Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

1.

0: PENGENALAN
Dalam arus permodenan kini, para guru khususnya mereka yang mengajar di sekolah
rendah berdepan dengan murid yang mempunyai kepelbagaian latar belakang seperti
sosiobudaya, bahasa, adat resam dan agama. Situasi ini telah menyebabkan guru
perlu bertindak sebagai agen penggerak bagi membina dan menguruskan
persekitaran bilik darjah yang mesra budaya di sekolah terutama sekali bagi sekolah
yang mempunyai murid berbilang kaum. Pembinaan persekitaran bilik darjah mesra
budaya mampu mewujudkan semangat kekitaan dalam diri murid sekaligus dapat
mewujudkan integrasi nasional seperti yang dihasratkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Persekitaran bilik darjah yang mesra budaya meliputi unsur-unsur seperti budaya
masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan suasana yang selamat dan
mendamaikan bagi semua murid tanpa mengira perbezaan etnik dan latar belakang
budaya.
Tugas guru adalah untuk membina persekitaran bilik darjah yang penyayang,
menyokong serta inklusif bagi membolehkan murid berasa selesa untuk belajar dan
sudi menerima perbezaan dalam persamaan di antara mereka di samping
menerapkan elemen pendidikan abad ke-21 di dalam bilik darjah. Oleh itu, bagi
melengkapkan tugasan kedua EDUP3073 Budaya dan Pembelajaran, sebagai
seorang guru kelas yang mengajar di sebuah sekolah yang terdiri daripada murid
pelbagai bangsa, saya perlu menyediakan satu manual aktiviti pengajaran dan
pembelajaran yang sesuai dengan bilik darjah mesra budaya.

2.0: MANUAL AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Manual aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang saya hasilkan adalah
berkonsepkan main peranan. Main peranan merupakan kaedah kumpulan
berorientasikan proses, murid berlakon atau simulasikan situasi kehidupan sebenar
(Che Nidzam & Marzita Puteh, 2014). Main peranan adalah situasi di mana murid
memegang sesuatu peranan sama ada sebagai dirinya sendiri atau individu lain.
Selain itu, aktiviti main peranan juga merupakan salah satu ciri pembelajaran abad ke-
21 yang mana perlu diterapkan dalam setiap pengajaran dan pembelajaran guru pada
masa kini.
Aktiviti yang saya boleh laksanakan sebagai seorang guru yang mengajar
mata pelajaran Matematik untuk mewujudkan persekitaran mesra budaya dalam bilik
darjah adalah “Detektif Cilik”. Dalam aktivtiti ini murid akan memainkan peranan seperti
seorang detektif yang mana mereka dikehendaki mencari kedudukan objek yang telah

1
ditetapkan dan menamakan objek tersebut. Aktiviti ini sesuai dijalankan bagi guru
Matematik hendak mengajar tajuk Koordinat bagi murid Tahun 4.

Mata Pelajaran Matematik


Tahun 4
Tema/Tajuk Koordinat
Hasil Pembelajaran 1. Murid dapat menamakan objek berdasarkan
kedudukan pada paksi mengufuk dan paksi
mencancang di atas kertas petak grid.
2. Murid dapat menyatakan dan menentukan
kedudukan objek pada paksi mengufuk dan paksi
mencancang di atas kertas petak grid.
Aktiviti “Detektif Cilik”
Bahan Sumber Kertas petak grid, pensel, gambar dan sampul.

Bagi melaksanakan aktiviti “Detektif Cilik” ini, terdapat beberapa langkah yang
perlu dilaksanakan oleh guru Matematik. Pertama, guru perlu membahagikan murid
kepada 5 kumpulan dan setiap kumpulan mempunyai 4 orang ahli yang terdiri daripada
kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian, setiap kumpulan diberikan sehelai kertas
petak grid dan sekeping sampul surat. Arahan yang pertama, murid perlu berbincang
dalam kumpulan dan menamakan objek yang ada pada kertas petak grid berdasarkan
kedudukan paksi mengufuk dan paksi mencancang. Mereka perlu menulis jawapan
tersebut di ruangan yang disediakan Antara objek yang terdapat pada petak grid
tersebut adalah pakaian tradisional masyarakat Melayu, Cina dan India iaitu baju
Melayu, baju Kurung, Cheongsam dan Saree. Setelah berjaya menyelesaikan misi
pertama, murid perlu mencari gambar tersebut di sekitar kelas dan disimpan dalam
sampul masing-masing.
Seterusnya, guru akan memberikan misi kedua iaitu murid perlu mencari dan
menyatakan kedudukan objek pada paksi mengufuk dan paksi mencancang di atas
kertas petak grid. Objek tersebut adalah alat muzik tradisional masyarakat Melayu,
Cina dan India iaitu Kompang, Rebab, Tabla, Veenai, Bo, Dagu. Setelah itu, murid
perlu mencari gambar sebenar objek-objek tersebut di sekitar kawasan bilik darjah
yang telah disembunyi oleh guru. Kemudian, guru memberi arahan kepada murid
bahawa mereka perlu menyusun gambar tersebut mengikut kaum atau budaya
masing-masing di atas meja kumpulan. Kumpulan yang berjaya menyelesaikan misi
ini dengan jawapan yang tepat dikira sebagai pemenang.

2
3.0: JUSTIFIKASI MANUAL AKTIVITI
Pada pandangan saya, manual aktiviti yang dihasilkan ini sangat sesuai untuk
digunakan bagi mata pelajaran Matematik dan dalam bilik darjah mesra budaya yang
mana murid di dalam kelas tersebut terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu,
Cina dan India. Antara justifikasi pemilihan aktiviti “Detektif Cilik” ini adalah ianya
menepati salah satu kaedah pengajaran yang berkesan iaitu main peranan. Aktiviti
main peranan bertujuan memberikan peluang kepada murid melibatkan diri dalam
perbincangan selain melatih mereka memahami watak orang lain (Ab Halim Tamuri &
Nur Hanani Hussin, 2017). Contohnya, guru meminta murid mainkan peranan sebagai
seorang detektif yang ingin mencari kedudukan objek pada kertas petak grid itu. Murid
dari pelbagai budaya akan memainkan peranan sebagai detektif dengan menunjukkan
ciri-ciri detektif dari segi gaya percakapan dan laras bahasa serta sebutan semasa
menjalankan aktiviti ini. Murid akan berasa seronok apabila melakukan aktiviti ini tidak
seperti mendengar sahaja isi pengajaran yang disampaikan oleh guru semata-mata
yang membuatkan mereka merasa bosan dan mengantuk.
Selain itu, aktiviti “Detektif Cilik” ini berupaya untuk mencapai objektif interaksi
pelbagai kelompok etnik di mana cara perlaksanaan aktiviti ini guru membahagikan
sendiri murid kepada lima kumpulan dan setiapnya mempunyai empat orang ahli yang
terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Guru juga telah menetapkan susunan
persekitaran fizikal murid semasa melaksanakan aktiviti ini dengan menyusun kerusi
dan meja murid mengikut kumpulan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Menurut Al
Afzan (2017) aktiviti kumpulan memerlukan ahlinya untuk berinteraksi dan
berkomunikasi di antara satu sama lain. Jadi secara tidak langsung menerusi aktiviti
ini murid akan mengadakan sesi perbincangan bagi menyelesaikan misi mereka dan
kemahiran komunikasi akan wujud semasa perbincangan berlangsung kerana mereka
telah disatukan semasa proses pengajaran dan pembelajaran Matematik ini bagi
membina perpaduan dalam kalangan murid.
Seterusnya, aktiviti ini dipilih kerana dapat memupuk perpaduan dalam
kalangan murid pelbagai kaum melalui elemen pengurusan sosial. Aktiviti “Detektif
Cilik” mendorong murid untuk membentuk budaya pembelajaran secara kolaboratif
dan koperatif serta dapat memberikan pengalaman bekerja dalam satu pasukan
kepada mereka. Hal ini kerana, mereka perlu berbincang sesama ahli kumpulan yang
terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India untuk menyelesaikan misi yang diberikan
oleh guru. Menurut Jaafar Zainon (2015), pengalaman bekerja satu pasukan dapat
memupuk sikap tolak ansur, saling menghormati dan memahami antara satu sama
lain sekaligus dapat mendidik murid untuk menjadi warganegara yang harmonis.

3
Sebagai contoh, murid perlu berbincang dalam kumpulan untuk menamakan
objek yang berada pada 3 mengufuk 2 ke mencancang di kertas petak grid. Jawapan
murid adalah Baju Cheongsam, jadi murid yang berbangsa Cina akan menyatakan
jawapan dan membantu rakannya yang terdiri daripada kaum lain untuk mengenali
baju tradisional kaumnya itu. Mereka akan saling bertukar pendapat dan berkongsi
tentang pakaian tradisional kaum masing-masing secara tidak langsung.
Di samping itu, melalui aktiviti ini guru dapat menerapkan elemen pedagogi
relevan budaya untuk menarik minat murid mengikuti pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran Matematik di samping mengambil kesempatan menggunakan
pengetahuan sedia ada murid untuk mengenali budaya kaum lain. Contoh yang jelas
dalam aktiviti “Detektif Cilik” ini, guru telah menetapkan tema iaitu pakaian dan alat
muzik tradisional (Noriati A. Rashid., Boon P. Y & Sharifah Fakhriah, 2017). Guru
meminta murid untuk menamakan objek yang terletak pada grid yang ditetapkan.
Sebagai contoh, objek tersebut merupakan pakaian tradisional kaum Melayu, Cina
dan India. Murid akan berbincang di dalam kumpulan untuk menamakan pakaian
tersebut mengikut kedudukan grid yang ditetapkan pada kertas berpetak itu.
Kemudian, misi kedua murid perlu menentukan kedudukan objek alat muzik mengikut
kaum di Malaysia iaitu Kompang, Rebab, Tabla, Veenai, Bo dan Dagu. Secara tidak
langsung, guru telah menerapkan elemen pedagogi relevan budaya iaitu elemen
pakaian tradisional dan kesenian semasa pengajaran Matematik.
Justifikasi yang seterusnya, aktiviti ini sesuai dilaksanakan dalam bilik darjah
mesra budaya kerana pengajaran dan pembelajaran Matematik menggunakan
Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Maksudnya, sepanjang sesi perbincangan
tentang penyelesaian masalah ”Detektif Cilik” ini murid akan berkomunikasi
menggunakan Bahasa Melayu. Menurut Mior Khairul Azrin (2011), Bahasa Melayu
berkepentingan sebagai bahasa perpaduan kerana ianya merupakan lambang
penyatuan suara yang digunakan sebagai alat perhubungan atau alat komunikasi.
Oleh itu, walaupun mata pelajaran ini bukan mata pelajaran bahasa Melayu namun
guru masih boleh mengekalkan kemahiran berbahasa dalam mata pelajaran
Matematik. Hal ini secara tidak langsung murid dapat mengenal dan memahami
tentang budaya kaum lain seperti murid Melayu mengetahui tentang cara ejaan Saree
dan Cheongsam dengan tepat supaya dapat menulis nama pakaian tersebut pada
ruang jawapan yang disediakan. Contoh lain, murid India dapat menyebut dengan
betul alat muzik masyarakat Melayu dan India seperti Rebab, Kompang, Dagu dan Bo
yang terletak pada kertas petak grid dan menulis kedudukan alat muzik tersebut
dengan betul.

4
4.0: PENUTUP
Kesimpulannya, guru memainkan peranan yang sangat penting dan perlu
melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya bercirikan pembelajaran abad ke-21 ini. Bilik darjah yang mesra budaya
dilihat sebagai medium asas yang efektif untuk menjayakan hasrat Kementerian
Pendidikan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang mahukan
perpaduan sebagai salah satu aspirasi dalam sistem pendidikan di Malaysia (BH
Online, 2018). Sebagai bakal guru, ilmu tentang pengurusan bilik darjah mesra budaya
ini adalah sangat penting untuk difahami supaya apabila bergelar guru kelak ilmu ini
dapat dipraktikkan supaya dapat membina identiti nasional dalam setiap diri murid
selain menyediakan suasana pembelajaran yang selesa dan dapat menggalakkan
murid untuk mewujudkan konsep penerimaan dan persefahaman dalam kalangan
mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum. Oleh itu, jelaslah bahawa bilik darjah
mesra budaya mestilak dipraktikkan oleh guru untuk mewujudkan perpaduan dalam
kalangan murid.

You might also like