Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 18

ARCHITECTURE AND BUILDING (A&B)

2.1 FLOORING AND WALLING

1.0 PENGENALAN

Kemasan ialah kerja yang terakhir dan penyudah dalam unsur kerja sesebuah bangunan.
Kemasan halus dan rapi boleh menggambarkan status bangunan berkenaan disamping memberi
suasana penyeri dan menghidupkan ruang. Kualiti kemasan bergantung kepada kerja
pemasangan, kecekapan, kemahiran serta bahan yang digunakan.

Fungsi kemasan:
1. Memberi keselesaan kepada pengguna.
2. Memberi dan mewujudkan suasana ceria dan penyeri di dalam sesebuah bangunan.
3. Berfungsi sebagai media kalis air.
4. Media untuk menyerap bunyi.

Faktor-faktor pemilihan kemasan lantai dan dinding;


a. Kestabilan
Mestilah kukuh dan menghalang berlakunya keretakan

b. Kekuatan
Keupayaan menanggung beban hidup dan beban mati serta menahan segala tekanan yang
akan diterima.

c. Pencegahan kelembapan
Tapak berupaya menentang resapan air dan mencegah kelembapan berlaku dalam bangunan.

d. Ketahanlasakan
Tahan dari segi keretakan, kakisan, kebakaran, asid, reput, minyak, dan sebagainya.

e. Keselesaan
Selesa dari segi panas atau sejuk, bunyi, licin tanpa gelincir serta seronok mata memandang.

f. Penyelenggaran
Senang dikerjakan tanpa perlu dijaga atau dibaiki selalu.

g. Pembinaan.
Cara dan kemudahan dibina hendaklah diambil kira semasa pembinaan
2.0 MEMILIH BAHAN-BAHAN YANG DIGUNAKAN BERDASARKAN SPESFIKASI
KERJA

Banyak jenis kemasan boleh didapati untuk kegunaan di dalam dan juga luar bangunan. Senarai
yang berikut ialah sebahagian daripada kemasan yang biasa digunakan bagi bangunan tempatan.

 Lapisan lepa simen hitam atau simen yang berwarna lain.


 Mozek - boleh didapati dalam beraneka warna dan rekabentuk.
 Terazo – didapati dalam bentuk papak tuang dahulu atau pun dibina secara in-situ.
 Batu – papak batu granit, batu marmar dan kepingan batu (slate) adalah biasa didapati.
 Kayu – didapati dalam bentuk kayu jalur, parkey, papan lapis, chipboard, blok dan
sebagainya.
 Jubin – terdapat dalam berbagai bentuk dan kualiti seperti jubin Itali dan lain-lain.
 Batu yang bermuka elok.
 Tikar getah (linoleom), vinil, asbestos dan lain-lain.
 Ambal / hamparan (carpet) dari berbagai jenis bahan.
 Cat

Untuk memilih KEMASAN yang betul-betul sesuai, beberapa faktor perlu dipertimbangkan,
iaitu jenis lantai, lantai atas atau bawah, dinding, cuaca, penyaman udara, keperluan untuk
menghindarkan dari keadaan berhabuk, beban lalulintas atasnya dan belanja penyelenggaran. Juga
perhitungan mestilah dibuat mengenai keselesaan, harga, warna dan kesenyapan bahan itu sendiri.

JENIS BAHAN JENIS KEMASAN


Kayu Cat minyak
Syelek
Sampang leker
Leker plastik
Cat air atau cat emulsi
Cat distemper
Keluli Cat minyak
Cat bitumen
Lekar
Lepa simen/gipsum Cat distemper
Cat air/cat emulsi
Cat minyak
Lepa simen/konkrit Batu marmar
Mozek
Terazo
Jubin
3.0 JENIS-JENIS KEMASAN LANTAI

1. Tikar PVC (Polivinil Klorida)

Dikilang daripada damar polivinil klorida sebagai bahan utama bersama dengan perekat
dan pewarna. Ia dihasilkan dalam bentuk gulung sepanjang 27m, tebal 2 mm dan lebar sehingga
kepada 1.83m. Ia dihasilkan dengan rupa siap berkilat dan usam, berwarna daripada warna biasa
sehingga kepada warna seperti marmar. Ia agak hangat, tahan, mudah disesuaikan mengikut
keadaan (luwes) dan telap air, minyak gris, petrol, alkohol, kebanyakan bahan kimia dan tidak
mudah terbakar, tetapi api rokok memberi kesan buruk yang kekal kepada tikar PVC. PVC juga
mudah tergaris atau tercalar.

Tikar PVC dilekatkan kepada lantai mengikut cara yang sama seperti linoleum, tetapi
lapisan lepanya mestilah betul-betul rata sempurna kerana sebarang ketidakrataan akan jelas
kelihatan. Lapisan kalis lembab mestilah dihamparkan dalam lantai tingkat bawah yang
bersentuhan dengan tanah. Kepingan PVC mempunyai rintangan hausan dan telusan yang tinggi,
dan amat sesuai untuk hotel, restoran, ruang legar dan ruang-ruang lain yang memerlukan
gabungan kelasakkan dan hiasan yang menarik.

2. Tikar Getah

Dihasilkan dengan ketebalan 3.2mm, 4.8mm dan 6.3 mm dalam bentuk gulung sehingga
kepada 1.83mm lebar dan 30.5m panjang, dan boleh didapati mengikut berbagai warna dan corak
yang menarik.

Ia amat senyap apabila dipijak, mempunyai kualiti akustik dan haus yang bagus, sederhana
hangat dan tidak licin. Minyak, lemak dan gris membawa kesan buruk kepada lantai tikar getah
ini.

Gulung atau tikar getah ini boleh dihamparkan ke atas semua permukaan rata mengguna
perekat yang mengandungi getah yang larut dalam nafta arang batu, tetapi tidak boleh dihampar
atas lantai yang bersentuhan dengan tanah yang rata mempunyai lapisan kalis lembap di bawah
lapisan lepanya.
Lantai getah sesuai untuk ruang tamu, ruang masuk bangunan, ruang legar, tangga, kedai,
dewan, pameran, hospital, panggung wayang, pejabat dan bangunan-bangunan awam, tetapi bukan
untuk dapur perniagaan (commercial).

3. Jubin Asbestos PVC

Kemasan ini dibuat daripada campuran pelekat polivinil klorida disebatikan dengan gentian
asbestos, pelekat mineral dan pewarna.Ia dihasilkan mengikut berbagai warna daripada cerah
sehingga seperti marmar. Saiz ini segiempat sama 225mm x 225 mm dan 305mm x 305mm,
tebalnya lebih kurang 2.1 mm hingga 3.2mm. Lantai yang yang hendak dikemaskan denganya
mestilah betul-betul aras, rata dan kering dan jika lantai itu bersentuh dengan tanah, lapsian kalis
lembap hendaklah disediakan di dalamnya. Jubin ini tahan terhadap telusan air, minyak dan bahan
kimia cair. Api rokok yang dipijak ke atasnya akan meninggalkan bekas yang sukar dihilangkan.

4. Jubin Tanah Liat Rata

Diperbuat daripada tanah liat semulajadi yang halus, iaitu dalam bentuk kepingan
segiempat sama berukuran 75mm, 100mm, 115mm atau 150mm, tebalnya ialah 12.5mm. Jubin-
jubin ini aturkan atas lapisan asas mortar setebal 20mm dan diturapkan betul-betul dengan cairan
simen dan air. Kemasan ini mempunyai kualiti haus yang bagus dan tidak dirosakkan oleh minyak
atau lemak.Ia juga tahan terhadap kebakaran asid perdagangan dan alkali. Lantainya tidak mudah
terbakar dan mudah dibersihkan, tetapi bising dan sejuk.

5. Mozek Tembikar

Dibuat daripada bahan yang sama seperti untuk jubin tanah liat, bentuknya sama ada segi
empat atau segi enam dan saiznya daripada 19mm hingga 50mm, tebalnya ialah 4.8mm. Ia
mempunyai berbagai-bagai warna dan corak dan dilekapkkan kepada kertas dan dibekalkan
ketapak bina dalam bentuk panel 0.6m x 0.6m. Panel ini diletakkan ke atas lapisan alas mortar
simen (1 : 2 ) setebal 9.5 mm dan ke atas lantai yang telah dilepakan. Kertas balutan ditanggalkan
dan lantai ini seterusnya diaraskan dengan sudip keluli dan sambungan-sambungan diturap dengan
cairan simen dan air selepas 24 jam.

Oleh kerana kemasan ini terdiri daripada unit-unit yang kecil menyebabkan ia senang
dibentuk kepada bentuk geometri atau bentuk-bentuk lain dan digunakan dengan meluasnya pada
ruang legar, dewan dan bilik mandi.

6. Marmar

Marmar apabila hendak digunakan untuk menurap, dipotong menjadi kepingan dengan
berbagai saiz sesuai dengan kehendak rekabentuk. Permukaan atasnya digilapkan tebalnya ialah
antara 20mm sehingga 25mm. Kepingan marmar dipasangkan atas mortar simen setebal 12.5mm
dan mempunyai rupa yang menarik, tahan haus, tahan terhadap minyak, lemak dan alkali, tetapi
mudah diserang oleh asid yang lemah. Ia sesuai digunakan untuk tempat yang memerlukan hiasan
menarik dan melambangkan kemewahan seperti dewan persidangan, pentas pertunjukan, rumah-
rumah ibadat, kedai, bangunan awam, banglo dan hotel.

7. Jubin Terazo

Dibuat menjadi segiempat sama dengan saiz daripada 150mm hingga 380mm setebal
9.5mm hingga 38mm dan mempunyai pengunci dibawahnya supaya terlekat dengan baik kepada
alas konkrit daripada mortar simen ( 1: 3 ) setebal 12mm hingga 25mm. Jubin ini memiliki sifat
dan penggunaan yang sama seperti jubin konkrit.

8. Parkey

Dihasilkan daripada kayu keras terpilih, dipotong mengikut berbagai saiz dan bentuk
tertentu untuk dijadikan blok dengan corak-corak yang menarik. Tebal blok parkey ialah antara
6.4mm hingga 9.5mm iaitu berukuran segiempat sama 305mm hingga 610mm.

Blok parkey boleh dilekatkan terus kepada lantai kayu dengan syarat permukaan aras dan
rata, secara disematkan atau diglu dalam keadaan panas. Kemasan parkey dianggap sebagai salah
satu daripada jenis kemasan lantai yang paling cantik dan boleh di atur corak yang dikehendaki.
Ia sesuai untuk lantai yang memerlukan hiasan dan melambangkan kemewahan dan juga lantai ini
akan diselenggara dan dibersihkan selalu.

Parkey papan lapis boleh juga didapati dalam bentuk segiempat sama atau jubin papan
lapis yang mempunyai lapisan atas daripada kayu keras setebal 3.2mm. Saiznya ialah antara
225mm hingga 920mm. Kepingan segiempat sama ini dilekatkan dengan atau tanpa glu dan
hendaklah disematkan dengan paku yang diketuk masuk pada jarak luang 150mm hingga 225mm.
Permukaannya dikemaskan dengan kertas gelas dan digilapkan.

Lantai ini mempunyai rupa yang cantik jika diselenggara sewajarnya, hangat dan tidak
licin, tetapi tidak sesuai untuk lantai dimana hausan yang tinggi mungkin berlaku.

9. Mozek Kayu

Terdiri daripada blok-blok kayu berukuran lebih kurang 115mm x 25mm x 9.5mm,
biasanya disusun mengikut kumpulan menjadi segiempat sama 115mm. Ianya disimenkan
bersama menjadi blok atau panel segiempat sama 460mm dan dilekatkan sementara kepada
sekeping kertas yang mana boleh dipasangkan kepada lantai seperti untuk mozek tembikar.
Mozek ini sesuai untuk lantai yang memerlukan tahan hangat dan lasak kelihatan menarik dan
cantik.
10. Turapan Granolitik

Terdiri daripada simen portland dan batu serpih granit halus atau bahan keras lain,
dicampur dengan air yang cukup supaya mempunyai keplastikan yang sesuai untuk diratakan atas
lapisan alas setebal 25mm hingga 38mm menjadi panel berukuran 3.6mm. Batu serpih hendaklah
bergred daripada 6.4mm hingga kepada ayak No.200 ( 75mm). Contoh campurannya ialah 2
bahagian simen dengan 5 bahagian serpihan granit atau 1 bahagian simen campur 1 bahagian pasir
dan 2 bahagian batu baur halus lulus ayak No. 100 (150mm) yang bersih daripada debu.

11. Terazo

Terazo hendaklah dikemaskan atas lantai alas konkrit, iaitu terdiri daripada turapan
daripada marmar atau batu serpih lain setebal 16mm yang diratakan atas lapisan asas setebal
19mm, menjadikan jumlah tebal terazo ialah 35mm. Lapisan asas hendaklah terdiri daripad batu
baur 5mm atau lebih kecil dan simen mengikut nisbah 3 : 1. Turapan terazo pula terdiri daripada
marmar atau batu serpih lain yang diluluskan dengan garispusat 6.4mm hingga 3.2mm dan simen
portland biasa atau putih mengikut nisbah 2 :1.

Turapan dan lapisan asas hendaklah dilembapkan selalu selepas dirata dan disudipkan
sehingga permukaannya bersedia untuk dikisarkan dengan karboradum kasar dan air bersih. Tiga
hari selepas ini, ia dikisar sekali dengan karboradum halus pula dan dibiarkan bebas tanpa
gangguan selama 2 hari.

Rupa hias kemasan ini bergantung kepada saiz dan warna batu kapur yang digunakan dan
warna simen yang dipilih untuk memberi kesan harmoni atau bertentangan. Lantai ini mempunyai
tahan haus yang bagus dan permukaannya tidak licin dan banyak digunakan untuk rumah
persendirian, dewan, tangga, hospital, sekolah dan tempat-tempat lain yang memerlukan lantai
yang tahan haus dan menarik rupanya.

12. Lepa simen

Kemasan simen portland biasa ataupun simen berwarna pada dasar konkrit merupakan sejenis
kemasan lantai yang biasa digunakan dalam pembinaan bangunan perusahaan dan rumah-rumah
kediaman kos rendah. Jenis kemasan ini boleh dibuat secara ‘monolithic’ iaitu dibuat sekaligus
semasa lapisan konkrit ditempatkan ataupun sebagai lapisan kemasan yang berasingan.
Permukaannya dilicinkan dengan menggunakan pemaras keluli sebelum simen mengeras.
13. Lepaan Shanghai

Kemasan Shanghai dibuat dengan menggunkan campuran batu kelikir (shanghai / pebbles stone)
dengan simen Portland biasa. Nisbah bancuhan adalah 1:1 ( 1 bahagian simen : 1 bahagian batu
Shanghai) atau 1:2.

Campuran itu dilepa pada permukaan lantai. Selepas dilepa, permukaan itu diratakan dengan
menggunakan kayu perta panjang dan kayu perata untuk mendapatkan permukaan yang sama
dan rata.setelah permukaan itu rata dan hampir kering, permukaan itu akan disembur air untuk
menampakkan permukaan batu Shanghai. Permukaan itu diberus menggunakan berus kasut
supaya permukaan itu lebih menyerlah. Permukaan itu dilap pula dengan span yang bersih.
Pengilat batu disapukan pada permukaan yang telah bersih dan kering. Untuk megilatkan
permukaan dan agar ia dapat menahan tindakan cuaca.

JENIS-JENIS KEMASAN DINDING

Kebanyakan bangunan kini dibina daripada batu-bata yang dikemaskan dengan simen lepa
sebelum diturap pula dengan kemasan kedua. Antara kemasan biasa ditonjolkan adalah:

1. Kemasan keras membabitkan jubin seramik, jubin batu seperti marmar dan granit, tanah liat
(terracotta), simen dan batu pasir serta panel kayu. Kemasan keras dan semula jadi sesuai bagi
dinding luar kerana tahan cuaca.
2. Kemasan lembut meliputi cat air dan minyak, kertas dinding dan panel fabrik.

Peranan dinding bukan setakat melindungi pandangan luar tetapi berfungsi pembahagi ruang
dalam rumah. Dinding dalam rumah menjurus kepada kemasan serta nilai estetika berbanding di
bahagian luar yang bertindak sebagai pelindung kesan cuaca seperti hujan, angin dan sinar
matahari.

KEMASAN KERAS

Panel Kayu / Papan Jalur


Kemasan ini terdiri daripada papan jalur sama ada dipakukan
pada beloti kayu yang telah sedia ada pada permukaan
dinding. Papan yang digunakan mesti bertanggam lidah atau
lurah ataupun lekap. Lebar papan tidak melebihi 100mm.
Jenis ini boleh dikemaskan dengan sempang atau lekar. Jenis
kayu yang digunakan adalah kayu keras seperti jati, cengal
dan kempas.
Mozek
Dibuat daripada tanah liat dan bahan campuran seperti
seramik, kaca dan marmar melalui proses pembakaran.
Terdapat pelbagai bentuk seperti segiempat sama dan tepat
dan juga segi enam. Pembinaan dilakukan dengan adunan
simen 1:3 untuk meletakkan mozek di dasar konkrit. Di
celah-celah sambungan diletakkan simen dan pasir halus.
Digunakan pada dinding dapur, tangga dan tandas.

Jubin Marmar

Kepingan jubin marmar yang berupa papak sekata ataupun


papak tidak sebentuk dilekatkan di dasar konkrit denagn
menggunakan adunan mortar simen. Permukaan dinding
perlu diasah dengan menggunakan mesin canai dengan batu
asah gred kasar (No.24) ke gred halus (No.350) sehingga rata
dan licin kemudian dikemaskan dengan lilin.

Jubin Granit

Terdiri daripada simen Portland dan batu serpihan granit


halus atau bahan keras lain, dicampur dengan air yang
cukup supaya mempunyai keplastikan yang sesuai untuk
diratakan di atas lapisan alas setebal 25mm hingga 38mm
menjadi panel berukuran 3.6m. Batu serpihan hendaklah
bergred daripada 6.4mm hingga kepada ayak no. 200
(75µm). Contoh campuran 2 simen dengan 5 granit atau
1 simen, 1 pasir dan 2 batu baur.

KEMASAN LEMBUT

Kertas Binaan ( Wallpaper )

Kini pemilik rumah kediaman lebih meminati kertas


dinding iaitu salah satu alternatif menggantikan kemasan
dinding lain seperti cat. Walaupun pemasangannya agak
sukar kerana membabitkan bahan pelekat tetapi kemasan
ini menjadi pilihan kerana keunikan warna, tekstur dan
corak yang menarik. Kertas dinding kebanyakannya
diperbuat dari bahan seperti vinil dan tekstil dan juga
bahan daripada fabrik. Pilihan terhadap jenis bahan kertas
dinding itu dibuat bergantung kepada kesesuaian dinding.
Gipsum Board

Gipsum board ialah sejenis papan yang biasa digunakan


untuk sekatan pada ruang-ruang yang luas seperti didalam
pejabat, dewan, surau atau masjid. Ia boleh dialih-alihkan
dimana-mana tempat yang dikehendaki. Ia diperbuatkan
daripada bahan-bahan gypsum yang sesuai iaitu bahan
kapur dan gypsum serta berbentuk kepingan.
Sifatnya tidak terlalu keras tetapi ringan.

Cat

Cat merupakan medium kemasan dinding yang paling


mudah dan murah. Kini terdapat pelbagai pilihan jenama
cat di pasaran. Terdapat juga pelbagai jenis cat setiap
satunya. Cat terdiri dari campuran bahan air dan minyak.
Cat yang berasaskan air lebih kepada 'matte effect'
berbanding cat yang berasaskan minyak yang lebih licin
dan berkilat. Warna dan pemilihan cat juga dapat
membantu menaiktarafkan dekorasi ruang. Cat bewarna terang dapat meluaskan ruang,
meninggikan siling dan menjauhkan jarak, manakala cat yang bewarna gelap akan menyempitkan
ruang, merendahkan siling dan mendekatkan jarak. Namun cat yang berwarna terang lazimnya
membawa mood panas dan ringan berbanding cat yang berwarna gelap lebih cenderung membawa
mood sejuk, ekslusif dan tenang.

PEMASANGAN KEMASAN LANTAI

1. Sebelum membuat kemasan, pastikan lantai sama rata (laser, timbang air, hos air)

2. Untuk bancuhan pastikan menggunakan nisbah yang betul supaya bancuhan tidak terlalu cair
atau pekat (1:2)(1 – Simen, 2 – Pasir)

3. Setelah siap bancuhan, susun jubin dari hujung dinding kanan ke kiri dan atas ke bawah
menjadi satu barisan sebagai ukuran
4. Untuk melekat jubin, pertama sekali letakkan hujung tali yang bertemu iaitu sebaris tali
melintang dan sebaris tali memanjang

5. Kemudian ambil bancuhan simen, letakkan pada lantai seterusnya tarik simen dengan
menggunakan “perata simen bergerigi” untuk meratakan sambil menjadikan mortar simen itu
berombak

6. Letakkan jubin di atas mortar simen berombak, seterusnya ketuk dengan menggunakan
gandin getah bagi meratakan jubin tersebut.

7. Bagi memastikan keseimbangan jubin tersebut, gunakan penimbang air bagi mengetahui
kecerunan jubin tersebut. Kemudian ulang proses yang sama sehingga selesai.

8. Untuk perhatian, pastikan kotoran di atas jubin dicuci dengan air menggunakan span sebelum
ia menjadi keras.

9. Apabila siap setiap jubin yang dipasang, pastikan jubin dicuci sebelum kotoran di atas jubin
menjadi keras.

10. Selepas itu, bancuh simen grout (simen putih) dan penuhkan ruang – ruang yang terdapat
diantara jubin dan bersihkan permukaan jubin selepas simen grout disumbat pada ruang -
ruang jubin.

11. Biarkan sehingga kering supaya jubin lebih kuat dan tahan lasak.
LANGKAH-LANGKAH PEMASANGAN MOZEK PADA LANTAI

 Letakan bahan pelekat


 Ratakan keseluruhan mozekk
 Pasang dan lakukan ketukan pada permukaan mozek
 Basah dan buang kertas pelekat
 Bancuh simen warna ( mortar grout) mengikut kesuaian warna mozek
 Sapu mortar grout pada ruang antara jubin dengan menggunakan grout float
 Bersihkan permukaan mozek dengan span/ asid jubin
PEMASANGAN KEMASAN PADA DINDING

Pelekat
Campuran mortar
simen atau pelekat
jenis lain

Memasang jubin pada dinding secara teknik agak berbeza jika dibanding dengan proses
pemasangan jubin pada lantai. Sistem dan caranya sedikit lebih sukar dan rumit. Hal ini kerana
bidang pada dinding bentuknya menegak, sedang bidang lantai punya permukaan yang rata atau
mendatar. Perancangannya harus lebih teliti kerana jika dilakukan dengan sembarangan, jubin
tidak boleh melekat dan jatuh.

Adapun caranya boleh memilih dua sistem yang ada iaitu dari bawah atau dari atas. Jika bermula
dari atas, pertama rendam dalam air lebih dulu jubin yang akan dipasang. Tujuannya agar liang
jubin yang ada di permukaan bawah boleh menyerap mortar dan pasir. Jika penyerapan tidak
sempurna boleh menimbulkan ruang kosong yang menyebabkan jubin mudah jatuh jika sudah
kering.

Selanjutnya bancuhan mortar simen dilekatkan pada dinding dan biarkan beberapa saat agar
tidak terlalu basah. Jika terlalu basah jubin tidak boleh melekat erat dan mudah jatuh. Oleh
kerana itu bancuhan ini sebaiknya dibuat tidak begitu cair sehingga lebih mudah merekat pada
dinding. Dan yang tidak boleh dilupakan, sebelum di tampal dengan mortar, dinding perlu
disiram air lebih dahulu.

Bila mortar sudah mula mengering, proses pemasangan boleh segera dilakukan. Meski jubin
telah direndam dalam air, namun sebelum ditampal atau dipasang jubin itu harus tetap dalam
keadaan yang basah. Selepas itu permukaan bawah ini diberi mortar yang agak nipis. Jika terlalu
tebal boleh membuat bancuan itu melimpah ke tepi. Selain itu susunan jubin akan jadi sukar
diratakan.

Selepas jubin diletakan pada kedudukan yang tepat, tekan menggunakan tukul ganding getah
hingga permukaannya sejajar dengan tali yang digunakan sebagai garis acuan. Tukul yang
dipakai untuk memukul adalah dari kayu atau getah. Tukul besi terlalu keras dan boleh
menyebabkan jubin mudah pecah.
Untuk mengelakkan agar jubin yang sudah melekat tidak jatuh bahagian pinggir yang berada di
bawah boleh diberi dua paku di sebelah kiri dan kanan. Pada bahagian nat letakkan suatu benda
yang bentuknya nipis, misalnya kertas yang dilipat-lipat atau spacer plastik berbentuk T.

Bila semua dinding sudah terpasang dengan baik dan rapi, tunggu hingga mortar menjadi kering.
Lalu lepas benda yang ada di dalam grout dan isi bahagian ini dengan adunan simen khusus
untuk mengisi celah nat.

Untuk proses pengerjaan yang bermula dari bawah, secara garis besar caranya juga sama. Namun
tidak diperlukan lagi paku untuk penyangga kerana jubin yang ada di atasnya sudah ditahan oleh
jubin yang ada di bawah. Namun celah nat harus tetap diisi dengan benda tipis. Proses
pengerjaan dari bawah ini sangat sesuai diaplikasikan jika jubin tersebut berupa batu alam.

Dan sebelum dipasang dindingnya boleh dibuat ceruk-ceruk kecil yang dibuat secara rawak agar
mortar simen dan jubin boleh melekat lebih kuat.

MENGECAT

Cat ialah sejenis bahan cecair yang digunakan dalam pembinaan untuk memberi lapisan
perlindungan kepada bahan-bahan kayu, besi, lepa, konkrit, batu bata dan lain-lain lagi.

Fungsi cat :

a) Melindungi bahan-bahan daripada kerosakan-kerosakan yang disebabkan oleh keadaan


cuaca, serangan serangga, pengoksidaan dan sebagainya.
b) Mencantikkan pemandangan.
c) Memudahkan proses pembersihan permukaan.

Pada dasarnya, cat diperbuat daripada jenis pewarna dan cecair. Pewarna cat terdiri daripada
oksida besi, amber, kromium, oksida zink dan lain-lain lagi.

Cecair cat pula mengandungi bahan-bahan pengikat (binder) dan pelarut (thinner). Bahan
pengikat berfungsi untuk melekatkan pewarna pada permukaan yang dicat serta memberi sifat
kalisan dan kelicinan.

Pelarut pula berfungsi mengurangkan kelikatan cat dan memberi kesenangan kerja semasa
mengecat. Pelarut yang kerap didapati ialah turpentin dan spirit putih.

Mutu cat sentiasa dipertingkatkan mengikut perkembangan teknologi dan permintaan pengguna
yang semakin bertambah. Kebanyakan cat kini dikilangkan untuk terus digunakan tidak perlu
dicampur dengan bahan-bahan lain.
7 JENIS-JENIS CAT :

a. Cat minyak

Cat ini mempunyai pewarna dan cecair minyak linseed. Cat minyak menjadi kering melalui
proses penyejatan pelarutnya dan pengoksidaan.

b. Cat air atau cat emulsi:

Cat ini mengandungi pewarna dan cecair resin tiruan, dibancuhkan dengan air untuk
mencairkannya semasa digunakan.

Cat emulsi menghasilkan kemasan yang pudar. Ia sesuai digunakan untuk mengecat permukaan
tembok bata dan konkrit bagi tembok dalam dan tembok luar. Pengeringannya ialah melalui
sejatan dan resapan. Cat ini mudah digunakan dengan berus atau digelek dengan penggelek
ataupun disembur.

c. Cat Distemper / Cat Alas

Cat ini juga dikenali sebagai cat kapur. Cat ini dihasilkan dengan kapur mati dibancuhkan
dengan air dan sedikit nila supaya kelihatan lebih putih.
Digunakan untuk mengecat papan siling, kadangkala digunakan pada tembok bata dan tembok
konkrit.

d. Cat Kegunaan khas:

Cat ini dihasilkan untuk kerja-kerja yang tertentu. Antaranya ialah:

i) Cat aluminium:
Cat ini dihasilkan dengan serbuk aluminium dan cecair minyak yang cepat kering.
Cat ini digunakan sebagai cat asas bagi kayu yang bergetah dan juga pada permukaan logam
seperti paip air, kekuda besi dan sebagainya.

ii) Cat bitumen:


Cat ini mengandungi sebahagian besarnya minyak bitumen dan ia memberi perlindungan yang
berkesan kepada bahan-bahan yang mudah karat seperti besi.
Ia Cuma digunakan pada tempat yang keindahan pemandangannya tidak diutamakan.
Cat ini berharga murah.

iii) Cat kalis kulat:


Bahan-bahan kimia yang boleh mencegah tumbuhan kulat terkandung dalam cat ini.
Kegunaanya sangat berkesan dan ekonomi bagi tempat-tempat yang mengalami kelembapan.
iv. Cat tahan api:
Cat ini mengandungi ammonium fost.
Ia digunakan untuk menambahkan sifat rintangan terhadap kebakaran pada kayu dan jenis papan
yang tertentu dalam pembinaan.

v. Syelek:

Syelek merupakan kemasan yang lazim digunakan pada kayu.

Syelek digunakan secara sembur atau sapu dengan berus. Syelek didapati sebagai serpihan yang
perlu dilarutkan di dalam alcohol untuk digunakan, ataupun secara bancuh siap.
Syelek yang telah dilarutkan hendaklah disimpan di dalam bekas kaca. Jika disimpan di dalam
tin, warna syelek akan menjadi gelap.

vi. Sampang/Varnish
Sejenis varnish minyak yang mengandungi resin asli (congo, manila, kauri) atau resin tiruan
(phenolics, alkyds) dimasak dalam minyak pengering (linseed, tung) dan dicairkan dengan
pelarut seperti turpentine tulen dan spirit supaya mudah digunakan secara sapu atau sembur

Sampang khas digunakan pada kayu, proses pengeringannya mengambil masa selama 12 hingga
24 jam. Ia mempunyai sifat rintangan cuaca dan tahan air. Oleh sebab itu, sesuai digunakan pada
kayu untuk pembinaan dalam dan luar.

vii. Kemasan lilin:

Kemasan lilin dilakukan dengan mencairkan lilin dalam turpentine dan menyapukannya ke
permukaan kayu supaya lilin dimasukkan ke dalam ira kayu. Kemudian permukaan kayu
dikilatkan dengan menggunakan kain lembut.

Segala kerja hendaklah dibuat jauh daripada api, oleh sebab turpentine digunakan sebagai pelarut
dan turpentine ini sangat mudah membakar.

viii. Lekar plastik:

Lekar mengandungi resin yang terdiri daripada ‘polyurethane’ alkyd, yang akan mengeras
melalui tindak balas kimia dengan bahan pengeras (catalyst).

Lekar setelah disapu atau disembur mengering dengan cepat dan menghasilkan lapisan
perlindungan yang tahan lasak dan bersifat merintang bahan kimia, pelarut api dan sebagainya.

Lekar dilarut dengan thinner, boleh disapu atau pun disembur.


CARA MENGECAT

Langkah-langkah mengecat adalah seperti berikut:

a. Persediaan Permukaan

Merupakan langkah utama untuk menjamin kejayaan mengecat. Persediaan ini menentukan
permukaan yang akan dicat itu licin, bersih, kering dan stabil.

b. Bancuhan cat

Kebanyakan cat yang telah lama disimpan mestilah dikacau dengan betul sebelum boleh
digunakan. Perhatian hendaklah diambil untuk mengeluarkan lapisan atas yang telah keras
sebelum dikacau supaya bahagian yang telah keras tidak bercampur dengan cat. Jika cat itu
kotor, ia boleh ditapis dengan kain nipis.

c. Melarut

Cat yang pekat perlu dicairkan dengan sejenis pelarut yang sesuai supaya mudah disapu atau
disembur.

d. Keadaan yang sesuai untuk mengecat

Cuaca hendaklah panas, kering dan tidak berhabuk.

e. Mengecat lapisan asas

Mengisikan segala ira dan lubang halus supaya membina satu lapisan yang kuat untuk menerima
lapisan-lapisan selanjutnya.

f. Penutup

Lubang paku, retak dan tanda-tanda lain hendaklah ditutup selepas cat lapisan asas kerana
lapisan asas mencegah resapan berlebihan daripada bahan-bahan penutup (putty)

g. Mengecat lapisan alas

Membina lapisan yang rata dan sama warna dengan lapisan kemasan.

h. Mengecat lapisan kemasan atau lapisan penghabisan

Memberi lapisan yang berkilat dan licin. Cat licin adalah lebih lama tahannya jika digunakan
untuk mengecat permukaan luar, manakala cat pudar lebih sesuai digunakan untuk kemasan
tembok dalam kerana kurang pemantulan cahaya.
JENIS PELARUT

You might also like