Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

Tugasan 1

Perkembangan kesusasteraan Melayu bermula dengan tradisi lisan diikuti hasil karya tulisan
dan kemudian dalam bentuk cetakan. Penghasilan sesebuah karya juga memalui kritikan
tertentu untuk menambahkan kualiti karya tersebut. Terdapat pelbagai teori digunakan dalam
kajian teks sastera di Malaysia.

Secara individu, anda dikehendaki menghuraikan perkembangan sejarah kesusasteraan di


Malaysia dan menjelaskan tentang kesesuaian teori dalam kajian teks sastera.

Panjang tugasan anda ialah 1000 patah perkataan.

1
1.0 Pengenalan
Kesusasteraan berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘sastra’; sas- bermaksud
mengarahkan dan mengajar atau memberikan petunjuk, -tra yang merujuk kepada alat
(Ali Ahmad, 1994). Sastra bermaksud alat untuk mengajar. Sebuah karya hanya boleh
dipanggil karya sastera apabila karya tersebut mempunyai nilai dan bahasa yang baik.
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) mendefinisikan sastera sebagai bahasa yang
digunakan dalam kitab-kitab atau bukan bahasa basahan.

Bagi perkataan kesusasteraan, setiap suku katanya memiliki maksudnya tertentu.


Awalan su- bermaksud baik atau indah, imbuhan ke- dan -an bermaksud segala yang
tertulis bernilai seni atau berestetika. Ia juga bererti memberikan panduan, petunjuk dan
pengajaran. Menurut Sabaruddin Ahmad (1963), kesusasteraan merupakan manifestasi
daripada gerak jiwa manusia yang wujud dalam penyataan bahasa. Hal ini boleh
dikatakan bahawa kesusasteraan merupakan hasil daripada perasaan manusia yang
diluahkan dan diujarkan dalam bentuk lisan atau penulisan. Kesusasteraan Melayu boleh
dibahagikan kepada dua iaitu kesusasteraan Melayu Klasik dan kesusasteraan Melayu
moden.

2.0 Sejarah Kesusasteraan Di Malaysia


2.1 Kesusasteraan Melayu Klasik

Kesusasteraan ini merupakan sastera yang tertua dan disampaikan secara


lisan serta diturunkan dari satu generasi ke generasi lain. Namun, cerita yang
disampaikan boleh juga mengandungi unsur tokok tambah. Sastera ini wujud sejak
belum adanya alat mencetak iaitu sekitar sebelum tahun 1800. Karya-karya
disampaikan secara lisan sahaja namun tetap mempunyai nilai dan ukurannya
yang tersendiri. Setiap karya yang dihasilkan adalah karya bersama dan tidak ada
hak cipta yang tertentu kerana karya-karya tersebut diceritakan secara lisan
kepada seluruh masyarakat. Oleh itu, kesusasteraan lisan merupakan satu
bahagian daripada kesusasteraan Melayu klasik. Menurut Hashim Awang (1985),
sastera lisan ialah kesusasteraan yang disampaikan melalui pertuturan dari satu
generasi ke satu generasi yang lain. Hal ini bermaksud, sastera lisan ini tidak
sampai kepada orang lain melalui penulisan melainkan melalui cerita dari seorang
kepada seorang yang lain. Contohnya, cerita Lebai Malang yang diceritakan dari
generasi ke generasi melalui penyampaian cerita secara lisan. Sastera lisan juga
dikenali sebagai sastera rakyat. Sastera klasik boleh dibahagikan kepada dua iaitu
puisi dan prosa.
2
Puisi tradisional merupakan karangan yang berangkap. Kata-kata disusun
mengikut hukum-hukum yang tertentu dengan menggunakan irama, bunyi dan
kiasan. Masyarakat zaman dahulu menggunakan puisi untuk menyampaikan
perasaan dan fikiran mereka kerana beranggapan bahawa puisi ini medium yang
sesuai dan tidak mengguris perasaan. Antara bentuk- bentuk puisi tradisional yang
terkenal pada ketika itu ialah pantun, gurindam, syair, seloka dan sebagainya.
Puisi mempunyai empat ciri yang utama, iaitu tema (maksud), perasaan (emosi),
nada dan tujuan. Tiap-tiap ciri tersebut mempunyai perkaitan yang erat dan saling
memerlukan yang lain untuk membentuk sebuah puisi. Contohnya, puisi
tradisional seperti pantun. Pantun mempunyai rangkap yang tetap sama ada dua,
empat, enam, atau lapan. Selain itu, pantun mengandungi lapan sehingga dua
belas suku kata dalam satu baris. Rima akhir baris pantun ialah ‘abab’.

Prosa pula ialah sebarang bentuk tulisan atau karangan atau pengucapan
yang tidak mempunyai corak atau irama yang tertentu (Bahasa Melayu I, 2010).
Karya-karya yang boleh tergolong dalam prosa tradisional atau klasik ialah cerita
rakyat misalnya cerita jenaka. Cerita rakyat disampaikan atas tujuan menghibur
dan tidak dianggap benar-benar terjadi. Cerita jenaka adalah berlatarkan rakyat
biasa. Watak-watak utamanya ialah manusia biasa dan bukannya golongan
bangsawan atau raja-raja dalam suasana masyarakat Melayu lama. Contohnya,
cerita Pak Pandir, Pak Kadok, Lebai Malang, Pak Belalang dan Mat Jenin. Cerita
jenaka berfungsi untuk menghibur, mengkritik masyarakat, memberi pengajaran
dan menggambarkan sistem sosial masyarakat.

Apabila berlaku perkembangan tulisan dan pertembungan dengan peradaban


luar, cerita-cerita lisan mula dituliskan. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai corak
kesusasteraan seperti bercorak sejarah, keagamaan, undang-undang dan
kenegaraan dan sastera epik. Kedatangan Barat membuka peluang dengan
memperkenalkan alat cetak yang membantu perkembangan karya sastera. Karya
yang dihasilkan mula dicetak seperti karya Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran
Abdullah. Bermula pada zaman ini, perkembangan sastera semakin meluas dan
menggalakkan kelahiran penulis-penulis. Pada waktu ini juga sudah lahir penulis
yang terkenal seperti Abdullah Munsyi.

3
2.2 Kesusasteraan Melayu Moden

Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2010), hasil karya yang ada selepas tahun
1800 digolongkan dalam sastera moden. Kewujudan karya Abdullan Munsyi
menandai permulaan kepada sastera moden. Hal ini kerana ahli sastera
berpendapat bahawa beliau merupakan pengarang Melayu yang pertama keluar
daripada kebiasaan lama dan bentuk penulisan sastera lama. Beliau mengalihkan
pandangan daripada menceritakan cerita-cerita ghaib dan berunsur khayalan
kepada kisah nyata (Siti Hajar Abdul Aziz (2010). Seperti sastera klasik, sastera
moden juga dibahagi kepada dua iaitu puisi dan prosa.

Puisi moden hanya ada satu sahaja iaitu sajak. Sajak muncul pada zaman
angkatan 45 (Siti Hajar Abdul Aziz (2010). Sajak dikatakan puisi baru kerana
memiliki sifat-sifat yang tidak terikat kepada bentuk puisi lama. Hal ini kerana,
pernyataan penyair dapat disalurkan dengan bebas melalui sajak kerana tidak
terikat kepada hukum tertentu berbanding dengan melalui bentuk-bentuk puisi
lama. Sajak tidak dikongkong oleh bilangan suku kata atau bilangan baris dalam
satu rangkap sajak.

Prosa moden pula terdiri daripada cerpen dan novel. Antara penulis cerpen
yang terawal ialah Harun Muhamad Amin, Mahmud Ahmar dan Yusof Arshad.
Sebelum perang dunia, cerpen digunakan untuk mengajar. Pada masa kini, cerpen
digunakan untuk pelbagai sebab dan mempunyai tema yang pelbagai seperti
semangat kemerdekaan, percintaan,ketidakadilan masyarakat, sindiran dan juga
falsafah. Menurut Siti Hajar Abdul Aziz (2010), cerpen hanya membawa satu tema
sahaja disertai dengan satu atau dua persoalan.

Novel pula berasal dari istilah Itali iaitu ‘novella’ yang bermaksud sesuatu yang
baru (Siti Hajar Abdul Aziz (2010). Novel merupakan satu penulisan yang sangat
terperinci yang benar-benar berlaku ataupun rekaan semata-mata. Novel
menceritakan kisah yang berlaku dalam hidup manusia dan biasanya peristiwa
dan watak disusun secara kreatif dan saling berkait. Novel saduran yang pertama
ditulis oleh Syed Sheikh al Hadi iaitu Hikayat Asyik kepada Masyuknya atau
Hikayat Faridah Hanum. Cerita ini bertemakan emansipasi wanita dan cinta
sebelum kahwin. Antara penulis novel yang terkenal ialah seperti
Arenawati,Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain dan A. Samad Said.

4
3.0 Kesesuaian Teori dalam Teks Sastera

Menurut Hashim Awang (1988), teori kesusasteraan sebagai pengkajian tentang


prinsip-prinsip kesusasteraan, kategori-kategori, kriteria dan sebagainya. Ia merupakan satu
sistem yang membincangkan hukum-hukum umum suatu objek ilmu pengetahuan daripada
sudut pandangan tertentu. Teori sastera merupakan satu prinsip yang digunakan untuk
menilai sesuatu karya penulisan dari aspek gaya, struktur, plot, persoalan, watak, nilai dan
lain-lain. Teori sastera merangkumi dua bahagian utama iaitu ‘teori kesusasteraan‘ dan ‘teori
sejarah kesusasteraan’. Terdapat empat teori asas yang digunakan dalam bahasa Melayu
iaitu Teori Semiotik, Teori Psikologi, Teori Takmilah dan Teori Pengkaedahan Melayu.
Daripada keempat-empat teori ini, saya memilih teori Pengkaedahan Melayu untuk menilai
sesebuah teks sastera yang telah saya petik daripada buku Puisi Melayu.

Teori Pengkaedahan Melayu dicetuskan oleh Hashim Awang. Teori ini merangkumi cara
dan sikap hidup, kepercayaan dan kebudayaan setempat masyarakat Melayu. Selain itu, teori
ini menjadikan alam sebagai sebahagian daripada kehidupan dan berkait rapat dengan
manusia. Teori ini dapat diterima ramai kerana sesuai dalam menganalisis karya sastera
Melayu yang dihasilkan oleh para penulis tempatan. Teori Pengkaedahan boleh dikategorikan
kepada dua iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan.

Teori Pengkaedahan Alamiah terbahagi kepada tiga pendekatan, iaitu Pendekatan


Gunaan, Pendekatan Moral dan Pendekatan Firasat. Selain itu, teori ini juga berteraskan
kepada cara atau kehidupan masyarakat Melayu itu sendiri dan menjadikan alam-alam
sebagai bahagian dalam kehidupan. Pengkaedahan Alamiah juga menjadikan alam sebagai
faktor utama memberikan masyarakat pekerjaan, pengalaman dan kebajikan. Contohnya,
seperti puisi yang telah saya petik daripada buku (Puisi Melayu, 1983) yang bertajuk
‘Nyanyian Pantai Timur’ (Rajah 1).

Adalah suara tangisanku,

Seorang nelayan kecil,

Memperjuangkan hidup,

Bersama doa di bibir gersang,

Rajah 1

5
Berdasarkan Rajah 1, kita dapat melihat bahawa Teori Pengkaedahan Alamiah telah
diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat. Hal ini kerana masyarakat Melayu
menjalankan aktiviti sebagai nelayan untuk meneruskan kehidupan. Mereka menjadikan
alam sebagai sumber untuk mencari rezeki. Contohnya, seperti yang terdapat dalam
rangkap berikut ‘seorang nelayan kecil memperjuangkan hidupnya’ .

Teori Pengkaedahan Keagamaan pula terbahagi kepada tiga pendekatan, iaitu


Pendekatan Dakwah, Pendekatan Kemasyarakatan dan Pendekatan Seni. Teori ini
mengutamakan pendekatan yang berdasarkan keimanan yang bersendikan akidah
agama Islam. Teori ini juga bersumberkan rujukan seperti Al-Quran dan Hadis serta
bersandar kepada tujuan-tujuan menonjolkan sifat keagungan Allah. Misalnya , seperti
puisi yang telah saya petik daripada buku (Puisi Melayu, 1983) yang bertajuk ‘Di Senja
Kala’ (Rajah 2).

Sungguh nyaman buaian angin,

Membawa bisikan suara Mu’azzim,

Mengajak insan berjihad raga,

Mengabdi kepada Tuhan yang Esa.

Rajah 2

Berdasarkan Rajah 2, kita dapat mengetahui bahawa masyarakat Melayu juga


mengaplikasikan Teori Pengkaedahan Keagamaan dalam kehidupan mereka. Mereka
juga percaya akan kewujudan Tuhan sebagai pencipta alam dan ingin mengabdikan diri
kepadanya. Mereka juga sudah pasti akan merujuk kepada Al-Quran dan Hadis sebagai
rujukan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan yang Esa. Misalnya, seperti yang terdapat
dalam rangkap berikut ‘mengajak insan berjihad raga, mengabdi kepada Tuhan yang Esa’.

6
4.0 Penutup
Kesimpulannya, dapat kita lihat bahawa dari awal perkembangannya lagi, sastera
telah menerima banyak pengaruh dari luar yang menyebabkannya berubah seiring
dengan peredaran masa dan kemasukan budaya baru. Contohnya, kemasukan budaya
Barat merupakan salah satu pencetus kepada sastera dijadikan dalam bentuk tulisan
apabila mesin cetak dibawa ke Tanah Melayu. Kesusasteraan ini terus berkembang
sehingga menjadi seperti sekarang. Sastera yang telah menerima banyak perubahan
menjadi lebih bervariasi berbeza dengan sastera pada masa dahulu yang hanya dalam
bentuk lisan dan terikat kepada hukum-hukum tertentu dalam proses penciptaannya.
Sastera ini menjadi satu unsur yang sangat penting dan amat dititikberatkan hasilnya.
Perkara ini dapat dilihat apabila wujudnya teori-teori sastera yang berfungsi untuk menilai
sesuatu hasil sastera tersebut.

7
Rujukan

Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur : Dewan


Bahasa Dan Pustaka.

Alwi Salim. (1983). Puisi Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti SDN. BHD.

Hashim Awang. (1985). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya : Penerbit


Fajar Bakti Sdn Bhd.

Hashim Awang (1988). Teman Pelajar Kesusasteraan. Petaling Jaya: Penerbit Fajar
Bakti Sdn. Bhd.

Sabaruddin Ahmad. (1963). Punca sastera Indonesia, hal. 11

Siti Hajar Abdul Aziz. (2010). Siri Pendidikan Guru: Bahasa Melayu I Edisi Kedua.
Shah Alam : Oxford Fajar Sdn Bhd.

(2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like