Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 10

| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

849 | MEDC 2018


Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018
Penyunting: Rahimah Embong, Hanif Md Lateh @ Junid, Mustafa Che Omar,
Mohamad Zaidin Mohamad & Abdul Hakim Abdullah
eISBN 978-967-2231-03-5 (2018), http: //www.unisza.edu.my/medc2018

TAHAP KEFAHAMAN GURU BESAR DALAM PENGURUSAN KEWANGAN


DAN PERAKAUNAN SEKOLAH: KAJIAN KES DI UTARA SEMENANJUNG
*FAUZI HUSSIN, YAHYA DON, M.S. OMAR-FAUZEE, SITI NOOR ISMAIL
& ABDULL SUKOR SHAARI
School of Education, Universiti Utara Malaysia
*fauzi@uum.edu.my

Abstrak: Pengetua atau guru besar merupakan pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan
sepenuhnya untuk memastikan bahawa aspek pengurusan kewangan sekolah dijalankan mengikut
prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan melalui surat-surat Pekeliling Kewangan dan
Perakaunan Sekolah; Arahan Perbendaharaan; dan Akta Pendidikan 1996. Kertaskerja ini bertujuan
mengenalpasti tahap kefahaman guru besar dalam pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah rendah
berdasarkan faktor jantina, pengalaman sebagai pentadbir, kursus kewangan yang dihadiri serta sikap dan
akauntabiliti seseorang guru besar. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah temu bual ke atas 23 orang
guru besar (16 orang guru besar lelaki dan 7 orang guru besar perempuan) sebagai responden di negeri-
negeri Perlis, Kedah, P. Pinang (utara) dan Perak (utara)). Rujukan dan pemerhatian ke atas dokumen-
dokumen penting dilakukan sebagai sokongan bagi pengumpulan data kajian ini. Dapatan kajian
menunjukkan kesemua guru besar mempunyai tahap kefahaman yang jelas dan mengetahui jenis-jenis
akaun sekolah dan apa-apa yang terkandung dalam setiap akaun berkenaan (Akaun Kumpulan Wang
Kerajaan, Kumpulan Wang SUWA dan Kumpulan Wang Asrama) tetapi sebahagian guru besar tidak
dapat menjelaskan secara terperinci tatacara pengiraan dan kaedah merekodkan maklumat berkaitan
perakaunan sekolah. Terdapat sedikit perbezaan tahap kefahaman antara setiap guru besar dari sudut
pengetahuan dan pengalaman mereka dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah, tetapi tidak
ada bukti yang jelas bahawa wujud perbezaan kefahaman berdasarkan jantina guru besar. Selain itu,
kerani kewangan yang berpengalaman amat membantu tugas-tugas guru besar dalam menguruskan
kewangan dan perakaunan sekolah. Faktor sikap juga penting kerana ada sebahagian kecil guru besar
yang kurang memberi penelitian serius dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah,
sebaliknya hanya menandatangani sesuatu dokumen tertentu kerana terlalu mengharapkan kebolehan
kerani kewangan yang dilantik. Dicadangkan supaya guru-guru penolong kanan sekolah patut diberi tugas
secara serius bagi membantu guru besar menyemak rekod-rekod kewangan dan perakaunan sekolah
sebelum mereka dilantik ke jawatan guru besar.

Kata kunci: Tahap kefahaman, Guru besar, Pengurusan Kewangan

PENGENALAN

Pengurusan kewangan merupakan satu bidang yang memerlukan kebijaksanaan dan intergriti
pihak pentadbir iaitu guru besar di peringkat sekolah rendah atau pengetua sebagai pentadbir di
sekolah menengah. Sejajar dengan itu, pengurusan kewangan haruslah diurus dengan cekap dan
bersistematik seperti yang telah ditetapkan dalam Akta Pendidikan 1996. Pengetua atau guru
besar merupakan pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk memastikan
bahawa aspek pengurusan kewangan sekolah dijalankan mengikut prosedur dan peraturan yang
telah ditetapkan oleh kerajaan melalui surat-surat Pekeliling Kewangan dan Perakaunan
Sekolah; Arahan Perbendaharaan; dan Akta Pendidikan 1996.
Bagi menentukan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia dilaksanakan dengan lebih
berkesan, tatacara kewangan perlu sentiasa dikaji dan dikemas kini bagi memenuhi objektif
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

850 | MEDC 2018

kewangan semasa (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2004). Aspek kewangan adalah tugas
penting yang perlu dikendalikan secara sistematik dan berkesan. Pengetua atau guru besar
bertanggungjawab sepenuhnya dalam menentukan aspek kewangan sekolah supaya berjalan
mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. Beliau juga bertanggungjawab
memastikan tiada sebarang penyelewengan berlaku dalam pentadbiran kewangan sekolah.
Pengetua atau guru besar dikehendaki mengkaji dan mematuhi segala prosedur
kewangan bagi menentukan kelicinan pengurusan kewangan sekolah. Pengetahuan dalam ilmu
simpan kira adalah perlu bagi membolehkan pengetua atau guru besar membuat perancangan
kewangan di samping menyelia kerja-kerja perkeranian dengan berkesan (Zaidatol Akmaliah,
2003). Jika sesebuah sekolah ingin mencapai tahap kecemerlangan, pengurusan kewangan perlu
dilaksanakan dengan cekap dan berkesan kerana banyak kajian menunjukkan wujudnya
perkaitan yang rapat di antara kejayaan sesebuah sekolah dengan jumlah wang yang diurus dan
digunakan secara bijaksana (Borman et al., 2000). Sehubungan itu, Burrup (1996) menegaskan
pengurusan kewangan yang cekap bukan bermakna penjimatan wang daripada berbelanja tetapi
lebih menumpukan perbelanjaan berkesan yang menghasilkan manfaat yang banyak kepada
pencapaian murid. Justeru, pengurusan kewangan yang cekap dan berkesan amat bergantung
kepada kebijaksanaan kepemimpinan sekolah untuk merancang sebelum perbelanjaan dilakukan
dengan perancangan yang teliti serta menentukan agihan bantuan kewangan bagi perbelanjaan
dapat dilakukan dengan berkesan.

PERNYATAAN MASALAH

Isu dan masalah yang sering timbul dalam pelantikan guru besar adalah pelantikan yang tidak
berdasarkan latihan dan kepakaran hingga menyebabkan guru besar mentadbir secara kaedah
cuba-cuba jaya. Guru besar juga banyak bergantung kepada kerani yang berpengalaman dalam
menguruskan kewangan di sekolah. Hal ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dalam
pengurusan kewangan di sekolah akibat berlaku ketidakfahaman dan kurang berpengalaman
dalam menyediakan belanjawan sekolah. Pengurusan kewangan yang tidak jelas berdasarkan
peraturan kewangan sekolah secara tidak langsung menjejaskan perjalanan kewangan sekolah
kerana pengurusan kewangan yang baik perlu diuruskan mengikut peraturan-peraturan yang
ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.
Namun demikian terdapat juga sekolah yang menghadapi masalah dalam pengurusan
kewangan. Antara faktor yang menyebabkan masalah dalam pengurusan kewangan sekolah
adalah kurangnya pemantauan dan keterlibatan pihak pentadbiran dalam pengurusan kewangan
dan perakaunan sekolah. Sesetengah guru besar menyerahkan tugas pengurusan kewangan
kepada pembantu tadbir sepenuhnya. Perbelanjaan yang dilakukan pula tidak mengikut
peraturan. Justeru itu, sekolah tersebut berkemungkinan akan dikenakan audit bersyarat. Perkara
ini berlaku disebabkan sikap kurang bertanggungjawab dalam kalangan pengetua dan juga
kurang kefahaman dalam pengurusan kewangan (Muhammad Faizal A. Ghani dan Shahril @
Charil Marzuki; 2010). Kajian-kajian terdahulu mendapati pengurus sekolah tidak menguasai
pengetahuan dan kecekapan yang diperlukan untuk menguruskan kewangan sehingga
menyerahkannya kepada kakitangan pentadbiran (Shahril@Charil, 2005). Justeru pengetua atau
guru besar selaku pengurus sekolah bukan sahaja dituntut berpengetahuan dan mahir dalam
bidang pendidikan tetapi juga mahir dalam bidang pengurusan, khususnya pengurusan
kewangan sekolah.
Sistem lantikan ke jawatan guru besar di negara kita juga sebahagiannya tidak
berteraskan kepada kepakaran yang dimiliki oleh mereka dalam pengurusan serta penyertaan
mereka dalam kursus mahupun modul-modul latihan kepimpinan dan pengurusan tetapi
berdasarkan kepada senioriti atau kekananan dalam perkhidmatan. Keadaan ini menyebabkan
guru besar dilantik tanpa diberi kursus cara menguruskan sekolah terutamanya daripada segi
pengurusan kewangan dan perakaunan. Lantikan sebegini akan menyebabkan guru besar
menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah masing-masing dengan bantuan kerani
kewangan dan menjadikan mereka tidak mempunyai keyakinan dalam membuat keputusan.
Keadaan kurang memuaskan ini akan menjadi lebih parah jika pegawai di Pejabat Pendidikan
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

851 | MEDC 2018

Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri juga tidak turut memantau dan memberi bantuan kepada
mereka (Shahril, 2005).
Berdasarkan laporan audit menunjukkan bahawa 797 sekolah daripada 8635 buah
sekolah telah menerima laporan audit bersyarat kesan daripada pengurusan sekolah gagal
mematuhi pekeliling dan peraturan-peraturan kewangan yang telah ditetapkan. Berdasarkan data
ini, berlaku peningkatan dalam audit berteguran daripada tahun 2007 dan 2008 iaitu masing-
masing 715 dan 797 sekolah (Marzita Abu Bakar, 2010). Masalah guru besar kurang membuat
pemantauan mengenai geran perkapita mata pelajaran dalam kalangan guru pula berlaku
mengakibatkan wujud masalah timbul (Dzurawati Harun, Mohd Farid Hassan & Mohd Yusri
Ismail, 2012).
Penyelewengan dan salah urus juga turut dilakukan oleh guru-guru dan pentadbir dalam
menguruskan bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM). Laporan audit
menunjukkan bahawa pengurusan bantuan KWAMP tidak menepati tujuan asal penubuhannya
dan tidak mematuhi pekeliling yang berkuat kuasa (Baizura Mohd Zainon & Suhaida Abd.
Kadir, 2013). Kajian mendapati hanya 26.9 % sahaja guru besar yang melibatkan diri dalam
pengurusan kewangan sekolah secara langsung iaitu dengan memantau dan mengambil berat
soal-soal berkaitan kewangan sekolah. Peratusan ini menunjukkan suatu angka yang agak
membimbangkan kerana penglibatan guru besar adalah terlalu kecil. Seharusnya semua guru
besar mesti melibatkan diri mereka secara aktif bagi setiap aspek dan peringkat pengurusan
kewangan sekolah bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan pengurusan kewangan
sekolah. Perkara sebegini berlaku kerana guru besar telah memberi kepercayaan yang penuh
kepada pembantu tadbir untuk menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah, sebaliknya
mereka hanya melihat dari jauh dan menurunkan tanda tangan apabila perlu (Sazali, 2007).
Ketua Audit Negara menjelaskan antara punca kelemahan pengurusan kewangan yang
kerap dibangkitkan adalah tidak berminat dalam aktiviti mengurus akaun dan kewangan sekolah
(Shahril@Charil, 2006). Masalah ini berkemungkinan disebabkan kekurangan ilmu
pengetahuan dan pengalaman selain gagal membuat penyeliaan dan pengawasan ke atas
pegawai dan kakitangan yang terlibat dengan kewangan sekolah. Guru Besar juga tidak
merancang sumber yang ada bagi menguruskan segala keperluan perbelanjaan dengan cekap
dan berkesan. Maka timbul masalah perbelanjaan tanpa perancangan dan menyebabkan berlaku
kesalahan tidak membelanjakan mengikut tujuan mata pelajaran. Selain itu, masalah pembelian
dibuat tanpa borang pesanan dengan mengambil barangan dahulu daripada pembekal. Bayaran
yang dibuat pula adalah tanpa baucar dan dokumen sokongan bagi menentukan ketetapan harga
barangan (Mohd Richard Nales Abdullah, 2013).
Masalah sering wujud melibatkan pengurusan kewangan adalah kelewatan kemasukan
wang diterima daripada kerajaan ke akaun sekolah menyebabkan sekolah mempunyai sumber
kewangan yang terhad. Maka pihak sekolah terpaksa menggunakan sumber wang yang terhad
seperti menggunakan sumber kewangan daripada sumbangan PIBG. Masalah menjadi lebih
runcing lagi apabila pihak PIBG juga tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi.
Justeru, tanpa sumber kewangan sekolah yang mencukupi menjadi sukar untuk menjalankan
pelbagai aktiviti seperti yang dirancang (Intan Suriana Muhidin, 2013).
Kajian oleh Marzita Abu Bakar (2010) menjelaskan bahawa kuasa autonomi tidak
diberikan sepenuhnya kepada pengetua untuk mendapatkan peruntukan wang bagi sekolah
masing-masing tanpa mendapat kelulusan daripada ketua PTj. Manakala di luar negara
pengurus PTj mendapat autonomi sepenuhnya dalam membuat keputusan bagi menambah
pendapatan institusi dan mengenakan kos langsung sesuatu program, seterusnya menyediakan
laporan prestasi lengkap dan hanya mengadakan program yang menguntungkan serta ekonomik
(Strauss & Curry, 2002).
Oleh yang demikian timbul persoalan, mengapakah masalah-masalah sebegini berlaku?
Adakah ia berpunca dari tahap kefahaman guru besar dalam menguruskan kewangan sekolah
sehingga perkara sebegini berlaku. Sehubungan itu untuk mendapat maklumat yang lebih
mendalam tentang isu ini maka satu kajian tentang tahap kefahaman guru besar berkaitan
prosedur menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah di sekolah-sekolah kebangsaan
dijalankan oleh penyelidik. Secara umumnya kajian ini bertujuan menentukan tahap kefahaman
guru besar dalam pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

852 | MEDC 2018

METODOLOGI KAJIAN

Kaedah kualitatif telah dijalankan dengan pengkaji pergi ke lokasi kajian untuk menemu bual
subjek kajian dan membuat rakaman sepanjang proses temu bual di sekolah serta meneliti
dokuman keperluan yang berkaitan dengan kajian. Semasa sesi temu bual, soalan yang
dikemukakan adalah fleksibel, teratur dan intensif untuk meneroka pengetahuan dan kefahaman
guru besar dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah di sekolah masing-masing.
Selain daripada membuat catatan lapangan, pengkaji juga telah merekodkan sesi temu bual
menggunakan alat perakam video. Rakaman video adalah perlu bagi memastikan reaksi,
tingkah-laku dan mimik muka subjek dapat diperhatikan. Rakaman video dan catatan pengkaji
adalah bahan bukti yang dianalisis dan dibuat transkrip, seterusnya dianalisis untuk mendapat
hasil dapatan kajian.
Kajian ini menggunakan kaedah temubual secara berstruktur iaitu setiap responden
yang ditemu bual ditanya soalan-soalan yang sama. Responden yang ditemubual melibatkan
seramai 23 orang guru besar di beberapa buah sekolah di negeri-negeri Perlis, Kedah, dan
beberapa orang guru besar di Pulau Pinang (Seberang Perai) dan Perak (Utara). Guru Besar
merupakan subjek kajian yang dipilih kerana kajian ini bertujuan mengenal pasti tahap
kefahaman guru besar terhadap pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah. Berdasarkan
kajian yang terdahulu, penyelidikan persampelan bertujuan tidak perlu kepada bilangan subjek
kajian yang ramai tetapi kepentingannya ialah sampel itu dapat mewakili isu yang dikaji (Mohd
Richard Neles Abdullah, 2013).
Responden yang di temubual adalah guru besar yang terlibat dan bertanggungjawab
dalam pengurusan kewangan dan perakaunan di semua sekolah kebangsaan. Dua puluh tiga
buah sekolah yang dijadikan lokasi kajian terletak di kawasan yang berbeza. Segala kemudahan
berhubung mendapatkan sampel kajian adalah amat penting kerana kajian kualitatif memerlukan
masa dan kos sepanjang kajian berlangsung. Menurut Chua (2011), kajian kes melibatkan
peserta kajian dan temu bual terhadap peserta kajian adalah penting untuk mendapat maklumat.
Selain itu, untuk mendapatkan maklumat tambahan iaitu dokumen-dokumen seperti salinan
pesanan sekolah, resit pembelian/pembayaran, Buku Tunai, Akaun subsidiari dan sebagainya,
maka pengkaji berinteraksi dengan kerani kewangan di kesemua 23 buah sekolah yang terlibat
dalam kajian. Kesahan dan kebolehpercayaan kajian kes boleh ditingkatkan apabila pengkaji
menggunakan kaedah triangulasi iaitu integrasi kaedah yang berbeza bagi mendapatkan lebih
daripada satu bentuk data supaya dapatan lebih meyakinkan.
Bahagian A adalah soalan diajukan mengenai latar belakang dan pengalaman bertugas
subjek kajian dan Bahagian B soalan yang diajukan tentang pengurusan kewangan dan
perakaunan sekolah. Item-item dalam soalan temu bual adalah berdasarkan soalan yang
dibincang bersama ahli penyelidik di samping merujuk kepada garis panduan pengurusan
kewangan, peruntukan bantuan persekolahan,bantuan per kapita dan lain-lain yang berkaitan
(Bahagian Kewangan Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012). Bagi menguatkan bukti sesuatu
data dengan data yang lain maka teknik triangulasi (temu bual dan pemerhatian dokumen)
digunakan. Sekiranya perolehan data melalui temu bual kurang memuaskan, maka teknik
penelitian dokumen dapat membantu menambahkan lagi maklumat yang diperoleh.
Sebelum kajian dijalankan, pengkaji meminta kebenaran daripada responden terlebih
dahulu untuk ditemu bual. Temu bual dilakukan kepada 23 orang responden terdiri daripada
guru besar di semua 23 buah sekolah rendah yang telah dipilih secara persampelan berstrata
berdasarkan negeri, daerah, dan sekolah. Persampelan berstrata adalah persampelan dipilih
berdasarkan sekolah-sekolah rendah di negeri-negeri yang terletak di bahagian utara
semenanjung Malaysia.Temu bual berdasarkan item soalan yang dibina terlebih dahulu secara
berstruktur. Soalan ini dibuat berdasarkan dapatan kajian kuantitatif yang memerlukan
penjelasan yang lebih lanjut. Masa yang diambil adalah antara 30 minit hingga satu jam sahaja
bagi setiap sesi temu bual.
Bagi rujukan dokumen, pengkaji membuat semakan dokumen dan pengimbasan dengan
mengambil gambar dan melakukan rakaman kepada dokumen yang dikenal pasti dapat
mengukuhkan kepada kesahan dan kebolehpercayaan maklumat kajian. Semua aktiviti
melibatkan guru besar dalam pengurusan kewangan termasuk perancangan, memberi arahan
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

853 | MEDC 2018

kepada pembantu tadbir tugas-tugas yang perlu dilakukan seperti menurunkan kuasa,
pemantauan, menyemak Buku Tunai dan Akaun Subsidiari, menyemak resit atau segala
dokumen pembelian dan pembayaran, mengadakan perbincangan dan mesyuarat.
Seterusnya, pengkaji terus menghubungi guru besar sekolah melalui telefon dan
mengadakan temu janji untuk menjalankan kajian melibatkan sesi temu bual dan rujukan
dokumen. Temu bual yang dijalankan secara berstruktur dan semi berstruktur bagi mendapatkan
data serta maklumat secara terperinci dari pihak responden. Sepanjang sesi temu bual diadakan,
rakaman suara juga dibuat secara berterusan. Manakala bahan-bahan berkaitan dengan kajian
kes seperti buku tunai, buku panjar, invois dan Buku Tunai, Akaun Subsidiari dirakam dengan
merakam gambar atau video sebagai bahan kajian.
Proses temu bual dan bukti dokumen memerlukan penganalisisan secara kualitatif.
Melalui kaedah temu bual ini, hasil catatan dan perakam suara dianalisis secara deskriptif.
Pengekodan pula dilakukan untuk memudahkan pengkaji membuat penganalisaan. Maklumat
latar belakang responden dirahsiakan untuk melindungi kredibiliti subjek dan sekolah kajian.
Seterusnya pengkaji mengumpul pendapat, pemikiran, pandangan dan pengalaman berdasarkan
penyataan langsung daripada responden kajian. Di samping itu, semua tingkah laku responden
semasa temu bual juga dicatatkan. Semua data yang diperoleh dikelompokkan kepada bahagian
yang ditetapkan dalam persoalan kajian. Dapatan temu bual yang telah dilaksanakan dihuraikan
secara deskriptif dengan membina transkrip daripada hasil temu bual dan seterusnya membuat
analisis bagi hasil temu bual tersebut.
Peringkat seterusnya pengkaji membuat analisis terhadap data daripada sesi temu bual
dijalankan secara berperingkat iaitu semua jawapan daripada responden di transkrip dalam
bentuk bertulis. Selepas itu pengkaji menyaring maklumat yang berkaitan atau maklumat yang
diperlukan sahaja. Transkrip yang telah disaring pula akan dibuat reduksi supaya hasil temu
bual yang bermakna dan sesuai sahaja diambil sebagai maklumat kajian. Temu bual yang dibuat
jenis separa struktur secara tidak langsung memudahkan pengkaji untuk memperoleh data.
Pengkaji menganalisis data secara manual iaitu dengan membaca secara teliti semua dokumen
dan mendengar dengan teliti rakaman perbualan yang dibuat. Pengkaji akan membuat
pemilihan maklumat daripada rakaman atau dokumen yang berkaitan dengan kajian. Segala
maklumat daripada rakaman dan dokumen yang tidak berkaitan tidak akan dimasukkan dalam
dapatan kajian.

DAPATAN KAJIAN

Berdasarkan transkrip temu bual berkaitan jenis-jenis Kumpulan Wang Sekolah, maka dapat
dirumuskan bahawa semua guru besar dapat menjelaskan dengan sangat baik berkaitan jenis-
jenis akaun di bawah Kumpulan Wang Sekolah. Guru besar dapat menjawab dengan tepat jenis-
jenis kumpulan wang iaitu Kumpulan Wang Kerajaan (KWK), Kumpulan Wang SUWA serta
Kumpulan Wang Asrama bagi sekolah yang mempunyai asrama. Item-item yang terkandung di
bawah setiap kumpulan wang dapat dijawab dengan tepat. Misalnya, bayaran kerajaan
berdasarkan geran per kapita (PCG) murid akan dimasukkan dalam akaun Kumpulan Wang
Kerajaan (KWK), manakala sewa kantin, pendapatan dari kedai buku dan sumbangan orang
ramai pula dimasukkan dalam akaun Kumpulan Wang SUWA. Pengkaji berpuas hati dengan
jawapan guru besar berkaitan jenis-jenis kumpulan wang dan butiran-butiran yang terkandung
dalam setiap kumpulan wang berkenaan. Manakala kumpulan wang lain yang diuruskan oleh
Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) adalah daripada sumber kewangan yang diuruskan oleh PIBG.
Semua guru besar dapat menjelaskan dengan baik berkaitan akaun subsidiari, Akaun Belum
Bayar (ABB) dan Akaun Belum Terima (ABT). Bagaimana pun ada beberapa guru besar tidak
menjelaskan secara mendalam, khususnya apabila diajukan soalan berkaitan akaun subsidiari.
Dapatan daripada temu bual didapati semua guru besar dapat menerangkan dengan baik
fungsi buku tunai dan mengetahui bahawa buku tunai memang perlu disemak oleh guru besar.
Sejajar dengan itu maksud buku tunai adalah buku perakaunan bagi sebuah sekolah mencatat
urusan penerimaan dan membayar berdasarkan pekeliling dan peraturan semasa. Buku tunai ini
juga adalah dokumen rujukan penting bagi penyata kewangan tahunan bagi setiap sekolah dan
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

854 | MEDC 2018

perlu dikendalikan secara berasingan berdasarkan tahun. Guru besar mengetahui bahawa buku
tunai perlu disemak tetapi tidak menetapkan berapa kali kekerapan yang perlu disemak setiap
tahun sedangkan proses semakan sangat penting kerana melibatkan jumlah catatan wang keluar
dan masuk.
Keseluruhan guru besar yang ditemu bual dapat menjelaskan dengan baik berkaitan
sumber-sumber bagi terimaan wang seperti daripada kerajaan berdasarkan geran per kapita
murid serta derma daripada orang ramai. Bagaimana pun hampir kesemua guru besar tidak
dapat menjawab dengan baik apabila diajukan soalan bagaimana geran per kapita tersebut
dikira. Sebaliknya guru besar berkenaan akan meminta bantuan kerani kewangan untuk
menerangkan dengan jelas bagaimana PCG tersebut dikira.
Keseluruhan guru besar dapat menjelaskan dengan baik berkaitan pembelian, khususnya
pembelian bernilai kecil yang menggunakan panjar wang runcit (petty cash). Perolehan yang
bernilai tinggi seperti aset alih tidak dijelaskan secara mendalam oleh guru besar kerana
pembelian berkenaan tidak diuruskan secara langsung oleh pihak sekolah. Semua perolehan
bernilai tinggi diuruskan oleh Unit Pembangunan dan Perolehan, JPN. Pihak sekolah hanya
memohon melalui PPD bagi semua perolehan bernilai tinggi berkaitan.
Setiap guru besar dapat menjelaskan dengan baik berkaitan tatacara membuat
pembayaran. Bagaimana pun ada sebahagian guru besar hanya memberi jawapan terlalu ringkas
berkaitan prosedur dalam membuat sesuatu pembayaran. Hasil temu bual menunjukkan
kebanyakan guru besar membuat persiapan awal sebelum audit luaran datang ke sekolah
berkenaan untuk tujuan pengauditan atau pihak sekolah diarah menghantar segala dokumen
berkaitan ke JPN untuk tujuan yang sama. Kebanyakan guru besar melantik beberapa orang
guru sekolah berkenaan sebagai juruaudit dalaman bagi memastikan semua dokumen yang
diperlukan adalah lengkap sebelum juruaudit luaran datang membuat pengauditan. Cara ini
dapat memastikan sekolah berkenaan tidak mendapat penarafan audit berteguran kelak.
Secara keseluruhannya, dalam menangai isu dan masalah berkaitan pengurusan
kewangan adalah terbahagi kepada dua jenis iaitu bagaimana mendapatkan sumber kewangan
dan bagaimana menguruskan sumber kewangan. Hasil dapatan menunjukkan bahawa setiap
sekolah menghadapi masalah kekurangan sumber kewangan daripada sumbangan ibu bapa
murid. Kebolehan seseorang guru besar untuk memohon bantuan kewangan daripada pihak
swasta atau badan korporat dapat membantu pembangunan sesebuah sekolah yang ditadbir.
Manakala dalam menguruskan sumber kewangan sekolah kebanyakan guru besar lebih
bergantung kepada kecekapan kerani untuk menguruskan sumber kewangan di sekolah masing.

PERBINCANGAN

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti tahap kefahaman guru besar dalam pengurusan
kewangan dan perakaunan di sekolah-sekolah kebangsaan. Di samping itu, kajian ini cuba
membandingkan tahap kefahaman guru besar dalam pengurusan kewangan dan perakaunan
sekolah berdasarkan faktor jantina, pengalaman sebagai penolong kanan dan guru besar,serta
kursus berkaitan kewangan yang dihadiri.
Terdapat sekolah yang menghadapi masalah dalam pengurusan kewangan. Antara
faktor yang menyebabkan masalah ini berlaku adalah kerana kurangnya sumber-sumber
kewangan yang lain, selain peruntukan yang disediakan oleh kerajaan semata-mata. Selain itu
berlaku masalah perancangan kewangan yang tidak tepat iaitu perbelanjaan tahunan melebihi
daripada apa yang dirancangkan berdasarkan sumber kewangan yang ada atau sumber
kewangan yang diperuntukkan oleh kerajaan. Ini ditambah lagi dengan kurangnya pemantauan
dan keterlibatan pihak pentadbiran dalam pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah.
Sesetengah guru besar menyerahkan tugas pengurusan kewangan kepada pembantu tadbir
sepenuhnya. Perbelanjaan yang dilakukan pula tidak mengikut peraturan.
Kesemua guru besar yang ditemubual mempunyai tahap kefahaman yang jelas dan
mengetahui jenis-jenis akaun sekolah dan apa-apa yang terkandung dalam setiap akaun
berkenaan (Akaun Kumpulan Wang Kerajaan, Kumpulan Wang SUWA dan Kumpulan Wang
Asrama) tetapi sebahagian guru besar tidak dapat menjelaskan secara terperinci tatacara
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

855 | MEDC 2018

pengiraan dan kaedah merekodkan maklumat berkaitan perakaunan sekolah. Terdapat sedikit
perbezaan tahap kefahaman antara setiap guru besar dari sudut pengetahuan dan pengalaman
mereka dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah, tetapi tidak ada bukti yang jelas
bahawa wujud perbezaan kefahaman berdasarkan jantina guru besar. Jantina seseorang guru
besar tidak menunjukkan perkaitan yang signifikan dengan tahap kefahaman dalam pengurusan
kewangan sekolah. Hal ini terbukti apabila sekolah-sekolah yang ditadbir oleh guru besar
wanita mendapat penarafan audit baik sepertimana sekolah-sekolah yang dipimpin oleh guru
besar lelaki. Malah ada sekolah yang dipimpin oleh guru besar lelaki mendapat penarafan audit
berteguran. Jadi, secara keseluruhannya faktor jantina guru besar tidak menunjukkan perbezaan
yang ketara dari segi pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah. Perbezaan ini tidak
menghalang guru besar dalam menguruskan kewangan sekolah kerana pengalaman sebagai guru
besar dan kehadiran kursus berkaitan kewangan dapat membantu mereka dalam menguruskan
kewangan sekolah. Selain itu, kerani kewangan yang berpengalaman amat membantu tugas-
tugas guru besar dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah.
Pengalaman guru besar menghadiri kursus berkaitan kewangan sekolah sangat
mempengaruhi secara positif dengan tahap kefahaman dalam menguruskan kewangan dan
perakaunan sekolah. Bagaimanapun tahap kefahaman guru besar dalam pengurusan kewangan
sekolah bukan sahaja disebabkan oleh faktor kursus kewangan yang pernah dihadiri. Ini kerana
syarat terbaru untuk seseorang penolong kanan dilantik ke jawatan guru besar ialah mereka
perlu menghadiri kursus kewangan seperti Program Kelayakan Profesional Kepimpinan
Pendidikan Kebangsaan (NPQEL). Walau bagaimanapun pengalaman menjadi guru besar atau
dengan kata lain semakin lama seseorang itu menjadi guru besar adalah sangat signifikan
dengan tahap pengetahuannya dalam pengurusan kewangan dan perakaunan sekolah. Guru
besar yang lebih lama menjadikan beliau lebih berpengalaman dalam menguruskan sekolah,
khususnya hal-hal yang berkaitan dengan kewangan.
Guru besar juga dapat menjelaskan tatacara membuat terimaan di sekolah. Misalnya,
guru besar memberikan surat kuasa bagi membolehkan guru-guru yang diberikan tugas
memungut wang seperti yang diputuskan dalam mesyuarat PIBG. Selain itu, resit juga
dikeluarkan bagi setiap terimaan yang telah dibuat. Kebanyakan guru besar agak tegas dalam
soal mendapatkan bayaran daripada murid, tetapi berdasarkan jumlah yang diputuskan dalam
mesyuarat berkenaan.
Tahap kefahaman guru besar berkaitan prosedur pembelian menunjukkan hampir
kesemua guru besar memahami tatacara bagi pembelian. Hal ini dibuktikan dengan pernyataan
guru besar yang beliau tidak akan membuat pembayaran sekiranya nota minta tidak ada bersama
dengan borang pesanan yang dihantar. Ketegasan ini menunjukkan bahawa mereka amat
memahami prosedur pembelian. Selain itu, setiap guru besar memastikan bahawa peruntukan
wang dalam akaun mencukupi untuk membuat pembelian. Perbandingan harga berdasarkan
sebut harga tiga buah syarikat pembekal juga dilakukan bagi membuat pilihan untuk pembelian
yang terbaik. Setelah pembelian dibuat, guru besar akan memastikan bahawa pembayaran akan
dibuat dalam masa dua minggu. Hal ini kerana kebanyakan guru besar yang ditemu bual tidak
suka berhutang untuk mengelak daripada terlebih guna wang.
Pengkaji mendapati kekangan utama yang dihadapi oleh guru besar dalam menguruskan
kewangan dan perakaunan sekolah adalah disebabkan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan
atau diterima daripada sewa kantin, kedai buku dan lain-lain seperti sumbangan orang awam
adalah tidak mencukupi. Hal ini menimbulkan masalah kepada pentadbir dalam menguruskan
kewangan sekolah. Namun begitu, bagi guru besar yang cekap, mereka dapat memohon
sumbangan daripada pihak luar untuk menampung keperluan perbelanjaan dalam menguruskan
sekolah masing-masing. Contohnya, ada guru besar tertentu mampu menguruskan kewangan
sekolah dengan baik kerana beliau membuat kertas kerja sendiri untuk memohon sumbangan
berbentuk kewangan daripada syarikat-syarikat swasta. Malah ada sekolah yang mendapat
tajaan sektor swasta setiap tahun, khususnya sumbangan berbentuk kewangan.
Selain itu, sumbangan kewangan yang diputuskan oleh Persatuan Ibubapa dan Guru-
guru (PIBG) kepada setiap orang murid di sesebuah sekolah dikaji adalah kecil jumlahnya. Ini
disebabkan sumbangan yang diputuskan oleh PIBG banyak bergantung kepada taraf
sosioekonomi atau pendapatan sesebuah keluarga bagi murid berkenaan. Latar belakang
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

856 | MEDC 2018

sosioekonomi keluarga bagi murid di sekolah-sekolah yang terlibat dalam kajian menunjukkan
kebanyakan pendapatan isi rumah adalah rendah. Hal ini menyebabkan sumbangan kewangan
bagi setiap murid yang diputuskan oleh mesyuarat PIBG adalah kecil, iaitu dianggarkan antara
RM30 – RM60 bagi setiap murid. Implikasinya, sekolah berkenaan tidak mempunyai kewangan
yang mencukupi untuk menampung keperluan sekolah bagi kemudahan murid-murid
berkenaan. Ini termasuk penyediaan kemudahan pejalan kaki berbumbung dari pintu masuk
hingga ke bangunan sekolah, bangku tempat rehat murid, bilik-bilik tambahan, dan kemudahan
fizikal sekolah seperti taman, kolam ikan dan kebun bunga.
Faktor sikap juga penting kerana ada sebahagian kecil guru besar yang kurang memberi
penelitian serius dalam menguruskan kewangan dan perakaunan sekolah, sebaliknya hanya
menandatangani sesuatu dokumen tertentu kerana terlalu mengharapkan kebolehan kerani
kewangan yang dilantik. Dicadangkan supaya guru-guru penolong kanan sekolah patut diberi
tugas secara serius bagi membantu guru besar menyemak rekod-rekod kewangan dan
perakaunan sekolah sebelum mereka dilantik ke jawatan guru besar.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

857 | MEDC 2018

RUJUKAN

Bahagian Akaun dan Kewangan. (2012). Tatacara Pengurusan Perakaunan Sekolah. Kuala
Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Bahagian Audit Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Laporan audit sekolah
tahun 2000. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Baizura Mohd Zainon, & Suhaida Abdul Kadir. (2013). Pengurusan Kumpulan Wang Amanah
Pelajar Miskin (KWAPM) dan Beban Tugas Guru. Proceedings of the Graduate Research
in Education Seminar GREduc 1 Disember 2013. Serdang: Univeristi Putra Malysia.
Burrup, P.E.,Brimley,V.Jr. dan Garfield, R.R. (1996). Financing Education In A Climate Of
Change. London:Allyn and Bacon.
Chua, P. Y. (2011). Kaedah Penyelidikan (2nd ed). Kuala Lumpur: McGraw Hill Education.
Dzurawati Binti Harun, Mohd Farid Bin Hassan, & MohdYusri Bin Ismail. (2012). Tinjauan ke
atas kesediaan menguruskan geran per kapita mata pelajaran. International Journal,
8924-8933.
Intan Suriana Muhidin. (2013, 02 14). html. Retrieved from Masalah semasa menjalankan kerja-
kerja: http:pengajian-ipg.blogspot.com
Kementerian Pendidikan Malaysia (2010). Laporan Audit Sekolah Tahunan. Kuala Lumpur:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Kementerian Kewangan Malaysia. (2008). Garis panduan bagi perbelanjaan secara berhemat.
Pekeliling Perbendaharaan Bil.7, 220-222.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Tatacara pengurusan Perakaunan Kumpulan Wang
Sekolah. Bahagian Akaun: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Kementerian Pelajaran Malaysia (2012). Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 8 Kepada Buku
Garis Panduan Pengurusan Peruntukan Bantuan Persekolahan Ke Sekolah Berdasarkan
Per Kapita dan Enrolmen Murid. Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran Malaysia.
Marzita Abu Bakar. (2010). Pelaksanaan pengurusan kewangan sekolah menengah bertaraf
pusat tanggungjawab. Fakulti pendidikan: Universiti Malaya.
Mohd Richard Neles Abdullah (2013). Pengurusan Kewangan Sekolah Kebangsaan dan
Sekolah Menengah kebangsaan: Satu Kajian Kes. Jurnal Penyelidikan IPG KBL, Jilid 11,
2013.
Muhammad Faizal A. Ghani, Norfariza Mohd Radzi, Saedah Siraj & Faisol Elham (2010),
Kepimpinan dan Proses Kawalan Terhadap Peruntukan Kewangan Sekolah: Perspektif
Malaysia. Jurnal International/Manajemen Pendidikan. Universiti Utara Malaysia.
Sazali Yusof (2007), Tinjauan Terhadap Keterlibatan dan Efikasi Guru Besar dalam
Pengurusan Kewangan Sekolah. Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara: Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Shahril @ Charil bin Hj Marzuki (2005), Pengurusan Kewangan Di Sekolah Rendah dan
Menengah Di Malaysia: Isu, Masalah dan Cadangan Untuk Mengatasinya. Kuala
Lumpur: Universiti Malaya.
Shahril @ Charil Marzuki. (2006). Mengurus Kewangan Sekolah Edisi 2. Kuala Lumpur : PTS
Professional Publishing Sdn. Bhd
Strauss, Jon C. & Curry, John R. (2002). Responsibility Center Management: Lessons from 25
Years of Decentralized Management. Institution National Association: Washington DC.
Zaidatol Aklamiah Lope Pihie (2001). Pentadbiran Pendidikan. Kuala Lumpur: Fajar Bakti.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

858 | MEDC 2018

You might also like