Lakon Dan Pencak

You might also like

Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 7

GERAK DAN IMPROVISASI :

DALAM KONTEKS SENI LAKON DAN SENI PENCAK SILAT


(Suatu Rasional)
Oleh Dr. Abang Zainal Abg. Abd. Latiff

Mukaddimah
Tajuk di atas terangkup dalam suatu konsep yang lebih besar, iaitu Penggunaaan Seni
Beladiri dalam Latihan atau Persiapan Seorang Pelakon. Sebelum berbicara dengan
lebih lanjut lagi, ada baiknya kita meninjau dahulu perkembangan konsep ini di negara
Barat, sebagai titik rujukan.Kita tidak dapat lari daripada menggunakan teater barat
sebagai kayu ukur atau aras penanda, kerana konsep teater yang kita praktikkan di sini
banyak mempunyai pengaruh daripada sana. Walau bagaimanapun kita masih boleh
pertahankan tradisi kita sambil meminjam apa yang yang sesuai. Kita perlu juga tapis apa
yang kita pinjam agar tidak hilang apa yang ada pada kita. Justeru, menggunakan pencak
silat dalam latihan pelakon merupakan salah satu daripada usaha menyimpan dan
memunafaatkan khazanah kita. Sayugia disedari sehingga ke hari ini kita masih belum
mempunyai kaedah latihan lakonan bercorak tempatan.

Semenjak tahun 1960an lagi konsep “ seni beladiri untuk latihan seorang pelakon” telah
bertukar menjadi ‘mainstream’ daripada kedudukan asal sebagai suatu aliran alternatif.
Edwin Wilson, dalam bukunya The Theatre Experience, menyebut tentang seni beladiri
sebagai alat untuk melatih para pelakon, dan membincangkan penggunaan tai chi dengan
agak mendalam juga.

David Boushey, dalam majalah The Fight Master, menyatakan seni beladiri telah
diperkenalkan semasa Bengkel Pertarungan Pentas Peringkat Kebangsaan, pada tahun
1999. Para peserta bengkel telah didedahkan kepada beberapa seni beladiri daripada
Timur dan Barat dan mereka mempelajari bagaimana mengadunkan jenis-jenis seni
beladiri tersebut. Dalam Journal of Theatrical Combatives, Dis. 1999. Profesor R.W.
Dillon membincangkan dengan panjang lebar tentang penggunaan seni beladiri dalam
usaha melatih seorang pelakon.

Phylis G. Richmond dan Bill Lengfelder daripada Methodist University telah


mencadangkan agar tenaga-tenaga pengajar dalam seni gerak di fakulti-fakulti drama dan
teater di institusi pengajian tinggi, berkumpul dan berdialog tentang penggunaan seni
beladiri dalam melatih para pelakon, terutamanya dari aspek gerak dan improvisasi.

Faedah Seni Beladiri


Profesor Richard Nichols, dalam makalahnya ‘ A Way for Actors: Asian Martial Arts’
telah mengemukakan beberapa faedah yang boleh didapati daripada latihan-latihan yang
diambil daripada seni beladiri untuk latihan seorang pelakon. Di antara faedah-faedah
yang disenaraikan adalah:

-peningkatan konsentrasi
-pemusatan tenaga dan pengawalan aksi

1
-penghadiran diri pada ketika ini dan di sini
-perkembangan imaginasi
-perkembangan tubuh badan yang anjal, terkawal dan seimbang
-penyatuan minda dan tubuh

Perkembangan-perkembangan yang disebutkan di atas amat memberangsangkan dan


menggembirakan. Penulis berasa gembira kerana penulis sendiri adalah pengamal seni
beladiri dan dalam konteks ini iaitu seni pencak silat. Sebagai profesion, penulis adalah
seorang pensyarah dalam bidang lakonan di Pusat Pengajian Seni di USM, semenjak
1979. Penulis telah mempelajari seni pencak semenjak di bangku sekolah lagi, iaitu
semasa dalam tingkatan empat pada tahun 1964 dan menjadikannya suatu ‘passion’ dan
kajian seumur hidup. Kini penulis sedang mengkaji penggunaan seni pencak silat dalam
teater Randai. Semenjak 1979 lagi penulis telah cuba memperkenalkan ide menggunakan
seni pencak silat dalam latihan seorang pelakon. Sayangnya usaha penulis mendapat
cemuhan dan tentangan. Namun begitu, penulis juga dapat sokongan daripada tokoh-
tokoh teater Barat seperti Profesor Terrence Knapp dan Profesor Roger
Long(Hawaii),ToneBrulin(Belgium), Sergey (Latvia) dan Ronald Rand seorang pelakon
profesional daripada New York. Di Malaysia pula sokongan telah diberi oleh tokoh-tokoh
tempatan seperti Krishen Jit, Azizi H.M. dan para pelajar yang inovatif dan berfikiran
terbuka seperti Aida Redza, Siti Fauziah, Jalil Hamid, Shukur Mohd Noor, Marsli
S.O.dan Ramli Salikon.

Jadi apabila pihak Kementerian (JKKN) mempelawa saya untuk berceramah, atau
mengendalikan sebuah bengkel mengenai Gerak dan Improvisasi, saya tidak lepaskan
peluang ini. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan kepada
penggiat-penggiat teater terutamanya para pelakon yang ingin berkembang maju, dengan
satu lagi cara latihan, secara fizikal dan tahan lasak, ia-itu melalui seni pencak silat.
Secara tidak langsung kita di Malaysia ini tidak akan ketinggalan dalam arus
perkembangan latihan pelakon yang dipupuk dan diamali oleh pakar-pakar jurulatih
seperti Phillip Zarrili, Nichols, Richmond, Lengfelder, Scott, Harrison-Pepper, Turner,
Andrew Tsubaki, Julia Rupkalvis, Payson Burt, David Doersch and Robert Dillon.

Justeru itu konsep atau pemikiran tentang penggunaan seni beladiri dalam program
latihan seorang pelakon, baik di studio-studio latihan maupun di universiti-universiti,
telah diterima-pakai dan kursus-kursus tersebut telah menjadi kegemaran pelajar-pelajar
teater. Sebagai contoh, di University of Wisconsin terdapat suatu program dalam Asian
Theatre , dimana kursus kursus seni beladiri tai-chi dan kalarippayattu ditawarkan
semenjak 1964. Profesor A.C. Scott telah menawarkan kursus Tai Chi I dan TaiChi II
untuk Pelakon. Profesor Phillip Zarrili pula menggunakan Kalaripayattu untuk latihan
seornag pelakon. Di universiti-universiti lain pelbagai kursus yang berasaskan latihan
fizikal dan lasak ditawarkan, seperti: –“ juggling, mime, stage-combat, meditation,
improvisational movement, dance(classical, modern and jazz), bodywork(Feldenkrais,
Alexander technique, Rolfing), yoga, aerobics, strength training, period styles and martial
arts (tai-chi, aikido, kendo, karatedo, judo, kalarippayattu)”. Nampaknya yang tidak
termasuk dalam senarai di atas ialah seni pencak silat. Kenapa ini boleh berlaku?

2
Mungkin jawapannya ialah kita sendiri di Tanah Melayu tidak menggunakan dan
mengamalkan pergerakan pencak silat dalam latihan seorang pelakon. Jadi bagaimana
ianya boleh dikenali orang di luar sana dan berkembang? Atau bagaimana orang luar
mahu percaya akan keberkesanan seni pencak silat sebagai kaedah latihan, jika orang
Melayu sendiri tidak mengamalkannya? Mengapa kita masih bersikap apolegetik dan
mempunyai kompleks ’inferior’? Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita bertindak dan
mengorak langkah pencak silat kita.

Seni Pencak Silat


Persoalannya sekarang soalannya bukan “Bolehkah silat digunakan untuk melatih
seorang pelakon?” tetapi Bagaimana mengendalikannya. Sebelum kita pergi dengan lebih
jauh lagi, ada baiknya kita bermula dengan mengenali seni beladiri itu sendiri dalam
konteks budaya kita. Yang ingin disarankan di sini ialah silat. Silat pada asalnya berasal
daripada perkataan Seni Pencak Silat. Seni boleh membawa makna cantik atau indah.
Ada juga yang mengatakan seni membawa makna ilmu. Pencak pula bermakna
pergerakan tubuh badan yang terlatih. Apabila pergerakan ini digunakan untuk membela
diri atau di dalam situasi pergaduhan, dipanggil silat. Untuk tujuan kita saya telah
mengambil perkataan pencak untuk menandakan yang kita mengambil aspek pergerakan
tubuh badan yang terlatih. Pendek kata perkataan ini sesuai dengan maksud kita untuk
digunakan dalam suatu program latihan seorang pelakon. Kita bukan nak bergaduh, tetapi
dalam keadaan yang terdesak ianya berguna. Justeru apabila kita menggunakan pencak,
secara tidak langsung, kita mempelajari ilmunya, serta keindahan atau seninya
pergerakan Melayu. Di dalam alam persilatan, terdapat tidak kurang daripada 500 jenis
pencak silat. Di antara yang terkenal ialah Gayung, Terlak, Lincah, Cekak, Lintau,
Sekebun, Siku dan Cimande, sekadar menyebut beberapa perguruan sahaja. Latihan-
latihan dan aktiviti pengolahan tubuh boleh diambil daripada sebarang perguruan, untuk
dimasukkan ke dalam silibus latihan seorang pelakon. Apa yang penting di sini ialah
orang yang ingin memperkenalkan sistem latihan itu harus berkecimpung di dalam
kedua-dua bidang tersebut- seni pencak silat dan seni lakon atau seni teater.

Cara Memperkenalkan Seni Beladiri kepada Teater


Mengikut Profesor Phillip Zarrilli, di dalam bukunya Asian Martial Arts in Actor
Training, terdapat empat cara memperkenalkan seni beladiri Asia ke dalam program
latihan seorang pelakon:

1. Para pelajar melalui latihan jangkamasa panjang di dalam salah satu atau lebih jenis
seni beladiri

2. Latihan-latihan terpilih daripada seni beladiri yang disepadukan dalam suatu program
latihan seni gerak

3. Seorang guru yang terlatih dalam seni beladiri menggunakan pengalamannya sebagai
inspirasi atau titik-tolak dalam pengajarannya, membiarkan pengalamannya
mempengaruhi daya usahanya untuk mendekati masalah lakonan atau seni pergerakan

3
4. Pelajar dinasihatkan mencari seorang guru seni beladiri luar daripada kurikulum
pengajian teater, sebagai usaha persendirian

Kalau kita teliti keempat-empat cara yang disarankan di atas,cara pertama tidak
menyepadukan latihan beladiri dengan latihan-latihan dijalankan oleh pelakon. Ianya
menjadi tempelan kepada program latihan pelakon. Cara kedua pula kelihatan tidak
terancang dan tidak mengambilkira seorang pakar dalam seni beladiri. Cara keempat
seperti cara pertama tidak menyepadukan latihan, dan menjadikan latihan dalam seni
beladiri terpisah daripada latihan pelakon. Nampaknya cara ketiga lebih sesuai buat
ketika ini, kerana ianya menyepadukan latihan di dalam kedua-dua bidang, dan orang
yang mengendalikan adalah pakar dan tahu tentang kedua-dua bidang.
Sekarang izinkan penulis bercakap tentang penggunaan pencak dalam latihan atau
persiapan seorang pelakon.

Perjalanan Penulis – OPTIONAL ( Jika Perlu Sahaja)


Sebagai mukaddimah elok kiranya penulis menceritakan dengan ringkas latarbelakang
penulis, agar pembaca termaklum nanti tentang kedudukan penulis. Penulis telah
mempelajari Seni Pencak Kuntau Harimau Jawa pada 1964 di Melaka dengan seorang
bekas tentera Sgt. Abdul Rahman. Beliau telah pelajari pencak ini daripada Wak Karto
di Pontian, Johor. Penulis telah menamatkan pelajaran selepas tujuh bulan, dimana
latihan diadakan tiap-tiap malam selama empat jam. Mengikut guru penulis, pencak ini
sealiran dengan silat Cimande, yang terdapat di Indonesia. Penulis telah berlatih dan
mengamalkan latihan-latihan pencak itu sehingga ke hari ini. Selepas itu penulis
menuntut suatu lagi pencak dari seorang guru tua selama setahun. Kali ini Kuntau
Melayu pula. Pada tahun 1975 penulis telah berguru dengan Pak Ku Ahmad di Alor Star.
Seni pencaknya bernama Silat Tok Ku. Silat ini juga telah dipelajari oleh seniman-
seniman seperti Zulkifli Zain, Emman Manan, Zambri, Lokman Ghani dan telah diajari
kepada penari-penari Kompleks Budaya. Pada tahun 1977 di Universiti of Hawaii saya
telah pelajari Tai-chi daripada Victor Kim seorang Korea yang telah lama bermastautin
di Hawaii. Pada tahun 1980an penulis telah mempelajari seni pencak Gayung Fatani di
Pulau Pinang. Pada tahun 1990an penulis telah pelajari pencak Minangkabau, iaitu
Silat Pauh daripada dua orang guru di Padang, Sumatra. Seterusnya penulis juga telah
mengikuti bengkel Qi Qong daripada Dr. Amir Farid dan seorang Laotse (guru) dari
negeri China.

Dalam bidang lakonan pula, penulis telah banyak belajar daripada Profesor Roger Long
dan Tone Brulin semasa di USM pada awal 1970an. Di akhir 1970an, semasa di Hawaii
penulis telah berguru dengan Prof. James Brandon, Prof. Terrence Knapp, Prof. Glenn
Cannon, Prof. Dennis Carrol, Renee Wing, Don Doyle dan Kermit Love. Penulis telah
juga mempelajari lakonan Kabuki selama satu tahun daripada Matagoro San, Pengarah
Teater Nasional Jepun. Pada tahun 2000, penulis telah mengikuti Bengkel Lakonan
Teknik Suzuki di Brisbane, Australia, yang telah dikendalikan oleh Frank Theatre di
bawah bimbingan John Nobbs dan Jacqui Carrol.

4
Di dalam pengajaran teater di USM, ASK, UNIMAS, UMS, UPSI dan UM, penulis telah
menggembelingkan segala pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa perguruan
pencak, dan mengadunkannya dengan kehendak-kehendak latihan daripada Barat
seperti Stanislavsky, Meyerhold, Bertolt Brecht, Jerzy Grotowsky, Richard Schechner dan
Augustus Boal. Kini penulis masih dalam proses mencari kaedah yang sesuai dan
senantiasa merobah dan menokok-tambah mana yang kurang dalam usaha memberi
yang terbaik kepada pelajar-pelajar teater yang dibimbingnya.

Faedah Seni Pencak Silat


Sekarang mari kita lihat apakah ketrampilan atau unsur yang diperlukan yang boleh
diberi oleh seni pencak bagi menyediakan seorang pelakon. Secara sumbangsaran, apa
yang kita boleh perolehi daripada silat ialah:

Teknik Pernafasan Kenal tubuh


Latihan Keheningan Letak badan
Aktiviti Imaginasi Imbangan badan
Latihan Konsentrasi Kawalan tenaga
Koordinasi tubuh Ketangkasan
Pemusatan Kelincahan
Pengamatan Keanjalan
Penelitian Serbaboleh
Keyakinan diri Kejituan
Intuisi/Antisipasi Stamina

Secara rumusan boleh kita katakan seni pencak silat dapat menyediakan pelakon supaya
Sedar Diri, Sedar Gerak, Sedar Teman, Sedar Ruang dan Sedar Tempo. Segala kesedaran
yang penulis sebutkan itu adalah perlu bagi seorang pelakon. Hampir kesemua buku-buku
tentang lakonan menulis tentang latihan-latihan yang perlu untuk menuju kepada
ketrampilan-ketrampilan yang boleh didapati daripada latihan pencak. Aspek ini lebih
dikenali sebagai “the physicalisation of an actor”. Apa yang penting di sini ialah
bagaimana si pembimbing tadi menggunakan latihan-latihan secara bersepadu agar
latihan-latihan dan improvisasi diubahsuai dan dipadankan agar matlamat dan tujuan
tercapai.

Contoh Bengkel/Kelas Pergerakan


Sebagai contoh, penulis ingin mengongsi pengalaman tentang apa yang disampaikan
dalam sesebuah bengkel atau kelas lakonan yang menggunakan pendekatan ‘pencak’.
Pada permulaannya diperkenalkan kepada konsep-konsep asas dalam pergerakan. Dengan
menggunakan beberapa pergerakan terpilih daripada seni pencak silat, para pelakon akan
meneroka dan mengalami:

a) konsep-konsep asas ruang, tempo dan tenaga


b) parameter pergerakan manusia (tubuh badan)
c) hubungan minda dan tubuh
d) hubungan individu dan kumpulan

5
Para pelakon akan diberi peluang meneroka pertalian tubuh-minda melalui pergerakan
fizikal, pernafasan melalui pergerakan, fokus/konsentrasi, kitaran tenaga melalui tubuh
dan hubungannya dengan ruang lakon.

Dalam kelas pelakon akan mempelajari:

a) kuda-kuda dan bunga tangan


b) beberapa jurus, mengikut kemampuan dan juga masa
c) langkah sembah dan tari
d) pertarungan pentas (stage combat)

Selepas menjalani aktiviti-aktiviti yang telah disediakan, para peserta akan dapat
menyedari tentang kesepaduan tubuh dan minda. Pelakon akan dapat bergerak dengan
penuh yakin dan meningkatkan kesedaran tentang konsentrasi dan koordinasi tubuh,
melali improvisasi yang dirancang dengan rapi.

Kaedah menggunakan pencak untuk latihan seorang pelakon ini, bukan sahaja sesuai
untuk melatih seorang pelakon untuk beraksi dalam drama Purbawara ataupun
Bangsawan. Sebenarnya latihan ini adalah untuk persiapan asas seorang pelakon untuk
lakonan pentas dan filem. Maksud penulis, kaedah ini bukan sahaja khas untuk pelakon-
pelakon Bangsawan atau cerita-cerita tradisional seperti Megat Terawis atau Si Bongkok
Tanjung Puteri sahaja. Ianya boleh digunakan untuk melatih pelakon yang berlakon
secara tradisi,realisme, moden dan kontemporari. Lebih perlu lagi apabila mereka terlibat
dalam lakonan teater eksperimental, taridra ataupun ‘devise theatre’. Kebelakangan ini,
trend teater di Barat adalah Teater Fizikal, yang banyak menitikberatkan tubuh badan
pelakon darpada aspek-aspek lain. Teater jenis inipun mampu ditangani oleh pelakon
yang terlatih melalui ‘pencak silat’. Kita bukan melatih pelakon untuk ‘bersilat’ tetapi
melatih tubuh badannya suapaya hidup, bertenaga, berkeyakinan, peka sehingga “seluruh
tubuh menjadi mata” ; mempertingkatkan “komunikasi tubuh-minda” dan merealisasikan
“tenaga binatang” dalam Teknik Suzuki yang dipelopori oleh Tadashi Suzuki.

Penulis yakin, jika kaedah ini dapat diperkembangkan, para pelakon kita akan lebih
mantap, dan lakonan mereka akan lebih meyakinkan. Jatidiri mereka sebagai pelakon
Melayu akan dapat diperkasa dan dibanggakan, dan para pelakon dapat menyesuaikan
diri dalam apa sahaja genre teater yang dikecimpungi atatu terlibat, InsyaAllah.

“Dalam Gerak ada Tari,


Dalam Tari ada Bunga,
Dalam Bunga ada Buah,
Dalam Buah ada Pukul,
Dalam Pukul ada Isi”

6
Bibliografi

Benedetti, Robert. The Actor at Work. 7th.ed. Boston:Allyn and Bacon, 1997.

Boushey, David, “1999 Advanced Workshop.” The Fight Master, Spring/Summer. Las
Vegas: Society of American Fight Directors, 1999.

Dillon, Robert W. “Accounts of Martial Arts inActor Training: An Enthusiast’s Critique”.


Journal of Theatrical Combatives, Dec. 1999.

-------. “Beyond Acting Fights: Stage Combat ans a Martial Art.” The Fight Master
Spring. Rockford, IL: Society of American Fight Directors, 1994.

Draeger, Donn. Javanese Silat: The Fighting Art of Perisai Diri. New York: Kodansha
International Ltd., 1978.

Hamzah Ahmad . Silat Terlak Nata. Dewan Bahasa dan Pustaka, 1967.

McGaw, Charles and Clark, Larry. Acting is Believing: A Basic Method, 7th. Edition. New
York: Harcourt Brace, 1996.

Nichols, Richard. “A Way for Actors: Asian Martial Arts.” Theatre Topics 1:1, 43 –59.
Baltimore: John Hopkins, 1991.

Sabatine, Jean. The Actor’s Image: Movement Training for Stage and Screen. New Jersey:
Prentice-Hall, 1983.

Zarilli, Phillip B. ed. Acting (Re) Considered: Theories and Practices. London:
Routledge, 1994.

You might also like