Professional Documents
Culture Documents
Bendera Malaysia
Bendera Malaysia
Bahagian yang berwarna biru tua di atas sebelah kiri membawa ke bawah hingga
atas jalur merah yang kelima itu maknanya perpaduan rakyat Malaysia. Bahagian
biru tua itu mengandungi anak bulan tanda Agama Islam - agama rasmi bagi
Persekutuan (Malaysia seperti yang telah tertakluk dibawah Perlembagaan Negara
Malaysia).
Bintang pecah 14 itu tanda perpaduan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Warna kuning pada anak bulan dan bintang itu ialah warna Diraja bagi Duli-duli
Yang Maha Mulia Raja-raja.
Sejarah
Permulaan asal Jalur Gemilang bermula apabila pada tahun 1949, dengan
persetujuan Majlis Raja-Raja sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk
menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk bendera bagi
Persekutuan Tanah Melayu yang baru.
Untuk tujuan itu satu pertandingan bagi mereka bentuk bendera Persekutuan Tanah
Melayu yang baru pada tahun 1949. Pertandingan peringkat kebangsaan ini
dianjurkan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan disertai oleh 373 karyawan.
Daripada sejumlah itu, tiga rekabentuk bendera baru bagi Persekutuan Tanah
Melayu telah dipilih untuk ke peringkat akhir.
Majlis Perundangan Persekutuan telah memberi peluang kepada orang ramai untuk
memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Keputusan pendapat
umum yang dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail itu telah disiarkan pada 29
November 1949. Keputusan akhir menunjukkan majoriti telah memilih rekabentuk
ciptaan seorang arkitek kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.
Bagaimanapun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohamed
Hamzah yang menampilkan sebelas jalur merah-putih dengan bulan bintang
berwarna putih di bahagian tepi kiri mendapat pilihan majoriti dan perkenan
Mesyuarat Majlis Raja-raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.
"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as
follows:- Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost
stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in
yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."
Reka bentuk diluluskan
Reka bentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan Raja George VI pada 19
Mei 1950. Dengan itu, buat pertama kalinya bendera Persekutuan Tanah Melayu
telah dikibarkan dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh
Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor
dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai Raja George
VI.
Pada 26 Mei tahun yang sama, bendera itu dikibarkan buat pertama kalinya di Istana
Sultan Selangor, Kuala Lumpur. Majlis pengibaran yang berlangsung pada 9.30 pagi
itu dihadiri wakil Sultan seluruh tanah Melayu.
Pembentukan Malaysia
Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu
telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Dengan percantuman itu,
bendera Persekutuan Tanah Melayu telah diubah suai untuk mengambil kira
penambahan negeri-negeri tersebut.
Duli-Duli yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama
Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang
pembentukan Malaysia telah memperkenankan iaitu reka bentuk Bendera Malaysia
hendaklah mengikut reka bentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan
pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan
14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.
Singapura berpisah
Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun
jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Kini jalur-jalur
dan bintang berpenjuru 14 melambangkan keanggotaan yang sama dalam
Persekutuan 13 buah negeri dan Kerajaan Persekutuan (terdiri daripada 3 Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.)
Ilham untuk menamakan bendera Malaysia kepada Jalur Gemilang diusulkan Datuk
Hashim Mat Dris. Cadangan berkenaan dikemukakan kepada mantan Perdana
Menteri, Tun Dr Mahathir pada 11 Julai 1995. Pada 1 Julai 1996, Urus setia
menguruskan nama mengemukakan 75 cadangan berserta ulasan dan huraian. Tiga
nama disenarai pendekkan iaitu Setia Perkasa, Seri Setia Perkasa dan Seri Setia
Negara. Tiga nama ini bagaimanapun ditolak Jemaah Menteri ketika mesyuarat
pada 11 September 1996. 28 nama lagi dicadangkan dan pada 2 Jun 1997, tiga
nama dicalon mengikut keutamaan iaitu Jalur Gemilang, Jalur Nusa Gemilang dan
Jalur Sinar Gemilang.
Nama bendera Malaysia telah diisytiharkan oleh Tun Mahathir bin Mohamad,
Perdana Menteri pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan negara
yang ke-40. Pengisytiharan Jalur Gemilang dilakukan pada jam 11.58 di Dataran
Merdeka, Kuala Lumpur.
Benderaku
Sebelum bendera Malaysia diberikan nama "Jalur Gemilang", lagu telah dibuat khas
untuk bendera Malaysia tanpa menggunakan sebarang rujukan nama khas tetapi
terus merujuk kepada "Bendera Malaysia" atau "Benderaku". Selepas bendera
Malaysia telah diberi nama, perkataan di setiap awal perenggan yang mempunyai
perkataan "Bendera Malaysia" atau "Benderaku" telah ditukar kepada "Jalur
Gemilang". Walau bagaimanapun, keadaan tidak sesuai memungkinkan orang
menyanyikan versi lama di samping menyanyikan lagu baru "Jalur Gemilang".