Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 12

1.

0 PENGENALAN

Asia Tenggara merupakan sebuah kepulauan yang mempunyai pelbagai peninggalan sejarah

yang begitu banyak menerusi tamadun-tamadun awal iaitu sebelum dan selepas masihi.

Membicarakan tentang sejarah Asia Tenggara selepas masihi, perkara yang perlu kita jelas ialah

kewujudan empayar-empayar pada ketika itu antaranya ialah kerajaan Funan, kerajaan Kedah

Tua, kerajaan Langkasuka dan kerajaan Majapahit. Empayar-empayar ini telah tercatat dalam

buku-buku sejarah di mana memperlihatkan kepada kita tentang kedudukan sebuah kerajaan

yang unggul pada suatu ketika dahulu yang menjadi lambang kepada kerajaan selepasanya.

Contohnya kerajaan Funan yang menjadi empayar perdagangan maritim dunia yang maju serta

pelabuhan Oc-Eo yang strategik di Teluk Siam.1

Namun kita perlu sedar kemajuan empayar-empayar ini tidak bertahan lama. Hal ini disebabkan

oleh serangan musuh-musuh yang sentiasa inginkan kekayaan serta perluasan kuasa jajahan dan

berlakunya perpecahan dalaman pemerintahan. Sebagai contoh, kejatuhan Kerajaan Langkasuka

yang diancam Siam dan pengkhianatan yang berlaku semasa keruntuhan Kesultanan Melaka.

Sejarah awal Asia Tenggara banyak dikaji oleh sarjana luar seperti O.W. Wolters, D.G.E. Hall,

Clifford Geertz dan sarjana tempatan antaranya ialah Barbara Watson Andaya, Leonard Y.

Andaya dan Abdul Rahman Haji Abdullah.2 Penekanan akan diberikan pada abad ke-7 sehingga

ke-14 masihi di mana pada ketika itu terdapat sebuah lagi empayar yang kuat iaitu empayar

Srivijaya. Sebuah empayar yang digelar sebagai thallasocracy yang terpenting selepas Funan.3

Iaitu kekuasaannya terhadap pengaruh maritim.

1
D.G.E. Hall, Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1971, hlm. 34
2
Mohamad Raduan, Shaharil Talib, Penulisan Dan Realiti Seiarah Asia Tenggara: Satu Persoalan, Kuala Lumpur,
Universiti Malaya , 1995, hlm. 133- 146.
3
Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional : Politik dan Kebudayaan, Kuala Lumpur : Teks
Publishing Sdn Bhd, 1985, hlm. 31.

1
2.0 KEMUNCULAN DAN KEDUDUKAN SRIVIJAYA .

Srivijaya merupakan sebuah empayar maritim Melayu purba yang berpusat di Sumatera dan

Semenanjung Tanah Melayu yang banyak mempengaruhi Kepulauan Asia Tenggara. Kerajaan

ini diasaskan pada pertengahan abad ke-7 masihi. Menurut Andaya, kemunculan kerajaan

Srivijaya ini bermula setelah kejatuhan kerajaan Funan di mana pada ketika itu berlakunya

perebutan takhta pada tahun 540 dan serangan daripada Chenla. Melalui kajian George Coedes

mengenai kajian sebuah kerajaan yang disebut dalam rekod Zaman T’ang (T.M. 618-906) iaitu

Shih-li-fo-shih dan meletakkan kerajaan ini di tenggara Sumatera di tebing Sungai Musi di

Palembang.4 Raja pertama Srivijaya ialah Dapunta Hyang selaku pengasas kepada kewujudan

empayar ini seperti yang tercatat dalam prasasti Kedukan Bukit. Kemunculan Srivijaya juga

telah banyak dicatatkan oleh seorang pedagang China iaitu I Tsing melalui pelayaran beliau

selama 6 bulan pada tahun 671 masihi dari Canton ke Palembang, iaitu tempat bersemayam

pemerintah kerajaan Srivijaya pada waktu itu. Dikatakan pada ketika itu, Srivijaya merupakan

kerajaan laut yang sangat kuat sehinggakan Kedah yang berada di pantai barat Semenanjung

Tanah Melayu menjadi tanah jajahan Srivijaya.5 Hal ini telah membuktikan kepada kita bahawa

kerajaan Srivijaya muncul pada abad ke-7 masihi dan menjadi sebuah empayar yang cukup kuat.

Membicarakan tentang kedudukan Srivijaya, menurut Profesor Sivachandralingam Sundara Raja,

beliau menyatakan bahawa semasa pemerintahan Dapunta Hyang, Srivijaya juga telah berjaya

menakluki Melayu Jambi pada tahun 775 masihi lalu mengembangkan kuasa jajahan ke

kawasan-kawasan di sekitar kawasan Selat Melaka. Antaranya ialah Kataha ataupun Kedah Tua

pada tahun 671 masihi dan Jaiya serta negeri-negeri lain di Segenting Kra pada tahun 775

4
Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian, 1983, hlm. 21.
5
O.W.Wolters, Perdagangan Awal Indonesia, Satu Kajian Asal Usul Kerajaan Srivijaya, (terj.), Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989, hlm. 1.

2
masihi.6 Di samping itu, Srivijaya juga mempunyai struktur pemerintahan yang teratur yang

menjadi faktor perkembangan kerajaan ini. Menurut Nik Hassan Shuhaimi, melalui Inskripsi

Telaga Batu yang dipercayai bertarikh dalam lingkungan suku abad akhir abad ketujuh,

memberikan gambaran kepada kita tentang organisasi dan pentadbiran empayar Srivijaya.

Srivijaya dibahagikan kepada beberapa mandala atau kawasan dan tiap-tiap mandala yang

tertakluk kepada Srivijaya itu diletak dibawah pemerintahan seorang datu. Datu yang dilantik

merupakan anak-anak raja atau pembesar. Sekiranya mandala itu dipimpin oleh anak raja maka

ia akan digelar kadatuan dan sebaliknya sekiranya yang berkuasa itu pembesar bukan berdarah

raja maka kawasan kawalannya digelar praddatuan. Tiap-tiap datu mempunyai seorang

penolong yang akan membantu dalam hal-hal negara dan ia digelar sebagai parvanda ataupun

ketua tentera. 7 Penting untuk kita mengetahui kedudukan pemerintah dalam memastikan

bagaimana Srivijaya menjadi sebuah empayar yang cukup kuat.

Srivijaya berada pada kemuncak kekuasaannya di antara kurun ke-8 hingga ke-11. Banyak faktor

yang mempengaruhi zaman keemasan ini. Menurut Abdul Rahman Haji Abdullah, kejayaan

Srivijaya adalah disebabkan kedudukan dan kekuatan mengawal perdagangan, kemudahan-

kemudahan yang disediakan oleh kerajaan, jaminan keselamatan serangan lanun, hubungan

persahabatan dengan China, kekayaan sumber hutan dan laut serta pentadbiran yang cekap

menyebabkan kemakmuran Srivijaya.8 Srivijaya juga telah berjaya menakluk kerajaan-kerajaan

lain sehingga membentuk sebuah empayar Melayu pertama di Gugusan Kepulauan Melayu.

6
Sivachandralingam Sundara Raja dan Ayadurai Letchumanan, Sejarah Dunia, Shah Alam, Penerbit Fajar Bakti,
1999, hlm. 155.
7
Nik Hassan Shuhaimi , Srivijaya: Satu Tinjauan Tentang Organisasi Sosial Dan Pentadbiran, Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1979, hlm. 167.
8
Abdul Rahman Haji Abdullah, Islam dalam sejarah Asia Tenggara tradisional, Kuala Lumpur : Pustaka Haji
Abdul Majid, 2006, hlm. 39.

3
Antara faktor kejayaan Srivijaya ialah penguasaan terhadap Selat Melaka. Ekoran

daripada penaklukan Srivijaya terhadap negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu maka

empayar ini mampu untuk berkuasa terhadap laluan perdagangan di Selat Melaka. Kedudukan

Selat Melaka yang menjadi laluan perdagangan yang begitu strategik di mana membolehkan

pedagang sampai ke Sumatera dan sehingga ke Timur China dengan mudah. Menurut Profesor

Coedes dalam tahun 1918, para sarjana sependapat bahawa kekuasaan dan kemakmuran kerajaan

Srivijaya berasal dari penguasaannya ke atas Selat Melaka yang merupakan laluan laut yang

terkenal dalam sejarah perdagangan dan bertepatan dengan kata-kata Tome Pires iaitu :-

Sesiapa yang dapat menguasai Melaka bererti ia akan dapat menguasai Venese.

Mulai dari Melaka, dan dari Melaka sampai ke China, dan dari China sampai ke Maluku,

dan dari Maluku sampai ke Jawa, dan dari Jawa sampai ke Melaka dan Sumatera berada

di dalam penguasaannya.9

Selain itu, terdapat pelabuhan entreport yang berfungsi sebagai tempat yang menjadi pusat

penerimaan barang-barang dagangan dari negara-negara luar dan kemudian barang-barang itu

dihantar ke negara-negara lain pula. Kedudukan pelabuhan ini yang terletak di Selat Sunda

membolehkan ianya terhindar daripada tiupan angin Monsun Barat Daya dan Monsun Timur

Laut.10 Kejayaan Srivijaya juga dipengaruhi pelabuhan-pelabuhan jajahannya yang lain seperti

Melaka, Patani, Jambi, Makassar, Brunei dan Semarang. Kebanyakan pelabuhan bandar ini

terletak di lokasi yang strategik, iaitu di muara sungai yang dapat menguasai dan menentukan

arah dan aliran perdagangan di kawasan pedalaman dan luarannya. Menurut Nordin Husin,

perdagangan maritim di Selat Melaka merangkumi satu jaringan yang mempunyai hubungan

9
Armando Cortesao, The Suma Oriental of Tome Pires, London : Hakluyt, 1944, hlm. 287.
10
Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian, 1983, hlm. 20.

4
dalam lingkungan perdagangan dunia yang merangkumi wilayah di sepanjang Lautan Hindia dan

Lautan China Selatan.11 Selat Melaka juga memberikan perkhidmatan sebagai tempat transit dan

membekalkan bahan-bahan segar dan makanan kepada pedagang yang belayar jauh. Selain

daripada tempat pengumpulan barang, pelabuhan-pelabuhan yang terdapat di Selat Melaka dan

Selat Sunda juga merupakan tempat yang selamat kepada pedagang untuk berhenti dan menanti

perubahan tiupan angin monsun ke timur dan ke barat. Keadaan ini telah memberi ruang kepada

kerajaan Srivijaya menjalinkan hubungan perdagangan dengan mereka.

Disamping itu, Srivijaya mempunyai satu sistem percukaian yang sistematik dan memberi

kekayaan kepada golongan atasan. Menurut Wolters, kekayaan Srivijaya dapat dilihat melalui

pemerintah iaitu Raja Srivijaya di mana sumber utama kekayaannya berpunca dari pelabuhan

dan bayaran cukai perdagangan pedagang-pedagang pelbagai negara yang menggunakan

perkhidmatan entreport di ibu negeri pemerintah.12 Sistem percukaian ini tidaklah membebankan

para pedagang dan mereka masih mampu untuk menjalankan perniagaan.

11
Nordin Hussin, (2008 Mei).Geografi dan Perdagangan : Kepentingan Selat Melaka kepada Perdagangan Dunia,
Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. E. Jurnal. 3-26. Diambil 15 April 2016, dari Akademika Web:
http://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKADEMIKA73/akademika73%5B01%5D.pdf
12
O.W. Wolters, Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu, (terj.), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
1990, hlm. 15.

5
3.0 POLITIK SRIVIJAYA DENGAN NEGARA SERANTAU DAN ANTARABANGSA.

Srivijaya telah menerima asas politik daripada pengalaman negeri-negeri yang lebih awal

wujud. Antara pengalaman tersebut dapat dilihat melalui sistem pentadbiran beraja. Persamaan

sistem ini dipengaruhi oleh kerajaan China dan India yang mengamalkan sistem beraja dalam

pemerintahan. Organisasi sosial dan politik Srivijaya dapat dibahagikan kepada dua. Menurut

Nik Hassan Shuhaimi menerusi kajian yang dilakukan oleh de Casparis, bahagian pertama ialah

golongan diraja serta kelas pentadbir yang terdiri daripada senapati, nayaka, pratyaya,

hajipratyaya dan dandanayaka. Diikuti oleh golongan bawahan yang terdiri daripada golongan

merdeka dan golongan hamba abdi. Golongan ini jelas kelihatan dalam inskripsi Telaga Batu di

mana golongan merdeka ini merupakan rakyat yang berkasta rendah. Selain itu golongan hamba

ada disebut sebagai hulun haji atau hamba raja. Ini dapat membuktikan wujud kelas hamba abdi,

namun demikian kita tidak dapat memastikan wujud hamba abdi jenis orang berhutang, hamba

sahaya dan abdi yang terdapat dalam zaman Kesultanan Melaka 13

Pada penghujung abad ke 7 masihi, Srivijaya telah berjaya menakluk beberapa kawasan

serantaunya antaranya ialah Langkasuka, Bangka, Temasik, Tulang Bawang, Minanga dan

sebagainya, Contoh diambil ialah Langkasuka di mana Langkasuka menjadi kawasan jajahan

Srivijaya bermula pada kurun ke-7. Banyak pengaruh yang diambil daripada kerajaan

Langkasuka ini kepada Srivijaya terutamanya ialah dari perdagangan kerana Langkasuka

mempunyai pelabuhan entreport yang baik dalam membantu perkembangan ekonomi Srivijaya.

Hubungan yang jelas dapat dilihat melalui perkahwinan anak Raja Seri Wangsa iaitu Raja Indera

Wangsa yang dinikahkan dengan puteri raja Langkasuka.14 Melalui proses amalgamasi ini kita

13
Nik Hassan Shuhaimi , Srivijaya: Satu Tinjauan Tentang Organisasi Sosial Dan Pentadbiran, Universiti
Kebangsaan Malaysia, 1979, hlm. 167.
14
Ibrahim Syukri, Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Kuala Lumpur , Universit Kebangsaan Malaysia, 2002, hlm. 30

6
dapat lihat menurut Andaya merupakan satu langkah politik dan diplomatik yang amat bermakna

kepada empayar Srivijaya.15 Hal ini juga kita dapat lihat perkembangan budaya yang jelas secara

tidak langsung terhadap kedua-dua empayar.

Hubungan Srivijaya dengan negara India dapat dilihat melalui prasasti Nalanda. Prasasti ini

banyak menceritakan tentang Raja Srivijaya iaitu Balaputra Dewa yang mempunyai hubungan

erat dengan raja Dewa Paladewa dari India. Selain itu, penubuhan biara atau tempat

mengkhususkan diri terhadap ajaran agama Buddha kepada penduduk Srivijaya di India

diceritakan juga dalam prasasti ini. 16 Di samping itu, pemberian hadiah kepada Raja India

berbentuk sebuah desa untuk diabadikan kepada sang Buddha didirikan di Negapatam. Agama

juga berperanan dalam perkembangan kerajaan Srivijaya dalam konteks hubungan dengan

negara serantau dan antarabangsa. Pengaruh agama yang di bawa oleh sami-sami daripada India

telah mempengaruhi kepercayaan agama di Srivijaya. Menurut Abdul Rahman, Srivijaya

menjadi pusat pengajian agama Buddha yang utama di rantau Asia. 17 Hal ini dapat dibuktikan

dengan lawatan I Tsing yang merupakan penganut agama Buddha yang terkenal di China datang

ke Palembang. Beliau banyak menghabiskan masa di Srivijaya untuk mempelajari agama

Buddha lalu mengkaji serta memahami bahasa Sanskrit dan Melayu dan akhirnya I Tsing berjaya

menterjemah buku-buku agama Buddha kepada bahasa China.18 Penyebaran agama ini adalah

disebabkan pemerintah yang terdiri daripada raja-raja menjadi penaung kepada perkembangan

agama Buddha. Contohnya pada tahun 775 masihi, raja Srivijaya telah mengarahkan sami diraja

15
Kobkua Suwannathat, Asia Tenggara : Hubungan Tradisional Serantau, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka, 1997, hlm. 43.
16
Marwati Djoened dan Nugroho Notosusanto, Sejarah Nasional Indonesi II : Zaman Kuno, Jakarta : Balai Pustaka,
2008, hlm. 87.
17
Abdul Rahman Haji Abdullah, Islam dalam sejarah Asia Tenggara tradisional, Kuala Lumpur : Pustaka Haji
Abdul Majid, 2006, hlm. 44-45.
18
Ibid, hlm. 45.

7
yang bernama Jayanata untuk membina tiga buah berhala di Jaiya. Begitu juga dengan kuil-kuil

yang dibina di Nalanda pada tahun 949 masihi.

Hubungan politik Srivijaya dengan China pula dapat dilihat dalam catatan China yang disebut

sebagai Kan-t’o-li. Srivijaya banyak menghantar utusan ke China untuk melaksanakan pelbagai

misi antaranya ialah hubungan ekonomi, agama dan politk. Sebagai contoh Raja Srivijaya

mengirimkan utusan untuk memperbaiki Kuil Taqist di Canton. Selain daripada itu, hubungan

yang jelas dilihat ialah melalui penghantaraan ufti sebagai tanda pengiktirafan jalan perkapalan

Srivijaya di Sumatera dan menyanjung martabat maharaja China.19

Selain itu, kedudukan Srivijaya sebagai empayar thallasocracy pada kurun ke-7 hingga ke-11

dapat dilihat melalui hubungan Srivijaya dengan orang laut. Orang laut dilantik menjadi tentera

untuk mengawal laluan perdagangan di Selat Melaka daripada ancaman lanun kerana mereka

mempunyai kelebihan dalam mengetahui selok belok ilmu kelauatan khususnya di sepanjang

perairan Selat Melaka. Di samping itu, orang laut juga berperanan dalam membantu

perkembangan ekonomi Srivijaya dengan menarik kapal-kapal dagang untuk berdagang di

Srivijaya. Menurut Andaya, hanya orang laut yang dapat menentukan dengan tepat di manakah

benda-benda yang diminati ini boleh dijumpai seperti akar bahar dan teripang yang banyak

digunakan sebagai rencah sup Cina serta untuk perubatan, Selain itu, pengetahuan mereka yang

cukup luas mengenai keadaan tempatan dan kebolehan mengendalikan sampan kolek dengan

selamat menyusur beting pasir yang berbahaya dan beting karang yang tentunya pelaut yang

kurang arif seperti pedagang asing akan terkandas.20

19
Marwati Djoened dan Nugroho Notosusanto, Sejarah Nasional Indonesi II : Zaman Kuno, Jakarta : Balai Pustaka,
2008, hlm. 97.
20
Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian, 1983, hlm. 15.

8
4.0 KEMEROSOTAN EMPAYAR SRIVIJAYA.

Kemunduran Srivijaya dapat dilihat pada kurun ke-12 di mana penguasaannya terhadap negeri

negeri takluknya semakin merosot. Hal ini disebabkan oleh ketidakupayaan Srivijaya dalam

memberi manfaat dan mengikat beberapa pelabuhan jajahan takluknya dalam memberi taat setia

kepada pelabuhan pusat. Selain itu, kekayaan perniagaan maritim dan kedudukan Selat Melaka

yang strategik yang dimiliki oleh negeri-negeri Melayu menggalakkan negeri-negeri takluk

Srivijaya membebaskan diri dari ikatan negeri pertuannya. 21 Ditambah pula dengan Raja-raja

Jawa yang semakin bercita-cita besar menguasai sepenuhnya kerajaan mereka.

Keagungan Srivijaya juga mulai merosot disebabkan oleh kebangkitan empayar-empayar di

sekitarnya iaitu Singasari dan Majapahit di Jawa Timur. Ini ditambah lagi dengan permusuhan

dinasti Chola di India terhadap Srivijaya.22 Permusuhan ini disebabkan oleh pertikaian terhadap

laluan kapal dagang di Selat Melaka. Pada tahun 1025, dikatakan Maharaja Chola telah

menyerang Srivijaya dan menawan rajanya. Dikatakan selepas beberapa siri peperangan yang

berlaku terhadap Srivijaya telah mengubah pusat kerajaan dari Palembang ke Jambi.23

Penentangan terhadap negeri-negeri serantau ini menurut Wolters merupakan satu cabaran utama

kepada Srivijaya. Hal ini terjadi kerana kemajuan perdagangan serantau di Asia Tenggara adalah

berpunca daripada perubahan dasar di negeri China. Perubahan ini memperlihatkan luputnya

sistem ufti terhadap perdagangan asing. Srivijaya dulunya diberi pengiktirafan oleh China

disebabkan oleh sistem ufti. Walaubagaimanapun, disebabkan oleh perdagangan China yang

berkembang maju, Srivijaya tidak mampu untuk mengawal di mana pedagang-pedagang China

21
Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian, 1983, hlm. 31.
22
Abdul Rahman Haji Abdullah, Asia Tenggara Tradisional : Politik dan Kebudayaan, Kuala Lumpur : Teks
Publishing Sdn Bhd, 1985, hlm. 32.
23
O.W. Wolters, Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu, (terj.), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
1990, hlm. 2.

9
mula mendapatkan terus sumber bekalan di pelabuhan kecil jajahan Srivijaya dan tidak lagi ke

pelabuhan entreport pusat. Antara negeri-negeri pelabuhan kecil tersebut ialah Po-lo, Kampe

(Aru), dan Barus yang akhirnya merdeka dan menjadi pelabuhan bandar serta merupakan

saingan hebat terhadap Srivijaya.24 Kuasa Srivijaya terhadap negeri-negeri takluknya tidak lagi

kedengaran apabila prasasti tahun 1230 yang dijumpai di Ligor tidak sedikit pun menyebut

tentang bekas pertuan Srivijaya.25

Selain itu, kemerosoton Srivijaya juga dipengaruhi oleh ketidaksetiaan Orang Laut. Terdapat

segelintir orang laut yang menjadi lanun di lautan Selat Melaka di mana mereka merampas

kekayaan yang sepatutnya diberi kepada maharaja dengan menguasai kapal dagang yang lalu

lalang di situ. Seorang pemerhati China menyebut sekiranya kapal asing yang melalui Srivijaya

tidak masuk ke pelabuhan, satu pasukan bersenjata akan menaiki kapal itu dan membunuh

kelasi-kelasi hingga tidak tinggal seorang dua pun. 26 Dengan ini ianya telah melemahkan

kekuasaan Srivijaya terhadap kawasan laut.

Akhirnya, catatan Srivijaya tidak lagi dilihat selepas daripada kurun ke-14. Nama Srivijaya

lenyap begitu sahaja dalam catatan sejarah selepas kemerosatan empayarnya dan dikatakan

Melaka merupakan penyambung kepada ketamadunan Srivijaya.

24
O.W. Wolters, Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu, (terj.), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka,
1990, hlm. 10.
25
Barbara Watson dan Leonard Y. Andaya, Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian, 1983, hlm. 33.
26
Ibid, hlm. 32.

10
5.0 KESIMPULAN

Secara konklusinya, kedudukan Srivijaya pada kurun ke-7 hingga ke-14 telah menggambarkan

kepada kita tentang jatuh bangunnya sebuah empayar kuno pada suatu ketika dahulu. Srivijaya

telah melalui zaman manis dan zaman pahitnya tersendiri. Kedudukan Srivijaya sebagai sebuah

kuasa maritim yang kuat tidak menjamin pengaruhnya berkekalan dan sentiasa ditentang oleh

musuh-musuh daripada pelbagai pihak luar. Namun, Srivijaya memberikan tentangan hebat

terhadap musuh-musuhnya. Walaubagaimanapun, Srivijaya dianggap sebagai sejarah orang

Melayu di mana dikatakan Parameswara sampai ke Melaka setelah lari dari Temasik iaitu

sebahagian jajahan Srivijaya. Sebagai orang Melayu, kita perlu memulakan sejarah bangsa

dengan empayar Srivijaya dan bukan Melaka. Bak kata Hang Tuah, ‘Takkan Melayu Hilang Di

Dunia’, sekiranya kita mengetahui asal-usul Melayu itu. Di samping itu, kedudukan Srivijaya

dalam konteks politik juga memperlihatkan bagaimana perkembangan agama Buddha itu

berlangsung secara giatnya di Srivijaya. Hal ini dibuktikan dengan wujudnya candi dan patung

Buddha di kawasan Sumatera seperti di Jambi. Sumber-sumber mengenai hubungan Srivijaya

dengan negara serantau dan antarabangsa banyak diperoleh daripada prasasti-prasasti yang

dijumpai antaranya prasati Talang Tuwo, prasasti Nalanda, prasasti Kedukan Bukit, prasasti

Karang Brahi, prasasti Kota Kapur dan prasasti Ligor serta melalui catatan I Tsing. Melalui

kedudukan Srivijaya ini, kita dapat mempelajari bagaimana masyarakat dahulu hidup dalam

konteks ekonomi, politik dan sosial sehingga menjadi sebuah empayar yang begitu unggul di

dunia terutamanya di Asia.

11
6.0 BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Haji Abdullah. 1985. Asia Tenggara Tradisional : Politik dan Kebudayaan,
Kuala Lumpur : Teks Publishing Sdn Bhd.

Abdul Rahman Haji Abdullah. 2006. Islam dalam sejarah Asia Tenggara tradisional, Kuala
Lumpur : Pustaka Haji Abdul Majid.

Cortesao, Armando (pen.) 1944. The Suma Oriental of Tome Pires, London : Hakluyt Society.

Andaya, Barbara Watson & Leonard Y. 1983. Sejarah Malaysia, Petaling Jaya : Macmillian.

Hall, D.G.E. 1971. Sejarah Asia Tenggara, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ibrahim Syukri. 2002. Sejarah Kerajaan Melayu Patani, Kuala Lumpur : Universit Kebangsaan
Malaysia.

Kobkua Suwannathat. 1997. Asia Tenggara : Hubungan Tradisional Serantau, Kuala Lumpur :
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Marwati Djoened dan Nugroho Notosusanto. 2008. Sejarah Nasional Indonesi II : Zaman Kuno,
Jakarta : Balai Pustaka.

Mohamad Raduan & Shaharil Talib. 1995. Penulisan Dan Realiti Seiarah Asia Tenggara: Satu
Persoalan, Kuala Lumpur : Universiti Malaya.

Nik Hassan Shuhaimi. 1979. Srivijaya: Satu Tinjauan Tentang Organisasi Sosial Dan
Pentadbiran, Kuala Lumpur : Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nordin Hussin.(2008 Mei). Geografi dan Perdagangan : Kepentingan Selat Melaka kepada
Perdagangan Dunia. Asia dan Dunia Melayu 1700-1800. E. Jurnal. 3-26. Diambil 15 April 2016,
dari Akademika Web:
http://www.ukm.my/penerbit/akademika/ACROBATAKADEMIKA73/akademika73%5B01%5
D.pdf.

Wolters, O.W. 1990. Kejatuhan Srivijaya dalam Sejarah Melayu, (terj.). Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Wolters, O.W. 1989. Perdagangan Awal Indonesia. Satu Kajian Asal Usul Kerajaan Srivijaya,
(terj.). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sivachandralingam Sundara Raja & Ayadurai Letchumanan. 1999. Sejarah Dunia, Shah Alam :
Penerbit Fajar Bakti.

12

You might also like