Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

HUBUNGAN CIRI PERSONALITI DAN KEMAHIRAN SOSIAL DENGAN KEPUASAN

BELAJAR DALAM KALANGAN PELAJAR KELAS RANCANGAN


KHAS (KRK) DI ZON PANTAI TIMUR
NEGERI SABAH

Norasmawani Yusoff, Baharom Mohamad


Sekolah Pendidikan dan Pembangunan Sains Sosial,
Universiti Malaysia Sabah
wani6300@gmail.com

ABSTRAK

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti hubungan ciri personaliti dan kemahiran sosial
dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar Kelas Rancangan Khas (KRK) di Zon
Pantai Timur Negeri Sabah. Kajian ini melibatkan 234 orang responden yang terdiri daripada
pelajar KRK tingkatan 1 hingga 3 yang melibatkan 7 daerah dalam Zon Pantai Timur Negeri
Sabah. Kesemua responden dijadikan sampel kajian dengan menggunakan kaedah
persampelan rawak mudah. Kajian ini menggunakan Teori Big Five oleh Goldberg yang
melibatkan dimensi Extraversion, Neurotisme, Agreeableness, Opennes dan
Conscientiousness. Data dikumpul dengan menggunakan satu set soal selidik. Data
dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for Social Science
Version 15.0). Berdasarkan analisis deskriptif didapati bahawa tahap kepuasan belajar
dalam kalangan pelajar KRK adalah pada tahap tinggi. Ciri personaliti adalah ciri Openness.
Analisis ujian-t menunjukkan tidak terdapat perbezaan ciri personaliti berdasarkan jantina.
ANOVA Sehala pula menunjukkan tidak terdapat perbezaan dalam kepuasan belajar
berdasarkan tahun pembelajaran. Analisis Korelasi Pearson pula menunjukkan terdapat
hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Openness, Conscientiousness, Extraversion,
Agreeableness dengan kepuasan belajar kecuali personaliti Neurotiscm. Selain itu, terdapat
hubungan yang signifikan antara kemahiran sosial dengan kepuasan belajar dalam
kalangan pelajar KRK. Hasil dapatan juga mendapati kemahiran sosial turut mempengaruhi
dan penyumbang utama kepada kepuasan belajar.
(Kata Kunci: Personaliti, Kemahiran Sosial, Kepuasan Belajar)

PENGENALAN

Masyarakat Malaysia seringkali beranggapan bahawa pelajar yang pintar dan mempunyai
tahap pencapaian akademik yang tinggi adalah pelajar yang berkelakuan baik dan terpuji
berbanding dengan pelajar yang kurang pintar dan sebaliknya. Eysenck (1998) telah
menyatakan bahawa faktor personaliti memainkan peranan yang penting dalam
mempengaruhi pencapaian akademik seseorang pelajar. Kenyataan ini seterusnya disokong
oleh Che Mah dan Mariani (2001). Walau bagaimanapun, Piirto (1999) menyatakan
personaliti pelajar pintar cerdas akademik adalah sukar diramal malah berbeza-beza.

1
Tingkah laku manusia berbeza-beza kerana setiap manusia mempunyai personaliti
yang tersendiri. Personaliti inilah yang boleh menjadi pencetus kepada nilai kepuasan
belajar pelajar KRK atau sebaliknya. Kemahiran sosial harus dibentuk sejak kecil dan ibu
bapa harus berperanan secara proaktif, malah dipercayai hubungan seharian dengan ibu
bapa ialah asas kepada perkembangan kemahiran sosial remaja. Kekurangan kemahiran
sosial akan mewujudkan suasana tegang dan cemas dalam interaksi, tidak mampu
menerima perbezaan pendapat, mementingkan diri sendiri dan menganggap diri sendiri saja
yang betul, malah akan mencari keburukan orang lain. Personaliti dan kemahiran sosial
dilihat mempunyai kaitan antara satu sama lain. Pelajar yang mempunyai kemahiran sosial
yang tinggi melihat diri mereka memiliki secara meluas trait personaliti yang berkehendak
kepada kehidupan bersosial. Oleh itu, hasil daripada penilaian terhadap personaliti,
kemahiran sosial secara konsepnya mempunyai kaitan dengan kepuasan belajar.

Masalah Kajian

Masalah tingkah laku yang biasa berlaku di kalangan remaja merangkumi jangkaan masa
depan mereka yang negatif, kurangnya kemahiran bersosial, gangguan emosi serta
beberapa masalah harian yang mengakibatkan kepada masalah disiplin di sekolah
(Abdullah dan Mawaddah, 2002). Pelajar yang menghadapi masalah tingkah laku dikhuatiri
akan menceburkan diri dalam kegiatan negatif sewaktu berada di luar sekolah seperti
berfoya-foya, berjudi dan penyalahgunakan dadah.

Oleh itu, jika remaja sering lalai menggunakan waktu remajanya dengan baik, dia
akan berasa menyesal seumur hidup. Bagi ahli psikologi, tingkah laku bermasalah dalam
kalangan remaja dikaitkan dengan tahap perkembangan yang dilalui oleh mereka. Pada
tahap remaja, individu mudah mengalami konflik pemikiran dan gangguan moraliti. Menurut
Allen (2000), remaja mengalami krisis identiti iaitu dari segi mencari identiti yang sesuai
dengan mengambil kira aspek tingkah laku, sikap dan kepercayaan. Apabila remaja gagal
menyelesaikan krisis, mereka akan mempamerkan tingkah laku bilazim dan nakal (Asmah
dan Zulekha, 2004).

Ketidakpuasan belajar dikatakan apabila berlaku konflik antara guru, rakan sekelas
atau masalah dalam keluarga. Apabila terdapat ketidakpuashatian, maka pelajar akan
melakukan pelbagai perkara negatif. Laporan menunjukkan kes salah laku disiplin pada
tahun 2010 yang sering dilakukan oleh pelajar sekolah di Malaysia ialah jenayah (17, 595
kes), ponteng sekolah (19,545 kes), tidak sopan (18,346 kes), kekemasan diri ( 21,384 kes),
tidak mementingkan masa (17,808 kes), kelucahan (3,031 kes), vendalisme (5212 kes) dan
kenakalan (8500 kes) (KPM, 2012).

Sering menjadi tanda tanya bahawa mengapa terdapat juga kes pelajar cemerlang
terlibat dalam gejala yang tidak sihat. Akademik pelajar cemerlang walhal personaliti mereka
tidak memuaskan. Tumpuan yang terlalu berfokus kepada akademik sehingga alpa dan lupa
aspek personaliti pelajar. Ramai pelajar yang cemerlang dari segi akademik, namun
terkandas dari aspek kemahiran sosial yang lain seperti kemahiran berkomunikasi dengan
orang awam, kemahiran insaniah (soft skill) dan sebagainya.

2
Fenomena remaja kurang bersosial dikatakan berpunca daripada keperluan semasa
yang mementingkan pencapaian tinggi dalam peperiksaan. Oleh itu, remaja menerima
tekanan dan menggalas harapan yang besar ibu bapa untuk berjaya dalam akademik. Sikap
segelintir ibu bapa sebegini lebih rela anak remaja mereka menjadi ulat buku dan anti-sosial
asalkan mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

KAJIAN LEPAS

Personaliti adalah salah satu faktor yang mempunyai kaitan dengan keunikan manusia
(Funder, 2001). Personaliti berasal dari perkataan Latin ''pesona'', yang membawa maksud
topeng, pelindung muka atau juga mengeluarkan suara (personare). Funder (2001:2)
mendefinisikan personaliti sebagai ciri pola pemikiran, emosi, tingkah laku individu, disertai
dengan mekanisme psikologi dan sama ada tersembunyi atau tidak. Personaliti
sememangnya memainkan peranan yang penting di dalam kehidupan setiap individu.
Mischel dan Susan (2003) yakin bahawa ciri personaliti ini pada dasarnya bersifat biologi
dan bukannya diperolehi daripada pengalaman atau proses pembelajaran.

Goldberg (1981) menyatakan bahawa Teori Big Five menggambarkan struktur


bagaimana seseorang itu penting dan popular melalui pemerhatian seseorang dan
menunjukkan seseorang menggambarkan orang lain dan dirinya dalam bentuk idea utama.
Terdapat lima dimensi utama dalam teori ini yang dikenal dengan akronim OCEAN, iaitu
keterbukaan fikiran (Openness To Experience), kesedaran (Conscientiousness), sifat sosial
(Extraversion), sama pendapat dan mudah mencapai persetujuan (Agreeableness) dan
gangguan emosi (Neuroticism) (Fiedler, 1998). Kajian yang telah dilakukan oleh Hoy et al.
(1996) menunjukkan terdapat kolerasi yang positif dan signifikan diantara personaliti dengan
pencapaian akademik dalam kalangan pelajar sekolah. Hasil dapatan menunjukkan pelajar
yang mempunyai personaliti yang unggul biasanya mempunyai pencapaian yang lebih
cemerlang di dalam bidang akademik.

Dapatan yang yang diperolehi oleh Sarimah dan Nor Hanimah (2009) dimana pelajar
yang mempunyai pencapaian akademik yang tinggi akan turut mempengaruhi penghargaan
kendiri, mempunyai sahsiah yang terpuji dan bersikap terbuka terhadap sebarang
perubahan. Eysenck dan Cookson (1990) telah menyatakan bahawa faktor personaliti
memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi pencapaian akademik seseorang
pelajar. Kenyataan ini seterusnya disokong oleh Che Mah dan Mariani (2001). Walau
bagaimanapun personaliti pelajar pintar cerdas akademik adalah sukar diramal malah
berbeza-beza (Piirto, 1999; Eysenck, 1979). Perbezaan ini juga dipengaruhi oleh beberapa
faktor seperti faktor jantina dan jenis sekolah atau persekitaran sekolah.

Kemahiran sosial merujuk kepada hubungan seseorang individu dengan yang lain.
Hubungan yang terjalin adalah berdasarkan persefahaman, komunikasi, tujuan hubungan
yang dijalinkan dan objektif. Menurut Walker et al. (2005), latihan kemahiran sosial telah
menunjukkan kesan yang efektif dalam meningkatkan kesesuaian interaksi pelajar dan
menurunkan kecenderungan kepada tingkah laku agresif. Menurut Huber (2004),
pengalaman dan pendedahan awal berkaitan dengan proses sosialisasi akan memberi
keyakinan kepada kanak-kanak dan akan menjadi bekalan untuk berkembang dengan
positif pada semua peringkat usia.

3
Smith (2005) berpendapat bahawa kepuasan ditentukan oleh perbezaan antara
jumlah nilai ganjaran yang diterima oleh seseorang individu dengan nilai yang sepatutunya
diterima. Dinham dan Scoot (2000) menerangkan kepuasan belajar adalah satu perasaan
yang diperolehi daripada sesuatu tugas sebagai menepati nilai kerja selaras dengan
keperluan individu. Maisarah dan Muaini (2012) pula menyatakan kepuasan belajar sebagai
suasana emosi yang seronok kerana pencapaian dalam sesuatu pelajarannya. Menurut
Schermerhom (2000) pula, kepuasan belajar merujuk kepada sikap, perasaan dan
penerimaan kepada persekitaraan yang boleh menimbulkan keseronokan dan memberi
kepuasan dalam pembelajaran.

METODOLOGI KAJIAN

REKA BENTUK KAJIAN

Reka bentuk kajian ini adalah melalui pendekatan kuantitatif yang menggunakan instrumen
sebagai alat untuk mengutip data.

PERSAMPELAN

Kaedah ini menggunakan persampelan rawak mudah. Terdapat 7 buah sekolah yang
menawarkan kelas KRK di Zon Pantai Timur Sabah yang merangkumi 600 orang murid.
Maka menurut penentuan saiz sampel Krejcie dan Morgan (1970) dan Jadual Cohen et al.,
(2005), jika populasi dalam lingkungan 600 maka sampel yang diperlukan adalah sebanyak
234 orang.

INSTRUMEN KAJIAN

Instrumen dalam bentuk soal selidik dijalankan ke atas 234 orang pelajar KRK sebagai
responden kajian. Pengkaji menggunakan keedah soal selidik jawapan dipilih. Hal ini
dilakukan kerana tidak memerlukan kemahiran subjek untuk melahirkan idea secukupnya
melalui tulisan dan dapat memudahkan menganalisis jawapan (Nana, 2005). Soal selidik
diserahkan secara serahan tangan kepada responden dan dikutip semula pada bila-bila
masa yang telah dipersetujui bersama oleh responden dan penyelidik. Hal ini akan
memberikan ruang dan peluang kepada responden menjawab soalan-soalan kajian dengan
jawapan yang telus. Menurut Sabitha (2005), kaedah serahan secara tangan merupakan
kaedah yang terbaik dalam usaha mendapatkan data kajian daripada responden.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN KAJIAN

Hasil kajian menunjukkan responden lelaki seramai 71 orang (30.3%), manakala responden
perempuan seramai 163 orang (69.7%). Dapatan ini menunjukkan responden perempuan
lebih ramai yang terlibat dalam kajian berbanding dengan responden lelaki. Hasil daripada
kajian menunjukkan seramai 150 orang responden (64 %) mendapat 5A dalam keputusan
UPSR, 74 orang (31.6%) mendapat 4A dan 10 orang (4.3%) mendapat 3A. Hal ini
menunjukkan responden yang mempunyai keputusan 5A merupakan responden yang paling

4
ramai.

Bagi menjawab kepada persoalan kajian, maka didapati:

1) Apakah tahap kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur
Sabah?

Interpretasi nilai min menunjukkan berada pada nilai 3.65 (SP=0.38). Skor min ini
menterjemahkan bahawa tahap kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai
Timur Negeri Sabah adalah berada pada tahap tinggi. Dapatan ini selari dengan Teori Nilai
John Locke (1976) yang menyatakan bahawa kepuasan akan dicapai apabila tercetusnya
emosi yang positif dan menyeronokkan hasil daripada faktor-faktor yang menyumbang
kepada kepuasan terhadap perkara yang dilakukan. Mereka yang gagal mencapai
kepuasan dalam setiap perkara yang dilakukan akan memperlihatkan emosi dan tingkah
laku yang negatif dan kurang selesa. Tambahan pula, Teori Nilai John Locke (1976) turut
menyatakan ganjaran turut membantu mencapai kepuasan dalam setiap perkara yang
dilakukan.

2) Apakah ciri personaliti yang dominan terhadap kepuasan belajar dalam kalangan
pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah?

Jadual 1: Skor Min Dimensi Ciri Personaliti Pelajar

Dimensi Ciri Personaliti Minimum Maksimum Min Sisihan Piawai

Extraversion 2.68 4.43 3.73 .362


Neurotiscm 1.24 3.98 3.30 .809
Agreeableness 1.36 4.52 3.37 .322
Openness 3.08 4.50 3.85 .415
Conscientiousness 1.94 4.47 3.49 .323

Skor min yang paling tinggi dicatatkan oleh dimensi ciri personaliti Openess iaitu
pada tahap 4.50 (sangat tinggi). Ini diikuti oleh dimensi ciri personaliti Agreeableness iaitu
4.52 (sangat tinggi), Conscientiousness iaitu 4.47 (sangat tinggi), Extraversion iaitu 4.43
(sangat tinggi) dan dimensi ciri personaliti Neurotiscm mencatatkan skor min yang paling
rendah iaitu 3.98 yang menunjukkan ia masih berada pada tahap yang tinggi. Rumusan
daripada jadual di atas ialah personaliti dominan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri
Sabah ialah personaliti Openess iaitu pada tahap 4.50 (sangat tinggi). Kajian ini
membuktikan sikap keterbukaan pelajar dalam menerima setiap pembaharuan, mempunyai
sikap ingin tahu yang tinggi, berfikiran luas dalam setiap perkara dan boleh menerima
tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik. Hal ini dapat dilihat apabila berlaku
transformasi dalam agenda pendidikan negara seperti pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) yang menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Perubahan sistem
pendidikan ini menunjukkan bahawa pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah dapat
menerima transformasi pendidikan ini dengan sikap yang terbuka dan positif.

5
3) Apakah kemahiran sosial yang diamalkan oleh pelajar KRK terhadap kepuasan
belajar pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah?

Jadual 2: Skor Min Dimensi Kemahiran Sosial yang diamalkan oleh pelajar KRK

Dimensi Kemahiran Sosial Minimum Maksimum Min Sisihan


Piawai
Kemahiran Interpersonal 1.97 2.85 2.47 .436
Kemahiran Berpasukan 2.39 3.17 2.79 .411
Kemahiran Konseptual 2.72 3.39 2.86 .499
Kemahiran Pembelajaran 2.24 3.30 2.73 .632
Kemahiran Disiplin Diri 2.44 3.22 2.80 .404
Kemahiran Kepimpinan 2.35 3.65 2.00 .333
Kemahiran Mengikut Keutamaan 2.94 3.04 2.81 .546
Kemahiran Komunikasi 2.26 3.12 2.77 .402

Dapatan menunjukkan bahawa skor min yang paling tinggi dicatatkan ialah
kemahiran konseptual (2.86) iaitu pada aras sederhana, kemahiran menjalankan tugas
mengikut keutamaan, (2.81), kemahiran disiplin diri (2.80), kemahiran berpasukan (2.79),
kemahiran komunikasi (2.77), kemahiran pembelajaran (2.73) dan kemahiran interpersonal
(2.47). Kemahiran kepimpinan mencatatkan min yang paling rendah iaitu sebanyak 2.00
(tahap rendah). Kesimpulannya, terdapat lapan faktor dalam dimensi kemahiran sosial yang
dimiliki oleh pelajar KRK di Zon Pantai Timur Sabah dan dimensi kemahiran konseptual
merupakan kemahiran yang paling banyak diamalkan dan turut memberikan kepuasan
belajar kepada pelajar KRK. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kebanyakan pelajar
KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah mempunyai tingkat kemahiran konseptual yang
tinggi. Empat item telah diuji dalam dimensi kemahiran konseptual iaitu pelajar dapat
menterjemah arahan secara tepat bagi mengurangkan kesilapan, lebih gemar membaca
bahan yang berunsurkan fakta dan teori, memberikan maklumbalas berdasarkan sesuatu
fakta dan merancang dengan teliti matlamat yang ingin dicapai pada masa hadapan. Hal ini
bermakna, pelajar KRK berupaya untuk membuat analisis, berfikir secara logik, kreatif dalam
menjana idea dan menyelesaikan masalah agar ianya lebih sistematik dan efektif.

PENGUJIAN HIPOTESIS
HO1 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan antara ciri personaliti berdasarkan
jantina dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.
Bilangan pelajar lelaki seramai 71 orang mencatatkan skor min 29.12. Pelajar
perempuan adalah seramai 160 orang yang secara puratanya mencatatkan skala
skor min iaitu sebanyak 28.70. Interpretasi keputusan ujian-t yang menunjukkan nilai
yang diperoleh ialah (t=1.480, df=229, p >0.05). Perbezaan nilai min adalah
sebanyak 0.42 bagi kedua-dua jantina adalah sangat kecil menyebabkan hipotesis
nul (HO1) diterima. Kajian kajian ini turut menyokong kajian yang dilakukan oleh Chin
(2006) yang mendapati tidak terdapat pengaruh jantina yang berbeza terhadap trait
personaliti. Dapatan yang diperolehi oleh Azlin et al. (2013) turut menunjukkan tidak
terdapat perbezaan yang signifikan antara personaliti Openness, Conscientiousness,
Extraversion, Agreeableness dan Neuroticism antara murid lelaki dan murid
perempuan. Hal ini bermakna personaliti Openness, Conscientiousness,

6
Extraversion, Agreeableness dan Neuroticism antara murid lelaki dan perempuan
adalah sama.

HO2 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam kepuasan belajar berdasarkan
jantina dalam kalangan dalam kalangan pelajar KRK di Zon Timur Negeri
Sabah.
Interpretasi keputusan ujian-t menunjukkan bahawa nilai yang diperoleh ialah
signifikan (t=-.809, df=232, p>0.05). Nilai perbezaan min -.044 menunjukkan bahawa
terdapat perbezaan yang signifikan dalam kepuasan belajar berdasarkan jantina. Hal
ini bermakna bahawa hipotesis nul (HO2) diterima kerana tidak terdapat perbezaan
dalam kepuasan belajar berdasarkan jantina dalam kalangan pelajar KRK di Zon
Pantai Timur Sabah. Dalam erti kata yang lain, tidak wujud perbezaan kepuasan
belajar dalam kalangan pelajar lelaki mahupun pelajar perempuan. Dapatan kajian ini
mempunyai persamaan dengan Dinham dan Scott (2008) yang menyatakan bahawa
tidak terdapat perbezaan yang signifikan dalam kepuasan belajar bagi lelaki dan
perempuan. Hal ini turut disokong oleh Mahmood Nazar dan Sabitha (2008) yang
menyatakan bahawa umur, jantina, pengalaman, faktor keluarga dan lokasi sekolah
tidak mempengaruhi tahap kepuasan belajar.

HO3 Tidak terdapat perbezaan yang signifikan terhadap kepuasan belajar


berdasarkan tahun pembelajaran di sekolah.
Keputusan ANOVA Sehala untuk membandingkan kepuasan belajar. Berdasarkan
statistik-F, kepuasan belajar berdasarkan tahun pembelajaran (tingkatan) didapati
signifikan (F=1.847, df=2, 231, P=.160). Perkara ini membuktikan bahawa hipotesis
nul (HO3) diterima. Oleh yang demikian, tidak terdapat perbezaan yang signifikan
dalam kepuasan belajar mengikut tingkatan pelajar. Haslinda dan Hamdan (2011)
turut mendapati bahawa terdapat perbezaan kepuasan yang signifikan di antara
pelajar berbeza tahun pengajian dengan pengajaran dan pembelajaran pelajar.

HO4 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Openness
dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Timur Negeri
Sabah.
Keputusan analisis ujian korelasi yang menunjukkan terdapat hubungan yang positif
(r=.151*, p <.05) di antara ciri personaliti Openness dengan kepuasan belajar. Walau
bagaimanapun, kekuatan hubungan kolerasi yang wujud ini adalah sangat lemah
diantara kedua-dua pembolehubah. Berdasarkan dapatan yang diperolehi, maka
hipotesis nul (Ho4) ditolak. Dengan kata lain, terdapat hubungan yang signifikan
antara ciri personaliti Openness dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar
KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah. Dapatan kajian ini turut disangkal oleh Asrul
(2010) yang menunjukkan tidak wujud perbezaan Openness yang signifikan dalam
kalangan pelajar yang cemerlang akademik berdasarkan jantina [t(139)=-1.756,
p=0.08] pada aras kesignifikanan 5% yang telah ditetapkan. Senario ini sependapat
dengan dapatan yang dilakukan oleh Azlin et al. (2003) yang menunjukkan tidak
terdapat perbezaan diantara ciri Openness dengan kepuasan belajar.

7
HO5 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti
Conscientiousness dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di
Zon Timur Negeri Sabah.
Keputusan analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan (r=.270**,
p<0.01) diantara ciri personaliti Conscientiousness dengan kepuasan belajar. Walau
bagaimanapun, kekuatan hubungan yang wujud adalah sangat lemah antara kedua-
dua pembolehubah berdasarkan Indeks Korelasi Ary et al. (2002). Berdasarkan
dapatan yang diperoleh, maka hipotesis nul (Ho5) ditolak. Maka, terdapat hubungan
yang signifikan antara ciri personaliti Conscientiousness dengan kepuasan belajar
belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

HO6 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Extraversion
dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur
Negeri Sabah.
Keputusan analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan positif yang
signifikan (r=.172**, p <.01) diantara ciri personaliti Extraversion dengan kepuasan
belajar. Berdasarkan dapatan yang diperoleh, maka hipotesis nul (Ho6) ditolak. Maka,
terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Extraversion dengan
kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

HO7 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Agreeableness
dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur
Negeri Sabah.
Analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan positif yang signifikan
(r=.201**, p <.01) di antara ciri personaliti Agreeableness dengan kepuasan belajar.
Berdasarkan Indeks Kolerasi Ary et al. (2002), kekuatan hubungan yang wujud
antara kedua-dua pembolehubah adalah sangat lemah. Berdasarkan dapatan yang
diperoleh, maka hipotesis nul (Ho7) ditolak. Maka, terdapat hubungan yang signifikan
antara ciri personaliti Agreeableness dengan kepuasan belajar dalam kalangan
pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

HO8 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Neurotiscm
dengan kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur
Negeri Sabah.
Analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan positif yang signifikan
(r=.086, p>.01) diantara ciri personaliti Neurotiscm dengan kepuasan belajar.
Berdasarkan Indeks Korelasi Ary et al. (2002), kekuatan hubungan yang wujud
antara kedua-dua pembolehubah ini juga adalah sangat lemah. Berdasarkan
dapatan yang diperoleh, maka hipotesis nul (Ho8) diterima. Maka, tidak terdapat
hubungan yang signifikan antara ciri personaliti Neurotiscm dengan kepuasan belajar
dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

8
HO9 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara ciri personaliti pelajar dengan
kemahiran sosial dalam kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri
Sabah.
Keputusan analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan positif yang
signifikan (r=.437, p<.01) diantara ciri personaliti dengan kemahiran sosial. Walau
bagaimanapun, kekuatan hubungan yang wujud adalah sederhana antara kedua-dua
pembolehubah berdasarkan Indeks Korelasi Ary et al., (2002). Berdasarkan dapatan
yang diperoleh, maka hipotesis nul (Ho9) ditolak. Dapatan kajian ini menyokong
dapatan kajian yang dilakukan oleh Siti Rahayah et al. (2008a) yang menyatakan
bahawa kemahiran komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan adalah tiga
kemahiran yang menjadi teras yang sangat penting bagi perkembangan kemahiran
generik pelajar. Dapatan ini turut selari dengan Jones (2000) melalui Teori Kawalan
Sosial yang menyatakan bahawa ciri personaliti negatif yang dilakukan oleh pelajar
turut berkaitan dengan perapatan. Semakin banyak kesalahan yang dilakukan,
semakin kurang perapatan dalam perhubungan dengan rakan sebaya dan lebih
banyak melibatkan diri dalam perhubungan yang negatif.

HO10 Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara kemahiran sosial dengan
kepuasan belajar dalam dalam kalangan pelajar KRK Di Zon Pantai Timur
Negeri Sabah.
Keputusan analisis ujian korelasi yang menunjukkan wujudnya hubungan positif yang
signifikan (r=.441, p <0.01) di antara kemahiran sosial dengan kepuasan belajar.
Berdasarkan dapatan yang diperoleh, maka hipotesis nul (Ho10) ditolak. Walau
bagaimanapun, merujuk kepada Indeks Korelasi Ary et al. (2002), kekuatan
hubungan yang wujud antara kedua-dua pembolehubah adalah lemah. Justeru itu,
dapat disimpulkan terdapat hubungan yang signifikan yang lemah antara kemahiran
sosial yang dimiliki oleh pelajar KRK dengan kepuasan belajar dalam kalangan
pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

HO11 Tidak terdapat pengaruh yang signifikan ciri personaliti dan kemahiran sosial
terhadap kepuasan belajar pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah.
Analisis Regresi Berganda (stepwise) menunjukkan bahawa pembolehubah tak
bersandar iaitu ciri personaliti dan kemahiran sosial adalah peramal yang mempunyai
pengaruh dan sumbangan sebanyak 21.1% yang signifikan (p<0.01) terhadap
kepuasan belajar. Peramal yang utama dan tertinggi terhadap kepuasan belajar ialah
aspek kemahiran sosial (β = 0.383, p<0.01) dan sumbangannya sebanyak 19.6%. Ini
menunjukkan bahawa apabila skor aspek kemahiran sosial bertambah sebanyak
satu unit, akan menambahkan kepuasan belajar pelajar KRK sebanyak 0.383 unit.
Dapatan daripada hasil analisis ini menunjukkan bahawa aspek kemahiran sosial
merupakan faktor utama dan memberikan sumbangan sebanyak 19.6% kepada
kepuasan belajar.

9
Peramal kedua yang terpenting ialah ciri personaliti memberikan sumbangan
sebanyak 1.5% terhadap kepuasan belajar (β = 0.136, p<0.05). Keadaan ini
menunjukkan bahawa apabila skor aspek ciri personaliti bertambah sebanyak satu
unit, akan menambahkan kepuasan belajar sebanyak 0.136 unit. Dapatan ini
menunjukkan bahawa aspek ciri personaliti merupakan faktor terpenting dan
memberikan sumbangan sebanyak 0.5% kepada kepuasan belajar pelajar KRK di
Zon Pantai Timur Negeri Sabah.

Dapatan ini bertepatan dengan pandangan Bee (1981) yang menyatakan


mereka yang mempunyai ciri perosnaliti yang baik dan unggul selalunya dikaitkan
dengan mereka yang bersikap positif. Pelajar yang memiliki personaliti yang baik
biasanya mendapat keputusan yang baik di sekolah kerana merasakan mereka
mempunyai penentuan hala tuju pada masa hadapan, mempunyai ramai kawan dan
bergaul mesra dengan kedua-dua ibu bapa. Justeru itu, kepuasan pada tahap yang
maksimum dalam kehidupan akan dicapai sekiranya pelajar memenuhi kesemua
kehendak yang diperlukannya.

RUMUSAN

Keseluruhannya, kajian ini merupakan satu lagi ilmu yang dapat membantu pemahaman
berkenaan tentang ciri personaliti dan kemahiran sosial terhadap kepuasan belajar dalam
kalangan pelajar KRK di Zon Pantai Timur Negeri Sabah. Dapatan kajian ini menunjukkan
tahap kepuasan belajar dalam kalangan pelajar KRK adalah berada pada tahap yang tinggi.
Selain itu, dapatan juga menunjukkan bahawa ciri personaliti yang paling dominan terhadap
kepuasan belajar pelajar KRK ialah ciri Openness (sangat tinggi).

Dapatan juga telah menunjukkan bahawa terdapat pengaruh yang signifikan antara
ciri personaliti dan kemahiran sosial terhadap kepuasan belajar pelajar KRK di Zon Pantai
Timur Negeri Sabah. Hal ini menunjukkan juga bahawa aspek kemahiran sosial merupakan
faktor utama yang memberi sumbangan utama kepada kepuasan belajar. Konklusi daripada
kajian yang dijalankan menunjukkan bahawa personaliti yang positif akan membantu
seseorang pelajar mencapai kepuasan dalam pembelajaran. Selain itu, kemahiran sosial
yang baik turut merangsang kepuasan pelajar untuk belajar demi melahirkan pelajar yang
bertingkah laku yang unggul dan berkualiti dalam usaha melahirkan pelajar yang cemerlang
di peringkat persada antarabangsa.

10
BIBLIOGRAFI

Abdullah Sulong dan Mawaddah Abdullah. 2002. Pengaruh Media Elektronik Terhadap
Keruntuhan Akhlak Remaja. Universiti Teknologi Malaysia.
Allen, B.P. 2000. Personality Theories. Development, Growth and Diversity. Boston: Allyn
and Bocon.
Asmah Ali dan Zulekha Yusof. 2004. Salahlaku Sosial Remaja Kini: Cabaran dan
Penyelesaian. Kertas Kerja Dibentang Pada Seminar Pembangunan Keluarga
Kebangsaan Mei 2004. Universiti Malaya.
Asrul Azmin Masiron. 2010. Hubungan Antara Personaliti Dan Penghargaan Kendiri Pelajar
Cemerlang Akademik. MRSM Pontian.
Azlin Moktar dan Suhaida Abdul Kadir. 2013. Personaliti dan Minat Kerjaya Murid Dalam
Bidang Teknikal dan Vokasional Di Zon Pudu, Kuala Lumpur. Seminar Pasca
Siswazah Dalam Pendidikan. Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra
Malaysia.
Che Mah Yusof dan Mariani Mohd Noor. 2003. Personaliti Pelajar Pintar Cerdas dan
Hubungannya Dengan Pencapaian Akademik. Prosiding Konferensi Kebangsaan
Kajian Pasca Siswazah. Serdang. Penerbit Universiti Putra Malaysia.
Dinham, S., and Scott, C. 2000. Moving Into The Third, Outer Domain Of Teacher
Satisfacton. Journal Of Educational Administration. 38 (4).
Eysenck, H. J. 1998. Personality Factors In Random Sample Of The Population.
Psychological Reports. 44. 1023–1027.
Eysenck H. J and Cookson, D. 1990. Personality In Primary School Children, Ability and
Achievement. British Journal Of Educational Psychology. 39. 109–122.
Fiedler, F. 1998. How Can a Successful School Avoid Failure? Strategic Management in
School. Journal of Education Administration. Vol. 36. No. 5. Pg 421-442.
Funder, D.C. 2001. Personality. Annual Review Of Psikology. Pp 197-221.
Goldberg, L. R. 1981. Language and Individual Differences: The Search For Universals In
Personality Lexicons. In L. Wheeler (Ed.). Review of Personality and Social
Psychology. Vol. 2.
Haslinda Abu Bakar dan Hamdan Said. 2011. Kepuasan Pelajar Pasca Ijazah Terhadap
Fakulti Pendidikan UTM. Kolej Islam Johor. Universiti Teknologi Malaysia.
Huber, S. G. 2004. School Leadership and Leadership Development: Adjusting Leadership
Theories and Development Programs To Values and The Core Purpose Of School.
Journal Of Education Administration. 42 (6). 669-684.
Hoy, W. K., Hoffman, J., Sabo, D., and Bliss, J. 1996. The Organizational Climate Of Middle
Schools: The Development And Test Of The OCDQ-RM. Journal Of Educational
Administration. 34 (1). 23-26.
Jones, M. C. 2000. Personality Correlates and Antecedents Of Drinking Pattern In Adult
Males. Journal Of Consulting And Clinical Psychology. Vol. 2. 36-50.
Krejcie, R.V and Morgan, D.W. 1970. Determining Sample Size For Research Activities.
Educational And Psychological Measurement. 30:607-610.
Mahmood Nazar dan Sabitha Marican. 2008. Prosiding: Seminar Kebangsaan Gejala Sosial.
Sekolah Pembangunan Sosial. Sintok. Universiti Utara Malaysia.
Maisarah Mansor dan Muaini Hanik Zunairah Bt Haji Haron. 2012. Tahap Kepuasan Pelajar
Terhadap Kemudahan Bilik Kuliah Di Jabatan Pelancongan Dan Hospitaliti Di
Politeknik Merlimau.

11
Mischel, W. & Shoda, Y. 2003. A Cognitive-Affective System Theory Of Personality:
Reconceptualizing Situations, Dispositions, Dynamics, And Invariance In Personality
Structure. Psychological Review. 102. 246-268.
Piirto, J. 1999. Talented Children And Adults: Their Development And Education (2nd ed).
New Jersey: Prentice-Hall.
Sabitha Marican. 2005. Kaedah Penyelidikan Sains Sosial. Selangor. Prentice Hall Pearson
Malaysia Sdn Bhd.
Sarimah Hanafi dan Nor Hanimah Yusoff. 2009. Kepuasan Pelajar-Pelajar Sarjana Muda
Teknologi Serta Kemahiran Hidup Di Fakulti Pendidikan UTM Pada Tahun 2009.
Schermerhom J.R., 2000. Manajemen. Buku 2. Penterjemah Parnama Putranta,.
Yogyakarta.
Smith, H.C. 2005. Personality Development. 2nd Ed. New York: Mc. Graw Hill Book
Company.
Walker, H. M., Ramsey, E., and Gresham, F. M. 2005. Antisocial Behavior In School:
Strategies and Best Practices. (2nd Ed.). Pacific Grove, CA: Brooks/Cole.

12

You might also like