Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 8

KAJIAN TINDAKAN- PENGAJIAN AM

Posted on March 10, 2013 by Dr. R. Dhanapal

ABSTRAK

Saya selaku guru mata pelajaran Pengajian Am bagi kelas-kelas tingkatan enam menghadapi banyak
masalah dengan pelajar berkaitan dengan konsep dan bidang kuasa yang terdapat dalam Bahagian
Kenegaraan . Untuk menangani masalah ini, saya telah menjalankan satu Kajian Tindakan bagi tajuk
Kerajaan Persekutuan : Bidang Tugas Yang DiPertuan Agong (YDPA) sebagai kuasa eksekutif dalam
kerajaan. Niat untuk menjalankan kajian tindakan ini timbul apabila keputusan Ujian Pra yang saya
jalankan dalam kelas PAF tidak begitu memuaskan saya. Malah mata pelajaran Pengajian Am
merupakan satu mata pelajaran yang penuh dengan pelbagai istilah dan fakta tetapi amat relevan
dengan kehidupan seharian pelajar sebagai seorang warganegara Malaysia. Kajian Tindakan ini
membantu saya dan pelajar untuk memahami amalan pengajaran guru, pembelajaran pelajar, keadaan
pelajar, suasana dalam bilik darjah dan sebagainya. Setelah kajian ini dijalankan, saya berjaya
menyelesaikan masalah profesional saya tanpa merujuk arahan luar dan saya dapat membuat
keputusan dalam bilik darjah dengan sendiri. Pendekatan Kuiz Kenegaraan yang saya ambil dalam kajian
tindakan ini sememangnya satu pendekatan lama, tetapi guru-guru sekarang gagal melaksanakannya di
peringkat tingkatan enam atas. Persepsi rata-rata guru tingkatan enam ialah pelajar tingkatan enam ini
pandai dan mereka boleh memahami apa jua yang diajar dalam sekelip mata. Kita harus ingat bahawa
walaupun mereka agak matang berbanding pelajar-pelajar lain tetapi mereka juga meminati kaedah-
kaedah yang pernah dilalui oleh mereka ketika mereka di bangku sekolah rendah terutama kaedah kuiz
kumpulan. Bagi saya pendekatan ini meningkatkan kefahaman saya bahawa amalan saya dalam bilik
darjah selama ini perlu diubah. Saya harus keluar daripada kongkongan amalan rutin iaitu kaedah ‘chalk
and talk’ dalam bilik darjah. Kaedah yang digunakan dalam Kajian Tindakan ini bagaimanapun telah
berjaya meningkatkan skor pelajar dalam Ujian Pos yang telah diadakan. Program yang dinamakan
“CUNGKIL BIJAK” ini menggunakan Pendekatan Kuiz Kenegaraan. Kajian Tindakan saya ini diharapkan
dapat membantu para guru yang lain untuk meningkatkan motivasi dan minat pelajar terhadap topik-topik
yang dipelajari di sekolah tanpa rasa jemu dan bosan.

1.0 PENGENALAN
Kajian Tindakan dijalankan mengikut empat langkah iaitu merancang, bertindak, memerhati dan
merenung. Sebelum menjalankan kajian, perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu supaya
penyelidik dapat memahami apa yang akan dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti dan dengan
langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke arah mencapai matlamat
kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan.
Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenal pasti masalah yang wujud dalam bilik
darjah atau di sekolah yang berkaitan dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan pendidikan
khususnya yang melibatkan P&P di bilik darjah juga boleh dijadikan asas untuk memulakan kajian.
Selepas itu penyelidik memahami dengan lebih mendalam tentang masalah itu. Dalam proses
pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling berkait. Murid akan mengalami
kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran yang lebih tinggi sekiranya kemahiran yang lebih
rendah atau awal tidak dikuasai dengan baik. Seseorang guru perlu memahami masalah yang dihadapi
oleh murid dengan terperinci sebelum merancang langkah-langkah pembaikan (Jeya Velu,et.al. 2000).
Tujuan diadakan Kajian Tindakan ini adalah untuk menangani pelbagai masalah pembelajaran adalah
lebih tepat. Jawapan kepada sebarang soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data. Kajian
Tindakan memerlukan data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan memantapkan dapatan
kajian. Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau pandangan turut memantapkan
kefahaman penyelidik tentang masalah atau isu yang ditangani. Setelah dikutip, data tersebut hendaklah
dianalisis dengan memberikan gambaran yang jelas tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu
juga menjadi asas kepada guru untuk merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai aktiviti
yang telah dijalankan. Apabila merancang aktiviti eloklah dilakukan sumbang saran terhadap langkah-
langkah yang akan dilaksanakan melalui pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana (Armstrong dll.,
2004) .
Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah seterusnya ialah bertindak iaitu melaksanakan
aktiviti di bilik darjah. Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang telah dikutip,
keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui proses ‘cuba-cuba’ (trial and
error). Setelah itu langkah pemerhatian dijalankan. Langkah pemerhatian haruslah diberi penelitian yang
terperinci supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan data yang dikutip menepati keadaan
yang sebenar. Di peringkat refleksi, penyelidik cuba merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari
tentang proses P&P berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa merenung, penyelidik cuba
menilai, menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan
P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan (Arhar dll., 2000).

2.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN YANG LALU


Mata pelajaran Pengajian Am merupakan satu mata pelajaran wajib lulus dalam STPM. Tanpa
kelulusannya pelajar sukar untuk melanjutkan pelajaran di IPTA tempatan. Di sekolah saya mata
pelajaran ini adalah di bawah kumpulan Sains Sosial. Semua pelajar adalah diwajibkan mengambil kertas
ini. Jadi semua peringkat kebolehan pelajar didapati dalam semua kelas. Lagipun tiada streaming untuk
pelajar tingkatan enam. Hal ini menyebabkan guru mengajar pelajar yang bertahap pencapaian
akademik yang pandai, sederhana dan lemah. Dalam PdPC saya kerapkali menghadapi masalah
pemahaman konsep dan bidang tugas sesuatu pihak atau agensi. Pelajar sering keliru dengan
bidang-bidang tugas pelbagai hierarki dalam Kerajaan Persekutuan. Pelajar saya sering keliru dan
tidak dapat menghuraikan istilah dan bidang tugas yang dikehendaki, walaupun jawapan yang
diperlukan adalah jawapan yang pendek dan padat. Pelajar kebiasaannya akan menjawab mengikut
logik mereka sendiri dan tidak dapat mengaitkan konsep dan fakta yang telah dipelajari. Saya
telah mengenal pasti beberapa sebab mengapa keadaan ini berlaku. Antaranya ialah pelajar saya tidak
faham dengan jelas topik yang dipelajari. Malah mereka kurang atau tidak mengulangkaji langsung
topik yang telah dipelajari di rumah. Mereka juga tidak mahu bertanya topik yang tidak difahami
kepada saya atau rakan yang tahu kerana takut dilabel sebagai pelajar lemah. Selain itu mereka
kurang atau tidak membuat langsung latihan secara kendiri.
Kebanyakanya hanya membuat latihan yang saya beri sebagai kerja rumah sahaja. Apabila disuruh
menjawab dalam kelas, mereka teragak-agak untuk menjawabnya. Ada antaranya mengabaikan kerja
rumah yang diberi. Perasaan kecewa mendapat murid-murid seperti ini kekadang wujud dalam diri dan
jiwa saya. Tetapi itu tidak bermakna tiada tindakan yang drastik saya ambil. Pelbagai cara atau kaedah
yang telah saya gunakan untuk menarik minat pelajar terhadap mata pelajaran Pengajian Am ini.
Walaupun disedari bahawa untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam subjek ini adalah sesuatu
yang mustahil bagi pelajar-pelajar ini, tetapi usaha tetap dijalankan sekurang-kurangnya keputusan
peperiksaan STPM kelak akan bertambah baik.
Bagaimanapun pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini mempunyai akhlak yang baik kecuali hanya
beberapa orang sahaja yang bermasalah. Hal ini dapat membantu saya melaksanakan proses
pengajaran dan pembelajaran dengan baik dan lancar. Majoriti mereka membawa modul yang telah saya
sediakan dan memberikan kerjasama ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung.
Saya telah melaksanakan beberapa kaedah pedagogi seperti teka silang kata, kuiz, menjawab
soalan secara tarik dan lepas (drag & drop),kotak ajaib,jumble trouble dan sebagainya. Hasil
daripada pemerhatian didapati bahawa pelajar yang berpencapaian sederhana dan lemah ini lebih suka
mengikuti pelajaran dalam suasana ceria dan seronok jika saya menggunakan kaedah kuiz. Hal ini
kerana mereka masing-masing inginkan kumpulan mereka berjaya mengumpul skor yang tinggi dalam
bilik darjah mereka.
3.0 ISU KEPRIHATINAN
Kajian yang dijalankan adalah berfokus kepada kuiz yang dijangka dapat memotivasikan pelajar.
Daripada pemerhatian saya, pelajar-pelajar yang mengambil subjek ini sering menganggapnya sebagai
satu mata pelajaran yang sukar. Mereka didapati belajar dalam keadaan tekanan dan saya sentiasa
mengingatkan bahawa subjek ini perlu dilihat dari aspek yang positif. Hal ini kerana kandungan subjek
Pengajian Am adalah berkaitan dengan kehidupan mereka seharian. Oleh itu wujud idea untuk
memasukkan kuiz dalam pengajaran Pengajian Am STPM. Kebiasaannya soalan-soalan kenegaraan
adalah sebanyak 50. Tetapi soalan yang melibatkan Kerajaan Persekutuan adalah antara 10 hingga 12
soalan. Jika pelajar tidak dapat menguasai sepenuhnya sesuatu tajuk dalam subjek ini mereka akan
kehilangan markah secara keseluruhannya dengan banyak. Tujuan kuiz ini dilaksanakan dalam kajian
ini juga adalah sebagai salah satu galakan agar pelajar-pelajar berminat dan menambah keyakinan
kepada mereka bahawa subjek ini tidak terlalu sukar seperti mana disangkakan oleh mereka.
4.0 OBJEKTIF KAJIAN
Selepas kajian ini dijalankan,pelajar-pelajar diharapkan akan mencapai objektif seperti berikut.:

4.1 Objektif Umum


Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap tajuk Bidang kuasa YDPA dan jenis bidang kuasanya.
Mereka diharapkan dapat menjawab soalan aneka pilhan berkaitan tajuk ini.
4.2 Objektif Khusus
• Membantu guru mengenal pasti kaedah atau pendekatan mengajar dan amalan mengajar yang lebih
berkesan
• Membantu pelajar supaya dapat memahami konsep, fakta dan istilah Kenegaraan yang berkaitan
dengan Bidang kusa YDPA.
• Meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata pelajaran ini
• Membantu pelajar meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran ini.
5.0 KUMPULAN SASARAN
Terdapat sejumlah 30 orang pelajar dalam kelas PAF. Kumpulan sasaran dalam kajian ini ialah pelajar
yang berprestasi sederhana dan rendah berjumlah 15 orang. Pada kebiasaannya dalam setiap ujian atau
peperiksaan, kadang-kadang mereka lulus atau kadang-kadang mereka gagal. Dalam kalangan pelajar
ini minat terhadap mata pelajaran Pengajian Am adalah sederhana kerana menurut mereka subjek ini
adalah susah dan mereka boleh memahaminya pada peringkat awal iaitu ketika mereka di tingkatan
enam bawah tetapi apabila hendak menjawab soalan kenegaraan secara aneka pilihan, mereka berasa
agak susah dan mudah keliru dengan cadangan jawapan yang diberikan untuk menjawab dengan tepat.
6.0 PERANCANGAN DAN PELAKSANAAN AKTIVITI
6.1 Tinjauan Awal
Saya mendapati markah ujian bulan Februari yang diperoleh oleh pelajar-pelajar kelas PAF (Prauniversiti
Fikrah) ini rata-rata pencapaian mereka amat sederhana dan ada yang gagal. Sedangkan tajuk ini tidak
terlalu banyak menggunakan konsep atau istileh kenegaraan yang harus diketengahkan oleh pelajar
dalam jawapan mereka. Oleh itu saya terdorong untuk membuat satu kajian berkenaan pencapaian
mereka.
6.2 Analisis Tinjauan Masalah
Hasil daripada temubual saya dengan pelajar-pelajar secara rawak bermula selepas markah ujian
diperoleh. Saya dapat merumuskan bahawa pelajar-pelajar saya mendapati soalan-soalan yang
dikemukakan tersebut amat sukar bagi mereka. Ada antara mereka tidak memahami kehendak soalan.
Yang aneh ialah pelajar tidak memahami istilah kuasa budi bicara dan kuasa mendengar nasihat PM
Pelajar juga tidak dapat membezakan antara YDPA dengan Majlis Raja-Raja dan tidak dapat
membezakan antara Bidangkuasa Sultan dengan Bidang kuasa YDPA. Pelajar-pelajar sering keliru
dengan beberapa konsep dan istilah kuasa eksekutif, penurunan kuasa, ketua agam Islam bagi Wilayah
Persekutuan dan Ketua Agama bagi negeri baginda sendiri. Soalan Ujian Pra yang telah diadakan ialah
pelajar dikehendaki menjawab sebanyak 25 soalan aneka pilihan yang merangkumi tajuk “Bidangkuasa
YDPA Sebagai Ketua Kerjaaan Persekutuan”. Satu soalan yang betul akan diberi sebanyak 4 markah.
Jadu jumlahnya 100 markah
6.3 Tindakan Yang Dijalankan
Daripada tinjauan masalah yang telah dibuat, saya berpendapat bahawa amat penting bagi saya untuk
mewujudkan satu teknik atau kaedah pengajaran yang dapat membantu pelajar memahami tajuk
“Bidangkuasa YDPA”. Hal ini akan dapat membantu mereka menjawab soalan aneka pilihan dengan
tepat dan efisien.
Fokus Kaedah Kuiz ini adalah untuk mendapatkan seberapa banyak markah yang boleh untuk kumpulan
mereka. Kemenangan bergantung kepada kebijaksanaan dan daya ingatan pelajar yang diuji dalam kuiz
ini. Setiap soalan kuiz yang dijawab ditetapkan markahnya satu. Jika mana-mana kumpulan dapat
menjawab semua soalan dengan betul maka mereka akan mendapat 45 markah. Saya mengingatkan
pelajar-pelajar agar berhati-hati semasa menjawab soalan kuiz tersebut. Di peringkat awal pengajaran
saya pernah menggunakan kaedah penerangan dan latih tubi. Saya juga pernah menggunakan
persembahan power point dan juga internet sebagai bahan sokongan semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran diadakan. Tujuannya adalah untuk mengukuhkan ingatan pelajar. Permainan ini dijalankan
mengikut giliran. Saya menyediakan soalan-soalan mengikut kemampuan dan keupayaan pelajar. Jika
pelajar dapat menjawab soalan yang dikemukakan kepada mereka denagn betul maka mereka akan
memperoleh skor mengikut bilangan soalan yang dijawab dengan betul.
Setiap pelajar akan menjawab soalan kuiz sebanyak tiga pusingan. Teknik ‘bayangan minda’ juga di
laksanakan dalam kuiz ini. Pelajar-pelajar diberi‘clue’ untuk menjawab soalan. Oleh sebab tajuk ini
berkaitan dengan “Bidangkuasa YDPA”, maka sepanjang proses pengajaran ini berlangsung mereka
diingatkan bahawa kepentingan pelajar mengetahui bidangkuasa YDPA dan istilah-istilah kenegaraan
dengan betul supaya mereka dapat menggunakan pengetahuan ini apabila mereka menjadi dewasa dan
menjadi seorang rakyat yang berkesedaran sivik. Pelajar harus tahu membezakan bidangkuasa sultan
dan Yang Dipertua Negeri sebagai ketua-ketua negeri dan bidangkuasa mereka amat berbeza dengan
YDPA sebab baginda adalah ketua negara. Pelajar juga harus mengetahui sistem YDPA sebagai ketua
negara amat berbeza dengan Presiden sebagai ketua negara republik. Soalan yang dikemukakan
kadang-kadang berulang-ulang kerana saya percaya bahawa perulangan ini akan membina dan
meningkatkan daya ingatan pelajar berkenaan tajuk ini secara tidak langsung.
6.4 Pemerhatian
Ujian pra yang diambil untuk kajian ini adalah daripada ujian bulan Februari. Sebelum ujian pra dijalankan
tajuk Bidangkuasa YDPA telah dipelajari sepenuhnya oleh pelajar. Ujian ini mengandungi satu set ujian
aneka pilihan. Saya menjalankan kajian dengan menggunakan kaedah kuiz selama dua minggu. Aktiviti
dijalankan sebanyak dua kali seminggu dan masa yang diambil untuk setiap sesi adalah 35 minit.
Sepanjang kajian dilaksanakan perubahan tingkah laku pelajar dapat diperhatikan. Mereka berasa
seronok dan aktif semasa sesi ini berjalan.
Pelajar yang pada peringkat permulaanya berasa malu dan tidak aktif telah menunjukkan perubahan
sikap yang lebih baik. Walaupun ada kumpulan yang tidak memperolehi skor yang banyak tetapi mereka
tetap berasa gembira kerana tiada pelajar yang tidak memperoleh kosong markah. Semuanya berlumba-
lumba untuk mengangkat tangan untuk menjawab kerana ternyata jelas semangat pasukan pada wajah
mereka. Soalan serta jawapan yang berulang-ulang telah membantu pelajar-pelajar yang lemah untuk
mengingat fakta mengenai kuasa-kuasa YDPA. Kesilapan jawapan rakan mereka telah menyebabkan
mereka lebih berhati-hati untuk menjawab soalan dan mereka mencuba sedaya upaya untuk menjawab
soalan dengan betul. Cara ini sedikit demi sedikit memberikan keyakinan kepada mereka bahawa
mereka boleh belajar Pengajian Am melalui multikaedah bukan satu kaedah sahaja.

6.5 Analisis Ujian


Jadual 1 menunjukkan markah pencapaian pelajar dalam ujian pra dan ujian pos. Markah ini direkod
untuk melihat prestasi pelajar dalam menjawab soalan. Semua skor yang diperoleh ditukarkan kepada
Gred untuk tujuan kajian.
Jadual 1.
Pencapaian pelajar dalam Ujian Pra dan Ujian Pos
Indeks Pelajar Gred Ujian Pra Gred Ujian Pos
1 C- C
2 C- C
3 C C+
4 C C+
5 C C+
6 C+ C
7 B- B
8 C+ B
9 C- C
10 C+ C
11 B B
12 C- C
13 C- C
14 C C+
15 C C+

Ujian Pra menunjukkan 5 orang pelajar memperolehi gred C-(33.3%), 5 orang pelajar juga memperolehi
gred C (33.3%), 3 orang pelajar memperolehi gred C+ (20%) dan hanya 2 orang sahaja memperolehi
gred kepujian B- dan B (13.3%). Ujian Pos pula menunjukkan peningkatan yang menggalakkan iaitu
kesemua 15 (100%) orang pelajar tersebut telah lulus. 3 orang pelajar telah memperolehi B (20%), 5
orang mendapat C+(20%), 7 orang memperolehi C (33%). Jadual jelas menunjukkan bahawa terdapat
peningkatan dalam markah ujian pos, setelah pelajar-pelajar tersebut didedahkan dengan kaedah kuiz
ekonomi.
6.6 Analisis Pemerhatian
Penggunaan kuiz Pengajian Am telah dapat menarik minat pelajar dalam tajuk ini. Mereka tidak berasa
bosan dan sentiasa menunggu giliran mereka untuk mengangkat tangan secara spontan untuk
menjawab soalan kuiz. Mereka berlumba-lumba untuk memperolehi seberapa banyak skor yang boleh
untuk memenangkan kumpulan mereka. Hal ini bermakna pelajar-pelajar berusaha untuk mengingat dan
memberikan jawapan yang tepat. Setelah soalan kuiz ditanya, saya akan berhenti sekejap untuk pelajar
mencari jawapan. Jika jawapan yang diterima itu betul, saya akan menandakan skor bagi kumpulan
tersebut pada papan hitam. Begitulah suasananya sehingga kesemua 45 soalan kuiz ditanya. Keadaan
kelas agak bising tetapi terkawal dan tergambar kegembiraan mereka sewaktu sesi ini berjalan. Suasana
pembelajaran yang menyeronokkan dapat dilihat dan perasaaan malu untuk berdiri di hadapan kelas
dapat diatasi sedikit demi sedikit. Perasaan rendah diri dan malu pelajar-pelajar ini memang ketara
apabila diminta berdiri untuk menjawab soalan. Tetapi apabila pertandingan kuiz dimulakan, pelajar-
pelajar yang berkeupayaan sederhana dan lemah ini bertambah yakin.
Jadual 2:
Jumlah pungutan skor pelajar mengikut kumpulan

Kumpulan A 25 markah

Kumpulan B 20 markah

6.7 Refleksi Kajian


Penggunaan kuiz merupakan salah satu bahan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Kuiz merupakan satu kaedah yang boleh digunakan untuk mewujudkan suasana pembelajaran yang
seronok dan menarik. Daripada pemerhatian saya, pelajar yang terdiri daripada kategori lemah dan
sederhana tidak boleh menerima pembelajaran saya yang terlalu serius dan penuh dengan fakta. Saya
mendapati mereka akan berasa cepat bosan dan akan mengalihkan fokus mereka kepada perkara lain
yang lebih menarik minat. Apabila pertandingan kuiz ini dijadikan salah satu daripada bahan sokongan
pengajaran, maka minat pelajar terhadap topik ini berubah. Pelajar berasa mereka terlibat secara
langsung dan komunikasi tidak berlaku sehala sahaja.
Daripada tinjauan secara lisan pelajar-pelajar ini mengakui bahawa mereka tidak pernah mengulangkaji
pelajaran di rumah. Semua mata pelajaran yang diajar oleh guru akan tamat hanya di dalam kelas sahaja.
Mereka akan membuka buku jika ada kerja sekolah yang dibekalkan untuk mereka. Tetapi bukan semua
pelajar ini akan membuat kerja rumah tersebut. Pelajar-pelajar yang berprestasi lemah dan sederhana
ini hanya mengharapkan sepenuhnya daripada saya dan kurang berusaha untuk mendapat markah yang
lebih tinggi dalam ujian. Markah ujian yang diperoleh jarang dijadikan sebagai panduan atau kayu ukur
untuk mendapat markah yang lebih baik untuk ujian yang seterusnya.
Penggunaan kaedah kuiz ini sedikit sebanyak telah membuka minda mereka bahawa untuk belajar bukan
hanya mendengar dan menulis sahaja tetapi mereka mesti melibatkan semua pancaindera mereka.
Pergerakan tubuh badan dan pancaindera akan membantu mereka untuk menghayati dan meningkatkan
kemampuan mereka yang selama ini dipendam dan seakan-akan beku dan tepu dalam hati, jiwa dan
pemikiran mereka. Walau bagaimanapun dalam kajian ini terdapat dua orang pelajar yang hanya
menunjukkan prestasi yang tidak jauh berbeza semasa ujian pra dan ujian pos kerana mereka sering
ponteng sekolah dan tidak dapat menyertai kajian ini sepenuhnya. Oleh sebab kerap tidak hadir ke
sekolah agak sukar bagi saya untuk membantu mereka menguasai dan memantapkan pemahaman
mereka terhadap tajuk ini.
Saya berpendapat bahawa sebagai seorang guru, sokongan kepada pelajar amat penting. Sebagai guru,
kaedah atau teknik pengajaran perlu dipelbagaikan untuk menarik minat pelajar terhadap topik yang
diajar. Setiap pelajar mempunyai kecerdasan yang pelbagai. Oleh itu kreativiti seseorang guru amat
penting untuk menghasilkan satu sesi pengajaran yang menarik. Sebagai guru kita pasti akan berasa
bersemangat dan teruja apabila pelajar berkata ‘kami sentiasa menunggu-nunggu kedatangan cikgu’
untuk mengajar kami. Walaupun kadang-kadang terdapat keputusan ujian mereka tidak mencapai target,
tetapi keinginan dan minat mereka terhadap mata pelajaran tersebut adalah penting. Pelajar adalah
golongan yang sedang belajar, kesilapan dan kegagalan adalah satu proses yang perlu dilalui oleh
mereka. Justeru itu sebagai golongan pendidik yang dedikasi dan prihatin sokongan dan kesabaran
terhadap mereka hendaklah diberikan 100% tanpa rasa berbelah bahagi.
7.0 KESIMPULAN
Penggunaan Kaedah Kuiz merupakan satu kaedah yang sering digunakan untuk murid-murid peringkat
tadika atau sekolah rendah. Walau bagaimanapun atas kesedaran bahawa terdapat pelajar yang masih
lemah dalam pelajaran walaupun mereka sudah memasuki sekolah menengah atas maka pertandingan
kuiz seumpama ini telah saya cuba dalam usaha menarik minat mereka dalam pelajaran. Pelajar yang
berprestasi rendah dan sederhana perlu diberi perhatian yang lebih kerana mereka juga berpotensi untuk
mendapat kejayaan yang lebih baik. Kemungkinan mereka tidak diberi peluang dan bakat serta potensi
mereka tidak dapat digilap sepanjang tempoh pembelajaran mereka dari sekolah rendah sehingga
sekolah menengah atas. Kekangan dan batasan masa seseorang guru semasa mendidik anak-anak
didik ini juga merapakan salah satu faktor yang menyebabkan potensi kesemua pelajar tidak dapat
dikesan dan digilap.
Saya tidak berhenti setakat kaedah kuiz ini sahaja. Pada masa akan datang permainan komputer secara
interaktif juga akan diperkenalkan dalam pembelajaran Pengajian Am tingkatan enam. Saya berpendapat
ini bersesuaian dengan perkembangan ICT yang terkini dan penggunaannya yang begitu meluas. Belajar
melalui interaktif komputer akan memberi kebebasan, ruang dan peluang kepada semua pelajar untuk
belajar secara akses kendiri tanpa bantuan guru di sekolah dan mereka boleh menggunakannya pada
bila-bila masa dan di mana-mana sahaja mereka berada.
SENARAI RUJUKAN
Arhar, Joanne; Holly, Mary Louise; and Kasten, Wendy C. (2000) Action research for teachers : traveling
the yellow brick road. Upper Saddle River, NJ.: Prentice-Hall.
Armstrong, Felicity, and Moore, Michele, eds. (2004) Action research for inclusive education: changing
places, changing practices, changing minds. London: RoutledgeFalmer.
Jeya Velu,et.al.(2000) Pembangunan Profesional Guru : Kursus Kajian Tindakan Berasaskan Sekolah.
Kota Kinabalu: Maktab Perguruan Gaya

You might also like