihkan dosa-dosa kecil seseorang Muslim dalam
menjalankan ibadah puasa dan kembali pada keadaan fitrah yang suci seumpama ketika
mereka dilahirkan dari rahim ibu mereka sendiri.

2.0 OBJEKTIF KAJIAN

Kertas kerja ini bertujuan untuk mengenalpasti isu-isu penetapan zakat fitrah negeri-negeri di
Malaysia. Isu-isu yang berlaku sekitar penetapan zakat fitrah ini akan menggambarkan
cabaran-cabaran dalan menentukan kadar zakat fitrah di Malaysia.
3.0 METODOLOGI KAJIAN

Kertas kerja ini membincangkan dapatan berdasarkan tinjauan literatur dan analisis daripada
statistik data zakat fitrah bagi tempoh masa lima tahun bermula tahun 2012 sehingga 2016.
Data statistik ini telah diperoleh daripada laman web Majlis Agama Negeri (MAIN) masing-
masing yang bertanggungjawab dalam menentukan kadar zakat fitrah bagi sesebuah negeri.

4.0 ANALISIS KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Malaysia mempunyai 14 negeri yang masing-masing mempunyai MAIN sendiri yang akan
menentukan kadar bagi zakat fitrah pada tahun tersebut. Kadar zakat fitrah secara umumnya
berubah berdasarkan kepada harga beras semasa. Bagaimanapun, terdapat beberapa negeri
yang mengekalkan kadar zakat fitrah yang sama bagi lima tahun berturut-turut sebagaimana
ditunjukkan dalam jadual 1 di bawah.

Jadual 1: Kadar Zakat Fitrah Yang Ditetapkan Bagi Negeri-Negeri di Malaysia Antara 2012-
2016

Negeri 2012 (RM) 2013 (RM) 2014 (RM) 2015 (RM) 2016 (RM)
Wilayah
7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Persekutuan
Selangor 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Perlis 6.00 6.00 6.50 6.50 7.00
Kedah 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Pulau Pinang 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Perak 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Negeri Sembilan 6.50 6.50 6.50 6.50 6.50
Melaka 6.50 6.50 6.70 6.70 6.70
Johor 5.00/8.00 5.00/ 8.00 5.00/8.00 5.00/8.00 6.00/ 8.00
Pahang 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Terengganu 4.50/ 7.00/ 4.50/7.00/ 4.50/ 7.00/ 4.60/ 6.80/
7.00
7.60 7.60 7.60 7.40
Kelantan 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Sabah 7.00 7.00 7.00 7.00 7.00
Sarawak 6.50 6.50 7.00 7.00 7.00

Berdasarkan jadual 1, sembilan daripada negeri-negeri yang dikaji tidak mencatatkan sebarang
perubahan sepanjang tempoh kajian dilakukan. Lima negeri yang mengalami perubahan
adalah negeri Perlis, Melaka, Johor, Terengganu dan Sarawak. Negeri Melaka dan negeri
Sarawak mengenakan kadar zakat fitrah sebanyak RM6.50 masing-masing dari tahun 2012
hingga tahun 2013. Kadar zakat fitrah bagi kedua-dua negeri tersebut kemudiannya
meningkat 20 sen dan 50 sen pada tahun 2014 kepada RM6.70 untuk negeri Melaka dan
RM7.00 untuk negeri Sarawak. Peningkatan sebanyak 50 sen ini turut dialami oleh negeri
Perlis. Bagaimanapun peningkatan tersebut berlaku dua kali iaitu pada tahun 2014 dan pada
tahun 2016. Kadar zakat fitrah sebanyak RM7.00 selepas peningkatan adalah kadar baru bagi
negeri Perlis. Keadaan yang berbeza berlaku di negeri Terengganu dan Johor. Negeri
Terengganu dan Johor mengenakan tiga dan dua kadar zakat fitrah. Namun pada tahun 2016,
negeri Terengganu hanya menggunakan satu kadar sahaja iaitu RM7.00 sementara negeri
Johor menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang mengenakan lebih daripada satu kadar
apabila masih mengekalkan dua kadar zakat fitrah pada tahun 2016.

Analisis lima tahun (2012-2016) menunjukkan penetapan kadar zakat fitrah di


Malaysia semakin seragam dari aspek kadar zakat yang dikenakan. Pada tahun 2016, hanya
tiga negeri yang tidak sama kadar zakat yang dikenakan iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan
Johor berbanding lima tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2012, lima negeri menetapkan
kadar zakat yang tidak sama termasuk Perlis dan Sarawak. Baki 11 negeri di Malaysia
menetapkan kadar zakat yang sama iaitu RM 7.00.
Keadaan ini menunjukkan kadar zakat fitrah dapat diseragamkan di seluruh Malaysia
termasuk Sabah dan Sarawak walaupun kuasa menetapkan kadar zakat fitrah adalah di bawah
MAIN masing-masing.

ISU PENETAPAN KADAR ZAKAT FITRAH

Perbezaan kadar zakat fitrah negeri-negeri di Malaysia disebabkan oleh perbezaan


asas timbangan beras bagi satu gantang dan harga beras yang berbeza-beza di setiap negeri.
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa kali ke-57 menjelaskan bahawa wujud perbezaan
kadarnya di negeri-negeri di Malaysia disebabkan perbezaan penetapan asas timbangan bagi
satu gantang beras dan perbezaan jenis beras yang digunakan.

Perselisihan ulama’ berkaitan berapa kilogram yang dianggap sama nilai dengan satu
gantang Baghdad bukan hanya berlaku di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Mesir
mengatakan satu gantang Baghdad ialah 2.5 kg, Iran pula mengatakan satu gantang Baghdad
ialah 1.75 kg. Dalam konteks Malaysia, pada tahun 2000, Selangor, Terengganu dan Perak
sepakat menggunakan 2.27 kg bagi satu gantang Baghdad, Kelantan menggunakan 2.56 kg
bagi satu gantang Baghdad dan Kedah menggunakan 3.063 kg bagi satu gantang Baghdad.

Bagi penyelarasan timbangan ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)


melalui Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Kali Ke-51
pada 11 Mac 2002 berhubung dengan ‘Penyelarasan Kaedah Penentuan Harga Zakat Fitrah
Seluruh Malaysia’ telah memutuskan satu gantang Baghdad bersamaan dengan 2.7 kg. Pada
10 Jun 2003 muzakarah kali ke-57 Jawatankuasa bersidang sekali lagi bagi membincangkan
‘Cara Penetapan Harga Zakat Fitrah Seluruh Malaysia’ dan memutuskan harga zakat fitrah
bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang
ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Ged A mengikut timbangan satu
gantang Baghdad yang bersamaan 2.6 kg. Manakala harga zakat fitrah bagi negeri-negeri
Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang juga ditetapkan oleh BERNAS,
masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi
negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.7 kg.

Kaedah yang harus digunakan bagi memastikan ketepatan timbangan yang menyamai
satu gantang Baghdad adalah dengan menggunakan timbangan metrik dengan mengambilkira
penggunaan alat sukatan gantang Baghdad kian pupus dan sistem sukatan moden terutama
sistem metrik digunakan secara meluas.

Hasil sukatan dua jenis gantang Baghdad bagi beras Super Tempatan Gred A adalah
bersamaan dengan 2.7 kg. Keputusan ini bertepatan dengan keputusan yang telah dibuat oleh
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama yang bersidang pada 28-29 Januari 1981 iaitu
ukuran nisab jenis-jenis zakat kepada sistem metrik adalah harus.

Secara umumnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah menetapkan


kadar zakat fitrah ialah 2.7 kg beras Super Tempatan Gred A. namun masih wujud perbezaan
kadar zakat bagi tiga negeri di Malaysia. Adakah ketiga-tiga negeri ini tidak menggunakan
timbangan beras yang sama dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan?

Faktor lain yang menyebabkan wujud perbezaan kadar zakat fitrah adalah
pengawalan dan penyelarasan harga beras tempatan di Semenanjung Malaysia oleh
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri , Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta
Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS). Bagaimanapun, pengawalan dan penyelarasan ini
tidak melibatkan negeri Sabah dan negeri Sarawak.

Penyelarasan harga beras adalah sama di semenanjung Malaysia kecuali Sabah dan
Sarawak. Perbezaan yang wujud mungkin berlaku pada harga yang ditawarkan oleh peruncit
kepada pengguna antara satu tempat dengan tempat yang lain. Perbezaan harga ini tidak
terlalu ketara antara peruncit kerana harga beras sentiasa dipantau oleh KPDNKK.

Oleh itu, kertas kerja ini dapat merumuskan bahawa pelarasan penetapan kadar zakat
fitrah di Malaysia dapat dilaksanakan dengan mengambilkira beberapa factor iaitu:
i. Semua negeri-negeri di Malaysia menggunapakai ketetapan yang telah dikeluarkan
oleh JAKIM berkaitan timbangan beras untuk kadar zakat fitrah.

ii. BERNAS menetapkan harga yang sama bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia
dan harga yang setara di Sabah dan Sarawak.

5.0 KESIMPULAN

Penetapan kadar timbangan beras telah ditetapkan oleh JAKIM melalui fatwanya. Sekiranya
semua negeri melalui MAIN menggunapakai ketetapan yang telah dikeluarkan oleh JAKIM,
kadar timbangan beras untuk zakat fitrah akan dapat diselaraskan. Penyelarasan kadar
timbangan beras ini akan menyebabkan penyelarasan kadar zakat fitrah kerana harga beras
telah ditetapkan oleh BERNAS. Penyelarasan ini akan memudahkan MAIN dalam
menentukan kadar zakat fitrah setiap tahun.

RUJUKAN

Ummi Farahin Yasin, Noor Naemah Abdul Rahman & Mohd Faez Mohd Shah. 2013.
Pengambilkiraan Realiti Semasa Dalam Berfatwa: Analisis Terhadap Fatwa Zakat Di
Selangor. Jurnal Fiqh, No. 10(91-118).

Syarifuddin. 2013. Zakat Fitrah (Kajian Hadis Tematik). Jurnal Al-Hikmah, 14, 83–100.

Ahmad Hadi Yasin. 2011. Panduan zakat praktis. In Addys Aldizar (Ed.),. Jakarta: Dompet
Dhuafa.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyelarasan-kaedah-penentuan-harga-zakat-
fitrah-seluruh-malaysia - 21 November 2014.

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penentuan-harga-zakat-fitrah-seluruh-malaysia
- 21 November 2014.

You might also like