Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 13

1.

0 PENGENALAN

Malaysia merupakan sebuah negara contoh yang mempunyai masyarakat yang


berbilang etnik seramai hampir 200 kumpulan etnik (Ahmad Zaid, 2013). Dengan
kepelbagaian ini, tidak hairanlah perpaduan etnik sentiasa menjadi agenda dalam
pengurusan masyarakat dan pemerintahan negara. Walaupun pelbagai isu yang melibatkan
etnik yang pelbagai seperti isu hak istimewa, isu perkauman, isu agama dan sebagainya
namun, sehingga kini negara Malaysia masih lagi kekal sebagai sebuah negara berbilang
kaum yang hidup secara harmoni dan menikmati hasil ekonomi secara bersama (Wan Hashim,
2011). Kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan kestabilan negara yang diasaskan
oleh hubungan etnik yang positif dan bersifat sinergi telah menarik minat negara luar untuk
mengetahui rahsia di sebalik kejayaan ini. Sehingga ke hari ini, kebanyakan negara mahu
menjadikan Malaysia sebagai model negara yang dilihat berjaya mempertahankan hubungan
pelbagai etnik sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 walaupun tidak dinafikan
Malaysia juga mempunyai pasang-surutnya dalam menangani kemelut konflik hubungan etnik.

2.0 KONSEP HUBUNGAN ETNIK DARI PERSPEKTIF EKONOMI, POLITIK, AGAMA


2.1 Konsep Hubungan Etnik Dari Perspektif Ekonomi

Dasar pecah dan perintah mengikut kegiatan ekonomi di zaman penjajah


menyebabkan tidak wujud hubungan interaksi antara etnik malah dasar yang diamalkan
menyebabkan wujudnya jurang pembangunan dan pendapatan antara etnik (Ahmad Ali Bin
Seman, 2013). Keadaan ini telah mewujudkan perasaan curiga antara satu sama lain yang
merupakan bom jangka yang menjadi teras peristiwa 13 Mei 1969 (Zakimi, 2013).
Ketidakseimbangan dari segi penguasaan ekonomi dalam kalangan kaum masih wujud
walaupun setelah merdeka dan terbentuknya sebuah negara baru yang dikenali sebagai
Malaysia. Jesteru itu Oleh itu, pelbagai dasar diperkenalkan seperti Dasar Ekonomi Baru,
Dasar Pembangunan Negara dan Rancangan Pembangunan Lima Tahun sebagai usaha
untuk menghapuskan trend ekonomi mengikut kaum. Acuan ekonomi negara menekankan
pertumbuhan ekonomi negara bersama dengan pengagihan sumber material masyarakat
antara etnik, agama, wilayah, bandar dan luar bandar merupakan asas kejayaan negara ini
untuk memakmurkan dan menyejahterakan masyarakat pelbagai budaya. Semua ini
berttujuan memastikan keadilan dan keseimbagan pembangunan ekonomi yang melibatkan
pelbagai etnik di Malaysia.
2.2 Konsep Hubungan Etnik Dari Perspektif Politik

Hubungan etnik pada perspektif politik pula dilihat pada permuafakatan politik sebagai
salah satu cara terbaik untuk mewujudkan satu bentuk hubungan etnik yang harmoni dan erat
di Malaysia. Demokrasi dan kestabilan negara dapat dikekalkan sekiranya konsep
permuafakatan politik diamalkan oleh masyarakat pelbagai etnik. Permuafakatan politik di sini
bermaksud perkongsian kuasa di mana setiap etnik berpeluang untuk terlibat secara
langsung dalam penggubalan dasar mahupun proses pentadbiran.

Kebanyakkan organisasi dan institusi politik di Malaysia ditubuhkan mengikut garis


etnik demi menjaga dan memperjuangkan kepentingan etnik masing-masing. Sehubungan itu,
ia dapat memperkasakan identiti etnik tertentu namun dalam nada yang berbeza ia juga dapat
mencetuskan ketegangan dan perasaan tidak puas hati dalam kalangan rakyat apabila
sentimen perkauman dimainkan (Eitzen & Zinn, 1988). Jika perkara ini berlanjutan, politik
perkauman dapat mengancam kestabilan politik dan keamanan negara. Manipulasi atau
penyalahgunaan kuasa oleh pihak tertentu yang mempermainkan isu perkauman terutama
ketika kempen pilihan raya dapat mengeruhkan lagi keadaan. Isu berkenaan sengaja
dibangkitkan untuk menjamin kedudukan atau menjaga kepentingannya serta kroninya.

Hubungan dan perpaduan etnik mula kelihatan semasa era menentang penjajah serta
perjuangan menuntut kemerdekaan di mana beberapa parti nasionalis telah berjaya
menyatupadukan seluruh masyarakat berbilang bangsa untuk melawan musuh politik (Mohd
Rizal Yaakop, 2014). Selepas terbentuknya Malaysia, hubungan etnik dari perspektif politik
dilihat dengan lebih nyata lagi melalui penggabungan parti-parti yang berasaskan kaum di
bawah satu pakatan yang dikenali sebagai Barisan Nasional (bagi mengelakkan perpecahan
masyarakat) serta adanya penglibatan semua susun lapis masyarakat dalam pentadbiran
negara tanpa sekatan dan mengira perbezaan yang wujud.

2.3 Konsep Hubungan Etnik Dari Perspektif Agama

Dalam perspektif kepelbagaian agama terhadap hubungan etnik pula, kerukunan dan
saling memahami antara satu sama lain amat perlu demi menjamin keamanan dan
kesejahteraan negara secara berterusan. Negara Malaysia mempunyai kepelbagaian etnik
yang mengamalkan banyak agama berbeza. Islam adalah agama yang mempunyai penganut
yang terbesar di Malaysia dan merupakan agama persekutuan yang terkandung dalam
Perlembagaan Malaysia. Agama lain turut dianuti oleh masyarakat Malaysia seperti Kristian,
Buddha, Sikh dan kepercayaan animisme oleh masyarakat pribumi.

Kerajaan sewaktu di bawah Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri
telah memperkenalkan satu gagasan iaitu Islam Hadari bagi tujuan untuk memupuk
perpaduan melalui beberapa prinsip seperti berkenal-kenalan, saling berkasih sayang, saling
jamin menjamin serta konsep kejiranan. Selain itu, keterbukaan dan penerimaan agama etnik
yang pelbagai juga mendukung kepada hubungan etnik yang erat. Misalnya, meskipun Islam
merupakan agama rasmi dalam Perlembagaan Malaysia namun agama lain bebas diamalkan.
Keadaan ini dapat mengelakkan berlakunya isu agama dalam kalangan masyarakat dan akan
melahirkan sebuah masyarakat yang bertimbang rasa dan saling menghormati serta hidup
dalam suasana yang tenteram (Thompson & Hickey,1994).

3.0 FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MASYARAKAT PLURALISTIK DI ALAM


MELAYU, SARAWAK DAN SABAH, KESULTANAN MELAYU MELAKA DAN
PENJAJAHAN BRITISH SERTA SELEPAS PEMBENTUKAN MALAYSIA

3.1 Masyarakat Pluralistik Di Alam Melayu, Sarawak, Sabah, Kesultanan Melayu


Melaka

Sebelum penjajahan British, masyarakat pluralistik di Alam Melayu berlaku hasil


daripada penghijrahan dari dalam wilayah dan juga dari luar yang melibatkan etnik lain seperti
Cina, India, Arab dan sebagainya. Melalui kegiatan perdagangan, penerimaan baik
masyarakat tempatan serta adanya kalangan pedagang yang membentuk petempatan kekal
serta berkahwin dengan penduduk tempatan membentuk masyarakat pluralistik di Alam
Melayu. Contohnya Cina Baba yang berkahwin dengan penduduk tempatan.
Di Zaman Kesultanan Melaka pula, masyarakat pluralistik berlaku melalui dasar
perintahan (adanya para pegawai istana yang terdiri daripada campuran orang tempatan
dengan bangsa asing hasil daripada perkahwinan campur antara pemerintah dengan anak
pemerintah dari luar) dan juga melalui dasar perdagangan, kependudukan dan kebudayaan
(pedagang Arab, Cina, India dan lain-lain telah berasimilasi dengan penduduk tempatan
dengan baik sekali dan telah mewujudkan kategori masyarakat yang tidak pernah wujud
sebelumnya iaitu masyarakat Baba dan Mamak).
Berbanding keadaan di Sabah dan Sarawak di mana sebelum kedatangan penjajah
SBUB dan Brooke, masyarakat pluralistik sudahpun wujud sejak sekian lama melalui
penghijrahan etnik dari Indonesia, Filipina, Mongolia dan sebagainya di mana ia seterusnya
membentuk berbilang etnik dan budaya di kedua-dua negeri berkenaan. Dalam erti kata lain,
masyarakat pluralistik di Sabah dan Sarawak terbentuk hasil daripada penghijrahan etnik dari
luar bagi tujuan meneruskan hidup baharu di Sabah dan Sarawak.

3.2 Masyarakat Pluralistik Semasa Penjajahan British

Menurut J.S Furnivall (1939) sebuah masyarakat majmuk merupakan satu


masyarakat yang muncul akibat daripada dasar-dasar kolonial di mana penghijrahan
penduduk mengikut kehendak-kehendak sistem ekonomi, politik dan sosial. Ini telah
mewujudkan kelompok-kelompok yang berbagai ragam dalam satu unit politik. Penjajahan
British di Tanah Melayu merupakan sebahagian daripada proses persaingan kuasa Barat
untuk menguasai tanah jajahan dan mengeksploitasi sumber ekonomi terutama sekali pada
abad ke-19 apabila berlakunya revolusi perindustrian di Eropah. Ini menyebabkan kuasa-
kuasa Barat berlumba-lumba untuk mencari tempat yang boleh mendatangkan keuntungan
kepada mereka. Kekayaan hasil bumi antara faktor yang menyebabkan British menguasai
Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bagi memenuhi keperluan industri mereka.

Perkembangan perusahaan timah dan getah di Eropah mulai pertengahan abad ke 19


dan abad ke 20 telah mengakibatkan kemasukan dan penghijrahan imigran Cina dan India
oleh penjajah secara besar-besaran. Pola kemasukan etnik Cina dan India di era penjajahan
jelas memperlihatkan perbezaan yang amat ketara berbanding kemasukan mereka di zaman
kerajaan kesultanan Melayu Melaka. Apa yang lebih teruk lagi, dasar pecah dan perintah
yang diamalkan oleh penjajah British meyebabkan kepada pengasingan kaum mengikut
kegiatan ekonomi. Akibatnya, berlakunya jurang ekonomi antara kaum serta pembangunan
kawasan serta ketiadaan interaksi antara etnik yang pelbagai ini.

Berbanding dengan di Sabah dan Sarawak, semasa penjajahan SBUB dan Brooke,
penjajah tidak membawa sebarang kemasukan imigran memasuki kedua-dua negeri tersebut.
Kemasukkan etnik baharu terbentuk melalui kegiatan perdagangan. Hal ini kerana corak
penjajahan SBUB dan Brooke agak berbeza dengan cara penjajah British di mana untuk
menguruskan kegiatan-kegiatan penjajah pada masa itu, penjajah SBUB dan Brooke lebih
tertumpu kepada penggunaan tenaga kerja masyarakat pelbagai etnik yang sedia ada
berbanding membawa golongan imigran.
3.3 Masyarakat Pluralistik Selepas Pembentukan Malaysia

Selepas merdeka, pembentukan masyarakat pluralistik bertumpu kepada


pembentukan masyarakat di Malaysia. Penumpuan yang jelas diberikan kepada tiga komuniti
etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India. Menurut J.S. Furnival, konsep masyarakat majmuk
atau pluralistik itu diertikan sebagai masyarakat di mana di dalamnya terdapat pelbagai etnik
yang hidup di dalam satu negara iaitu Malaysia tetapi dipisahkan oleh ciri-ciri ekonomi, tempat
tinggal, sosial dan budaya. Namun semua itu jelas dilihat ketika sebelum merdeka. Walaupun
kini masih terdapat perbezaan kepada beberapa aspek seperti ekonomi, tempat tinggal,
sosial mahu pun budaya namun semua itu hanya pada peratus yang sedikit berbanding
sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.

Kewujudan masyarakat pluralistik atau majmuk selepas merdeka dipengaruhi oleh


tiga faktor utama menurut artikel keluaran Dunia Islam edisi Oktober 1992 yang ditulis oleh
Idris Hj. Ahmad. Menurut penulis, antara faktornya ialah perbezaan pada anutan agama pada
tiga kaum utama di Malaysia. Jika dulu sebelum merdeka kaum Cina hanya menganuti agama
Buddha namun berlaku perubahan selepas merdeka apabila ada sebahagian kaum Cina
sudah menganuti agama Kristian, confucius dan ada juga yang menganuti ajaran agama
Islam. Ini juga terjadi pada masyarakat kaum India. Di sinilah kewujudan masyarakat plural
mula terjadi.

Selain itu antara faktor lain ialah pemecahan setiap etnik kepada sub etnik
berdasarkan negeri melalui dialek bahasa dan unsur-unsur budaya. Jika dulu sebelum
merdeka Melayu dikenali dengan Melayu sahaja tetapi apabila berlaku perkembangan dari
perhubungan dan ilmu pengetahuan maka wujudlah Melayu Banjar, Melayu Jawa, Melayu
Minangkabau, Melayu Johor-Riau dan sub etnik yang lain lagi. Bagi Cina pula dapat
dipecahkan kepada dua kumpulan sub etnik utama iaitu Hokien dan Kwangtung. India
terbahagi kepada sub etnik seperti Punjabi, Selon, Tamil dan Telegu. Di Sabah dan Sarawak
pemecahan setiap etnik kepada sub etnik begitu jelas sekali. Sabah sahaja mempunyai lebih
dari 9 sub etnik utama manakala Sarawak dalam lingkungan 12 sub etnik terdapat di negeri
tersebut. Ini menunjukkan pembentukan masyarakat plurilistik selepas merdeka di Malaysia
lebih ketara.

Faktor ketiga adalah melibatkan dasar kerajaan, migrasi dan perbandaran.


Dasar Kerajaan Malaysia antaranya Dasar Perindustrian Negara yang mana kerajaan
menubuhkan kawasan Zon Perindustrian Bebas contohnya di Sungai Way, Teluk Penglima
Garang, Bayan Lepas, Perai dan lain-lain tempat lagi mewujudkan menarik pelabur-pelabur
untuk datang dan sekaligus mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak.

Migrasi merujuk kepada proses pergerakan penduduk dari satu tempat ke tempat
yang lain bagi tujuan menetap secara tetap atau sementara. Faktor ekonomi merupakan
faktor utama yang meyumbang kepada berlakunya proses migrasi ini. Kedudukan ekonomi
Malaysia yang mantap dan kukuh menyebabkan wujudnya banyak sektor-sektor pertanian,
pembinaan dan perkilangan, sekaligus membuka peluang kepada rakyat sesebuah negara
termasuk juga golongan pendatang yang datang khususnya untuk mencari pendapatan yang
lebih tinggi di Malaysia berbanding di negara pendatang.

Perbandaraan pula proses berterusan yang melibatkan kawasan luar bandar menjadi
bandar. Perkembangan ini selanjutnya melibatkan proses keruangan yang menunjukkan
perubahan konsentrasi penduduk yang mendiami di kawasan bandar berbanding kawasan
luar bandar yang membawa kepada tumpuan pelbagai aktiviti ekonomi.

Ketiga-tiga perkara ini secara tidak langsung menjadi antara penyebab kepada
pembentukan masyarakat pluralistik di Malaysia. Peluang pekerjaan yang ditawarkan,
kemudahan asas yang lengkap, taraf pendidikan yang terbaik antara faktor mempengaruhi
masyarakat untuk bergerak atau berpindah dari tempat asal mereka.

4.0 KONSEP PERLEMBAGAAN SEBAGAI ASAS PEMBINAAN JATI DIRI DAN


NEGARA BANGSA

Perlembagaan Malaysia merupakan undang-undang tertinggi di negara ini. Oleh


kerana ia merupakan undang-undang tertinggi, maka Keluhuran Perlembagaan ini dijadikan
prinsip ketiga dalam Rukun Negara. Prinsip-prinsip perlembagaan ini menjadi aspek penting
yang pertama untuk dipadukan kepada rakyat Malaysia. Pengetahuan, kefahaman dan
amalan prinsip-prinsip perlembagaan oleh rakyat Malaysia amat penting sebagai latihan asas
hidup bersama, bersaing secara positif dan adil. Keterbiasaan ini akan menjadi benih
perpaduan dan asas pembinaan jati diri dan negara bangsa.

Prinsip ini menekankan betapa perlunya seluruh rakyat di negara Malaysia ini, bukan
setakat menerima perlembagaan ini, tetapi hendaklah mematuhi dan mempertahankan
keluhuran, atau kemuliaan Perlembagaan Malaysia itu sendiri. Perlembagaan negara
Malaysia adalah sumber perundangan yang berfungsi untuk memberi perlindungan kepada
setiap rakyat negara ini, tidak kira bangsa, keturunan, fahaman, agama, dan kebudayaannya.
Di samping itu, melindungi hak dan keistimewaan mereka sebagai warganegara di negara ini.

Perlembagaan mengandungi beberapa unsur penting untuk mewujudkan identiti


Malaysia dan memupuk persefahaman ke arah perpaduan (Abdul Aziz Bari, 2008). Antaranya
ialah bahasa, agama, bidang tugas, serta hak istimewa orang Bumiputera Melayu, Sabah dan
Sarawak. Dalam aspek bahasa, berdasarkan kepada perkara 152 (1), Bahasa Melayu
merupakan bahasa rasmi, namun penggunaan dan pembelajaran bahasa-bahasa lain tidak
dihalang. Contohnya, penggunaan bahasa Cina, Tamil di media cetak atau elektronik, di
sekolah-sekolah, serta ada subjek bahasaI, Kadazan, Cina dan Tamil di sekolah.

Dalam aspek agama pula, perkara 3 dalam perlembagaan menyatakan bahawa Islam
sebagai Agama rasmi. Walaupun agama Islam dianggap sebagai agama rasmi, namun
agama-agama lain masih boleh diamalkan secara bebas. Begitu juga dengan aspek bidang
tugas di mana perkara 32, 38 (4) dalam perlembagaan dibentuk bagi tujuan menentukan
kedudukan Raja-Raja Melayu dalam sistem pemerintahan negara.

Dalam aspek hak istimewa pula, ia merujuk kepada hak yang meliputi penjawatan
dalam perkhidmatan awam, biasiswa, pendididkan, dan sebagainya. Selain itu berkaitan
dengan perezaban tanah, perkara ini tidak boleh dilaksanakan jika mengakibatkan penarikan
hak berkaitan terhadap kaum lain. Etnik lain juga diberikan ruang untuk terlibat dalam perkara
yang serupa dengan bilangan yang minoriti.

Secara keseluruhannya, melalui perlembagaan ia berupaya untuk mewujudkan satu


bentuk pemerintahan yang licin dalam negara yang pelbagai etnik di mana sebagai contohnya,
melalui bidang tugas ia dapat mengelak dari berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh
pemerintah serta mengawal pergerakan kerajaan dan rakyat. Secara amnya, adanya
perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi negara, ia berupaya sebagai alat untuk
menyelesaikan masalah serta menjamin keamanan dan kestabilan negara sekaligus
menjamin hak dan perlindungan semua etnik dengan adil tanpa sebarang penindasan ke atas
etnik lain.
5.0 USAHA KE ARAH INTEGRASI NASIONAL SERTA CABARAN YANG DIHADAPI
DALAM USAHA MENGEKALKAN HUBUNGAN ETNIK YANG BAIK

5.1 Usaha Ke Arah Integrasi Nasional

Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 telah memberi satu inisiaitif untuk mewujudkan kesedaran
di antara masyarakat yang berbilang kaum dalam negara tentang pentingnya perpaduan dan
integrasi nasional. Pelbagai usaha telah diambil untuk membina masyarakat yang lebih adil
dari segi struktur sosial, ekonomi dan politik.

Pihak kerajaan sebagai pihak utama yang berkepentingan dan mempunyai kuasa
besar dalam hal-hal pentadbiran negara banyak memainkan peranan mereka dalam usaha
ke arah integrasi nasional. Antara contoh terdekat adalah dengan kewujudan Jabatan
Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Bermula dengan penubuhan Majlis
Gerakan Negara (MAGERAN), JPNIN ditubuhkan bagi menangani isu-isu berhubung
pembinaan semula perpaduan masyarakat di Malaysia yang rapuh ekoran peristiwa 13 Mei
1969 dimana rusuhan kaum telah berlaku dan kemuncak kepada masalah perpaduan kaum.
Penubuhan JPNIN bermatlamat memupuk kesefahaman dan semangat Muhibbah melalui
jaringan dan interaksi sosial ke arah pembentukan bangsa Malaysia yang bersatu padu dan
beridentiti nasional. Sehingga kini, pelbagai strategi dirangka bagi memupuk perpaduan dan
mempertingkatkan perpaduan dan integrasi nasional. Antaranya melalui Pelan Tindakan
Perpaduan dan Integrasi Nasional 2006-2010.

Di samping itu, pihak kerajaan juga hadir dengan pelbagai dasar yang dirancang dan
dilaksana bagi mewujudkan perpaduan seperti Dasar Pendidikan Kebangsaan, Dasar
Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru. Seperti yang kita boleh lihat, Dasar
Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan melalui Akta Pelajaran 1961 merupakan dasar ke
arah mewujudkan masyarakat yang harmonis. Melalui Dasar Pendidikan Kebangsaan,
pelbagai program-program dilaksanakan seperti Sekolah Wawasan dimana ia menyediakan
ruang sosial bagi murid dari pelbagai etnik berinteraksi seterusnya menjalin hubungan yang
harmonis selain Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) iaitu kerjasama
antara sekolah pelbagai aliran program pelajar dan guru bagi meningkatkan hubungan etnik
dalam kalangan pelajar.

Peranan masyarakat pula timbul hasil daripada kesedaran diri sendiri tentang
kepentingan perpaduan antara kaum dan integrasi nasional. Antara perkara yang boleh
dilakukan oleh masyarakat adalah mengamalkan nilai murni dalam kehidupan seharian
seperti saling hormat-menghormati walaupun berbeza kaum dan fahaman agama (Lim Kim
Hui & Har Wai Mun, 2007). Andai kata terdapat perbezaan pendapat antara kaum, semua
pihak perlu bertoleransi dalam mencapai kata sepakat dengan menyisihkan sifat rasis
semasa membuat keputusan. Selain itu, dengan pengenalan Rukun Tetangga pada 1975
yang bermatlamat memelihara, meningkatkan dan mengukuhkan perpaduan rakyat dan
integrasi nasional selaras dengan dasar-dasar kerajaan berlandaskan Perlembangaan
Persekutuan dan Rukun Negara dapat menambahkan lagi usaha-usaha ke arah
mengukuhkan hubungan etnik secara menyeluruh. Rukun Tetangga membolehkan rakyat
mengawal keselamatan di kawasan kediaman masing-masing di samping mengeratkan
hubungan silaturahim tanpa mengira kaum. Skim Rukun Tetangga diperluaskan lagi dengan
pembangunan komuniti dimana Jawatankuasa Rukun Tetangga ini telah menganjurkan
berbagai aktiviti di dalam komuniti mereka seperti gotong-royong dan rumah terbuka pada
setiap kali perayaan.

Pihak Organisasi Bukan Kerajaan turut memainkan peranan mereka dalam usaha ke
arah integrasi nasional hasil daripada inisiatif sendiri. Sejajar dengan hasrat kerajaan untuk
memupuk perpaduan dalam masyarakat, ada syarikat memberi penajaan kepada aktiviti yang
memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik bagi membawa ke arah
kesejahteraan masyarakat. Antara syarikat tersebut ialah TNB Berhad, Genting Group, Digi
dan IJM Corporation. Syarikat ini sering menganjurkan aktiviti kemasyarakatan yang
melibatkan pelbagai etnik melalui penajaan dalam bidang pendidikan, penjagaan alam sekitar,
kebajikan, hari keluarga atau lebih dikenali sebagai tanggungjawab sosial. Antara matlamat
utama syarikat ini adalah untuk memberikan peluang kepada golongan sasar terutamanya
masyarakat luar bandar yang mengalami tahap kehidupan yang rendah supaya dapat
menikmati bantuan menerusi program-program yang dijalankan. Apa yang istimewa
mengenai program yang dijalankan oleh pihak berkenaan adalah ia melibatkan semua kaum.

5.2 Cabaran yang dihadapi dalam usaha mengekalkan hubungan etnik yang baik

Cabaran dari segi politik berpunca daripada politik berasaskan perkauman dimana
kewujudan parti politik mengikut kumpulan etnik akan memperkukuhkan identiti bagi sesuatu
etnik sekaligus menimbulkan syak wasangka kepada etnik lain (Ali Seman & Warti Kimi, 2013).
Dapat kita lihat, setiap parti politik hanya akan memperjuangkan kepentingan kumpulan etnik
yang diwakilinya sahaja seperti parti politik Cina dan India menentang cadangan oleh pihak
kerajaan untuk memansuhkan sistem sekolah vernakular walaupun tujuannya adalah murni
iaitu untuk memupuk perpaduan kaum. Ini kerana langkah ini ditakuti akan mengakibatkan
identity dan kepentingan sesuatu etnik akan terhakis. Namun begitu, setiap kaum diwakili oleh
parti politik masing-masing berhak menyuarakan pendapat dan cadangan demi menjaga
kepentingan dan kelangsungan hidup setiap kumpulan etnik. Selain daripada itu, pada
kebiasaannya pemimpin sesuatu parti politik adalah daripada kalangan kaum yang sama
kerana ahlinya lebih selesa dalam mengusulkan apa-apa masalah disamping mengukuhkan
semangat perkauman dalam kalangan ahlinya. Bertitik tolak daripada itu, politik perkauman
dapat menimbulkan perasaan tidak puas hati dan akan mengukuhkan semangat sesuatu
kaum sekiranya penyuaraan terhadap kepentingan etnik tertentu dibuat tanpa mengambil kira
kepentingan semua pihak. Oleh itu, setiap parti politik seharusnya bekerjasama dalam
memberi sumbangan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Kepimpinan politik yang
pelbagai perlu mengamalkan integriti, akauntabiliti, dinamik serta menjalankan keadilan
dalam pentadbiran supaya usaha-usaha memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat
tiada sebarang persengketaan berdasarkan perkara yang termaktub dalam perlembagaan
Persekutuan.

Cabaran dari segi sosial yang sering dihadapi dalam kalangan masyarakat pelbagai
kaum berkait dengan agama dan budaya. Setiap etnik mempunyai agama, adat istiadat,
bahasa dan budaya yang berbeza. Keadaan ini kadangkala dapat menyebabkan berlakunya
konflik antara etnik jika kurangnya pengetahuan dan tidak saling memahami sekaligus
menimbulkan perasaan curiga antara satu sama lain serta mendorong kepada perpecahan
kaum (Sunawari Log, Siti Raudah, & Ismail, 2002). Keadaan ini berlaku daripada pemisahan
antara kaum yang dilaksanakan oleh penjajahan British dimana penempatan penduduk di
Tanah Melayu ketika zaman penjajah terpisah-pisah antara tiga kaum utama iaitu Melayu,
Cina dan India. Kaum Melayu menjalankan ekonomi sara diri di kampung, kaum Cina
menjalankan perniagaan di bandar, dan kaum India menjalankan ekonomi perladangan getah
di enstet. Disebabkan ketiga-tiga kaum ini terpisah pada lokasi yang berbeza, secara tidak
langsung pengetahuan tentang budaya antara kaum berada pada tahap yang rendah
sehingga mereka tidak memahami budaya antara satu sama lain. Sistem pendidikan ketika
itu juga memisahkan mereka dan membataskan pengetahuan mereka terhadap budaya kaum
yang lain kerana kaum Melayu hanya bersekolah di sekolah Melayu, kaum Cina dan India
pula bebas membuka sekolah mereka sendiri mengikut kurikulum dan orientasi negara asal
mereka. Polarisasi telah menebal sejak berada di sekolah lagi dan setiap etnik berusaha
mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih dalam segala bidang ekonomi berbanding etnik
lain sekaligus menghalang interaksi antara etnik kerana persaingan sengit yang berlaku
antara etnik serta menampakkan semangat perkauman semakin menebal.
Cabaran dari segi ekonomi telah berlanjutan sejak dari zaman penjajahan British lagi
dek dasar pecah dan perintah dimana setiap kaum dipecahkan mengikut jenis pekerjaan.
Dasar ini mengakibatkan sesebuah kaum itu terus mendominasi ekonomi mereka dan
menampakkan jurang ekonomi antara kaum. Perbezaan dalam bidang ekonomi ini
mewujudkan persaingan dan ketidakpuasan dalam kalangan kaum tertentu (Noor, 2006).
Sebagai contoh, orang Cina dilihat lebih maju kerana mendominasi bidang perniagaan dan
perdagangan berbanding orang Melayu yang menceburi bidang pertanian kerana bidang
tersebut kurang berdaya maju. Hatta, jurang pendapatan antara kaum juga dapat dilihat
melalui perbezaan sektor ekonomi ini. Contohnya, orang Cina beroleh pendapatan lebih
tinggi berbanding orang Melayu. Hal ini mewujudkan ketidakseimbangan dan persaingan
disebabkan oleh setiap kaum berusaha merebut ekonomi seterusnya melahirkan
ketidakstabilan dalam masyarakat. Keadaan tidak seimbang dari segi pendapatan dan
penyertaan pelbagai kaum dalam semua bidang ini harus diambil perhatian oleh pihak
kerajaan untuk menyusun semula masyarakat bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan
masyarakat majmuk.

6.0 Rumusan

Kesimpulannya, kita dapat mewujudkan masyarakat yang harmoni. Sebagai rakyat


Malaysia, pasti kita sudah tidak asing lagi dengan wujudnya masyarakat berbilang kaum di
negara kita. Peribahasa “rambut sama hitam, hati lain-lain” jelas menunjukkan walaupun
manusia mempunyai warna rambut yang sama tetapi sukma dan keinginan manusia adalah
berbeza. Dengan mewujudkan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat, barulah
masyarakat harmoni yang mempunyai aspirasi yang sama dapat tercapai. Oleh hal yang
demikian, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, kita hendaklah mewujudkan perpaduan
kaum dalam kalangan rakyat Malaysia, seperti kata peribahasa, “bulat air kerana pembetung,
bulat manusia kerana muafakat”.
BIBLIOGRAFI

Abdul Aziz Bari. (2008). Perlembagaan Malaysia: Teori dan Praktis. Selangor Darul Ehsan :
ARAH PENDIDIKAN SDN. BHD.

Ahmad Fazullah Md. Zainal Abidin. (2007). Masyarakat Pluralistik Dalam Pembangunan
Hubungan etnik. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Ali Bin Seman & Warti Bt Kimi. (2013). Hubungan Etnik Di Malaysia. Kuala Lumpur :
Freemind Horizons Sdn. Bhd.

Abd Rahim Abd Rashid. (2004). Patriotisme : Agenda Pembinaan Bangsa. Kuala Lumpur :
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahmad Zaid. (2013). Kepelbagaian Etnik Di Malaysia. Dimuat turun pada 2 Mac 2018,
daripada https://www.slideshare.net/kepelbagaian-etnik-di-malaysia.

Fatimi Hanafi. (2007). Perpaduan Politik Asas Integrasi Nasional Di Malaysia. Kuala Lumpur :
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ismail Baharom. (2000). Masyarakat Malaysia Ke Arah integrasi nasional : Satu Kajian Kes
Di Universiti Malaya. Kuala lumpur : Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti
Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Mohd Rizal Yaakop. (2014). Malaysia Kesepaduan Dalam Kepelbagaian. Dimuat turun pada
2 Mac 2018, daripada https://www.slideshare.net/bab-1-malaysia-kesepaduan-dalam
Kepelbagaian.

Tan Yao Sua. (2005). Buku Panduan : Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan RIMUP.
Selangor Darul Ehsan : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Wan Hashim. (2011). Hubungan etnik : Konsep Asas. Dimuat turun pada 2 Mac 2018,
daripada https://www.slideshare.net/hubungan-etnik-konsep-asas.

Zakimi. (2013). Hubungan Etnik. Dimuat turun pada 2 Mac 2018, daripada
https://www.slideshare.net/hubungan-etnik-13-mei.

Coedes, G. (1975). The Indianized States of South East Asia. Canberra: Australia University
Press.

Horton, & Hunt. (1964). Sociology, Principles and application. New York: McGraw-Hill Book
Company.

Eitzen, & Zinn. (1988). In Conflict and Order (4th). Boston: Allyn and Bacon.

Thompson, & Hickey. (1994). Society on Focus: An Introduction to Sociology. New York:
Harper Collin College Publisher.

Hall. (1968). A History of South East Asia. New York: St Martin Press.
Hashim, M. Y. (1992). The Malay Sultanate of Malacca. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

Ali Seman, & Warti Kimi. (2013). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Freemind
Horizons Sdn. Bhd.

Sunawari Log, Siti Raudah, & Ismail. (2002). Perpaduan Ummah: Realiti dan Cabaran. Bangi:
UKM.

Noor, M. M. (2006). Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson Prentice Hall.

Lim Kim Hui, & Har Wai Mun. (2007). Globalisasi, Media dan Budaya: Antara Hagemoni Barat
dengan Kebangkitan Asia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim, M. S. (1984). Mengenal perlembagaan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.

You might also like