Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 4

1.

0 Pendahuluan

Bimbingan kerjaya merupakan salah satu fokus utama di dalam perekayasaan


perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang perlu dijalankan terhadap murid-murid di
sekolah. Rentetan daripada keperluan bimbingan kerjaya di dalam kalangan murid-murid
terdapat beberapa isu dan trenda yang wujud dalam pelaksanaan bimbingan kerjaya di
sekolah. Isu dan trenda yang wujud ini memberi kesedaran kepada guru bimbingan dan
kaunseling agar sentiasa berusaha untuk memperbaiki dan menyediakan perkhidmatan
bimbingan kerjaya yang efisien di sekolah.

2.0 Isu dan trenda dalam bimbingan kerjaya di sekolah

2.1 Kepekaan kaunselor terhadap perubahan kerjaya

Antara isu dan trenda yang wujud dalam bimbingan kerjaya di sekolah ialah mengenai
kepekaan kaunselor terhadap perubahan kerjaya di negara Malaysia dan dunia. Menurut
Goodman & Hoppin (2011), dunia pekerjaan pada hari ini sememangnya telah berubah.
Ini adalah disebabkan oleh peningkatan globalisasi ekonomi, permintaan pasaran dan
juga perubahan teknologi semasa yang menyebabkan penggunaan sumber tenaga
manusia sudah tidak diperlukan lagi. Maka, kaunselor perlu bersifat peka dan prihatin
terhadap perubahan kerjaya yang wujud di dalam sesebuah negara dan dunia agar
perkongsian maklumat tentang kerjaya dapat disampaikan dengan tepat dan efektif.
Perkongsian maklumat tentang aspek kerjaya sememangnya dapat membantu murid-
murid dalam membuat pilihan yang sesuai dengan minat, kebolehan dan kemudahan
yang wujud di dalam kerjaya tersebut. Kepekaan kaunselor terhadap perubahan kerjaya
juga merupakan suatu tindakan yang signifikan dalam meraikan kepelbagaian keperluan
kerjaya dalam kalangan murid-murid. Menurut Mohd.Yahya & Roseliza Murni (2002),
murid-murid akan lebih bersedia dalam kerjaya yang bakal diceburi apabila murid-murid
menyatakan kemahuan untuk memasuki dan melibatkan diri dalam sesuatu bidang
pekerjaan atau memiliki cita-cita yang jelas. Maka, pelbagai aktiviti atau kemahiran yang
boleh dilaksanakan di dalam bimbingan kerjaya selaras dengan perkembangan zaman
pada hari ini seperti kursus motivasi, lawatan ke tapak kerjaya dan bengkel kerjaya (Mohd
Yahya, 2006). Jelaslah bahawa, kepekaan kaunselor terhadap perubahan kerjaya
merupakan salah satu isu dan trenda yang wujud dalam bimbingan kerjaya yang
dilaksanakan di sekolah.

2.2 Pengaplikasian kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi

Antara isu dan trenda dalam bimbingan kerjaya yang wujud di sekolah ialah
pengaplikasian kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam bimbingan kerjaya
yang dilaksanakan. Murid-murid pada hari ini lebih maju ke hadapan dalam mencari
maklumat dalam konteks penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (Johan
Luaran, Maka, kaunselor perlu bertindak dengan lebih proaktif dalam melaksanakan
bimbingan kerjaya terhadap murid-murid dengan menggunakan kemahiran teknologi
maklumat dan komunikasi (TMK). Hal ini boleh dibuktikan dengan pernyataan Annie Chau
& Tan, M. T. (2017), bahawa penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam
proses pembelajaran dan pengajaran mampu membantu dalam merangsang dan
meningkatkan minat serta kecenderungan murid di dalam sesuatu topik pembelajaran.
Maka, kaunselor hendaklah memiliki pengetahuan dan mengaplikasikan kemahiran
teknologi maklumat dan komunikasi semasa bimbingan kerjaya dijalankan. Misalnya,
kaunselor boleh menggunakan aplikasi Scratch, e-buku, animasi grafik dan kuiz atas
talian bagi meningkatkan pengetahuan murid-murid tentang potensi, minat dan hala tuju
kerjaya.

Berdasarkan pemerhatian yang dijalankan semasa praktikum pertama di sebuah


sekolah di daerah Johor Bahru, kaunselor tersebut masih menggunakan teknik ‘Chalk &
Talk’ yang di dalam pelaksanaan program kerjaya. Perkara ini jelas mempamerkan
bahawa murid-murid kelihatan bosan dan tidak memberi kerjasama yang baik di dalam
aktiviti yang dijalankan. Hal ini adalah kerana, murid-murid daripada kalangan generasi Z
dan generasi A sangat memerlukan pengaplikasian teknologi maklumat dan komunikasi
di dalam informasi yang disampaikan kerana mereka sendiri mampu mengakses pelbagai
jenis maklumat yang diperlukan dengan mudah dan pantas serta individu daripada
generasi tersebut juga merupakan generasi teknologi (Siti Mahani Muhazir & Nazlinda
Ismail, 2015). Oleh yang demikian, pendedahan dan pengaplikasian tentang
pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi dalam kalangan warga
pendidik sangat diperlukan di dalam melahirkan anak bangsa yang berpengetahuan dan
berfikiran global dalam segala aspek (Zainudin Abu Bakar, Mohd Safarin Noordin & Aide
Hatib, 2011). Intihanya, pengaplikasian kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
dalam bimbingan kerjaya merupakan salah satu isu dan trenda yang perlu diketengahkan
bagi mewujudkan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang efektif dan bermakna.

3.0 Penutup

Pengetahuan tentang pekerjaan dan pemilihan kerjaya serta proses perancangan kerjaya
seseorang itu dapat dipastikan dengan bimbingan kerjaya yang dijalankan dalam
kalangan murid-murid (Sapora Sipon, 2010). Maka, guru bimbingan dan kaunseling perlu
bertindak secara proaktif dalam menangani isu dan trenda yang wujud dalam konteks
bimbingan kerjaya yang dijalankan terhadap murid-murid di sekolah agar mereka memiliki
akal yang celik dan minda yang berfikir dalam membuat keputusan tentang bidang kerjaya
yang ingin diceburi.
RUJUKAN

Annie Chau & Tan, M. T. (2017). Kesan Penggunaan Teknologi Maklumat Dan
Komunikasi Terhadap Minat Dan Pencapaian Murid Tahun Dua Dalam Sains Di
Kuching. Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang. Tesis Sarjana Muda.

Goodman, J. & Hoppin, J. (2007). Adult Career Counseling: New Clients, New Strategies.
Alexandria: American Counseling Association.

Johan Luaran. (2013). Perkembangan, Cabaran dan Aplikasi Teknologi Maklumat Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran Di Malaysia. Universiti Teknologi Malaysia. Tesis
PhD.

Mohd Yahya Mohamed Ariffin & Roseliza Murni Ab Rahman. (2002). Melangkah ke Dunia
Pekerjaan. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors.

Mohd Yahya Mohamed Ariffin. (2006). Kerjaya Pilihan Abad ke 21. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.

Sapora Sipon. (2010). Peranan Kaunselor Sekolah Mempertingkatkan Kesedaran Kerjaya


Dalam Bidang Sains Dan Matematik Di Kalangan Pelajar Bumiputera. Jurnal
Pengurusan dan Kepimpinan Pendidikan. Universiti Malaysia Sabah.

Siti Mahani Muhazir & Nazlinda Ismail. (2015). Generasi Z: Tenaga Kerja Baru dan
Cabarannya. Dimuat turun pada 21 Februari 2019 daripada
http://docs.jpa.gov.my/docs/pelbagai/Artikel/2015/Generasi_Z.pdf.

Zainudin Abu Bakar, Mohd Safarin Noordin & Aide Hatib. (2011). Penguasaan Kemahiran
ICT Dalam Kalangan Guru: Suatu Analisis Kritikal Kepustakaan. Universiti
Teknologi Malaysia. Tesis Sarjana.

You might also like