Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 11

PENGENALAN

Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat pelbagai suku kaum dan etnik yang
mempunyai latar belakang dan budaya yang berbeza-beza. Hal ini disebabkan oleh kegiatan
imperialisme dan penjajahan kuasa barat ke atas Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak telah
membawa kepada kedatangan imigran-imigran luar ke Tanah Melayu. Kepelbagaian kaum
dan etnik ini yang telah berjaya memerdekakan Tanah Melayu dan pembentukan Malaysia
merupakan hasil perjuangan semua kaum yang berpegang pada prinsip perpaduan,
permuafakatan dan persefahaman antara satu sama lain (Aszlan Selamat, & Mohamad
Iszuan Safarudin, 2016). Namun, kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan
rakyat Malaysia menyebabkan wujudnya pelbagai masalah yang melibatkan hubungan etnik
ini. Oleh hal yang demikian, kerajaan merupakan badan yang memainkan peranan paling
penting untuk memastikan keharmonian negara dapat dicapai dan dikekalkan.
SOALAN 1

1.1 KONSEP HUBUNGAN ETNIK DARI PERSPEKTIF EKONOMI, POLITIK DAN SOSIAL

Sebelum Tanah Melayu mendapat kemerdekaan, Tanah Melayu telah dijajah oleh
beberapa kuasa asing iaitu Portugis, Belanda, British dan Jepun. Semasa pemerintahan
kuasa asing itu, pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi, dan politik telah
dilaksanakan. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun tidak
langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Dasar ini telah membahagikan kaum
mengikut fungsi-fungsi dan peranan mereka dalam pembangunan ekonomi, politik, tempat
tinggal dan sistem pendidikan yang berbeza. Disebabkan keadaan sedemikian, kaum-kaum
ini terpisah dan tidak memungkinkan hubungan baik terjalin di antara mereka.

Konsep hubungan etnik dari perspektif sosial boleh dilihat melalui dasar pendidikan
British. Sistem pendidikan yang wujud di Tanah Melayu sebelum merdeka terbahagi kepada
empat aliran mengikut kaum iaitu sekolah Melayu, Cina, India dan Inggeris. Setiap kaum
terpisah dan mereka hanya mempelajari silibus yang berkaitan dengan kaum mereka sendiri
sahaja tanpa didedahkan dengan maklumat-maklumat kaum lain. Semasa penjajahan British,
sekolah Melayu sekadar menekankan keperluan peringkat rendah sahaja. Manakala,
kurikulum sekolah Cina dan India pula masing-masing berpandukan negeri asal mereka,
malah buku-buku teks dan guru-guru yang mengajar juga telah dibawa dari Negeri China dan
India (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Keadaan ini telah mengukuhkan lagi keadaan
keperibadian etnik yang telah sedia wujud. Sekolah Inggeris pula hanya dapat dinikmati oleh
orang-orang Cina dan India yang tinggal di bandar-bandar sahaja. Pendidikan Barat yang
diperkenalkan bertujuan menyediakan golongan pentadbir bawahan bagi mengisi jawatan
rendah seperti kerani, juru kira, juru ukur dan juru teknik dalam sistem birokrasi moden yang
diperkenalkan oleh kuasa Barat. Kaum Melayu tidak diberikan peluang untuk mentadbir
pentadbiran kerana lebih fokus kepada kegiatan pertanian dan sara diri sahaja. Sebaliknya,
hal-hal perkhidmatan awam dan kegiatan berkaitan perdagangan dan perniagaan banyak
diuruskan oleh kaum Cina, mubaligh Kristian dan pihak British.

Prasangka perkauman yang mula dipupuk oleh penjajah British dan dikuatkan lagi
dengan dasar penjajahan Jepun yang mengamalkan dasar diskriminasi kaum, telah
menyebabkan konflik antara orang Cina dan Melayu menjadi begitu tegang dan berakhir
dengan pertumpahan darah (Kassim Thukiman, 2009). Hal ini disebabkan pentadbiran Jepun
menggariskan pembahagian yang jelas dalam bentuk layanan mereka terhadap kaum-kaum
ini, terutamanya kepada orang Melayu dan bukan Melayu. Orang Melayu dan India lebih
disukai oleh Jepun berbanding dengan kaum Cina yang kerap diberi layanan buruk dan
dianiaya. Kekalahan Jepun pada 1945 telah menimbulkan semangat dendam orang Cina
kepada orang Melayu kerana membantu Jepun menjadi tali barut dan menentang Malayan
People Anti Japanese Army (MPAJA) yang didominasi oleh orang Cina. Hal ini telah
menimbulkan konflik, khususnya antara orang Melayu dan Cina apabila Komunis yang
didominasi oleh kaum Cina keluar dan menyerang kampung-kampung Melayu. Keadaan ini
telah menyemai dan menimbulkan perasaan curiga dan dendam antara kaum di Tanah
Melayu.

Di samping itu, hubungan etnik juga boleh dilihat dari perspektif ekonomi. Dasar
penjajah Inggeris yang mengamalkan konsep pecah dan perintah telah menjadi punca
wujudnya jurang antara kaum dari sudut ekonomi. Kaum Melayu tinggal di luar bandar dan
bekerja sebagai petani atau nelayan kecil. Kegiatan ekonomi orang-orang Melayu adalah
bercorak sara diri. Keadaaan ini telah menyebabkan kedudukan ekonomi masyarakat
bumiputera khususnya Melayu menjadi lemah dan ketinggalan kerana mereka tidak diberikan
peluang untuk melibatkan diri dalam bidang yang lebih maju. Kesannya, kehidupan orang
Melayu jauh mundur ke belakang dan mereka tidak dapat meningkatkan taraf hidup ke arah
yang lebih maju. Manakala, orang-orang Cina tinggal di bandar-bandar menjalankan
perniagaan dan juga di kawasan-kawasan lombong sebagai pelombong. Bagi kaum India
pula, mereka bekerja di ladang-ladang getah dan tinggal berhampiran ladang-ladang (estet).
Kegiatan ekonomi bagi masyarakat India juga sama seperti orang Melayu iaitu bercorak sara
diri. Mereka bekerja hanya untuk menyara kehidupan sehari-hari dan keluarga. Tuntasnya,
kegiatan ekonomi yang berbeza ini telah mewujudkan jurang pendapatan yang berbeza
anatara satu kaum dengan kaum yang lain. Menurut Hamidah Ab Rahman, Muhammad Daud,
& Norli Ahmad (2009), untuk memulihkan struktur ekonomi setiap kaum di Tanah Melayu,
Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditubuhkan untuk mencapai perpaduan negara melalui dua
strateginya yang bercorak serampang dua mata, iaitu mengurangkan dan seterusnya
membasmi kemiskinan di kalangan rakyat tanpa mengira kaum, dan menyusun semula
struktur masyarakat Malaysia agar mereka tidak lagi dikenali berasaskan ciri ekonomi dan
tempat tinggal.

Seterusnya, konsep hubungan etnik juga dapat dihurai dari perspektif politik.
Semasa pemerintahan British, Malayan Union ditubuhkan sebagai suatu sistem pentadbiran
dan perundangan kolonial secara terus dari kerajaan Britain. Penubuhan Malayan Union telah
menimbulkan banyak masalah, dan seterusnya memperlihatkan kebangkitan menentang
cadangan tersebut melalui penubuhan parti politik oleh setiap kaum. Orang-orang Melayu
bersatu membentuk Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk
memperjuangkan kepentingan negara dan bangsa Melayu. Orang India pula menubuhkan
Malayan Indian Congress (MIC) untuk menjaga kepentingan orang India di Tanah Melayu dan
memperjuangkan kemajuan politik bersama-sama dengan kaum lain. Manakala orang Cina
menubuhkan Malayan Chinese Association (MCA) bagi melindungi kepentingan politik kaum
Cina di Tanah Melayu serta bekerjasama dengan kerajaan British dalam menentang
keganasan komunis. Hakikatnya, pergerakan setiap parti politik adalah untuk menjaga
kepentingan kaum masing-masing. Namun, pada tahun 1954, ketiga-tiga parti terbesar yang
mewakili tiga kaum Melayu, Cina dan India telah bersepakat untuk bergabung telah membawa
kepada penubuhan Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Kerjasama kaum ini ternyata berhasil
apabila Parti Perikatan menang besar dalam Pilihanraya Persekutuan yang diadakan pada
27 Julai 1955 dengan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan Dari sudut
hubungan etnik, kemenangan ini memperlihatkan keistimewaan kerjasama antara kaum dan
manifesto Parti Perikatan yang berjaya memikat hati penduduk Tanah Melayu. Manifesto Parti
Perikatan ialah hasil tolak ansur dan kerjasama yang padu antara kaum di Tanah Melayu
dalam usaha mempercepatkan kemerdekaan daripada pihak penjajah British (Fadhilah Zaini,
& Kassim Thukiman, 2009).

Kesimpulannya, penjajahan meninggalkan banyak kesan yang turut dirasai oleh


semua etnik di Malaysia. Salah satu di antaranya ialah Dasar Pecah dan Perintah yang
dijalankan semasa penjajahan British dan kesannya turut dirasai oleh semua kaum yang ada
di Malaysia sehingga kini. Namun, penjajahan ini telah banyak membuka mata banyak pihak
bahawa betapa pentingnya negara kita diperintah oleh bangsa kita sendiri.

1. 2 PERANAN PERLEMBAGAAN SEBAGAI ALAT UNTUK MEMBINA JATI DIRI BANGSA


DALAM KONTEKS MASYARAKAT PLURALISTIK

Perlembagaan merupakan dokumen yang mengandungi semua susunan peraturan


dan undang-undang dasar yang dianggap penting bagi pemerintahan dan pentadbiran
sesebuah negara. Selain itu, perlembagaan juga menentukan bidang kuasa pemerintahan,
bentuk sesebuah kerajaan dan hak-hak rakyat. Perlembagaan Malaysia dikenali sebagai
Perlembagaan Persekutuan yang merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang
telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan
Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957. Terdapat banyak peranan
perlembagaan yang dapat membina jati diri bangsa dalam konteks masyarakat pluralistik.

Kewujudan perlembagaan adalah bertujuan untuk mewujudkan satu bentuk


pemerintahan yang adil dan tidak menjurus kepada sesetengah kaum sahaja. Sebagai
contoh, Perkara 152 dalam Perlembagaan Malaysia mewartakan bahasa Melayu sebagai
bahasa rasmi negara. Namun begitu, kewujudan bahasa rasmi atau kebangsaan tidak
menjejaskan bahasa ibunda kaum lain malah bahasa ibunda mereka di jamin oleh
Perlembagaan Malaysia. Contoh lainnya adalah dalam Perkara 3(1), perlembagaan
memperuntukkan bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara Malaysia.
Walaubagaimanapun, perlembagaan masih melindungi kebebasan kepada masyarakat
bukan Islam agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing dengan aman dan damai
(Nor Izadtul Abdullah, 2018). Masyarakat bukan Islam juga mempunyai hak untuk
menubuhkan institusi untuk tujuan pendidikan di dalam agamanya sendiri. Oleh hal yang
demikian, dapat dilihat bahawa setiap individu diberi kebebasan berbahasa dan beragama
yang diberikan sepenuhnya kepada setiap warganegara Malaysia.

Perlembagaan Malaysia juga berperanan dalam memastikan wujudnya keadilan


sosial antara kaum. Menurut Perkara 10(1)(a), setiap warganegara berhak ke atas
kebebasan bercakap dan bersuara kebebasan bersuara dalam mengekspresikan pandangan
masing-masing dalam konteks peradaban masa kini (Ilyani Khuszairy, 2018). Namun,
kebebasan ini tidaklah memberikan jaminan mutlak kepada warganegara untuk
menggunakan hak tersebut secara semberono kerana kebebasan itu juga mempunyai had
atau sekatan yang diperuntukkan di bawah Perkara 10(2). Hal ini sangat bermakna bagi
mengelakkan individu bercakap mengenai isu sensitif yang boleh menimbulkan kebencian
terhadap kaum lain. Selanjutnya, perlembagaan ini dapat menjamin keselamatan setiap
rakyat daripada berlakunya persengketaan dan pergaduhan antara kaum.

Perlembagaan Malaysia turut menggariskan beberapa perkara untuk Yang di-Pertuan


Agong bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa (Ravi, 2014). Menurut Perkara 40(1A)
turut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong dikehendaki bertindak mengikut nasihat
Perdana Menteri, yang mengetuai jemaah menteri. Dalam hal ini, walaupun baginda
mempunyai bidang kuasa tertentu, tetapi segala tindakan mereka adalah tertakluk kepada
perlembagaan. Dengan adanya perlembagaan, segala tindakan para pemimpin dapat
diketahui atau dipastikan sekaligus dapat menghalang penyalahgunaan kuasa oleh
pemerintah yang mungkin menggunakan kuasa yang dimiliki untuk melakukan perkara di luar
bidangkuasanya.

Kesimpulannya, perlembagaan menerangkan kuasa-kuasa yang dipunyai oleh


pelbagai anggota negara itu, hak-hak yang dipunyai oleh orang yang diperintah dan
perhubungan antara orang yang memerintah dengan orang yang diperintah. Oleh itu,
segenap lapisan masyarakat, generasi tua dan generasi muda, harus mengetahui, memahami
dan menghayati kandungan Perlembagaan Malaysia agar hubungan etnik di Malaysia dapat
dijaga.
SOALAN 2

2. 1 USAHA-USAHA YANG TELAH DILAKUKAN OLEH KERAJAAN DALAM MENANGANI


MASALAH INTEGRASI NASIONAL MASYARAKAT MALAYSIA KINI

Menurut Mohd Asraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, Mohd Saleh Ismail, Chin, &
Amaran@Amran Abdul Malek (2013), integrasi merujuk kepada satu proses yang diusahakan
untuk menyatukan kelompok-kelompok dengan kepelbagaian bangsa, agama dan
kepercayaan dalam sebuah masyarakat dengan identiti yang sama. Manakala nasional pula
merupakan satu konsep kebangsaan yang menjurus kepada semangat cinta akan negara.
Integrasi nasional merupakan usaha merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum ke
arah meningkatkan semangat muhibbah dan rasa kekitaan demi keharmonian dan
kesejahteraan negara (Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, 2016). Integrasi
nasional penting kerana ia akan menentukan sentimen perkauman yang boleh merobohkan
benteng perpaduan sebagaimana yang telah berlaku pada 13 Mei, 1969. Nilai perpaduan di
kalangan masyarakat pelbagai kaum harus dipertahankan agar ia dapat mengekalkan
keharmonian kaum (Rusimah Sayuti, Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah, & Salma Ishak,
2004). Banyak usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan yang menjurus kepada pemupukan
perpaduan dan integrasi nasional.

Antara usaha yang dilakukan oleh kerajaan untuk memupuk integrasi nasional dalam
masyarakat Malaysia kini adalah dengan menubuhkan organisasi Rukun Tetangga. Skim ini
diwujudkan di bawah Peraturan - Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) dalam Ordinan Darurat
1969 (Shamsul Amri Baharuddin, 2007). Penubuhan awal Skim Rukun Tetangga adalah untuk
memastikan keselamatan penduduk di kawasan-kawasan tertentu yang dikenali sebagai
sektor berikutan kejadian-kejadian yang menggugat perpaduan nasional pada ketika itu. Kini,
Rukun Tetangga (RT) berkembang sebagai organisasi sukarela diperingkat akar umbi
berlandaskan Akta Rukun Tetangga 2012 yang melaksanakan aktiviti atau perkhidmatan
untuk tujuan memupuk, meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan,
kesejahteraan dan kualiti hidup di dalam kalangan masyarakat. Aktiviti yang dilakukan boleh
dikategorikan kepada beberapa aktiviti seperti sosial, pendidikan, sukan, kebajikan, agama
dan sebagainya. Secara tidak langsung, ianya dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan
sikap bersatu padu antara jiran tetangga walaupun berbilang kaum. Hal ini demikian kerana,
setiap keluarga yang datang dari pelbagai latar belakang mempunyai masa untuk berkumpul,
saling bertanyakan khabar, saling berkongsi keunikan budaya masing-masing, saling
bertukar-tukar pendapat dan sebagainya. Justeru, perpaduan dapat disemai dalam diri setiap
masyarakat di Malaysia.
Selain itu, kerajaan juga telah memperkenalkan Rancangan Integrasi Murid Untuk
Perpaduan (RIMUP) iaitu kerjasama antara sekolah pelbagai aliran dalam semua program
pelajar dan guru. Pelaksanaan program ini berdasarkan Buku Panduan RIMUP diterbitkan
kementerian pada 2004 lalu yang menyokong terus Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(2006-2010) di bawah teras Membina Negara Bangsa. Aktiviti program RIMUP meliputi lima
elemen iaitu kesenian dan kebudayaan, sukan dan permainan, jati diri dan patriotisme,
akademik, dan khidmat masyarakat. Empat objektif utama RIMUP adalah untuk
menggalakkan penyertaan guru dan murid dalam kegiatan Bersama; mewujudkan sikap
kerjasama dan tolong-menolong; melahirkan persefahaman dan bertolak ansur antara murid
pelbagai kaum di sekolah; dan berkongsi kemudahan, peralatan, tenaga dan kepakaran untuk
kegiatan khas. Sebagai contoh, dengan adanya sambutan Hari Raya di sekolah, murid- murid
dapat mengetahui dengan lebih mendalam tentang budaya dan adat pelbagai etnik yang
ditunjukkan menerusi program ini seperti fesyen baju pelbagai kaum dan merasai makanan
tradisional Melayu. Langkah ini mampu meningkatkan lagi hubungan etnik dalam kalangan
pelajar.

Seterusnya, kerajaan juga telah melaksanakan Program Latihan Khidmat Negara


(PLKN) pada tahun 2004 merupakan kursus latihan wajib selama tiga bulan secara
berkhemah dan berasrama bagi remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia. Menurut Mohd Asraf
Ibrahim, Mohd Aris Othman, Mohd Saleh Ismail, Chin, K. T., & Amaran@Amran Abdul Malek
(2013), PLKN dilaksanakan berteraskan Rukun Negara dan mempunyai kurikulum
multidisiplin yang merangkumi empat modul; Modul Fizikal merangkumi aktiviti kawad,
merempuh halangan, merentas desa dan kembara hutan); Modul Kenegaraan (pengetahuan
tentang pembinaan negara atau nation-building); Modul Pembinaan Karakter (penerokaan diri
sendiri dan hubungan interpersonal); dan Modul Khidmat Komuniti (merangkumi aktiviti
gotong-royong seperti membersihkan, mengindahkan dan menceriaka Kawasan sekitar).

Walaupun pada awal tahun pelaksanaannya ia menerima pelbagai reaksi dan kritikan
lebih-lebih lagi dari segi pengurusan, namun kini diakui oleh pelbagai pihak bahawa program
ini dapat membentuk sikap yang lebih positif di kalangan generasi muda pelbagai kaum
terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Di samping itu, pergaulan di antara etnik juga
dapat diperbaiki dengan penglibatan semua peserta dalam aktiviti kerjasama dan
berkumpulan. PLKN sememangnya menyumbang terhadap usaha memupuk perpaduan
kaum, terutamanya dalam kalangan golongan remaja kerana semua aktiviti yang dijalankan
menekankan semangat muhibah dan saling berolak ansur antara peserta tidak mengira kaum
atau agama. Modul Kenegaraan dapat menyemai semangat cinta akan tanah air di samping
membolehkan para peserta mempelajari adat dan perpaduan kaum. Apabila wujudnya rasa
cintakan negara dalam diri peserta, perpaduan kaum dan integrasi nasional serta saling
kerjasama antara kaum di Malaysia dapat diwujudkan kerana masing-masing mempunyai
satu matlamat, iaitu untuk melihat Malaysia sebagai negara yang aman dan harmonis. Hal ini
akhirnya dapat melahirkan remaja yang sanggup berkorban demi perpaduan bangsa.

Konklusinya, tanpa dasar integrasi yang tepat dan sesuai pasti akan memberikan
kesan yang besar kepada pembangunan negara. Program dan projek pembangunan akan
sukar dilaksanakan apabila masa, tenaga dan kos terpaksa dihabiskan untuk menyelesaikan
konflik dalaman negara. Justeru memahami integrasi nasional adalah sangat relevan kerana
mengenal pasti masalah dan cabaran semasa menjadi input kepada dasar awam yang
dilaksanakan pada masa akan datang.

2.2 CABARAN YANG DIHADAPI DALAM MENANGANI MASALAH INTEGRASI


NASIONAL MASYARAKAT MALAYSIA KINI

Pada hari ini, usaha dalam merealisasikan integrasi semakin mencabar. Walaupun
banyak usaha telah dilakukan, namun masih terdapat pelbagai halangan yang menjadi
masalah dalam pembentukkan masyarakat yang bersatu padu di Malaysia. Hal ini disebabkan
oleh permintaan yang tinggi dalam persoalan hak sering kedengaran atas nama demokrasi.
Terdapat beberapa cabaran yang dihadapi dalam menangani masalah integrasi nasional
masyarakat Malaysia kini seperti cabaran sosial, politik, dan nilai antara etnik.

Antara cabaran yang perlu ditempuh dalam menangani masalah integrasi nasional
adalah cabaran sosial. Kontrak sosial merupakan persetujuan yang dicapai semasa
kemerdekaan dalam merangka perlembagaan. Namun, isu ini sering kali timbul dan
ditimbulkan oleh pihak tertentu yang boleh membawa kepada kerengangan hubungan etnik
di Malaysia. Antara isu yang kerap kali dibangkitkan ialah kedudukan istimewa orang Melayu,
kedudukan agama Islam, Bahasa Melayu, dan isu kemasukan pelajar ke IPTA dan pelbagai
lagi. Menurut Kamarulzaman Askandar (2006), isu penggunaan Bahasa Melayu telah
membangkitkan rasa tidak puas hati kaum bukan Melayu kerana mereka beranggapan
bahawa pengunaan bahasa Melayu akan menyebabkan jatuhnya kedudukan martabat
bahasa ibunda mereka.

Di samping itu, kerajaan juga turut menghadapi cabaran dari sudut politik. Politik
perkauman boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan mengukuhkan semangat
perkauman sekiranya penyuaraan terhadap kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa
mengambil kira kepentingan semua pihak. Kewujudan parti politik yang berasaskan kumpulan
etnik telah memperkukuhkan lagi syak wasangka antara etnik. Setiap parti hanya akan
memperjuangkan kepentingan hubungan etnik yang diwakili. Isu-isu seperti bahasa,
kebudayaan, pendidikan, agama dan lain-lain menjadi cabaran dalam usaha mencapai
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Oleh yang demikian, pihak
kerajaan sentiasa melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan wujud perpaduan tanpa
ada sebarang sengketa berdasarkan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan (Mohd Asraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, Mohd Saleh Ismail, Chin, &
Amaran@Amran Abdul Malek, 2013).

Selanjutnya, cabaran nilai antara etnik juga wujud dalam masyarakat Malaysia kini.
Setiap kaum di Malaysia mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan yang berlainan.
Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap kaum terus menebal dengan bahasa dan
kebudayaan mereka sendiri. Hal ini menyebabkan anggota etnik lebih mengutamakan
anggota daripada etnik yang sama dalam memilih sahabat, mendapat pekerjaan dan
mewujudkan polarisasi antara etnik. Amalan dan layanan berat sebelah yang memihak
kepada tenaga kerja bukan Melayu, wujud secara jelas dalam sektor swasta bukan milik
bumiputera. Ini dicerminkan oleh gaji rendah pekerja bumiputera, kenaikan gajinya yang
dilambatkan, dan peluang latihan yang terhad (Rais Saniman, & Ruhanie Ahmad, 2018) .
Kebanyakan sektor swasta memberikan pelbagai alasan untuk tidak membuka peluang
pekerjaan kepada bumiputera. Antaranya, masalah graduan bumiputera yang tidak boleh
menulis dan bertutur dalam bahasa Mandarin. Amalan diskriminasi ini turut memburukkan
tahap tidak saksama (inequality) dalam penyediaan peluang pekerjaan, pembahagian
pendapatan, dan pengagihan kekayaan nasional yang melibatkan bumiputera.

RUMUSAN

Hubungan etnik yang mantap sangat perlu dalam kalangan rakyat sesebuah negara
yang mempunyai kepelbagaian kaum yang terdiri daripada pelbagai agama, bahasa,
budaya dan etnik yang tersendiri. Menurut Ismail Ibrahim (2009), integrasi kaum dan
hubungan etnik juga sangat penting supaya perpaduan terus terjalin. Integrasi nasional
adalah agenda yang sangat penting bagi kelestarian kestabilan politik negara. Untuk
berhadapan dengan cabaran yang lebih besar, asas pembinaan negara bangsa Malaysia
perlu kukuh dan mampu bertahan. Hal ini kerana, perpaduan yang terjalin antara kaum dapat
mewujudkan suatu suasana yang harmoni dalam negara seterusnya memberi kemajuan
kepada pelbagai bidang di Malaysia iaitu selaras dengan harapan pemimpin negara untuk
mencapai negara maju menjelang 2020. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai
kaum dan etnik, perkara ini dianggap penting kerana kemajuan sesebuah negara adalah
bergantung kepada perpaduan rakyat di negara.
RUJUKAN

Aszlan Selamat, & Mohamad Iszuan Safarudin. (2016). Penilaian Faktor-faktor Kesenjangan
Etnik di Malaysia Sebagai Penghalang Perpaduan Nasional. Jurnal Kinabalu, 19.
Diakses daripada file:///C:/Users/User/Downloads/504-Article%20Text-1035-1-10-
20161227.pdf

Fadhilah Zaini, & Kassim Thukiman. (2009). Pembangunan Politik dalam Hubungan
Etnik. Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 115-140. Diakses
daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/14762/1/FadilahZaini2009_Pembangunan
PolitikdalamHubunganEtnik.pdf

Hamidah Ab Rahman, Muhammad Daud, & Norli Ahmad. (2009). Pembangunan Ekonomi
dalam Hubungan Etnik. Hubungan Etnik di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 185-
198. Diakses daripada http://eprints.utm.my/id/eprint/14760/1/HamidahAbdulRahman
2009_PembangunanEkonomidalamHubunganEtnik.pdf

Ilyani Khuszairy (12 Mac 2018). Antara hak dan batasan bersuara. Utusan Online. Diakses
daripada http://www.utusan.com.my/rencana/utama/antara-hak-dan-batasan-bersu
ara-1.625445

Ismail Ibrahim. (2009). 1 Malaysia Dalam Konteks Kepelbagaian Agama. Kuala Lumpur:
JAKIM.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. (2016). Perpaduan dan integrasi nasional.
Diakses daripada http://www.penerangan.gov.my/dmdocuments/perpaduan_integrasi
_nasional/files/downloads/perpaduan_integrasi_nasional.pdf

Kamarulzaman Askandar. (2006). Perpaduan dan perdamaian etnik. Utusan Online. Diakses
daripada http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0820&pub=utusan_
malaysia&sec=rencana&pg=re_05.htm&arc=hive

Kassim Thukiman. (2009). Hubungan Etnik Pada Zaman kolonial. Hubungan Etnik di
Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik, 71-87. Diakses daripada http://eprints.utm.my
/id/eprint/14548/1/KassimThukiman2009_HubunganEtnikdiZamanKolonial.pdf

Mohd Asraf Ibrahim, Mohd Aris Othman, Mohd Saleh Ismail, Chin, K. T., & Amaran@Amran
Abdul Malek. (2013). Hubungan etnik. Selangor: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Nor Izadtul Abdullah. (2018). Perlembagaan Malaysia dalam Perspektif Hubungan Etnik.
Diakses daripada https://eportfolio.utm.my/view/view.php?id=80429
Rais Saniman, & Ruhanie Ahmad. (2018). Pekerja bumiputera ditindas? Utusan Online.
Diakses daripada http://www.utusan.com.my/rencana/utama/pekerja-bumiputera-
ditindas-1.791752

Ravi Kumar Nadarashan. (2014). Perlembagaan Malaysia Full. Diakses daripada


https://www.scribd.com/document/205782197/Perlembagaan-Malaysia-Full

Rusimah Sayuti, Mohd Ainuddin Iskandar Lee Abdullah, & Salma Ishak. (2004). Kajian
hubungan kaum di kalangan pelajar Sekolah Pembangunan Sosial, Universiti Utara
Malaysia. Diakses daripada http://repo.uum.edu.my/1833/1/19.pdf

Shamsul Amri Baharuddin. (2007). Modul Hubugan Etnik. Putrajaya: Maskha Sdn. Bhd.

You might also like