Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Pengenalan

Wawasan 2020 dengan yakin dan jelasnya akan berusaha mewujudkan sebuah negara
yang bersatu padu dengan masyarakat Malaysia yang mempunyai keyakinan diri dan mempunyai
nilai-nilai moral dan etika yang utuh, hidup dalam masyarakat yang demokratis, liberal lagi
bertolak ansur, penyayang, adil dan saksama ekonominya, progresif dan makmur dan
sepenuhnya menguasai ekonomi yang mampu bersaing, dinamis, kukuh serta mempunyai daya
ketahanan.

Dengan kata lain, pemimpin negara berhasrat untuk mewujudkan Malaysia sebagai
sebuah negara yang bertamadun tinggi melalui pencapaian status ekonomi yang berdaya maju
serta nilai akhlak masyarakat yang tinggi melalui beberapa dasar termasuk Dasar Penerapan
Nilai-Nilai Islam 1985.

Perdana Menteri ada menyatakan “ Nilai-nilai Islam yang hendak diserapkan ialah nilai-
nilai yang akan berjaya mendirikan sebuah kerajaan yang cekap dan berkemampuan mentadbir
secara berkesan dari segi keamanan. Keselamatan dan pembangunan yang mampu menyaingi
pemerintahan-pemerintahan lain”.1

Definisi Nilai Murni

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila
individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid
mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan


pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat
biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk
kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"

(Wan Mohd. Zahid, 1988)

1
Mahathir Mohamad, “ Penerapan Nilai-Nilai Islam”, dalam INTAN, Nilai dan Etika Dalam
Perkhidmatan Awam, 1991, ms 13,
Secara keseluruhannya, ianya merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh
pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya
diberi penekanan ialah melalui Laporan Kabinet (Laporan Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk
Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan
mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada
pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja
dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.

Nilai Murni Yang Terdapat Dalam Masyarakat Malaysia

Mengukuhkan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat Malaysia amat penting bagi
menangani pelbagai isu dan masalah yang dihadapi. Ketandusan nilai-nilai murni merupakan
salah satu sebab utama meningkatnya gejala keruntuhan moral dan krisis sosial yang begitu
meluas dan sukar dibendung. Walaupun terdapat banyak nilai murni yang menjadi amalan dan
tuntutan, namun terdapat beberapa nilai murni yang utama yang menjadi agenda penting kepada
pembangunan masyarakat dan negara. Antaranya ialah nilai hormat menghormati, nilai berhemah
tinggi, nilai kejujuran dan amanah, nilai berdikari serta nilai kerajinan dan daya usaha,

Hormat-menghormati merupakan nilai murni yang perlu dipupuk bagi menguatkan


hubungan dan kemesraan. Masyarakat yang bermoral dan berhemah ialah masyarakat yang
sentiasa menghargai nilai hormat-menghormati. Ini bercanggah dengan sikap angkuh,sombong,
dan kurang ajar yang boleh menjadikan aspek-aspek moral masyarakat itu rendah dan tidak dapat
menghargai pentingnya kemuliaan dalam kehidupan. Memuliakan orang lain dengan memberi
penghormatan tanpa mengira umur, kedudukan, status dan pengaruh menjadi lambang kekuatan
moral sesuatu masyarakat. Menghormati orang-orang yang penting dalam masyrakat seperti
profesor, guru, doktor, peguam, ibu bapa, tokoh agama, pegawai dan ahli politik merupakan satu
amalan yang perlu dipertahankan dalam masyarakat timur. Menghormati ibu bapa dan pemimpin
juga merupakan satu nilai murni yang dapat mengeratkan perasaan dan sentimen kasih sayang.
Nilai-nilai murni ini tidak boleh ditepikan kerana memuliakan orang lain dalam kehidupan
merupakan satu nilai murni yang perlu dihargai dan dipertahankan. Nilai hormat-menghormati
amat penting dalam masyarakat berbilang kaum yang mempunyai perbezaan dari segi
kebudayaan dan agama
Berhemah tinggi juga merupakan nilai murni yang terdapat dalam masyarakat Malaysia.
Nilai ini merupakan nilai peribadi atau nilai personal yang ada pada orang yang mempunyai cita-
cita dan perjuangan yang mulia. Nilai berhemah tinggi dapat menguatkan keazaman seseorang
untuk mengangkat diri menjadi terbilang dan disanjungi. Dengan idealisme dan nilai-nilai murni
yang dimiliki, seseorang dapat mengangkat diri ke mercu kejayaan dan kegemilangan.

Masyarakat yang berhemah tinggi mempunyai idealisme dan falsafah hidup untuk
membina kebaikan. Mereka berjuang ke arah kebaikan dan menolak sebarang kemungkaran atau
kejahatan. Pendidikan perlu membentuk individu supaya mempunyai nilai berhemah tinggi.
Orang yang berhemah tinggi mempunyai kualiti moral dan sahsiah yang baik.

Jujur dan amanah turut merupakan nilai murni yang amat penting dalam kehidupan
individu dan masyarakat. Masyarakat perlu menghargai dan mempertahankan nilai jujur dan
amanah supaya tidak timbul perbuatan dan tingkah laku yang tidak bermoral dan tidak berakhlak
seperti menipu, mencuri, pecah amanah, tidak boleh dipercayai dan tidak bertanggungjawab.
Masyarakat tidak boleh memandang ringan perbuatan keji yang melanggar nilai kejujuran dan
amanah. Golongan muda perlu dilatih supaya jujur dan amanah dalam semua urusan, pekerjaan,
hubungan dan tanggungjawab. Pengaruh kebendaan, perasaan tamak haloba dan keinginan cepat
kaya menyebabkan golongan peniaga sanggup melanggar etika dengan bersikap tidak jujur dan
tidak amanah dalam urusan perniagaannya. Nilai jujur dan amanah merupakan nilai etika yang
sangat penting dalam semua profesion yang perlu dipertahankan. Masyarakat dan negara akan
musnah sekiranya nilai kejujuran dan amanah tidak menjadi prinsip dalam membina kehidupan
dan menegakkan keadilan. Oleh itu, institusi pengurusan, kewangan dan institusi sosial lain yang
bertanggungjawab menjaga kepentingan orang ramai dan kepentingan negara perlu bertindak
berasaskan kepada lunas-lunas kejujuran dan amanah.

Selain itu, berdikari juga merupakan nilai murni yang menjadi asas untuk membentuk
individu dan masyarakat yang berdaya maju. Ianya merupakan kebolehan dan kesanggupan
seseorang melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini
membawa pengertian bertanggungjawab, berupaya bertindak sendiri serta yakin pada diri sendiri.
Bertanggungjawab merupakan kesanggupan seseorang untuk memikul tugas atau
kewajipan serta melakukannya dengan sempurna. Antara ciri-cirinya ialah menjalankan tugas
yang diamanahkan dengan kesungguhan dan kegigihan, mengutamakan keselamatan dan
kebajikan keluarga, bertanggungjawab pada diri sendiri, keluarga, masyarakat, agama dan negara
serta percaya kepada kemampuan diri sendiri. Dalam masyarakat membangun seperti Malaysia,
meningkatkan nilai tanggungjawab sosial sangat penting untuk menjadikan masyarakat Malaysia
lebih prihatin terhadap kepentingan menjamin keadilan, kebajikan dan perlindungan terhadap
dasar-dasar yang membri kesan buruk, sama ada kepada golongan tertentu atau masyarakat
umumnya.

Berupaya bertindak sendiri pula bermaksud seseorang itu sanggup dan boleh melakukan
sesuatu untuk diri sendiri tanpa mengharapkan orang lain. Antara ciri-cirinya ialah menunjukkan
daya kreativiti dan inisiatif, berpandangan jauh, menggunakan pengertahuan, pengalaman dan
kebolehan untuk menjalankan tugas serta menggunakan masa dengan berfaedah.

Selain itu, antara pengertian berdikari juga ialah yakin pada diri sendiri. Ianya bermaksud
percaya kepada kebolehan diri sendiri dan sanggup bertindak. Antara ciri-cirinya ialah suka
mencuba dan tidak meniru, bersikap ingin maju dan membawa perubahan kepada masyarakat
dan negara, cuba mengatasi masalah sebelum meminta bantuan orang lain, mempunyai azam dan
tekad serta mempunyai daya diri untuk meneruskan kerja yang kuat.

Disamping itu, nilai kerajinan dan daya usaha turut sama merupakan satu nilai murni
yang penting bagi masyarakat Malaysia. Hasrat bagi membangunkan Malaysia sebagai sebuah
negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 antaranya bergantung kepada nilai kerajinan dan
daya usaha yang membolehkan produktiviti dan sumbangan yang tinggi individu kepada
pembangunan negara. Bangsa yang rajin dan berdaya usaha akan dapat menguasai pelbagai
kemahiran, sumber modal, peluang dan dapat meningkatkan taraf hidup bagi mencapai
kemakmuran dan kemewahan.

Nilai kerajinan dan daya usaha perlu dipupuk dengan menggunakan kaedah yang
berkesan, teknologi yang memudahkan kerja dan dapat mempertingkatkan pengeluaran.
Golongan muda perlu mempunyai nilai kerajinan dan daya usaha bagi menentukan masa depan
dan kehidupan mereka lebih baik dan terjamin. Kemiskinan dan kemunduran yang mencengkam
kehidupan sebahagian masyarakat Malaysia boleh ditangani dengan berkesan sekiranya anggota
masyarakat mempunyai nilai kerajinan dan daya usaha. Bagi membangun dan mengubah nasib,
seseorang perlu gigih berjuang, rajin dan melakukan pelbagai daya usaha. Daya usaha
bermaksud ikhtiar dan mencari jalan yang berkesan untuk mengatasi dan menangani masalah
yang dihadapi. Tidak ada jalan singkat bagi seseorang untuk mencapai kejayaan demi kemajuan.
Kejayaan yang dicapai hasil daripada kerajinan dan daya usaha mempunyai nilai yang tinggi
kerana banyak pelajaran yang diperoleh bagi menghadapi cabaran dan rintangan.

Kepentingan Nilai-Nilai Murni Dalam Pembentukan Sahsiah Pelajar Universiti

Di Institusi Pengajian Tinggi, pembangunan sahsiah dan personalia tidak hanya tertumpu
kepada pencapaian dan perkembangan akademik semata. Kepentingan akademik harus
merangkumi kepentingan sikap, nilai-nilai murni, etika dan akauntabiliti terhadap diri, keluarga,
masyarakat, negara dan ummah.

Oleh itu, pendidikan di kuliah tidak hanya dalam batas ‘exam-oriented’. Pendidikan
dalam konteks yang mengambil kira pembangunan hati dan sahsiah agar kekuatan akliah sentiasa
dipandu. Pendekatan sebegini yang sepatutnya dituntut kerana cabaran kepimpinan dan
kepengikutan, cabaran profesionalisme, cabaran pengurusan dan penyelidikan menuntut
personalia yang mampu menghasilkan kecemerlangan. Oleh itu universiti sewajarnya dapat
melakukan integrasi antara keduanya.

Dalam menuntut ilmu, sikap hormat menghormati adalah sesuatu yang sangat dituntut.
Sikap ini juga sangat penting dalam pembentukan sahsiah pelajar universiti. Sebagai pelajar
universiti, kita bukan sahaja wajib hormat kepada ibu bapa, pensyarah-pensyarah malah kepada
rakan-rakan kita juga. Saling hormat-menghormati bermaksud kita bukan sahaja mengharapkan
orang lain menghormati kita, tetapi dalam masa yang sama juga kita perlu menghormati orang
lain. Kita perlu hormat pendapat orang lain walaupun pendapat itu tidak sama dengan kita.
Apabila kita saling hormat-menghormati, kita akan menjadi seronok untuk belajar. Pelajaran juga
mudah masuk ke dalam minda kita. Oleh itu, amalkan budaya hormat-menghormati supaya
hidup kita lebih ceria, gembira, seronok, mudah mempelajari ilmu, tidak ada musuh dan yang
paling penting hidup kita dirahmati Allah.
Di samping itu, sikap berhemah tinggi juga penting dalam pembentukan sahsiah pelajar
universiti. Sikap ini dapat menguatkan perpaduan di antara pelajar yang terdiri daripada pelbagai
kaum dan agama. Perpaduan merupakan perkara yang mustahak untuk mengekalkan
keharmonian dan kedamaian rakyat di Malaysia. Ianya juga dapat melahirkan pelajar universiti
yang mempunyai akhlak dan sahsiah terpuji. Pelajar yang berhemah tinggi akan menjaga adab
pergaulan dengan rakan-rakan mereka disamping beradab dengan para pensyarah.

Selain itu, nilai kejujuran dan amanah juga sangat penting dalam pembentukan sahsiah
pelajar universiti. Kejujuran sangat penting dalam kehidupan. Ianya merupakan salah satu nilai
dasar yang menjadi penentu kepada kesempurnaan iman. Dalam konteks pelajar universiti, para
pelajar yang mengamalkan sifat amanah ini akan sentiasa berusaha untuk mencapai kejayaaan
yang cemerlang dalam hidup kerana merasakan tanggungjawab sebagai seorang pelajar itu
adalah suatu amanah yang besar dalam hidup mereka. Ianya juga akan mewujudkan suasana
pembelajaran yang meletakkan nilai kejujuran itu di tempat tertinggi. Jadi tidak akan timbul isu
meniru hasil kerja rakan dalam menyiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah dan dapat
mengelakkan berlakunya kes meniru dalam peperiksaan. Di samping itu, pelajar juga tidak akan
menyalahgunakan biasiswa atau wang yang diberikan oleh ibu bapa pada perkara yang tidak
berfaedah.

Sikap berdikari turut memainkan peranan yang penting dalam pembentukan sahsiah
pelajar universiti. Sikap ini akan membentuk sikap yang seimbang sama ada dari segi fizikal
mahupun mental. Pelajar akan sentiasa bersikap sedia bagi menghadapai sebarang risiko dan
menangani masalah dengan sebaik mungkin. Sebagai contoh, pelajar universiti memerlukan
wang yang banyak bagi menampung perbelanjaan di universiti. Jadi bagi pelajar yang
mempunyai sikap berdikari, mereka akan mencari sumber kewangan sendiri seperti bekerja
secara sambilan.

Bagi pelajar yang mengamalkan sikap berdikari juga, mereka tidak akan teragak-agak
untuk membuat pilihan. Ini kerana mereka yakin terhadap kemampuan mereka sendiri dalam
melakukan sesutau pekerjaan. Sikap ini akan menjadikan seseorang itu kreatif serta berupaya
menghasilkan kerja yang berkualiti. Mereka juga akan sentiasa berfikir untuk menaik taraf hidup
dan berusaha memperbaiki diri sendiri.Kesimpulannya, sikap berdikari amat penting dalam diri
setiap manusia untuk memantapkan diri dan menyediakan kekuatan diri dalam menghadapi
pelbagai cabaran hidup.

Kerajinan dan daya usaha juga menyumbang ke arah melahirkan pelajar universiti yang
mempunyai sahsiah yang tinggi. Nilai ini sangat penting bagi mewujudkan budaya ilmu yang
cemerlang di universiti. Ianya juga dapat mewujudkan persaingan yang sihat di antara pelajar di
samping dapat meningkatkan taraf akademik di universiti. Para pelajar yang mengamalkan sikap
rajin ini akan menggunakan masa terluang dengan melakukan aktiviti yang berfaedah serta dapat
menangani budaya melepak di kalangan remaja.

Kesimpulan

Nilai-nilai murni masyarakat Malaysia perlu dipupuk bagi membentuk masyarakat


Malaysia yang berdaya maju dan harmoni. Pada umumnya, nilai-nilai murni mengalami
perubahan dan penyesuaian dan dalam sesetengah keadaan, nilai-nilai murni semakin pupus
kerana masyarakat tidak komited untuk mempertahankan nilai-nilai tersebut. Dilema nilai
berlaku disebabkan pertembungan nilai-nilai murni mengikut perspektif dan motif yang berbeza.

Kesimpulannya, memang benar kecemerlangan akademik adalah ukuran terhadap


pencapaian,namun pencapaian itu akan lebih bermakna lagi sekiranya kecemerlangan akademik
seiring dengan upaya kepimpinan, sikap yang dinamik, budaya tinggi yang menjadi prasyarat
kepada kecemerlangan yang sebenar-benarnya.

You might also like