Bab 3 - Masyarakat Malaysia Menjelang THN 2020 PDF

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 18

Masyarakat Malaysia Menjelang Tahun 2020: Memperkukuh

Kesepaduan Sosial Ke Arah Mencapai Matlamat Perpaduan


Nasional

Shamsul Amri Baharuddin*  

Kertas kerja untuk Seminar Pertemuan Profesor-Profesor, anjuran


Majlis Universiti Islam Malaysia pada 19-20 Januari 2013

Pembuka kata

Kira-kira empat puluh tahun lalu, Tun Razak Hussein, Perdana Menteri
Malaysia yang kedua, telah membuat satu kenyataan mengenai
halatuju masa depan masyarakat Malaysia serta sifat-sifat yang
diidamkan serta matlamat akhirnya. Kenyataan ini dinukilkan dalam
sebuah ‘Kata Pendahuluan’ untuk buku Rancangan Malaysia Kedua
1971-1975, yang menggariskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebuah
dasar awam yang telah digubal setelah terjadinya peristiwa berdarah
iaitu keganasan etnik di Kuala Lumpur, pada 13 Mei 1969. Berikut
dipetik kenyataan beliau itu:

“Untok menchapai matlamat perpaduan negara keselurohan-nya,


Malaysia berkehendakkan bukan hanya setakat kadar
perkembangan ekonomi yang tinggi. Dalam usaha menumpukan
tenaga bagi menchapai pembangunan ekonomi yang cepat, kita
terpaksa sama sekali menentukan ada-nya keadaan masharakat

                                                                                                               
*
Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin kini adalah Pengarah Pengasas,
Institut Kajian Etnik (KITA), UKM dan Timbalan Pengerusi, Majlis Profesor Negara
(MPN). Beliau juga adalah Pengerusi Pro-tem, Akademi Sains Sosial dan Kemanusiaan
(ASAH). Biar pun terdidik dalam bidang antropologi sosial, beliau telah meneliti,
menulis serta mengupas pelbagai tema, dari segi skop, yang meliputi bidang yang lebih
luas termasuk ekonomi, politik, budaya dan sosial, sama ada bersifat akademik atau
popular. Sebahagian daripada sumbangannya (artikel, esei dan kertas kerja) boleh diakses
online: http://ukm.academia.edu/wwwkitaukmmy . Beliau juga dikenal oleh audien
media massa di Malaysia dan luar negeri sebagai pengulas sosio-politik mengenai
Malaysia dan Asia Tenggara dan kerap muncul dalam stesyen TV, seperti, Aljazeera,
Channel News Asia, National Geographic Channel dan Astro Awani dan sering menulis
dalam majalah dan akhbar tempatan.

  1  
yang adil, pembahagian pendapatan yang saksama dan peluang2
kerja yang bertambah.” (Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975,
(RM2), Kuala Lumpur: Jabatan Chetak Kerajaan, 1971, ms. vi)

Empat puluh tahun kemudian ‘matlamat perpaduan negara


keseluruhannya’ yang dihasratkan oleh Tun Razak masih belum
tercapai. Sehingga ke hari ini Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi
Nasional (JPNIN), di Pejabat Perdana Menteri -- yang asalnya adalah
Jabatan Perpaduan yang ditubuhkan pada Julai 1969 selepas tragedi
13 Mei 1969 berlaku -- masih berusaha keras untuk menrealisasikan
cita-cita ini.

Dalam tempoh 40 tahun itu, masyarakat Malaysia terus aman dan


stabil. Untuk 20 tahun pertamanya (1970-1990) Dasar Ekonomi Baru
(DEB), yang dilancarkan melalui Rancangan Malaysia Kedua 1971-
1975, telah menjadi tunjang kepada pembangunan ekonomi yang
lebih pesat dan seimbang dalam jangka waktu tersebut. Tetapi
matlamat perpaduan negara masih belum menjadi satu kenyataan.

Diawal 20 tahun kedua, pada 1991, Tun Mahathir Mohamed telah


mengangkat cita-cita dan kefahaman tentang perpaduan negara ke
suatu tahap baru yang bunyinya abstrak tetapi telah menjadi bagitu
popular dan buah mulut rakyat di seluruh negara, iaitu, konsep
Wawasan 2020. Tun Mahathir menyenaraikan sembilan cabaran untuk
diatasi dalam meniti jalan ke puncak, iaitu, mercunya Malaysia
menjadi sebuah negara maju. Cabaran pertamanya ialah untuk
membina ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia
yang bersepadu’.

Pada 10 tahun terakhir menjelang tahun 2020 telah diperkenalkan


pula oleh Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia Keenam, konsep
1Malaysia yang mengingatkan rakyat Malaysia bahawa masyarakat
kita wujud sebagai satu kesatuan dalam kepelbagaian, yang terus

  2  
berpayung di bawah Wawasan 2020 dengan cita-cita membina suatu
masyarakat bercirikan sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.

Tanpa disedari oleh pemerhati politik Malaysia, termasuk para ahli


sains politik dan pakar pengajian politik, Tun Mahathir telah
memperakukan bahawa konsep negara-bangsa, yang diterjemahkan
daripada istilah Inggeris nation-state, sebenarnya dalam konteks
evolusi politik dan perkembangan masyarakat Malaysia konsep dan
entity empirical entiti ‘negara’ (state) adalah terpisah daripada konsep
‘bangsa’ (nation).

Implikasi kenyataan Tun Mahathir itu cukup besar dari segi konsep
dan empiri, iaitu, Malaysia adalah sebuah negara (state) yang masih
mencari suatu ‘bangsa idaman’, atau nation-of intent. Yang idamkan
itu adalah ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia
yang bersepadu.’1

Tujuan tulisan ini adalah untuk menyusur galur perkembangan idea


Wawasan 2020 dan konsep Bangsa Malaysia sekali gus mengupas
mengenai pembangunan dan perubahan masyarakat Malaysia setelah
idea dan konsep ini diperkenalkan dan dihayati oleh majoriti anggota
masyarakat Malaysia. Seperti biasa tidak semua yang setuju dengan
idea dan konsep ini, dan cukup ramai yang mengkritiknya, kerana
semuanya mengimpikan masyarakat yang sempurna.

                                                                                                               
1  Saya  telah  mengupas  secara  kritikal  konsep  ‘bangsa  Malaysia’  semenjak  1992  dan  

mengungkapkannya  sebagai  “one  state,  many  nations’  (Shamsul  1992)  yang  


kemudiannya  saya  perhalus  lagi  dari  segi  teori  dan  memperkenalkan  pula  konsep    
‘nation-­‐of-­‐intent’  atau  ‘bangsa  idaman’  (Shamsul  1996a)  sebagai  templet  untuk  
mengkonsepsi  dan  memahami  perjuangan  nasionalis,  yang  berjaya  dan  gagal,  ke  
arah  nation-­‐building  di  Asia  Tenggara.    Konsep  ini  telah  diterima  pakai  oleh  pengkaji  
mengenai  sejarah  nasionalisme  di  Asia  Tenggara  sebagai  alternatif  kepada  konsep  
‘imagined  community’  yang  diperkenalkan  oleh  Benedict  Anderson  (1983),  sila  lihat  
kupasan  mengenai  ini  oleh  Norman  Owen,  The  Emergence  of  Modern  Southeast  Asia:  
A  New  History,  University  of  Hawaii  Press,  Honolulu,  2005,  p.  252.  

  3  
Antara teori, konsep dan kenyataan

Apabila Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia keempat,


mengisytiharkan bahawa cabaran pertama lagi utama bagi Malaysia
untuk mencapai kedudukan negara maju pada tahun 2020, dalam
kerangka Wawasan 2020, ialah untuk membina dan mencipta ‘Bangsa
Malaysia’, ia merupakan suatu proklamasi politik yang amat penting
dalam sejarah politik moden di Malaysia. Inilah untuk pertama kalinya
seorang pemimpin Malaysia berkedudukan Perdana Menteri di era
pasca Merdeka telah memperkatakan secara terbuka mengenai
‘bangsa idaman’ beliau untuk Malaysia, yang sekali gus
memperakukan bahawa yang wujud hanyalah ‘negara Malaysia’ dan
belum lagi ‘bangsa Malaysia.’

Kerana ucapan asal beliau adalah dalam Bahasa Inggeris, beliau


telah mengungkapkan ‘bangsa idaman’ tersebut dengan lebih tepat
sebagai ‘a united Malaysian nation,’ atau terjemahannya ialah ‘sebuah
bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Versi terjemahan ini kemudiannya
telah diringkas dan dipopularkan dalam dua perkataan, iaitu, ‘Bangsa
Malaysia.’ Versi ringkas ini telah mengundang pelbagai masalah,
bukan hanya bersifat semantik dan politik tetapi bersifat epistemologi
dan ontologi.

Sebelum Mahathir menganjurkan ‘bangsa idaman’ beliau, suatu


lagi konsep ‘bangsa idaman’, iaitu ‘Malaysian Malaysia’, telah
diperkenalkan oleh Malaysian Solidarity Council, suatu pakatan
beberapa parti politik pembangkang, sebagai cogan katanya. Pakatan
ini telah ditubuhkan pada 1964 yang diketuai oleh Lee Kuan Yew,
ketika Singapura masih dalam Persekutuan Malaysia, dengan
objektifnya menentang kewujudan Artikel 153 dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia yang dianggap bersifat racial discrimination,

  4  
atau diskriminasi ras. Konsep Malaysian Malaysia menganjurkan suatu
bentuk bangsa idaman yang berteraskan kesaksamaan biarpun
terdapat kepelbagaian etnik.

Ternyata ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir berbeza


dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang dipromosi Lee Kuan Yew. Mahathir
dengan jelas menekankan elemen ‘united’ atau ‘bersepadu’ sebagai
asas bangsa idamannya. Sedangkan Lee Kuan Yew pula menekankan
faktor ‘equality’ atau ‘kesaksamaan.’ Lim Kit Siang pernah membuat
interpretasi bahawa “Malaysian Malaysia = Bangsa Malaysia” yang
ternyata tidak tepat dan mengelirukan bila kita gandingkan kenyataan
asal Mahathir yang dalam Bahasa Inggeris “a united Malaysian nation”
dengan ungkapan “Malaysian Malaysia” Lee Kuan Yew. Keduanya
memang berbeda dari sudut epistemologi dan ontologinya. ‘Unity in
diversity’ mendasari konsepsi bangsa idaman anjuran Mahathir.
‘Equality in diversity’ pula mendasari konsepsi bangsa idaman Lee
Kuan Yew. [Nota: Pada 2010 lalu, Lee Kew Yuan pernah menegaskan
bahawa Singapura sebagai sebuah negara (state) tidak perlukan
sebuah bangsa (nation)].

Ada dua implikasi politik penting daripada keadaan ini. Pertama,


semenjak penubuhan Malaysia pada 1963 wujud dua bentuk ‘bangsa
idaman’ di Malaysia, satu anjuran Lee Kuan Yew dan satu lagi anjuran
Mahathir. Kedua, ini menekankan fakta bahawa yang sudah wujud di
Malaysia ialah sebuah ‘negara Malaysia’ (Malaysian state) dan belum
lagi sebuah ‘bangsa Malaysia’ (Malaysian nation). Dalam kata lain,
Malaysia adalah sebuah negara yang sedang berusaha membina
sebuah bangsa idamannya. Proses pembinaan konsep bangsa idaman
ini berlaku serentak dan melibatkan pelbagai pihak yang
berkepentingan.

  5  
Semenjak 1991, pemerintah Malaysia telah mempromosi secara
besar-besaran konsep ‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan oleh
Mahathir, iaitu, ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.’ Untuk itu
kerajaan telah berbelanja banyak wang berkempen di seluruh negara
dengan menggunakan pelbagai saluran media massa, letronik dan
digital, melaksanakan pelbagai program bersifat top-down daripada
sekolah ke rumah.

Malah pelancaran buku Rancangan Malaysia Kedua 1971-1975


dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang mempunyai objektif
serampang dua mata, mempunyai matlamat jangka panjang
terakhirnya yang cukup jelas, iaitu untuk membina dan mencipta
‘perpaduan dan integrasi nasional.’ Dua puluh tahun kemudian, pada
1990, setelah tamat DEB, keinginan terhadap ‘perpaduan dan integrasi
nasional itu’ terus menyala dan membakar dalam benak pemimpin
Malaysia kerana ianya belum menjadi kenyataan dan terus diidamkan.

Kesinambungan cita-cita ini melalui konsep ‘a united Malaysian


nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu,’ seperti yang
dinyatakan oleh Mahathir itu merupakan suatu pengukapan baru sekali
gus sebuah kenyataan pengukuhan bahawa matlamat perpaduan dan
integrasi nasional DEB itu masih belum tercapai. Justru itu kita boleh
menganggap bahawa konsep ‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah
bangsa Malaysia yang bersepadu,’ merupakan suatu pakej baru
bersifat ekonomi politik anjuran Mahathir yang menjelaskan bentuk
‘bangsa idaman’ Malaysia yang dianjurkan oleh kerajaan, biarpun
Malaysia sebagai sebuah ‘negara modern’ (modern state) sudah wujud
kukuh.

Kira-kira 18 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2010 atau 12


tahun sebelum 2020 menjelang, konsep ‘1Malaysia’ pula telah

  6  
diperkenalkan oleh Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia keenam,
bukan sebagai sebuah ideologi tetapi sebagai sebuah wahana abstrak
terbaru ke arah usaha untuk membaja, memupuk dan membina
‘bangsa idaman’ yang telah dianjurkan oleh Mahathir pada 1991, iaitu,
‘a united Malaysian nation’, atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang
bersepadu.’ Malah Najib sendiri menyatakan dengan jelas bahawa
konsep 1Malaysia beliau tersebut terus mendukung dan adalah
berpayung dibawah Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Mahathir.

Usaha Najib dan konsep 1Malaysia beliau ini secara langsung


memperakukan pendirian Mahathir pada 1991, iaitu, bahawa Malaysia
sebagai sebuah negara yang teguh masih memerlukan sebuah bangsa
yang sedang cuba dibina. Yang idamkan adalah ‘sebuah bangsa
Malaysia yang bersepadu’ dan sumbangan Najib ke arah itu ialah
melalui konsep 1Malaysia beliau. Perlahan-lahan konsep ini dijelmakan
dalam bentuk konkrit melalui pelbagai program praktikal, misalannya,
Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia dan Emel 1Malaysia.

Penjelmaan praktikal kepada usaha Najib ini tersimpul dalam


kefahaman dan pengaplikasian konsep ‘transformasi’ beliau sebagai
wahana 1Malaysia yang pada hematnya boleh menrealisasikan
pewujudan ‘sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu’ pada tahun
2020. Pelan Tranformasi Kerajaan, atau GTP, dengan rangkaian
himpunan programnya, termasuk Model Ekonomi Baru, merupakan
langkah-langkap operasi yang hasilnya telah mula dirasakan dan boleh
dipantau serta diukur. Untuk tugasan ini satu badan khas telah
ditubuhkan Najib, iaitu Pemandu, dibawah jagaan khas seorang
Menteri tanpa portfolio.

Soalannya apakah dengan segala usaha terkini yang


dilaksanakan dengan beria-ianya oleh Najib Razak untuk mengisi

  7  
idaman Mahathir, iaitu, mewujudkan ‘sebuah bangsa Malaysia yang
bersepadu’ pada 2020, akan tertunai?

Jawapan kepada soalan ini boleh dianalisis dan dikupas jika kita
kembali ke 1971, bermula dengan ‘buku merah’ Rancangan Malaysia
Kedua, 1971-1975, yang dilancarkan oleh Tun Razak, yang
terkandung didalamnya DEB. Dalam perenggan pertama Kata
Pengantar buku tersebut Tun Razak menyatakan dengan jelas bahawa
matlamat akhir DEB adalah untuk membina dan mencipta ‘perpaduan
dan integrasi nasional.’

Semenjak itu hingga ke saat ini, cita-cita mencipta perpaduan


dan integrasi nasional ini telah diisytiharkan dan diwar-warkan dalam
setiap kenyataan rasmi kerajaan, sama ada dalam bentuk ucapan
rasmi, atau tersirat dalam lirik lagu-lagu yang dinyanyikan semasa
majlis-majlis rasmi atau di sekolah-sekolah seluruh negara.

Dalam kata lain, untuk sekian lamanya kerajaan dan rakyat


Malaysia mengidamkan perpaduan. Ini berasaskan anggapan bahawa
perpaduan masih belum wujud sepenuhnya di Malaysia. Ini bermakna
kefahaman pemimpin dan rakyat Malaysia mengenai wajah perpaduan
bukan berasaskan realiti tetapi berlandaskan sebuah harapan, sebuah
idaman, malah sebuah impian berwajah ‘perpaduan.’

Yang lebih signifikan ialah biarpun perpaduan itu belum menjadi


suatu kenyataan, terutamanya selepas berlakunya konflik berdarah
pada Mei 13 1969, masyarakat Malaysia umumnya semenjak itu wujud
dengan stabil dan aman. Saya pernah ungkapkan keadaan ini sebagai
‘stable tension,’ atau kestabilan yang tersirat dalamnya ketegangan
yang terpendam tetapi kadang-kadang diucapkan secara terbuka oleh
rakyat Malaysia tetapi tidak melalui tindakan ganas.

  8  
Namun, ditekankan disini bahawa masyarakat Malaysia terus
wujud tanpa konflik besar terbuka lagi ganas yang berterusan seperti
di Sri Lanka, Yugoslavia atau seperti yang terjadi di Thailand baru-
baru ini. Malaysia dan rakyatnya terus wujud dalam suasana aman,
tenteram dan sejahtera, meraih nikmat sebuah negara yang
diklasifikasi Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNDP) sebagai negara berpendapatan menengah.

Memang benar, sekali-sekala ketegangan itu menjelma dalam


wacana umum. Tetapi konflik terbuka bukan ciri masyarakat Malaysia.
Ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia.
Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.

Apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau
bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan
kebanyakkan pada peringkat individu atau kelompok seperti sambil
minum teh tarik di kedai mamak, pada majlis kenduri kendara, malah
dalam internet dan blog. Kandungan bertikam lidah ini berasaskan isu
tertentu (issue-based), seperti soal pendapatan yang tidak cukup,
harga barang mahal, peluang pendidikan serta pekerjaan terhad dan
sebagainya.

Sering kali kejadian bertikam lidah adalah merupakan suatu


bentuk penyuaraan rasa tidak puas hati etnik (ethnic grievances).
Namun apabila kita halusi kebanyakan isu itu didapati bahawa apa
yang disuarakan oleh setiap etnik tidak banyak perbezaan, cuma
penyuaraannya kerap bersalut kata-kata yang menjelmakan
kepentingan etnik. Maka bunyinya etnik, sebenarnya isu berkenaan
bersifat isu sosial dan ekonomi yang lebih umum sifatnya.

Kebanyakkan isu ini berkait dengan peluang mobiliti sosial,


menyentuh isu seperti tidak puas hati mengenai sistem pendidikan,

  9  
agihan peluang ekonomi dan pekerjaan, bukan hanya mengesankan
sesuatu etnik malah mempunyai kesan yang mendalam dan luas
terhadap semua lapisan masyarakat.

Yang lebih kerap ditimbulkan oleh sesetengah pihak bukan lagi


soal mobiliti sosial, terutamanya, rangkaian isu yang telah ditimbulkan
oleh golongan profesional kelas menengah muda bandar yang hidup
selesa dan mempunyai ruang sosial dan waktu. Mereka sering
‘memperjuangan’ soal pemusnahan alamsekitar, hak asasi manusia,
masalah masyarakat sivil dan buku daftar pengundi yang banyak
kesalahan. Sebenarnya isu-isu ini mempunyai dimensi ekonominya,
kerana ianya menjadi ‘komoditi politik’ yang didagangkan sebagai
sebahagian daripada aktiviti keusahawanan dalam bidang pengiklanan,
khususnya yang bersifat branding.

Yang lebih menarik adalah fakta bahawa penyuaraan isu


berkenaan berlaku dalam keadaan aman dan tenteram lagi sejahtera
di Malaysia. Bukan dengan keganasan-ala-Arab Spring yang
mengorbankan banyak nyawa kerana apa yang berlaku di Malaysia
adalah matang dan cukup demokratis dari segi bentuk dan suasana
yang mengizinkan bertikam lidah mengenai isu ini berlaku. Namun
kadang-kadang ada yang menyuarakannya dengan nada yang agak
keras dan tidak kadang-kadang sarat dengan stereotaip dan prejudis
etnik.

Kalau ini semua berlaku dalam keadaan aman, tenteram dan


sejahtera, bagaimanakah kita hendak menyifatkan keadaan ini?
Hendak dikatakan kita berpadu tidak berapa tepat kerana kita masih
idam-idamkan perpaduan. Kalau tidak perpaduan apakah pula kita
hendak kategorikan keadaan aman, tenteram dan sejahtera yang
bertahan cukup lama, iaitu, selama 40 tahun?

  10  
Dalam kata lain, semenjak 1971, masyarakat Malaysia
menikmati keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pembangunan
ekonomi yang pesat. Dalam masa yang sama para pemimpin Malaysia
terus menyatakan bahawa kita belum lagi menikmati perpaduan.
Wujud Wawasan 2020 dan 1Malaysia yang menjadi wahana untuk
membina dan mencapai perpaduan yang ilusif itu.

Oleh yang demikian, apakah sebenarnya yang telah dinikmati


oleh setiap lapisan rakyat Malaysia selama 40 tahun lepas? Ternyata
pengalaman kita itu tidak kita ungkapkan, tak ubah seperti si bisu
bermimpi “terasa ada terkata tidak.” Dalam kata lain, kita belum ada
label atau kata-kata untuk mengungkapkan atau menyimpulkan
pengalaman ini, suatu pengalaman yang pernah disebut-sebut sebagai
model atau contoh untuk dijadikan ikutan oleh sebilangan negara-
negara lain didunia.

Sebenarnya apa yang telah kita semua nikmati selama ini belum
lagi perpaduan tetapi ‘kesepaduan sosial’ (social cohesion). Apakah
maksud kesepaduan sosial?

Kesepaduan sosial ialah suatu keadaan aman, stabil dan


makmur sejahtera yang wujud dalam sesebuah masyarakat,
khususnya yang berbilang etnik, kerana wujudnya ikatan sosial (social
bonding) yang kuat yang terbina untuk sekian lamanya berasaskan
setidak-tidaknya lima pra-syarat:

1. Taraf kebendaan yang berkualiti, seperti mempunyai indeks kualiti


hidup yang sederhana ke tinggi;
2. Aturan sosial yang stabil, aman dan selamat;
3. Interaktif aktif sesama rakyat berlandaskan jaringan dan pertukaran
hubungan yang positif;
4. Wujudnya usaha positif ke arah penglibatan inklusif semua pihak dalam
kegiatan arus perdana;
5. Akses kepada kemudahan yang boleh menjamin dan mempertahan
kualiti hidup dan mobiliti sosial.

  11  
Senario yang menggalakan kesepaduan sosial bertahan boleh
dibayangkan seperti berikut: biarpun wujud perbezaan, kontradiksi,
contestation dan konflik dalam sesuatu masyarakat itu, jika para
anggotanya sanggup berunding dan bertolak ansor untuk mewujudkan
konsensus, tolak ansur, toleransi dalam semangat akomodasi, malah
bersungguh membina harmoni dan pelbagai bentuk ikatan sosial
(social alliance), kesepaduan sosial akan mekar segar bugar terpamer
dan sedia terperaga.

Dalam kata lain, kalau kita lihat kembali ke keadaan di Malaysia,


biarpun kita belum mencapai perpaduan yang diimpi dan diidamkan
namun kita sebenarnya sudah pun menjalin hubungan kerjasama
antara etnik dan kelompok, berkongsi aktiviti budaya dan pinjam-
meminjam unsur budaya masing-masing untuk lebih daripada 60
tahun, menikmati pembangunan ekonomi dan kualiti hidup yang
sederhana ke tinggi, yang terbina teguh semenjak 1970an.

Bukan hanya dari segi politik, sosial dan budaya, jalinan


hubungan yang cukup rapat bahkan wujud dan terjelma dalam
putaran ekonomi dan pasaran yang menyebabkan kita saling
bergantungan dengan kuat melalui kegiatan ekonomi seharian, atau
dalam konteks putaran permintaan-tawaran. Sebagai contoh, si
pembekal mungkin pedagang kaum Cina, India dan Melayu. Pekerja
pula mungkin kaum India, Iban, Kadazan dan Cina juga.

Justeru, kesepaduan sosial di kalangan pelbagai etnik,


kepentingan ekonomi, politik dan sosial senantiasa terjalin dan
disulam oleh keperluan kehidupan seharian. Rakyat Malaysia tidak
akan mengorbankan kesepaduan sosial ini demi memastikan semua
pihak ‘menang-menang.’

  12  
Memang kita mendengar laungan suara-suara sumbang dari
semasa ke semasa yang berbau perkauman dan sarat emosi,
stereotaip dan prejudis. Kejadian ini menyebabkan ia sering
mendebarkan dan memberi isyarat yang tidak tepat mengenai
keadaan hubungan kaum di Malaysia. Orang luar yang berlagak
prophet of doom melihat kejadian seperti ini sebagai tanda-tanda
bahawa negara dan masyarakat tidak stabil dan keganasan etnik akan
terjadi bila-bila waktu sahaja.

Ada juga pemerhati luar menggunakan kejadian ini sebagai kayu


ukur masa depan Malaysia. Mereka yang ekstrim menganggap bahawa
rusuhan etnik akan berlaku bila-bila masa. Salah faham ini merebak
luas sehingga mendebarkan pelabur asing. Bak kata pepatah ’sebab
nila setitik, rosak susu sebelanga.’ Pihak tidak bertanggung jawab
yang sering membangkitkan isu perkauman inilah yang merosakkan
imej baik Malaysia untuk kepentingan politik domestik masing-masing
yang jumud sifatnya.

Justeru, banyak pihak di luar negara meragukan bahawa kita


sebenarnya adalah dalam keadaan aman, tenteram dan sejahtera.
Persepsi negatif terhadap Malaysia oleh golongan kecil tetapi
berpengaruh ini, khususnya media massa antarabangsa, akan
bertambah keruh apabila ada antara pemimpin politik Malaysia yang
membuat tohmahan terhadap negara sendiri di luar negeri demi
hendak memenangi sokongan media massa antarabangsa dengan
harapan meningkatkan kerisauan di kalangan rakyat di Malaysia lalu
menentang kerajaan.

Ini taktik politik banyak pihak yang tidak berpuas hati dengan
pelbagai isu di Malaysia, khususnya pihak dari Malaysia yang
‘membasuh kain kotor’ Malaysia di luar negeri, yang kemudiannya

  13  
tersalur melalui internet kembali ke Malaysia. Tidak dinafikan, banyak
isu belum dapat diselesaikan biar pun kerajaan mencuba mencari
pelbagai jalan penyelesaian sama ada ianya isu lama mahupun yang
baru.

Soal rasuah sering jadi isu. Soal hak asasi manusia yang terabai
juga sering dibangkitkan. Soal kebebasan agama dan budaya serta
soal komuniti minoriti yang terpinggir pun menjadi perhatian. Soal
kemudahan infrastruktur di luar bandar turut dibangkitkan. Soal DEB
yang dianggap bersifat diskriminasi terhadap mereka yang bukan
Bumiputera juga sering ditimbulkan

Soal-soal ini dibesar-besarkan sehingga menenggelamkan fakta


terpenting mengenai masyarakat Malaysia iaitu, wujudnya kesepaduan
sosial yang kukuh di kalangan rakyat.

Tidak dapat dinafikan, untuk melestarikan kesepaduan sosial kita


terpaksa berdepan pelbagai cabaran. Soal yang digembar-gemburkan
itu adalah merupakan sebahagian daripada cabaran kepada
kesepaduan sosial yang dinikmati dan perlu dicari penyelesaian.

Cabaran terhadap kesepaduan sosial ini tersimpul dan terhimpun


dalam Indeks Kualiti Hidup (IKH) yang menjadi kayu pengukur kepada
pembangunan ekonomi, politik, sosial dan budaya di Malaysia. Ada
sebelas ciri IKH yang kita jadikan kayu pengukur iaitu, pendapatan
dan agihannya, pekerjaan, pengangkutan dan komunikasi, kesihatan,
pendidikan, perumahan, alam sekitar, kekeluargaan, pembabitan
sosial, keselamatan awam dan budaya serta aktiviti santai.

Setiap ciri ini mengandungi cabaran yang lebih mendalam.


Misalnya, dari segi pendapatan dan agihannya, di Malaysia masih
wujud kemiskinan tegar, biarpun kita telah berjaya mengurangkannya

  14  
hanya ke paras lima peratus dalam tempoh 30 tahun. Pelbagai projek
untuk membanteras kemiskinan dirancang dan dilaksanakan. Namun
masih menghadapi masalah kebocoran, iaitu, kelompok sasaran masih
tidak mendapat apa yang dijanjikan.

Mengurus dan menyelesaikan setiap cabaran ini adalah tugas


yang tak pernah selesai. Apabila selesai yang lama, yang baru wujud.
Suasana kesukaran ini rata-rata tidak menggoyahkan semangat
kesepaduan sosial rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia akan terus
bertikam lidah. Walaupun ’perpaduan’ yang diidamkan belum terjadi,
namun jalinan erat ’kesepaduan sosial’ yang merupakan suatu proses,
keadaan dan suasana positif di Malaysia akan memastikan mereka
tidak terjerumus ke kancah konflik.

Kelestarian kesepaduan sosial inilah yang perlu kita tatang


seperti menatang minyak yang penuh.

Seandainya pada tahun 2020 perpaduan dan integrasi nasional


yang diinginkan itu masih belum tercapai dan bangsa idaman, iaitu, ‘a
united Malaysian nation,’ atau ‘sebuah bangsa Malaysia yang
bersepadu’ yang dinyatakan oleh Dr. Mahathir Mohamad dalam
Wawasan 2020 beliau, belum juga wujud ini bukan satu kegagalan.

Yang pasti kesepaduan sosial yang kita nikmati selama 40 tahun


ini adalah pra-syarat atau tahap awal ke-arah membina bangsa
idaman tersebut. Ertinya, perpaduan dan integrasi nasional serta
bangsa idaman Malaysia masih ‘a work-in-progress.’

Maksudnya, kesepaduan sosial, atau social cohesion itu, tetap


merupakan suatu kejayaan yang telah dicapai oleh masyarakat dan
rakyat Malaysia, yang telah diterima oleh komuniti antarabangsa dan
yang tidak boleh diperlekehkan.

  15  
Biarpun ada golongan yang menganjurkan konsep ‘ketuanan
rakyat’ di Malaysia, ternyata konsep ini tumbuh segar bugar daripada
suasana dan keadaan kesepaduan sosial yang wujud di Malaysia.
Konsep ini tidak muncul daripada suatu keadaan kacau bilau dan
keganasan-ala-Arab Spring yang membakar hangus rejim politik kuku
besi di Afrika Utara yang membiarkan jutaan rakyatnya lebih daripada
setengah abad terperangkap dalam kemiskinan tegar dan
pengangguran yang meluas tanpa jalan keluar ekonomi yang jelas,
justru rakyatnya telah memilih jalan politik sebagai jalan keluar
dengan bantuan daripada beberapa negara Barat.

Oleh kerana adanya negara yang tanpa bangsa, seperti


Malaysia, maka konsep bangsa itu boleh dibayangkan dalam pelbagai
bentuk, sesuai dengan ‘bangsa idaman’ setiap kelompok atau
kumpulan etnik. Contohnya, ‘Malaysian Malaysia’ yang dianjurkan oleh
Lee Kuan Yew dan masih didukung kini oleh DAP di Malaysia, dan
konsep ‘a united Malaysian nation’ anjuran Mahathir adalah contoh
‘bangsa idaman’

Wawasan 2020, tercapai tidaknya pada tahun 2020, akan tetap


relevan untuk Malaysia selepas tahun 2020, sebagai sasaran dan cita-
cita positif yang ingin dicapai.

  16  
Rujukan

Acegmoglu, D. and Robinson J., Why Nations Fail: The Origins of


Power, Propersity and Poverty. New York: Crown Business, 2012.

Anderson, Benedict, Imagined Communities: Reflections on the


Origin and Spread of Nationalism, 2nd Edition, London: Verso,
1991.

Owen, Norman, The Emergence of Modern Southeast Asia: A New


History, Honolulu: University of Hawaii Press, 2005.

Sarkar, Sumit. Beyond Nationalist Frames: Relocating


Postmodernism, Hindutva, History, Delhi: Permanent Black, 2002

Shamsul A.B. Malaysia in 2020: One State Many Nations?


Observing Malaysia from Australia, the Seventh James Jackson
Memorial Lecture, Malaysia society, Australia, Bangi: Department of
Anthropology and Sociology, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1992.

Shamsul A.B., “Nations-of-intent in Malaysia” in Asian Forms of the


Nation, edited by Stein Tonnesson & Hans Antloev. London: Curzon,
1996a. pp. 426-456.

Shamsul A.B., “Debating about Identity in Malaysia: A Discourse


Analysis”, Tonan Ajia Kenkyu (Southeast Asian Studies) vol. 34. No.
3, December 1996b, pp. 476-499. Reprinted in Cultural
Contestations: Mediating Indentities in a Changing Malaysian
Society, edited by Zawawi Ibrahim (ed.), London: Asean Academic
Press, 1998, pp.17-50.

Shamsul A.B., “The History of an Identity of a History: The Idea and


Practice of Malayness in Malaysia Considered.” Journal of Southeast
Asian Studies. 2001, 23(2): 355-366.

Shamsul A.B., “Reconnecting ‘the Nation’ and ‘the State’: The


Malaysian experience” in Rethinking Ethnicity & Nation-Building:
Malaysia, Sri Lanka & Fiji in Comparative Perspective, edited by
A. Rahman Embong, Kuala Lumpur: Malaysian Social Science
Associatioon, 2007, pp. 204-215.

Shamsul A.B. Culture and Governance in Malaysia’s Survival as a


Nation, Ethnic Studies Paper Series, UKM No. 2 (Sep) 2009, Institute
of Ethnic Studies, UKM.

  17  
Shamsul A.B. Unity in Diversity: The Malaysian Experience, Siri
Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 13 (Oktober) 2010, Institut Kajian Etnik,
UKM, Bangi.

Shamsul A.B. Ilmu Kolonial dalam pembentukan sejarah


intelektual Malaysia: sebuah pandangan. Siri Kertas kajian Etnik
UKM Bil. 17 Januari 2011a, Institut Kajian Etnik, UKM, Bangi.

Shamsul A. B. & Anis Y. Yusoff, Managing peace in Malaysia: A


Case Study, Siri Kertas Kajian Etnik UKM Bil. 18 (Mei) 2011b, Institut
Kajian Etnik, Bangi.

Shamsul A.B., Kesepaduan dalam Kepelbagian: Perpaduan di


Malaysia sebagai work-in-progress, Syarahan Profesor Ulung, 20
Oktober 2011, Bangi: Penerbit UKM, 2011.

Shamsul A.B., “When knowledge invents boundaries: From Colonial


Knowledge to Multiculturalism” in The Gaze of the West and
Framings of the East edited by Shanta Nair-Venugopal, London:
Macmillan, 2012, pp.107-122

  18  

You might also like