Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Jati diri Malaysia

02 Disember 2018 12:00 PM


AddT his Sharing Buttons

4
Share to F acebookShar e to T wi tter Share to WhatsAppShar e to T el egramShar e to Email Share to M ore

MALAYSIA sering berbangga dengan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilangan


kaum dan etnik negara ini. Tetapi hakikatnya perpaduan itu rapuh dan sekadar ‘cukup
makan’ seperti yang berlaku dalam isu Kuil Seri Maha Mariamman di Subang Jaya,
Selangor baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia


(USM), PROFESOR DR. P. SIVAMURUGAN, sistem pendidikan satu aliran adalah
jawapan terbaik bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Tetapi katanya,
sebarang perubahan ke atas sekolah pelbagai aliran yang ada sekarang memerlukan
keazaman politik daripada semua pihak.

“Buat ini saranan Datuk Kadir Jasin bahawa sekolah kebangsaan perlu kembali sebagai
sekolah perpaduan untuk semua perlu dihalusi sepenuhnya dengan mengenalpasti
bagaimana untuk menjadikan ia sebagai pilihan utama. Memahami punca keterhakisan
kemasukan ke sekolah kebangsaan boleh membantu untuk diperbaiki dengan
pendekatan untuk melahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa ia adalah terbaik
dan bukan sebagai pilihan terakhir.

“Sudah tiba masanya, Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang selepas 30 tahun
pelancarannya perlu dilihat semula untuk memulihkan perpaduan dan pembentukan jati
diri seorang pelajar,” katanya kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL
HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dalam temu bual menerusi e-mel.

MINGGUAN: Malaysia sudah merdeka 61 tahun tetapi kita masih berhadapan isu
ketegangan kaum seperti yang berlaku dalam isu Kuil Seri Maha Mariamman
baru-baru ini. Bagaimana profesor menilai isu ini jika dibandingkan dengan apa
yang berlaku di luar seperti di Barat?

DR. SIVAMURUGAN: Di Malaysia, selepas 61 tahun merdeka kita masih bercakap


mengenai perpaduan kerana demografi dan alamnya adalah sedemikian rupa.
Masyarakat yang rencam dengan kepelbagaian nilai budaya, agama, kaum, keturunan
yang diwarisi turun-temurun menyebabkan ia adalah asas kepada pengisian dan
kesinambungan pentadbiran.

Perpaduan adalah benteng kekuatan negara. Tanpa perpaduan barangkali Malaysia


masih bergelut mencari titik keseimbangan untuk memastikan ia dapat memacu
kecemerlangan tanpa perlu memikirkan soal pengurusan konflik antara etnik dan kaum.

Walaupun kadar celik huruf jauh meningkat, hari ini masyarakat seolah-olah lupa darjah
sensitiviti sehingga percaya seolah-olah budaya kita sudah melangkaui budaya
perkauman sedangkan ia adalah sebaliknya.
Literasi ‘hubungan antara etnik’ masih di tahap yang membimbangkan dan tidak salah
untuk beranggapan perpaduan rapuh walaupun masing-masing tahu ia adalah tunjang
pembinaan negara bangsa ini. Sindrom penafian bahawa segalanya baik belaka perlu
diubah kerana peristiwa seperti ini ada kecenderungan untuk berlaku lagi. Apa yang
berlaku kini barangkali disebabkan ada pihak yang ‘mencuba’ tanpa menyedari
kesannya.

Mereka tahu isu ini sensitif dan membuat percaturan sendiri secara berterusan
menyemarakkan perasaan benci dan syak wasangka dengan hasutan dan provokasi
kerana jika emosi ini berpanjangan, kesannya sudah pasti ke atas apa yang sudah
dipersetujui oleh kesemua selama ini.

Yang melakukan kesemua ini harus memahami batasan emosi seseorang kerana bila
datang kepada isu agama, semua penganutnya tidak kira mana-mana agama sekalipun
ada hadnya kerana pegangan kita adalah terbaik.

Fobia berteraskan kepada agama dan etnik jika disemarakkan menjadi propaganda
boleh mengambil-alih pengertian sebenar sesuatu agama sehingga bersifat radikal,
ekstrem, stereotaip, etnosentrik dan prejudis serta melahirkan kebimbangan syak
wasangka yang akhirnya boleh mengebumikan warisan sesuatu masyarakat atau
komuniti.

Fikirkan sensitiviti masyarakat majoriti dan minoriti yang beragama Islam dan bukan
Islam. Di Barat sekalipun, isu seperti ini masih berterusan kerana emosi ke atas agama
dan keetnikan boleh membawa kepada pertembungan antara agama jika tidak
ditangani segera.

Di samping menyoal punca, kita harus bertanya mengapa sudah sampai tahap ini?
Sampai bila begini? Siapakah bertanggungjawab ke atas soal perpaduan dan
keharmonian? Adakah kerana hasrat dan kepentingan serta keinginan untuk
mempertahankan etnik masing-masing, wujud konsepsi berlawanan ke atas
pembentukan bangsa Malaysia yang luhur.

Beberapa isu yang berkaitan agama dan kaum misalnya, seperti masjid, kuil dan tokong
wajar tidak dilihat sebagai perkara keagamaan semata-mata tetapi isu berkepentingan
nasional yang boleh ditangani sesiapa sahaja pemimpinnya walaupun berlainan
latarnya ke arah kepimpinan berhemah menanganinya.

Perpaduan kaum di negara ini ibarat 'cukup makan'. Apakah keadaan ini berlaku
kerana kita memilih pendekatan integrasi yang membenarkan setiap kaum
mengekalkan budaya serta identiti dan bukan asimilasi seperti sebahagian
negara lain? Apa identiti Malaysia itu?

DR. SIVAMURUGAN: Konsep ‘integrasi’ dipilih kerana nisbah kependudukan Malaysia


adalah kondusif untuk mengangkatnya sebagai asas pembinaan hubungan antara
etnik. Ini kerana penduduk bumiputera adalah sekitar 60 peratus dan bukan bumiputera
bakinya. Peratusan ini menyebabkan sejak awal kemerdekaan, yang dipersetujui
adalah semangat ‘perkongsian’ dan ‘kepunyaan’.

Tapak integrasi misalnya dirujuk kepada penentangan Malayan Union 1946, Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu 1948, CLC 1949, Perlembagaan 1957 dan 1963, Rukun
Negara dan Wawasan 2020. Faktor yang menyukarkan proses asimilasi adalah
kesediaan majoriti untuk menerima minoriti dan kerelaan minoriti untuk menghapuskan
apa yang diwarisi .

Hatta, selepas peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, Rukun Negara di lancar dan
prinsip kelima dengan rujukan ke atas kesopanan dan kesusilaan adalah bertujuan
untuk mengeratkan hubungan antara etnik melalui integrasi dan masing-masing boleh
meneruskan apa yang sudah disemai melalui proses sosialisasi.

Kepelbagaian etnik dan agama membentuk identiti nasional yang berkiblatkan


Perlembagaan dan Rukun Negara ke arah pembentukan masyarakat yang harmoni.
Faham, hormat dan menerima akan membolehkan kita menuju ke hadapan berasaskan
kepada konsep kompromi, berkorban, tawar-menawar, rundingan, musyawarah dan
mediasi. Barulah kematangan terserlah.

Sekolah adalah tempat penting untuk memupuk perpaduan menerusi pergaulan


antara pelajar berbilang kaum. Tetapi itu tidak berlaku di Malaysia kerana
kewujudan sekolah pelbagai aliran. Apakah sistem pendidikan kita perlu diubah?

DR. SIVAMURUGAN: Seringkali apabila timbul sesuatu isu, sistem pendidikan


dijadikan rujukan di samping jurang dalam ekonomi, sosial dan politik. Ada juga yang
mencadangkan kenapa tidak diwujudkan satu aliran agar kesemuanya berada di
bumbung yang sama, meskipun kita pernah mencuba sekolah wawasan yang akhirnya
tidak berjaya. Di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 dan
Belanjawan tahunan, ia terus memberi pengiktirafan ke atas sekolah pelbagai aliran.

Satu aliran adalah jawapannya tetapi sebarang perubahan ke atas aliran-aliran ini
memerlukan ‘keazaman politik’ atau political will daripada semua pihak. Selepas
rundingan mahupun dialog dan acapkali semuanya tidak bersedia membuat keputusan
yang boleh dianggap ‘membunuh diri’ dalam konteks percaturan politik mereka.

Menyedari hal ini, Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, menzahirkan keinginan untuk
memasukkan elemen ‘manusiawi’ dan program ‘silang budaya.’ Buat masa ini, saranan
Datuk Kadir Jasin bahawa sekolah kebangsaan perlu kembali sebagai sekolah
perpaduan untuk semua perlu dihalusi sepenuhnya dengan mengenal pasti bagaimana
untuk menjadikan ia sebagai pilihan utama.

Memahami punca keterhakisan kemasukan ke sekolah kebangsaan boleh membantu


untuk diperbaiki dengan pendekatan untuk melahirkan kepercayaan dan keyakinan
bahawa ia adalah terbaik dan bukan sebagai pilihan terakhir. Sudah tiba masanya,
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang selepas 30 tahun pelancarannya perlu
dilihat semula untuk memulihkan perpaduan dan pembentukan jati diri seorang pelajar.

Rakyat mengharapkan kerajaan untuk berbuat sesuatu bagi mengukuhkan


integrasi kaum. Tetapi apakah rakyat sendiri terutama ibu bapa turut memainkan
peranan?

DR. SIVAMURUGAN: Melentur buluh biarlah sewaktu rebungnya’– keluarga memain


peranan amat penting dalam proses sosialisasi anak-anak mereka. Apa sahaja berlaku
turut menjadi tanggungjawab bersama. Jika ada kegagalan, kita juga mesti
bertanggungjawab kerana tidak mencari satu penyelesaian untuk membolehkan ia
diatasi sebelum merebak. Begitu juga dalam konteks muhibah.

Jika ia dibiarkan tanpa dilihat penting dari peringkat awal lagi, kesejahteraan sosial
akan menjadi percaturan dominan kesan dari tingkah laku masyarakat yang
sebilangannya kini merasakan proses pembangunan dan modenisasi telah membuka
ruang pemetaan pemikiran yang jauh menyimpang daripada emansipasi rakyat
sebenar.

Keluarga menjadi tiang seri perpaduan dan berdasarkan fitrah manusia dilahirkan untuk
saling kenal mengenali di antara satu sama lain, mempertahankan budaya masing-
masing tidak mengapa tetapi yang wajar dilakukan adalah mencari titik-titik persamaan
dan cuba meminggirkan diri daripada sifat streotaip, labelling, prejudis dan etnosentrik
dan mendidik untuk mengurus kejayaan hubungan etnik dan bukan di sebaliknya.

Banyak detik perpaduan wujud yang jarang atau tidak pernah mahu disebar; barangkali
terlalu selesa sehingga terlepas pandang dan memberi tumpuan berlebihan ke atas
perbezaan yang wujud.

Apa faktor utama yang menghalang perpaduan kaum di Malaysia?

DR. SIVAMURUGAN: Perpaduan adalah satu idaman tetapi yang menghalangnya


adalah diri kita sendiri. Sebahagian daripada masyarakat Melayu menganggap
Malaysia adalah negara Melayu; sebahagian lagi menganggap bahawa Malaysia
adalah sebuah negara Islam. Bagi sebahagian besar bukan Melayu pula, mereka
beranggapan negara ini adalah majmuk dan rencam.

Ada sebahagian pula yang tidak mahu menerima realiti sistem Melayu-Islam walaupun
hakikatnya ia sudah termaktub dalam Perlembagaan. Ini membawa kepada ‘krisis
identiti’. Kegagalan untuk menyalurkan kefahaman identiti berteraskan Perlembagaan
sehingga membawa kepada soal adil dan kesaksamaan akan terus menghantui.

Kita harus membayangi pemikiran kita dengan kebimbangan etnik lain daripada
membuta tuli saling salah-menyalahkan kerana sifat keetnikan kita. Kita sering
menyalahkan orang lain dan bukan diri sendiri malahan suka melihat kekurangan yang
lain sedangkan ia juga membongkar kelemahan dalaman kita.
Pendekatan keetnikan perlu matang dan memahami daripada lensa mereka dan bukan
membuat andaian sendiri kerana kita sebenarnya ejen sama ada mahu memakmurkan
atau merosakkan hubungan kita. Dalam mahu hak dihormati, mana setiap individu juga
mesti tahu menghormati hak orang lain.

Bilamana isu sensitif tersebar luas kebelakangan ini, maka ia harus kembali semua
kepada Perlembagaan agar sensitiviti masyarakat dipelihara.

Faham,hormat dan menerima antara satu sama lain baik kekuatan mahupun
kekurangan akan membantu memperbaiki sifat etnosentrik masing-masing. Apakah
Dasar Kebudayaan Kebangsaan perlu dirujuk semula dan diberikan roh baharu dalam
suasana suhu keetnikan mutakhir? Ada faktor lain turut menjadi faktor penarik kepada
kesenjangan etnik di Malaysia.

Keluarga, rakan sebaya, sekolah, universiti, pendidik, media,agensi berwajib, pemimpin


dan diri sendiri bertanggungjawab ke atas proses ini. Kesemua ejen sosialisasi ini harus
mempamerkan sifat kesederhanaan untuk mengharungi kerencaman di Semenanjung,
Sabah dan Sarawak. Tawar menawar, rundingan, mediasi perlu dipupuk nilai kompromi
dan berkorban untuk kepentingan semua.

Tapak integrasi yang mikro dan makro penting; lakukan sesuatu tanpa dipaksa dan
jauhi daripada kesedaran palsu atau sementara. Bergaul dan bergabung penting untuk
anjakan penyatupaduan kepada kesepaduan dan berakhir dengan perpaduan.

Walaupun sudah ada kontrak sosial namun semua kaum masih berasa tidak
cukup atau tidak puas hati. Kenapa keadaan ini boleh timbul?

DR. SIVAMURUGAN: Sudah pasti pembinaannya adalah berpaksikan kepada ‘kontrak


sosial’: Agama, bahasa,institusi raja-raja Melayu, kedudukan bumiputera dan kaum lain
serta kewarganegaraan. Asas integrasi rakyat Malaysia bersandarkan nilai-nilai yang
dipersetujui bersama sepertimana dalam Rukun Negara dan Perlembagaan
Persekutuan. Perkara 3 (Agama bagi Persekutuan); Perkara 152 (Bahasa
Kebangsaan); Perkara 153 (Perezaban kuota mengenai perkhidmatan, permit dan
sebagainya, untuk orang Melayu); Perkara 39 (Kuasa memerintah Persekutuan) dan
Bahagian III (Kewarganegaraan) mesti diketahui secara menyeluruh dan bukan sekadar
kiasan semata-mata.

Misalnya, Perkara 3 menyatakan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi
jarang yang mahu memerihalkan bahawa Perkara 3 juga menyentuh bagaimana
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian
Persekutuan.

Begitu juga dengan Perkara 153 yang menyatakan bahawa adalah menjadi
tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu
dan bumiputera mana-mana Borneo dan kepentingan-kepentingan sah kaum lain
mengikut peruntukan Perkara ini. Perlembagaan dan perpaduan juga bergantung
kepada hubungan resiprokal penggubal, pelaksana dan kumpulan sasar jika mahu
mantapkan kemuafakatan dalam kalangan ahli masyarakat.

Dalam mengukuhkan kedudukan tadbir urus, formulanya adalah tanggungjawab


bersama. Pemikiran kepimpinan perlu ‘mengurus hubungan antara etnik’ sebagaimana
yang terbukti daripada formula 4+1 di bawah kontrak sosial agar keadilan sosial terjaga
dan diatasi jurang inter dan intra etnik. Ia adalah hubungan emosi antara orang Melayu
dan bukan Melayu dalam mencari titik keseimbangan berdasarkan kepada ‘masa depan
yang sama’ supaya tidak ada sesiapa yang tertinggal dalam apa sahaja
pencapaiannya, yang turut melihat kepentingan keadilan .

Pada waktu sama, yang kaya dan miskin tidak lagi dilihat mengikut garis keetnikan;
maka jika seorang jatuh, kesemua kita membantu individu tersebut untuk bangkit
semula. Ini boleh membantu meminimumkan keresahan yang kita lihat hari ini.

Bagaimana Profesor melihat peranan pemimpin politik dan media dalam


memupuk perpaduan?

DR. SIVAMURUGAN: Media arus perdana mahupun alternatif mesti turut bersama
dalam memastikan kemuafakatan, keharmonian dan perpaduan adalah asas kepada
kejayaan dan kecemerlangan negara. Pemimpin wajar memaparkan kewibawaan
berpusatkan ‘kesederhanaan’ agar fahaman politik tidak sama sekali bersedia
berkompromi dengan prinsip maruah diri ‘kepunyaan’ ini. Mereka yang menyoal dan
menyingsing dan mengamalkan amalan songsang dari ideologi kebangsaan perlu
dihukum dan dipastikan tidak menjadi musuh agama mahupun etnik.

Platform media sosial yang digunakan untuk menular pelbagai berita yang boleh
dipersoal kesahihannya termasuk hasutan, khabar angin, provokasi dan cabar
mencabar wajar dibendung dari awal; didakwa dan dihukum berat sebagai pengajaran
kepada yang lain. Media adalah ejen yang boleh mendidik, sebar dan terokai elemen-
elemen pengukuhan dan bukan di sebaliknya. Tindakan kerajaan mengawal kumpulan
ekstrem dan radikal dari awal membolehkan negara terus berada dalam landasan betul.

Walaupun tidak dinafikan ‘perpaduan’ ada pasang-surutnya; yang penting adalah


‘kejujuran’ dan ‘kepercayaan’ bahawa sistem yang ada adalah yang terbaik dalam
membina kesaksamaan dan mempertahankan hak masing-masing. Dengan
peningkatan golongan celik huruf, sudah pasti harapan dan matlamat mereka berbeza
dengan golongan merdeka yang melihat bagaimana proses membina negara-bangsa
ini berlaku apatah lagi lahirnya kecerdasan artifical (buatan) dengan perubahan
teknologi. Pemimpin pula wajar mengetepikan beberapa kepentingan etnik masing-
masing; semangat perkongsian hidup sebagai satu keluarga besar; toleransi, hormat-
menghormati; saling faham memahami.

Kepelbagaian memberi kekuatan. Prinsip asas negara tidak boleh dikompromi dan
generasi baharu perlu sedar kepentingannya. Ini kerana tanggungjawab
kewarganegaraan adalah tanggungjawab bersama sebagaimana yang termaktub dalam
Perlembagaan. Ia bukan Perlembagaan bukan orang Melayu dan ia juga bukan
Perlembagaan untuk orang Melayu; Perlembagaan Malaysia adalah untuk keseluruhan
warga Malaysia yang bertanggungjawab ke atas tanah airnya.

Politik kesederhanaan menjadi pendekatan yang diguna pakai untuk bebas dan
memerintah sendiri tetapi lebih daripada itu, adalah formula pembinaan negara bangsa
berasaskan kepada pengurusan hubungan etnik dan pengorbanan serta kompromi
tatkala itu membolehkan kita masih merdeka dan pengisian dilakukan sebaik mungkin
dalam warisan kesinambungan kepimpinan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/jati-diri-malaysia-1.797507#ixzz5hMQsLRI6


© Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like